Anda di halaman 1dari 3

Abdullah Munsyi pada tahun 1882 mengenai mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri:

"Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal
dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka
mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia
ini masing-masing ada belajar bahasanya?"

Mungkin isu bahasa sudah lapuk untuk diperkatakan ataupun sudah muak didengari atau dibaca di mana-mana. Walaupun jauh di
sudut pemikiran ini masih berpintal soalan antara tuntutan keperluan Bahasa Inggeris di zaman ini dan juga kecemerlangan Bangsa
Melayu,aku rasa perlu sedikit ruang untuk aku melontarkan pendapatku. Pertamanya jika dikatakan pada aku pentingnya Bahasa
Inggeris, aku hanya akan sekadar mengangguk. Kedua bila ditanya bolehkah Bahasa Inggeris ditingkatkan penguasaannya melalui
pengajian matematik dan sains (PPSMI), sama sekali aku bantah!

Rasis rasanya apabila kita membicarakan persoalan orang-orang Melayu. Rasis bila kita cuba membangkitkan persoalan bahasa
Melayu. Rasis bila kita menceritakan berkenaan betapa ketinggalan orang - orang Melayu dari sudut ekonomi dan rasis bila kita
berusaha untuk menyedarkan orang - orang Melayu betapa mereka perlu bangkit, menolak Melayu - Melayu Perdana, menolak
mereka yang menitiskan apa yang telah diperuntukkan kepada orang - orang Melayu dan bangun menentukan kehebatan bangsa
dan agama. Kenapa itu semua rasis. Kenapa perjuangan mempertahankan bahasa - bahasa ibunda kaum lain, mempertahankan
sekolah dan sebagainya tidak dianggap rasis. Bekali dibicarakan bahawa mereka berhak menuntut, memperjuangkan dan kita juga
berhak menuntut dan mempertahankan bukan dari sudut yang bersifat rasis tetapi dari sudut pembangunan bangsa itu sendiri.
Sebenarnya beberapa kesedaran perlu kita beritahu, perjuangan membebaskan Melayu dari sekatan minda, sekatan perekonomian
dan sekatan budaya bukan satu perjuangan mendiskriminasikan kaum lain. Ini ditegaskan berkali-kali tetapi kenapa kegerunan
berlaku dan ada antara Melayu - Melayu kita yang turut risau seolah - olah ini melanggar demokrasi, melanggar hak kemanusiaan
dan mendiskriminasikan Melayu. Masalah Melayu semakin kritikal bila suara untuk memartabatkan Melayu dibantahi oleh orang
Melayu yang mempunyai hajat lain.

Mungkin sekali lagi kita perlu sedarkan bahawa perjuangan membasmi kemiskinan adalah perjuangan tanpa sekatan atau
sempadan perkauman tetapi mungkin penelitian diberi kepada Melayu kerana Melayu dalam keadaan yang lebih rapuh. Kita bukan
membicarakan soal Melayu miskin hanya dari segi harta dan pegangan ekonomi tetapi kemiskinan yang menyeluruhi Melayu
adalah erti kemiskinan yang sebenarnya, bila segala ruang alternatif untuk memajukan diri tertutup. Kemiskinan yang didefinisikan
dengan ketiadaan ruang untuk membangunkan, kebuntuan arah dan kesempitan pergerakan. Ini adalah bentuk kemiskinan yang
lebih buruk dari kemiskinan harta kerana kemiskinan ini melibatkan diri dari segi fizikal dan jasmani. Oleh itu sedarlah bahawa
Bahasa adalah jiwa bangsa, ia lebih dari sekadar rasis, jadi tiada makna jika kita tiada punya berbudi bahasa.

Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di segenap lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat
undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembangan Persekutuan yang memperuntukan kedudukan istimewa Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan di dalam perkara 152. Usaha ini harus dilihat sebagai satu jihad untuk menguat dan mengekalkan
identiti serta jati diri bangsa dan negara Malaysia. Keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika menjadi Menteri
Kesenian, Kebudayaan dan Warisan suatu ketika dahulu untuk menukar istilah-istilah asing yang digunakan pada nama jalan dan
tempat di Putrajaya harus diberikan pujian serta wajib untuk dilaksanakan.

