Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN

YANG BERHORMAT DATUK AMAR ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI


TUN DATUK ABANG HAJI OPENG,
MENTERI PERUMAHAN DAN MENTERI PELANCONGAN SARAWAK
SAYEMBARA DEKON
PIALA YAB KETUA MENTERI SARAWAK
19 JUN 2013
DI BALAI BUDAYA, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA CAWANGAN SARAWAK

Terima kasih saudara pengacara majlis.


Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
1. Yang Berbahagia Dr. Zaharani Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan
Bahasa dan Pustaka Malaysia,
2. Yang Berusaha Dr. Amran Joned, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
Cawangan Sarawak, ketua-ketua jabatan, para peserta pertandingan dan
seterusnya hadirin yang dihormati sekalian.

Sidang hadirin sekalian,


3. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana
mengundang saya untuk menyempurnakan pelancaran Sayembara Dekon Piala
YAB Ketua Menteri Sarawak.
4. Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya, sekali lagi pada tahun
2013 kita dipertemukan dalam acara yang unik seperti Sayembara Dekon ini.
Saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur, khususnya Dewan Bahasa
dan Pustaka Cawangan Sarawak yang terus tampil dan bertungkus-lumus
berusaha memastikan program ini berjalan dengan lancar.
1

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


5. Dalam kita mengejar pembangunan khususnya di Sarawak, nyata yang
memainkan peranan dalam pembentukan peribadi dan jati diri adalah melalui
peningkatan aspek pendidikan. Pendidikan menjadi asas dalam menghasilkan
masyarakat yang mampu berfikir, yang seterusnya dapat berkreativiti dan
melahirkan idea-idea yang canggih untuk dikongsi bersama. Dengan idea-idea
ini jugalah akan terhasillah kepelbagaian ilmu yang dapat dimanfaatkan bersama
dengan masyarakat.
6. Saya berasa bangga kerana dalam kesibukan kita mengejar kemajuan dan
memastikan bahawa negara kita tetap gah di persada dunia dalam usaha
melahirkan masyarakat yang berminda kelas pertama, dan dalam perkembangan
teknologi maklumat yang cukup pesat dan pantas kini, tampaknya kita terus
berusaha untuk tidak melihat kepesatan dunia teknologi maklumat ini sebagai
penggugat untuk kita tetap mencintai dunia kesusasteraan yang terangkum di
dalamnya seni pengucapan puisi dalam lakonan. Tampaknya kita masih tetap
tidak melupakan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai satu ciri sosial yang
umum, namun amat bererti sebagai sebuah bangsa.
7. Dalam menjayakan program Sayembara Dekon ini, kerajaan sememangnya
menyambut baik usaha Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memantapkan
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Kecintaan terhadap
bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda memerlukan usaha yang
berterusan dan strategik agar masyarakat sedar akan peri pentingnya peranan
bahasa Melayu sebagai tunjang dalam membina jati diri sebagai warganegara
Malaysia.
2

Tuan-tuan dan puan-puan,


8. Pada tahun ini, kita meraikan sambutan 50 tahun Sarawak Merdeka dalam
Malaysia. Dalam tempoh tersebut, Sarawak dilihat telah membangun pesat
dalam pelbagai aspek kehidupan yang mengutamakan kestabilan politik,
keutuhan

ekonomi,

kemakmuran

negeri

dan

kesejahteraan

rakyat.

Pembangunan pesat ini nyata memberikan ruang dan harapan kepada generasi
baharu

untuk

mengambil

sebanyak

mungkin

peluang

untuk

menjadi

warganegara yang mempunyai visi, misi, kebertanggungjawaban dalam memikul


amanah memimpin negara pada suatu ketika nanti.
9. Oleh itu, kerajaan sesungguhnya berharap Dewan Bahasa dan Pustaka terus
mengambil pelbagai inisiatif dan pendekatan kreatif dalam usaha memartabatkan
bahasa kebangsaan. Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha dan
program yang baik dan berkaitan dengan penguasaan bahasa kebangsaan. Ini
sekali gus dapat membendung gejala kurang sihat terutama sekali penggunaan
bahasa dalam ruang maya yang sering kali menggunakan ejaan yang salah.
10. Sayembara Dekon yang sudah memasuki tahun ketiga ini diharapkan menjadi
medium penting kepada kakitangan jabatan kerajaan dalam berkreativiti. Ruang
memartabatkan bahasa kebangsaan dilihat cukup luas dan mudah dalam
penyebarannya kepada pelbagai kelompok masyarakat. Malah pertandingan
yang berperanan mencari bakat-bakat baharu dalam kalangan perkhidmatan
awam

diharapkan

menjadi

pendukung

kesinambungan

perjuangan

memartabatkan bahasa kebangsaan.


11. Tidak dapat kita nafikan, adat pertandingan ada yang menang, ada yang kalah.
Kepada pemenang, gunakanlah ruang itu sebagai batu loncatan dalam
3

membangkitkan semangat patriotik dalam mengangkat martabat bahasa


kebangsaan di persada antarabangsa. Kepada yang kalah, janganlah ia
dijadikan pemutus usaha untuk terus berkarya dan berkreativiti. Tapi jadikan
kekalahan itu sebagai senjata yang perlu diasah semula dengan mengkaji
kelemahan yang memungkinkan kekalahan itu.

Tuan-tuan dan puan-puan,


12. Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan
syabas kepada Dewan Bahasa dan Pustaka yang dari semasa ke semasa
berterusan mengerakkan pelbagai usaha dalam meningkatkan kesedaran
masyarakat tentang peri pentingnya bahasa Melayu. Saya amat berharap agar
pelbagai pihak seperti NGO turut serta dalam membantu usaha murni ini. Saya
berharap dan berdoa agar Sayembara Dekon akan terus berjaya dan
dilaksanakan setiap tahun.
13. Dengan ini saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan sukacitanya
merasmikan Sayembara Dekon Piala YAB Ketua Menteri Sarawak.

Kebaya nyonya ramping di pinggang,


Penambah seri selendang sutera;
Bahasa dan sastera tetap dijulang,
Mari bersama-sama kita pelihara.
Sekian. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai