Anda di halaman 1dari 6

Watak dan Perwatakan

1.

Esah @ Inaiyah

Seorang bayi comel yang berusia dua tahun dan diberikan nama Inaiyah. Anak pertama
kepada Harun dan Sutera. Meninggal dunia kerana lemas semasa Sutera membawanya
menaiki perahu ketika hendak mengintai Harun yang dikatakan curang. Mayatnya digali
semula oleh seorang lelaki berketurunan Siam, Namneung untuk dijadikan hamba kepada
sepasang suami isteri iaitu Cikgu Besar Long Momid dan Puan Rosnah. Hati Esah diambil
dan disimpan oleh mereka supaya dapat mengawalnya. Setiap hari, Esah dipaksa mencuri
wang dan barang kemas penduduk kampung. Dia hanya diberikan makan ayam mentah
oleh Puan Rosnah selepas pulang dari mencuri.
Esah amat suka melihat wajah Sutera dan selalu pergi ke rumah Sutera sematamata untuk melihat wajah Sutera. Selain itu, dia juga suka mendengar suara Sutera yang
lembut menyanyi ketika hendak mendodoikan anaknya, Suha. Walaupun dia hanya mayat
hidup yang dikawal, dia juga mempunyai perasaan seperti manusia iaitu perasaan sayang
(terhadap Sutera) dan perasaan simpati (terhadap Budi yang disalah anggap mencuri
barang kemas Kak Munah). Selain itu, Esah juga mempunyai perasaan benci dan marah
apabila dia melihat Kak Munah yang selalu memaki dan menyakitkan perasaan Sutera.
2.

Sutera

Sutera ialah seorang gadis cantik iaitu anak kepada Pak Haji Shukur yang merupakan
antara orang yang terkaya di Kampung Sorong. Sebelum berkahwin dengan Harun, dia
merupakan seorang pelajar yang pintar di sekolahnya dan bercita-cita untuk menjadi
seorang guru. Namun cita-citanya tidak kesempaian kerana terlanjur cinta kepada Harun
dan sanggup untuk lari dari rumah jika ayahnya tidak merestui perkahwinannya dengan
Harun.
Selepas berkahwin dengan Harun, Sutera menjalankan tanggungjawabnya sebagai
seorang isteri dengan penuh komitmen. Buktinya, dia akan bangun sebelum jam tiga pagi
untuk menyiapkan bekalan makanan untuk Harun. Selain itu, dia juga tidak pernah
meninggikan suara kepada Harun walaupun Harun sering memarahinya. Sutera tidak
pernah membantah dan merungut kepada Harun. Dia juga sentiasa melayan dengan lembut
dan tidak bertutur kasar kepada anak-anaknya ketika mereka melakukan kesalahan.
Sutera juga seorang penyabar. Dia tidak pernah membalas kata-kata kesat dan
hinaan Kak Munah terhadap keluarga. Namun begitu, Sutera suka mengelamun dan
termenung jauh sehingga melupakan kerja-kerja rumah yang dilakukannya.

3.

Harun

Seseorang jejaka berbadan sasa, berhati lembut, berbahasa dan bijak akal fikirannya.
Ayahnya bernama Mohamed yang berkahwin dengan seorang janda tiada anak, Maimon.
Dia bekerja sebagai seorang nelayan seperti ayahnya untuk menampung kehidupan
keluarga. Dia berani mengungkapkan perasaannya kepada Sutera dan mengajaknya untuk
berkahwin. Selepas berkahwin dengan Sutera, dia bekerja sebagai anak kapal kepada Tok
Penghulu Ali. Dia juga seorang yang gigih berusaha dan rajin melakukan kerja untuk
memiliki bot nelayannya sendiri.
Sebelum kehilangan anak pertamanya, Inaiyah, Harun sangat menyayangi Sutera
dan melayannya dengan lembut. Namun setelah kematian Inaiyah, sikapnya mula berubah
terhadap Sutera. Dia seorang yang pendendam dan susah memaafkan Sutera yang
dianggap punca kematian Inaiyah. Dia selalu bersikap dingin dan meninggikan suara
kepada Sutera. Namun begitu, dia tidak pernah sesekali meninggikan tangan dan sentiasa
mengingatkan Sutera supaya tidak termenung lagi.

