Anda di halaman 1dari 3

3.

0 PROSES YANG DIGUNAKAN DALAM TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU

Adler berpendapat kaunselor harus mesra dan menerima klien. Empati adalah satu faktor penting dalam
membina suasana teraputik. Hubungan kaunselor dan klien dilihat sebagai kolaboratif yang mana
kaunselor dan klien berusaha untuk bekerjasama dan bersetuju tentang matlamat kaunseling yang
khusus. Teori Psikologi Individu ini tidak mempunyai teknik yang khusus, jadi Adler telah menyediakan
empat fasa proses kaunseling (Sabariah Siron, 2005).

Fasa 1: Membina hubungan

Kaunselor bekerja secara kolaboratif dengan klien dan hubungan ini adalah berasaskan kepada rasa
mengambil berat yang mendalam, melibatkan diri dan menganggap klien sebagai kawan. Proses
teraputik bergerak ke arah kemajuan jika ada keselarasan tentang matlamat kaunseling antara
kaunselor dan klien. Pada awal sesi kaunseling fikiran kaunselor perlu diorentasi kepada kehidupan
psikologi klien walaupun kaunselor telah sedikit sebanyak mengetahui latar belakang klien melalui
biodata yang ditulis oleh klien. Pada tahap ini kaunselor membina hubungan yang positif dengan
mendengar, memberi tindak balas dan menghormati keupayaan klien untuk memahami dan mencari
perubahan dengan cara kaunselor memberi harapan serta mengambil berat.

Fasa 2: Meneroka Kedinamikan Klien

Fasa kedua ialah gaya hidup klien melalui pemahaman kaunselor tentang kepercayaan, perasaan,
matlamat dan motif klien. Kemahiran empati diperlukan untuk membina pemahaman ini. Kaunselor
meneroka pengalaman hidup semasa kanak-kanak untuk menilai hubungan adik-beradik dan persepsi
kanak-kanak tentang kedudukannya di dalam keluarga. Mengingat kembali pengalaman awal hidup
digunakan untuk menilai gaya hidup klien. Prosedur penilaian ini digunakan oleh kaunselor untuk
menilai gaya hidup klien. Prosedur penilaian ini digunakan oleh kaunselor untuk mengenalpasti
’kesilapan asas’ dan membuat interpretasi bagaimanaia mempengaruhi klien pada masa kini. Oleh itu
objektif temuabual di tahap ini ialah: (a) bagaimana masalah hidup klien bermula; (b) peristiwa-peristiwa
yang menyebabkan masalah klien; (c) sejarah kesihatan; (d) sejarah sosial; (e) sebab klien memilih masa
tersebut untuk mendapatkan kaunseling; (f) cara klien menangani tugas hidupnya; (g) penilaian gaya
hidup klien.

Fasa 3: Menggalakkan Pemahaman Kendiri dan Celik Akal

Teori Adler percaya bahawa boleh dikatakan semua yang berkaitan dengan hidup manusia mempunyai
tujuan. Pemahaman kendiri boleh berlaku apabila tujuan dan matlamat tingkahlaku yang tersembunyi
dibawa ke alam sedar klien. Apabila bercakap tentang celik akal, apa yang dimaksudkan ialah
pemahaman tentang motivasi yang ada dalam hidup klien. Pendedahan dan interpretasi yang
bertepatan masa adalah teknik yang memudahkan proses mendapat celik akal. Kaunselor menekankan
kepada membina dan menggabungkan celik akal kepada masalah klien melalui kesedaran tentang
matlamat yang salah dan tingkahlaku merosakkan diri sendiri. Kaunselor menggunakan teknik
konfrantasi dan interpretasi untuk membina celik akal klien. Bukan sahaja celik akal penting, penekanan
kaunseling juga kepada perubahan tingkahlaku. Semasa kaunselor membuat interpretasi tentang gaya
hidup klien, diharapkan klien akan memahami perasaannya dalam mewujudkan perhubungan lantas
dapat melihat bagaimana untuk memperbaiki situasi masa kini.

