Anda di halaman 1dari 5

E B A H A N

T
B A C A A N

A Z K I R A H

Kelebihan amalan qiamullail


Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: SAYA ada beberapa kali menghadiri program qiamullail yang


dianjurkan oleh badan-badan tertentu. Saya harap dapat ustaz jelaskan apa yang
dimaksudkan dengan tahajud dan qiamullail. Setakat mana seseorang itu perlu
melakukan qiamullail menurut ajaran Islam? - MAJALINA, Simpang Pertang.

JAWAPAN: Dalam maksud mudah, qiamullail bererti menghidupkan malam


dengan beribadah. Dalam bahasa Arab al-mutahajjid bererti orang yang berdiri
mendirikan sembahyang setelah bangkit daripada tidur.

Sembahyang tahajud adalah sunat muakkadah, iaitu sunat yang dituntut, yang jelas
hukumnya seperti yang disebut di dalam al-Quran, sunah dan ijmak ulama.
Keterangan tentang bertahajud ini dijelaskan oleh al-Quran seperti yang disebut
dalam surah al-Furqan: 64, az-Zariyat: 17-18, as-Sajadah: 16-17 dan Ali-Imran:
113.

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa orang yang beribadah pada waktu malam itu
sebagai orang yang arif lagi berilmu, takut kepada azab akhirat dan mengharapkan
rahmat-Nya.
Keterangan ini disebut dalam surah az-Zumar: 9 yang bermaksud: Apakah kamu
wahai orang musyrik yang lebih beruntung, atau orang yang beribadah di waktu-
waktu malam dengan bersujud dan berdiri, sedangkan ia takut kepada azab akhirat
dan mengharapkan rahmat Tuhannya. Katakanlah: Adakah sama orang yang
mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. Sesungguhnya orang yang
berakallah yang dapat menerima pelajaran.

Lantaran kerana ibadah malam itu amat besar manfaatnya dan memberi kesan yang
baik untuk pembentukan peribadi seseorang, Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi
s.a.w. (al-Muzammil: 1-4): Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah
untuk sembahyang di malam hari, kecuali sedikit, seperdua atau kurangilah
daripada seperdua itu sedikit, atau pun lebih daripada satu perdua. Dan bacalah al-
Quran itu dengan perlahan-lahan.
Kelebihan amalan qiamullail___________________________________________

Rasullah s.a.w. seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah
r.a. baginda bersabda: Puasa yang lebih utama selepas puasa Ramadan ialah puasa
bulan Allah Muharam, manakala sembahyang yang lebih utama selepas
sembahyang fardu itu ialah sembahyang malam.

Beribadah di waktu malam atau pun qiamullail mempunyai kelebihan yang amat
besar, berdasarkan keterangan berikut:

1. Baginda s.a.w. amat mengambil berat ibadah pada waktu malam ini sehingga
pecah kedua-dua tapak kakinya. Menurut sebuah hadis daripada Aishah r.a. bahawa
Nabi Muhammad s.a.w. beribadah pada waktu malam sehingga pecah kedua-dua
telapak kakinya. Ketika ditanya kenapa baginda berbuat demikian, padahal Allah
telah mengampunkan dosanya yang telah lalu juga yang akan datang, baginda
menjawab: Tidakkah aku suka menjadi seorang hamba yang bersyukur - Muttafaq
alaih.

2. Amalan utama untuk masuk syurga. Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin
Salam r.a. beliau berkata: Ketika Rasullah s.a.w. datang ke Madinah, orang ramai
mengerumuninya dan berteriak, Rasulullah telah tiba. Aku datang bersama orang
ramai untuk mengalu-alukan kedatangan baginda. Tatkala menatap wajahnya, aku
mengetahui sesungguhnya wajahnya bukan wajah penipu. Perkataan pertama yang
aku dengar daripadanya ialah: Wahai orang ramai, berilah salam, beri makan dan
hubungkan silaturahim dan sembahyanglah malam ketika orang ramai tidur, kamu
akan masuk syurga dengan selamat.

