Anda di halaman 1dari 6

PEREMPUAN

TAJUK : KISAH NABI ADAM DAN HAWA DI SYURGA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh

Alhamdulillahi robil aalamin, wassolaatu wassalaamu alaa asyrofil anbiyaai


walmursalin, wa alaa aalihi wasohbihi ajmain.

Burung merpati si burung nuri,


Terbang mandi di tepi perigi,
Hajat di hati ingin berperi,
Adam dan Hawa kisah diberi.

Begitulah tajuk cerita saya pada hari ini iaitu kisah Nabi Adam dan Hawa.

Kisah Nabi Adam dan Hawa tajuk cerita saya, diharap tuan puan sudi
mendengarnya.

Jutaan tahun yang lalu,


Ketika alam ini tiada,
Bumi, bulan, bintang, haiwan, manusia,
Yang berkuasa hanyalah DIA,
Bisa menjadikan segala-galanya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah:29

Ertinya : Dialah(Allah) yang menjadikan segala apa yang ada


di bumi untuk kamu(manusia)

Para pendengar yang budiman,


Sebelum manusia dijadikan, Allah telah menciptakan Malaikat daripada
cahaya. Tabiatnya yang suci dan sentiasa patuh kepada perintah Allah.
Manakala Iblis diciptakan daripada api. Tabiatnya yang kasar dan sombong
dan suka membantah perintah Allah. Kemudian Allah menjadikan Nabi
Adam, manusia pertama.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah :30

Ertinya: Aku hendak menajadikan Adam sebagai Khalifah di


Bumi.

Allah menjadikan Nabi Adam daripada tanah liat yang kering. Kemudian
tanah itu dibancuh dengan air. Dibiarkan sehingga menjadi hitam dan
berubah baunya. Kemudian dibentuk satu lembaga manusia, lalu Allah
menghembuskan roh padanya. Lembaga itu pun hidup, dapat bergerak,
merasa dan berfikir.
“Alhamdulillahi robbil aalamin” kata Nabi Adam sewaktu membuka
matanya.

Pendengar yang dirahmati,

Nabi Adam dijadikan Allah, sempurna kejadian berilmu pengetahuan, diberi


kelebihan dan kemuliaan . Malaikat redha akui kebesaran. Lain pula dengan
Iblis, mereka marah dan geram kerana rasa diri lebih hebat, dijadikan Allah
daripada api. Begitulah Iblis sombong dan bongkak, budi pekerti rendah dan
suka membantah lalu Allah menjadi murka, mengusir Iblis dari syurga,
bakal menjadi bahan bakar, di api neraka.

Iblis tidak puas hati sambil bersumpah akan memusuhi Adam dan anak
cucunya.

Rakan-rakan seperjuangan,

Permintaan Iblis diperkenankan jua,


Namun Allah maha adil saksama,
Anak cucu Adam dibekalkan senjata,
Akal dan iman tersemat di jiwa.
Iblis tersenyum bangga kerana dapat menggoda manusia dengan
mudah.Lantaran itu iblis mohon dipanjangkan usianya.
Ternyatalah Iblis memusuhi Adam dan anak cucunya.

Saudara-saudari sekalian,

Digambarkan syurga ini amat indah. Kawasannya sangat luas. Semua


keinginan Nabi Adam dipenuhi namun baginda merasa sunyi tiada kawan
diajak berbicara. Allah tahu apa yang tersirat di hati,
Diciptakan seorang insan,
Daripada rusuk dijadikan,
Itulah Hawa,
Teman Adam yang istimewa,
Pabila disatukan,
Seluruh alam menyaksikan keabahagiaan,
Kemesraan dan kasih sayang,
Anugerah mulia dari Tuhan.

Allah telah menciptakan seorang teman perempuan buat Nabi Adam lalu
dinamakan Hawa-ertinya orang yang kurindui.
Baginda berdua hidup penuh kebahagiaan dan kenikmatan dalam syurga
yang selesa, udara yang nyaman, taman-taman indah, buah-buahan yang
lazat dan minuman yang enak-enak belaka.

