Anda di halaman 1dari 3

[Enter Post Title Here]

Penulis-penulis itu bermain-main dengan cinta. Mereka-reka jalan cerita yang menurutnya
disukai pembaca. Sehabis daya dikerahkan supaya cerita mereka menarik dan laku terjual. Penulis-
penulis itu puas melihat buku mereka laris dan menjadi rebutan ramai pembaca. Nama mereka disebut-
sebut dan buku-buku mereka semakin banyak dicetak. Buku mereka tercatat pada senarai bestseller.
Tahun demi tahun, buku mereka masih jadi pilihan di pasaran, bagaikan tak lapuk dek zaman.
Pembaca-pembaca tegar khususnya remaja, juga pembaca-pembaca yang baru mencuba-cuba
menikmati novel cinta berpusu-pusu membeli keluaran demi keluaran. Pantang ada pesta buku, tak
cukup dengan tangan diisinya dalam bakul. Bukan satu bukan dua tapi lambakan novel memenuhi
bakulnya. Bagi mereka yang bijak, mereka hanya meminjam novel kawan-kawan mereka. Ada juga yang
bertukar-tukar novel sesama mereka. Dengan apa cara sekalipun, yang pasti novel-novel tersebut tetap
menjadi rebutan.
Di sekolah-sekolah asrama, fenomena ini berlarutan dari zaman berzaman. Walaupun ditegah,
pelajar-pelajar tidak pernah serik. Bilik disiplin, bilik pengawas atau bilik warden sentiasa dikunjungi
novel-novel hasil rampasan pengawas dan guru. Bukan sahaja di sekolah, pelajar universiti, kolej dan
yang seangkatan dengannya juga masih tergila-gilakan novel khususnya novel cinta. Pantang mendengar
novel yang best, cepat sahaja mereka mendapatkannya. Baucer buku yang kerajaan berikan tempoh
hari, banyak yang membelanjakannya pada novel. Beginilah saban masa, fenomena novel cinta tidak
pernah surut, bahkan semakin meluas dan peminatnya kian bertambah.
Saya juga seperti remaja lain, yang tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman
dilamun novel cinta. Semuanya bermula di sekolah menengah, meminjam novel-novel kawan
sehinggalah saya memiliki novel cinta sendiri, Sepi Tanpa Cinta oleh Damya Hana, satu-satunya novel
cinta yang menjadi milik saya. Kebelakangan ini, saya ada membaca beberapa karya seperti cerpen,
cerita bersiri, dan novel secara online. Apa yang saya dapati daripada hasil pembacaan saya, cerita-cerita
tersebut semacam tidak kurang bezanya dengan cerita novel-novel cinta yang ada di pasaran. Semakin
meningkat dewasa, semakin saya kebosanan, bahkan menyampah dengan kebanyakan novel-novel,
cerpen-cerpen dan cerita-cerita yang membawa tema percintaan. Cerita-cerita tersebut pada saya tidak
lebih dari angan-angan dan khayalan-khayalan penulis. Tetapi apabila melihatkan kuasa yang ada pada
cerita-cerita seperti ini, ternyata cerita-cerita tersebut nampak sahaja biasa tapi sebenarnya berbisa.
Bagaimana tidak berbisa, mereka menulis tanpa kenal apa itu erti cinta yang sebenarnya.
Mereka mendefinisikan cinta mengikut takrifan yang diminati, digemari dan yang menjadi
kecenderungan pembaca. Penulis-penulis itu mereka cerita sehabis romantis dengan harapan bukunya
laris di pasaran. Demi melariskan lagi buku tulisan mereka, kebanyakan mereka tidak teragak-agak
memasukkan unsur-unsur romantis berlebihan. Tidak kurang juga yang cuba menyelitkan unsur-unsur
rogol. Pernah saya melakukan pemerhatian terhadap seorang penulis yang kebanyakan novelnya
menjadi pilihan pembaca-pembaca novel cinta, apa yang saya dapati adalah di dalam hampir kesemua
novel tulisannya, pasti ada babak rogol. Begitulah barangkali tafsiran cinta bagi penulis-penulis tersebut.
Namun, saya masih cukup hairan bagaimana seorang penulis perempuan cukup seronok memilih babak
rogol untuk dimuatkan dalam ceritanya.
Menulis mengikut kecenderungan nafsu:
Hal-hal percintaan, kemesraan serta romantisnya suatu perhubungan itu memang disukai oleh
makhluk bernama manusia yang di dalam dirinya ada nafsu, lebih-lebih lagi golongan wanita.
Walaubagaimanapun, sebilangan besar kaum lelaki menganggap membaca novel cinta boleh
menghilangkan macho. Oleh sebab hal-hal begini menjadi kecenderungan wanita, maka kebanyakan
penulis novel mengikut jalan cerita yang diinginkan pembacanya. Cerita ditulis seromantis mungkin.
Unsur halal haram tidak lagi jadi isu utama dalam penulisan. Nilai-nilai murni tidak lagi dititikberatkan.
Akhirnya terhasillah cerita-cerita yang penuh dengan khayalan tentang betapa manisnya percintaan.
Daripada hangat bercinta, timbullah halangan-halangan dan onak duri percintaan yang hampir-hampir
