Anda di halaman 1dari 13

TAHAP PENGUASAAN DAN PENGGUNAAN KEMAHIRAN BERTUTUR BAHASA

ARAB DALAM KALANGAN PELAJAR SARJANA MUDA PENDIDIKAN ISLAM,


FAKULTI PENDIDIKAN, UKM.

BAB 1
LATAR BELAKANG KAJIAN

1.1 PENDAHULUAN
Bahasa Arab merupakan bahasa yang penting dan mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi
agama Islam . Dengan itu, umat Islam amat perlu mempunyai pengetahuan Bahasa Arab kerana
ianya merupakan bahasa Al-Quran dan Hadis, dimana kedua-duanya merupakan sumber utama
aqidah Islam dan segala prinsip pengajarannya. Di samping Al-Quran dan Hadis, segala hasil
karya para sarjana Islam dahulu kala, baik berupa kitab, tafsir, hadis, fiqah, sejarah dan
sebagainya yang dianggap gedung perbendaharaan pengetahuan Islam yang agong itu semuanya
ditulis dalam Bahasa Arab. Selain daripada itu, ilmu pengetahuan moden juga banyak yang
ditulis dalam bahasa Arab, baik berupa karangan para sarjana Arab sendiri atau yang
diterjemahkan dari bahasa asing.
Tidak syak lagi bahawa Bahasa Arab amat penting kepada umat Islam. Memikirkan akan
perkara itu, maka kajian ini dikemukakan untuk mengkaji sejauhmana keberkesanan kemahiran
pengajaran Bahasa Arab kepada pelajar-pelajar yang merupakan pendukung panji-panji Islam di
masa akan datang. Dengan kata lain, kajian ini cuba membongkarkan faktor-faktor yang menjadi
penyebab kepada lemahnya pelajar dalam menguasai kemahiran lisan bahasa tersebut.
Latar belakang pengalaman pembelajaran pelajar yang mengambil bahasa Arab ini adalah
berbeza-beza dan pelbagai. Terdapat pelajar yang sudah mempelajari bahasa arab pada peringkat
kolej, pada peringkat persekolahan iaitu menengah dan rendah. Sistem pembelajaran yang
diamalkan tidak membezakan kelompok-kelompok pelajar di dalam kelas. Peperiksaan
penempatan tidak dilakukan sebelum kelas bermula. Oleh itu, kelas bahasa yang wajib diambil
selama 4 semester menggabungkan semua pelajar dari latar belakang yang berbeza.

Kepelbagaian pelajar mempengaruhi penguasaan mereka dalam kemahiran lisan bahasa arab
sebagaimana yang dinyatakan oleh teori Causal Attributional ( Pintrich & Schunk, 1996 ).
Dengan itu, kajian ini merupakan satu percubaan bagi menghuraikan aspek-aspek penting
dalam kemahiran lisan Bahasa Arab dengan membuat rumusan dan memaparkan beberapa
saranan yang dapat meningkatkan lagi mutu pencapaian pelajar dalam kemahiran lisan Bahasa
Arab.

1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN


Pengajaran bahasa dibahagikan kepada empat kemahiran utama, iaitu kemahiran mendengar,
kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan juga kemahiran menulis. Bailey (2005)
mengatakan ramai yang mempelajari sesuatu bahasa merasakan kemahiran bertutur dalam
bahasa yang dipelajari mereka lebih sukar berbanding kemahiran-kemahiran lain. Kesulitan ini
disebabkan pertuturan berlaku dalam masa yang sebenar. Apabila seseorang bertutur, penutur
tidak boleh menyunting atau mengulang balik apa yang dituturkan. Ini adalah berbeza dengan
penulisan yang boleh disunting dan dapat diulang kembali.
Dalam proses pengajaran bahasa, kemahiran menulis dan mengeja merupakan salah satu
kemahiran bahasa yang sangat penting dan perlu dikuasai oleh para pelajar dalam meningkatkan
mutu penggunaan Bahasa Arab pada masa hadapan. Kemahiran ini juga berjalan seiring dengan
kepentingan penguasaan kemahiran-kemahiran yang lain seperti kemahiran mendengar, bertutur
dan membaca, yang mana kemahiran ini merupakan titik tolak kepada penguasaan dan
penggunaan dalam Bahasa Arab yang baik.
Bertutur menurut Florez (1999) adalah proses interaktif dalam membina makna tertentu
yang melibatkan pengeluaran, penerimaan dan pemprosesan maklumat. Pertuturan adalah
bersifat spontan, terbuka dan semula jadi. Walaubagaimanapun, ia tidak sepenuhnya dapat
diramal. Baygate (2001) juga menganggap pertuturan sebagai satu proses yang melibatkan
pengetahuan dan kemahiran. Beiley (2005) pula mengatakan pertuturan merangkumi
pengeluaran ungkapan verbal yang sistematik untuk menyampai sesuatu makna atau maksud.