Sebagai sebuah negara berdaulat dan mengiktiraf peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tentu hairan apabila
istilah-istilah asing seperti “Presint, Boulevard dan Parcel” digunakan secara meluas di Putrajaya. Apakah dengan menggunakan
istilah-istilah sedemikian maka ia akan membantu perkembangan serta kemajuan pemerintahan negara? Sudah tentu tidak, malah
ia menyumbang kepada dua kesan iaitu kekeliruan minda dan kerendahan jiwa. Ia menyumbang kepada kekeliruan minda melalui
persoalan apakah tidak ada langsung istilah-istilah ataupun nama-nama di dalam bahasa kebangsaan yang boleh digunakan untuk
dijadikan nama jalan dan tempat di negara kita. Ia menyumbang kepada kerendahan jiwa apabila kita secara terbuka menyokong
dan berbangga terhadap penggunaan istilah-istilah asing lebih daripada istilah dalam bahasa kebangsaan sendiri. Hal sedemikian
bukan sahaja berlaku di Putrajaya malah turut berlaku di segenap pelusuk negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai
rakyat Malaysia untuk menyatakan keperihatinan terhadap perkara ini.

Bila datangnya Thomas Kuhn dengan magnus opus-nya, The Structure of Scientific Revolutions, sepatutnya kefahaman kita
tentang hubungan antara bahasa dengan budaya makin arif. Apatah lagi, sebelum itu sudah ada beberapa karya yang melakarkan
perkara persis. Mithalnya, menerusi Oswald Spengler dalam The Meaning of Numbers, dan Alvin White dalam Essay in
Humanistic Mathematics. Semua nukilan ini sudah mendahului dalam memaparkan kelemahan ketara semesta Barat, tatkala
mahu memandang bangunan ilmu secara kebelakaan. Kuhn, seorang failasuf sains dari Massachusetts Institute of Technology
(MIT) dalam karyanya tersebut jelas menunjukkan bahawa sains tabii yang dibangunkan barat itu hakikatnya sarat nilai. Manakala
Spengler menyerlahkan ikatan antara budaya dan nombor dengan begitu kemas, sementara White pula gencar memperkatakan
kaitan antara budaya dengan matematik. Sebenarnya, seluruh hubungan ini mampu dipindahkan ke dalam wacana bahasa.

Memang, sebahagian dari kita sering ralat kerana memikirkan bahasa itu bebas nilai. Hakikatnya, ini persepsi keliru. Bahasa adalah
subjek yang sangat akrab dengan nilai-nilai ketamadunan sesuatu bangsa. ¨Bahasa jiwa bangsa¨ itu adalah peribahasa yang
betul, dengan syarat difahami dalam konteks yang juga betul. Bahkan, terbukti banyak peribahasa kita bukan sahaja mengandungi
unsur-unsur sains sosial yang menawan, tapi sekaligus juga sains tabii-nya yang menarik. Malahan, sesetengah peribahasa kita
tampaknya lebih unggul dari kosmologi sains tabii yang difahami barat. Umpamanya, ¨bagai pinang dibelah dua¨ itu adalah sebuah
peribahasa yang melampaui konsep simetri yang terdapat dalam fizik barat. Tapi sayangnya, kita sendiri tidak mencungkil
khazanah ini untuk dimodelkan dalam kaedah saintifik. Ketirisan penghargaan pada tamadun sendiri terhimpit lagi dengan
pendekatan pendidikan yang berorientasikan bahasa serta paradigma asing. Malang sungguh, betapa dasar herot ini terus
dilaksanakan biarpun bercanggah dengan tabii hubungan antara manusia dan bahasa.
Bila kita menyingkirkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, itu sebenarnya bermakna kita turut menimbus terlalu banyak
keistimewaan yang terdapat dalam jiwa bahasa itu sendiri. Bahkan, lebih pilu lagi, yang telah diruntuhkan itu adalah sistem
pendidikan iaitu sektor terkental hierarki pembinaan ilmu. Wajarnya kita harus berfikir jernih, dan menyisih dengan hemah tentang
perbezaan makna antara kalimah Melayu dengan Inggeris tersebut. Kefahaman inilah yang sering diabaikan. Apaila diperhalusi,
terbukti ada sejarah akrab hubungan antara bahasa Melayu itu dengan Islam, sepertimana yang diwar-warkan pada 1970-an oleh
Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu.

