Anda di halaman 1dari 20

UNTUKMU BALQIS

Cinta mana yang perlu dipilih? Cinta yang sementara atau cinta yang kekal selamanya.... Inilah kisah hidup seorang syabab....

Pernah seketika dahulu aku diminati beberapa orang wanita di sekolahku. Bukan ingin berbangga akan diri tetapi sekadar untuk muhasabah diri. Walaupun begitu, aku belum pernah punya teman wanita. Mungkin kerana aku masih belum berani dan takut untuk menjalinkan hubungan percintaan. Mungkin juga aku terlalu memilih. Aku pun bukanlah seorang lelaki yang boleh dikatakan baik. Aku pernah menghisap rokok, ponteng kelas bahkan solat juga. Aku tidak tahu mengapa diriku boleh menjadi sedemikian rupa padahal bapaku seorang yang sangat mementingkan agama lebihlebih lagi dalam menjaga bab solat. Di kala aku sendiri, acapkali aku terfikir, apa sangatlah yang ada pada rupa? Bukankah keimanan itu tunjang segala-galanya? Bila aku bertemu dengan pelajar perempuan atas urusan tertentu, ada sahaja pelajar lelaki yang cemburu. Cemburunya mengalahkan perempuan padahal bukan aku jumpa berdua pun. Ada yang kata aku ni playboy hinggakan aku diberi amaran dek rasa tak puas hati mereka. Sampai sekarang pun, semua masalah ini tak pernah terlepas dari hidupku. Tapi aku tak kisah. Mungkin aku dah mangli dengan semua ini. Pada aku, aku adalah aku. Aku insan yang tak boleh lari daripada rasa kekosongan, kekosongan pada hati. Rasa ingin disayangi dan menyayangi mula berputik kerana itulah lumrah manusia, benar bukan? Perasaan itu kian meronta apabila melihat ramai kawan-kawanku yang dah mula bercinta. Dalam kelas cerita pasal girlfriend saja. Ada yang telefon sampai satu malam boleh sampai berjam-jam lamanya. Walaupun nampak macam membazir, tapi hati yang sepi tetap rasa cemburu pada mereka. Mindaku mula terfikir, "Adakah aku perlu bercinta?" Dengan menggunakan akal seorang pelajar yang masih belum matang di tingkatan 3 pada masa itu, aku pun mula

menanam hasrat untuk menyayangi dan disayangi. Tatkala itulah aku mengenali Balqis, kawan satu sekolahku. Dialah calon yang sesuai untukku, getusku di dalam hati. Inilah satu-satunya peluang aku untuk membuang gelaran playboy yang diberi oleh mereka yang hanya tahu mengejek tanpa bisa mengenali diriku terlebih dahulu, hatiku menyambung lagi. Pada masa yang sama, aku juga telah berkenalan dengan seorang gadis. Aku tertarik dengan peribadinya yang tampak solehah, dipelihara oleh jilbabnya malah bersekolah di sekolah agama. Kini, di hatiku bertakhta dua jelita yang masing-masing punya keistimewaan. Aku keliru. Dalam kekeliruan itu, telah aku putuskan untuk cuba memikat Balqis kerana dialah yang mula aku kenal dan yang pertama sekali bertapak di hatiku. Balqis, sukar sungguh untuk aku mengalahkan egonya. Dia bersikap endah tidak endah apabila aku ingin berkenalan dengannya. Nantilah saya fikirkan dulu, jawabnya bila aku berterus terang untuk menjalinkan hubungan yang lebih dari sahabat. Sikapnya membuatkan hatiku berbolak-balik. Akhirnya, aku putuskan untuk cuba menyulam bibit cinta bersama Aqilah, gadis berjilbab dari sekolah agama itu. 28 Julai 2005, tarikh keramat buatku kerana pada hari itulah aku meluahkan rasa hatiku pada Aqilah. Itulah juga cinta pertamaku. Debaranku kian memuncak disulami dengan senyuman syukur tatkala Aqilah menggangguk malu, menerima rasa hatiku. Terasa bagai dunia ini, aku yang punya! Di kala bercinta, semangatku memuncak. Cinta pertama orang kata. Acapkali kami meluangkan waktu bersama-sama. Belajar bersama, balik berdua, makan bertentang mata dan banyak lagi aktiviti yang kami lakukan bersama-sama. Dialah yang telah menunjukkan aku jalan untuk mendekatkan diri dengan Islam dan kerana dia jugalah aku berhenti daripada tabiat burukku. Sejak dari saat aku mengenali Aqilah, aku mula rapatkan diri dengan masjid, lidahku bertartil melafazkan kalamullah, bersolat jemaah pada awal waktu malah juga telingaku dihidangkan dengan juadah tazkirah penuh ilmiah. Walaupun pada awalnya niatku bukan untuk mencari mardatillah, namun Dialah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setelah sekian lama aku

