Anda di halaman 1dari 3

Malaysia Madani: Isu-Isu pengukuhan teras tamadun

Malaysia
MALAYSIA memang terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama yang agak
unik. Sistem pluralisme yang diwujudkan sejak tertubuhnya Malaya dan kemudiannya
Malaysia masih mampu bertahan. Setelah lebih enam dekad berlalu ada baiknya sistem itu
dikaji semula bagi memantapkan lagi sistem tersebut demi menjamin kekukuhan teras
tamadun Malaysia yang dapat diterima oleh semua kumpulan etnik dan agama. Prinsip-
prinsip yang mendasari sistem pluralisme itu boleh diubahsuai supaya ia kelihatan bersifat
lebih universal dan lebih adil lagi dan dengan itu akan menjadi lebih kukuh dan lebih mantap
lagi. Tetapi tradisi pendekatan ke-Malaysiaan dalam menangani isu-isu besar yang
melibatkan kepentingan semua kelompok etnik dan agama, iaitu permuafakatan, yang
menonjolkan hikmah kolektif bangsa dan negara dan membawa banyak kebaikan selama ini
haruslah dikekalkan serta dipelihara dengan baik.
Makalah ini akan menghuraikan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan teras
tamadun Malaysia dan bagaimana sistem kemajmukan atau pluralisme di negara ini dapat
diperkukuhkan lagi. Kunci kekuatan dan kegemilangan tamadun Malaysia pada masa
hadapan terletak pada kejayaan rakyatnya yang berbilang kaum dan negara untuk
mencapai kesepakatan dalam merumuskan serta membina dimensi universal tamadun
tersebut yang boleh dibanggakan sebagai kepunyaan bersama semua rakyat. Pada masa
yang sama, ia terletak pada kesediaan setiap kelompok etnik dan agama untuk
menghormati dan bersikap toleran terhadap budaya dan tamadun kelompok lain. Setiap
budaya dan tamadun yang terkhusus bagi sesuatu kelompok etnik dan agama seharusnya
mendapat tempat dan diterima dengan lapang dada sebagai dimensi-dimensi partikular
tamadun Malaysia.
Dalam konteks masyarakat dan negara berbilang kaum dan agama, teras tamadunnya
haruslah dibentuk dari unsur-unsur universal, iaitu unsur-unsur yang diterima sebagai
kepunyaan semua kaum dan semua agama. Hanya dengan cara demikian sahaja sesuatu
teras tamadun itu boleh menjadi penyatu yang berkesan. Tamadun Malaysia kontemporari
mempunyai teras yang tersendiri. Unsur-unsur utama teras ini telah disepakati oleh semua
kaum dan agama pada ketika Malaya dan Malaysia ditubuhkan dahulu. Kedudukan agama
Islam sebagai agama Persekutuan atau agama rasmi negara di samping kebebasan untuk
agama-agama lain, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi negara di samping memberi tempat yang adil untuk bahasa-bahasa lain berkembang,
kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan hak-hak kerakyatan dan
kewarganegaraan di sisi undang-undang bagi rakyat bukan Melayu dan bukan bumiputera
adalah merupakan unsur-unsur utama teras tamadun Malaysia yang telah dipersetujui itu.
Kebanyakan unsur teras ini pada asalnya berpunca daripada tamadun Melayu Islam. Maka
kewajaran penerimaannya enam puluh lima tahun yang lalu dalam kes Malaya dan hampir
enam puluh tahun dalam kes Malaysia lebih banyak disandarkan pada
pertimbanganpertimbangan sejarah daripada disandarkan pada pertimbangan-pertimbangan
lain.
