Anda di halaman 1dari 5

Oleh ZAID AKHTAR (MINGGUAN MALAYSIA 30 DISEMBER 2001)

CERITA ana ini mungkin ada pada sesiapa termasuk anta juga. Ana tidak terkejut jika anta tidak
mahu percaya, meski ia cerita benar. Terpulang kepada anta. Dan ana tidak memaksa sesiapa
untuk percaya apalagi menjanjikan apa-apa. Namun untuk lebih meyakinkan anta, ana telah
menyediakan saksi kepada kebenaran fakta cerita ini.

Ringkasnya, ana nyatakan: Nil mencintai ana sejak di bangku sekolah. Kami sama-sama terpaut
hati dan menjadikan cinta pemangkin semangat untuk meraih kecemerlangan dalam SPM. Guru-
guru merestui dan kawan-kawan menganggap kami pasangan yang paling ideal. Memang cukup
menggembirakan juga apabila sama-sama berjaya membuktikan keunggulan dalam peperiksaan.
Dan sebuah cinta sejati mesti tahan diuji masa dan tempat. Kami terpaksa berpisah sementara -
demi cita-cita - ana ke utara mengaji perakaunan, dan Nil ke matrikulasi undang-undang sebuah
universiti di ibu negara.

Nil gadis baik. Lembut dan cantik. Sopan dan menawan. Sebagai siswi yang terdidik dengan
agama sejak kecil, semestinya Nil bertudung dan taat menjaga syariat. Haram sekali belum
pernah kami keluar dating seperti pasangan lain. Padanya memang terlengkap ciri-ciri penyejuk
mata yang ana cari. Lalu kala usia sementah itu, ana sudah memasak tekad ke teras hati: biarlah
Nil yang pertama, juga yang terakhir. Dan tidak lupa, tanpa pengetahuan Nil, ana tinggalkan
seorang teman yang boleh dipercayai dan kebetulan sekuliah dengannya sebagai pemerhati.
Namanya Jai - saksi utama cerita ini yang ana janjikan tadi. Tengok-tengokkan saja, pesan ana;
kalau ada apa-apa, lapor segera!

Entah kerana apa, setahun selepas itu, hubungan yang masuk tahun ketiga itu terhenti sekerat
jalan. Barangkali dihambat rutin kesibukan seorang siswa - senantiasa berkejar dengan kuliah,
tutorial, assignment, peperiksaan, dan persatuan. Barangkali bosan diejek oleh kejemuan tinggal
berjauhan. Barangkali juga akibat keegoan masing-masing. Ana tidak arif asbab setepatnya, dan
tidak juga mahu mempertikaikan: siapa di antara kami yang memulakan tidak menghantar khabar
berita. Yang pasti, kami terputus hubungan selama dua tahun. Cinta 'monyet' zaman
persekolahan itu ternoktah di situ.

Ana kesal juga. Rasa kasih itu masih ada. Rindu menghimpit juga kadangkala. Namun ego tinggi
lelaki membunuh niat awal untuk memujuk. Biarlah masa yang jadi penentu siapa yang akan
mengalah. Ditambah apabila ana bertemu pula dengan Kay, Nil hampir dilupakan terus.

Kelembutan dan kebaikan Kay - seperti Nil - mengisi sepi dan kekosongan hati ana. Kami
bertemu dalam program bakti siswa dan begitu jelas sealiran minat dan bidang. Hari demi hari,
kebersamaan dalam berpersatuan menambah keintiman. Menjelang semester terakhir, bimbang
kasih terungkai lagi, kami muwafik mengikat tali pertunangan.

Bahagia di hati ana sekejap cuma. Siapa sangka, tragedi yang juga dianggap klise dalam kisah-
kisah sebegini, turut meronai kami. Takdir kadangkala hampir serupa. Kay terbunuh dalam
kemalangan jalan raya selepas menduduki imtihan terakhirnya. Kesedihan tidak terucap namun
air mata tidak pula keluar. Lantas ana meninggalkan utara Semenanjung sebaik tamat pengajian
demi memadam memori duka. Beginikah pedihnya ditinggalkan orang tersayang?

