Anda di halaman 1dari 24

Cabar Diri Untuk Berjaya

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D


Artikel ini telah dikeluarkan dalam Majalah Cermin, Disember 2003
Kejayaan bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Malah sekiranya seseorang itu
telah melakukan sesuatu perkara maka orang lain pasti mampu melakukannya juga. Kita
mungkin tidak bercita-cita terlalu tinggi seperti Datuk Azhar Mansor yang berlayar di
lautan luas seorang diri; atau seperti Datuk Abdul Malek yang berenang merentasi Selat
Inggeris; atau seperti Shalin Zulkifli yang menjadi ratu bowling negara; atau seperti Yap
Sui Lin yang mendapat 16A dalam SPMnya.

Tetapi janganlah pula sekadar selesa dengan pencapaian yang biasa hingga tiada apa
yang boleh dibanggakan oleh kita atau yang boleh diceritakan kepada anak cucu kita
nanti. Sekurang-kurangnya, kalau kita sebagai pekerja maka berusahalah untuk menjadi
pekerja yang cemerlang hingga menerima anugerah dari majikan. Kalau kita seorang
usahawan binalah empayar perniagaan kita yang mampu diwarisi oleh anak cucu. Kalau
kita sebagai seorang pelajar belajarlah dan berusahalah hingga sampai ke peringkat yang
tertinggi.

Kejayaan bolehlah ditakrifkan sebagai pencapaian seseorang menepati matlamat atau


sasaran yang telah ditetapkan olehnya. Oleh itu kejayaan adalah suatu bentuk yang
subjektif dan relatif dengan individu itu sendiri. Bagi seseorang usahawan, memperolehi
pendapatan RM10,000 sebulan itu adalah menepati sasaran awalnya dan baginya ia
adalah satu kejayaan. Tetapi RM10,000 ini mungkin suatu kegagalan bagi usahawan yang
pada kebiasaannya mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan. Apabila kita tiba ke
matlamat yang telah ditetapkan kita mula rasa selesa. Setelah beberapa ketika kita rasa
tiada apa lagi yang mencabar di tahap tersebut. Kalau kita terus berada dalam zon selesa
itu maka lambat laun kita akan gagal kerana orang lain sudah semakin maju. Oleh itu
perlu bagi kita setelah mencapai satu sasaran, kemudiannya mencabar diri untuk maju
ketahap yang seterusnya pula. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil
untuk cabar diri bagi terus maju dalam kehidupan.

1. Letakkan Sasaran Yang Tinggi

Apabila satu matlamat dicapai maka teruslah menetapkan matlamat baru yang lebih
tinggi lagi. Misalnya, dulunya sebagai seorang pelajar kita sering dapat nombor yang
tercorot dalam kelas maka letaklah matlamat untuk meletakkan nama kita dalam 10
pelajar terbaik. Cabar diri untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai sasaran itu.
Kalau satu hari kita berjaya merealisasikannya, maka mula letakkan sasaran baru untuk
jadi pelajar nombor 1 pula. Kalau kita seorang usahawan maka letakkan sasaran untuk
mengembangkan perniagaan kita ke seluruh pelusuk negeri bukan sekadar berniaga
setempat sahaja. Kalau sasaran itu dicapai, cabar diri dengan sasaran baru untuk
mengembangkan perniagaan ke seluruh negara dan tidak mustahil selepas itu sampai ke
peringkat antarabangsa pula. Sasaran yang tinggi ini sentiasa membuatkan kita
memandang ke depan. Hasilnya, tanpa kita sedari kita semakin hari semakin maju dalam
bidang yang kita ceburi tersebut.

2. Cemburu Dengan Kejayaan Orang Lain


Lihat mereka yang lebih berjaya dari kita. Kalau orang lain boleh kita juga boleh. Untuk
maju kita mesti cemburu dengan kejayaan orang lain dan cabar diri kita untuk berusaha
lebih dari orang lain. Kalau kita tidak tahu bagaimana mahu melakukannya maka
belajarlah dari mereka yang telah berjaya. Buka mulut dan bertanya. Jangan sekadar
berdiam diri kerana tiada apa yang berlaku kalau kita tidak bertindak. Baca kisah-kisah
kejayaan orang lain, hayati bagaimana mereka menghadapi cabaran dan menyusuri liku-
liku kepayahan sebelum nama mereka tersohor. Sikap cemburu dengan kejayaan orang
lain ini mestilah ditanam untuk membentuk suatu persaingan yang sihat bukannya
cemburu yang membawa kepada sifat dengki dan irihati yang membuatkan kita
mengambil langkah-langkah buruk menjatuhkan saingan kita.

Perasaan cemburu ini patut terbit lebih-lebih lagi apabila mereka yang lebih lemah, lebih
muda, dan kurang upaya dari kita mampu mencapai satu pencapaian yang luar biasa.

Saudara Abdul Halim, seorang yang kudung kaki dan tangannya tetapi boleh belajar
masuk universiti, keluar sebagai akauntan, buka syarikat sendiri dan pernah terima
anugerah daripada PM Malaysia. Tak cemburukah kita?

3. Elakkan Dari Sikap Cepat Puashati

Sikap cepat berpuashati adalah penyakit yang menghalang diri kita untuk terus berjaya.
Apabila kita sudah meraih pendapatan RM10,000 sebulan kita mula rasa selesa dan kita
berkata, “Aku ni kira oklah, berapa kerat sangat orang yang meraih pendapatan lima
angka sebulan. Sekurang-kurangnya dah ada rumah sendiri berapa ramai lagi orang yang
tidak mampu beli rumah. Kira ok lah aku ni… ”. Sikap puashati beginilah yang
membuatkan kita berhenti untuk berusaha dan mencipta kejayaan yang lebih besar lagi.
Kenapa tidak kita ambil contoh orang yang lebih berjaya dari kita? Kenapa sering
membandingkan diri dengan orang yang lemah dan kurang dari kita? Bandinglah dengan
mereka yang lebih berjaya, yang memiliki bangunan sendiri, yang menjadi jutawan, yang
berkereta mewah, yang memiliki rumah-rumah untuk disewakan dan sebagainya maka
barulah tercabar bahawa kita belum lagi OK! Jadi, usah lagi berpuashati dengan
pencapaian kita kerana setiap kali kita berjaya maka kita pasti boleh pergi lebih jauh lagi.

4. Soal Diri Dengan Soalan Positif

Untuk berjaya, soal diri dengan soalan-soalan yang positif. Misalnya, soalan-soalan
seperti berikut hanya membawa diri kita untuk merasa lemah dan tidak berdaya:

Kenapalah aku gagal?


Mengapa nasib aku sentiasa malang?
Kenapalah orang semua tak suka aku?
Apalah nak jadi dengan aku ni?

Sebaliknya soalan-soalan berikut pula akan membuatkan kita berfikir, mencabar diri dan
membolehkan kita mengumpul kekuatan untuk atasi setiap halangan.

Apa yang belum aku lakukan lagi?


Bagaimana aku nak tingkatkan 20% lagi pendapatan aku bulan depan?
Apakah kelebihan diri aku yang belum aku bongkar lagi?
Dimana aku nak dapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk maju dalam bidang
ini?
Siapa yang boleh bantu aku?

Jadi kita tidak berjaya kerana bertanyakan soalan yang salah kepada diri kita. Oleh itu
berhati-hatilah dengan suara hati. Nilai betul-betul soalan yang kita tanyakan pada hati
kita adakah ia akan mencabar kita untuk terus maju atau hanya melemahkan kita.

