Anda di halaman 1dari 6

Bagi seseorang yang baru menjejak kakinya dalam arena pengajaran malah ramai guru yang

berpengalaman, konsep pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran amat sukar
dibeza-bezakan. Apa lagi terdapat orang yang menganggap bahawa semua istilah tersebut
adalah sama dengan cara pengajaran sahaja. Ini adalah suatu perkara yang harus diberi
perhatian yang serius kerana konsep-konsep tersebut adalah merupakan asas untuk
membentuk sesuatu rancangan pelajaran harian yang sempurna oleh seseorang guru.
Penjelasan tentang perhubungan di antara keempat-empat konsep adalah amat berguna bagi
guru-guru pelatih yang menjalankan latihan mengajar supaya ilmu pedagogi yang dipelajari itu
dapat diamalkan dalam bilik darjah.

Rencana ringkas ini bertujuan memberi sedikit sebanyak penjelasan tentang pendekatan,
strategi, kaedah serta teknik pengajaran serta hubungan di antara satu sama lain. Walau pun
difikirkan bahawa konsep-konsep itu merupakan asas dalam perbincangan pedagogi tetapi
kebanyakan pengarang buku pedagogi masih samar-samar tentang konsep-konsep tersebut.

Untuk menjelaskan konsep-konsep tersebut, perbincangan akan bermula dengan kaedah


pengajaran dan diikuti oleh teknik pengajaran. Selepas kita telah jelas mengenai kedua-kedua
konsep tersebut maka kita akan meneliti konsep strategi serta pendekatan pengajaran. Akhir
sekali kita akan mengulas perhubungan kesemua konsep tersebut dalam situasi pengajaran.

KAEDAH DAN TEKNIK

Sebelum kita membincangkan konsep kaedah pengajaran adalah eloknya kita memikirkan
secara umum pengertian kaedah. Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan
(membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu
siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat.

Lantaran itu, jika kita ingin memasak ikan maka kita perlu fikirkan apakah kaedah-kaedah
memasak yang kita boleh gunakan. Sudah tentunya, kaedah-kaedah yang biasa kita gunakan
ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau mengukus. Begitu juga kalau kita
diminta memberi kaedah-kaedah menyepak bola kita akan menyatakan kaedah-kaedahnya
adalah seperti sepakan sering, sepakan tinggi, sepakan grounder, sepakan banana serta
bermacam-macam lagi. Satu lagi contoh ialah jika kita ingin peri memburu harimau di dalam
hutan, kaedah-kaedah yang kita boleh gunakan adalah seperti menembak dengan senapang,
memanah, menjerat, menikam atau menombak.

Andaikan kita ingin memasak ikan dengan kaedah menggoreng. Maka sudah tentu kita perlu
memiliki kemahiran-kemahiran yang khusus dalam menjayakan kaedah tersebut. Kemahiran
khusus tersebut adalah dimaksudkan sebagai teknik. Sebab itu, bolehlah kita menyatakan
bahawa semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu yang disusun dengan sistematik.
Umpamanya untuk menggoreng ikan, kita mesti memanaskan kuali terlebih dahulu sebelum
mencurahkan minyak ke dalamnya. Untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali, suatu lagi
teknik ialah memasukkan sedikit garam ke dalam minyak yang telah panas di kuali. Api juga
harus dikawal supaya tidak terlalu panas. Kesemua tindakan yang spesifik ini adalah disebut
sebagai teknik menggoreng. Teknik-teknik untuk kaedah memasak ikan secara memanggang
pula adalah amat berbeza.
Untuk menjelaskan lagi hubungan kaedah dengan teknik, kita boleh ambil contoh memburu
harimau. Kalau kita hendak memburu harimau dengan kaedah memanah maka teknik-tekniknya
adalah seperti meneliti arah angin, kemahiran memegang ibu panah, gerakan tangan untuk
membuat sasaran, kedudukan kaki serta tindakan menarik nafas.

Dalam zama atom ini, sudah tentu kaedah memburu harimau dengan kaedah memanah tidak
begitu berkesan. Jadi walau pun seorang pemanah itu betul-betul mahir dan telah menguasai
segala teknik memanah dengan seratus perstus, maka kemungkinan besar ia dimakan oleh
harimau. Itu sebabnya kaedah memburu yang dipilih adalah kurang sesuai walaupun teknik-
teknik kaedah itu adalah baik.

Oleh itu, untuk menjayakan sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah disertai
dengan teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa menguasai teknik-teknik
yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan menjaminkan tercapainya matlamat kaedah
yang diingini.

KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN

Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai
urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk
menghasilkan perubahan tindkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain.
Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti cercerita, perbincangan, bermain,
latih tubi, main peranan, menyelesaikan masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan,
projek, soalan atau Socratik dan lain-lain lagi.

Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat


dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada
apda sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.