Belum sempat menganggur, ana lekas disapa jawatan akauntan di sebuah firma. Beberapa bulan
di Kuala Lumpur, ana tersua Jai yang hampir ana lupakan.
Kau pacar paling tak guna! Ana terpinga-pinga. Jai memarahi ana dan mengungkit janji ana pada
dirinya beberapa tahun lalu, pada Nil terutamanya. Spontan cerita silam itu bangkit semula.
Pertama dan terakhir konon! Dasar pantang tengok dahi licin! Memang dia rupanya amat kesal
dengan apa yang terjadi ke atas ana dan Nil sebelum ini. Telah berikhtiar menolong, berusaha
menyambung kembali kasih yang terlerai; tetapi gagal setelah kehadiran Kay. Ana terkelu
dihukum menelan paku buah keras yang dipulangkan.
Di mana Nil sekarang?
Jangan kesal, Fal. Kau datang agak lewat.
Ana terkesima. Keluhan Jai itu mulai mengundang rasa bersalah. Lantas bertalu-talu mendesak
Jai memerihalkan situasi sebenar.
Bagaimana dengan Nil sepeninggalan aku?
Salahkan dirimu Fal, bila mendengar ceritaku ini. Usah terperanjat. Nil sekarang bukan Nil yang
dulu lagi. Hidupnya hampir hancur.
Hancur?
Kau meninggalkannya begitu saja. Tanpa kata, tanpa pesan. Kau bukan kekasih setia. Kasihan.
Dia sungguh kecewa. Ah, cinta kadang-kadang membahagiakan dan merosakkan manusia.
Jai mencari kekuatan bercerita. Ana tunduk patuh. Bagai pesalah yang menghadapi algojo
lagaknya.

Pelajarannya hampir tersungkur. Mujurlah ada kawan-kawan yang simpati, dan dia bangkit
semula. Biarpun lukanya akibat perbuatan kejammu belum sembuh benar-benar. Dia masih
mengharapkanmu.
Ana hanya mampu menadah telinga dalam debar.

Aku cuba menghubungimu kala itu. Tapi gagal. Ya, khabarnya kau bertemu yang baru. Hampir
setahun yang lalu, Nil berkenalan dengan seorang pemuda kacukan. Ben nama timangannya.
Pemuda ini kelihatan baik, terpelajar, berada, dan boleh dipercayai tetapi latar belakangnya yang
sebenar tidak diketahui. Hubungan mereka intim ditambah simpati Ben terhadap dirinya. Ramai
juga teman yang meraguinya melarang, namun Ben dengan karismanya yang memikat, tetap
berjaya memenangi hati Nil yang kosong.
Ana menggigit bibir.
Lagipun, Ben ketara begitu ikhlas dan berminat untuk kembali kepada pengamalan Islam yang
sebenarnya. Nil rasa terpanggil untuk berdakwah. Kononnya, kata Ben, keluarganya jauh dari
agama. Solat, puasa, zakat entah ke mana. Hanyut kebaratan. Dia mahu Nil membentuknya ke
jalan lurus kembali. Dan seterusnya, mahu menikahi Nil.
Fal, kautahu kesudahannya?
Ana sekadar menggeleng.
Nil terpedaya. Mereka terlanjur….
Ya Allah! Ana terkesiap amat. Menekup muka dengan tangan. Telinga ini tersalah dengar?
Ya. Kisah Natrah barangkali telah dilupa. Tapi usaha memesongkan akidah gadis Melayu masih
berterusan. Ben guna pil khayal. Nil kini hamil lima bulan. Pengajian terpaksa ditangguhkan.
Mereka belum menikah. Dan sekarang, khabarnya Ben sedang berusaha menggoyahkan sisa-
sisa keimanannya. Ah, kau tentu faham tindakan mereka selanjutnya.
Rasa berdosa serta-merta mendera.

