Anda di halaman 1dari 3

Umpama pasir di tepi pantai?

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

GALAKSI bima sakti yang dikatakan saintis menyimpan seribu satu kemungkinan untuk kewujudan planet
lain yang serupa dengan Bumi.

TERLALU kompleks untuk kita membicarakan tentang kewujudan Bumi dan planet yang mengelilingi
matahari selain pelbagai bintang dan planet lain yang berada dalam galaksi bima sakti.

Namun bagi mereka yang meminati bidang astronomi pastinya kajian sama ada terdapat hidupan atau
elemen penting yang memungkin manusia hidup di planet lain, pastinya ia dilihat sebagai ilmu yang
"mengghairahkan".

Apatah lagi manusia kini semakin galak disebarkan dengan kenyataan bahawa Bumi ini yang semakin
uzur usianya bakal berhadapan dengan kemusnahan dahsyat pada bila-bila masa.

Ada yang berpandangan akibat kejahilan dan kerakusan manusia itu sendiri yang galak menjahanamkan
bumi hingga berlakunya petaka pemanasan global dan keadaan cuaca yang tidak menentu bakal
memusnahkan Bumi pada bila-bila masa.

Terdapat pula yang melihat Bumi akan musnah apabila asteroid jatuh sehingga mengakibatkan kejadian
kiamat. Perkara ini semakin serius diperkatakan apabila ia dikaitkan sebagai punca kepupusan dinosaur
akibat hentaman asteroid berukuran kira-kira 15 kilometer lebar, kira-kira 65 juta tahun lalu.

Kini kebimbangan para saintis semakin kecoh apabila sebuah asteroid dengan nama Apophis, dijangka
merempuh Bumi pada April 2036.

Akibatnya perkara ini semakin serius dipantau, malah mereka telah mula mencadangkan misi untuk
melencongkan asteroid sepanjang 40 meter dari sekarang.

Dikatakan misi melencongkan asteroid itu yang disaran dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) dijangka menelan belanja lebih RM1 bilion.

Maka pencarian sebuah planet lain yang bersesuaian dengan sifat-sifat Bumi yang memungkinkan
manusia berpindah dilihat oleh para saintis di Barat sebagai satu keperluan.

Oleh itu sebuah planet yang bersesuaian termasuklah mencari hidupan dan unsur-unsur yang sesuai
dengan keadaan di bumi seperti mana dijalankan dalam misi ke Marikh, yang memungkinkan peluang
untuk spesis manusia terus kekal hidup selama-lamanya.

Terdapat beberapa penemuan terbaru dalam usaha mencari tempat untuk manusia terus hidup jika Bumi
ini tiada kelak.

Pada tahun lepas pakar-pakar astronomi di Garcing, Jerman, mengumumkan kejayaan mereka menemui
sebuah planet yang mirip seperti Bumi di luar sistem suria kita. Planet tersebut mengorbit sebuah bintang
yang diberi nama Gliese 581.

Mereka menyifatkan planet tersebut sebagai kembar Bumi kerana memiliki banyak persamaan. Planet
berkenaan terletak dalam zon Goldilocks bintang, rantau di angkasa lepas yang menyaksikan
keadaannya sama ada terlalu panas atau terlalu sejuk untuk membentuk lautan, tasik dan sungai.

Suhu planet ini antara 0 hingga 40 darjah celsius dipercayai dapat menampung kehidupan seperti mana
di Bumi. Menurut pakar, dengan suhu sedemikian, kemungkinan planet tersebut mempunyai sumber air
di permukaannya. Malah mereka menyatakan bahawa takat beku dan takat didih air di planet tersebut
adalah menyamai air di Bumi.
Dipenuhi

Berdasarkan pemantauan, jarak planet tersebut adalah lebih kurang 20.5 tahun cahaya dari sistem suria
kita. Ukuran planet ini sebesar 1.5 kali ganda Bumi dan dipercayai permukaannya terdiri dari batu-batan
yang serupa Bumi.

Dikatakan planet ini memiliki atmosfera dan graviti seperti di Bumi yang menjadikan kemungkinan besar
boleh didiami. Penyelidik juga mendapati pertemuan itu menunjukkan alam semesta dipenuhi dunia
seperti Bumi.

Bagaimanapun uniknya tentang planet ini adalah masa orbitnya dalam mengelilingi bintang Gliese 581,
hanya mengambil masa 13 hari. Maksudnya satu tahun di planet itu sama dengan 13 hari di Bumi.

Selain itu hasil kajian mendapati terdapat tiga planet yang berputar mengelilingi bintang Gliese 581.
Pertama ialah planet yang mirip Bumi tadi, yang kedua planet yang besarnya lebih kurang 15 kali ganda
Bumi, dan yang ketiga dan paling jauh dari bintang Gliese 581 bersaiz lapan kali ganda lebih besar Bumi.

