Anda di halaman 1dari 14

21 Aktiviti Menarik Bulan Sains dan

Matematik
Rabu, April 02, 2014 Hal Guru, Inovasi, Kreatif 21 comments
Bulan April dah mula menjengah. Maka bermulalah juga Bulan Sains dan Matematik
di sekolah saya. Banyak juga aktiviti yang dah dirancangkan. Jom saya kongsikan
sket cadangan 21 Aktiviti menarik bagi Bulan Sains dan Matematik. Mudahmudahan dapat membantu rakan guru di luar sana dalam mencari idea untuk
diadakan di sekolah masing-masing.

1. Pertandingan Fotografi Sains


Pertandingan fotografi ini adalah seperti pertandingan fotografi yang lain. Janji
gambar nampak cantik di mata cikgu, maka cikgu dah boleh isytiharkan siapa
pemenangnya. Bagi pertandingan ini, subjek dan temanya mesti lah ada kena
mengena dengan Sains. Sebagai contohnya, tumbuhan berbunga atau tumbuhan
tidak berbunga.

Penggunaan kamera bergantung kepada cikgu sendiri, sama ada nak sediakan
banyak-banyak kamera, atau pun benarkan pelajar menggunakan kamera sendiri.
Pertandingan ini sebenarnya saya dah kongsikan secara detail dalam entri yang
terdahulu.

2. Pameran Sains
Ini adalah aktiviti yang agak biasa dijalankan di mana-mana sekolah. Bezanya
mungkin bergantung kepada apa benda yang nak dipamerkan. Jika ada bahan
pameran yang menarik dan boleh membuatkan pelajar rasa teruja nak melihat dan
membelek bahan pameran anda, maka dipersilakan. Jika bahan pameran adalah
biasa-biasa sahaja, maka saya rasa aktiviti ini agak membosankan.

3. Pertandingan Telur Kebal


Pertandingan Telur Kebal ini adalah pertandingan mencipta bahan sokongan bagi
telur, supaya tak pecah jika dijatuhkan daripada tempat yang tinggi. Kalau tak pecah,
maka kebal lah telur itu. Pelajar boleh menggunakan kaedah masing-masing
sekreatif mungkin, tetapi masih berpandukan kepada syarat-syarat yang telah
ditetapkan.

Semakin ketat peraturan yang cikgu tetapkan, maka semakin kreatif lah hasil
daripada pelajar nanti. Aktiviti ini agak menarik dan cukup menghiburkan. Jangan
terkejut dengan kreativiti anak murid cikgu dalam menghasilkan produk mereka!

4. Kuiz Sains (bertulis)


Ini juga adalah aktiviti turun temurun dan menjadi kebiasaan kepada hampir semua
sekolah. Namun, rakan guru boleh mengkreatifkan kuiz ini dalam bentuk yang lebih
terkini. Sebagai contoh, dengan menggunakan Makmal Komputer bagi menjawab
soalan yang sudah diselaraskan. Minta bantuan daripada rakan guru yang mahir
dalam menetapkan penggunaan ICT, inshaAllah aktiviti kuiz ini juga boleh jadi
aktiviti yang menarik.

5. POPKUIZ Sains
Aktiviti kuiz yang berbentuk seperti POPKUIZ ini juga dapat menarik minat pelajar
untuk mengikuti aktiviti Bulan Sains dan Matematik dengan jayanya. Adakan
kumpulan daripada setiap kelas yang terdiri daripada 2 / 3 orang dalam satu
kumpulan.

Beberapa pusingan boleh diadakan bergantung kepada kreativiti cikgu. Mungkin

pusingan pertama memberi peluang kepada setiap kumpulan untuk memilih soalan,
diikuti pusingan kedua yang memberi peluang kepada kumpulan yang paling pantas
menjawab soalan.

6. Pertandingan Amali
Pertandingan amali adalah pertandingan yang mengkhususkan kepada kemahiran
menjalankan eksperimen dengan baik. Pemilihan eksperimen adalah bergantung
kepada guru. Lebih susah eksperimen yang dijalankan, lebih mencabar pertandingan
tersebut kepada pelajar.

Pemarkahan boleh dinilai pada hasil akhir eksperimen, kemahiran menjalankan


eksperimen dan perkara-perkara yang berkaitan dengan nilai semasa menjalankan
eksperimen.

7. Drama Sains
Aktiviti ini juga merupakan aktiviti yang menarik. Ada kelainannya. Setiap
kumpulan diberikan masa 10 minit bagi mempersembahkan drama yang
berunsurkan Sains. Kreativiti adalah bergantung kepada pelajar sama ada mahu
menggunakan konsep sketsa, puisi dan lagu, atau apa-apa seni persembahan lain.

