Anda di halaman 1dari 6

BERKAWAN BIAR SERIBU Di dalam sebuah hutan, tinggallah binatang-binatang yang hidup bermuafakat di antara satu sama lain.

Mereka saling tolong menolong dan sentiasa hidup di dalam keadaan yang aman damai. Pada suatu hari, tupai ingin mengadakan majlis harijadi di rumahnya. Beberapa hari sebelum itu ia telah sibuk melakukan persiapan untuk meraikan ulangtahunnya itu. Kadkad jemputan juga telah diedarkan kepada seluruh isi hutan. Lagipun si tupai itu sudah rindu untuk berjumpa dengan rakan-rakannya untuk bertukar-tukar pendapat. Bila tiba harinya, tupai kelihatan sibuk membersihkan halaman rumahnya dan menyusun kerusi meja. Disapunya daun-daun kering yang berselerakan di halaman rumahnya dan dibakar semua sampah sarap yang ada. Setelah puas hati semuanya bersih si tupai berkata di dalam hatinya. "Sekarang semuanya sudah bersih, dan sekarang aku akan menyiapkan hidangan untuk para tetamu pula." Dengan berhati-hati dibantu oleh keluarganya, tupai mengeluarkan hidangan dan meletakkannya di atas meja. Bermacam-macam jenis kuih telah disediakan. Tanpa disedari oleh tupai di dalam ia sibuk menghidangkan makanan di halaman rumah, ada sepasang mata sedang mengintainya dari atas pokok. Setiap kali tupai membawa makanan dari dapur, setiap kali itulah monyet yang di atas pokok itu gelisah. Sebenarnya monyet itu memang terkenal dengan sikapnya yang tidak suka bergaul dan suka pula mencuri. Monyet menunggu peluang sehingga tupai siap menghidang makanan. Apabila saja tupai masuk ke dalam rumahnya, monyet cepat-cepat turun dari pokok tempat persembunyiannya. Kemudian dengan cepatnya dia mencuri makanan yang ada di atas meja dan lari semula di belakang pokok melihat bagaimanakah reaksi tupai seterusnya.

Namun si monyet itu tidak menyedari yang tupai sedang melihatnya dari dalam rumah.

"Oh si monyet rupanya yang mencuri makananku. Nanti, tahulah aku bagaimana mengajar ia," kata tupai di dalam hati. Dengan tidak membuang masa, tupai mengambil alat penyembur dan menyembur makanannya satu persatu. Sambil bersiul-siul tupai, ia melirik pandang ke arah tempat persembunyian monyet. Monyet terkejut besar. "Apalah agaknya yang disemburkan oleh tupai? Sudah tentu dia menyemburkan racun. Tentunya makanan aku sudah dicampurkan dengan racun. Aku tidak bodoh. Aku tidak mahu mati kerana si tupai," kata monyet tegas. Monyet terus membuang makanan-makanan yang masih ada di tangannya. "Mujur aku tidak sempat makan. Dengan tergesa-gesa monyet meninggalkan tempat itu. "Baguslah sekarang monyet telah pergi, tentu ia marah kalau tahu yang aku hanya menyembur air biasa," kata tupai tersenyum puas. Tupai merasa amat gembira kerana hari ini ia berjaya mengenakan monyet. Sambil tersenyum ia menanti kedatangan para tetamunya. Tidak lama selepas itu, kelihatan kawan-kawan tupai datang membawa hadiah untuk tupai. Apabila semuanya telah berkumpul, masing-masing sibuk bertanyakan hal si monyet Tupai menceritakan segalanya pada kawan-kawannya. Mereka tertawa mendengar cerita si monyet ditipu. Gajah yang sedang sibuk makan berkata, "biarkan dia tahu bagaimana seksanya hidup tanpa kawan-kawan dan sering ditipu begini." Tiba-tiba mereka melihat monyet datang dengan wajah yang muram. la terus mendapatkan tupai dan meminta maaf kepada tupai kerana mencuri makanan. Begitu'juga dengan kawan-kawannya yang lain. Monyet berjanji untuk tidak mencuri lagi dan tidak akan mengasingkan diri dari kawan-kawan yang lain. Semenjak dari itu si monyet menjadi kawan yang paling baik dan sering membuat kawan-kawan yang lain terhibur dengan telatahnya yang suka berjenaka.