3. Qiamullail adalah di antara amalan untuk meningkatkan darjat seseorang di


syurga. Baginda s.a.w. bersabda mengenainya: Sesungguhnya di syurga itu ada
bilik-bilik yang dapat dilihat luarnya dari dalam, dan bahagian dalamnya dari luar.
Allah s.w.t. menyediakan akan dia bagi orang yang memberi makan, berlembut
lidah, menyambung puasa fardu dengan sunat, mengucap salam, juga mereka yang
sembahyang pada waktu malam, ketika orang ramai tidur - Riwayat Ahmad, Ibn
Habban, Tarmizi.

4. Orang yang beribadah pada waktu malam berhak mendapat rahmat Allah, juga
syurga-Nya (az-Zariyat: 17-18).

5. Allah s.w.t. memuji hamba-Nya yang beribadah pada waktu malam dan berhak
mendapat rahmat Allah, juga syurga-Nya (al-Furqan: 64), tanda-tanda
kesempurnaan iman seorang hamba (as-Sajdah: 15-17), dan terdapat perbezaan di
antara mereka yang beribadah pada waktu malam dengan hamba yang tidak berbuat
demikian (az-Zumar: 9).

6. Menghapus dosa-dosa dan mencegah diri seseorang daripada melakukan dosa.


Menurut sebuah hadis daripada Abi Umamah r.a. daripada Rasulullah s.a.w.,
baginda ada bersabda: Hendaklah kamu beribadah pada waktu malam, kerana ia
adalah amalan orang yang soleh sebelum kamu, ia adalah satu cara menghampirkan
Kelebihan amalan qiamullail___________________________________________

diri kepada Allah, menghapus dosa-dosa dan mencegah daripada kejahatan -


Tarmizi, Hakim, Baihaqi.

7. Allah s.w.t. memberi ganjaran yang banyak kepada mereka yang membaca al-
Quran ketika melakukan amalan qiamullail. Menurut sebuah hadis daripada
Abdullah bin Umar r.a. beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa
beribadah pada waktu malam dengan membaca sepuluh ayat al-Quran, ia akan
terpelihara daripada lalai. Dan barang siapa membaca seratus ayat ia akan termasuk
dalam golongan orang yang sentiasa taat, dan barang siapa membaca seribu ayat, ia
termasuk dalam golongan mereka yang mendapat ganjaran yang banyak - Riwayat
Abu Daud.

Waktu yang paling afdal ialah pada satu pertiga daripada malam terakhir, walaupun
demikian ibadah ini boleh dilakukan pada awal malam, pertengahan atau pada
akhirnya. Yang dimaksudkan dengan satu pertiga malam terakhir itu ialah lebih
kurang selepas pukul tiga pagi, hal demikian memperlihatkan bahawa amalan ini
boleh dilakukan dengan mudah.

Hadis daripada Umar bin Abasah r.a. menjelaskan bahawa beliau pernah
mendengar baginda s.a.w. bersabda: Seorang hamba itu lebih hampir kepada
Tuhannya ialah pada malam yang terakhir, andainya anda berupaya termasuk dalam
golongan orang yang mengingati Allah pada saat itu, maka lakukanlah - Hadis
riwayat at-Tarmizi.

Tidak ada bilangan khusus bagi sembahyang malam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sembahyang malam itu ada dua rakaat, maka apabila salah seorang daripada kamu
takutkan subuh telah tiba, dia hendaklah sembahyang satu rakaat, dengan niat witir
apa yang telah ia sembahyang - Muttafaq alaih.

Walaupun demikian adalah lebih afdal andainya ditentukan kepada sebelas rakaat,
atau tiga belas, seperti apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai yang
dijelaskan oleh satu hadis daripada Aishah. Beliau berkata, Rasulullah s.a.w.
sembahyang antara selepas menunaikan sembahyang isyak sehingga fajar sebanyak
sebelas rakaat, dengan memberi salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri
dengan witir satu rakaat - Riwayat Muslim.

