Anda di halaman 1dari 10

FAKTOR-FAKTOR PENDORONG PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT UNTUK KURSUS

SECARA SAMBILAN DI POLITEKNIK KUCHING SARAWAK


Khalid Husseine Bin Tuah
Mahathir Bin Mohamad Kamin
Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan
Politeknik Kuching Sarawak
khalid.h@poliku.edu.my
mahathir@poliku.edu.my

Abstrak - Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong lepasan pelajar SPM, Sijil
Kemahiran, Sijil Kolej Komuniti, Sijil Politeknik dan yang setaraf untuk mengikuti Pembelajaran Sepanjang Hayat
(PSH) iaitu melanjutkan pengajian Diploma menerusi Kursus Secara Sambilan (KSS) di Politeknik Kuching
Sarawak (PKS). Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan yang melibatkan pelajar-pelajar KSS bagi Diploma
Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dan Diploma Kejuruteraan Awam iaitu seramai 49 orang. Kajian ini
berbentuk kuantitatif yang menggunakan instrumen borang soal selidik yang mana item-item yang digunakan telah
memperoleh nilai kebolehpercayaan (Cronbachs Alpha) setinggi 0.839. Data dalam kajian ini telah dianalisis
dengan menggunakan SPSS versi 15.0 bagi mendapatkan nilai sisihan piawai, peratus, min dan Ujian t. Dapatan
kajian menunjukkan faktor keinginan untuk melanjutkan pelajaran atas inisiatif sendiri merupakan faktor paling
tinggi dalam mendorong PSH untuk KSS di PKS. Ini diikuti dengan faktor untuk meningkatkan taraf profesion,
berminat untuk menambah ilmu dan program pengajian yang dijalankan relevan dengan pekerjaan serta masa depan.
Selain itu, tidak terdapat perbezaan yang signifikan faktor pendorong PSH yang tertinggi iaitu menyambung belajar
atas inisiatif sendiri untuk KSS di PKS merentas jantina dan program pengajian. Justeru, hasil dapatan kajian ini
dicadangkan agar pihak majikan memberikan berbagai insentif yang boleh menggalakkan pekerjanya untuk
melanjutkan pelajaran bagi mempertingkatkan martabat ilmu dan profesion masing-masing.
Kata Kunci : PSH, KSS, PKS

Pengenalan
Pendidikan merupakan agenda yang sangat penting dalam menentukan hala tuju negara pada masa depan.
Malah, Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak turut menyatakan pendidikan ialah
penyumbang utama pembangunan modal sosial dan ekonomi negara (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012).
Pada masa yang sama, pembelajaran sepanjang hayat sudah menjadi perkara penting dalam sektor pekerjaan dan
polisi pekerja, baik dalam sektor kerajaan mahupun organisasi antarabangsa (Commision of The European
Comunities, 2007).
Klimaks idea ini mendapat perhatian dunia ialah apabila pihak UNESCO mendeklarasikan 1996 sebagai
'Lifelong Learning Year'. Bertitik tolak dari situ, UNESCO dan Suruhanjaya Kesatuan Eropah telah menyasarkan
pewujudan 'Masyarakat Berilmu' sebagai tema atau matlamat globalisasinya (Suruhanjaya Eropah, 2002).
Penekanan diberikan UNESCO dan Suruhanjaya Kesatuan Eropah ini menjadikan keperluan 'belajar secara
berterusan' satu kemestian bagi setiap individu.
Rentetan daripada itu, Malaysia turut mengatur strategi serta mengambil langkah proaktif untuk berdaya
saing dan terus maju melalui pencapaian modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.
Perkara ini diakui oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan bahawa program
pembelajaran sepanjang hayat akan dijadikan sebagai agenda untuk meningkatkan keupayaan modal insan negara.
Ini berikutan PSH amat penting untuk meningkatkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 28 peratus
pada masa ini kepada 33 peratus menjelang tahun 2015 (Berita Harian, 2010).
Secara amnya, PSH ialah pembelajaran yang berterusan sejak dari lahir sehingga ke liang lahad, sama ada
secara formal atau tidak formal, sedar atau tidak, secara berkumpulan atau individu. Perkara yang baru dan berbeza
dihadapi setiap hari dan ia memerlukan proses pembelajaran menghadapinya (Michael D. dan Diane R.,2008).