Sinopsis
Novel Janin karya Wan Hasliza dan Wan Zainuddin mengisahkan tentang satu jasad bayi
yang berumur dua tahun telah diambil oleh sepasang suami isteri iaitu Puan Rosnah dan
suaminya Cikgu Besar Long Momid. Mereka telah mengupah seorang dukun Siam untuk
mengorek kubur bayi tersebut untuk mengambil jantungnya sebagai syarat untuk
menjadikannya seekor hamba. Jasad bayi ini telah dikorek dan dipuja jantungnya untuk
menyeru roh agar jasad ini kembali bernyawa namun bukan seperti bayi yang normal
namun bayi ini dijadikan hamba seperti seekor toyol. Makhluk ini telah diberikan nama Esah.
Esah akan merayau di sekitar Kampung Dulang untuk mencari habuan. Esah akan
membawa sebuah guni kecil untuk mengumpul wang dan barang-barang kemas yang telah
diambil daripada orang-orang kampung tersebut. Hal ini semakin membimbangkan apabila
terdapat kecurian yang melibatkan jumlah yang besar yang berjumlah RM 2000.00 daripada
seorang pengurus kilang coklat iaitu Chettiar Thiaga. Lebih merumitkan keadaan apabila
berlaku juga kecurian di kedai runcit milik Ah Man dengan kehilangan sejumlah wang RM
500.00.
Esah barangkali seekor makhluk yang mengakibatkan kecurian dan kekecohan di
Kampung Dulang. Namun begitu, terdapat satu perkara yang membuatkan Esah sama
seperti bayi yang hidup seperti biasa. Esah pada asalnya merupakan seorang bayi yang
comel. Bayi ini bernama Inaiyah. Inaiyah merupakan anak kepada Harun, seorang nelayan
dan Sutera, seorang gadis yang amat cantik dan bijak namun sanggup mengorbankan
akademiknya demi berkahwin dengan Harun.
Setiap kali selepas menjalankan tugasnya sebagai toyol, Esah akan singgah ke
rumah Sutera untuk melihat Sutera. Esah ke rumah Sutera bukan dengan niat untuk
mencuri apa-apa yang berharga namun Esah hanya ingin melihat muka Sutera. Esah akan
berasa sedih sekiranya tidak sempat singgah ke rumah Sutera atau tidak melihat kelibat
Sutera. Hal ini akan berlaku sekiranya tuan Esah iaitu Puan Rosnah telah menyeru nama
Esah untuk pulang ke rumah. Sekiranya Esah tidak pulang dengan habuan yang banyak,
Esah akan didera oleh Puan Rosnah sama ada dipukul atau dibaling dengan apa-apa
barang yang ada di sekitarnya seperti dulang.
Esah akan dimasukkan ke dalam sebuah botol. Apabila berada di dalam botol
tersebut, Esah akan berubah seperti bayi yang sangat comel bagaikan Inaiyah yang masih
hidup. Hanya Sutera yang mampu mendengar tangisan sayu si Esah. Setiap kali Sutera
mendengar tangisan sedih si Esah, Sutera akan berusaha mencari sumber tangisan bayi