Ana sudah lama mendengar episod cerita begini. Tetapi, payah mahu percaya, ia menimpa gadis
sebaiknya yang pernah ana kenali. Akukah punca semua ini? Selamatkan dia, Fal. Bisik Jai.
Engkaulah orang yang paling tepat!
Akulah yang bersalah membiarkannya! Rasa kasih dan kasihan deras meluap-luap. Apa yang
harus aku lakukan?

Lantas kami segera menjejak Nil. Memang malang. Dia telah diusir keluarganya dan terpaksa
menebalkan muka, menumpang di rumah Rai, antara sahabatnya yang bersimpati. Namun Ben
terus-terusan memomokkannya dari sehari ke sehari, Rai memberitahu. Nil diugut. Ben tidak
mahu bertanggungjawab dan akan memalukannya sekiranya enggan menukar agama! Alangkah
malangnya nasibmu! Kekesalan yang sukar dibendung mendorong ana bertekad mahu
menyelamatkannya, walau apa harganya sekalipun yang harus dibayar. Biarlah ana berkorban
demi cinta murni yang pernah terjalin. Demi rasa kemanusiaan. Demi akidah sucinya!

Kami dipertemukan juga setelah sekian lama terpisah. Nil berwajah lesi, terkejut dan terselingar.
Pura-pura tidak mengenali ana lagi bila disapa. Dia menangis. Rai dan Jai hanya melihat dari
jauh. Membiarkan sahaja.
Nil dah tak kenal Fal lagi?
Fal dah tak ada dalam kamus hidup Nil lagi.
Fal minta maaf. Fal sangat bersalah padamu.
Maaf? Pergilah dengan cita-cita, Fal. Nil dah rosak.
Percayalah! Walau apa pun, Fal masih sayangkan Nil. Hati Fal masih macam dulu. Lupakanlah
cerita silam. Kita bina kehidupan baru.
Carilah gadis yang lebih suci. Nil tertawa seperti dirasuk hantu. Nil bukan gadis lagi. Fal mau
terima Nil dengan perut yang boyot ini?
Angguk.
Fal terlalu berdosa meninggalkanmu. Fal ingin menebus dosa itu. Tawanya pupus serta-merta.
Tidak percaya? Ana tidak berganjak dengan keputusan itu. Dan ana tahu, hatinya masih ada
ruang untuk ana lagi. Segala-galanya berlaku begitu pantas. Dengan bantuan Jai dan Rai, Nil
berjaya kami tiup keyakinan dan semangatnya semula.

Tanpa pengetahuan keluarga dan kawan-kawan selain Jai dan Rai, kami menikah minggu itu
juga dengan berwali hakim di pejabat agama. Menakjubkan sungguh. Macam mimpi. Ana sendiri
kadangkala rasa kurang percaya. Tetapi inilah amanah Allah. Inilah cinta sebenarnya barangkali.
Ya, cinta sejati memang menagih pengorbanan.
Dan Nil kadang-kadang sengaja menduga:
Mengapa abang masih pilih Nil?
Sebab cinta abang hanya pada Nil saja.
Bukan kerana kasihan?
Geleng.
Bukankah sejak sekolah lagi abang cintakan Nil?
Pengorbanan abang terlalu besar! Bagaimanakah Nil dapat membalasnya?
Cinta sejati mesti ada ujian. Mesti ada pengorbanan. Abang pilih Nil kerana abang kasihkan Nil.
Sayangkan akidah Nil.

Cinta lama itu hangat semula. Auranya kembali menyelimuti kami. Bezanya kini kami di alam
perkahwinan. Bahagia meronai jiwa. Berdekatan dengannya terasa jauh lebih tenteram. Namun
ada cabaran lebih akbar di depan. Bagaimana mahu menghadapi keluarga?

Ya, bonda memang sudah lama merungut mahu ana cepat beristeri. Mahukan cucu katanya.
Lantas, kepada bonda, ana khabarkan sudah bertemu pengganti arwah Kay, dan akan segera
berkahwin pada masa yang sesuai. Justeru, kami berdua merancang sejurus Nil melahirkan
bayinya nanti mahu disatukan secara beradat.
Anak dalam kandungan Nil kian membesar. Bimbang diganggu oleh Ben dan khuatir
terserempak dengan kaum kerabat ana atau sahabat terdekat, kami berpindah ke rumah sewa
baru. Hanya Jai dan Rai sahaja yang tahu. Jiran sekeliling yang kurang mengambil peduli tidak
menjadi kerisauan. Untuk beberapa bulan, ana terpaksa mengelak daripada diziarahi sesiapa
demi menjaga kerahsiaan ini. Demi kemaslahatan Nil.