Namun, dalam konteks keperluan negara, PSH ditakrifkan sebagai semua pembelajaran yang dilalui oleh seseorang
individu dalam lingkungan umur 15 tahun ke atas kecuali pelajar profesional (Kementerian Pengajian Tinggi
Malaysia, 2011).
Untuk menyokong dan mempercepat pembudayaan PSH ini, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif
dan proaktif untuk merealisasikannya. Ini dapat dilihat menerusi Sasaran Pelan Induk Pembudayaan PSH untuk
Malaysia adalah 50% daripada penduduk berumur 15 hingga 64 tahun akan berpeluang menyertai program
peningkatan diri PSH menjelang tahun 2020. Usaha ini akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 13.1 juta
orang penduduk (Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, 2011). Maka itulah, terdapat banyak institut pengajian
tinggi seperti kolej komuniti, universiti, institusi pendidikan jarak jauh termasuklah politeknik telah menawarkan
peluang PSH untuk kepentingan masyarakat (Bernama, 2010). Perkara ini menjadi lebih serius apabila PSH menjadi
salah satu Projek Agenda Kritikal (CAP) dalam Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara Fasa 2 (2011 2015)
untuk semua institusi di Malaysia agar kesedaran dan penyertaan rakyat dalam PSH semakin bertambah.
Selaras dengan Teras Keempat, Pelan Strategik Pengajian Tinggi (PSPTN), iaitu Memperkasa Institusi
Pengajian Tinggi dan Teras Keenam iaitu Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat, PKS juga tidak mahu
ketinggalan dalam memberi kualiti pendidikan yang terbaik dalam penjanaan modal insan. Justeru, Pelaksanaan
PSH di PKS menerusi medium Time Sector Privatisation (TSP) di bawah Akaun Amanah Latihan Khas Politeknik,
KPM adalah suatu pendekatan pendemokrasian pendidikan melalui penawaran KSS, kursus-kursus pendek, kursus
terlanggan dan sebagainya.
KSS merupakan produk terlaris politeknik secara umumnya dalam memenuhi tujuan PSH. KSS ini
sebenarnya merupakan program pengajian politeknik yang dilaksanakan dalam mod separuh masa yang terbuka
kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Politeknik, Sijil Kemahiran dan yang setaraf. Di PKS, terdapat
beberapa program pengajian yang ditawarkan seperti Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan), Diploma
Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi), Diploma Akauntansi, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma
Kejuruteraan Awam (DKA) dan Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan DIP). Namun demikian, pada
masa sekarang, hanya 2 program pengajian yang dilaksanakan iaitu DKA dan DIP.

Penyataan Masalah
Pembelajaran sepanjang hayat menjadi semakin penting di Malaysia kerana tekanan daripada ledakan
globalisasi, perubahan teknologi yang pantas dan pertumbuhan penduduk di Malaysia (Mohamed Rashid Navi Bax
dan Mohd Nasir Abu Hassan, 2005). PSH yang dilaksanakan oleh IPT adalah melalui pendekatan pendidikan jarak
jauh, pendidikan fleksibel, pengiktirafan pengalaman bekerja, penawaran kursus pendek, kursus terlanggan dan
kursus secara sambilan. Justeru, menerusi Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara Fasa 2 (2011 2015) menerusi
Kementerian Pengajian Tinggi (2011), salah satu mekanisma Pelan Tindakan Menjelang 2020 adalah untuk
menambah enrolmen pelajar PSH sehingga 10 peratus di peringkat diploma dan ijazah dengan syarat kemasukan
yang fleksibel.
Untuk menyahut seruan itu, politeknik tidak ketinggalan dalam turut serta merealisasikan hasrat tersebut
dengan penawaran pengajian di peringkat diploma menerusi Kursus Secara Sambilan. Atas perkembangan ini, satu
kajian perlu dijalankan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong individu melanjutkan pelajaran
peringkat diploma melalui Kursus Secara Sambilan di politeknik. Lagipun, di Malaysia, masih terlalu kurang kajian
yang dijalankan dalam skop PSH yang dilaksanakan di politeknik. Maka, atas dasar inilah, penyelidik menjalankan
kajian bagi mengenalpasti faktor-faktor yang mendorong individu melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma
menerusi KSS di politeknik.

Objektif Kajian
Objektif kajian ini dilakukan adalah untuk:
i.
ii.

iii.