mengamalkan amalan-amalan itu, niatku telah berubah. Daripada hanya mahu menunjuk-nunjuk, timbul pula rasa seronok dalam melaksanakan ibadah-ibadah ini. Mungkinkah itu yang dikatakan kelazatan dalam beribadah? Mungkinkah itu hikmahnya aku bercinta dengan pelajar dari sekolah agama, yang punya ilmu agama? Tidak putusputus aku merafakkan syukur di atas perubahan positifku ini. Terima kasih Aqilah. Syukur Ya Rabbi. Pada sebelah malamnya, aku akan menelefon teman hatiku ini. Begitulah juga sebaliknya. Dengan menggunakan telefon awam sahaja, aku sabar berbual dengannya. Biarpun nyamuk menggila mencari peluang untuk menghisap darahku, tidakku endahkan dengungan serangga ini. Kukira, itulah ertinya pengorbanan. Sangat indah waktu itu, bagai hidup dalam kayangan lagaknya. Tanpa sedar segumpal daging di dalam diri kami telah dihuni oleh syaitan yang tak pernah jemu untuk mengheret cucu cicit Nabi Adam ke arah zina. Ya, zina hati! Namun mata hati kami tertutup seketika untuk bermuhasabah pada qalbi gara-gara bercinta. Aduhai hati... Setiap yang bermula, pasti ada akhirnya Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tautan hati antara aku dan Aqilah yang diharapkan berkekalan kini mula berantakan gara-gara latar belakang keluarganya. Dia sebenarnya dipelihara oleh ibu tirinya kerana ibu kandungnya telah meninggal dunia kerana penyakit kanser. Ibu tirinya tidak senang hati melihat Aqilah terlalu asyik dengan cinta, mungkin risau pada pelajarannya. Lalu, hubungan kami usai begitu sahaja. Tiada kata sepakat dan tiada nilai muafakat. Nokhtah. Sukar untuk kugambarkan bagaimana perasaanku ketika itu. Menangis? Meraung? Tidaklah sebegitu kerana aku adalah lelaki. Sedih? Ya, sangat sedih. Hanya itu yang mampu untuk aku simpulkan. Namun, akal yang waras memujuk hati agar redha dan bangkit terus maju mengejar cinta yang lain. Mungkin tuhan menghadirkan Aqilah dalam hidupku kerana tuhan masih lagi menyayangi diriku. Kerana dia aku berubah. Lagipun kita hanya merancang dan Allah yang menentukan, monologku pada diri.

Hati kembali kosong tidak terisi. Hati ini juga pinta diisi. Lalu, aku teringat pada senyuman manis Balqis. Ya, kali ini aku nekad untuk melamar hatinya. Daripada seorang rakan, aku telah berjaya mendapatkan nombor telefon Balqis. Pantas jarijemari menaip pesanan ringkas buat menyatakan rasa hatiku terhadapnya. Tanggal 13 Disember 2005, cinta ku berbalas jua. Tahniah wahai aku, kataku pada diri sambil bibirku memberi senyuman yang memberi seribu erti. Terlalu sukar untuk aku gambarkan. Kini, aku kembali bersemangat. Mana tidaknya, hatiku kini sudah punya permaisuri yang umpama pelita tatkala aku kegelapan. Tatkala itu, tidak ku terfikirkan wajah-wajah tua yang sering bergantung harap padaku, yang saban hari mendoakan kejayaan aku. Aduhai hati... Hatiku kian parah. Percintaan kali ini ternyata satu dugaan yang maha hebat buatku ku. Sekiranya dahulu hanya bersaya dan awak kini telah bertukar ganti kepada abang dan ayang. Kiranya dahulu sekadar lima belas minit berbual di telefon kini bertambah ke minit yang ke enam puluh. Hubungan kami diserikan lagi dengan lagu tema aku dan Balqis, Insan Bernama Kekasih dendangan kumpulan nasyid UNIC. Setiap bait liriknya mengkhabarkan kiasan hati aku dan hati Balqis. Jalinan kali ini, lebih asyik daripada dahulu, lebih manis malah lebih indah. Kadang kala, aku terdengar satu suara berbisik lemah. Jauh di sanubariku, sangat perlahan ia berbisik. Berbisik memberikan aku peringatan untuk mengawal nafsuku dan memelihara hatiku. Namun, bisikan itu terlalu lemah untuk melawan hangatnya rasa cintaku. Aku endahkan suara itu dan terus-menerus membiarkan hatiku dibuai asyik. Keasyikan cinta yang di sebaliknya terpalit kekalahan dalam memelihara hati dan iman. Ya Allah, Kau ampunilah segala dosaku... Masa kian berlalu tanpa kami sedari. Genaplah kini dua tahun usia percintaan kami. Kini kami di tingkatan lima, satu tahun yang penuh dengan latih tubi, bergelumanglah kami dengan kertas-kertas nota dan naskah-naskah soalan percubaan dari pelbagai negeri. Dalam tahun inilah masing-masing menyemai janji untuk menghadiahkan kejayaan pada ibu dan ayah yang sekian lama menanti. Itulah azam aku dan intan payungku, Balqis.

Sudah lama aku tidak menghidangkan telingaku dengan ilmu-ilmu agama di masjid yang berhampiran. Suatu hari, Allah menggerakkan kakiku untuk bersolat di masjid. Maha Suci Allah, Alhamdulillah, aku bersyukur kerana apa yang didengar benar-benar menyedarkan aku. Daripada ceramah itu aku sedar yang diriku telah banyak berdosa dan aku sedar bahawa aku kena berubah. Aku juga sedar, hidupku mesti selari dengan Islam. Aku perlu menjadi orang yang baik kerana itulah fitrah manusia, sentiasa menginginkan kebaikan. Kini, aku kurangkan masa yang selama ini acapkali ku habiskan bersama-sama Balqis. Balqis pula terkejut dengan perubahanku ini dan mula memikirkan yang bukanbukan. Ku katakan padanya, Biarlah kita lestarikan cinta kita kerana Allah Yang Esa dan jangan sampai buat benda yang salah. Aku tak kepingin untuk bercinta seperti mana rakan-rakan yang lain yang mengamalkan prinsip jiwang dalam bercinta. Malah, ada yang sudah terlanjur daripada itu, yang bersentuhan dan berpelukan.