Pemarkahan diberi pada kandungan Sains yang dinyatakan dalam drama, kreativiti
dan penggunaan bahan yang sesuai. Jika ada faktor lain yang boleh dinilai, seperti
mutu lakonan dan persembahan, maka mungkin rakan guru boleh berikan markah
bonus.

8. Pertandingan Video
Jika sekolah anda mempunyai budaya 'video' yang bagus, maka saya sarankan
diadakan pertandingan mencipta video berunsurkan Sains. Jika tak ada pun, masih
rakan guru boleh teruskan aktiviti ini dengan seringkas mungkin.

Pelajar menghasilkan video pendek, dalam jangka masa 2 - 5 minit yang


menerangkan mengenai apa-apa yang berkaitan dengan Sains. Video boleh dirakam
terus dengan menggunakan apa jua jenis kamera (termasuk kamera telefon), dan
boleh juga dalam bentuk yang sudah di-edit.

9. Membina model
Pertandingan ini juga dapat membina kreativiti pelajar anda. Guru-guru boleh
tetapkan syarat dan juga peraturan yang perlu dipatuhi pelajar. Sebagai contohnya,

wajib menggunakan bahan terpakai.

Tujuan model dibina juga boleh dipelbagaikan dengan menetapkan tema perhiasan
rumah, tema projek alam sekitar, tema barang pelbagai-guna dan macam-macam
lagi.

10. Pertandingan Memasang Model


Pertandingan ini saya dapat idea semasa menjalankan pdp dalam kelas. Pelajar
sangat teruja mahu siapkan memasang model dengan masa yang paling pendek.
Maka saya anjurkan pertandingan memasang model paling cepat.

Model yang cikgu boleh gunakan adalah model manusia dan juga model litar elektrik
(selari dan bersiri). Hati-hati juga. Takut ada yang terlebih excited nak pasang
model, sampai habis rosak model yang ada.

11. Explorace Sains / Saintis Muda


Pertandingan ini dicedok daripada pertandingan Explorace yang popular suatu
ketika dahulu. Konsepnya lebih kurang sama, iaitu ditetapkan beberapa stesyen,
dengan setiap stesyen mempunyai tugasan tertentu yang perlu diselesaikan.
Kumpulan yang paling awal menamatkan cabaran, akan dikira sebagai pemenang.

Bagi setiap stesyen, banyak aktiviti atau tugasan yang boleh ditetapkan. Kalau cikgu
mahu lebih menarik, jalankan aktiviti ini di luar daripada kelas dan juga makmal.
Tentu meriah melihat kumpulan pelajar terkejar-kejar ke sana ke sini bagi

mendapatkan jawapan!

12. G-Math
Ini adalah pertandingan yang mirip kepada permainan sahibba. Bezanya permainan
ini memerlukan kemahiran asas mengira + - / x dalam menghasilkan sesuatu
persamaan matematik itu.

Bagi yang belum pernah mencuba, mungkin agak sukar. Namun jika sudah mula
bermain, G-Math ini pasti menyeronokkan.

13. Pertandingan Sudoku


Tak sahlah kalau permainan ini tak dimasukkan dalam senarai aktiviti bulan Sains
dan Matematik. Permainan Sudoku ini agak menarik dan mencabar kemampuan
pelajar untuk berfikir dengan pantas dan tepat.

Mungkin rakan guru boleh kreatif kan lagi permainan ini dengan mengadakan
perlumbaan siapa yang dapat selesaikan masalah Sudoku ini dengan lebih pantas!
Adakan dalam beberapa pusingan, dengan setiap pusingan menyaksikan sebilangan
pelajar akan tersingkir. Tentu lebih menarik!

14. Pertandingan Teka Berat / Teka Bilangan


Ini juga pertandingan yang agak menarik. Guru boleh meletakkan apa-apa barang
dalam balang besar / akuarium dan kemudiannya menyuruh pelajar untuk meneka
bilangan atau pun berat barang tersebut. Guru-guru boleh gunakan guli, biji kacang
hijau, biji getah dan apa-apa yang difikirkan sesuai.

Sediakan borang kecil yang mencatatkan maklumat peneka dan terus sediakan kotak

pertandingan. Letakkan juga balang besar / akuarium tersebut di tempat laluan yang
strategik. Tentu banyak sambutan. Sekurang-kurangnya pelajar juga dapat
menggunakan kemahiran menganggar dengan logik dan bijak.

15. Pertandingan Sudut Matapelajaran


Setiap kelas di sekolah diminta untuk menghias sudut matapelajaran 'Sains'. Bahan
yang dilekatkan perlulah bahan yang berkualiti dan dengan persembahan yang
menarik dan ceria.