Berdasarkan penemuan ini, para saintis angkasa mengharapkan planet baru itu mempunyai ciri-ciri yang
sama seperti Bumi dan bakal menjadi tempat tinggal baru generasi akan datang sekiranya Bumi ini
musnah atau tidak mampu lagi menampung populasi manusia yang semakin bertambah.

Cuma persoalannya, mampukah kita pergi ke sana memandangkan jaraknya yang amat jauh iaitu 20.5
tahun cahaya dari sistem suria.

Mengambil kiraan untuk mengembara ke bintang Gliese 581 dalam roket yang berkelajuan satu
persepuluh kelajuan cahaya atau 30,577.536 kilometer sesaat ia dijangka mengambil masa 200 tahun
untuk manusia sampai ke sana!

Harapan

Namun perkhabaran terbaru mungkin memberi harapan yang lebih jelas kepada para saintis untuk
meneroka dan mengeksploitasi ruang angkasa lepas yang terbentang luas.

Satu kajian astronomi paling terperinci yang pernah dijalankan dan dibiayai Pentadbiran Aeronautik dan
Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Universiti California, Berkeley mendapati, planet-planet lebih kecil
banyak terdapat berhampiran orbit bintang berbanding planet besar.

Satu daripada empat bintang yang serupa dengan matahari dalam galaksi Bima Sakti didapati
menempatkan banyak planet-planet bersaiz Bumi, sekali gus mencadangkan bahawa sistem yang boleh
menampung kehidupan seperti di Bumi mungkin lebih banyak terdapat berbanding jangkaan sebelum ini.

Setelah "bertapa" selama lima tahun membuat kajian, pakar-pakar astronomi yang menggunakan Balai
Cerap W.M. Keck di Hawaii untuk memantau 166 bintang seperti matahari berhampiran sistem solar telah
mengenal pasti planet-planet bersaiz tiga hingga 1,000 kali jisim Bumi.

Keputusan kajian mendapati, lebih banyak planet kecil ditemui berbanding planet besar. Data terbaru
menyatakan terdapat sekurang-kurangnya 46 bilion planet bersaiz Bumi dalam galaksi daripada 200
bilion bintang, dan jumlah itu tidak termasuk planet-planet bersaiz Bumi yang mengorbit jauh daripada
bintangnya dalam zon yang boleh didiami.

"Kami mengkaji planet-planet dalam kumpulan yang besar, sama seperti mengira bongkah batu dan batu
kerikil di gaung dan kami menemui lebih banyak batu sederhana berbanding bongkah batu besar serta
lebih banyak batu kerikil berbanding batu sederhana.

"Teknologi yang kami gunakan tidak dapat melihat butiran pasir iaitu planet bersaiz Bumi, tetapi kami
boleh anggarkan bilangannya.

"Planet bersaiz Bumi dalam galaksi umpama pasir di tepi pantai. Ia ada di mana-mana," kata Andrew
Howard, yang bertindak sebagai ketua penulis kajian.

Kajian itu turut mencadangkan bahawa planet-planet yang boleh didiami juga mungkin banyak terdapat
dalam galaksi Bima Sakti.

Planet-planet yang lebih kecil itu boleh mengorbit jauh daripada bintangnya, membuatkan suhunya
sesuai untuk kehidupan. Berdasarkan data kajian yang diperoleh, pakar astronomi menganggarkan
sebanyak 23 peratus daripada bintang seperti matahari dalam galaksi Bima Sakti boleh menempatkan
planet-planet lebih kecil yang bersaiz seperti Bumi.

Melihat kepada keghairahan para saintis ini, dapat disimpulkan bahawa mereka sangat yakin bahawa
terdapat banyak planet lain di angkasa lepas yang mungkin satu hari nanti dapat menempatkan manusia.

Mungkin sukar bagi kita untuk menelah kebenaran dan kemungkinan yang berlaku memandangkan ilmu
sebegini terlalu luas untuk dirungkai.

Namun walau sehebat mana pun kejayaan dan penciptaan manusia kita perlu akui bahawa satu masa
nanti kita akan kembali jua kepada Pencipta. Walau bagaimana liciknya manusia cuba mengelak namun
akhirnya mereka akan tunduk kepada ketentuan yang telah ditetapkan Tuhan.

Akhirnya kita perlu akui walau betapa hebatnya ilmu dan ciptaan manusia, ia hanyalah sekelumit dari
kekuasaan dan kehebatan tuhan yang mencipta sekelian alam.

Anda mungkin juga menyukai