tersebut. Namun, usaha tersebut hanya sia-sia dan setiap kali mencari esakan tersebut,
Sutera akan dihalau oleh Harun yang mengarahnya untuk kembali tidur.
Esah merupakan seekor makhluk yang bertubuh halus, berambut jarang, bergigi
tajam dan memiliki muka yang hodoh dan semakin mereput. Kes kecurian di Kampung
Dulang semakin hari semakin membimbangkan penduduk kampung. Esah amat benci akan
sesiapa yang menyakiti emosi atau fizikal Sutera. Kak Munah, jiran sebelah rumah Sutera,
seorang yang dengki akan kelebihan yang ada pada Sutera dan seringkali menuduh anak
lelaki Sutera, Budi seorang pencuri.
Hal ini berlaku bermula daripada kejadian Kak Munah iaitu jiran Sutera yang
menuduh Budi, anak lelaki Sutera seorang pencuri kerana telah mencuri pasunya walhal
Budi mengambil pasu tersebut hanya untuk dijadikan gol untuk bermain bola dan
mengembalikan pasu tersebut. Esah berasa amat marah dengan tindakan Kak Munah maka
pada malam tersebut Esah telah mencuri barang kemas kesayangan Kak Munah. Bukan
setakat mengambil barang kemas kepunyaan Kak Munah, disebabkan mulut Kak Munah
yang lancang, Esah telah menggigit mulut Kak Munah hingga menampakkan gigi dan
gusinya.
Kak Munah bukanlah satu-satunya mangsa berdarah Esah, namun juga isteri Pak
Atan, yang telah digigit pergelangan tangannya hingga putus hanya kerana Esah mahu
mengambil gelang emas yang dipakainya. Khir dan Alaq iaitu anak buah Harun, telah
menyatakan ketika mesyuarat tergempar Kampung Dulang bahawa apa yang mereka
pernah kejar sebelum ini merupakan seekor makhluk yang kenit dan hodoh rupanya dan
mereka mengatakan bahawa makhluk tersebut barangkali toyol.
Ketua kampung Kampung Dulang telah bersetuju dengan orang kampung untuk
mendapatkan bantuan ustaz dari kampung seberang. Ustaz tersebut merupakan ayah
saudara kepada Khir. Ustaz tersebut mengarahkan orang kampung untuk menabur garam di
sekitar rumah sambil dibacakan ayat kursi. Ustaz tersebut turut berpesan agar tiada satu
pun orang yang mendiami rumah di Kampung Dulang yang keluar untuk tempoh masa
semalaman setelah memagarkan rumah dengan garam dan ayat kursi.
Esah seperti biasa meneruskan rutinnya bersama karung guni kecil yang diseretnya
dari rumah ke rumah. Namun begitu, Esah bagaikan dihijab mata dan pergerakannya untuk
masuk ke rumah-rumah di sekitar kampung tersebut. Apabila akalnya buntu, Esah
memutuskan untuk pergi ke rumah Sutera dengan harapan mampu melihat wajah ayu
Sutera. Esah cuba untuk mencari pintu untuk masuk ke rumah Sutera namun tidak
menemuinya. Esah berasa hairan kerana bagaikan ada satu penghalang yang
menghalangnya untuk menyelinap masuk ke rumah Sutera.

Saban malam Esah menunggu di atas pokok kelapa belakang rumah Sutera di
kawasan dapur dengan harapan bahawa tingkat di dapur tersebut terbuka dan Esah mampu
melihat wajah atau kelibat Sutera. Malangnya, tingkap tersebut tidak pernah dibuka dan
Esah tidak mampu melihat wajah Sutera. Hampir masuk waktu azan Subuh berkumandang,
Esah pulang ke rumah tuannya dengan tangan kosong dan hati yang lara. Setibanya di
rumah, Esah disuruh duduk di meja makan dan disuruh mengeluarkan segala habuan yang
diperolehnya pada malam tersebut. Akibat pulang dengan tangan kosong, Esah telah didera
dengan dibaling dulang dan pinggan ke kepalanya dan dipukul tanpa belas kasihan.
Tanpa disedari, ketika membaling pinggan ke arah Esah, balingan tersebut tersasar
dan terkena pada botol yang menyimpan hati Esah. Hati Esah merupakan pusat utama
untuk mengawal segala tindakan Esah dan ketaatannya sebagai hamba untuk mencuri.
Botol tersebut terhempas ke lantai dan Esah telah mengambil kembali hatinya. Sekiranya
Esah mendapat kembali hatinya, Esah akan menjadi tidak bertuan dan akan menggila. Oleh
sebab hatinya telah ada pada Esah sendiri, Esah sekarang sudah tidak mampu untuk
dikawal. Esah hanya terfikir untuk bertemu Sutera.
Esah lekas menghayun langkahnya mencari kelibat Sutera. Pada ketika itu, Sutera
berada di surau bersama dengan penduduk kampung yang lain. Ketika berada di dalam
surau, Sutera terdengar suara jemaah lelaki memanggil nama Harun, suaminya dan
menyatakan bahawa terdapat seorang kanak-kanak yang comel mukanya dan kelihatan
seperti anak Harun dan Sutera yang telah meninggal dunia, Inaiyah. Sutera tidak keruan
lantas keluar dari surau tersebut untuk memastikan bahawa itu merupakan anaknya yang
dia rindui selama ini.
Harun yang berada di hadapan anak kecil tersebut yakin bahawa itu hanyalah
syaitan yang berlindung di sebalik jasad arwah anaknya, Inaiyah. Sutera terus melulu
kearah Esah dan memeluknya atas dasar rindu dan bersalah yang menyelubungi dirinya
selama ini. Harun menarik Sutera untuk kembali ke surau, namun Sutera berkeras dan
bagaikan dirasuk, Sutera menyatakan bahawa dia ingin pergi membawa diri dan memulakan
hidupnya kembali dengan membesarkan Inaiyah dengan harapan mampu menebus segala
rasa bersalah dalam dirinya.
Harun berasa bimbang kerana wajah Esah yang disangka Inaiyah telah bertukar
hodoh bersama rambutnya yang jarang bersama baju kurung merahnya yang lusuh. Esah
telah mengamuk apabila orang kampung cuba memisahkan dia dengan Sutera. Esah lari
dari pangkuan Esah dan cuba untuk menyerang orang kampung yang lain. Sutera tersedar
bahawa itu bukanlah Inaiyah yang disangka anaknya. Namun Sutera mampu merasakan