5. Tingkatkan ‘Standard’ Anda

Untuk berjaya kita kena cabar diri untuk tingkatkan ‘standard’ kita. Misalnya, kita berkata
pada diri kita bahawa tidak ‘standard’lah untuk selama-lamanya jadi kerani, 5 tahun dari
sekarang mesti nak jadi pengurus pula. Tidak ‘standard’ lah untuk selama-lamanya
bekerja dengan orang, 10 tahun dari sekarang mesti jadi bos pula. Tidak ‘standard’ lah
selama-lamanya dapat markah ‘C’, 3 bulan dari sekarang aku mesti dapat ‘A’ pula. Tidak
‘standard’ lah asyik bawa kereta Jepun aje, 5 tahun dari sekarang aku mesti nak bawa
kereta Jerman pula. Tidak ‘standard’ lah untuk berumah teres sahaja, 10 tahun dari
sekarang aku mesti nak ada rumah banglo pula.

Tujuannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk takbur tetapi untuk membuatkan
kita mahu berusaha lebih gigih lagi demi memenuhi tuntutan hidup kita yang mengikut
‘standard’ baru itu. Lagi pula kita tidak melafazkan kata-kata itu kepada orang lain tetapi
kita tujukan kata-kata tersebut hanya kepada diri sendiri sebagai satu bentuk cabaran.

Perlu diingatkan bahawa kita hanya boleh hidup dalam ‘standard’ yang lebih tinggi hanya
setelah kita berjaya merealisasikan pendapatan yang mampu menampung ‘standard’
tersebut. Jangan pula menjadi orang yang papa asal bergaya.

Malah Islam sendiri tidak menghalang umatnya untuk hidup selesa apabila punya
kemampuan. Asal sahaja keselesaan itu tidak menghalang kita untuk terus menjadikan
hidup ini sebagai suatu ibadah yang mengningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita.
Oleh itu, teruslah cabar diri untuk berjaya dalam hidup kita.

10 Petua Membina Sikap Positif


Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Petua 1 : Jangkakan Kejayaan

Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku.
Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan
kejayaan. Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara
untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara
tidak langsung anda akan menggarap sikap positif. Malangnya dalam kehidupan ini kita
sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar
dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu
kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup
besar Allah berikan kepada manusia.
Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain
jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda
lakukan. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah.
Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin
membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda sebagai seseorang yang pasti
merealisasikan harapan yang digenggam.

Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada
peluang untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap
negatif iaitu sikap malas.

Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri.
Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh
ditauladani.

Cuba lihat senario berikut, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk
berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar
sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu
RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda
dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai
pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda.
Maknanya, apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi
sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar
cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan
gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau
sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk berlakun.

Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula
meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal
skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya mencecah ratusan muka surat.
Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan
kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata
anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas
usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.

Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa
setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan
filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di
pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan
seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka
bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang! Sekiranya anda seorang
pekerja, bertindaklah seolah-olah anda pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus
masa secara berkesan, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda
sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi
apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak
mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan
tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin,
jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama
mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat.
Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin
lebih tiap-tiap bulan.

Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati
watak orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang
cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda.
Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari
yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan
positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda
sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru.
Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan
memerhatikan model ikutan anda.

Petua 3 : Ubah Penampilan Diri

Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka
yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya
dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu
membina sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah,
anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan
baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampai
sahaja di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau
berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun
sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda
sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti
rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam
membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan
anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan
yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan
aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian.
Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa
pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif
mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang
ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk,
maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan
anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai
penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih
keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif. Mereka
mempengaruhi pelanggan dengan penampilan diri begitu.

Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:

1. Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
2. Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta
'matching'.
3. Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
4. Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
5. Kasut - Kasut yang sesuai dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.
6. Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-
lain.
7. Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
8. Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
9. Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
10. Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.

Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda dalam masyarakat
dan karier yang anda ceburi.
Walau siapa anda, sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai oleh manusia lain melalui
penampilan diri. Sebab itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui
proses temuduga. Mereka mahu melihat calon-calon secara terus bukan sekadar untuk
menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk melihat penampilan diri
yang melambangkan sikap dan peribadi seseorang. Penampilan diri positif perlu dipatuhi
oleh semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif,
pemimpin dan sebagainya.

Petua 4 : Berkawan Dengan Orang Berjaya

Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "kalau mahu kenal seseorang itu maka
kenallah kawan-kawannya". Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul
dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa
hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya
anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang
gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka
yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka.
Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari
pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk
personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti
dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi
sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh
melakukannya.

Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan

Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa
tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada
ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang
manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah
sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri. Anda boleh mendalaminya dengan banyak
membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan
anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kaset-
kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya
ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.

Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan

Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun
begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya
akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang
terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.

Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah. Keluarkan sehelai kertas
sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih
kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran
itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang
suasana di pantai.

Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu?
Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual
air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya.
Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat
kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin
dapat menghasilkannya.

Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti
gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu
dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:

- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.


- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.

Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda
negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana
anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu
bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan
terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik.

Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif
dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:

- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.


- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.

Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif.
Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda
nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah
dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau
setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti
tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa
yang anda mahukan!

Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri

Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan sama ada kecil atau
besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam suatu
permainan dan kita berbangga dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas
pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita pernah menerima anugerah
sebagai pemenang dalam apa jua pertandingan. Mulai hari ini cuba ingatkan kembali
sebanyak mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda. Setiap kali anda
rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya maka bacalah diari anda ini dan
hayati semula saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu.
Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat anda akan membara sekiranya
anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan
menjana sikap yang positif.

Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti pernah sekurang-kuangnya
sekali anda pernah dipuji atas kebaikan dan kejayaan silam.

Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan semua kejayaan anda
sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar. Kemudian baca dan
hayati apa yang anda tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan
perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika itu. Lakukannya
dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu getaran perasaan yang positif yang
mengalir dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan
kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda.

Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa anda. Anda
boleh tambah senarai kejayaan anda pada bila-bila masa sahaja.

Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda
sama ada melalui gambar atau rakaman video.

Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa – lihat
kembali buku kecil dan rakaman anda ini.

Petua 8 : Saranan Diri Positif

Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang
merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada
ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan
katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut
cabaran dan mengatasi segala masalah.

Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:

“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”


“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”

Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari
dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda.

Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif

Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda, daripada soalan yang
mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan yang membentuk masa depan anda.
Anda mungkin bertanya soalan-soalan mudah seperti hari ini nak pakai baju apa? Nak
makan di mana? Nak keluar dgn siapa? Nak balik pukul berapa? Dan sebagainya. Soalan-
soalan ini tidak menjejaskan kehidupan dan peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda
menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memberikan kesan terhadap hidup anda
seperti, Nak ambil kursus apa? Nak belajar lama mana? Nak rebut peluang atau tidak?
Dan sebagainya.

Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memajukan dirinya seperti:

- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?


- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?

Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang berlaku. Soalan yang
diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang
dibentuk semakin berkualitilah diri anda.

Perbezaan antara seorang insan dengan insan yang lain ialah soalan lazim yang secara
konsisten terbit difikiran. Manusia lemah sering mengutuk dan memperkecilkan dirinya
sendiri. Mereka mungkin berkata:

- Nak buat macam mana aku ni lemah.