Fasa 4: Orientasi Semula

Di fasa akhir proses teraputik ialah fasa orientasi kepada tindakan yang dikenali sebagai ialah
mengorientasi dan mendidik semula klien iaitu mempraktikkan celik akal yang telah didapati oleh klien
sepanjang proses teraputik. Klien digalakkan mengambil risiko, mencuba tingkahlaku baru, ,mengambil
tanggungjawab untuk hidupnya dan membuat keputusan baru yang membolehkannya mencapai
matlamat. Di dalam kes tertentu perubahan signifikan diperlukan jika klien ingin mengatasi rasa kecewa
dan mencari tempat untu diri sendiri di dalam hidupnya. Klein perlu diorientasi semula ke arah hidup
yang lebih berguna. Hidup berguna melibatkan rasa dipunyai dan dihargai, berminat kepada orang lain
dan mengambil berat kebajikannya, berani, menerima ketidaksempurnaan, yakin, mempunyai ciri
kecindan, sedia memberi sumbangan dan mesra. Bahagian yang tidak berguna dalam hidup dicirikan
sebagai menarik diri dari melaksanakan tugas hidup, melindungi diri sendiri sahaja dan bertindak
menyakiti orang lain. Orang yang berada di bahagian hidup yang tidak berguna menjadi kurang berfungsi
dan sakit jiwa. Intervensi yang paling penting di dalam fasa ini ialah memberi galakan.

4.0 BAGAIMANA MANUSIA BERMASALAH MENURUT ADLER

Adler percaya kepercayaan sangat mempengaruhi emosi dan tingkah laku seseorang. Menurut Adler,
manusia bergerak untuk mencapai matlamat. Menurut Mahmood Nazar Mohamad (2005) Adler
merasakan bahawa kehidupan manusia dilahirkan dengan motif positif, kepentingan sosial untuk
membentuk hubungan-hubungan kasih sayang dan pertolongan terhadap orang lain. Perkembangan
sepenuhnya personaliti yang sihat, memerlukan individu belajar untuk meluahkan motif ini dalam
hubungannya dengan orang lain. Manusia bermasalah apabila seseorang individu itu meletakkan
matlamat iaitu gaya hidup yang salah atau tidak sesuai bagi dirinya. Gaya hidup merupakan matlamat
untuk mencapai kesempurnaan hanya cara bagaimana untuk mencapai matlamat yang berbeza yang
merangkumi perbualan, perbuatan, pegangan dan kebiasaan. Gaya hidup dipelajari melalui interaksi
sosial sejak kanak-kanak lagi iaitu ketika berumur 4-5 tahun. Contohnya kanak-kanak yang diabaikan
apabila membesar kelak akan membentuk sifat rendah diri, takut hadapi cabaran dan suka berdendam.

Menurut Sabariah Siron (2005) menyatakan gaya hidup berasaskan kepada perasaan rendah diri dan
khususnya individu berusaha mengatasi kelemahan. Gaya hidup adalah hasil kepada penilaian yang
dibuat oleh individu tentang status kendiri. Gaya hidup ini mengandungi pandangan seseorang tentang
dirinya dan dunianya. Apa yang kita buat dipengaruhi oleh gaya hidup yang unik ini. Oleh itu,
pembentukan gaya hidup yang betul dan sesuai sangat penting dalam pembentukan personaliti
seseorang. Gaya hidup yang salah atau tidak sesuai sebenarnya akan mempengaruhi tingkah laku
seseorang individu itu.

5.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya pendekatan Adler ini memberi peluang kepada kaunselor kebebasan dalam
bekerja dengan klien. Kaunselor tidak terikat untuk menggunakan prosedur tertentu sebaliknya ia boleh
menggunakan penilaian klinikal dalam mengaplikasi apa-apa jua teknik yang terbaik untuk klien.

Konsep Adler yang digunakan oleh kaunselor ialah (1) pentingnya melihat matlamat hidup seseorang
dan menilai sejauh mana matlamat ini mempengaruhi individu (2) fokus kepada pengalaman awal hidup
di dalam keluarga dengan penekanan kepada kesannya pada masa kini, (3) penggunaan klinikal tentang
ingatan awal, (4) keperluan memahami dan mengkofrontasi kesilapan asas, (5) penekana kepada
kogintif kerana tingkahlaku dan emosi adalah dipengarui oleh proses pemikiran seseorang, (6) idea
pelan tindakan yang dapat menolong klien membuat perubahan, (7) hubungan kolaboratif anatara
kaunselor dan klien, (8) penekanan kepada galakan yang digunakan di sepanjang proses kaunseling.

Anda mungkin juga menyukai