Nauzubillah... Aku nekad! Aku mahu menjaga kesucian cintaku dan Balqis agar tidak dicemari dengan tipu daya syaitan seperti mana dahulu. Aku mahu menjaga batasbatas syara'. Tidak perlu penggunaan ayat yang berbunga-bunga malah tidak perlu berjumpa kiranya tiada kepentingan. Cukuplah sekadar telefon menjadi penghubung. Balqis? Ya, gadis manis ini menerima perubahanku. Selalu juga aku menasihatinya dan syukur kerana dia menerima seadanya. Walaupun kadang-kala Balqis merajuk dek ditegur aku, namun aku faham, perubahan memerlukan masa. Akhirnya kurasakan, hubungan kami semakin diredhai. Aku selalu berdoa supaya hubungan kami akan kekal sampai ke gerbang perkahwinan. Suatu hari, ketika aku sedang membelek helaian demi helaian dalam satu majalah, mataku tertatap pada satu artikel bertajuk, MENUAI BENIH CINTA : Bahagia Dalam Seksa.Tergerak hatiku untuk membaca artikel tersebut kerana ia menceritakan tentang percintaan sebelum memasuki gerbang perkahwinan. Dengan segala dalil-dalil yang diberi, maka benarlah bahawa berpasangan itu menjurus ke arah kemaksiatan. Kaku dan terdiam. Hatiku seakan berhenti berdegup apabila mengetahui perkara yang selama ini kufikirkan baik, adalah salah sama sekali. Ingin kukongsi perihal ini bersama

Balqis namun kurasakan sekarang bukanlah waktu yang sesuai lalu aku pendamkan sajaha. Hati berbicara dan minda mula bertelegah, kami tak buat maksiat, tak berpegangan tangan dan kata-kata kami bukanlah menjurus ke arah perkara yang diharamkan. Cuma saling ambil berat, tanya khabar, borak-borak, dan siap bertazkirah lagi. Apa yang haramnya dengan benda ni? Akal yang waras mula menidakkan kesalahan yang telah aku lakukan. Itulah lumrah manusia. Apabila perkara yang saban hari telah dilakukan sehingga ia menjadi rutin harian, walaupun salahnya terang di sisi agama, tetapi dek adanya logik akal, aku membutakan mata dengan artikel ini. Tambahan pula, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk aku dan Balqis membicarakan akan hal ini memandangkan SPM akan menyusul tidak lama lagi. Ujian mencemburui hubungan kami. Satu perpisahan antara aku dan Balqis telah tercipta apabila aku telah terpilih untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Jauh di sudut hati, aku gembira kerana ini akan memberi faedah dan manfaat kepadaku untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat sekolah menengah. Namun senyuman dan rasa girang di hatiku melayang entah ke mana tatkala Balqis menyuarakan rasa hatinya yang berat untuk melepaskan aku pergi. Oh, inikah kuasanya cinta? Aku terdiam, memikirkan betapa sayangnya gadis ini terhadapku. Barangkali kasihnya kepadaku melebihi cintaku pada dirinya, getus hatiku. Melihatkan reaksiku yang hanya berdiam diri, Balqis mula bersuara kembali, namun diam. Matanya mula berkaca lalu, kutahu apa pintanya. Aku memujuk Balqis agar bersabar dan menganggap ini hanyalah satu ujian yang akan menguji, di tahap manakah percintaan ini. Lidahku fasih melafazkan janji setia, hatiku akur pada rasa cinta lalu kupinta pada Balqis agar percaya bahawa aku akan setia padanya. Bak kata pepatah Melayu, Kalau sudah jodoh takkan lari ke mana. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal menyinsing tidak lama lagi. Kurasakan pantasnya waktu berlalu, umpama mimpi walhal aku masih terumbangambing di ulit lena. Situasi ini membuatkan aku tertekan lalu aku mula mengabaikan Balqis dengan niat mahu mencegah diriku daripada melepaskan 1001 masalahku di pundaknya. Aku

berharap agar Balqis dapat menumpukan perhatian pada peperiksaan tanpa terlalu memikirkan perihal diriku. Meskipun rambut sama hitam, namun hati lain-lain. Niatku telah disalah tafsirkan oleh Balqis. Dia menyangka aku sudah lupakan dirinya. 1001 penyesalan dan rasa bersalah bersarang dalam diriku pabila seorang daripada temannya memberitahuku bahawa dia sering menangis dek ingatannya terhadapku. Beberapa hari sebelum SPM bermula, aku memberanikan diri menelefon Balqis dengan niat agar dia kembali fokus pada peperiksaan dan memohon seribu kemaafan sambil menyatakan segala yang tersirat di dalam hati. Aku juga mengambil kesempatan tersebut mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM pada minggu depan. Kini Balqis sudah mampu ketawa apabila bercakap denganku. Alhamdulillah.. Usai kini peperiksaan yang selama ini menjadi sasaran dalam sistem pembelajaran buat diriku. Minda terasa ringan apabila memikirkan sesi persekolahan sebagai pelajar menengah atas sudah berakhir. Seminggu selepas peperiksaan, Balqis menyatakan hasratnya untuk berjumpa denganku tetapi entah mengapa hatiku begitu berat untuk berjumpa dengannya. Setelah didesak, aku akhirnya akur. Sepanjang hari kami menghabiskan masa bersama sebelum aku pergi ke PLKN. Itulah hari terakhir kami berjumpa pada tahun tersebut. Pada hujung bulan Disember 2007, aku menghadiri latihan PLKN di sebuah kem yang terletak di Batu Pahat, Johor. Di sini aku lebih meminati bidang agama dek rakanrakan yang rapat denganku kebanyakannya berasal dari sekolah agama. Banyak ilmu yang aku perolehi dari mereka. Lantaran itu, aku menjadi seorang yang minat kepada al-Quran, surau, masjid, dan semuanya yang berkaitan agama. Aku terfikir bahawa inilah masa yang paling sesuai untuk mendekatkan diri kepada Allah sambil mengingati dosa-dosa yang pernah aku lakukan sebelum ini. Di suatu malam, terbaca aku akan petikan yang membicarakan mengenai zina hati. Semua inilah yang Rasulullah s.a.w. jelaskan dalam hadithnya tentang bagaimana menghampiri zina hati tu. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, mata boleh berzina dengan melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan

berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dengan merindui, mengingati dan membayangi si dia. Astagfirullah... Secara spontan, lidahku beristighfar. Laila haillallah..., bisikku dengan hati yang berat. Terasa bagai ada embun panas di tebing kelopak mata. Hati berbisik kepada akal dan minda, mengisyaratkan bahawa aku perlu menukar paradigma. Ya! Aku perlu berubah! Tamat sahaja latihan, aku mula terfikirkan perihal Balqis. Mampukah jelita ini menerima hasrat ku untuk meninggalkan dunia percintaan yang sia-sia cuma. Sungguhpun aku sudah nekad, namun masih terasa payah untuk ku memulakan langkah. Sehinggalah pada suatu hari muncul keberanian dalam diriku. Aku tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu tetapi aku sangat bersyukur dikurniakan perasaan yang sebegitu. Lalu, di suatu hari dalam Bulan Mac 2008 aku mula mengatur langkah. Di suatu tempat yang sunyi aku bersendirian mencari ketenangan. Setelah aku peroleh kekuatan dan kepercayan, akhirnya aku memberanikan diri menelefon Balqis untuk menyatakan hasrat yang selama ini terbuku di hatiku. Pantas jari jemariku mendail nombornya yang sudah sedia ada di dalam ingatanku. Namun sepi tidak dijawab. Aku mengambil keputusan untuk menyuarakan rasa hati ku melalui sms sahaja. "Assalamualaikum awak, saya call banyak kali tapi awak tak angkat. Mungkin awak dah tidur. Takpelah, saya sebenarnya ada sesuatu yang penting nak cakap dengan awak. Hm.. Terus terang saya rasa hubungan kita cukuplah setakat di sini. Saya harap awak akan memahami. Kadangkala untuk mengejar sesuatu yang berada di hadapan kita, kita harus tinggalkan beban yang berat selama ini kita pikul. Saya harap awak akan memahami niat saya. Selepas ini hubungan kita hanya sekadar kawan biasa dan tiada lagi panggilan abang dan ayang antara kita. Saya harap awak akan terima keadaan kita sekarang ini dengan rela." Kutulis dan kubaca mesejku ini berulang kali sebelum menghantar pada Balqis. Selepas beberapa minit, ibu jariku ini menekan juga butang hantar. Kemudian tertera di skrin...

MENGHANTAR MESEJ.. MESEJ DIHANTAR Sepi. Diam. Hening dan kosong. Terasa seperti separuh daripada hatiku gugur bersama bibit-bibit cinta antara aku dan dia. Benarkah?, bisik hatiku. Namun, tiada jawapan. Kosong. Keesokan harinya, jiwaku tidak keruan. Detik demi detik, hatiku acapkali diruntun resah dan gelisah. Beberapa kali Balqis menelefonku namun aku masih tidak punya kekuatan untuk menerima panggilan telefon daripada si dia waima aku sedar bahawa aku patut mengungkaikan 1001 persoalan yang timbul di lubuk hati Balqis. Di waktu senja pada hari itu, usai aku solat maghrib, aku telah menerima panggilan dari nombor yang tidak aku kenal. Tanpa ragu-ragu aku menerima panggilan tersebut. Allah, sambil jantungku berdegup kencang. Itu adalah panggilan daripada Nabilah, kakak kepada Balqis yang sememangnya telah aku kenal. Selepas sahaja dia memberi salam, bagai lagak seorang detektif dia mengajukan pertanyaan demi pertanyaan kepadaku, You dah ada kekasih lain ke hah?, soalnya marah. Tak, itulah jawapan ringkas yang terbit secara spontan dari bibirku. So, kenapa you tinggalkan Balqis? Dah bosan dengan dia ke? Ingat dia tu sampah, bila tak guna you boleh buang dia! , serang Nabilah lagi, penuh bisa. Aku sedar, Balqis seorang wanita berjiwa lembut. Mudah terasa dan mudah menangis. Namun, tiada guna aku meneruskan hubungan ini hanya atas dasar simpati dan empati. Tiada apa yang aku bingkiskan pada Nabilah, hanya ucapan kemaafan semata-mata. Aku optimiskan minda dan memegang teguh pada paradigmaku kerana aku yakin, apa yang aku lakukan adalah benar! Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