Bila dilihat kedudukan kemahiran bertutur dalam sesuatu kurikulum bahasa maka
kesimpulan penting yang dibuat oleh Luoma (2004) yang menyatakan kemahiran bertutur
merupakan komponen penting dalam kurikulum bahasa. Penguasaan kemahiran ini adalah satu
aspek yang penting menentukan kejayaan pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua atau
bahasa asing (Nunan,1991). Brown (2001) menyifatkan kemahiran bertutur sebagai tanda aras
kejayaan penguasaan sesuatu bahasa. Apabila seseorang itu bertutur, pendengar akan membuat
tanggapan tertentu terhadap personaliti, sikap dan kedudukan penutur ibunda ataupun tidak
(Luoma,2004).
Tinjauan yang telah dibuat dalam pencapaian pelajar dalam kemahiran bahasa Arab,
Ishak (1992) telah menyatakan bahawa pelajar yang telah menamatkan pelajarannya di sekolah
menengah mempunyai pencapaian yang rendah dalam kemahiran-kemahiran bahasa. Nik Mohd
Rahimi (1999) mendapati tahap kemahiran bertutur yang dicapai oleh responden kajiannya
berada pada tahap yang sederhana. Ini menunjukkan penguasaan kemahiran bertutur ini tidak
pada tahap yang dinyatakan di dalam objektif Kurikulum Bahasa Arab yang ingin menghasilkan
pelajar yang dapat bertutur dengan fasih dan lancar serta berkemampuan mengeluarkan pendapat
dan hujah-hujah dalam situasi tertentu (JAPIM, 2003).
Tarmizi (1997) telah melakukan kajian dengan mengedarkan soal selidik bagi
mendapatkan respons pelajar berkaitan keyakinan pelajar yang telah mengikuti Kurikulum
Bahasa Arab di SMKA dan Sekolah Berasmara Penuh (SBP). Dapatan kajian menunjukkan 65%
responden menyatakan bahawa mereka lemah dan sangat lemah dalam keyakinan untuk bertutur.
Peratusan melebihi separuh ini menunjukkan pelajar tidak berkeyakinan dalam bertutur
menggunakan bahasa Arab. Hanya 10% sahaja yang mengatakan mereka mempunyai keyakinan
yang amat baik dan baik manakala bakinya 25% mengatakan keyakinan untuk bertutur
menggunakan bahasa Arab pada tahap yang sederhana.
Dalam pengajaran bahasa, aspek pertuturan merupakan satu aspek yang penting yang
per;u diajarkan, dilatih dan diasah supaya pelajar-pelajar menjadi mahir (Jamaliah, 1988).
Pertuturan menggunakan bahasa ini merupakan aktiviti utama dalam komunikasi manusia.
Pertuturan ini juga merupakan satu sistem bahasa yang tekal dan sangat berguna untuk
menyampaikan makna melalui bunyi bahasa yang berkenaan. Pengajaran bidang ini mestilah

dilakukan dengan sistematik supaya pelajar-pelajar dapat dibantu menguasai kemahiran ini
dengan baik.
Oleh itu, kemahiran mendengar, menulis, bertutur dan membaca tidak dapat dipisahkan
daripada kemahiran yang lain. Seseorang itu tidak dapat menulis, sekiranya tidak tahu bagaimana
untuk menuturkan perkataan-perkataan dalam Bahasa Arab. Begitu juga, seseorang itu tidak
dapat membaca sekiranya dia tidak dapat mengenal huruf-huruf serta perkataan dalam Bahasa
Arab.