Mengenalpasti faktor-faktor pendorong untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma melalui KSS di
Politeknik Kuching Sarawak.
Mengetahui perbezaan yang signifikan mengikut statistik menerusi faktor pendorong yang tertinggi
untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma melalui KSS di Politeknik Kuching Sarawak merentas
jantina.
Mengetahui perbezaan yang signifikan mengikut statistik menerusi faktor pendorong yang tertinggi
untuk melanjutkan pelajaran peringkat diploma melalui KSS di Politeknik Kuching Sarawak merentas
program pengajian Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dan Diploma Kejuruteraan Awam,
PKS.

Kepentingan Kajian
Melanjutkan pelajaran sambil bekerja merupakan satu cabaran kepada pelajar-pelajar KSS di PKS terutama
yang telah berkeluarga, pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Dalam keadaan yang sedemikian,
pelajar-pelajar KSS ini tetap tidak melepaskan peluang untuk memohon melanjutkan pelajaran apabila tawaran
Diploma KSS dikeluarkan oleh PKS.
Oleh hal yang demikian, diharapkan kajian ini akan dapat membantu pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia khususnya Jabatan Pengajian Politeknik untuk memberi penekanan terhadap faktor-faktor pendorong PSH
bagi tujuan promosi PSH yang lebih efektif. Selain itu, dengan adanya kajian ini akan dapat memberi panduan
kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia atau Jabatan Pengajian Politeknik untuk merangka sesuatu program
kursus PSH yang bersesuaian dan relevan kepada masyarakat. Malah, pihak kerajaan dan agensi lain juga dapat
mengenal pasti untuk memperkenalkan bantuan dari sudut pinjaman, kewangan, biasiswa dan kemudahan bagi
menggalakkan masyarakat untuk membudayakan PSH. Di samping itu, hasil kajian ini diharapkan dapat menambah
sumber rujukan dan menjadi pendorong kepada penyelidik lain membuat kajian ke arah meningkatkan lagi
keberkesanan sistem pendidikan negara.

Rekabentuk Kajian
Kaedah kajian yang digunakan adalah tinjauan berbentuk deskriptif dengan menggunakan kaedah
kuantitatif iaitu penggunaan set soal selidik yang diedarkan sendiri oleh penyelidik kepada responden yang terdiri
daripada pelajar-pelajar KSS bagi Diploma Kejuruteraan Awam dan Diploma Teknologi Maklumat
(Pengaturcaraan), PKS. Kajian berbentuk deskriptif akan dapat memberikan gambaran atau maklumat mengenai
sesuatu keadaan pada suatu masa tertentu, di samping membantu untuk membuat perancangan pada masa akan
datang (Wiersma, 1991).
Kajian deskriptif hanya melibatkan punca dan akibat berdasarkan data yang diperolehi. Dengan kata lain,
penyelidik tidak boleh memanipulasikan apa-apa faktor atau fenomena yang akan mempengaruhi tingkah laku
pencapaiannya (McMillan, 1996). Borang soal selidik digunakan sebagai alat untuk mendapatkan maklumat yang
dikehendaki. Menurut Mohd Majid Konting (2000), instrumen borang soal selidik adalah kaedah paling mudah dan
cepat untuk memperoleh maklumat penyelidikan.

Populasi dan Persampelan


Populasi kajian adalah pelajar-pelajar KSS bagi Diploma Kejuruteraan Awam dan Diploma Teknologi
Maklumat (Pengaturcaraan), PKS iaitu seramai 49 orang. Menurut Krejcie dan Morgan (1970), apabila bilangan
populasi 50 orang, maka sampel yang perlu diambil ialah 44 orang. Namun demikian, bilangan sampel yang dipilih
melalui kaedah pemilihan rawak mudah telah melebihi tahap yang disarankan oleh Krejcie dan Morgan (cadangan
44 orang) iaitu kesemua pelajar KSS seramai 49 orang dikaji.