Bagi memudahkan penilaian dari kelas ke kelas, rakan guru boleh menetapkan tema
bagi sudut Sains tersebut. Contohnya, tema angkasa, tema hidupan air,
keseimbangan ekosistem dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan Sains.

16. Pertandingan Artikel Sains


Pertandingan menyediakan artikel Sains dengan maklumat yang menarik. Pelajar
dibenarkan untuk menggunakan sebarang bahan untuk mendapatkan artikel Sains
yang menarik.

Jika ditetapkan penggunaan saiz A4 serta bahan yang digunakan, mungkin juga
artikel Sains yang dihasilkan oleh pelajar dalam pertandingan tersebut dapat dilaminate dan dijadikan bahan hias sekitar sekolah. Bahan info Sains yang menarik!

17. Buku Skrap


Penghasilan buku skrap Sains juga merupakan aktiviti yang menyeronokkan. Tema
yang ditentukan kepada pelajar boleh datang dalam bentuk yang pelbagai. Sebagai
contohnya senarai tumbuhan yang terdapat dalam kawasan sekolah. Bagi
menambahkan lagi cabaran, guru boleh tetapkan juga nama saintifik bagi setiap
tumbuhan yang dimasukkan dalam buku skrap.

Selain daripada cadangan tema di atas, guru juga boleh tetapkan tema lain seperti
senarai tumbuhan berbunga dan tidak berbunga, monokotiledon dan dikotiledon

serta serangga yang wujud dalam kawasan sekolah.

18. Pelancaran Roket Air


Roket air juga merupakan aktiviti Bulan Sains yang boleh memberi kelainan kepada
pelajar. Pertandingan sebegini sudah tentu merangsang kreativiti pelajar dalam
menghasilkan roket air dengan inovasi yang tersendiri.

19. Lawatan ke Agensi / Pusat Sains


Bagi sekolah yang berada berdekatan dengan mana-mana agensi atau pusat Sains,
maka anda bolehlah membuat lawatan sambil belajar ke pusat tersebut. Rancang
aktiviti dengan baik, inshaAllah ini akan jadi pengalaman yang berharga buat
pelajar.

Mana tahu dengan lawatan tersebut menyebabkan pelajar akan lebih berminat untuk

mendalami Sains. Selain daripada agensi / Pusat Sains, antara tempat lain yang anda
boleh adakan lawatan sambil belajar adalah institusi seperti universiti, Pusat Kimia,
kilang industri, pusat rawatan air, pusat pelupusan sampah, empangan hidroelektrik
dan apa-apa yang berkaitan dengan Sains.

20. Ceramah / Bengkel


Ini lagi satu aktiviti yang agak membosankan untuk diadakan di Bulan Sains dan
Matematik. Namun aktiviti zaman berzaman ini kalau nak diadakan jugak, boleh
disegarkan dengan ceramah atau bengkel oleh individu yang lebih berpengaruh
(artis, tokoh). Pokok pangkalnya mestilah ceramah atau bengkel yang berkaitan
dengan Sains.

Selain daripada individu, pihak sekolah juga boleh memohon pihak universiti atau
mana-mana institusi yang berkaitan dengan Sains untuk datang memberi ceramah
di sekolah. Semoga terhibur.. ;)

21. Mencerap Bintang


Bagi sekolah yang mempunyai peralatan yang mencukupi, pihak sekolah boleh juga
mengadakan sesi mencerap bintang di langit. Saya rasa aktiviti ini menarik dan
sangat bersesuaian dengan bulan Sains dan Matematik.

Walaubagaimanapun beberapa perkara perlu diambil kira. Terutamanya yang


berkaitan dengan perjalanan pelajar pada malam hari serta kesediaan guru untuk
meluangkan masa malam di sekolah bersama pelajar, sambil melihat bintang yang
berkerlipan.

Inilah antara beberapa cadangan aktiviti menarik yang boleh dianjurkan sepanjang
Bulan Sains dan Matematik. Hampir kebanyakan daripada aktiviti di atas ada dan
pernah dianjurkan di sekolah saya. Ada yang mendapat sambutan hangat dan ada
yang mendapat sambutan suam-suam kuku. Semuanya bergantung kepada kreativiti
cikgu dalam melaksanakan pertandingan dan aktiviti tersebut.
Jika sekiranya cikgu-cikgu mempunyai cadangan aktiviti lain, boleh lah kongsikan
juga di ruangan komen supaya boleh diambil manfaat oleh rakan guru yang lain.
Selamat mencuba!

Anda mungkin juga menyukai