Misalnya katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar sesuatu
tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada suara,
penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerrakan tangan
"facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa aktiviti bercerita itu berlangsung.

Kaedah mengajar seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri. Teknik-
teknik syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada sera kadar percakapan, bahasa yang
sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal soalan-soalan yang
mencabar pemikiran pelajra dan lain-lain lagi.

Satu lagi contoh kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan
kaedah soalanmaka kita pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti soalan-
soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi masa untuk memikirkan
jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab, layanan yang munasabah bagi
semua tindak balas daripada murid, suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang
ditanya dan sebagainya.
Jadi jika kita hendak mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedah-kaedah
yang sesuai. Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu tidak berkesan.
Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai. Meskipun demikian, untuk
memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti menguasai teknik-teknik demostrasi.

Sebagai kesimpulan, bila kita sebut teknik pengajarankita mesti bertanya teknik pengajaran
untuk kaedah apa. Setiap kaedah pengajaran mesti mempunyai teknik-teknik yang tertentu.

PENDEKATAN

Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju
sesuatu sasaran. Dalam pengertianyang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi "to come
near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-
pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.

Sebagai contoh, pendekatan-pendekatan memasak ikan yang kita boleh gunakan ialah seperti
pendekatan Timur atau pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita dapati keutamaan
ditegaskan pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan dan ciri-ciri makanan
seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah diberi kepada rasa seperti rupa
makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai kalori atau ciri-ciri makanan seimbangan.
Pendekatan Barat ini adalah amat berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi
pemakanan yang mempunyai prinsip-prinsip makanan serta hubungannya dengan kesihatan.

Suatu lagi contoh tentang pendekatan melakukan sesuatu ialah pendekatan seseorang dalam
belajar bermain tenis. Dia boleh menggunakan pendekatan profesional atau pendekatan
konvensyenal (tradisional atau acquired) atau biasa. Bagi pendekatan profesional, semua
kaedah bermain dipelajari berdasarkan prinsip-prinsip sains yang sangat bersistematik.
Manakala bagi pendekatan konvensyenal, kaedah-kaedah bermain dipelajari berdasarkan
pengalaman, perbincangan informal serta dengan pemerhatian.

PENDEKATAN PENGAJARAN

Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau
memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa
mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan wujud berdasarkan aspek-
aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Sebab
itu ada kalanya pendekatan meyerupai klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan
wujud berdasarkan kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran.
Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid,
cara-cra fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan
pengajaran mata pelajaran lain.

Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan


individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas
bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh tentang
kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas memilih kaedah yang
difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.

Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan


induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi
susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.

Pendekatn yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan
guru manakala pengajran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan memusatkan
murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan guru adalah seperti
kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari
dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan
masalah, kaedah bermain dan kaedah perbincangan kumpulan.

Terdapat juga pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa mata


pelajaran mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam dan Manusia
menggunakan perdekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Ini adalah kerana
beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan digabungkan menjadi
suatu mata pelajaran yang baru. Pendekatan ini adalah sama dengan pengajaran Sains
Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia digabungkan dan diajar mengikut tema-tema
tertentu.

Akhirnya dalam pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti pendekatan


komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan
pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori pembelajaran
yang berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya jika kita mengikut teori mentalis atau
kognitif maka pendekatan yang digunakan adlah seperti pendekatan terjemahan dan
pendekatan nahu. Bagi teori behavouris atau S-R maka pendekatan pengajaran yang
digunakan adalah pendekatan komunikasi dan situasi.

Rumusan yang boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan ia
seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya
untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan oleh
sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran.

STRATEGI

Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-


kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta
kemudahan secara optimum. Seseorang panglima tentera harus memikirkan strateginya untuk
mempertahankan kedudukannya atau menyerang kubu musuhnya.

Sebagai contoh, katakanlah perang tercetus di antara Malaysia dan Singapura. Seorang
panglima Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk menyerang dan menawan Singapura
terpaksa merancang strategi peperangannya. Dia harus memikirkan apakah pendekatan-
pendekatan dan kaedah-kaedah untuk menyerang pihak musuh. Adakah kita menggunakan
tentera udara atau tentera laut? Adakah kita mengebom sasaran-sasaran pertahanannya
terlebih dahulu sebelu menghantar angkatan tentera darat diikuti oleh angkatan tentera
laut. Susunan serta urutan kaedah yang dirancangkan mengikut kekangan logistik adalah
disebut sebagai strategi peperangan.