Ayat inilah yang aku jadikan inspirasi untuk menguatkan semangatku dalam berubah dan cuba meninggalkan cinta aku padanya, Balqis. Namun, setakat mana bisa aku membiarkan insan yang kusayang menderita. Aku bertekad, untuk memberitahu kondisiku yang sebenar pada Balqis. Biarlah hubungan ini berakhir dengan cara yang baik, bisikku pada diri. teet teet teet teet,,, Assalamualaikum, dengan suara yang perlahan Balqis menjawab panggilan dariku. Tersentap tangkai hatiku tatkala mendengar suaranya. Ya Allah, kuatkanlah hati hambaMu ini, pintaku pada Ya Rabbi kerana aku sebenarnya masih tiada kekuatan untuk memberitahu Balqis. Waalaikumsalam. Awak ok?, dengan penuh getar di dada, aku membalas salamnya dan memulakan mauduk. Sepi. Di hujung talian, aku terdengar tangisan dan sendu yang ditahan Balqis. Sepatah demi sepatah, dia meminta penjelasan mengapa aku meminta hubungan yang terjalin selama dua tahun diputuskan secara tiba-tiba. Maka, kalam mula diutara. Biar terhijab apa yang kurasa. Awak, saya minta maaf banyak-banyak kat awak. Saya tahu selama ini saya pernah berjanji untuk setia kepada awak. Tapi saya rasa tak salah untuk saya mengingkari janji yang pernah saya lafazkan untuk kebaikan kita. Saya akan tetap sayangkan awak sampai bila-bila tapi sekarang saya hanya mahu hubungan kita berlandaskan syariat Islam. Saya tak mahu guna lagi istilah girlfriend boyfriend, makwe pakwe dalam hidup saya. Cukuplah setakat di sini. Yang penting hubungan kita sebagai sahabat tidak akan putus sampai bila-bila. Awak doakanlah jodoh kita ya! . Itulah yang dapat aku lafazkan untuk meluahkan isi hati aku dan itulah juga yang aku inginkan selama ini. Aku takkan bercinta lagi sehinggalah aku berkahwin nanti. Senyap. Hanya bunyi unggas malam yang kedengaran. Kini, bunyi unggas itu diselang seli dengan tangis Balqis. Ya! aku sedar, ia adalah sesuatu yang maha berat

untuk gadis ini. Setelah dua tahun lebih kami bersusah payah mempertahankan hubungan kami, kini dengan satu mesej yang aku hantar telah memutuskan segalagalanya. Aku terus berusaha memujuk Balqis agar menerima segala yang terjadi dan alhamdulillah, setelah beberapa ketika Balqis sudah mampu untuk menerima dan aku bertambah gembira apabila kami sudah mampu untuk berbual seperti biasa. Selepas beberapa bulan, hubungan kami kembali seperti sediakala. Dengan keputusan SPM yang kami dapat, aku kini melanjutkan pelajaranku di sebuah institut perguruan manakala Balqis kini berada di sebuah kolej swasta. Walaupun hati kami masih menyayangi di antara satu sama lain tapi cukuplah perasaan sayang itu kami bataskan sebagai sahabat kerana perasaan sayang itu hanya pada yang selayaknya. Aku percaya, itulah yang terbaik buat aku dan Balqis. Dengan kekuatan yang ada dalam diriku inilah aku terangkan kepadanya, dan alhamdulillah Balqis faham. Dia amat faham dan mengerti. Walaupun air matanya seakan air sungai yang tidak berhenti mengalir pada malam itu, tetapi aku harap Balqis akan mengerti itulah yang terbaik buat kami berdua. Andai ada jodoh di antara kami, insya-Allah, aku percaya Dia akan temukan kami dalam keadaan yang jauh lebih baik dari sekarang. Itulah harapanku. Hidupku kini lebih tenang setelah permasalahan gelodak jiwa ini selesai. Hidupku kini lebih selesa kerana aku boleh bercakap kembali tentang agama dengan lebih bebas tanpa dihantui oleh perasaan berdosa. Biarlah hidup aku kosong dari cinta yang sia-sia cuma kerana cinta selepas perkahwinan itu adalah lebih utama disisi-Nya. Bagi aku, inilah saat untuk kami beruzlah dan menilai kembali diri kami di samping membetulkan kembali segala kesilapan yang telah dilakukan. Inilah saat untuk kami mengejar kembali cita-cita dan sediakan diri untuk menjadi seorang ibu dan ayah yang berakhlak mulia dan berperibadi tinggi. Inilah masanya kami insafi kembali kesilapan kami dahulu dan memohon moga-moga Allah akan memaafkan kesalahan dan dosa kami. Sesungguhnya Ya Allah, aku insan yang sangat lemah. Aku tidak mampu melawan godaan syaitan yang tidak pernah jemu, juga hambatan nafsu yang tidak pernah lesu. Ampunkanlah aku..

______________________________________________________________________
"Sekiranya kita telah bertemu dengan seorang insan yang amat mulia sebagai teman dalam hidup kita, janganlah lepaskannya kerana kita tidak tahu bilakah pula kita akan bertemu dengan insan yang seumpamanya." Ingin ku miliki seluruh cintaNya dan sepenuh hati menghulurkan kasih padaNya. Tetapi ku bimbang pesona yang maya akan menjadi penghalang rindu kepadaNya. Ya Allah, jika dia benar untukku dekatkanlah hatinya dengan hatiku. Jika dia bukan milikku, damaikanlah hatiku dengan ketentuan-Mu -DeheartyCinta yang ku lafaz bukanlah cinta gurauan, kasih yang ku damba bukanlah kasih igauan. Seikhlas hati ku semaikan benih kasih sayang moga kekal menyinar dalam keredhaan DeheartySeandainya tercatat dia milikku Seandainya tercatat dia untukku Dekatkanlah daku bermesra padu Bahagia sentiasa setiap waktu DeheartyNamun ku tahu ada hikmahnya, setiap segala yang menimpa diri Kuserahkan segala padaMu Tuhan, yang berkuasa jua mencipta Kerana engkau Maha Mengetahui segala apa yang terbuku di hati Dehearty-

Nukilan: Azinuddin Muhammad bin Zainudin PPISMP Pengajian Melayu Semester 1/2008 IPGM Kampus Sultan Abdul Halim

TERNOKTAH SEBUAH HARAPAN

Sedari kecil aku tidak pernah mendapat kasih sayang dari orang tuaku. Aku dipelihara dan dijaga nenek dan datukku sejak aku kecil lagi. Menurut nenek dan datukku, waktu itu usiaku baru seminggu. Ibuku berhasrat memberikan aku kepada orang lain. Mengapa ibu bapaku hendak menyerahkan aku kepada orang lain? Aku pun tidak mengetahui dan tidak pernah bertanya kepada mereka.