- Engkau lain aku lain.
- Engkau bolehlah aku ni siapa.
- Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah..
- Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah..
- Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.

Soalan yang positif akan:

- Mengubah persepsi dan cara fikir kita


- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita

Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan

Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu
mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan beberapa model ikutan terutamanya mereka yang
telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi.

Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama pastilah Nabi
Muhammad S.A.W.

Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan. Malahan kita tidak boleh
nafikan bahawa ulamak juga ada kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak
lebih diterima pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak sahaja.

Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar mereka. Baca juga
kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Cari potongan
kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup
mereka dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam
hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka semakin besarlah cabaran
serta masalah yang telah mereka hadapi. Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara
yang sering berada ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki tetapi
apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan ini jauh lebih penting
berbanding apa yang kita perolehi ketika itu.

SEKIAN

Tanggapan Diri Positif


Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Kita tidak boleh mengubah sesuatu
yang telah berlaku tetapi kita boleh mengubah tanggapan dan cara fikir kita
terhadap sesuatu itu. Perubahan tanggapan perlu dibuat bagi meletakkan diri kita
pada situasi yang menguntungkan diri kita sendiri.

Kejayaan adalah satu pilihan hidup. Ia bukan sekadar takdir dan jauh sekali
berdasarkan nasib semata-mata. Kebolehan seseorang mengharungi
cabaran hidup, menyelesaikan masalah, dan mengawal emosinya
banyak bergantung kepada tanggapan yang wujud dalam
pemikirannya. Sekiranya tanggapan itu positif maka baiklah
natijahnya. Kalau tanggapan itu negatif maka buruklah pula hasilnya.

Bagaimana tanggapan ini terbentuk? Bolehkah ia diubah? Persoalan ini


sering memeningkan kepala mereka yang bukan ahlinya.

Tanggapan terbentuk hasil daripada acuan ibu bapa sendiri. Pengalaman lampau,
peristiwa penting, pergaulan, bahan-bahan bacaan, media serta idola juga
membentuk tanggapan dalam diri kita. Apa yang kita percaya dan yakin sebagai
benar akan membentuk pegangan hidup kita dan seterusnya menjadi sumber
rujukan kita apabila berlakunya sesuatu peristiwa. Kerap kali kita berkata, "orang itu
tak boleh dipercayai", semata-mata kerana kita mengenali seseorang sebelumnya,
yang mirip atau seiras dengan orang itu, yang pernah membohongi kita. Tanggapan
sebegini hanya merugikan kita dan memerangkap diri sendiri.

Tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita seringkali tersasar. Kita menilai diri kita
berdasarkan hanya tanggapan dan bukannya kebolehan diri sebenar yang ada.
Tanggapan ini pula merujuk kepada peristiwa lampau dalam sejarah hidup kita.
Misalnya, kalau kita diminta memberikan pidato umum, kita mungkin menolaknya
dan memberikan seribu alasan semata-mata kerana dulunya kita pernah
ditertawakan kerana pidato yang tidak menjadi. Sebaliknya, kalau kita tidak pernah
langsung berpidato, kita merujuk kepada pengalaman rakan yang ditertawakan dan
menggambarkannya sebagai diri kita sendiri.

Kenapa tidak pelajari pengalaman mereka yang berjaya? Dapatkan idola dalam
setiap bidang yang mahu diceburi. Misalnya, berani macam Anwar Ibrahim, bijak
dan berwawasan macam Dr. Mahathir Mohamad, baik pekerti dan takwa macam Nik
Aziz. Dengan gabungan beberapa individu di atas pastinya kita bakal menjadi orang
yang jauh lebih baik. Dan sebaik-baik idola itu ialah junjungan besar kita iaitu Nabi
Muhammad s.a.w.

Minda manusia ibarat sebidang tanah. Apa yang disemai itulah yang dituai. Kalau
kita sentiasa terdedah dengan unsur-unsur yang baik, bergaul dengan mereka yang
berjaya, hidup dalam persekitaran yang membina. Pastinya tanggapan kita terhadap
kebolehan diri kita mirip kepada kecemerlangan. Jadi semailah padi agar yang dituai
nanti padi. Jangan semai lalang nanti yang tumbuh nanti juga lalang.

Prinsip Kejayaan
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Kejayaan bukanlah suatu misteri
yang tidak terungkap. Ia perlu bermula dalam fikiran sebelum ia menjadi
kenyataan. Terdapat tiga perkara penting yang perlu diketahui sebelum sesuatu
kejayaan itu mampu direalisasikan.

Bertanggung jawab sepenuhnya. Yang pertama, anda perlu bertanggungjawab


sepenuhnya terhadap siapa anda, apa yang anda capai dan dimana anda berada hari
ini. Anda perlu menerimanya, walaupun pahit, tanpa menyalahkan orang lain dan
persekitaran. Sekiranya anda tidak mencapai apa yang anda inginkan maka andalah
yang bersalah, kalau bukan anda maka siapa lagi? Maknanya kalau anda tidak
mengawal haluan hidup anda maka orang lain akan menggunakan segala kebolehan
dan potensi yang ada pada diri anda. Hanya dengan anda mengakui hakikat yang
penting ini, maka barulah anda boleh menjelajah kehidupan ini dengan lebih
berkeyakinan. Anda tahu yang anda punya pilihan lain, selain dari apa yang anda
lakukan setiap hari. Ingat, "Hanya anda sahaja yang boleh mengubah hidup anda,
bukan orang lain".

Mari kita tinjau bagaimana Kolonel Sanders, orang yang mencipta resepi ayam
goreng Kentucky Fried Chicken mencipta nama dan kejayaan. Kol. Sanders bersara
pada usia 65 tahun. Ketika menerima duit pencen pertamanya, Kol. Sanders merasa
cukup kecewa. Beliau tidak menyalahkan orang lain kecuali dirinya terhadap jumlah
kecil yang diperolehinya. Beliau seterusnya memutuskan untuk memajukan resepi
ayam goreng milik keluarganya kepada sebuah restoran. Malangnya,
hasrat beliau ditolak. Adakah beliau berputus asa?? Tidakkk... beliau
terus mengubah resepinya dan berjumpa dengan lebih ramai orang...
orang ke-10 kata tidakk.... orang ke-100 kata tidakkkk... orang ke-
1000 juga kata tidakkk... Tetapi orang ke-1009 kata ... "YA..RESEPI
ANDA BAGUS". Sembilan tahun kemudian, setelah bisnesnya maju,
Kol. Sanders telah menjual bisnesnya dengan harga US$2,000,000. Itulah
ganjarannya bagi orang yang gigih dan sabar. Ganjaran bagi mereka yang mula
mengubah haluan hidup setelah menyedari bahawa dialah yang bertanggung jawab
atas siapa dirinya hari ini; dan dialah juga yang bertanggung jawab untuk
memperbaiki pencapaiannya. Tanpa ciri-ciri ini Kol. Sanders mungkin merasa cukup
sekadar menerima habuan pencen bulanan semata-mata.

Anda juga pasti mahukan kejayaan. Adakah anda telah berusaha ribuan kali seperti
cerita Kolonel Sanders di atas??? Jauh panggang dari api. Ramai pelajar sekolah
yang apabila menyelesaikan masalah matematik, sains dan lain-lain yang agak
susah, hanya mencubanya setakat beberapa kali sahaja. Tidak sampai pun 10 kali.
Inikah cara usaha anda yang impikan kejayaan? Ingatlah setiap masalah itu datang
dengannya penyelesaian. Setiap cabaran itu datang dengannya habuan dan
pulangannya. Teruslah berusaha... bukan setakat sekali, sepuluh kali..malah ratusan
dan ribuan kali...