bahawa ada satu perasaan belas pada Esah, barangkali kerana kasih sayangnya yang
mendalam terhadap anak pertamanya suatu ketika dahulu.
Sutera menyanyikan lagu bintang di langit tinggi, berkelipan di angkasa dengan
harapan Esah akan berhenti mengamuk. Sutera cuba memanggilnya dengan nama Inaiyah.
Amukan Esah terhenti. Esah berpaling kepada Sutera yang mendepakan tangannya untuk
memeluk Inaiyah. Inaiyah terus berlari ke arah Sutera. Sutera kembali menyanyikan lagu
tersebut bagai seorang ibu yang mendodoi anaknya. Berbekalkan pelukan terakhir kepada
Inaiyah ataupun Esah, Sutera telah membunuh Esah dengan menggunakan pisau yang
dibacakan surah-surah tertentu yang dihulurkan oleh orang kampung kepadanya.
Inaiyah merupakan anak pertama kepada Harun dan Sutera. Inaiyah merupakan
seorang bayi yang amat comel fizikalnya dan mudah untuk tersenyum kepada sesiapa
sahaja. Pada masa tersebut, Harun seringkali balik lewat malam kerana tugasnya sebagai
seorang nelayan yang memerlukannya untuk berjaga di tengah lautan. Sutera telah dihasut
oleh Kak Munah yang pada dasarnya menyimpan hati dalam diam kepada Harun dan iri hati
akan perhatian yang diberikan oleh orang kampung kepada Sutera dan anaknya, Inaiyah.
Kak Munah telah menghasut Sutera bahawa selalunya sang suami yang tidak pulang
ke rumah pada waktu malam atau seringkali lambat pulang ke rumah, suami tersebut
barangkali sedang bercengkerama dengan mengadakan hubungan dengan perempuan lain.
Akibat perasaan yang tidak yakin dengan kesetiaan suaminya, Sutera telah memutuskan
untuk mengekori Harun ke laut dengan menggunakan perahu kecil yang didayungnya
sendiri. Dalam memerhatikan Harun yang gigih menebar jala, nyata sangkaan tentang
selingkuh suaminya meleset sama sekali. Namun Sutera tidak menyedari bahawa anaknya
Inaiyah telah hilang di lautan.
Perkara inilah yang menyebabkan hubungan antara Harun dan Sutera tidak seperti
pasangan suami isteri yang lain. Walaupun tampak bahagia pada luaran, hakikat rumah
tangga mereka bagaikan hilang serinya. Harun masih menyalahkan Sutera atas kematian
anaknya, Inaiyah manakala Sutera pula masih rasa bersalah atas tindakannya tanpa berfikir
suatu ketika dahulu telah meragut nyawa anak kesayangannya sendiri. Walaupun tidak
semesra pasangan suami isteri yang lain, Sutera tetap menjaga makan dan pakai Harun,
manakala Harun pula tidak pernah lupa memberi nafkah kepada isterinya.
Harun menyedari bahawa segala yang dilakukannya selama ini adalah salah kerana
menyalahkan isterinya atas kematian anaknya. Harun bagaikan menolak qada dan qadar
yang ditentukan Ilahi. Harun meminta maaf kepada isterinya atas perlakuannya dan berjanji
bahawa dia akan menjadi seorang suami dan ayah yang sempurna kepada keluarganya.

Anda mungkin juga menyukai