Anda di halaman 1dari 8

PENDAHULUAN

Pada awal abad ke-15, Melaka telah dibuka oleh Parameswara, seorang tokoh

kerabat dari Palembang yang telah ditundukkan oleh Majapahit. Pada peringkat awal

pentadbirannya, Parameswara masih meneruskan pentadbiran dan politik seperti sistem

berkerajaan pada zaman Sriwijaya di Palembang yang berteraskan warisan dari tradisi

Melayu-Hindu. Kedatangan Islam di Melaka dikatakan bermula setelah pengislaman

Megat Iskandar Syah ketika baginda berusia 72 tahun (sekitar tahun 1414). 1 Baginda juga

turut menggalakkan seluruh rakyat jelata termasuk golongan kerabat diraja dan pembesar

untuk memeluk Islam. Kesannya Melaka telah muncul sebagai pusat empayar Melayu

yang baru dan pada masa yang sama memainkan peranan sebagai pusat kebudayaan,

pusat penyebaran agama Islam dan pusat perdagangan.

TEORI KEDATANGAN ISLAM KE MELAKA

Pada umumnya terdapat tiga teori utama tentang kedatangan Islam ke

Melaka iaitu Islam dari India2, Islam dari China3 dan Islam dari Arab serta Parsi.4

Kedatangan Islam dari India dipercayai kerana ramai pemimpin Abbasiyah dan

Umaiyah Andalus melarikan diri daripada tindakan pihak berkuasa; sebagai

pelarian politik dan mendapatkan perlindungan di India dan juga di Alam Melayu.

Tambahan pula, masyarakat Malaysia secara umumnya mengamalkan mazhab Syafie

sehingga hari ini. Manakala teori kedatangan Islam dari China disebabkan Islam

berkembang terlebih dahulu di China yang kemudian berkembang ke Asia

Tenggara melalui perdagangan. Walau bagaimanapun, teori kedatangan Islam dari


1
Menurut kajian Wang Gungwu (1968), serta dakwaan Tome Pires yang saling melengkapi laporan Yung-
lo dalam Ming Shih-lu, Parameswara (Iskandar Syah) adalah orang yang berlainan. Tambahan pula Prof.
Wang Gungwu telah menggunakan sumber yang paling maksimum termasuklah sumber dari China sebagai
alternatif terhadap ‘Sejarah Melayu’ versi 1536 dan 1612, serta sumber Portugis dan sumber Siam.
2
Pendukung teori ini ialah S.Q. FAtimi, Morison Harison, R.A. Kern dan Snouck Hugronje.
3
Pendukung teori ini ialah Emanuel Eredia dan Paul Wheatley.
4
Pendukung teori ini ialah John Crawford, Syed Naquib al-Attas, Hamka dan Hossein Djajaningrat.
1
Arab dan Parsi dianggap yang paling tepat sekali. Hal ini kerana kebanyakan pengarang

kitab atau buku hikayat kesusasteraan Melayu-Islam lama yang pada peringkat awal

kedatangan Islam terdiri daripada pengarang Arab-Parsi5.

PENGLIBATAN PEMBESAR MELAKA

Peranan yang dimainkan oleh pemerintah Melaka di dalam proses Islamisasi di

negeri Melaka khasnya dan Alam Melayu amnya adalah amat besar. Pekembangan

agama Islam di Melaka menjadi lebih mudah dan tersusun apabila mendapat

galakan daripada pemerintah tertinggi negeri Melaka pada masa itu. Contohnya pada

masa pemerintahan Sultan Mansur Syah (1456-1477M), sebuah ‘Perkumpulan

Ulama Muslimin’ telah ditubuhkan untuk membahaskan hal-hal yang bermanfaat

bagi negeri Melaka dalam naungan Islam. Kebijaksanaan pemerintah Melaka telah

menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan di Nusantara seterusnya

menyebabkan kebanjiran pedagang-pedagang Arab yang datang berdagang sambil

mengajar agama di surau dan masjid. Malah Sultan sendiri telah bersama-sama

pembesar-pembesar negeri menunaikan sembahyang terawih di masjid pada bulan

Ramadhan.6 Selain itu, penggunaan gelaran sultan telah menggantikan gelaran raja dan

maharaja yang biasanya digunakan pada zaman kegemilangan Hindu-Buddha di

Nusantara. Penyebaran Islam turut dibantu oleh pembesar-pembesar negeri seperti

Bendahara Tun Perak. Hal ini terbukti apabila Tun Perak telah menasihati sultan

supaya mengahwinkan puteri-puteri baginda dengan pembesar-pembesar wilayah

jajahan. Hal ini bertujuan untuk mengembangkan ajaran Islam melalui politik dan

perkahwinan.

