Anda di halaman 1dari 2

Aliran Vokasional Pendidikan Kelas Pertama

Ke arah memantapkan modal insan yang lebih ampuh untuk negara, kerajaan mengambil langkah dalam menggembleng usaha merealisasikan hasrat tersebut. Langkah tersebut dilihat dengan jelas melalui pelbagai pelan transformasi, seperti memantapkan pembangunan pendidikan negara demi melahirkan modal insan yang lebih berinovasi dalam meneroka bidang baharu bagi menjana kekayaan negara. Sejak Mac 2011, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengajian Tinggi menzahirkan pelan transformasi pendidikan negara. Komitmen itu merupakan satu usaha komited kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat sekolah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya berkaitan dengan kurikulum standard di sekolah, serta meningkatkan lagi kualiti pengajian dan kursus di IPT. Pelbagai rancangan dan pelan direncanakan kerajaan ke arah matlamat tersebut. Pada 6 Januari 2012, kerajaan melancarkan satu lagi inisiatif tersebut melalui Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV). Pelan tersebut dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum itu pernah menyuarakan untuk menolak tanggapan kelas kedua terhadap pengajian dalam bidang vokasional. Memang tidak dapat dinafikan, sebilangan masyarakat masih mempunyai tanggapan yang sinikal terhadap bidang yang ditawarkan dalam vokasional, bahkan tidak salah mengatakan ada yang menganggapnya sebagai bidang untuk pelajar terbuang, ataupun kurang cemerlang dalam akademik. Tanggapan sebegini tidak lagi relevan. Dengan mengambil kira perkembangan yang berlaku di negara maju dan serantau, menurut Muhyiddin, kejayaan negara perlu diukur bukan hanya pada pencapaian dalam bidang akademik, tetapi definisi baharu kejayaan melalui bidang teknikal dan vokasional. Tugas yang paling mencabar adalah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan, iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta orang pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang, jelas Muhyiddin ketika merasmikan pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional di Institut Jerman-Malaysia, Bangi, Selangor. Dalam pelan TPV tersebut, kerajaan merangka lima strategi utama yang diselaraskan sebagai agenda mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal Latihan Vokasional di negara ini. Hal tersebut melibatkan strategi yang merangkumi transformasi kurikulum pendidikan dan institusi pendidikan vokasional, kolaborasi dengan rakan strategik dalam industri, penaksiran pendidikan vokasional, dan transformasi organisasi pendidikan vokasional. Muhyiddin menjelaskan bahawa langkah memartabatkan bidang vokasional mampu mengaplikasikan hasrat kerajaan untuk memastikan Aspirasi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang berteraskan pendapatan tinggi dan kemapanan dapat merealisasikan Ekonomi Berpendapatan Tinggi. Menurut Muhyiddin, kerajaan mengambil langkah proaktif sejak 2009 dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan serantau. Kadar purata kemasukan pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding dengan hanya 10 peratus di Malaysia.

Jika melihat kepada negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan. Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria, hampir 50 peratus hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional hingga peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (empat hingga lima tahun) dan program perantisan, tegas Muhyiddin. Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Mac 2012.

Anda mungkin juga menyukai