Anda di halaman 1dari 9

PENGAJARAN HADITH DALAM PROGRAM TAKMIR MASJID

DAN SURAU DAERAH KUALA TERENGGANU

1.1

Latar Belakang Kajian

Hadith yang turut dikenali sebagai Sunnah merupakan rujukan utama umat Islam selepas
al-Quran. Hadith adalah apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada
perkataan, perbuatan, persetujuan (iqrar) atau sifat. Ianya adalah wahyu yang turun
daripada Allah Taala kepada baginda untuk menerangkan dengan lebih terperinci
kandungan al-Quran.

Berasaskan kepentingan Hadith kepada umat Islam, cendiakawan Islam sepanjang


zaman telah berusaha bersungguh-sungguh melindunginya dan meletakkannya di tempat
yang sewajarnya. Para Sahabat telah melaksanakan tugas mereka dengan memindahkan
warisan yang tidak ternilai ini kepada generasi selepas mereka iaitu para Tabien. Ianya
kemudian dipindahkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya dengan penuh teliti
untuk menjaga keasliannya sehingga dibukukan secara meluas pada abad kedua dan
ketiga Hijrah.

Tradisi pemindahan hadith dari satu generasi kepada generasi yang berikutnya
turut dikenali sebagai Ilmu Hadith Dirayah. Tujuan utamanya adalah memastikan setiap
perkataan, perbuatan, persetujuan, sifat dan segala yang disandarkan kepada Rasulullah
SAW tidak hilang ditelan zaman, sebaliknya diamalkan sebagai sumber hokum syara
yang mutabar.
1

Ilmu Hadith Dirayah ini bergerak seiring dengan satu lagi cabang ilmu hadith
iaitu Ilmu Hadith Riwayah. Jika Ilmu Hadith Dirayah yang bertujuan memindahkan
hadith dari satu generasi kepada genarasi, Ilmu Hadith Riwayah pula bertujuan menjaga
hadith Rasulullah SAW daripada dicemari oleh unsur-unsur yang merosakkan hadith itu
sendiri. Para cendiakawan bidang ini telah meletakkan syarat-syarat yang ketat terhadap
perawi (sanad) serta teks (matan) Hadith. Di antara syarat yang mula diadakan adalah
dengan tidak mengambil Hadith melainkan daripada orang yang dipercayai dari kalangan
ahli Sunnah. Ilmu ini turut dikenali sebagai Ilmu Mustolah Hadith.

Pengajaran Hadith di Malaysia bermula seawal kedatangan Islam ke Tanah


Melayu. Sebagai sumber rujukan kedua bagi umat Islam, Hadith tidak dapat dipisahkan
dari Islam itu sendiri. Seperti umat Islam di seluruh pelusuk dunia, mempelajari al-Quran
menjadi keutamaan pertama disamping mempelajari Fardhu Ain seperti bersuci, solat,
puasa, zakat dan lain-lain. Secara tidak langsung, umat Islam turut mempelajari Hadith
yang menjadi dalil (sumber rujukan) hukum syara. Kebiasaannya masjid adalah pusat
pengajaran ilmu agama, termasuk Hadith. Terdapat juga tokoh-tokoh agama yang
membuka sekolah-sekolah persendirian yang dikenali sebagai sistem pondok.

Pengajaran ilmu agama secara tradisional ini berterusan sehingga era moden.
Program Takmir Masjid Dan Surau adalah antara rancangan pengajaran agama secara
tradisional yang disusun dengan lebih teratur. Ianya telah diperkenalkan sejak tahun 1985
dan mendapat sambutan yang sangat memuaskan di kalangan masyarakat setempat.