Bahasa Melayu, menurut al-Attas, adalah bahasa yang sarat nilai-nilai Islamnya. Memang, tesis al-Attas kini sudah boleh disanggah
dengan beberapa data baru yang menunjukkan kelemahannya. Namun, sekurang-kurangnya dalam konteks makna bahasa
Melayu-Islam, tesis ini maseh boleh dipertahankan lagi. Tesis inilah yang membebaskan jiwa abdi serta minda tertawan di kalangan
bangsa Melayu, setelah berabad terjajah. Mithalnya, yang paling popular ialah perbezaan makna ¨keadilan¨ yang cuba disesuaikan
dengan ¨justice.¨ Ternyata, dalam takrifnya yang seni, masing-masing adalah mewakili suatu kosmologi makna yang berbeza!
Kalau dalam sains tabii pula, kadang-kala kita sering terperangkap dengan bentuk terjemahan mudah bagi ¨natural¨ yang
kemudiannya lekas disebandingkan dengan ¨semulajadi.¨

Walhal, di sebalik kedua-dua kosakata ini mengusung makna terdalamnya iaitu yang kemudiannya sampai kepada jarak antara
ateistik dan teistik. Hal seperti inilah yang tidak disedari ramai ekoran kegagalan untuk memikirkan sesuatu yang lebih jauh dari
permukaannya. Sama juga dalam sistem angka. Sebelum ini, sering saja ada yang berhujah bahawa Bahasa Inggeris dilaksanakan
atas alasan ¨mahu kembali ke ilmu asal.¨ Tapi, sebenarnya, ilmu asal sains dan matematik bukanlah bermula dari Bahasa Inggeris.

Kesamaran ini akan terungkap bila didedahkan perkataan sceince itu sendiri, yang jelas sekali merupakan peminjaman dari bahasa
lain. Kata itu datangnya dari scientia, Bahasa Latin. Begitu juga mathematics yang bermuara dari mathema, pinjaman dari Bahasa
Greek. Bahkan, hampir seluruh angka sa — 0 sampai 9 — adalah bukan murni dari Inggeris sama sekali. Sebaliknya, seluruh
angka sa Melayu terbukti lebih murni, lebih mantap, atau lebih asal dari Inggeris itu sendiri. Itulah kelebihan membangun ilmu dalam
acuan sendiri. Kita membangunnya dengan kosmologinya sekali. Walau bagaimanapun, bukan sahaja Melayu, atau Islam, yang
tertanam keistimewaan-keistimewaan sebegini. Tetapi, pengalaman tabii ini terhukum pada semua bahasa. Masing-masing bahasa
ada keistimewaan sendiri, yang antaranya barangkali tiada pada bahasa-bahasa lain.

Bahasa Jerman mithalnya, diketahui dalam kebanyakan displin ilmu adalah jauh lebih lengkap mengatasi bahasa Inggeris.
Kelebihan ini terbina natijah dari tradisi ilmunya yang lebih lama, atau lebih asal, sedangkan penguasaan Bahasa Inggeris baru saja
muncul pada abad ke-19. Di samping itu juga, bila kita bercakap soal bahasa, seringkali hujah-hujah yang dikemukakan ialah kuasa
capaian keilmuan yang terdapat dalam Bahasa Inggeris itu lebih meluas, dan lebih jitu. Secara keseluruhannya, sebenarnya hujah
sebegini amatlah rapuh. Bahasa Inggeris menjadi kukuh bukan kerana khazanah pengetahuan induk yang terdapat di dalamnya,
tetapi kerana bahasa ini terhablur menerusi suatu proses terjemahan yang agresif yang begitu lama — di mana budaya
penerjemahan ini kini kian terpinggir dalam tradisi kita.

Sehingga kini, Bahasa Inggeris masih lagi bersusah payah untuk menerjemahkan banyak buku falsafah ke dalam bahasanya.
Mereka tiada budaya falsafah yang tegar bebanding bangsa Jerman contohnya. Satu contoh yang kini menjadi klasik ialah buku
Sein und Zeit adikarya Martin Heidegger, yang memerlukan lebih 30 tahun untuk diterjemahkan kepada khalayak berbahasa
Inggeris. Bukan kerana tiada yang ingin menerjemah, tapi kerana kesukaran untuk memadankan Bahasa Inggeris agar tersuai
dalam kosmologi yang Heidegger maksudkan. Ini jelas, menunjukkan kemiskinan bahasa pengungkapan falsafah yang terdapat
dalam Bahasa Inggeris, berbanding Bahasa Jerman. Malah, kalau dalam bidang sains dan teknologi lagilah ketara. Sampai kini
sekalipun, bangsa Jerman diakui memang terkenal dalam displin sains tabii, sampaikan mekanik kuantum itu pun sendiri
diistilahkan mereka sebagai Sains Jerman bagi mencabar Teori Kenisbian Einstein yang dianggap mereka sebagai Sains Yahudi.
Manakala Perancis pula kaya dalam displin sains sosial, terutamanya menerusi tradisi di Université Paris-Sorbonne.