Sedikit perbezaan membawa hasil besar. Yang kedua, untuk mendapat sepuluh
kali ganda kejayaan daripada orang lain bukanlah bermakna anda perlu sepuluh kali
lebih gigih, lebih kuat atau lebih bijak dari mereka. Anda hanya perlu berbeza
sedikit daripada mereka sekeliling anda. Berbeza cara fikir, berbeza cara bertindak
dan berbeza dalam menerima kenyataan hidup. Fokuskan minda anda untuk lebih
baik sedikit daripada manusia biasa. Ini membolehkan anda memperolehi
pencapaian yang luarbiasa, yang tidak terfikir oleh manusia biasa.

Cuba perhatikan peristiwa dibawah ini. Dalam satu perlumbaan


kuda, kuda yang memenangi tempat pertama akan mendapat
wang tunai RM100,000 ringgit. Kuda ditempat kedua pula
mendapat RM20,000 ringgit. Kuda ditempat pertama mendapat
ganjaran lima kali ganda lebih besar dari kuda yang kedua.
Adakah ini juga bermakna kuda pertama 5 kali ganda lebih laju
dari kuda yang kedua? Atau kuda pertama berlatih 5 kali ganda
lebih bersungguh-sungguh dari kuda kedua? Atau kuda yang pertama ditunggangi
oleh orang yang 5 kali lebih mahir dari kuda yang kedua? Jawapannya pasti sahaja
TIDAK. Kuda pertama mungkin mendahului kuda kedua sekadar satu langkah
sahaja ke garisan penamat. Ada ketikanya rakaman video perlu dilihat untuk
menentukan pemenang. Mungkin kuda pertama mendahului seinci sahaja dari kuda
kedua. tetapi seinci ini memberikan pulangan 5 kali ganda lebih besar!

Begitulah juga dalam hidup ini. Anda perlu berusaha lebih sedikit dari orang
sekeliling anda untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

Persepsi membentuk diri. Yang ketiga ialah persepsi anda. Iaitu bagaimana anda
melihat sesuatu yang berlaku terhadap anda dan disekeliling anda. Kehidupan
bukanlah nasib tetapi lebih kepada pilihan. Anda boleh memilih untuk senang atau
susah. Apabila anda memilih untuk hidup senang, dan sanggup berkorban untuk
kesenangan maka tiada sesiapa pun yang boleh menghalang kehendak anda.
Persepsi anda terhadap sesuatu natijah pastinya mempengaruhi emosi anda.
Seterusnya ia akan mempengaruhi tindakan anda dan seterusnya pula menentukan
hasil iaitu natijah dari tindakan tersebut. Turutan ini boleh dilihat dalam carta alir
dibawah.
Dalam rajah ini, emosi anda terhadap apa sahaja yang berlaku
terhadap anda bergantung kepada cara fikir yang terbentuk secara
spontan. Apa perasaan anda apabila rakan anda tidak menunaikan
janjinya untuk hadir dalam satu mesyuarat yang cukup penting? Saya
yakin anda akan marah dan kecewa. Ini disebabkan anda fikir bahawa
rakan anda tidak boleh diharap. Tidak berpegang pada janji. Suka
menyusahkan orang lain dan sebagainya. Tetapi cuba ubah cara fikir
anda sekarang. Cuba fikirkan, jangan-jangan ada kemalangan.
Jangan-jangan ada yang jatuh sakit atau kematian. Bagaimana emosi
anda sekarang? Adakah anda masih marah dan kecewa? Pasti tidak.
Emosi anda kini berubah menjadi risau dan bimbang. Tindakan yang
anda ambil bergantung kepada emosi anda. Emosi yang terbentuk
pula dipengaruhi oleh cara fikir anda. Akhirnya hasil yang anda
perolehi sebenarnya tidak lain dan tidak bukan, bergantung kepada
cara fikir atau persepsi anda. Oleh itu, mulai saat ini mulalah pilih
cara fikir yang menguntungkan anda. Yang membuatkan anda
kelihatan hebat. Islam sendiri melarang kira berburuk sangka dan banyak bersabar.
Ingat setiap apa yang berlaku mengandungi hikmah Allah yang tersembunyi.
Janganlah lagi menjadi orang yang bertindakbalas secara spontan kepada keadaan
dan persekitaran. Sebab tindakbalas spontan ini kebiasaannya merugikan kehidupan
anda.

Ingatlah, kehidupan yang tergambar dalam kotak fikiran anda adalah kehidupan
yang akan anda tempuhi. Ada orang tetap bersemangat walaupun berpuluh kali
gagal sebab mereka tahu setiap kegagalan itu datang bersamanya pengajaran yang
cukup bermakna. Ubah cara fikir anda. Ubah perancangan dan tindakan anda.
Setiap kali gagal, cuba SEKALI LAGI menggunakan pendekatan baru.

Ingat, Kolonel Sanders gagal lebih seribu kali. Apa yang anda perlu lakukan ialah
berusaha lebih sedikit daripada manusia biasa untuk menjadi manusia luar biasa.
Seterusnya mencapai kejayaan berlipat kali ganda seperti kisah lumba kuda tadinya.

Kuasa Persistensi
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Persistensi (persistency) adalah
suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap sebarang halangan, dugaan, cabaran
dan masalah dalam merealisasikan sesuatu matlamat. Kejayaan sememangnya
bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah maka
pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian menunjukkan 95% daripada
manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup bergantung kepada duit pencen. Itu
bagi yang bekerja kerajaan. Jauh sekali mereka ketika itu mencapai tahap yang
boleh dikatakan "financially independent". Begitu juga dengan pelajar, kajian
menunjukkan setiap tahun hanya 13% - 14% pelajar yang mampu melanjutkan
pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Bagi yang kini berada di institusi pengajian
tinggi pula, 80% daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua
atau ketiga.

Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai


yang terbaik kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka.
Ada sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa
kecewa hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat baris kata-kata
yang pernah saya terbaca dahulu, "When the going gets tough, the tough get going",
dan satu lagi, "Quitters never win and winners never quit". Kata-kata ini telah
sekian lama saya sematkan dalam hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih
kekuatan setiap kali berhadapan dengan cabaran atau ketika berada diambang
kegagalan. Dengan sikap persistensi yang tinggi sesiapa sahaja boleh berjaya.
Hanya faktor masa sahaja menjadi penentu kejayaan itu.

Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam


mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga terbentuknya sebuah
negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati. Tidak seperti rasul-rasul
sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w mengembangkan Islam tanpa bergantung
kepada mukjizat yang mencarik adat selain daripada Al-Quran. Baginda memulakan
syiarnya ketika berusia 40 tahun setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana
mahu membawa masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek,
dicemuh, dilontar dengan batu. Pengikut-pengikutnya diseksa. Keluarga mereka
didera dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda
untuk melihat Islam tegak dibumi Allah ini. 13 tahun dimekah dan 10 tahun di
Madinah adalah satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah yang
perlu ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan
para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup luar biasa
dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat perjuangan, rela
berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya. Kenapa mesti
berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan kemenangan mudah
kepada rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan
perjuangan itu suatu tauladan. Salah satu darinya ialah sikap gigih dan tidak putus
asa dari mengharap kemenangan dari Allah.

Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini.


Fikiran mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu
jualan yang berjaya mereka perlu menemui 10 orang pelanggan
berpotensi. Dengan fahaman matematik yang cukup mudah ini
mereka berusaha tanpa kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan
mereka merasa lebih gembira kerana mereka cuma tinggal 9 orang
lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka terus berusaha dan
kejayaan jualan pertama itu mungkin terletak pada cubaan yang ke-
5, ke-7 atau ke-10. Meski pun mereka gagal membuat jualan dalam 10 cubaaan
pertama, mereka tetap tidak putus asa. Sebab kemungkinan pula dalam cubaan
ke-11 atau ke-12 kejayaan mula menjelma.

Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan


terkenal adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison
mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel Sanders cipta kejayaan
dengan resepi ayam gorengnya setelah mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi
presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir sesuku abad. Goodyear
mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah untuk mengkomersilkan
getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis mampu menjadi
jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana
persistensinya.

Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi adalah senjata utama
menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu cepat putus asa? Dalam
kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman bagi mereka yang persisten tetapi
sebaliknya adalah kematian bagi mereka yang putus asa. Kalau anda seorang
pelajar, kini soallah diri anda sendiri, adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk
menyelesaikan satu soalan matematik atau sains yang mencabar? Ratusan kali?
Puluhan kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda cuma mencuba beberapa kali dan
akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda bagaimana mampu anda letakkan nama
anda sebaris dengan mereka yang telah berjaya?

Air yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis batu. Parang yang diasah
secara berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan diri manusia. Oleh itu
jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak boleh gagal walau atas alasan apa
sekalipun. Jadikan setiap kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki diri,
untuk mengubah perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu
milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri.

Sekian.

Prinsip 3 'S'
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Dari Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mu’min yang kuat adalah lebih baik dan lebih
dicintai oleh Allah daripada orang mu’min yang lemah. Namun keduanya itupun
sama memperoleh kebaikan. Berlumbalah untuk memperoleh apa saja yang
memberikan kemanfaatan pada mu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan
janganlah merasa lemah. Jikalau engkau terkena oleh sesuatu musibah maka
janganlah engkau berkata: “Andaikata saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi
begini dan begitu.” Tetapi berkatalah: “Ini adalah takdir Allah dan apa sahaja yang
dikehendaki olehNya tentu Dia melaksanakannya,” sebab sesungguhnya ucapan
“andaikata” itu membuka pintu godaan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Hadis di atas membuktikan Allah mahukan umat Islam menjadi mukmin yang kuat
iaitu kuat dari segi kesihatan fizikal, pemikiran, keimanan, ketakwaan, ekonomi, ilmu
pengetahuan, jemaah dan segalanya. Untuk cemerlang kita mestilah bekerja kuat
dan bertindak bijak. Iaitu ‘Work Hard and Work Smart’. Bekerja kuat memastikan
kejayaan milik kita, cuma masa sahaja yang akan menentukan kejayaan tersebut.
Bertindak bijak pula mempercepatkan lagi kejayaan itu disamping menjadikan kita
orang yang berkesan. Apabila kita bertindak bijak, kos menuju kecemerlangan dapat
dikurangkan, masa dapat dijimatkan, tenaga dan sumber dapat disalurkan secara
efektif.

Memahami Konsep 3S

Untuk cemerlang kita mesti memahami konsep 3S iaitu Sasaran, Strategi dan Sikap.
Dalam siri yang lalu, saya telah bincangkan betapa pentingnya kita mempunyai
matlamat atau sasaran dalam menuju kecemerlangan.

Sasaran adalah hasil yang mahu dicapai dalam satu tempoh masa, yang disertakan
dengan perancangan yang rapi, yang menghantui fikiran hingga timbul kesanggupan
untuk melakukan apa sahaja.

Sasaran yang diletakkan itu membolehkan kita mengukur prestasi kita dan
mengukur kejayaan kita. Sasaran juga memudahkan kita mengatur perancangan
yang perlu digerakkan. Hadis di atas menyarankan kita sebagai umat Islam
berlumba-lumba dalam mencari apa sahaja yang membawa kemanfaatan. Oleh itu
kenapa tidak kita letakkan sasaran yang besar-besar? Kenapa mesti berpuashati
dengan sasaran-sasaran kecil. Letakkanlah sasaran yang besar seperti mahu jadi
jutawan, pemimpin ulung, legenda, ternama, dan sebagainya. Dalam berusaha itu
juga kita mesti sentiasa memohon pertolongan Allah. Sekiranya usaha yang kita
lakukan itu bertunjangkan keimanan dan ketaqwaan demi mencari keredhaan Allah
maka pasti pertolongan Allah akan tiba. Yang penting jangan sesekali kita merasa
putus asa dalam mengharap rahmat Allah. Allah maha mengetahui apa yang baik
untuk kita seperti mafhum firmannya dalam surah al-Baqarah 2: 216 iaitu:

“… dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu, sedang ia lebih baik bagimu; dan boleh
jadi kamu kasihi sesuatu, sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui,
tetapi kamu tiada mengetahui”.

Oleh itu hendaklah kita berlapang dada untuk menerima apa sahaja yang
didatangkan kepada kita kerana Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

‘S’ kedua yang mendorong kepada kecemerlangan diri ialah Strategi. Untuk
cemerlang kita perlu ada strategi yang berkesan. Malah mana-mana organisasi
cemerlang di dunia pasti mempunyai Perancangan Strategik (Strategic Planning)
yang menjadi rangka kepada perjalanan organisasi tersebut. Secara mudah
Perancangan Strategik bermakna menentukan apa yang mahu diperolehi dan
bagaimana cara paling berkesan untuk merealisasikannya. Begitu juga dengan
individu, apabila kita mengetahui apa sasaran hidup kita maka langkah seterusnya
ialah menentukan pula bagaimana cara paling berkesan untuk mendapatkannya.

Langkah-langkah membina Strategi Berkesan:

1. Tentukan sasaran anda.


2. Tentukan tempoh masa yang diberikan untuk mencapai sasaran ini.
3. Buat analisa tentang kekuatan dan kelemahan diri.
4. Kenalpasti ilmu, kemahiran, individu tertentu, sumber-sumber dan sebagainya
yang diperlukan.
5. Susun pelan tindakan.

6. Sentiasa memantau, menyemak, menilai dan mengemaskini pelan tindakan


anda.

Perkara penting yang perlu diingat:

1. Sentiasa fleksibel dalam pendekatan yang digunakan. Ada ketikanya kita perlu
mencuba beberapa pendekatan dalam mencari pendekatan paling berkesan.
2. Jangan tunggu segalanya sempurna baru mahu bermula. Tidak ada satu pun
yang sempurna selagi ia ciptaan makhluk. Menantikan sesuatu perancangan
yang betul-betul sempurna baru mahu bermula bermakna kita melambatkan
diri kita untuk cemerlang.
3. Mulakan langkah pertama sekarang. Tetapi harus diingat, untuk memulakan
kita bukan sahaja bersemangat ketika bermula tetapi kita juga mesti kekalkan
momentum yang sama hingga ke penghujungnya.

