Anda di halaman 1dari 1

Lagenda Gunung Kinabalu Pada zaman dahulu, sebuah kapal besar dari China, yang membawa seorang putera,

telah karam dihempas badai. Putera tersebut telah dihanyutkan ke Borneo dan diselamatkan oleh penduduk di kampung yang berdekatan. Maka, tinggallah putera itu di kampung tersebut sehingga beliau sembuh. Lama-kelamaan, beliau telah jatuh cinta dengan seorang gadis yang cantik di kampung itu. Mereka telah berkahwin dan dikurniakan seorang anak yang comel. Namun begitu, putera tersebut mula merindui kampung halamannya dan meminta izin untuk kembali ke China dan melawat ibu bapanya. Sebelum berlepas, dia telah berjanji dengan isterinya bahawa dia akan balik dengan segera dan kemudian membawa isteri dan anaknya balik ke China. Setelah sampai ke tanah air, putera tersebut menyampaikan hasratnya untuk membawa pulang isteri dan anaknya ke China. Namun, ibu bapanya tidak bersetuju kerana mereka telah menjodohkan putera itu dengan seorang puteri. Atas sebab hormat dan sayangkan kedua ibu bapanya, putera terpaksa akur dengan permintaan mereka dan telah berkahwin dengan puteri tersebut. Sementara di Borneo pula, si isteri yang sangat merindui suaminya, selalu ke pelabuhan untuk menunggu suaminya pulang. Disebabkan pelabuhan tersebut jauh dari rumahnya, si isteri memutuskan untuk menunggu suaminya di puncak gunung dan berdiri menghadap Laut China Selatan dengan harapan, dia akan dapat melihat kapal suaminya pulang. Setiap hari, apabila matahari terbit, si isteri akan mendaki gunung itu dan hanya pulang ketika malam menjelma. Lama-kelamaan, si isteri telah jatuh sakit dan meninggal dunia di puncak gunung tersebut. Semangat Alam sangat sedih memerhatikan si isteri yang setia ini meninggal dunia dalam kerinduan. Semangat Alam sangat kagum dengan cinta sejati si isteri dan telah menjadikan si isteri sebuah batu, yang mana wajahnya menghadap ke Laut China Selatan agar dia sentiasa setia menanti kepulangan suaminya selama-lamanya. Penduduk kampung yang terdengar cerita ini tersentuh dengan kesetiaan si isteri dan telah menamakan gunung tersebut sebagai Kinabalu. Nama ini diambil untuk mengingati si isteri yang merupakan seorang balu Cina. Namun disebabkan oleh pengaruh bahasa, penduduk kampung menyebut Cina sebagai Kina, maka terhasillah nama gunung itu sebagai gunung Kinabalu.

Anda mungkin juga menyukai