menghancurkan perhubungan, tetapi akhirnya kebenaran terbukti dan mereka kembali bersama,
berkahwin dan hamil. Hidup bahagia selamanya. Begitulah kisah cinta, cuma yang membezakan adalah
bagaimana percintaan berlaku dan apa yang menjadi halangan percintaan. Kisah sebeginilah yang
menjadi kegilaan kebanyakan remaja perempuan sehingga mencecah umur dewasa. Pembacaan buku-
buku inilah yang menambahkan bilangan pembaca di Malaysia yang kononnya dikatakan semakin
meningkatnya kesedaran membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bisanya novel cinta adalah kerana jalan ceritanya. Apabila unsur halal haram dan nilai murni
diambil ringan, pembaca akan mula dikhayalkan dengan jalan percintaan yang menghalalkan sentuhan
dan kemesraan antara lelaki dan perempuan. Khayalan-khayalan itu kemudian jadi angan-angan. Tak
lama kemudian menjadi keinginan dan yang tidak diingini adalah apabila angan-angan dan keinginan
tersebut cuba direalisasikan. Yang menjadi mangsa ialah remaja kerana kebanyakan pembaca tegar
novel-novel cinta ialah golongan remaja perempuan. Semua orang pun maklum bahawa zaman remaja
jiwa bergejolak mahu mencuba itu dan ini. Apabila cerita seperti ini yang jadi tatapan saban hari, saban
waktu melalui buku, drama, filem dan lagu, mereka tidak lagi teragak-agak untuk cuba bercinta dan
merealisasikan segala angan tentang manisnya percintaan. Bertemu dan bermesra. Apa yang terjadi
selepas itu tidak perlu lagi saya terangkan.
Semua ini tidak mustahil, anda tahu novel Ombak Rindu? Novel itu salah satu novel paling
hangat dalam kalangan remaja. Macam suatu kemestian membaca novel tersebut. Hampir semua
kenalan-kenalan saya, pernah membaca novel tersebut. Ombak Rindu, bagi yang pernah membacanya
pasti tahu persis jalan ceritanya yang pada saya memang agak sensor. Novel-novel yang mempunyai
unsur-unsur seksual seperti Ombak Rindu pasti jadi rebutan. Tengoklah bagaimana novel tersebut
akhirnya berjaya masuk panggung tahun lalu. Bahkan keuntungannya mencecah belasan juta. Inilah
realitinya.
Tulisan kita, Pertanggungjawaban kita:
Setiap perlakuan kita akan dipertanggungjawapkan kelak di akhirat. Menjebak orang ke arah
kemaksiatan memang bukan tujuan si penulis. Tapi kesilapan menilai hasil kerja yang bakal menjadi
bacaan masyarakat, pertanggungjawabannya pada si penulis. Menulis adalah di antara kerja yang mulia,
tapi kalau menulis tidak dengan iman dan ilmu, tidak mustahil pekerjaan sebagai penulis boleh tersasar
dari jalan kemuliaan, apalagi kalau menulis mengikut kata nafsu dan akal semata.
Hakikat hebatnya penulisan sudah Allah sebut seawal firman-Nya yang pertama, melalui Surah
Al-Alaq, ayat 4,
Og~-.- =^U4 U^) ^j
4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
Di dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, Sayyid Qutb manyebutkan bahawa ayat ini menjelaskan bagaimana
Allah mengajar manusia dengan pena, kerana pena selama-lamanya merupakan alat mengajar yang
paling luas dan paling mendalam kesannya dalam kehidupan manusia. Pada masa itu, hakikat peranan
pena belum lagi jelas seperti yang kita ketahui dalam kehidupan manusia sekarang ini. Tetapi Allah
S.W.T. amat mengetahui nilai pena, kerana itulah Ia menyebutkannya pada detik pertama kemunculan
agama yang terakhir bagi umat manusia dan pada surah yang pertama dari surah-surah al-Quranul-
Karim.
Lihatlah betapa Allah sendiri mengakui nilai penulisan. Teringat saya pada kata-kata seorang
Indonesia, Fikirkan seratus kali, sebelum tulisanmu mencemarkan bangsamu. Lebih kurang begitulah
bunyinya. Menulis adalah suatu pekerjaan yang diiktiraf oleh Allah. Bahkan Allah mengajarkan manusia
juga melalui pena, melalui tulisan. Jadi, seorang penulis sewajibnya memikirkan dan menimbang baik
buruk penulisannya sebelum tulisannnya itu menjadi penyumbang ke arah kemaksiatan kepada Allah.
Kerana tingginya nilai penulisan, keuntungan hasil jualan buku tidak sepatutnya menjadi tujuan utama
seseorang penulis, kerana apabila penulis lebih melihat keuntungan, penulis akan cenderung untuk
memenuhi kehendak daripada keperluan pembaca melalui penulisannya.
Justeru, hai sekalian penulis, takutlah kepada Allah, jangan sampai tulisanmu yang
mengheretmu ke neraka. Jadilah penulis yang menyebar ilmu Allah dan yang mengajak masyarakat
mendekati-Nya.

Anda mungkin juga menyukai