5
Samri Sainuddin, Titas: Tamadun Melayu, Penerbit Quantum Books, Tanjong Malim, 2003, hal. 20-21.
6
W.G. Shellabear, Sejarah Melayu, Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1977, hal. 60.
2
MELAKA SEBAGAI KUASA PENAKLUK

Sebagaimana kerajaan Islam pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, pemerintah

Melaka juga menjalankan penaklukan ke atas wilayah-wilayah di sekitarnya. Di dalam

zaman kegemilangannya, empayar Melaka meliputi Pahang, Terengganu, Kedah,

Pattani, Johor, Kelantan, Kampar, Siak, Rokan, Inderagiri, Siantan, Kepulauan

Riau-Lingga, Jambi dan lain-lain. Perluasan wilayah jajahan ini amat penting bagi

sebuah empayar yang besar seperti Melaka. Selain kepentingan politik, penyebaran

agama Islam dapat dijalankan ke jajahan takluk Melaka dengan penghantaran

ulama’-ulama’ ke wilayah-wilayah yang dijajahi itu. Melalui penaklukan ini, Islam

telah disebarkan dan diterima baik oleh pemerintah-pemerintah negeri yang

ditakluki atas sebab keselamatan nyawa, ingin mendapat pangkat, ingin mengambil

hati dan sebagainya. Seterusnya proses Islamisasi dilakukan melalui perkahwinan

puteri-puteri Melaka dengan anak-anak raja di lain-lain negeri seperti negeri

Pahang, Siak, Kampar, Inderagiri dan Jambi. 7 Selain itu, penyebaran Islam turut

dilakukan oleh para pembesar di ‘kawasan pegangan’ 8 mereka. Contohnya, Tun

Perak telah menyebarkan agama Islam ke Sungai Ujong kerana kawasan ini

merupakan daerah kepunyaan Bendahara Tun Perak.

MELAKA SEBAGAI PUSAT KEILMUAN

Melaka juga memainkan peranan sebagai pusat keilmuan Islam di Asia Tenggara.

Hal ini kerana minat yang mendalam dan komitmen pemerintah Melaka untuk

meluaskan kegiatan dakwah dan keilmuan ke kawasan jajahan takluk Melaka.

Sama seperti Pasai yang dipengaruhi oleh pemikiran tasawuf, di Melaka juga
7
Abdul Latif Abu Bakar, Dunia Melayu Dunia Islam, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia,
Melaka, 2001, hal. 93.
8
Kawasan ini dinamakan pegangan kerana ia dipegang (diserah untuk ditadbir dan dikuasai) oleh pembesar
dari Melaka sendiri. Kawasan pegangan adalah anugerah sultan sebagai membalas perkhidmatan cemerlang
pembesar atau atau pegawai Melaka tadi.
3
berkembang tasawuf falsafah Abdul Karim al-Jili dengan kitabnya Insan Al-Kamil

serta kitab Ad-Durr Al-Manzum oleh Abu Ishak al-Shirazi. Bahkan diketahui juga

yang di Melaka turut diajarkan kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Selain daripada itu turut juga diterjemahkan ke bahasa Melayu kitab-kitab sastera seperti

Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah. Buku Sejarah Melayu

telah menyebut nama ulama’-ulama’ yang pernah datang ke Melaka ialah seperti

Makhdum Sayyid Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadhi Yusof, Kadhi Menua,

Kadhi Munawar Syah, Maulana Sadar Johan dan sebagainya.

ISTANA, MASJID DAN SURAU SEBAGAI PUSAT PENGAJIAN

Tambahan pula, pemerintah Melaka berbesar hati untuk menjadikan istana

sebagai institusi pengajian Islam pada zaman permulaan dan keagungan Empayar Melayu

Melaka disamping sebagai pusat dakwah yang berkesan. Disamping menjadi pusat

pendidikan Islam, istana juga dijadikan tempat menterjemah dan menyimpan

kitab-kitab mengenai Islam seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali

Hanafiah, dan kitab Darul Mazlum (Darul Manzum). Di samping istana, masjid dan

surau juga memainkan peranan penting sebagai institusi pengajian ilmu

pengetahuan Islam dan pusat penyebaran Islam. 9 Pada waktu siang, masjid dan surau

menjadi pusat pengajian kanak-kanak untuk mempelajari bacaan al-Quran termasuklah

pelajaran ilmu tajwid. Sementara pada sebelah malam pula masjid menjadi pusat

pengajian bagi orang-orang dewasa. Antara ilmu-ilmu yang diajarkan di masjid dan

surau ialah fiqah, usuluddin, tasawuf, tafsir, dan pengajian al-Quran. Berdasarkan

kewujudan pusat pengajian islam yang formal dan sistematik di Melaka ini, maka tidak

9
Ismail Hamid, Peradapan Melayu dan Islam, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1985, hal. 45.
4
menjadi satu kejanggalan apabila penyebaran Islam dapat dilakukan ke seluruh rantau

Asia Tenggara.