4. Belajar dari setiap kesilapan dan kegagalan.

Hadis di atas juga melarang kita menggunakan perkataan ‘andaikata’ iaitu menyesali
apa yang telah dilakukan apabila hasilnya tidak seperti yang kita sasarkan. Dengan
berkata begitu ia membuka pintu kepada godaan syaitan dan ia juga menggugat
keimanan kita terhadap qada dan qadar Allah. Sebagai seorang Islam kita tidak
sepatutnya risau dengan urusan Allah. Kita mesti faham bahawa membuat
perancangan, mengatur pelan tindakan dan seterusnya berusaha bersungguh-
sungguh itu urusan kita sebagai hamba. Tetapi yang menentukan hasilnya itu kelak
adalah urusan Allah. Oleh itu, kita hendaklah bersyukur dengan apa sahaja hasil
yang datang.

Sekiranya hasilnya itu tidak memuaskan maka kita perlu belajar dari kesilapan dan
kegagalan ini. Setiap apa yang berlaku itu tersirat hikmahnya yang tersendiri.

Hikmah dari kesilapan dan kegagalan ialah:

1. Kesilapan dan kegagalan membuka peluang mencari penyelesaian baru. Ada


ketikanya penyelesaian baru ini jauh lebih baik dan lebih berkesan dari
pendekatan yang sebelumnya.
2. Kesilapan dan kegagalan memberikan kita pengalaman. Ramai orang takut
mencuba kerana takut gagal. Kalau begitu bagaimana kita boleh memperolehi
pengalaman. Apabila kita banyak kali mencuba dan banyak kali gagal maka
kita menjadi orang yang lebih berpengalaman dan mampu membuat
keputusan yang lebih bijaksana.
3. Kegagalan membina peribadi. Apabila kita gagal, kita boleh serahkan segala-
galanya pada nasib, mengalah dan putus asa ATAU kita boleh memilih untuk
berundur seketika, melakukan 'post-mortem' dan melangkah semula dengan
lebih bergaya. Ingat! Berundur bukan bererti kalah, mengalah bukan bererti
lemah. Oleh itu adakah kita mahu membina peribadi sebagai seorang yang
gagal atau sebagai seorang juara? Pilihan ada ditangan kita sendiri.

4. Kesilapan dan kegagalan menyedarkan kita tentang kekurangan dan


kelemahan. Dengan pengalaman ini kita boleh memperbaikinya dan menjadi
semakin jauh lebih baik selepas itu. Ia juga mengelakkan diri kita dari
bersikap ego, sombong dan takbur.

‘S’ terakhir yang sama pentingnya dalam menentukan kecemerlangan adalah sikap.
Kajian menunjukkan 85% mereka yang berjaya dalam hidup ini adalah berdasarkan
sikap dan hanya 15% sahaja berjaya berdasarkan kebijaksanaan. Kerana sikaplah
maka Thomas Alva Edison yang dikatakan bodoh disekolahnya akhirnya berjaya cipta
lampu. Kerana sikap juga Kolonel Sanders yang telah bersara pada usia 60 tahun
berjaya memperkenalkan resepi ayam goreng KFC nya keseluruh dunia. Bagaimana
pula kita sebagai orang Islam?

Sasaran yang besar serta Strategi yang mantap tidak mungkin dapat dicapai kalau
sikap kita bagaikan melepaskan batuk ditangga, sambil lewa dan main-main dalam
melakukannya. Sebaliknya, gabungan 3S ini akan menjadikan umat Islam cemerlang
dalam apa jua yang mahu dilaksanakannya. Dalam ruangan yang akan datang saya
akan mengupas lebih lanjut tentang sikap dan kesannya dalam menentukan
kecemerlangan seseorang insan. InsyaAllah.

Islam Mahukan Umatnya Cemerlang


Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Hari ini umat Islam dianggap lemah
diseluruh pelusuk dunia. Orang Islam dituduh lebih sukakan keganasan berbanding
keamanan dan keharmonian. Di Malaysia sendiri, kaum Bumiputera, yang
majoritinya beragama Islam masih terlalu jauh pencapaian mereka terutamanya dari
segi pendidikan, sosial dan pegangan ekonomi.

Sekiranya orang Islam berpegang kepada apa yang disarankan oleh Islam itu sendiri
maka tidak seorang pun daripada mereka yang gagal dalam hidupnya. Saya amat
tertarik apabila membaca buku “Think and Grow Rich” tulisan Napoleon Hill yang
telah dihasilkan pada tahun 1937. Dalam buku tersebut penulis secara spesifik telah
mengambil contoh kegigihan atau 'persistence' yang ada dalam diri Rasulullah s.a.w
sebagai antara penyebab kenapa Islam berkembang dan berjaya seperti hari ini.
Buku ini telah dibaca dan menjadi rujukan utama hampir semua pakar motivasi
ternama barat seperti Zig Ziglar, Jim Rohn, Bob Proctor, Anthony Robbins, dan
lainnya. Malah penulis buku-buku motivasi di Malaysia seperti Billi Lim yang
menghasilkan buku bertajuk Berani Gagal mengakui buku tersebut antara faktor
yang mengubah persepsi, fikiran dan keyakinan diri beliau. Kalau mereka yang
bukan Islam mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh maka sewajarnya
kita bincangkan bagaimana kita boleh berjaya berdasarkan apa yang telah Islam
anjurkan.

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Ayat ini telah ditujukan
kepada 'Amir bin at-Tufail dan Ar-bad bin Robiah yang telah melakukan pakatan
untuk membunuh Baginda s.a.w tetapi akhirnya masing-masing mati akibat penyakit
taun dan dipanah petir disiang hari sewaktu panas terik.

Ayat ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja hanya boleh mengubah nasibnya
dengan mengubah keadaan yang ada dalam diri mereka sendiri. Apakah keadaan
yang ada dalam diri kita yang boleh diubah? Apakah warna kulit dan paras rupa?
Pastinya tidak... Sebaliknya apa yang perlu diubah ialah sikap dan cara fikir kita.
Apabila kita ubah sikap dan cara fikir bermakna kita ubah nasib kita. Sikap yang
buruk seperti malas, mungkir janji, ambil mudah, tangguh kerja dan sebagainya
apabila diamalkan secara berterusan akan menjadi peribadi dan akhirnya
membentuk budaya sesuatu bangsa. Sesuatu bangsa yang agung dan maju
mempunyai sikap yang bersungguh-sungguh, gigih, berdisiplin dan komitmen kerja
yang tinggi. Mereka juga mempunyai cara fikir yang positif seperti sentiasa optimis,
berfikiran terbuka, merebut peluang dan mempunyai prinsip hidup yang juga positif.
Sikap yang positif ini hanya boleh terbentuk dengan adanya ilmu pengetahuan.
Sebab itulah, satu bangsa yang berilmu dapat dilihat lebih positif sikap dan cara
fikirnya jika dibandingkan dengan mereka yang rendah tahap pendidikannya. Malah
ilmu kecemerlangan diri juga perlu dicari dan dipelajari dengan melihat dan belajar
dari mereka yang telah berjaya sebelum kita. Umat Islam dahulunya adalah umat
yang berjaya sehingga lahirnya tokoh-tokoh Islam yang dikagumi barat seperti Ibnu
Sina dalam bidang perubatan, Ibn Khaldun dalam bidang sosial, Al-Khawarizmi,
dalam bidang matematik, Al-Farabi dalam bidang falsafah, dan ramai lagi. Sikap,
cara fikir, ketaqwaan dan komitmen kerja tokoh-tokoh ini perlu diselami dan
dipelajari kiranya masyarakat Melayu yang beragama Islam mahu cemerlang dalam
cabaran hidup hari ini.