Andaikan kita menggunakan contoh memasak ikan semula. Kalau kita ingin memasak seekor
ikan yang agak besar (5 kilogram) kita perlu merancangkan strategi memasak supaya kita
dapat kepuasan dan faedah yang paling banyak dengan menggunakan masa, tenaga erta
sember yang paling minimum. Di sini kita perlu merancangkan pendekatan-pendekatan dan
kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memasak ikan tersebut. Umpamanya adalah kita
menggoreng kepalanya, merebus ekornya, memanggang tulang diikuti dengan mendidihnya
dalam sup, menjerut telurnya dan sebagainya. Kaedah manakah yang kita buat terlebih
dahulu? Pendekatan timur atau barat yang patut diikuti untuk memasak? Rancangan yang
lengkap ini boleh disebut sebagai strategi memasak.

Bagaimana dengan strategi memburu harimau pula? Kita telah membincangkan kaedah-kaedah
yang boleh digunakan untuk memburu harimau. Jadi bagaimanakah rancangan kita untuk
menggabungkan kaedah-kaedah tersebut seupaya harimau itu dapat diburu dengan mudah.
Adakah kita memagar kawasan yang didiami oleh harimau dan menahan jerat pada kawasan-
kawasan tertentu. Apabila harimau telah terjerat, barulah kita menembaknya. Atau perlukah
kita menghadkan makanan harimau untuk melapar dan meletihkannya kemudian membunuhnya
dengan lebing.

Untuk memenangi sesuatu pertanding badminton, seseorang pemain bukan sahaja perlu
menguasai segala kaedah untuk menghantar bola tangkis kepada lawannya tetapi a juga perlu
merancangkan strategi permainan itu. Strategi permainan adalah seperti bermain secara
defence pada pemainan pertama untuk meletihkan musuh dan kemudiannya menyerang dengan
secara smash yang kencang pada pemainan kedua. Adakah dia sengaja bermain sebanyak 3
atau 2 pemainan sahaja. Jika pemain itu menguasai semua kaedah menghantar bole tangkis
dengan sempurna tetapi strategi permainannya tidak sesuai mana ia akan ditawan. Oleh
sebab itu, ada kalanya pasukan yang mahir dalam semua kaedah permainan dikalahkan sebab
strategi permainan tidak sesuai.

STRATEGI PENGAJARAN

Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya menggunakan


gabungan berapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan gabungan
pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan
strategi pengajaran.

Sebagai contoh, untuk mengajar sebuah kelas berenang, strategi pengajaran harus
mempertimbangkan pendekatan yang digunakan serta kaedah-kaedah yang perlu digunakan.
Adakah kita gunakan pendekatan individu atau pendekatan kumpulan kecil? Bila kita
menerangkan cara-cara berenang kepada pelajar patutkah kita gunakan pendekatan induktif
atau pendekatan deduktif? Di samping itu, apakah kaedah pengajaran yang boleh kita
gunakan. Antara kaedah syarahan, kaedah demostrasi dan kaedah latih tubi yang manakah
kita gunakan terlebih dahulu? Bagaimanakah kombinasinya? Ringkasnya rancangan yang
lengkap yang mengandungi pendekatan dan kaedah adalah strategi mengajar yang
dimaksudkan.

Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang
berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza.
Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-
kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, dalam bilik darjah KBSR yang biasanya terdiri
daripada kumpulan lemah, kumpulan serdahana serta kumpulang cergas. Guru terpaksa
memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk
memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan
serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah,
nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid. Lantaran itu, seseorang guru bukan
sahaja mesti menguasi berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah
bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi
pengajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.

Kita biasanya mendengar pendapat bahawa tiada terdapat mana-mana kaedah yang paling
baik sekali. Ini amat benar kerana kaedah-kaedah mengajar mestilah diatur untuk
membentuk strategi pengajaran mengikut keadaan di mana proses pengajaran itu berlaku.
Jelasnya sesuatu kaedah pengajaran tidak menjaminkan pencapaian matlamat pengaajaran.
Yang lebih penting adalah interaksi kaedah itu dengan kaedah-kaedah lain.

KESIMPULAN

Kesimpulan yang boleh dibuat setakat ini ialah sesuatu strategi pengajaran menggabungkan
pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran untuk mencapai kesan pengajaran yang optimum
sekali. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang paling sedikit
tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling maksimum

Rujukan

Arbak Othman (1985) "Mengajar Tatabahasa", Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.

Ee, Ah Meng (1987) "Pedagogi Untuk Bakal Guru", Fajar Bakti, Petaling Jaya.

Kamarudin Husin (1988) "Pedagogi Bahasa", Longman (M), Kuala Lumpur.

Kaye, Barrington (1970) "Participation In Learning", George Allen & Unwin, London.

Kemp, Jennold E (1987) "Corak Rancangan Pengajaran - Suatu Rancangan Untuk menggubal Unit Dan Kursus" Dewan Bahasa
& Pustaka, Kuala Lumpur.

Tang, Chee
Raminah Sabran & Rahim Syam (1985) "Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia", Fajar Bakti, Petaling Jaya.
Yee (1988) "Pandua Latihan Mengajar", Fajar Bakti, Petaling Jaya

Anda mungkin juga menyukai