Namun begitu aku seharusnya bersyukur kerana nenek dan datukku telah mengambil dan membesarkanku. Sekurang-kurangnya darah daging aku sendiri yang mahu memelihara aku. Walaupun hidup kami sederhana, kehidupanku bersama nenek dan datuk tetap bahagia.

Aku tidak seperti anak orang lain yang boleh meminta apa sahaja yang mereka mahu. Dari kecil aku diajar berjimat cermat kerana hidup kami sederhana sahaja. Tetapi nenek dan datukku tidak pernah mengabaikan pelajaranku. Datukku boleh membaca dan menulis walaupun lambat dan merangkak-rangkak tetapi nenekku buta huruf. Akulah yang menolong mereka membaca.

Nenekku selalu berpesan agar aku belajar bersungguh-sungguh kerana apabila mereka dah tiada, aku harus bergantung dengan diriku sendiri. Tiada orang yang akan membantu kecuali diriku sendiri. Sejak kecil lagi aku tak sama dengan kanak-kanak yang lain. Aku ada azamku sendiri iaitu belajar, kemudian dapatkan kerja untuk menyara hidup kami. Pak cik dan mak cikku ada juga menghulurkan duit untuk datuk dan nenekku tetapi berapalah sangat jumlah yang mereka beri untuk perbelanjaan kami.

Datukku hanya menerima duit pencen lebih kurang RM320 sebulan. Bayar bil air, bil eletrik, keperluan sekolahku, jadi tak banyak yang tinggal. Selebihnya disimpan di dalam bank. Terngiang diingatanku kata-kata datukku waktu itu, "Atuk simpan untuk

kegunaan Mimi melanjutkan pelajaran". Sebaknya rasa hatiku teringatkan kata-kata datukku.

Tamat sahaja sekolah menengah aku melanjutkan pelajaran di matrikulasi yang terletak di ibu kota. Aku merantau buat pertama kalinya ke negeri orang. Kehidupan di sini membuatkan aku bersosial dengan bebas. Boleh dikatakan rakan-rakanku semua pernah ke kelab malam yang terletak tidak jauh dari tempat belajarku. Aku juga tidak terkecuali.

Aku hanya fikir untuk berseronok namun aku masih tahu menjaga diriku dan kerana itu aku mendapat keputusan yang baik dan seterusnya menyambung lagi pelajaranku peringkat ijazah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tempat tinggalku. Alhamdulillah, berkat doa nenek dan datukku, aku akhirnya berjaya mengejar citacitaku. Aku bekerja di makmal kimia dan gaji yang kuterima setiap bulan kuhabiskan untuk nenek dan datukku yang tersayang. Bagiku merekalah segala-galanya. Apa yang mereka inginkan akan aku tunaikan. Aku tidak kisah gajiku habis namun yang penting mereka gembira dan bahagia. Aku juga membeli sebuah kereta untuk kegunaan mereka. Betapa gembiranya raut wajah mereka ketika itu. Aku sangat bahagia.

Teringat aku sewaktu diriku masih kecil dan baru mahu mengenal dunia, aku terjumpa satu foto dan aku tidak kenal pun siapa yang ada di dalam foto itu. Aku bertanya kepada datuk dan nenekku, "Itulah bapa dan ibu Mimi, mereka bercerai lepas lahirkan Mimi", jawab mereka ringkas. Aku tak pernah sangka aku ada ibu bapa yang lain. Bagi aku datuk dan nenekku itulah ayah dan ibuku. Aku masih berhubung dengan ibu bapa kandungku tetapi aku tersangat jarang berjumpa mereka. Kadangkala hati ini tak ingin berjumpa mereka.

Tahun 2002 aku cuba memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan alhamdulillah aku diterima masuk ke Institut Perguruan Gaya, Sabah selama setahun. Aku mula bekerja sebagai pendidik pada tahun 2004 dan ditempatkan di Semporna.

Agak jauh dari kampung halamanku dan aku terpaksa berpisah dengan datuk dan nenekku.

Hidup tak selalu indah, langit tak selalu cerah. Ajal dan maut semuanya di tangan Allah. Bulan Jun 2004 menjadi sejarah hitam dalam hidupku. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi datukku pada waktu itu. Datukku pergi meninggalkan aku dan nenekku. Namu aku bersyukur nenekku masih ada untuk menemaniku. Tetapi, dugaan itu tetap menimpaku. Tak sampai sebulan pemergian datukku, nenekku pula menyusul pemergian datukku. "Ya Allah, ujian apa yang cuba kau berikan kepadaku," aku sedih dan aku menangis.

Insan yang paling aku sayangi di dunia ini pergi meninggalkanku buat selamalamanya. Yang paling menyedihkan, aku tidak sempat pulang untuk melihat pengebumian mereka. Walaupun aku sudah cuba mengejar masa dari Semporna ke Kota Kinabalu namun semuanya terlambat. Aku hanya dapat melihat kubur mereka sahaja. Waktu itu usiaku sudah pun 26 tahun. Tak cukup dengan itu, Pak cik dan makcikku menghalau pula aku keluar dari rumah pusaka datuk dan nenekku. Tidak terkecuali ibuku. Aku bertanya kepada ibuku di mana aku harus tinggal? "Kau pergilah cari rumah sewa," betapa sakitnya hati yang sedih ini mendengar ayat yang keluar dari ibuku. Rumah pusaka itu memang mahal kerana terletak di tengah bandar Kota Kinabalu. Kerana harta aku dihalau keluar. Kejam sungguh dunia ini.