Allah s.w.t telah berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya


(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.
At-Tiin 95:4

Dengan kejadian yang begitu sempurna dan sebaik ini maka mustahillah untuk orang
Islam merasa rendah diri dan gagal dalam hidupnya. Malah orang Islam sepatutnya
menjadi khalifah dibumi Allah ini. Menjadi pemimpin dan bukannya dipimpin. Semua
masalah ini dapat diatasi dan diselesaikan sekiranya kita memahami hakikat
diciptanya manusia seperti mafhum firman Allah:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Adz-Dzaariyaat 51:56

Ayat ini jelas menyatakan bahawa semua manusia dicipta dengan satu tujuan iaitu
beribadah kepada Allah. Beribadah dengan benar-benar memahami tauhid
rububiyyah dan tauhid uluhiyyah. Bukan sahaja mengakui bahawa Allah yang
mencipta semua makhluk termasuk kita tetapi juga hanya Dia-lah sahaja yang layak
dan berhak disembah. Islam tidak menghadkan konsep ibadah ini kepada hanya
ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji. Malah apa sahaja yang
dilakukan atas niat kerana Allah, mengikut syariat Islam dan memberi manfaat
kepada diri sendiri dan ummah maka perlakuan itu juga diterima sebagai ibadah dan
layak menerima ganjaran pahala dari Allah s.w.t.

Satu perkara yang mesti difahami dalam menjadikan kehidupan sebagai ibadah ialah
melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin. Sebagai contoh,
apabila kita mendirikan solat maka dirikanlah ia dengan bersungguh-sungguh,
bertertib dan sebaik mungkin. Menjaga kesemua tigabelas rukun yang ada dan
memperelokkannya dengan perkara-perkara yang sunat. Setelah itu, serahkanlah
kepada Allah, InsyaAllah akan diterimaNya. Tetapi kalau solat itu didirikan sambil
lewa, main-main dan ala kadar sahaja maka pastilah ia awal-awal lagi akan ditolak.

Hakikat solat ini juga mesti diamalkan dalam segenap ruang kehidupan sekiranya
kita mahu kehidupan diterima sebagai satu ibadah. Sebagai contoh, kalau kita
seorang pekerja maka bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, menepati waktu,
berdisiplin, meletakkan komitmen kerja yang tinggi dan mengikut peraturan yang
ada. Barulah kita dilihat sebagai pekerja yang layak dinaikkan pangkat. Inilah yang
dikatakan pekerja cemerlang. Kerja kita juga diterima Allah sebagai satu ibadah
yang bukan sahaja mendapat ganjaran di dunia tetapi juga di akhirat. Begitu juga
kalau kita seorang pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh dengan memberikan
tumpuan dalam kelas, menyiapkan tugasan pada waktunya, dan rajin mengulangkaji
pelajaran. Barulah belajar itu diterima sebagai ibadah seterusnya diberkati dan
mendapat rahmat dari Ilahi. Keputusan peperiksaan juga akan cemerlang kerana kita
bersungguh-sungguh dan melakukannya sebaik mungkin.

Mafhum firman Allah dalam al-Quran:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan)
apa yang diusahakannya”
Al-Najm 53:39

Ayat di atas menjelaskan bahawa setiap orang akan mendapat sekadar apa yang
diamal dan diusahakannya. Oleh itu siapakah yang patut dipersalahkan apabila kita
lihat masyarakat Melayu yang puratanya Islam gagal mencapai kecemerlangan
dalam pendidikan, ekonomi dan sosial? Pastilah yang salah adalah diri kita sendiri
sedangkan Islam mahukan umatnya cemerlang.

Tidak ada penyesalan dalam usaha, yang ada hanyalah redha dan syukur. Kita
menyesal atas kesalahan yang kita lakukan. Kita kesal atas dosa-dosa kita sama ada
kecil atau pun besar. Tetapi kita tidak boleh menyesali atas apa yang kita perolehi.
Sebab menyesal apa yang diperolehi setelah berusaha itu membuktikan yang kita
tidak memahami apa yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Penyesalan berlaku
kerana kita sendiri tahu yang kita tidak menggunakan seluruh potensi yang ada
dalam diri kita. Kita sedar bahawa diri kita boleh melakukan sesuatu dengan lebih
baik dan layak menerima yang lebih baik juga. Tetapi kalau kita hayati erti ibadah
yang telah dibincangkan awal-awal tadi maka penyesalan tidak akan berlaku kerana
kita telah lakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri kita. Sebagai seorang
Islam kita mesti jelas tentang konsep doa, tawakal, redha dan syukur. Untuk
cemerlang, berusahalah sebaik mungkin, jadikannya ibadah dan kemudian barulah
bertawakal. Dalam berusaha redhalah atas apa jua cabaran dan ujian. Bersyukurlah
atas apa sahaja hasilnya nanti. Iringi usaha dengan memperbanyakkan doa kepada
Allah.

Akhir kata, umat Islam perlu mencontohi kegigihan Nabi Muhammad s.a.w dalam
berusaha memperjuangkan Islam. Apabila bapa saudara baginda Abu Talib
memberitahu akan tentangan hebat yang diterima dari pemimpin Quraish maka Nabi
s.a.w tetap bertegas mengatakan seandainya matahari diletakkan di tangan
kanannya dan bulan diletakkan di tangan kirinya maka baginda tetap meneruskan
perjuangan beliau, sehinggalah ditentukan Allah sama ada baginda berjaya atau mati
dalam jalan tersebut. Begitulah teguhnya pendirian Rasulullah s.a.w. yang membawa
kepada kecemerlangan dan keagungan Islam. Hanya dengan memahami Islam
dalam ertikata yang sebenarnya sahajalah maka umat Islam hari ini akan cemerlang.
Atasi Sikap Bertangguh
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D Kita bertemu lagi dalam Siri Rahsia
Kecemerlangan Diri kali ini. Tanpa disedari, sudah hampir setahun saya menjadi
penulis di Majalah Cermin ini. Dalam artikel kali ini saya ingin membincangkan
tentang satu sikap yang ada dalam setiap diri kita dan menjadi penyebab kepada
kegagalan kita. Iaitu sikap bertangguh. Bertangguh maknanya kita dengan sengaja
melambatkan atau tidak menyiapkan satu-satu kerja, aktiviti atau tugasan yang
sememangnya penting atas alasan yang tidak penting. Sebaliknya kalau sesuatu
kerja itu terpaksa diketepikan seketika kerana ada sesuatu yang lebih penting lagi
yang mesti disiapkan, maka itu bukanlah bertangguh. Malangnya, ramai diantara kita
atas alasan yang remeh temeh melambat-lambatkan sesuatu pekerjaan.