Instrumen Kajian
Untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan dalam kajian ini, penyelidik telah menyediakan 1 set soal
selidik yang terdiri daripada 2 bahagian iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A mengandungi soalan yang
berkaitan maklumat latar belakang responden. Manakala, Bahagian B mengandungi 25 soalan berhubung dengan
faktor-faktor pendorong melanjutkan pelajaran.
Responden dikehendaki menjawab semua soalan di kedua-dua bahagian tersebut. Item-item soal selidik di
Bahagian B mengikut skala kaedah Likert. Kaedah Likert ini digunakan kerana ia mempunyai kesahan dan
kebolehpercayaan seperti di dalam Jadual 1.
Jadual 1 : Skala Pemeringkatan Likert
Skala Likert
1
2
3
4
5

Pengkelasan
Sangat Tidak Setuju (STS)
Tidak Setuju (TS)
Kurang Setuju (KS)
Setuju (S)
Sangat Setuju (S)

Kajian Rintis
Bagi mendapatkan kebolehpercayaan dan kesahan alat kajian iaitu instrumen kajian, ujian rintis telah
dijalankan ke atas 10 orang pelajar KSS di PKS. Kajian rintis ini bertujuan untuk mengetahui sama ada responden
memahami atau tidak soalan-soalan yang dikemukakan dan melihat kesesuaian item-item yang digunakan untuk
menentukan kesahan dan kebolehpercayaannya. Set soal selidik diproses dengan menggunakan perisian Statistical
Package For Social Science (SPSS).
Menurut Mohamad Najib Ghaffar (1999), instrumen yang dibina sendiri oleh pengkaji memerlukan kajian
rintis untuk menguji keobjektifan, kesahan dan kebolehpercayaan soalan. Melalui kajian rintis, kebolehpercayaan
soal selidik dapat ditentukan di mana kebolehpercayaan memberi darjah ketekalan dan ketepatan instrumen
pengukuran.
Hasil daripada kajian rintis ini, penyelidik telah mendapati nilai Cronbachs Alpha ialah 0.839 setelah
diproses dengan menggunakan SPSS Windows 15.0. Menurut Mohamad Najib Ghaffar (1999), kebolehpercayaan
yang tinggi mempunyai nilai Cronbachs Alpha melebihi 0.80. Ini menunjukkan soal selidik yang dibina itu
mempunyai nilai kebolehpercayaan yang agak tinggi dan berupaya mengukur pembolehubah-pembolehubah dalam
kajian ini dengan baik.

Kaedah Penganalisisan Data


Data yang diperolehi daripada responden dikumpul dan dianalisis menggunakan perisian SPSS versi 15.0.
Analisis deskriptif telah digunakan untuk mencapai objektif kajian yang pertama untuk mengenal pasti perbandingan
skor min, sisihan piawai dan peratus. Manakala, bagi mencapai objektif kajian yang kedua dan ketiga iaitu statistik
inferensi, Ujian t untuk dua sampel tak bersandaran digunakan.

Dapatan Kajian dan Perbincangan


Menerusi kajian yang telah dijalankan, sebanyak 49 orang responden telah mengembalikan borang soal
selidik yang telah diedarkan. Jadual 2 merupakan data skor min yang diperolehi berdasarkan pemeringkatan yang
telah dibuat.

Jadual 2 : Pemeringkatan Faktor-Faktor Pendorong Program Pengajian Diploma (KSS) di PKS

Min

Sisihan
Piawai

Pemeringkatan

Sambung belajar atas inisiatif sendiri

4.80

0.407

Untuk meningkatkan taraf profesion

4.73

0.491

Berminat untuk menambahkan ilmu pengetahuan

4.67

0.474

Program yang dijalankan relevan dengan pekerjaan dan


masa depan

4.67

0.516

Merasa diri mampu untuk mengikutinya

4.63

0.487

Mendapati kekurangan ilmu pada diri

4.57

0.612

Syarat kemasukan yang bersesuaian dengan sijil sedia


ada

4.55

0.542

Program pengajian di pusat pembelajaran telah diiktiraf

4.55

0.614

Berminat dengan program pengajian yang ditawarkan

4.43

0.645

Sedar belajar itu tuntutan agama

4.41

0.705

10

Dorongan ahli keluarga

4.39

0.731

11

Keperluan kenaikan pangkat

4.39

0.885

12

Kejayaan rakan-rakan yang mengikuti program ini

4.24

0.855

13

Reputasi pusat pembelajaran yang tinggi dan baik

4.18

0.635

14

Tiada masalah walaupun lokasi pusat pembelajaran jauh

4.18

0.905

15

Mampu menguruskan masa dengan baik

4.10

0.797

16

Sokongan rakan-rakan sekerja

4.08

0.786

17

Tiada masalah belajar di hujung minggu

4.06

0.944

18

Kaedah pengajaran dan pembelajaran di pusat


pembelajaran yang menarik

4.02

0.721

19

Mampu dari segi kewangan

3.86

0.866

20

Faktor-Faktor Pendorong

Tertarik untuk melanjutkan pelajaran menerusi iklan PSH


di media massa

3.86

0.957

21

Kemudahan di pusat pembelajaran yang mencukupi

3.82

0.858

22

Galakan pihak kerajaan

3.78

1.085

23

Adanya bantuan kewangan dari sumber lain (PTPTN,


KWSP, biasiswa dan lain-lain)

