Anda di halaman 1dari 3

Abad ini juga turut dikatakan sebagai kemuncak kepada gelombang budaya popular yang dibawa menerusi proses

globalisasi dan kemajuan teknologi komunikasi. Ramai para pengkaji turut menjadi risau dan resah kerana ia telah menggelorakan rupabentuk masyarakat muda kepada tiga perspektif dengan meletakkan teknologi sebagai pemisahnya. Dengan mengambil rumusan seorang pengkaji masyarakat, Don Tapscott menerusi tulisannya, Grown Up Digital, demografi penduduk dunia dibahagikan kepada lima kumpulan. Mereka yang lahir sebelum pada tahun 1945, dikenali sebagai Pre Baby Boom. Mereka yang lahir antara tahun 1946 hingga 1964, sebagai generasi The Baby Boom. Mereka yang lahir pada tahun 1965 hingga 1976 dikenali sebagai generasi X atau The Baby Bust. Mereka yang lahir antara tahun 1977 hingga 1997 adalah generasi Y atau The Echo of the Baby Boom. Generasi yang lahir selepas tahun 1998, dikenali sebagai Generasi Z atau The Generation Net. Generasi Pre Baby Boom merupakan generasi yang mudah menerima dan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran, dan kini mereka merupakan generasi lama. Kalau dilihat dari sudut perangkaan banci penduduk 2010, mereka ini adalah yang berumur 65 tahun ke atas, kini berjumlah 1.47 juta orang. Generasi The Baby Boom, iaitu mereka yang berumur antara 45 hingga 64 tahun adalah mereka yang lahir selepas Perang Dunia Kedua, Malaysia mempunyai sejumlah 4.87 juta. Generasi the baby boom ini seringkali juga dianggap turut menjadi halangan kepada generasi muda, kerana generasi ini menjadi kelompok yang berpegang kuat kepada warisan budaya dan tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka sendiri menerusi proses sosialisasi. Sebahagian lagi ibu bapa yang ada pada hari ini adalah mereka yang dikategorikan sebagai generasi X atau the baby bust. Generasi ini dikatakan pernah mengalami keadaan yang terpinggir dalam masyarakat pada suatu waktu, tetapi kelompok ini mendapat tahap pendidikan yang lebih baik. Berdasarkan pemerengganan itu, generasi X sekarang sudah berumur antara 34 hingga 45 tahun, iaitu berjumlah 3.7 juta orang. Sebahagian besar generasi ini sudah pun berumahtangga dan mempunyai keluarga pada masa kini. Generasi Y dilihat sebagai generasi yang telah melewatkan umur perkahwinan mereka dan jika memilih untuk hidup berkeluarga, mereka mempunyai keinginan untuk mempunyai anak dalam usia yang agak lewat. Kelompok ini, sekarang ini berumur antara 13 hingga 33 tahun, iaitu suatu kelompok yang amat besar dalam masyarakat, dianggarkan berjumlah hampir 13 juta orang. Kebanyakan mereka masih berada dibangku sekolah, dan sebahagian besarnya adalah dalam kumpulan umur remaja. Generasi ini dikatakan lebih banyak membawa masalah dalam masyarakat disebabkan mereka seringkali mengalami pertembungan nilai dan budaya dengan generasi yang lebih awal.