Waktu itu masih banyak barang-barangku yang ada di dalam rumah itu. Aku tak tahu harus letak di mana. Tuhan itu maha pengasih, aku masih ada sahabat untuk membantu aku. Merekalah yang menolong aku membungkus barang-barangku di dalam rumah itu. Kemudian barang itu sahabat-sahabatku mengambil seorang sedikit sementara aku mencari tempat tinggal. Dengan hati yang sayu aku melangkah keluar dari halaman rumah pusaka itu. Di rumah itulah aku mendapat kasih sayang dan kebahagian. Ke mana harus aku tuju? Berat sungguh ujian Allah terhadapku.

Aku tak sanggup lagi untuk teruskan hidup, namun Allah masih memberikan aku kekuatan untuk terus hidup. Aku mula hidup sebatang kara, berpindah-randah membawa barang-barangku. Dengan gaji yang aku terima waktu itu cukup untuk aku membeli sebuah apartment. Di apartment itulah aku menyimpan barang-barangku dan tidak perlu lagi menyusahkan sahabat-sahabatku untuk menyimpan barang-barangku di rumah mereka. Sahabat-sahabatku itulah yang selama ini memberi aku semangat untuk meneruskan hidup.

Aku masih teruskan kehidupanku tapi kali ini hidupku tiada matlamat. Aku hanya menunggu bilakah sampai ajalku? Hidupku kini hanya untuk menikmati pekerjaanku. Aku tidak pernah fikirkan hal yang lain. Kerja! Kerja! Kerja! Waktu makanku juga tidak menentu sejak kematian datuk dan nenekku. Kadang aku makan, kadang-kadang aku tak makan. Jika dulu nenekku akan menyediakan sarapan, makan tengahari, makan malam, cukup lengkap untuk pemakanan yang baik. Namun sekarang aku hanya makan sesuka hatiku. Kadang hanya sekali dan kadang tidak makan terus. Aku telah jatuh sakit dan pemeriksaan doktor mengesahkan. Tapi aku gembira dengan penyakit aku kerana pada fikiranku tidak lama lagi aku akan bersama-sama berjumpa dengan nenek dan datukku. Kolot sungguh fikiranku waktu itu.

Secara jujur aku bukanlah manusia yang sempurna dan baik. Aku tak pernah menjaga solat, ilmu agama pun aku kurang. Masakan tidak, aku bersekolah di sekolah kristian dari sekolah rendah. Umurku pada tahun ini genap 32 tahun. Sepatutnya perempuan yang seusiaku sudah berumahtangga, ada suami yang baik dan melahirkan anak-anak yang comel. Aku bukan tak mahu berumahtangga tetapi sebelum ini aku ada tanggungjawab menjaga nenek dan datukku yang sudah tua.

Teringat aku sewaktu bergurau dengan nenekku, selalu dia berpesan jika aku nak bernikah carilah lelaki yang solat lima waktu. InsyaAllah rumahtangga akan bahagia. "Tak naklah kahwin," aku berkata kepada nenekku. Pada fikiranku jika aku berkahwin pasti aku akan mengikut suamiku dan tinggal bersamanya, jadi tiada siapa

yg akan menjaga nenek dan datukku. Namun kata-kata nenekku itu aku pegang sehingga ke hari ini.

Bukan tiada lelaki yang mahu melamarku, tetapi aku berat untuk menerima pinangan mereka. Ada yang sudah menjadi tunangan orang yang berkata menyukaiku. Sudahlah, aku tak pernah percaya kepada lelaki dan aku masih bersedih dengan kematian datuk dan nenekku.

Namun dalam kesedihanku, Allah telah menemukan aku dengan Arif. Dia lebih muda dariku. Aku berjumpa dengannya sewaktu aku berkursus di Kedah. Pertama kali berjumpa dengannya aku nampak ketenangan di wajahnya. Tapi aku masih belum punyai perasaan kepada lelaki. Namun Arif, peribadinya yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu membuatkan hatiku sedikit goyah. Dia pernah menegur tentang auratku namun aku sedikitpun tidak terasa dengan tegurannya. Cara dia menegur aku sangat berhikmah.

Tidak seperti orang lain yang berkata sesuka hati dan kemudian menyakitkan hatiku. Tudungku, pakaianku, dan semuanya berkenaan aurat Arif tegur dengan baik dan terperinci. Sejak itu aku mula membiasakan diri dengan pakaian berlengan panjang. Sedikit demi sedikit aku berubah. Tapi kerana apa? Adakah kerana tegurannya atau kerana aku menyukai sifat yang ada padanya? Aku berdoa semoga hatiku ikhlas berubah kerana Allah.

Aku masih belum faham dengan perasaanku, aku gembira bila melihatnya walaupun dari jauh. Tanpa aku sedari lahir perasaan sayang dari hatiku. Aku cuba menafikan perasaan itu. Aku menelefon sahabatku dan bertanya kepada mereka. Mereka kata aku dilamun cinta. "Ah, tak mungkinlah" aku tetap menafikan hatiku. Sahabatku ingin tahu siapa lelaki yang membuatkan aku jatuh hati. Ya, selama aku hidup tak pernah aku menyukai mana-mana lelaki.