3.57

1.225

24

Dorongan majikan

3.53

1.002

25

Skala Skor Min: 1.00 2.49 = Rendah; 2.50 3.49 = Sederhana; 3.5 5.00 = Tinggi (Skala diadaptasi daripada
Mohd. Najib Bin Abdul Ghaffar,1999)

Berdasarkan kepada Jadual 2, faktor utama yang menjadi pendorong untuk PSH di PKS ialah responden
ingin mengikuti PSH bagi program pengajian Diploma KSS adalah disebabkan atas insiatif diri sendiri. Data juga
turut menunjukkan 98% responden bersetuju terhadap faktor ini. Perkara ini menunjukkan bahawa motivasi
responden sangat tinggi untuk melanjutkan pelajaran tanpa paksaan dan mengikut kerelaan hati. Responden sanggup
mengikuti aktiviti PSH atas inisiatif diri sendiri dan tetap menyahut cabaran yang mendatang. Ini bertepatan dengan
pendapat Siti Hawa Munji (1990) yang menyatakan bahawa motivasi menerusi inisiatif diri merupakan daya
penggerak utama yang menjamin kejayaan seseorang untuk mencapai matlamat.
Merujuk kepada kadar pemeringkatan yang dibuat, faktor pendorong kedua yang tertinggi ialah
meningkatkan taraf profesion. Sebanyak 96% responden bersetuju bahawa dengan melanjutkan pelajaran, taraf
profesion akan dapat dipertingkatkan. Lagipun, responden yang dikaji majoritinya merupakan pelajar lepasan SPM
(6%), Sijil Kolej Komuniti (4%) dan Sijil Politeknik (86%). Ditambah lagi, 88% daripada responden bekerja sebagai
juruteknik (juruteknik awam dan juruteknik komputer). Oleh hal yang demikian, dengan melanjutkan pelajaran ke
peringkat diploma, sekurang-kurangnya responden berpendapat bahawa gred dalam perjawatan turut berubah dan
kenaikan gaji juga akan diprolehi. Ini berkait rapat dengan motivasi ekstrinsik yang mempengaruhi individu untuk
berusaha bagi mendapatkan status sosial untuk taraf kehidupan yang lebih baik (Ramlah dan Mahani, 2002).
Faktor pendorong yang ketiga pula dengan nilai min 4.67 ialah responden ingin melanjutkan pelajaran
kerana ingin menambah ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing. Data juga menunjukkan 98% responden
bersetuju akan hal ini. Maknanya, aspek ilmu turut menjadi perkara pokok terhadap responden semasa membuat
keputusan untuk melanjutkan pelajaran demi meningkatkan kemahiran dan penguasaan kurikulum semasa. Menurut
Mahmood Nazar (2005), minat untuk mempelajari sesuatu merupakan sifat utama dalam pembangunan modal insan.
Ditambah lagi, individu atau pekerja yang berminat untuk mempelajari sesuatu adalah merupakan pekerja yang
produktif.
Semasa membuat keputusan untuk mengikuti program Pembelajaran Sepanjang Hayat di Politeknik
Kuching Sarawak, faktor pendorong keempat yang menjadi keutamaan responden ialah program pengajian yang
dijalankan di PKS adalah relevan dengan pekerjaan dan masa depan responden (96% bersetuju dan 4% kurang
setuju). Jika dikaitkan dengan latar belakang responden, sememangnya 86% responden merupakan lepasan Sijil
Politeknik. Maka, dengan penawaran KSS dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam dan Diploma Teknologi
Maklumat (Pengaturcaraan) di PKS, perkara ini menjadi satu tarikan cukup penting kepada responden untuk
mengikutinya. Lebih-lebih lagi, responden sememangnya bekerja dalam bidang tersebut. Ini juga dapat
memudahkan mereka untuk mengikuti Latihan Industri di jabatan atau agensi mereka sendiri selain daripada
meneruskan minat dalam bidang masing-masing.
Berhubung dengan program pengajian Diploma KSS yang ditawarkan di PKS, 96% responden bersetuju
bahawa syarat kemasukan ke program berkenaan adalah bersesuaian dengan sijil yang mereka ada. Selain daripada
itu, sebanyak 96% responden (nilai min = 4.55) bersetuju bahawa mereka tertarik untuk melanjutkan pelajaran di
PKS kerana mereka percaya bahawa program yang ditawarkan telah diiktiraf iaitu daripada Malaysian Qualification
Agency (MQA). Di samping itu, 94% responden turut berminat dengan program yang ditawarkan. Bahkan, 90%

daripada responden terdorong untuk melanjutkan pelajaran di PKS kerana mereka percaya PKS mempunyai reputasi
pusat pembelajaran yang tinggi dan baik. Ini ditambah lagi dengan faktor bahawa responden sedar belajar itu adalah
dituntut dalam agama dengan skor min yang agak tinggi iaitu 4.41.
Dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) di PKS, nilai skor min turut berada di tahap yang
tinggi iaitu 4.02 yang mana 82% bersetuju, 12% kurang setuju dan 4% tidak setuju. Keseluruhannya, faktor kaedah
P&P di PKS yang mengamalkan konsep Outcome Based Education (OBE) mampu untuk menarik minat pelajar
untuk terus menambahkan ilmu pengetahuan. Dari aspek geografi, 76% responden bersetuju bahawa mereka tiada
masalah untuk melanjutkan pelajaran walaupun lokasi PKS terletak jauh dari tempat kediaman mereka (22% kurang
setuju dan 2% sangat tidak setuju). Ini kerana menerusi Bahagian A : Latar Belakang Responden, pelajar KSS ini
bukan sahaja mereka yang berada di sekitar Kuching, tetapi ada dalam kalangan mereka yang bekerja dan berasal
dari Kapit, Bintulu, Mukah, Sibu, Sri Aman, Sarikei dan Betong. Hanya 48% responden yang berasal dari Kuching
dan selebihnya iaitu 52% responden berasal dari luar Kuching. Jarak lokasi pusat pembelajaran yang agak jauh
dengan ulang alik menaiki kenderaan darat dan air, tidak menjadi halangan untuk mereka terus belajar.
Elemen seterusnya juga turut dikaitkan dengan faktor belajar di hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad. Nilai
minnya masih tinggi iaitu 4.18 yang mana 80% responden bersetuju bahawa mereka tiada masalah belajar di hujung
minggu. Ini ditambah lagi dengan faktor dorongan oleh ahli keluarga iaitu 88% (min = 4.18) menyebabkan motivasi
responden untuk belajar di hujung minggu tidak menjadi masalah. Lagipun, 82% responden percaya bahawa mereka
mampu untuk menguruskan masa dengan baik dari segi masa bersama keluarga, bekerja sambil menyiapkan tugasan
pembelajaran.
Dalam aspek kenaikan pangkat, 86% responden bersetuju bahawa kriteria kenaikan pangkat menjadi salah
satu aspek yang penting untuk mereka melanjutkan pelajaran. Secara tidak langsung, apabila mereka memperoleh
diploma dan menjawat jawatan yang bersesuaian, taraf hidup mereka sekeluarga turut meningkat. Malah, rakanrakan juga menjadi faktor pendorong mereka untuk belajar lagi. Ini kerana 86% responden bersetuju bahawa mereka
ingin belajar ke peringkat diploma kerana melihat kepada faktor kejayaan rakan-rakan mereka yang telah mengikuti
program ini. Malah, 84% responden turut bersetuju bahawa rakan-rakan sekerja mereka turut memberikan dorongan
dan motivasi untuk mereka terus belajar.
Untuk skor min pada skala sederhana, walaupun tidak kritikal, tetapi perlu diberi perhatian. Dari aspek
kewangan, 76% responden bersetuju bahawa mereka mampu dari segi kewangan untuk pembayaran yuran, kos
penginapan dan pengangkutan semasa mengikuti PSH. Namun, 24% responden tidak setuju akan hal tersebut. Ini
ditambah lagi dengan nilai skor min untuk faktor bantuan kewangan yang agak sederhana (min = 3.57), hanya 62%
responden bersetuju mereka terdorong untuk menyambung belajar kerana adanya bantuan kewangan. Maknanya,
inisiatif dari pihak kerajaan, kerajaan negeri mahupun pihak majikan adalah amat diharapkan agar dapat memberi
alternatif bantuan kewangan kepada komuniti yang ingin menyambung belajar seperti bantuan biasiswa, pinjaman
atau tajaan daripada agensi syarikat.
Berdasarkan kepada faktor pengiklanan, 72% responden bersetuju bahawa mereka terdorong untuk
melanjutkan pelajaran menerusi iklan PSH di media massa. Kemudian, dengan nilai min 3.82 pada skala sederhana,
hanya 68% responden bersetuju bahawa kemudahan yang disediakan adalah mencukupi. Oleh itu, satu kajian
tindakan perlu dilaksanakan untuk mengenal pasti kemudahan yang belum mencukupi tersebut.
Kendatipun begitu, faktor galakan daripada pihak kerajaan untuk PSH mencapai nilai skor min 3.78 iaitu
(78% responden bersetuju). Manakala, 70% responden bersetuju mereka menyambung pelajaran atas dorongan
majikan dan 30% tidak bersetuju. Disebabkan faktor dorongan majikan berada di kedudukan bawah sekali, justeru
pihak majikan perlu mengambil perhatian dengan menawarkan insentif yang lebih menarik agar pekerja lebih
tertarik untuk mengikuti program PSH (hanya 56% bersetuju dan 44% tidak setuju).
Manakala, untuk dapatan kajian bagi objektif kajian kedua, berdasarkan Jadual 3, didapati tidak terdapat
perbezaan yang signifikan untuk faktor pendorong PSH tertinggi (menyambung belajar atas inisiatif sendiri) secara
KSS di PKS antara pelajar lelaki dan perempuan (t = 0.201; p 0.05). Bahkan, faktor pendorong menyambung
belajar atas inisiatif sendiri untuk pelajar lelaki (min = 4.79) adalah sama dengan pelajar perempuan (min = 4.81).