Mereka ini mengasaskan idealism kebebasan dan menerima limpahan era maklumat yang kadangkala amat sukar untuk diasingkan antara benar, palsu ataupun separuh sahih. Mereka lebih mempercayai apa yang mereka peroleh daripada saluran media baru, mereka sudah tidak memberikan perhatian kepada bahan-bahan yang tersiar menerusi kaedah konvensional, yakni media cetak dan elektronik. Generasi X masih memberikan perhatian yang besar kepada media konvensional sebagai sumber maklumat harian mereka.Generasi Net, atau generasi Z merupakan mereka yang lahir mulai tahun 1998 dan kini berumur di bawah 12 tahun. Mereka merupakan 38 peratus dari jumlah penduduk Malaysia dan kesemuanya boleh dikatakan berada di peringkat sekolah rendah ataupun tingkatan satu sekolah menengah. Era sekarang turut dikenali sebagai era kebijaksanaan. Era ini bermakna kepintaran intelektual mestilah disepadankan dengan tindakan kita. Jika hanya mementingkan intelektual, kita akan membangun dalam persekitaran yang tidak seimbang, begitu juga jika kita membangun hanya berasaskan tindakan semata-mata tanpa kekuatan intelektual, hasil yang kita peroleh tidak akan menjadi sesuatu yang boleh dipertahankan dengan baik. Ini kerana, perkembangan intelektual manusia semakin cepat berkembang dan ia telah menghasilkan keadaan yang amat cepat berubah. Maknanya, untuk lahir sebuah peradaban yang lebih besar dan boleh bertahan lama kita memerlukan keseimbangan antara intelek dan tindakan. Menerusi kekuatan intelek, kita akan melaksanakan sesuatu tindakan yang lebih cepat dan jelas, kerana kita mempunyai daya penggerak yang lebih terarah, fokus dan realistik. Kita mungkin sedar bahawa dalam diri seseorang yang mempunyai fokus, pemikiran terarah dan melakukan tindakan secara realistic adalah manusia yang telah mempengaruhi ramai orang. Kita mungkin menjadi lebih dekat dengan seeorang yang telah membawa kepada perubahan gaya hidup kita pada masa kini, dan setiap orang daripada generasi Y, X dan Z bercakap mengenai kecanggihan produk yang diilhamkan oleh Steve Jobs dari Apple. Dari perspektinya untuk mengubah cara manusia bertindak dan membudayakan pola perhubungan harian telah mempengaruhi pemikiran Steve Jobs, walaupun beberapa hari lalu, dalam usia 56 tahun beliau telah meninggal dunia, hasil dan idea besarnya masih menjadi perhatian masyarakat moden yang sudah memahami apa itu era digital. Inilah sebuah contoh bagaimana seseorang yang pernah mengalami kehidupan yang sukar telah berjaya mengatasi kesukaran itu dan bangkit dengan penuh gigih sehingga mampu meninggalkan impak yang besar dalam peradaban moden manusia. Kita mungkin memerlukan lebih ramai manusia kreatif dan innovative kerana kemajuan masa depan negara amat bergantung kuat kepada manusia sedemikian. Maka dalam hal ini, peranan para belia sama ada Generasi Y, X dan Z yang ada dalam negara ini amatlah diperlukan, kerana antaranya saling berkait dan membantu bagi menentukan asas peradaban masa depan negara. Kita sedia maklum, dari perspektif kerajaan amat banyak

peluang telah disediakan bagi mereka yang kreatif dan innovative mengengahkan idea mereka, kerajaan telah menyediakan dana yang besar untuk tujuan tersebut. Cuma, hari ini kita amat mengharapkan generasi baru, terutamanya X dan Z akan tampil mempamerkan gagasan mereka, kerana tanpa mempamerkan apa yang hendak dilakukan, tidak akan ada mereka yang mengetahui dan boleh membantu. Adakalanya, idea yang baik dan bernas tidak boleh direalisasikan keseorangan, ia memerlukan kerjasama daripada orang lain yang mahir dalam bidang-bidang tertentu, maka di sinilah letaknya kerjasama yang erat antara generasi, dan bukannya memperluaskan jurang generasi yang akan membawa perseteruan, konflik dan ketegangan yang tidak akan menghasilkan apaapa faedah kepada masyarakat, negara dan perubahan budaya manusia akan datang. Dari sinilah kita sepatutnya bermula, kita mengasaskan setiap tindakan kita dengan cara menghormati idea generasi muda manakala generasi sebelum membantu dan mendorong perkembangan idea yang bernas itu. Maka, dalam perspektif itulah saya melihat penganjuran majlis ini adalah begitu signifikan sekali dengan perkembangan semasa bagi mencetuskan satu peradaban baru yang bakal mempengaruhi cara hidup kita. Kita yang berada dalam Generasi Y dan sebelumnya hanyalah sekadar melindungi generasi X dan Z, dan mendorong mereka menjadi lebih kreatif dan innovative berdasarkan nilai dan budaya kita, berbudi luhur dan menyanjungi tinggi kesantunan tindakan. Kita mahukan generasi yang kreatif dan inovatif itu lahir dengan pegangan budaya yang kuat dan mampu bertahan dalam pelbagai asakan budaya popular yang turut sama dibawa oleh perkembangan teknologi. Kita mahukan generasi masa depan yang mampu mengukir sebuah tamadun yang besar, maka pada hari ini kita telah menunjukkan iltizam kita yang kuat, mengumpulkan mereka, memberikan mereka dorongan dan semangat agar mereka tidak hanya melaksanakan sekerat jalan.

Anda mungkin juga menyukai