Mari kita renungkan seketika, kalau anda seorang pekerja di pejabat, apa agaknya
kerja semalam yang anda tahu penting tetapi tidak dibuat. Mungkin ada borang yang
perlu dilengkapkan dan dihantar; atau panggilan kepada pelanggan yang belum
dibuat; atau projek yang belum disiapkan malah mungkin belum dimulakan; atau
khidmat selepas jualan yang tidak dibuat meskipun berkali-kali anda ingatkan diri
anda ia adalah penting. Bagaimana pula dengan urusan dirumah? Anda mungkin dah
lama mahu mengecat rumah tetapi sehingga kini masih belum siap; atau menyapu
lantai, menggosok baju, mengelap tingkap, mencuci bilik air. Bagaimana pula dengan
urusan peribadi anda? Anda tahu sudah tiba waktunya anda menghubungi ibu bapa
di kampung; atau emel sahabat yang tidak berbalas dan SMS yang belum dijawab.
Anda tahu berat badan mula bertambah dan sudah sekian lama anda mahu turunkan
berat badan dengan menjaga diet dan melakukan senaman harian. Sudahkah ia
dilakukan? Rambut yang semakin panjang sudahkah dipotong? Kalau direnungkan
dengan ikhlas maka kita akan dapati terlalu banyak yang mahu dilakukan dan terlalu
sedikit masa yang ada. Kalau tahu masa semakin sedikit kenapa dihabiskan untuk
perkara-perkara yang tidak termasuk dalam senarai penting kita? Iaitu senarai yang
kita tahu mesti dilakukan segera. Atau anda sebenarnya tidak pernah buat satu
senarai pun selama ini? Segalanya hanya dirancang dalam kepala maka tidak
hairanlah kalau anda lupa.

Apabila kita bertangguh, kita akan rasa tertekan kerana masa semakin suntuk dan
kerja semakin menimbun. Akibat dari rasa tertekan ini ialah kemurungan serta emosi
yang tidak menentu. Kesihatan juga turut terganggu dan semua ini pasti
menjejaskan produktiviti. Hasilnya, kita menjadi orang yang gagal dalam kehidupan
sama ada dari kerjaya, akademik, kesihatan, ibadah, kewangan dan sebagainya.

Kenapa Wujudnya Sikap Bertangguh?

Antara faktor yang menjadi penyebab tangguh ini ialah:

1. Pengurusan yang lemah, sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber
dan tugas.

2. Takut, sama ada takut kepada kegagalan mahu pun takutkan kejayaan. Ada
orang takut berjaya kerana kejayaan bermakna tanggungjawab lebih besar,
masa makin sibuk dan tiada masa untuk perkara lain, ramai orang yang akan
dengki dan sebagainya. Ada pula yang takutkan kegagalan kerana bimbang
dikritik, dimarahi, dipandang rendah, takut kerja tidak cukup bagus dan
sebagainya. Walau apa sekalipun alasannya, 90% daripada apa yang
disangkakan sebenarnya tidak akan berlaku.

3. Terlalu mahukan kesempurnaan. Ada ketikanya sesuatu perancangan itu


tertangguh perlaksanaannya kerana kita mahukannya terlalu sempurna.
Begitu banyak masa dan tenaga dibazirkan dengan mengkaji keburukan-
keburukan yang mungkin akan terjadi.

4. Masalah fizikal. Masalah kesihatan dan tenaga yang kurang boleh mendorong
perasaan malas. Ini membuatkan banyak kerja-kerja gagal disempurnakan
kerana diri tidak produktif.

5. Masalah sikap. Sikap adalah penyumbang paling utama kepada masalah


tangguh. Apabila kita bersikap sambil lewa, ambil mudah dan tiada komitmen
serta disiplin terhadap diri kita dan tugas-tugas yang diserahkan maka
segalanya pasti akan tertangguh.

Bagaimana Mengatasinya?

Tangguh bukanlah masalah yang tidak boleh diselesaikan. Ia bukannya perkara biasa
dalam kehidupan yang tidak dapat dielak. Sebaliknya ia adalah kebiasaan atau tabiat
yang tertanam dalam diri kita kerana kita tidak mendidik diri dengan amalan-amalan
kecemerlangan. Berikut dinyatakan beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk
mengatasi masalah umum ini:

1. Agih-agihkan tugas. Pastikan tugasan bersesuaian dengan tenaga dan masa


yang diperuntukkan. Salah satu penyebab kepada tangguh ialah rasa kerja
yang mahu dibuat itu terlalu sukar atau terlalu banyak.
Kalau terlalu banyak, agih-agihkan tugas kepada bahagian yang lebih kecil.
Kalau terlalu sukar, dapatkan seseorang yang boleh membantu. Tanya
mereka! Jangan jadi orang yang berat mulut. Dalam dunia ni tiada sesiapa
pun yang akan membantu kita tanpa diminta.
2. Buat senarai tugas atau ‘TO DO LIST’.

3. Dapatkan satu diari, nak canggih lagi pakai ‘Palmtop’. Malah telefon bimbit pun
dah boleh untuk masukkan aktiviti kita. Sebenarnya, jangan bazirkan duit
dengan membelanjakan wang membeli diari atau organizer yang mahal-
mahal. Ramai orang yang saya perhatikan, ketika semangatnya datang,
mereka keluarkan duit untuk tujuan ini tetapi akhirnya sia-sia juga.

4. Cari cara untuk ingatkan kita. Cth. Jam loceng, komputer, digital organizer dll.
5. Sediakan segala keperluan lebih awal. Cth. Nak ambil pemadam, hanya
kerana itu kerja tertangguh 30 minit. Nak ke bilik air dan sebagainya. Kita
kena ingat, kita dibayar gaji untuk bekerja 8 jam sehari jadi buatlah yang
terbaik!

6. Tiada dua orang yang serupa. Lain orang lain masa yang mana dia akan paling
produktif. Oleh itu kenali masa produktif kita dan gunakan masa ini untuk
siapkan kerja-kerja penting kita.
7. Tukar carafikir atau ‘mindset’ kita.

8. Just do it! Jangan peduli apa orang lain akan kata. Ia adalah soal masa depan
kita. Percaya cakap saya, 90% daripada sangkaan-sangkaan dan
kebimbangan kita itu sebenarnya tidak akan berlaku!

9. Belajar dari kesilapan. Mula melangkah apabila sudah ada perancangan dan
jangan tunggu untuk segala-galanya sempurna sebab ketidaksempurnaan itu
sememangnya sifat semulajadi setiap hasil ciptaan manusia.
Contoh:
TV hitam putih wujud sebelum ada TV warna.
Telefon bimbit besar sebelum ada yang kecil molek.
Orang yang mencipta dan menjual barang-barang ini tidak menunggu
segalanya sempurna. Mereka mengaut keuntungan awal dan menggunakan
keuntungan itu untuk melakukan penyelidikan dan seterusnya menghasilkan
barangan yang lebih baik

10. Senaman secara konsisten, 20 minit sehari, 3x seminggu.


11. Jaga diet atau pemakanan. Makan makanan yang kurang lemak dan yang
tinggi kandungan fibernya seperti buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran.
Makan roti yang ada tertulis perkataan ‘high fibre’.

12. Rehat yang cukup - Lakukan meditasi atau rileks. Itu gunanya kita lepas solat
sambung berzikir dan berwirid.

13. Mulakan sedikit, bertatih sebelum berlari. Tidak perlu untuk menghabiskan
apa yang mahu dilakukan itu serentak. Manusia mudah rasa jemu dan bosan.
Oleh itu, lakukanlah sedikit tetapi konsisten. Pelbagaikan aktiviti dan jangan
fokus hanya kepada satu tugas semata-mata.

14. Ganjari diri sendiri setiap kali dapat menyelesaikan sesuatu tugas atau
pekerjaan.

Maklumat lanjut http://xpres2u.blogspot.com

Anda mungkin juga menyukai