Kandungan Nil masuk ke bulan terakhir. Bagaimana dengan nasib anaknya nanti? Itulah yang
kerap bermain-main di fikiran dan mengganggu tidur. Tentang latar belakang Nil, ana tidak
bimbang. Jika ditanya kelak, jawapannya sudah ana fikirkan. Kepada keluarga, akan ana
katakan, Nil anak yatim piatu. Tiada saudara-mara lagi. Kononnya ana terpesona dengannya
semasa menziarahi seorang teman di rumah anak-anak yatim. Cinta selayang pandang. Jai dan
Rai juga pasti dapat membantu. Sekurang-kurangnya menjadi saksi penguat cerita.

Tetapi soal identiti anak di dalam kandungannya ini yang memeningkan kepala. Kelak mahu
dibinkan apa? Dan masakan terlalu lekas pula kami mahu mengambil anak angkat selepas
berkahwin! Apa pula kata mereka nanti? Bagaimana dengan anak ini? Tanya Nil lagi.

Anak Nil, anak abang juga. Ia tidak berdosa. Ia amanah Allah pada kita. Ana menghembuskan
keyakinan ke wajah Nil yang mulai ceria.
Abang terlalu baik!
Demi cintamu, Nil!

Ana hanya pasrah pada takdir. Tawakal. Ana yakin, selagi perbuatan ana tidak menyalahi
agama, rahmat Allah sentiasa bersama. Pasti ada reda-Nya. Salahkah tindakan ana selama ini?
Bukankah ini pengorbanan demi cinta sejati?
Suatu malam, Nil mengadu sakit perut. Nafasnya nampak lelah. Kainnya juga sudah lencun
basah. Lalu kami berkejar ke hospital. Barangkali masa kelahirannya sudah karib. Didorong cinta
yang makin kental, ana cuba menyelit masuk bersama, tetapi ketegasan doktor menghalang.
Hanya pandangan sayu terakhir Nil yang sedang berkerut menahan sakit menjadi bekal ana kala
menunggu.
Ana gelisah di luar dalam pada Nil di dalam sedang bertarung dengan maut. Tuhan sahaja yang
Mahu Tahu hati ana waktu itu. Menanti legaran waktu, dalam debaran yang tidak menentu,
alangkah sengsara!
Doktor yang menghalang ana tadi keluar semula. Ana lekas menerpa.
Bagaimana isteri saya, doktor?
Err, diharap encik dapat bertenang.
Nil yang menghidapi asma dikatakan menghadapi kesukaran sewaktu melahirkan. Bayinya yang
songsang pula lemas.
Tuhan lebih menyayanginya. Maafkan kami. Kedua-duanya gagal diselamatkan.

Alangkah lekasnya pertemuan semula, kini perpisahan pula menjelma? Lutut terasa longgar. Air
mata tidak dapat ana bendung lagi sewaktu menatap jenazahnya yang damai. Menangis
semahu-mahunya!

Demikian Nil pergi. Syahid di akhirat bersama puterinya yang ana namakan seperti namanya -
Husnil Khatimah. Kehilangannya begitu terasa berbanding kepergian Kay dulu. Namun ana reda,
sekurang-kurangnya ana telah melaksanakan sebuah amanah Tuhan.
Ia tamat di situ.

Ya, memang ini bukan sekadar cerita cinta tetapi memori sedih. Pelik bukan? Cinta bukan
sahaja hadir tiba-tiba malah kadang-kadang lahir dari rasa kasihan. Dan seringnya pengorbanan
akan ditagih cinta sejati, yang cuma satu dalam seribu.
Apakah anta percaya?

Anda mungkin juga menyukai