1.3 PERNYATAAN MASALAH


Kursus Bahasa Arab berada dalam kelompok bahasa ketiga yang ditawarkan kepada semua
pelajar program ijazah sarjana muda di universiti. Para pelajar program ijazah sarjana muda
Pendidikan Islam wajib mengambil Bahasa Arab dan mengikutinya selama empat semester.
Setiap semester jam kredit yang diperuntukkan ialah 2 jam kredit menyamai 2 kali pertemuan
seminggu.
Kemahiran bertutur merangkumi kemahiran mendengar dan menulis. Secara umumnya,
kajian tentang kemahiran bertutur telah mendapat perhatian ramai pengkaji sama ada pada
peringkat antarabangsa ( Brown & yulie, 1983; Buck, 2001 ; Bygate, 1987 ; Chiang & Dunkel,
1992; Ekhafaifi, 2005; Finnochiaro & Brumfit, 1983; Fulcher, 2003; Haycraft, 1984; Hughes,
2001; James, 1998; Rost, 2002) ataupun pada peringkat di Malaysia ( Abdul Aziz, 1988;
Baskaran, 1990; Khatijah & Abd Aziz, 1987; Raminah & Rahim, 1986). Dalam konteks
penilaian kemahiran bertutur bahasa Arab pada peringkat Malaysia, terdapat kajian yang
mengkaji kemahiran lisan pelajar sama ada kemahiran mendengar ( Nik Mohd Rahimi, 2004)
ataupun kemahiran bertutur (Zawawi, 2008).
Dalam konteks pengajaran bahasa Arab, kemahiran bertutur tidak diberi penekanan.
Mengikut Ishak Rejab (1992), Ab. Rahim (1993), Syed Omar (1997), dan Dahab (1997)
pengajaran bahasa Arab di Malaysia masih lagi banyak menggunakan Kaedah Nahu dan
Terjemah. Antara kelemahan kaedah ini ialah lebih menekankan kepada kemahiran membaca
dan penguasaan nahu bahasa Arab, dan mengabaikan kemahiran bertutur dan mendengar

(Hamidah 1987). Pendapat ini selari dengan dapatan kajian oleh Maimun (1997) yang
menunjukkan kaedah Nahu dan Terjemah hanya memahirkan pelajar-pelajar dalam dua
kemahiran sahaja itu kemahiran membaca dan menulis. Dengan itu, kemahiran bertutur tidak
diberi tumpuan. Bahkan kemahiran yang selalu digunakan adalah kemahiran menulis dan
kemahiran membaca.
Sementara itu, kajian-kajian lepas bahasa Arab menunjukkan kelemahan pelajar-pelajar
dalam menguasai kemahiran-kemahiran berbahasa Arab. Osman Haji Khalid (1993) dalam
kajiannya terhadap penguasaan bahasa Arab di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah yang
diterima masuk ke Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati bilangan
perbendaharaan kata bahasa Arab di kalangan tersebut ialah sekitar 500 hingga 1000 perkataan.
Tetapi sasaran Sukatan Pelajaran Bahasa Arab menjangkakan pelajar-pelajar dapat menguasai
2000 patah perkataan pada peringkat menengah rendah dan 3000 perkataan pada peringkat
menengah atas. Ini menunjukkan pelajar-pelajar masih lagi di bawah tahap penguasaan bahasa
Arab yang dikehendaki. Nik Mohd Rahimi (1999) pula telah menjalankan kajian tentang tahap
kemahiran bertutur bahasa Arab dalam kalangan pelajar-pelajar tingkatan empat Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama di tiga buah negeri di Semenanjung Malaysia. Kemahiran
bertutur mempunyai sub-subkemahiran yang berbeza dengan sub-subkemahiran mendengar dan
kemahiran yang lain. Kemahiran bertutur dikategorikan sebagai kemahiran kreativiti dan
kemahiran mendengar dikategorikan sebagai kemahiran kefahaman (Solah al-Arabi 1981).
Dalam kajian ini, pelajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab tidak dapat bertutur dengan
lancar dalam Bahasa Arab terutamanya apabila proses pengajaran dan pembelajaran berlaku
dalam proses pengajaran makro. Di mana, pelajar-pelajar agak sukar untuk menggunakan
perkataan arab sehingga mengganggu proses pengajaran di dalam kelas makro dan terdapat juga
perkataan yang hendak disampaikan disalahtafsir oleh pelajar yang diajar.
Manakala melalui penggunaan dalam kehidupan seharian pelajar melalui kemahiran
bertutur, pelajar-pelajar tidak dapat menguasai kemahiran tersebut dengan baik dan tidak dapat
menggunakan kemahiran bertutur dengan mudah dengan
kurang keyakinan untuk menggunakannya.

