Anda di halaman 1dari 2

Berdasarkan maklumat dalam petikan di bawah, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan pengeluaran dan maklumat perolehan

eksport barangan utama terpilih bagi tahun 2002 hingga tahun 2005. Sektor pertanian dan perlombongan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan eksport negara di samping membekalkan bahan mentah kepada industri tertentu di Malaysia. Pengeluaran minyak sawit Malaysia dianggar mencatat peningkatan yang berterusan dari tahun 2002 hingga tahun 2005 berikutan dengan peningkatan hasil sehektar dan harga minyak sawit yang tinggi. Pada tahun 2002, minyak sawit mencatat pengeluaran sebanyak 11 909 ribu tan metrik, iaitu pengurangan sebanyak 1446 ribu tan metrik berbanding dengan tahun 2003. Pengeluaran minyak sawit terus meningkat kepada 13 976 ribu tan metrik pada tahun 2004 dan dianggar meningkat lagi sebanyak 1324 ribu tan metrik setahun kemudiannya. Walau bagaimanapun, peningkatan pengeluaran ini tidak menjamin peningkatan yang berterusan bagi jumlah perolehan eksport minyak sawit Malaysia kerana pada tahun 2004, perolehan eksport minyak sawit telah menurun sebanyak RM364 juta berbanding dengan RM20 411 juta pada tahun 2003. Pada tahun 2002, perolehan eksport minyak sawit Malaysia ialah RM14 838 juta dan dianggar mencapai RM20 550 juta pada tahun 2005. Pengeluaran getah pula mencatat peningkatan yang berterusan hingga tahun 2004, tetapi dianggar merosot pada tahun 2005 kerana keluasan kawasan tanaman getah yang semakin berkurang. Pada tahun 2002, pengeluaran getah adalah sebanyak 890 000 tan metrik dan terus meningkat sebanyak 96 000 tan metrik pada tahun 2003. Pada tahun 2004, pengeluaran getah meningkat lagi sebanyak 182 000 tan metrik berbanding dengan tahun sebelumnya, tetapi diramalkan merosot sebanyak 23 000 tan metrik pada tahun 2005. Perolehan eksport getah negara mengalami situasi yang sama apabila mengalami penurunan pada tahun 2005 setelah mencatat peningkatan dari tahun 2002 hingga tahun 2004. Pada tahun 2003, perolehan eksport getah adalah sebanyak RM3582 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM1090 juta berbanding dengan tahun 2002. Pada tahun 2004, perolehan eksport getah adalah sebanyak RM5197 juta, tetapi dianggar berkurang sebanyak RM197 juta pada tahun 2005. Gas asli cecair pula menunjukkan pengeluaran yang tinggi selaras dengan pertambahan medan gas asli cecair yang baru beroperasi. Pada tahun 2002 sahaja, pengeluarannya adalah sebanyak 15 007 ribu tan metrik dan meningkat kepada 20 729 ribu tan metrik pada tahun 2004, iaitu peningkatan sebanyak 3418 ribu tan metrik berbanding dengan pengeluaran pada tahun 2003. Pengeluaran ini dijangka meningkat lagi kepada 20 936 ribu tan metrik pada tahun 2005, manakala perolehan eksport gas asli cecair pada tahun 2003 telah meningkat sebanyak RM3470 juta berbanding dengan tahun 2002 yang mencatat perolehan sebanyak RM9888 juta. Jumlah perolehan ini meningkat kepada RM17 079 juta pada tahun 2004 dan dijangka meningkat lagi sebanyak RM1596 juta pada tahun 2005 berbanding dengan tahun 2004. (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kementerian Kewangan Malaysia Laporan Ekonomi 2005/2006, Kuala Lumpur

Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah ini, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan kuantiti pengeluaran, eksport, dan import serta harga petroleum mentah Malaysia dari tahun 2001 hingga tahun 2006. Memandangkan petroleum mentah yang dikeluarkan oleh Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia, adalah lebih menguntungkan jika petroleum mentah Malaysia dikeluarkan bagi tujuan eksport. Kedudukan harga bagi satu tong minyak mentah mengikut Ringgit Malaysia (RM) naik turun sepanjang tempoh 2001-2006. Pengeluaran petroleum mentah Malaysia ialah 250 ribu tong sehari pada tahun 2002 berbanding dengan 260 ribu tong sehari pada tahun 2001. Pengeluaran petroleum mentah merosot sebanyak 20 ribu tong pada tahun 2003 berbanding tahun sebelumnya, dan meningkat semula kepada 299 ribu tong sehari pada tahun 2004. Pengeluaran petroleum mentah meningkat dengan kadar yang paling pesat dalam tempoh 2004-2005, iaitu mencatat 48.6% atau 450 ribu tong sehari. Pada tahun 2006, pengeluaran petroleum mentah merosot sebanyak 30 ribu tong berbanding tahun sebelumnya. Sepanjang tempoh 2001-2006, jumlah eksport petroleum mentah sentiasa jauh lebih besar berbanding dengan jumlah import. Eksport petroleum mentah pada tahun 2001 ialah 250 ribu tong sehari.Pada masa yang sama, import petroleum mentah ialah 150 ribu tong sehari, dengan kedudukan harga RM66 satu tong. Sungguhpun nilai eksport dan import petroleum mentah berkurang pada tahun 2002, dengan kadar 200 ribu tong sehari dan 90 ribu tong sehari masing-masing, harga petroleum mentah pada tahun itu telah meningkat kepada RM76 satu tong. Malaysia memperoleh keuntungan yang besar apabila jumlah eksport jauh lebih besar daripada jumlah import, dengan keadaan harga petroleum mentah di pasaran dunia adalah tinggi. Hal ini berlaku pada tahun 2003 apabila jumlah eksport petroleum mentah ialah 210 ribu tong sehari berbanding dengan import sebanyak 70 ribu tong sehari, dengan kedudukan harga yang paling tinggi, iaitu RM89 satu tong. Begitu juga, pada tahun 2004, jumlah eksport petroleum mentah Malaysia telah bertambah kepada 240 ribu tong sehari dan jumlah importnya lebih rendah, iaitu 50 ribu tong sehari. Namun demikian, harga petroleum mentah di pasaran dunia pada tahun itu menurun sedikit, iaitu pada paras RM76 satu tong. Walaupun kadar import petroleum mentah Malaysia sejak tahun 2004 adalah pada kadar yang sama, iaitu 50 ribu tong sehari dalam tempoh 2004-2006, jumlah eksport dan harga pasaran masih tidak konsisten. Jumlah eksport pada tahun 2005 telah meningkat kepada 390 ribu tong sehari dengan kedudukan harga di pasaran RM70 satu tong. Pada tahun 2006, jumlah eksport menurun sebanyak 38 tong sejajar dengan penurunan harga petroleum mentah di pasaran dunia pada masa itu kepada RM68 satu tong.

Anda mungkin juga menyukai