Bahasa Inggeris jika di kaji dalam perspektif kepelbagaian Eropah seperti disepakati bahawa bukanlah antara bahasa ilmu utama.
Kalau tidak kerana kesungguhan mereka menerjemah, tidak mungkin Bahasa Inggeris menjadi begitu sejagat dewasa ini. Tapi,
persoalannya, kenapa kita tidak meniru tatakaedah ilmu melalui penerjemahan ini? Barangkali jawapan terbaiknya kerana
kedangkalan sendiri. Kita salah berfikir logik. Mantik, atau nyaya dalam Bahasa Sanskrit, yang kita pakai selama ini sedayanya
cuba dikaburkan dan dikelirukan. Padahal jika mahu dibangunkan bangsa, yang perlu dilakukan ialah turut memperkasa bahasanya
sendiri, selain memindahkan pengetahuan dari bahasa-bahasa lain ke dalam bahasanya.

Itulah yang sepatutnya dilaksanakan melalui terjemahan, bukan sebaliknya! Selain dari itu, dampak penggunaan bahasa asing
dalam pendidikan turut menghakiskan daya kreativiti sesuatu bangsa tersebut. Ini jelas termuat dalam teori linguistik, yang
menghubungkan antara mutu pengaryaan dengan penggunaan bahasa intim. Hakikatnya, ¨bahasa yang paling mampu untuk kita
berkreativiti adalah bahasa yang kita bermimpi.¨ Sebab itu, ekoran pelaksanaan dasar pendidikan bukan dalam bahasa sendiri,
pendidikan kita akan menjadi lebih kaku, dan yang paling kuat pun hanya bertakat malar saja dengan paradigma pinjaman. Sudah
tentu, secara logiknya kita takkan mungkin dapat menandingi tingkat keilmuan Inggeris, kerana cara pengaryaan kita — yang
meniru itu — tidaklah akan menyamai mereka.

Tidak hairan, kini sudah ada dakwaan bahawa Bahasa Inggeris itu bukanlah bahasa kreatif. Edward de Bono, pengarang Six
Thinking Hats, sendiri mengakui bahawa Bahasa Inggeris bukan sebuah bahasa kreatif. Paradigma bahasanya kerap terhenti
pada perkataan-perkataan tertentu yang sering dijadikan alasan tanpa-bantah. Bahasa Sepanyol, ataupun bahasa Itali, ternyata
mempunyai rekod pembangunan ilmu asal yang jauh lebih cemerlang daripada Bahasa Inggeris ini. Bahasanya banyak melangkaui
wacana bukan-fizikal. Usah bandingkan dengan bahasa Jerman dan Perancis, atau Latin dan Greek, sudah tentu lebih-lebihlah lagi.
Harus dicatat juga, dalam tema bahasa ini, menelusuri pengalaman Eropah memang banyak iktibarnya. Menerusi mereka, kita
memperoleh pengajaran bahawa bentuk pendidikan terbaik adalah membina acuan sendiri — dengan kebudayaan sendiri. Inilah
yang diajar oleh negara-negara Eropah yang kecil, seperti Czech, Norway, Bosnia & Herzegovina, Luxembourg, dll itu. Mereka
sehingga kini terus melestarikan bahasanya sendiri di kala hambatan globalisme Bahasa Inggeris. Hasilnya, mereka tidak hilang
identiti, tapi tidak juga tertinggal arus perkembangan ilmu sejagat.