berlakunya kekeliruan mahupun

Disebabkan

itu,

berdasarkan

kepada

permasalahan-permasalahan

yang

telah

dibincangkan tadi, maka kajian ini adalah untuk melihat dan meninjau terhadap tahap
penguasaan dan penggunaan kemahiran bertutur bahasa Arab dalam kalangan pelajar Sarjana
Muda Pendidikan Islam. Selain itu, dengan wujudnya permasalahan tersebut, maka penyelidikan
ini merupakan sebahagian daripada faktor-faktor utama yang membawa kepada kajian ini.

1.4 OBJEKTIF KAJIAN


Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti masalah kemahiran bertutur bahasa Arab dalam
kalangan pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam di Fakulti Pendidikan. Secara khususnya,
kajian ini bertujuan untuk mengkaji:
1.4.1

Sejauh manakah tahap penguasaan kemahiran bertutur bahasa Arab dalam kalangan
pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam di Fakulti Pendidikan, UKM.

1.4.2

Sejauh manakah tahap penggunaan kemahiran bertutur kepada pelajar Sarjana Muda
Pendidikan Islam di Fakulti Pendidikan, UKM.

1.4.3

Untuk mengenal pasti faktor-faktor kurangnya dalam menggunakan kemahiran


bertutur bahasa Arab dalam kalangan pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam.

1.4.4

Untuk mengenal pasti faktor-faktor kurangnya dalam menguasai kemahiran bertutur


bahasa Arab dalam kalangan pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam.

1.4.5

Untuk mengenal pasti tindakan yang perlu dilakukan dalam meningkatkan kemahiran
bertutur bahasa Arab kepada pelajar-pelajar.

1.4.6

Untuk mengenal pasti pandangan pelajar terhadap cara untuk menguasai dan
menggunakan kemahiran bertutur dalam bahasa Arab.

1.5 PERSOALAN KAJIAN


Terdapat beberapa persoalan kajian yang telah dibina, iaitu :

1.5.1

Sejauh manakah tahap penguasaan kemahiran bertutur bahasa Arab dalam kalangan
pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam di Fakulti Pendidikan UKM ?

1.5.2

Sejauh manakah tahap penggunaan kemahiran bertutur kepada pelajar Sarjana Muda
Pendidikan Islam di Fakulti Pendidikan UKM ?

1.5.3

Adakah terdapat faktor-faktor yang menyebabkan kurangnya penggunaan kemahiran


bertutur kepada pelajar ?

1.5.4

Adakah terdapat faktor-faktor yang menyebabkan kurangnya penguasaan kemahiran


bertutur kepada pelajar ?

1.5.5

Adakah tindakan pelajar dapat meningkatkan tahap penguasaan dan penggunaan


kemahiran bertutur bahasa Arab ?