Program ini dianjurkan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dengan bantuan kewangan
daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Antara tujuan utama program ini adalah menyebarluaskan ilmu pengetahuan dan
ajaran Islam kepada masyarakat dalam usaha untuk melahirkan anggota masyarakat Islam
yang bertakwa dan mengamalkan ajaran Islam sebenar. Ilmu Hadith adalah sebahagian
dari ilmu yang dipilih untuk program ini selain ilmu Tauhid, Fiqh, Tafsir, Sirah dan lainlain.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


(JAKIM) pada tahun 2011 terdapat 3,692 guru takmir berdaftar dan bertanggungjawab
mengendalikan 29,333 kelas takmir membabitkan 6,119 masjid dan 17,284 surau di
seluruh negara. Dianggarkan 1.5 juta orang menerima manfaat menimba ilmu agama
melalui program ini. Berdasarkan analisa JAKIM, 63.8 peratus yang mengikuti program
takmir adalah kalangan mereka berumur 51 tahun ke atas manakala pembabitan golongan
remaja sekitar 4.7 peratus. (Berita Harian : 3/3/2011)

Di Terengganu Darul Iman, program ini diadakan di 271 buah masjid dari
keseluruhan 479 buah. Jumlah surau yang mengadakan program ini pula adalah sebanyak
311 buah dari jumlah keseluruhan 1,528 buah. Jumlah masjid dan surau yang
diimarahkan dalam program ini adalah sebanyak 582 buah dari keseluruhan 2,007 buah.
Terdapat 271 buah masjid yang tidak mengadakan program ini manakala jumlah surau
yang tidak terlibat dengan program ini adalah sebanyak 1,217 buah.

Daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah terbesar dengan sebanyak 116


buah masjid dan 152 buah surau terlibat dengan program ini. Jumlah ini merupakan 46.04
peratus dari jumlah keseluruhan masjid dan surau yang diimarah.

1.2 Pernyataan Masalah

Pada 18 Februari 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
kerajaan bersetuju menaikkan elaun guru takmir seluruh negara daripada RM40 kepada
RM100 bagi satu sesi. Dengan kenaikan tersebut, setiap guru takmir yang berjumlah
3,892 orang bakal memperoleh pendapatan sebanyak RM800 sebulan, berbanding
RM480 sebelum itu (Berita Harian : 19/2/2011).

Kenaikan elaun ini menunjukkan kesungguhan kerajaan menaiktaraf program


yang telah memberi sumbangan yang cukup besar dalam masyarakat. Ini juga
menunjukkan pengiktirafan kerajaan kepada golongan agama amnya dan guru-guru
takmir khususnya.

Di negeri Terengganu, daerah Kuala Terengganu merupakan daerah yang paling


berjaya dalam program pengimarahan masjid dan surau. Sebanyak 116 buah masjid dan

152 buah surau terlibat dengan program ini. Jumlah ini merupakan 46.04 peratus dari
jumlah keseluruhan masjid dan surau yang diimarah dalam negeri Terengganu

Walaupun program Takmir Masjid dan Surau telah bermula pada tahun 1985,
namun tidak banyak kajian dibuat berkaitan program ini. Malah berdasarkan
pemerhatian, tiada kajian khusus dibuat untuk meninjau sejauh mana pengajaran hadith
dalam program ini selari dengan disiplin pengajaran ilmu hadith. Berdasarkan
permasalahan ini, pengkaji berpendapat satu kajian perlu dibuat untuk melihat proses
pengajaran hadith dalam program Takmir Masjid dan Surau. Daerah Kuala Terengganu
dipilih berdasarkan kecemerlangan dalam program ini. Antara aspek-aspek yang perlu
ditinjau adalah latar belakang guru dan peserta, sukatan yang digunakan, proses
pengajaran dan pembelajaran serta masalah-masalah yang berlaku dalam perjalanan kelas
ini dan cadangan penyelesaian.

1.3

Soalan Kajian

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah mengeluarkan peruntukan besar saban tahun
untuk program ini. Sebagai contoh pada tahun 2009, pihak JAKIM telah
memperuntukkan RM 1,125,504.56 untuk negeri Terengganu sahaja. Oleh itu satu kajian
perlu dilakukan untuk meninjau proses pengajaran dan pembelajaran program ini. Kajian
ini akan menjawab beberapa soalan yang berikut :

1-

Apakah latar belakang dan kelayakan guru-guru Takmir yang mengajar


ilmu Hadith dalam Program Takmir Masjid Dan Surau di Daerah Kuala
Terengganu?

2-

Apakah latar belakang peserta-peserta Program Takmir Masjid Dan Surau


di Daerah Kuala Terengganu?

3-

Apakah kandungan sukatan untuk pengajaran Hadith dalam program ini?