Pengalaman Sweden mungkin yang terbaik. Dalam contoh ini, lebih dari dua pertiga rakyat Sweden memang terbukti mampu
menguasai Bahasa Inggeris, meskipun dalam waktu yang sama seluruh sistem pendidikan dan urusan domestik mereka adalah
dilaksanakan dalam bahasanya sendiri. Jadi, persoalannya, kenapa kita tidak meneladani dari negara-negara Eropah ini, yang jelas
lebih berjaya dan bergaya dari negara kita sendiri? Ini samalah dengan beberapa negara-negara Asia — China, Korea, Taiwan,
Hong Kong — yang mana sistem pendidikan dalam bahasa sendiri mereka telah berjaya melahirkan olimpiad-olimpiad emas dalam
beragam pertandingan sains antarabangsa, meskipun mereka tidak faseh berbahasa Inggeris. Malah, Amerika Syarikat dan Britian
sendiri akhirnya terpaksa mengalah dengan kehebatan pelajar negara-negara Asia ini, sehingga mereka sering saja ´mencuri´
pelajar-pelajar asing ini untuk dihantar mewakili mereka dalam olimpiad antarabangsa tersebut. Sebab itu, jangan hairan jika ada
kenyataan bahawa Anglo-Saxon itu bukanlah sebuah bangsa yang bijak. Anehnya, kita yang terhegeh-hegeh memikirkan bahawa
Bahasa Inggeris itu bersinonim dengan sains dan matematik. Walhal, itu berbeza. Kita boleh semak saja pengalaman Amerika
Syarikat. Mereka akhirnya terpaksa meminjam minda-minda luar untuk merintis pengetahuan baru buat mereka.

Kelih saja tawaran Amerika Syarikat kepada saintis-saintis Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua, bagaimana mereka mendepa
tangan pada Albert Einstein, Thedeor Adorno, Kurt Gödel, dll, demi mebangunkan ilmu di negara tersebut. Namun, sayangnya,
semua hujah-hujah ini gagal dihayati oleh para perumus dasar bahasa dalam sistem pendidikan kita. Hari ini, negara-negara
Eropah berbahasa Inggerís sudah menilai kembali pendekatan dalam sistem pendidikan mereka. Mereka bermuhasabah kerana
menyedari adanya keherotan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran. Malah, Amerika Syarikat turut mengambil langkah awal
dengan mula menawarkan pendidikan dalam Bahasa Sepanyol untuk kalangan Hispanik dan Latino — selepas menginsafi
keperluan untuk mengajar dalam bahasa bangsa itu sendiri. Tapi, kita? Kita — dengan niat — untuk mengambil jalan pintas dalam
rangka mengejar status negara maju menerusi dasar peng-inggeris-an, rupa-rupanya sedang memintas jalan kemunduran. Di saat
khalayak makin tahu erti serta kepentingan sesuatu ilmu haruslah dibangunkan dalam acuan sendiri; bahasa sendiri — yang sarat
nilai, nyata identiti, dan penuh pengaryaan — kita sebaleknya terus bebal dengan fikiran singkat yang sampai kini pun masih tak
kenal jatidiri.

Jepun terbukti sebuah negara yang sangat maju dalam sains dan teknologi. Demi untuk memberi peluang kepada pelajarnya
menghayati sains dan matematik sehingga lahir pemikiran sains dan pemikiran matematik, mereka menggunakan bahasa ibunda
sebagai bahasa untuk mengajar sains dan matematik walaupun Bahasa Inggeris tidak di abaikan. Keberkesanan penguasaan
Bahasa Inggeris menekankan kepada penguasaan grammar, communicative approach dan authentic material. Semua itu dapat di
laksanakan di kelas Bahasa Inggeris bukannya di kelas sains dan matematik. Penguasaan Bahasa Inggeris tidak ada kaitan
menghafal istilah sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Pengajaran sains dan matematik dalam BI malah menghancurkan
pengajaran matematik dan sains kepada satu suasana yang membinggungkan dan membosankan. Sains dan matematik pula
bukan hanya terhad kepada menghafal istilah dan fakta tetapi lebih kepada melahirkan insan sains matematik yang dapat
mencabar teori lama dengan pemikiran baru. Meletakkan halangan bahasa kepada pengajaran Sains dan matematik adalah silap
dan satu kecelakaan. Itulah sebabnya ibu bapa telah mengambil langkah drastik mengadakan demo aman untuk menentang dasar
yang menghancurkan pelajaran anak mereka, maka berlaku satu epilog menarik dalam sejarah Negara apabila 7 Mac menjadi
tarikh keramat kepada saksi cintanya rakyat Malaysia kepada bahasa ibundanya.- Azlan Zainal

Anda mungkin juga menyukai