1.5.6

Adakah terdapat kepentingan kepada pelajar untuk mengubah cara dalam menguasai
dan menggunakan kemahiran bertutur bahasa Arab ?

1.6 HIPOTESIS KAJIAN


1.6.1 Tahap penguasaan kemahiran bertutur bahasa Arab dalam kalangan pelajar Sarjana
Muda Pendidikan Islam berada pada tahap sederhana.
1.6.2 Tahap penggunaan kemahiran bertutur bahasa Arab dalam kalangan pelajar Sarjana
Muda Pendidikan Islam berada pada tahap sederhana.
1.6.3 Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan kurangnya penggunaan kemahiran bertutur
bahasa Arab kepada pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam.
1.6.4 Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan kurangnya penguasaan kemahiran bertutur
bahasa Arab kepada pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam.
1.6.5 Terdapat kepentingan kepada pelajar untuk mengubah cara dalam menguasai dan

menggunakan kemahiran bertutur bahasa Arab.

1.7

KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini sangat penting dijalankan kerana pelajar-pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam
masih kurang dalam penguasaan dan penggunaan kemahiran bertutur bahasa Arab berbanding
dengan kemahiran-kemahiran yang lain seperti kemahiran membaca, kemahiran mendengar, dan
kemahiran menulis. Oleh itu, kajian yang dilakukan adalah untuk meningkatkan lagi tahap
penguasaan kemahiran bertutur bahasa Arab serta menggunakannya dengan lebih sistematik lagi
kepada para pelajar. Selain itu, kemahiran ini juga merupakan medan yang penting kepada
pelajar terutamanya untuk persediaan mengajar di sekolah pada masa akan datang. Dengan
penguasaan dan penggunaan yang baik dalam kemahiran ini, para pelajar tidak akan kekok
dalam mempraktikkan kemahiran bertutur ini. Kajian ini juga merupakan satu cara untuk
mengenalpasti cara yang perlu digunakan dalam meningkatkan penguasaan dan penggunaan
kemahiran bertutur bahasa Arab ini. Bahkan, kemahiran ini jarang sekali digunakan dalam
kehidupan seharian pelajar.

1.8

BATASAN KAJIAN

Kajian yang dilakukan merupakan satu kajian yang hanya dilakukan kepada pelajar Sarjana
Muda Pendidikan Islam Fakulti Pendidikan sahaja. Skop kajian ini adalah untuk mengkaji
permasalahan-permasalahan yang timbul terhadap penguasaan dan penggunaan bahasa Arab
khususnya permasalahan terhadap kemahiran bertutur. Kajian yang dilakukan melibatkan 40
orang pelajar dimana seramai 10 orang pelajar lelaki dan 30 orang pelajar perempuan.

BAB II
KAJIAN LITERATUR

2.1

PENDAHULUAN

Bab ini membincangkan literatur yang berkaitan dengan aspek-aspek kemahiran bertutur bahasa
Arab yang dikaji dalam kajian ini. Perbincangan literatur adalah sebahagian daripada kerangka
reka bentuk penilaian dan ia merupakan peringkat pertama sekali yang perlu dilakukan oleh
penilai sebelum turun ke lapangan. Pada peringkat ini, ciri-ciri kemahiran bertutur bahasa Arab
dan aspek-aspek kajian perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum memungut data. Peringkat ini
dikenali sebagai peringkat menentukan latar belakang tugasan.