ISLAM DALAM SEJARAH PERUNDANGAN MELAKA

Selain menjadi pusat penyebaran Islam, Melaka juga mempunyai sistem

perundangan yang sistematik berdasarkan sistem perundangan Islam. Perundangan

Islam berteraskan empat sumber utama iaitu al-Quran, al-Sunnah, 10 Ijma’11 dan

Qias.12 Menurut catatan yang terdapat dalam Sejarah Melayu, penulisan Hukum Kanun

Melaka yang sebahagian peruntukannya berunsurkan Islam telah disusun pada

sekitar tahun 1445 atau 1446 hingga 1456, iaitu pada masa pemerintahan Sultan

Muzaffar Shah. R.O. Winstedt, dalam mengemukakan pendapatnya mengatakan atas

desakan para ulama Melaka bolehlah dianggap sebagai Kerajaan Melayu pertama yang

menyusun perundangan yang mempunyai unsur-unsur syariah Islam.13 Kandungannya

antara lain meliputi tanggungjawab raja serta pembesar, pantang larang di kalangan

anggota masyarakat, perhukuman sebab kesalahan jenayah dan awam, undang-undang

keluarga, permasalahan ibadah dan muamalat yang amat jelas, dan hukum perhumaan.14

Manakala Undang-undang Laut Melaka pula mempunyai peruntukan bersabit dengan

hal-hal di laut seperti tanggungjawab pegawai-pegawai kapal, tatacara pelayaran dan

perniagaan, hukuman terhadap kesalahan ‘jenayah’ atau ‘syariah’ Islam, dan juga bidang

kuasa nakhoda kapal. Dengan penulisan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang

Laut Melaka ini, maka sudah boleh dianggap Melaka mempunyai autoriti untuk

10
Sunnah bermaksud perkataan (apa yang dikatakan) dan perbuatan (apa yang dilakukan) oleh Nabi
Muhammad s.a.w.
11
Ijma’ bermakna persefahaman pendapat antara ulama’-ulama’.
12
Qias bermakna penghakiman baru berlandaskan perbandingan dengan penghakiman yang sedia ada.
13
R.O. Winstedt, AHistory of Classical Malay literature, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1969,
hal. 167.
14
Teks undang-undang yang digunakan di sini ialah teks penyelenggaraan terbaru oleh Liaw Yock Fang
(ed), Undang-undang Melaka, The Hague, 1976.
5
melebarkan pengaruh Islam ke Asia Tenggara dengan menjadikannya sebagai role

model bagi perlaksanaan Islam di negeri-negeri lain.

KESTABILAN POLITIK DAN HUBUNGAN ANTARABANGSA

Melaka menjadi pusat perdagangan terpenting di Nusantara pada kurun kelima

belas kerana kedudukannya di antara Lautan Hindi dengan Laut China Selatan. Selain itu,

faktor kestabilan politik telah menggalakkan kemasukan lebih ramai ulama’ dan

pedagang Islam yang singgah ke Melaka untuk berdagang sambil berdakwah atas

dorongan dari pemerintah Melaka. Selain itu, pembesar-pembesar Melaka juga

cenderung untuk mengahwinkan puteri-puteri mereka dengan saudagar-saudagar

Islam yang secara implisitnya menjadikan faktor perkahwinan campur sebagai

penyumbang ke arah perkembangan Islam. Bahkan Kerajaan Kesultanan Melayu

Melaka telah menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan Islam dan bukan

Islam seperti China, Siam dan Pasai. Hubungan yang baik ini membantu Melaka

meluaskan lagi pengaruh Islam kerana ia dapat menarik kemasukan lebih ramai

pedagang.

KESIMPULAN

Selaku sebuah kuasa besar di rantau Asia Tenggara pada ketika itu,

Kesultanan Melayu Melaka telah memberi sumbangan yang besar kepada

perkembangan agama Islam terutama ke wilayah-wilayah jajahannya. Impaknya,

kedatangan agama Islam ke negeri Melaka dan lain-lain wilayah di Asia Tenggara telah

membawa banyak perubahan besar kepada sistem hidup masyarakat Asia Tenggara ini.

Pembaharuan atau pengaruh besar yang dibawa oleh Islam melalui peranan yang

dimainkan oleh Melaka ialah perubahan pegangan agama penduduk-penduduk rantau ini

6
daripada agama Hindu-Buddha dan animisme kepada agama Islam. Selain itu, perubahan

juga berlaku ke atas bidang politik dan pentadbiran, sosial, ekonomi, bahasa dan

kesusasteraan, ilmu pengetahuan, dan kesenian.

BIBLIOGRAFI

Abdul Kadir Muhammad, (1996). Sejarah penulisan hukum Islam di Malaysia. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
.
Abdul Rahman Abdullah, (1985). Asia Tenggara Tradisional. Kuala Lumpur: Teks
Publishing Sdn. Bhd.

7
Al-Habib Alwi Thahir Al-Haddad, (2001). “Sejarah masuknya Islam di Timur Jauh”.
Jakarta: Penerbit Lentera.

Ismail Hamid, (1985). Peradapan Melayu dan Islam. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Mohd Jamil Muhsin, (1994). Melaka: pusat penyebaran Islam di Nusantara. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim, (1990). Kesultanan Melayu Melaka: kajian beberapa aspek
tentang Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dalam sejarah Malaysia. Kuala
Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.

Muhammad Zaki Badawi, (1979). Latar belakang kebudayaan di Malaysia. Kuala


Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.

Persatuan Sejarah Malaysia, (1986). Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Samri Sainuddin, (2003). Titas: Tamadun Melayu. Kuala Lumpur: Quantum Books.

Shellabear, W.G., (1989). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Anda mungkin juga menyukai