Jadual 3 : Faktor Pendorong PSH Tertinggi Secara KSS di PKS Mengikut Jantina
Jantina
Lelaki
Perempuan

Bilangan

Min

Sisihan Piawai

Nilai-t

28
21

4.79
4.81

0.418
0.402

-0.201

Tahap
Signifikan
0.688

Selain itu, menerusi Jadual 4, untuk objektif kajian ketiga, didapati tidak terdapat perbezaan yang
signifikan untuk faktor pendorong PSH yang tertinggi (menyambung belajar atas inisiatif sendiri) secara KSS di
PKS antara pelajar program Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dan Diploma Kejuruteraan Awam (t =
0.626; p 0.05). Skor min bagi program pengajian DIP (min = 4.83) dan DKA (min = 4.76) adalah hampir sama.
Jadi, faktor-faktor pendorong PSH secara KSS di PKS untuk pelajar DIP dan DKA adalah sama.
Jadual 4 : Faktor-Faktor Pendorong PSH Secara KSS di PKS Mengikut Program Pengajian
Program Pengajian

Bilangan

Min

Sisihan Piawai

Nilai-t

Diploma Teknologi Maklumat


(Pengaturcaraan) [DIP]
Diploma Kejuruteraan Awam[DKA]

24

4.83

0.381

0.626

25

4.76

0.436

Tahap
Signifikan
0.211

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, majoriti keseluruhan elemen faktor-faktor pendorong PSH secara KSS di PKS yang
dikaji adalah amat penting untuk dititikberatkan bukan sahaja dari pihak pelaksana PSH, bahkan majikan dan
kerajaan turut serta bekerjasama memahaminya agar agenda PSH negara yang dicanang-canangkan dapat
direalisasikan. Pemeringkatan yang dilakukan terhadap faktor-faktor pendorong yang dikaji juga adalah mustahak
untuk diteliti bagi memudahkan urusan pelaksanaan PSH di sesebuah institut pengajian. Faktor pendorong PSH
yang tertinggi ialah menyambung belajar atas inisiatif sendiri. Selain itu, tidak terdapat perbezaan yang signifikan
antara jantina dan juga program pengajian terhadap faktor menyambung belajar atas inisiatif sendiri.

