Anda di halaman 1dari 3

Oleh: Saiful Hamzah

Sumber Berita Harian


Link: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Rencana/20091104231409/Article/
index_html

Sistem pendidikan negara perlu terus melengkapkan pelajar dengan kemahiran relevan dan latihan
untuk menyediakan mereka apabila berdepan landskap saingan global. Gabungan usaha sama
dengan pemimpin industri yang menawarkan pekerjaan, latihan dan kaunseling kerjaya bagi
menyediakan pelajar ke alam pekerjaan sebenar nyata membuahkan hasil amat memuaskan.

Dengan perubahan kepada pekerjaan yang berasaskan ilmu dan pengetahuan, kerajaan perlu
berusaha meningkat dan membangunkan bakat yang ada. Dalam konteks ini, peluang menjalin
kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT), perniagaan dalam sektor swasta dan kerajaan mesti
dimanfaatkan sepenuhnya.

Ketika ini, sistem Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) di Malaysia berupaya
menyediakan modal insan dan tenaga kerja yang dihasilkan menerusi graduan pada peringkat sijil,
diploma dan diploma lanjutan yang ditawarkan di politeknik. Graduan politeknik dan vokasional ini
menyediakan pekerja mahir dan separuh mahir serta kelas pertengahan.

Kelebihan TVET tidak dinafikan kerana pengajian yang ditawarkan menyediakan keseimbangan di
antara kemahiran umum dan khusus, latihan teori dan amali, tumpuan kepada industri, skim latihan
untuk pelajar dan pengajian sepanjang hayat. Kewujudan politeknik kini menjadi tumpuan ibu bapa
yang merasakan anak mereka boleh mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian sama
ada pada peringkat sijil mahupun diploma.

Sememangnya 49 program peringkat diploma, 22 program peringkat sijil, 12 program asas dan lima
program kemahiran khas serta satu program diploma lanjutan yang ditawarkan menerusi TVET tidak
pernah menghampakan belia yang dahagakan ilmu kemahiran. Ditambah pula dengan 21 program
peringkat sijil dan 89 program berdasarkan permintaan, ia mampu menyediakan asas modal insan
yang baik untuk pertumbuhan industri.

Sudah sampai masanya program yang ditawarkan politeknik itu sendiri dinilai menerusi sistem
bintang sebagai dorongan untuk melahirkan modal insan berkualiti yang dijangka bermula 2010 dan
mengenal pasti politeknik terbaik serta menubuhkan pusat kecemerlangan teknologi dan bidang
yang menjadi kekuatan. Penyediaan tenaga pengajar hebat yang mempunyai pengalaman dalam
sektor industri turut menjadi faktor penting sekali gus memudahkan proses pembelajaran dan
menarik minat pelajar.

Sehingga ini, seramai 449 pensyarah dari 381 syarikat diambil sejak program kerjasama dengan
industri itu bermula. Ini termasuk 61 pensyarah daripada 59 syarikat tahun ini dan 210 pensyarah
dari politeknik menunggu panggilan untuk mengajar tahun depan. Pensyarah jemputan dari industri
pula menyuntik semangat pelajar apabila pada tahun lalu seramai 523 orang dipanggil manakala 605
orang pada 2009.
Persoalannya sekarang adakah pelbagai perubahan yang dilakukan mampu menjamin kerjasama
utuh antara institusi dan institusi pengajian dan bagaimanakah industri dan Jabatan Pengajian
Politeknik dan Kolej Komuniti memberi sumbangan ke arah membangunkan dan mengubah
keperluan modal insan yang celik teknologi dan intelek bagi menghadapi daya saing ekonomi.

Kerajaan tidak boleh menafikan kepentingan bekerjasama dengan industri yang menjanjikan faedah
dan kebaikan. Antaranya meningkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja, meningkatkan daya
boleh pasaran dan daya keusahawanan di kalangan graduan, pemindahan pengetahuan dan
penyelidikan dan pembangunan dan membolehkan politeknik dan kolej komuniti memiliki daya
saing bertaraf antarabangsa.