Firman Allah SWT dalam surah al-baqoroh: 35

Ertinya : Dan janganlah dekati pokok ini(khuldi)


Allah memberi peringatan
Janganlah kamu dekat dengan pokok kayu ini,
Janganlah kamu makan buah khuldi,
Janganlah kamu ingkar perintah ini,
Janganlah kamu aniaya diri sendiri,
Jika tidak, kamu sendiri yang rugi.
Rupa-rupanya Iblis durjana mendengar larangan Allah. Bertambah marak
menyala api kemarahan Iblis.

Pada suatu hari Iblis berpeluang masuk ke syurga. Lalu digodanya Nabi
Adam dan Hawa dengan kata-kata yang manis. “Wahai Adam!Aku datang
untuk memberi nasihat yang baik kepadamu. Mahukah engkau aku
tunjukkan sejenis buah yang amat lazat rasanya. Jika engkau memakannya
pasti engkau tinggal kekal di dalam syurga.”
Apabila Nabi Adam tahu bahawa ia buah khuldi, maka marahlah baginda
dan dihalaunya Iblis.

Iblis tidak putus asa. Pada kali ketiga, Iblis membawa buah khuldi yang
masak ranum dan mendekati Nabi Adam dan Hawa.Iblis berkata,”Demi
Allah, aku hanya mahu kamu kekal di dalam syurga ini. Makanlah buah ini.”
Nabi Adam dan Hawa berbelah bagi. “Kalau Iblis berbohong, takkan dia
menggunakan nama Allah”. Lalu Hawa mengambil buah khuldi dan
diberikannya kepada Nabi Adam. Hawa ingin memakannya kerana baunya
yang harum menusuk nafsu.

Kawan-kawan semua,

Setelah buah itu masuk ke tekak mereka, seluruh pakaian mereka tertanggal.
Nabi Adam dan Hawa berasa malu bercampur takut dan sedih. Kedua-
duanya segera menyembunyikan diri. Mereka memetik dua helai daun kayu
di syurga untuk menutup aurat masing-masing.

Iblis bersorak-sorak kegembiraan sambil berkata.”Aku berjaya! Aku


berjaya! Aku berjaya!

Betapa sedihnya Nabi Adam dan Hawa. Kedua-duanya rasa tertipu dan
menyesal. Iblis berani menipu dengan menggunakan nama Allah. Allah
berfirman,”Wahai Adam! Apakah kamu lari dariku. Jawab Adam,”Bukan
aku lari dari Engkau, wahai Tuhan, tetapi aku takut dan malu.

Firman Allah dalam surah al-A’araf: 22

Ertinya: Dan telah aku katakan kepada engkau berdua


bahawa syaitan itu adalah musuh yang terang bagi
engkau berdua.

Nabi Adam dan Hawa memohon maaf dan keampunan:


“Wahai tuhan kami! Kami telah menganiayai diri kami, jika
engkau tidak mengampuni kami dan mengasihi kami, pasti kami
akan rugi dan sengsara”.

Allah berpesan,’Demi kemuliaan Ku, kamu berdua harus meninggalkan


syurga ini. Turunlah ke bumi yang sudah lama terbentang. Di sana kamu
berdua juga boleh hidup. Tetapi harus dengan bersusah-payah,
mengeluarkan peluh, malahan menitiskan air mata.
Nabi adam dan Hawa meninggalkan syurga menuju ke dunia yang penuh
cabaran. Iblis dengan senyum menanti mereka untuk terus
menjahanamkannya beserta anak cucunya sekali.

Tabahkanlah hatimu wahai Adam dan Hawa meneruskan kehidupan di bumi

Begitulah para hadirin, Kisah nabi adam dan Hawa.

Pengajaran yang boleh diambil:

1. Pada Allah jangan derhaka, kelak diri dilanda bencana.


2. Iblis itu musuh yang nyata, suka menggoda umat manusia
3. Alah itu Maha Pengampun, bertaubatlah kita sebelum diusung.
4. Taatlah kita kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Pemurah.
5. Bersyukurlah kita kepada Allah, kerana manusia dilantik Khalifah.

Sekian, wabillahi taufik walhidaayah, wassalamualaikum warohmatullahi


wabarokaatuh.
Susunan semula cerita oleh: Pn Nor Salwiah bt Lukman, SK Bukit Besi, 3.2.2005

Anda mungkin juga menyukai