Cadangan
Menerusi kajian ini, bagi menggalakkan lagi budaya PSH dalam masyarakat, khususnya kepada individu
yang bekerja, promosi PSH daripada pihak kerajaan perlu lebih giat lagi. Dapat dikenalpasti juga, dorongan majikan
untuk pekerjanya melanjutkan pelajaran agak sederhana hasil dapatan kajian. Justeru, dicadangkan agar pihak
majikan boleh mengambil inisiatif untuk menggunakan bantuan kewangan di bawah Skim Bantuan Latihan (SBL) di
bawah Human Resources Development Fund (HRDF) yang mana objektif skim ini adalah untuk menggalakan
majikan-majikan melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja selaras dengan keperluan perniagaan syarikat
mereka.
Untuk cadangan kajian lanjutan, pengkaji seterusnya boleh mengguna pakai elemen di dalam faktor-faktor
pendorong menerusi soal selidik kajian ini untuk menguji responden yang mengikuti program PSH di institusi
masing-masing. Di samping itu, pengkaji seterusnya juga boleh mengkaji bidang PSH yang lain selain daripada
Kursus Secara Sambilan seperti kursus jangka pendek, kursus terlanggan dan sebagainya. Pada masa yang sama,
pengkaji seterusnya boleh membuat kajian mengenai faktor-faktor yang menarik minat pelajar lepasan Sijil Kolej
Komuniti atau Sijil Politeknik untuk melanjutkan pengajian Diploma secara KSS setelah kemasukan secara Pointof-Entry dilaksanakan berdasarkan kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Rujukan
Berita Harian (2010). 20.8.2010 Pembelajaran Sepanjang Hayat Jadi Agenda Tingkat Keupayaan Modal Insan
Negara
http://www.bharian.com.my/articles/Pembelajaransepanjanghayatjadiagendatingkatkeupayaanmodalinsann
egara/Article/. Dicapai pada 18 September 2013.
Bernama (2010). Pembelajaran Sepanjang Hayat Jadi Agenda Tingkat Keupayaan Modal Insan
Negara.http://www.web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=522725/. Dicapai pada 19
September 2013.
Commission of the European Communities (2007). Delivering Lifelong Learning for Knowledge, Creativity and
Innovation. Draft 2008 joint progress report of the Council and the Commission on the Implementation of
the Education and Training 2010 Work Programme.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2012). Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Kementerian Pendidikan Malaysia, September 2012.
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (2011). Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara Fasa 2 (2011 2015) :
Mencetus Transformasi Pengajian Tinggi. KTPM
Krejcie, R. V., & Morgan, D. W. (1970). Determining Sample Size for Research Activities. Educational and
Psychological Measurement, 30, 607-610.
Mahmood Nazar Mohamed (2005). Pengantar Psikologi: Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkahlaku
Manusia. Dewan Bahasa & Pustaka : Kuala Lumpur.
Michael D. Tovey And Diane R. Lawlor (2008). Training in Australia. Australia. Pearson Education Australia
Mimi Mohaffyza dan Che Munira (2011). Keperluan Pembelajaran Sepanjang Hayat Bagi Tenaga Pengajar Di
Institut Latihan Kemahiran Di Malaysia. Tesis : Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Mohamad Najib Abdul Ghafar (1999). Penyelidikan Pendidikan. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd Majid Konting (2000). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka, Siri
Pendidikan.
Muhammad Sukri Saud dan Norhisham Monil (2005). Faktor-Faktor Pendorong Guru-Guru Teknikal Bukan
Siswazah Menyambung Pengajian Memiliki Ijazah. Penerbit : Universiti Teknologi Malaysia.
Nur Iwani Azmi dan Mohamad Hisyam (2012). Penerapan Pembelajaran Sepanjang Hayat Melalui Pelaksanaan
Pendidikan Asas Vokasional. Tesis : Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Ramlan Bin Zainal Abidin, Ahmad Esa dan Wan Mohd. Rashid (2008). Pendidikan Sepanjang Hayat : Isu, Cabaran
dan Peranan Sekolah Membangun Modal Insan Dalam Komuniti Setempat. Seminar Kebangsaan
Pengurusan Pendidikan PKPGB 2008, 16 Oktober 2008, UTHM.
Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2002). Psikologi Pendidikan: Pendekatan Kontemporari. McGraw-Hill
(Malaysia) Sdn. Bhd.
Siti Hawa Munji (1990). Pengantar Psikologi. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Suruhanjaya Eropah (2002). European Report On Quality Indicators of Lifelong Learning. Brusseles: DirectorateGeneral for Education and Culture.

Wiersma, William (1991). Research Methods in Education : An Introduction. Penerbit : National Library of
Australia.

Anda mungkin juga menyukai