Anda di halaman 1dari 4

Konsep Ejaan & Mengeja

Konsep ejaan dan mengeja perlu mendapat perhatian istimewa guru bahasa Melayu yang
mengajarkan bacaan permulaan. Semua pelajar tahun pertama Institut Pendidikan Guru (IPG)
dikehendaki memahami kedua-dua konsep ini apabila mereka mengikuti kursus Literasi Bahasa
Melayu pada semester kedua. Seterusnya, pelajar IPG yang mengikuti program Prasekolah,
Pengajian Bahasa Melayu dan Pemulihan Khas mesti mendalami kedua-dua konsep ini.
Guru prasekolah, guru bahasa Melayu dan guru pemulihan pula perlu menyemak pemahaman
mereka tentang perkara ini. Yang dimaksudkan dengan guru pemulihan termasuklah guru
pemulihan khas, guru pemulihan dalam bilik darjah, guru Literacy and Numeracy
Screening(LINUS) dan beberapa nama lain yang mungkin muncul pada masa hadapan.
Pemahaman yang jelas tentang kedua-dua konsep ini dapat membantu mereka melaksanakan
tugas untuk mengajarkan bacaan permulaan kepada kanak-kanak dengan berkesan.
Ejaan ialah kaedah menulis perkataan dengan huruf. Kaedah menulis perkataan dengan huruf
yang dapat dianggap menyeluruh apabila memenuhi tiga syarat seperti yang digambarkan
dalam rajah 1.

Rajah 1 Tiga syarat untuk mengeja perkataan.


Syarat pertama, wujud sistem susunan huruf yang diterima untuk sesuatu perkataan.
Contohnya, perkataan batu terdiri daripada susunan empat huruf secara berturutan, iaitu b
a t u. Susunan lain, termasuk beberapa susunan yang bermakna seperti b u t a dan
u b a t, tidak diterima untuk ejaan batu.
Syarat kedua, setiap huruf tidak diselangi oleh sebarang ruang yang dapat diisi oleh satu huruf.
Contohnya, perkataan bubu ini tidak diselangi oleh sebarang ruang. Sebaliknya, bu bu (ada
satu ruang kosong) dan bu b u (dua ruang kosong) tidak diterima untuk perkataan bubu.

Malah kewujudan satu atau lebih ruang yang sekata juga tidak diterima untuk mengeja sesuatu
perkataan walaupun susunannya betul. Contohnya b u b u (satu ruang) dan b u b u (dua
ruang).
Peraturan lazim pengiraan perkataan ialah setiap unit bahasa yang dipisahkan oleh ruang
dianggap satu perkataan. Misalnya, ke sana ialah dua patah perkataan. Peraturan ini
digunakan juga oleh perisian komputer seperti Microsoft Word untuk mengira perkataan.
Apabila ada ruang, turunlah taraf perkataan itu menjadi huruf sahaja.
Syarat ketiga, penulisan huruf itu mematuhi sistem penggunaan huruf kecil dan huruf besar.
Syarat ini menuntut pengguna bahasa menggunakan huruf kecil dan huruf besar berdasarkan
peraturan. Buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu menyenaraikan 14 peraturan
penggunaan huruf besar. Secara umum, huruf besar digunakan pada huruf pertama nama
khas, permulaan ayat, petikan langsung, tajuk sesuatu, kecuali kata hubung dan partikel.
Sebagai contoh, ejaan malaysia tidak tepat kerana huruf m yang digunakan ialah huruf kecil
sedangkan huruf yang sepatutnya digunakan ialah M huruf besar kerana perkataan ini nama
khas tanpa mengira kedudukannya sama ada pada permulaan ayat atau tidak.
Dengan berdasarkan syarat yang ketiga ini juga, gabungan seperti ciNta, ciNTa, CInTa
tidak tepat ejaannya. Ejaan seperti ini kerap kita temukan dalam komunikasi e-mel, sistem
pesanan ringkas dan komunikasi umum sesama remaja. Ejaan seperti ini tidak diterima sebagai
ejaan yang tepat untuk diajarkan di sekolah. Malah ejaan seperti ini dapat dianggap pincang.
Adakalanya penggunaan huruf kecil keseluruhannya dibolehkan. Contohnya, bahagian awal
bahan pengajaran bacaan asas di sekolah rendah menggunakan huruf kecil sahaja.
Sesudah memahami konsep ejaan, kini marilah kita fahami konsep mengeja pula. Menurut
Zaba, mengeja ialah pekerjaan menghubungkan huruf benar dengan huruf saksi atau
sebaliknya ini serta disebut nama tiap-tiap huruf itu. Kita juga boleh mengatakan bahawa
mengeja ialah perbuatan membunyikan atau menulis huruf secara berturut dalam sesuatu
perkataan. Dengan berdasar takrif ini ada dua cara untuk mengeja. Yang pertama ialah
menyebut nama huruf secara berturut-turut yang terdapat pada sesuatu suku kata/perkataan
dan membunyikan suka kata/perkataan itu. Yang kedua ialah menulis huruf dengan mematuhi

tiga syarat seperti yang telah dibincangkan untuk membentuk suku kata/perkataan.
Ada dua cara menyebut huruf untuk menjadi suku kata dan perkataan. Yang pertama ialah
menyebut huruf, diikuti dengan penyebutan suku kata dan seterusnya penyebutan perkataan.
Contohnya, bola dieja b o, diikuti penyebutan suku kata bo. Seterusnya disebut pula
nama huruf l a, diikuti dengan penyebutan suku kata la. Akhirnya disebut perkataan bola.
Gambaran ringkasnya ialah huruf g suku kata g perkataan. Yang kedua ialah menyebut huruf
dalam perkataan itu satu demi satu tanpa hentian dan tanpa menyebut suku kata dalam
perkataan itu. Misalnya, bola dieja b o l a. Gambaran ringkasnya ialah huruf g perkataan.
Gambaran lengkap kedua-dua cara mengeja ini diberikan dalam rajah 2.

Rajah 2 Dua cara untuk mengeja perkataan.


Dengan berdasarkan kaedah abjad, pengeja menyebut nama huruf. Bagi mengeja dengan
abjad Rumi, cara yang pertama kerap digunakan. Pengguna kaedah abjad menganggap cara
yang kedua tidak lengkap. Bagaimanapun, pengguna kaedah abjad mungkin juga
menggunakan cara yang kedua atas pertimbangan tertentu.
Mengeja ialah satu kemahiran. Kemahiran ini lebih mudah diperoleh jikalau kanak-kanak
mengalami beberapa aktiviti kesediaan. Antaranya ialah mengenal bentuk, terutamanya bentuk
yang seakan-akan huruf. Contohnya, bentuk tayar bulat macam huruf o. Bentuk pancing pula
seakan-akan huruf j. Seterusnya mereka wajar mengalami aktiviti lanjutan seperti mengenal

bunyi, membezakan bunyi dan membezakan antara satu bentuk dengan bentuk yang lain.
Kemudian barulah kita mendedahkan nama huruf kepada mereka.
Dengan berdasarkan kaedah abjad, penghafalan nama huruf ialah garis permulaan kemahiran
mengeja. Kemahiran mengeja hanya bermula apabila kanak-kanak dapat menyebut nama huruf
dan dapat membentuk apa-apa suku kata atau perkataan dengan huruf-huruf yang disebut itu.
Kesimpulannya, pengajar bacaan permulaan akan lebih yakin melaksanakan tugasnya apabila
dia memahami konsep ejaan dan mengeja. Pemahaman itu akan membantunya memilih bahan,
kaedah dan teknik yang sesuai.

Anda mungkin juga menyukai