HELANG YANG SETIA


Al-kisah terdapat seorang pemburu mempunyai seekor burung helang yang sangat bijak. Setiap kali dia pergi berburu, pemburu itu mesti membawa burung itu bersama. Pada suatu hari, pemburu itu masuk ke dalam hutan untuk memburu dengan helang kesayangannya. Sebaik tiba di dalam hutan, burung helang pun terbang sambil melihat ke bawah mencari binatang yang diburu oleh tuannya.

Tiba-tiba burung helang terbang dengan pantas ke satu tempat. Melihat reaksi helangnya, pemburu tahulah bahawa burung helang nampak binatang yang diburu. Apabila tiba ke tempat itu, pemburu nampak seekor pelanduk yang sedang enak memakan buah-buahan hutan di situ. Tanpa disangka pemburu, si pelanduk sedar akan kedatangan pemburu itu lalu menyelamatkan dirinya.

Pemburu dan helangnya pun mengejar pelanduk itu yang lari naik bukit dan turun bukit menyelamatkan dirinya daripada diburu. Pelanduk itu berlari dan terus berlari sehingga tiba di tepi sungai ia pun berhenti. Pelanduk itu mula resah kerana ia tidak boleh menyeberang sungai. Akhirnya pemburu pun berjaya menangkap pelanduk itu setelah penat mengejarnya tadi. Selepas penat pemburu mengejar pelanduk itu, pemburu mula rasa sangat dahaga dan dia pergi ke tepi sungai untuk mencedok air sungai itu dengan tangan.

Apabila pemburu itu hendak meminum air sungai itu dengan tangan, tiba helangnya menepis air di tangan pemburu. Pemburu itu mencedok air sungai sekali lagi, burung helang menepis tangan tuannya sekali lagi.

Akibatnya pemburu itu sangat marah lalu memanah ke arah burung helang kesayangan yang sedang terbang itu. Burung helang itu pun jatuh menyembah bumi di tepian hulu sungai. Pemburu itu berlari untuk mendapatkan burung helangnya dan mendapati helangnya telah mati dengan matanya yang terbuka, seolah-olah berkata, Tuan, kenapa tuan memanah saya? Apa salah saya?. Tidak jauh dari tempat burung helang itu jatuh, pemburu itu ternampak seekor ular berbisa yang telah mati. Racun daripada ular meleleh masuk ke dalam sungai. Maka pemburu itu sedar mengapa helangnya itu menepis tangannya setiap kali dia hendak mencedok air sungai tersebut. Sesiapa yang meminum air sungai itu pasti akan jatuh sakit kelak. Rasa kesal memanah helangnya pun membuak dalam hati pemburu itu. Sungguh setia helang aku, maafkan aku helang kata pemburu itu pada helangnya yang mati itu.

PEMOTONG KAYU YANG JUJUR


Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak. Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi, pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit. Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya. Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.

Tiba-tiba genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu termasuk kedalam sungai yang dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki. Hendak terjun mencari takut disambar arus, merataplah ia mengenangkan nasib. Maka bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut lalu turunlah ia bertanya, "Wahai orang tua. Kenapa bersedih hati?" Dengan nada perasaan takut dan terkejut, orang tua tersebut menceritakan apa yang berlaku. "Baiklah, akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam." Lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul lah kembali si pari-pari sambil mebawa kapak emas lalu dihulur kepada situa. Dengan sedih, jawab situa, "Bukan. Ini bukan kepunyaan hamba. Tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini."

Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur. Maka apabila terpandang akan kapak itu, giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujurannya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.

Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat.

Anda mungkin juga menyukai