2.2

BAHASA ARAB DI MALAYSIA

Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran yang mulia dan juga bahasa kebudayaan Islam sepanjang
zaman. Lafaz-lafaz bahasa Arab telah banyak memasuki negara kita ketika kemasukan Islam ke
Tanah Melayu. Huruf-huruf Jawi dibentuk daripada huruf-huruf Arab. Ramai anak-anak
Malaysia telah mula belajar ilmu-ilmu Islam, mereka bermusafir ke Mekah al-Mukarramah, dan
sesetengahnya pergi ke Yaman ataupun ke Universiti al-Azhar di Kaherah. Setelah mereka
kembali ke tanah air, mereka mengasaskan sekolah-sekolah yang dikenali dengan cara
berkumpulan. Ramai pelajar-pelajar yang menerima sekolah ini dan mereka belajar bahasa Arab
di sana.
Pembelajaran bahasa Arab amat penting di sekolah. Ia dikenali dengan nama Pondok.
Kaedah-kaedah bahasa Arab adalah asas pengajaran di sana., sehingga para pelajar dapat
memahami dengan baik nas-nas Islam yang dipelajari. Pada peringkat permulaannya mereka

belajar al-Quran dan al-Hadith, sehingga mereka mampu membaca kitab-kitab Tafsir dan Feqah
di dalam bahasa Arab. Sekolah yang kecil ini kemudian berkembang menjadi besar, dikenali
sebagai sekolah Arab. Pelajar-pelajar yang keluar daripada sekolah ini akan keluar dan
menyambung pelajaran mereka di Universiti al-Azhar ataupun di Mekah al-Mukarramah,
kebanyakan daripada mereka mencapai cita-cita untuk belajar di sana, kemudian kembali semula
ke negara mereka.
Sesungguhnya bahasa Arab diterima secara meluas di Malaysia. Banyak nama-nama
orang Islam menggunakan bahasa Arab, dan banyak juga wilayah-wilayah di Malaysia
menggunakan nama Arab yang hamper dengan nama-nama Melayunya, ia juga mengadakan
kerjasama yang besar dengan dunia Arab, bahasa Arab juga merupakan salah satu bahasa yang
digunakan di dalam urusan pada peringkat antarabangsa.
Bahasa Arab adalah bahasa yang berasal dari Semenanjung Tanah Arab, dan ia bukan
bahasa asal bagi penduduk-penduduk di Malaysia. Sejarah kedatangan bahasa Arab ke kepulauan
Melayu tidak diketahui dengan tepat, tetapi yang pastinya bahasa Arab datang ke kepulauan
Melayu bersama dengan kedatangan Islam (Abdullah Ishak, 1995). Justeru pengajaran dan
pembelajaran bahasa Arab di kepulauan Melayu banyak dipengaruhi oleh domain agama,
malahan dikatakan orang belajar bahasa Arab adalah juga belajar agama Islam (Abdullah Hasan,
1987). Jika berdasarkan bahasa Arab bukan bahasa asal penduduk di kepulauan Melayu,
mengikut Asmah Haji Omar (1992) bahasa Arab diklasifikasikan sebagai bahasa asing.
Sebaliknya, jika berdasarkan situasi penggunaannya dan keperluan perkembangannya dalam
sistem pendidikan di Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai bahasa kedua, yang perlu dipelajari
selepas bahasa ibunda.

2.2.1

Ciri-ciri bahasa kedua

Bahasa kedua atau bahasa asing merupakan dua istilah yang digunakan untuk bahasa tambahan
kepada bahasa ibunda, yang diperolehi dan dikuasai oleh seseorang itu semenjak lahir lagi.
Sebagai contoh, jika bahasa pertama seseorang individu adalah bahasa Melayu, maka bahasa
yang diperolehi atau dipelajari selepas itu dinamakan bahasa kedua atau bahasa asing.