Di antara adab ibadah di waktu malam:

1. Berniat untuk mendirikan qiamullail (ibadah malam) ketika hendak tidur, niat
kerana Allah s.w.t. dan bertakwa agar memperoleh pahala tidur. Menurut sebuah
hadis daripada Aishah r.a. sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Tidak ada
seorang pun yang berniat untuk sembahyang malam, lalu ia tertidur, kecuali Allah
mencatatkan baginya pahala sembahyang. Tidurnya itu merupakan sedekah baginya
- Riwayat an-Nasaiy.
Kelebihan amalan qiamullail___________________________________________

2. Ketika terjaga hendaklah menyebut nama Allah - Lailahaillallah wahdahu la


syarika lah, lahulmulk wa lahulhamd, wa huwa ala kulli syain qadir. Demikianlah
seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang dijelaskan dalam hadis
Ubadah bin as-Samit - Riwayat oleh al-Bukhari. Kemudian hendaklah bersugi.

Menurut sebuah hadis Ibn Abbas, Rasulullah s.a.w. ketika terjaga, menyapu
mukanya dengan tangannya, kemudian membaca sepuluh ayat terakhir dalam surah
Ali-Imran - Hadis riwayat Muslim. Dalam hadis lain dijelaskan bahawa apabila
terjaga pada waktu malam baginda membersihkan mulutnya dengan kayu siwak -
Muttafaq alaih.

3. Dalam sebuah hadis daripada Aishah r.a. dijelaskan bahawa Rasulullah s.a.w.
apabila terjaga daripada tidur, memulakan sembahyangnya dengan dua rakaat yang
ringan - Riwayat Muslim.

4. Disunatkan melakukan tahajud di rumah, kerana baginda berbuat demikian.

5. Mudawamah iaitu terus-menerus melakukan ibadah qiamullail tanpa putus.


Disunatkan bagi seseorang itu melakukan sembahyang dengan rakaat-rakaat
tertentu, yang dilakukan berterusan. Andainya dia dalam keadaan segar, lakukan
dengan banyak dan panjang, andainya tidak, permudahkan.

6. Andainya seseorang itu terjaga, tetapi masih mengantuk, dia hendaklah tidur
sehingga hilang mengantuknya. Hal demikian dilakukan berdasarkan kepada
sebuah hadis daripada Aishah r.a. dinyatakan bahawa Nabi s.a.w. ada bersabda:
Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk ketika sembahyang, dia
hendaklah tidur, sehinggalah hilang mengantuknya.

Walaupun demikian perlu difahami, bahawa tidur yang dilakukan itu adalah
semata-mata untuk menghilangkan mengantuknya, bukan terus tidur sehingga pagi
hingga menyebabkan tidak dapat beribadah pada waktu malam. Pada malam
berikutnya ia mengalami hal yang sama, lalu tertidur sehingga pagi. Sesungguhnya
syaitan itu mengikat tiga ikatan pada kepala seseorang hamba ketika tidur dan
berkata, tidurlah. Malammu panjang.

Apabila seseorang itu terjaga daripada tidurnya lalu menyebut nama Allah, maka
terhurailah satu ikatan. Dan apabila ia berwuduk, maka terhurailah ikatan yang
kedua, dan apabila ia bangun mendirikan sembahyang maka terhurailah ikatan
ketiga, lalu ia menghadapi pagi dengan keadaan sihat dan cergas. Andainya tidak, ia
akan menghadapi pagi dengan malas lagi monyok.

Terlalu banyak adab ibadah pada waktu malam yang perlu difahami dan dihayati
dalam usaha memperoleh maqam yang tinggi hasil daripada ibadah tersebut.
Kelebihan amalan qiamullail___________________________________________

Oleh kerana amalan qiamullail itu besar manfaatnya, maka godaannya juga besar,
iaitu daripada iblis dan syaitan yang sentiasa menyekat manusia daripada beribadah
kepada Allah, selain tabiat semula jadi manusia yang memerlukan pengorbanan,
pemahaman dan kesedaran dalam usaha melakukan kebaikan.

Anda mungkin juga menyukai