Kemahiran amat diperlukan untuk membolehkan graduan terus bersaing dalam pasaran pekerjaan di
negara ini. Lebih-lebih pada ketika ekonomi Malaysia yang mengalami transformasi daripada latar
belakang sektor pertanian yang kukuh dan berasaskan pengeluaran kepada ekonomi pelbagai sektor.
Ini semua menjadi cabaran kepada graduan bagi memastikan kemahiran mereka terus kekal dan
relevan apatah lagi dalam membangunkan kemahiran dalam k-ekonomi, ada peranan yang perlu
dimainkan pelajar, IPT, majikan serta pembuat dasar.

Mahu tidak mahu, pelaburan yang begitu signifikan dalam pendidikan untuk membangunkan
sumber manusia pastinya perlu dipastikan berbaloi. Petunjuk terbaru termasuk industri
pengeluaran, pertumbuhan eksport, keadaan pasaran buruh dan peningkatan sentimen pengguna,
langkah kepada kestabilan ekonomi domestik memberikan harapan. Dalam erti kata lain, arah aliran
pekerjaan dalam ekonomi pelbagai sektor di Malaysia amat memerlukan modal insan berkemahiran.

Sampai masanya Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan penubuhan dua jabatan baru iaitu
Jabatan Politeknik dan Jabatan Kolej Komuniti sebagai usaha penjenamaan semula serta
transformasi terhadap institusi pengajian itu sekali gus membawanya ke tahap yang lebih tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kertas Kabinet mengenai cadangan itu
akan dibentangkan tidak lama lagi bagi membolehkan kedua-dua jabatan baru itu ditubuhkan.

Pada masa ini, kedua-dua jabatan berkenaan digabungkan sebagai Jabatan Pengajian Politeknik dan
Kolej Komuniti (JPPKK) sejak 1 Januari 2005. Beliau berkata, penjenamaan semula itu berupaya
memberi peluang kepada belia termasuk ‘mat rempit’ yang tercicir dari sistem pendidikan
diterapkan dan terbabit dalam industri kreatif. Kertas Kabinet itu antara lain akan menentukan hala
tuju semua politeknik dan kolej komuniti di negara ini dan menyokong usaha kerajaan untuk
menjana ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti”.

Ketika ini negara menawarkan lebih 100,000 tempat untuk kursus jangka pendek yang ditawarkan
semua kolej komuniti setiap tahun. Masa sudah sampai bagi pelajar politeknik mendapat peluang
mengikuti kursus bertaraf diploma, berbanding sijil di semua 27 politeknik.

Mohamed Khaled berkata, kementeriannya akan mewujudkan sistem ranking bagi 27 politeknik
bertujuan memantau prestasi dan pencapaian dalam usaha meningkatkan pembabitan politeknik
dalam penyelidikan dan pembangunan. Atas alasan itu, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah
pusat kecemerlangan dalam politeknik dan sememangnya sampai masa bagi institusi pengajian
berkenaan membabitkan diri.

Banyak usaha lain sedang dilakukan bagi menunjukkan kekuatan politeknik dan memberi peluang
untuk pelajar mendapat kelulusan tertinggi. Transformasi ialah mahu menjadikan politeknik satu
aliran yang kuat, kukuh untuk pelajar selain hanya dalam bidang akademik. Selepas dapat diploma,
pelajar politeknik kena masuk universiti dan sampai masanya negara mewujudkan sistem lengkap
untuk pelajar politeknik.

“Politeknik sebagai satu institusi di mana sebahagian besar program yang ditawarkan adalah tahap
diploma dan kita mempunyai 80,000 pelajar iaitu 40 peratus pemegang diploma. Kita merasakan
politeknik tidak perlu menekankan latihan kemahiran. Peringkat sijil patut diberi kepada Institut
Kemahiran Mara dan lain-lain manakala politeknik sepatutnya memberi pengkhususan dalam kursus
diploma untuk mengukuhkan status lulusan,” katanya.

Sehubungan itu, kerjasama dengan pihak industri tidak boleh diketepikan dan sememangnya untuk
memastikan mereka menjalankan peranan dengan betul dan keberkesanan program mereka. Sektor
industri memerlukan tenaga kerja mahir dan kerajaan akan terus mengadakan dialog bagi
memastikan kerjasama lebih kukuh pada masa depan.

Anda mungkin juga menyukai