2.2.2 Bahasa Arab dalam konteks masyarakat Malaysia


Jika ditinjau dari konteks yang lebih besar lagi, iaitu masyarakat Islam di Malaysia,
bahasa Arab digunakan oleh setiap muslim di Malaysia pada setiap hari. Mengikut Ab. Rahim
(1993) bahasa Arab dianggap bahasa yang penting bagi tujuan keagamaan dalam masyarakat
Melayu Islam di Malaysia, di mana masyarakat Melayu Islam, sekurang-kurangnya mesti boleh
menyebut bahasa Arab, walaupun tidak begitu memahaminya. Antara aktiviti yang
menggunakan bahasa Arab ialah ketika solat, doa dan membaca al-Quran. Solat ialah aktiviti
ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim, di mana ayat-ayat al-Quran dan doa-doa
tertentu perlu dibaca dan dilafazkan dengan betul untuk menjamin kesahan solat itu, dan
semuanya itu dalam bahasa Arab. Oleh itu, bahasa Arab sememangnya bahasa yang sudah
dikenali oleh setiap muslim di Malaysia ini. Dan sudah menjadi bahasa aktiviti harian bagi
mereka. Tidak keterlaluan, jika dikatakan bahawa bahasa Arab juga menjadi bahasa komunikasi
harian setiap muslim di Malaysia ketika berdoa kepada Allah dengan menggunakan bahasa Arab
atau boleh dinamakan bahasa Arab sebagai bahasa ibadah bagi orang Islam di Malaysia.

2.3

PENDIDIKAN BAHASA ARAB DI MALAYSIA

Bahasa Arab sering kali dilihat sebagai suatu bahasa yang tidak dapat dipisahkan daripada
masyarakat Melayu umumnya dan umat Islam di Malaysia khususnya. Perbendaharaan kata
bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh bahasa Arab. Tulisan Jawi pula dilahir dan digunakan di
Nusantara hasil daripada proses asimilasi karakter tulisan bahasa Arab. Paling kurang, umat
Islam dianggap menggunakan bahasa Arab sama ada di dalam solat atau ketika membaca alQuran. Kesemua ini dilihat sebagai antara faktor yang menjadikan pendidikan bahasa Arab di
Malaysia begitu pentingdan suatu perkara yang perlu dipertahankan. Demi survival,
pendidikan bahasa Arab perlu menyesuaikan dirinya dengan kehendak semasa dan perubahan
zaman.

BAB III
METODOLOGI KAJIAN

3.1

Reka Bentuk Kajian

Kajian kuantitatif ini dijalankan di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi
Selangor. Kajian ini melibatkan pelajar daripada Fakulti Pendidikan yang mengambil jurusan
Sarjana Muda Pendidikan Islam. Bilangan sampel yang diperlukan dalam kajian ini adalah
seramai 40 orang. Tahap penguasaan dan penggunaan kemahiran bertutur mereka telah
ditentukan berdasarkan kepada penggunaan komunikasi harian mereka serta aktiviti pengajaran
makro mereka di dalam subjek Kaedah Pengajaran Bahasa Arab di fakulti.

3.2

Instrumen Kajian

Instrumen soal selidik digunakan bagi mengumpul maklumat tentang tahap penguasaan dan
penggunaan kemahiran bertutur bahasa Arab dalam kalangan pelajar Sarjana Muda Pendidikan
Islam UKM. Soal selidik tersebut dibina berdasarkan gagasan yang terdapat dalam SPSS
(Statistical Package for the Social Science). Sebanyak 40 item telah digunakan bagi mengumpul
maklumat yang dikehendaki, dan 40 item tersebut diambil daripada item-item daripada SPSS.

3.3

Prosedur Kajian

Soal selidik ini diagihkan kepada pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam, Fakulti Pendidikan
UKM. Para responden diberikan penerang terlebih dahulu sebelum soal selidik diagihkan. Segala

maklumat yang telah diberikan oleh responden merupakan rahsia dan ia bertujuan untuk
penyelidikan sahaja.

3.3

Analisis Data

Bagi mengkonsepsikan pola penguasaan dan penggunaan kemahiran bertutur bahasa Arab, tahap
yang diperolehi berdasarkan skala likert direkodkan. Dan untuk menentukannya, data dianalisis
menggunakan statistic deskriptif.

KESIMPULAN
Kajian ini mendapati bahawa tahap penggunaan dan penguasaan kemahiran bertutur bahasa Arab
dalam kalangan pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam berada pada tahap yang sederhana.
Beberapa penambahbaikan telah dicadangkan supaya tahap penguasaan dan penggunaan
kemahiran bertutur bahasa Arab dapat dipertingkatkan.

Anda mungkin juga menyukai