4-

Bagaimana proses pengajaran dan pembelajaran Hadith dilaksanakan


dalam Program Takmir Masjid Dan Surau di Daerah Kuala Terengganu?

5-

Apakah permasalahan utama pengajaran Hadith dalam Program Takmir


Masjid Dan Surau di Daerah Kuala Terengganu?

1.4

Objektif Kajian

Secara umumnya, kajian ini bermatlamatkan untuk mengenalpasti kekuatan dan


kelemahan proses pengajaran Hadith dalam program ini. Kajian ini secara khususnya
dilakukan untuk mencapai objektif-objektif yang berikut:

1-

Mengenal pasti latar belakang guru-guru takmir yang mengajar Hadith


dalam Program Takmir Masjid Dan Surau di Daerah Kuala Terengganu.
6

2-

Mengenal pasti latar belakang peserta-peserta Program Takmir Masjid


Dan Surau di Daerah Kuala Terengganu.

3-

Mengenal pasti sukatan Hadith dalam program Takmir Masjid Dan Surau
serta kitab-kitab yang digunakan oleh guru-guru takmir.

4-

Mengenal pasti proses pengajaran dan pembelajaran Hadith dalam


Program Takmir Masjid Dan Surau di Daerah Kuala Terengganu

5-

Mengenal pasti masalah-masalah yang berkaitan dengan pengajaran


Hadith dalam Program Takmir Masjid Dan Surau di Daerah Kuala
Terengganu dan mencadangkan kepada pihak-pihak berkenaan jalan
penyelesaian yang sesuai.

1.5

Kepentingan Kajian

Kajian ini penting kerana program Takmir Masjid dan Surau merupakan salah satu
program agama terbesar anjuran kerajaan. Kejayaan program ini mencerminkan kejayaan
kerajaan secara umumnya dan Jabatan Agama Islam Negeri serta Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia khususnya dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Negara ini.

Kajian ini mempunyai kepentingan kepada :

1-

Pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang menjadi penganjur dan
menguruskan segala yang berkaitan dengan program ini. Kajian ini akan
meninjau proses pengajian yang diadakan, khususnya dalam bidang
Hadith dan mencadangkan penambahbaikan yang sesuai.

2-

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai pihak yang


menyalurkan dana jutaan ringgit saban tahun. Kajian ini akan menilai hasil
yang didapati dari peruntukan ini dan mencadangkan perubahan yang
sesuai sekiranya perlu.

3-

Guru-guru takmir sebagai pihak yang terlibat langsung menjadi tenaga


pengajar dalam program ini. Kajian ini akan menilai proses pengajaran
dan pembelajaran yang berlangsung dan akan mencadangkan perkaraperkara yang perlu dilakukan untuk menambah minat masyarakat terhadap
program ini.

4-

Peserta-peserta program ini iaitu masyarakat setempat yang mengikuti


program ini. Kajian ini akan memberikan mereka peluang menilai
kekuatan dan kelemahan proses pengajaran dan pembelajaran yang
dijalankan dan cadangan-cadangan penambahbaikan dari perspektif
mereka.

5-

Individu-indivividu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak


dalam proses pengajaran dan pembelajaran Hadith. Kajian ini akan
8

mencadangkan metode pengajian Hadith yang sesuai, khususnya


melibatkan pengajian Hadith di kalangan orang dewasa dan masyarakat
setempat.

1.6

Batasan Kajian

Kajian ini adalah untuk mengetahui perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran
pengajian Hadith Program Takmir Masjid Dan Surau di Daerah Kuala Terengganu.

Oleh itu, pengkaji memberi tumpuan menjalankan kaji selidik bertujuan mengenal
pasti proses pengajaran dan pembelajaran pengajian Hadith Program Takmir Masjid Dan
Surau di Daerah Kuala Terengganu. Kajian ini dihadkan kepada pengajian Hadith sahaja
dan tidak kepada disiplin ilmu-ilmu lain. Kajian ini juga dihadkan kepada program
Takmir Masjid dan Surau dan tidak meliputi program-program yang lain. Kajian ini juga
akan dijalankan di daerah Kuala Terengganu sahaja.

1.7 Definasi Istilah


1.8 Ringkasan

Anda mungkin juga menyukai