Mungkin kerana itu mereka ingin tahu lelaki yang telah mencuri hatiku. Arif mempunyai ciri-ciri lelaki yang selama ini aku cari. Dia seorang yang pendiam, paras rupa yang tenang dan bersahaja, dan yang paling penting cukup solat lima waktu seperti yang dipesan oleh nenekku. Mulalah aku terbayang-bayang hidup aku akan ada lelaki yang mengimami aku bersolat, mengajar aku mengaji, dan membimbingku ke arah kebaikan. Tapi aku rasa berdosa menyayanginya kerana dia telah mempunyai calon pilihan hatinya sendiri.

Aku tidak pernah menyalahkan Arif kerana dari awal lagi dia sudah memberitahuku tentang calon pilihannya itu. Aku serba salah. Aku sedar, aku bukanlah di kalangan perempuan-perempuan baik yang layak untuk Arif. Mungkin aku diberikan tuhan satu lagi ujian. Berat aku merasakannya. Mengapa hidupku ini sentiasa diuji?

Ujian itu didatangkan kerana dua sebab. Pertama, sebagai ujian dari Allah dan yang kedua sebagai penghapus dosa kita. "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Ayat-ayat yang Arif katakan kepadaku ini antara yang menjadi penguat semangatku untuk aku meneruskan hidup. Dialah orang yang banyak menasihatiku dan dialah juga tempat aku mengadu segala-galanya. Adakah salah perasaan yang hadir dalam hatiku ini? Aku cuba menghalang perasaanku ini dari menguasai hatiku, tetapi aku tidak mampu. Ya Allah berikanlah hambamu ini kekuatan. Kurasakan amat berat ujian dari-Mu Ya Allah.

Arif yang membaca helaian kertas itu melipat kemas dan dimasukkan semula ke dalam sampulnya. Termenung panjang Arif usai habis dibacanya surat itu. "Cik Mimi meninggal dunia kerana pendarahan di dalam otak dan sebelum dia meninggal dunia dia ada membuat wasiat", kata Encik Hakim, seorang peguam yang menguruskan bahagian surat wasiat. "Wasiat?" Arif bertanya kehairanan. "Cik Mimi mahu hartanya

dibahagikan dua. Satu bahagian hartanya untuk Encik Arif dan satu lagi bahagian untuk di sedekahkan kepada badan kebajikan. Surat yang Encik Arif baca itu juga merupakan salah satu dari wasiat Cik Mimi," jelas Encik Hakim dengan ringkas.

Arif masih kebingungan. Tiada apa yang mampu diberi olehnya selain fatihah buat roh Mimi. Semoga roh Mimi tenang disisi-Nya.

Nukilan: Azinuddin Muhammad Bin Zainudin PISMP Pengajian Melayu Semester 2/2010 IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sg Petani Kedah.

Kemalangan di Tangkak Pada hari Isnin, 15 November 2010 seusai aku menjawab kertas peperiksaan yang terakhir pada pukul 5.00 petang aku terus mengambil motosikalku untuk pulang bercuti. Tidak sabar rasanya untuk pulang selepas sekian lama aku berada di Kedah. Aku menunaikan solat asar di dalam perjalananku dan terus menunggang melalui Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke kampung halamanku. Lebih kurang pada pukul 9.30 malam aku tiba di Seremban dan aku akan bermalam di sini kerana sudah berjanji dengan seorang sahabat dari Institut Perguruan Raja Melewar juga sebagai sahabat dari sekolah rendahku untuk pulang bersama-sama. Namun malangnya kerana beberapa faktor aku terpaksa juga pulang sendirian. Aku bergerak dari Seremban pada waktu tengah hari dan aku menghala ke Melaka. Hari sudah petang, aku mengambil keputusan untuk pulang ke Segamat dan sekali lagi menggunakan Lebuhraya Utara Selatan untuk ke kampung halamanku. Tiba di susur keluar Tangkak, aku menyalakan lampu 'signal'. Waktu menunjukkan hari hampir senja dan selepas aku mengambil selekoh di situ tiba-tiba pandanganku menjadi gelap. Aku tidak tahu kenapa tetapi dalam kegelapan itu aku terdengar yang aku melanggar sesuatu. Aku terus tidak sedarkan diri dan ketika tidak sedarkan diri itu aku boleh nampak sesuatu yang sangat menggembirakan/menyenangkan hatiku. Mungkinkah seorang bidadari yang menemaniku? Yang penting memang aku seronok. Aku tidak sedar aku kemalangan pada waktu itu sehinggalah aku tersedar sebentar di tepi jalan itu. Aku bagaikan tidak percaya aku sedang terbaring di tepi jalan dan aku lihat ada beberapa orang di sekelilingku yang menolongku. Aku tidak berdaya untuk bangun dan akhirnya menutup mataku. Bila aku sedar lagi, aku berada di hospital. Seluruh badanku sakit sehingga aku tidak berdaya untuk bangun. Aku lihat kulit siku di tangan kiriku terkoyak dan luka besar di tangan kananku. Aku di tahan di wad selama tiga hari. Alhamdulillah, tiada kecederaan serius yang menimpaku.. Kini selepas beberapa bulan berlalu, aku ingat segala-galanya. Ya, jelas sekali. Adakah aku nampak seorang wanita ataupun bidadari di dalam tidak sedarku itu? Wallahualam. Apa yang aku ingat aku rasa gembira sekali sewaktu tidak sedarkan diri itu sehingga aku rasa tak mahu sedar lagi. Tiba-tiba cahaya putih datang, sangat terang. Waktu itulah aku membuka mata

Anda mungkin juga menyukai