Anda di halaman 1dari 6

TEKS UCAPAN PUAN HAJAH FARIZAH BT HAJI AHMAD

PENGARAH JPWPP

Salutasi
1. Yang Berusaha Puan Fauzilahyatun bt Mustafa -Pengarah
Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP
2. Yang Berusaha Puan Salleha bt Salleh -Pengetua SMK PP 11(2)
3. Barisan pengetua dan guru besar sekolah-sekolah di Putrajaya
4. Pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan
Putrajaya
5. Ahli jawatankuasa kerja dan petugas
6. Guru-guru pengiring dan guru-guru pembimbing
7. Anak-anak yang dikasihi
8. Tuan-tuan dan puan-puan, hadirin yang dimuliakan,

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM
SEJAHTERA DAN SALAM KELUARGA MALAYSIA.

Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berhimpun di

Dataran Setia SMK Putrajaya Presint 11(2) bagi menjayakan Temasya

Bahasa Melayu Peringkat Putrajaya 2022. Temasya Bahasa yang

diadakan ini memperlihatkan kesungguhan pihak Dewan Bahasa dan

Pustaka meningkatkan kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa

kebangsaan sempena Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad

Membaca Kebangsaan. Temasya Bahasa Melayu ini adalah untuk

mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan

serta melahirkan generasi masa depan bangsa Malaysia yang

berbangga dengan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu

dan pembina tamadun bangsa.

1
Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,

Tahniah saya ucapkan kepada Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa

dan Sastera DBP, Puan Fauzilahyatun bt Mustafa dan semua

kakitangan DBP atas sumbangan yang telah dicurahkan dalam

memartabatkan serta mendaulatkan bahasa kebangsaan Malaysia.

Saya percaya banyak kejayaan yang telah dicapai oleh DBP, khususnya

dalam pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden, bahasa ilmu,

bahasa persuratan, bahasa pengantar pendidikan kebangsaan, bahasa

komunikasi, dan bahasa perpaduan bangsa yang berwibawa, baik pada

peringkat kebangsaan mahupun pada peringkat serantau dan

antarabangsa. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada

Jawatankuasa Pelaksana SMK Putrajaya Presint 11(2) dan SK

Putrajaya Presint (3) sebagai tuan rumah yang menganjurkan Temasya

Bahasa peringkat Putrajaya dengan jayanya.

Hadirin yang dihormati,

Temasya Bahasa yang diadakan ini melibatkan penyertaan pelajar sekolah

rendah dan menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya. Skop

pengisian program ini melibatkan pelbagai aktiviti kebahasaan dan

persuratan. Program ini wajar diadakan setiap tahun selaras dengan

tanggungjawab DBP untuk membangunkan modal insan yang berilmu,

berketerampilan, berkeyakinan tinggi dan mempunyai jati diri yang kukuh

2
bagi membentuk sebuah negara bangsa yang berasaskan masyarakat

pelbagai kaum dan budaya.

Hadirin yang dikasihi sekalian.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah juga saya ingin zahirkan kepada semua

warga sekolah-sekolah di Putrajaya yang mengambil bahagian dalam

pertandingan-pertandingan yang dianjurkan sempena dengan Temasya

Bahasa Putrajaya pada tahun ini. Saya melihat banyak bakat dapat

dicungkil melalui acara-acara yang dianjurkan seperti pertandingan Pencak

Aksara, Pertandingan Baca Naskhah Melayu Klasik, Pertandingan Bercerita

dan sebagainya. Tidak lupa juga aktiviti di reruai yang dilaksanakan oleh

pihak DBP seperti Celik Jawi, Roda Kata, Dam Bahasa dan jualan Ujana

buku DBP. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu menjadi wadah utama

dalam arena pendidikan. Harapan saya agar program seumpama ini akan

dijalankan secara berterusan bagi menyubur rasa cinta kepada bahasa

kebangsaan kita.

Hadirin yang dihormati,

Sesungguhnya pertandingan yang dianjurkan ini menyediakan satu

medan untuk murid-murid membina iltizam dalam memantapkan

penguasaan bahasa malaysia serta mengasah bakat dan kreativiti,

pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa melayu yakni bahasa

kebangsaan yang termaktub dalam dasar pendidikan negara. Harapan

3
saya semoga program yang kita jalankan ini dapat mempertingkatkan

minat dan penguasaan murid serta mengangkat martabat bahasa

Melayu di persada dunia. Pertandingan ini juga merupakan wadah yang

efektif bagi membina keyakinan diri murid-murid di samping mampu

menyuntik, menyemai dan memperkukuh semangat perpaduan,

memupuk semangat setia kawan antara para peserta tanpa mengira

kaum dan rasa tanggungjawab memelihara warisan sastera negara.

Syabas dan tahniah juga kepada semua sekolah serta guru-guru yang

telah menguruskan kumpulan dan pasukan masing-masing.

Hadirin yang dikasihi,

Akhir kata, semoga Temasya Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan

Pustaka ini mampu merealisasikan matlamat untuk melahirkan

semangat kebangsaan dalam kalangan murid dan seterusnya

mewujudkan perpaduan yang sejati. Sekali lagi saya merakamkan

jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau

tidak langsung dalam usaha menjayakan Temasya Bahasa di Putrajaya

pada tahun 2022 ini. Tanpa penglibatan dan komitmen daripada semua

pihak sebagai satu pasukan sudah tentu Temasya ini tidak akan

berjalan lancar. Dengan lafaz bismillahhirrahmannirrahim dengan

sukacitanya saya merasmikan Temasya Bahasa Melayu peringkat

Putrajaya pada tahun 2022. Sekian wabillahi taufik walhidayah

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

4
5
6

Anda mungkin juga menyukai