Pada hemat penulis, amat mustahak kesinambungan teras tamadun Malaysia
dipertahankan dan terus dipelihara. Tetapi pada masa yang sama harus difikirkan
bagaimana teras ini boleh diperkukuhkan sama ada dengan cara menambah unsur-unsur
universal yang baru atau menyemak semula interpretasi penerimaan rakyat terhadap unsur-
unsur teras lama yang tertentu. Penerimaan rakyat Malaysia terhadap unsur-unsur ini telah
pun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Tetapi lebih enam puluh tahun kemudiannya
ada pihak-pihak yang mempertikaikan kewajaran teras lama ini dipertahankan. Mereka
mahu teras ini dibuang dan digantikan dengan teras baru supaya ia lebih adil kepada kaum
bukan Melayu dan agama-agama bukan Islam. Timbulnya reaksi seperti ini terhadap teras
asal tamadun Malaysia bukanlah suatu perkara yang memeranjatkan. Dari suatu segi, kita
cukup memahaminya kerana setelah berlalunya lebih enam dekad kemerdekaan ternyata
banyak perkembangan dan kemajuan yang berlaku di negara ini yang antara lainnya
dimungkinkan oleh kemunasabahan dan kekuatan teras asal itu sendiri.
Terdapat banyak masalah dan ketidakadilan dewasa ini yang bukan sahaja dialami oleh
kaum-kaum bukan Melayu tetapi juga oleh orang Melayu. Tidak harus dilupakan juga ialah
pengaruh idea dan fahaman daripada luar negara. Keterbukaan negara ini kepada pengaruh
dunia luar, terutamanya dari negara-negara Barat apatah lagi di zaman globalisasi,
meninggalkan kesan besar ke atas pemikiran dan cara berfikir golongan terdidik rakyat
Malaysia. Isu-isu yang diilhamkan dan dicanangkan di Barat seperti isu hak-hak asasi
manusia, isu demokrasi dan pendemokrasian, isu pluralisme keagamaan dan isu “ancaman
Islam” yang lumrahnya ditelek dari kacamata orang Barat turut mempengaruhi pemikiran
politik dan wacana intelektual rakyat Malaysia. Oleh kerana idea-idea dan masalah-masalah
baru yang timbul dalam masyarakat tidak ditangani dengan bijaksana sedangkan
sesetengah idea dan masalah baru itu serius sifatnya dan boleh mempunyai implikasi besar
kepada negara, maka kekeliruan dan juga ketidakpuasan terhadap teras tamadun dan
institusi-institusi asas negara semakin menular dan berleluasa.
Demi kebaikan dan kesejahteraan Malaysia, kritikan-kritikan baru terhadap teras asal
tamadun Malaysia harus dilayani dengan saksama dan bijaksana, dan bukan dipandang
remeh atau sekadar dicemuhi tanpa hujah-hujah yang meyakinkan. Kritikan-kritikan ini
sebenarnya mewajarkan kita untuk memikirkan hujah-hujah baru bagi menegakkan
kebenaran fakta-fakta lama yang mula disangsikan itu. Unsur-unsur teras tamadun Malaysia
yang telah saya sebutkan tadi memang masih wajar untuk diteruskan tetapi kewajarannya
mesti dipertahankan dengan mengemukakan hujah-hujah baru yang mengambil kira lebih
enam puluh tahun pembangunan dan kemajuan negara dan dampak globalisasi. Di antara
unsur-unsur ini ternyata bahawa kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan
hak-hak istimewa bangsa Melayu dan kaum bumiputera merupakan isu yang paling banyak
diperkatakan di kalangan orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Dalam masa kebelakangan ini isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara
lebih banyak dibicarakan di kalangan orang-orang Melayu. Mereka cukup bimbang dengan
masa depan kedudukan dan peranan bahasa Melayu terutamanya sebagai bahasa ilmu
pengetahuan. Malahan mereka melihat adanya ancaman terhadap bahasa Melayu.
Adalah wajar rasa kebimbangan ini dibincangkan oleh masyarakat Melayu terutamanya di
kalangan cendikiawan dan pemimpinnya. Namun demikian, isu kedudakan dan kemajuan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara hendaklah dilihat sebagai isu ketamadunan
seluruh Malaysia dan bukannya isu masyarakat Melayu sahaja.
Menyentuh kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara, ia tidak harus
dipertahankan oleh masyarakat Melayu Islam atas alasan sejarah semata-mata, iaitu
dengan hujah bahawa agama Islam sudah bertapak di negara ini lama sebelum tibanya
kaum pendatang dari India dan Cina yang majoritinya berlainan agama. Pertimbangan
sejarah mempunyai nilai yang tersendiri tetapi biasanya hujah-hujah yang berasaskan fakta
sejarah sahaja didapati mudah kehilangan daya tarikannya, lalu terhakis daripada memori
kolektif rakyat. Generasi muda semakin buta sejarah. Peranan penting sejarah dalam
mencorakkan pembinaan teras asal negara dan tamadun Malaysia kurang mendapat tempat
dalam pemikiran mereka. Kita harus memberi perhatian terhadap perkembangan pemikiran
generasi muda ini dan menanganinya dengan menyampaikan pemikiran yang lebih baik lagi
progresif.
Ini tidak bermakna bahawa pertimbangan sejarah dibiarkan sahaja sehingga diketepikan.
Kita harus terus menerus memberi pendidikan sejarah yang relevan kepada pembangunan
Malaysia kepada generasi muda. Tetapi pada masa yang sama kita harus menyedari
keterbatasan keberkesanan hujah-hujah yang berorientasikan sejarah. Pertimbangan
kependudukan atau demografik juga penting. Memang kedudukan Islam sebagai agama
rasmi boleh diwajarkan menerusi hujah demografik, iaitu bahawasanya agama ini dianuti
oleh masyarakat majoriti Malaysia. Namun demikian, pada hemat penulis, hujah paling
bernilai adalah sebenarnya hujah yang merujuk kepada nilai dalaman atau nilai intrinsik
agama Isam itu sendiri. Islam mengandungi nilai-nilai universal terbanyak dan termoden
ungkapannya berbanding dengan agama-agama lain – yang sesetengahnya dimiliki
bersama – yang boleh memberi sumbangan besar kepada masyarakat dan tamadun
Malaysia seluruhnya.
Sekiranya kita ingin mewujudkan teras tamadun Malaysia yang bersifat universal atau
melebarkan teras yang ada supaya lebih universal sifatnya, maka Islam boleh memainkan
peranan yang penting. Dengan kekayaan sumber keruhanian dan intelektualnya dan
peranan positifnya yang bersifat inklusif dalam pembangunan tamadun umat manusia di
zaman lampau termasuklah kejayaannya dalam menangani isu kemajmukan dan
kepelbagaian etnik dan agama seperti yang pernah ditegaskan dan dikagumi oleh ahli
sejarah terkenal berbangsa Inggeris, Arnold Toynbee, Islam mampu memberi sumbangan
besar kepada pembangunan masa depan tamadun Malaysia yang menguntungkan semua
rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Tetapi itu hanya boleh menjadi kenyataan
sekiranya masyarakat Melayu Islam sanggup mengubah paradigma pemikiran mereka
dengan menonjolkan dimensi universal ajaran-ajaran Islam. Ini juga bermakna mereka mesti
menghayati dialog budaya dengan masyarakat bukan Islam.
Umat Islam di Malaysia juga harus menonjolkan ajaran Islam tentang keadilan sosial.
Keadilan sosial seharusnya mencirikan tamadun Malaysia. Dalam hal ini, isu hak-hak
istimewa kaum Melayu dan Bumiputera yang kian dipertikaikan dalam masyarakat harus
dibincangkan dalam konteks ajaran universal agama Islam yang menekankan prinsip-prinsip
keadilan sosial. Tetapi apa juga ketidakpuasan di kalangan rakyat Malaysia terhadap mana-
mana unsur pada teras asal tamadun Malaysia haruslah dibincangkan dengan semangat
permuafakatan. Permuafakatan itu sendiri harus menjadi sebahagian penting daripada
budaya dan tamadun Malaysia.
Pada umumnya, bolehlah dikatakan bahawa menerusi penghayatan ajaran-ajaran Islam
yang universal dan falsafah keadilan sosialnya yang melampaui batasan kaum dan agama,
Islam boleh memberi sumbangan besar lagi bererti kepada penghatan cita-cita “kesatuan
dalam kepelbagaian” dalam pembangunan tamadun Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai