Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN PENGETUA

SEMPENA PERASMIAN PENUTUPAN PROGRAM BULAN BAHASA 2021


SK GOPENG JALAN ILMU

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera kepada barisan pentadbiran, guru-
guru, murid-murid serta hadirin yang dkasihi sekalian.

1. KESYUKURAN

Pertamanya, bersyukur kita ke hadrat ilahi, kerana dengan limpah dan kurnia-
Nya dapat kita hadir bersama-sama dalam majlis perasmian penutupan
Program Bulan Bahasa 2021 SK Gopeng Jalan Ilmu secara maya di laman
youtube dalam keadaan yang aman, damai dan ceria.

2. SYABAS DAN TAHNIAH

Seterusnya, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru


khususnya ketua dan wakil guru panitia Bahasa serta guru praktikal daripada
IPG Kampus Ipoh kerana dapat menganjurkan Program Bulan Bahasa yang
memenuhi aspirasi 1 Malaysia dan penglibatan yang menyeluruh dalam
kalangan murid.

Bersyukur juga ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya negara yang
tercinta ini masih aman. Keharmonian inilah yang membolehkan kita dapat
melibatkan diri secara aktif dalam apa jua aktiviti yang baik dan berguna
biarpun dilanda wabak pandemik covid-19. Penyertaan dan penglibatan
murid-murid dalam aktiviti kokurikulum secara maya melalui rakaman video
merupakan sebahagian daripada pelengkap pembinaan modal insan murid
selain daripada aspek kurikulum, intelek, kerohanian dan sahsiah.
Pembangunan insaniah murid perlu dilihat secara menyeluruh dan bersepadu
dalam segala aspek tersebut. Para guru, ibu bapa, dan masyarakat umumnya
bertanggungjawab untuk membentuk dan mencorakkan anak bangsa kita
mengikut acuan dan adunan budaya malaysia. Oleh itu kita semua perlu 
memainkan peranan dan tanggungjawab yang bersungguh-sungguh dalam
mencapai hasrat tersebut. 
Anak-anak asuhan yang dikasihi,

Peranan dan tanggungjawab tersebut akan bermakna sekiranya anak-anak


sendiri memiliki usaha, peranan dan tanggungjawab yang sama. Kekuatan
daya juang, jati diri dan semangat anak-anak terhadap pencapaian
kecemerlangan dalam semua bidang yang disebutkan tadi amat dituntut.
Kecemerlangan dan kualiti sesuatu hasil bergantung kepada kesungguhan
usaha yang dicurahkan oleh anak-anak. Janganlah kita gagal dalam sesuatu
perkara kerana kita tidak berusaha langsung atau tidak bersungguh-sungguh,
persis kata, kalau tidak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya.
Hayatilah dalam makna peribahasa tersebut.

3. PROGRAM BULAN BAHASA

Hadirin yang dihormati,

Program bulan bahasa merupakan satu usaha meyokong agenda pendidikan


yang berasaskan perkembangan dan pemantapan kemahiran berbahasa
murid dalam bidang bahasa malaysia.  Pertandingan yang kita jalankan ini
merupakan satu usaha dengan kerjasama guru panitia Bahasa dan guru
praktikal bagi merealisasikan hasrat kementerian pelajaran malaysia selaras
dengan pelaksanaan dasar memartabatkan bahasa kebangsaan.

Semua aktiviti yang berlangsung baik dalam aspek kurikulum mahu pun
kokurikulum akademik diselaraskan dengan kehendak dasar pendidikan
kebangsaan. Elemen-elemen positif dalam program inilah yang akan
membentuk kebudayaan sesuatu masyarakat yang merangkumi adab berbudi
bahasa, bertatasusila, cara bertindak, berkelakuan dan cara berfikir.  Akhirnya
budaya ini akan membentuk kebendaan dan kerohanian sesuatu masyarakat,
tamadun, peradaban dan kemajuan akal budi selain menggarap minat dalam
sastera melayu dan mengetengahkan keindahan warisan bangsa.
Nasihat saya agar anak-anak dapat menyeimbangkan ilmu dan kemahiran
dunia dan akhirat baik dari segi intelek, kerohanian, akhlak, budi pekerti serta
tatalaku, sejajar dengan harapan negara melalui pembinaan modal insan
yang berketrampilan, seimbang dan harmonis.

4. HARAPAN

Sesungguhnya pertandingan ini menyediakan satu medan untuk murid-murid 


membina iltizam dalam memantapkan penguasaan bahasa serta mengasah
bakat dan kreativiti, pengetahuan dan kemahiran yakni bahasa kebangsaan
yang termaktub dalam dasar pendidikan negara.  Harapan saya semoga
program yang kita jalankan ini dapat mempertingkatkan minat dan
penguasaan murid serta mengangkat martabat bahasa malaysia di persada
dunia.  Pertandingan ini juga merupakan wadah yang efektif bagi membina
keyakinan diri murid-murid di samping mampu menyuntik, menyemai dan
memperkukuh semangat perpaduan, memupuk semangat setia kawan antara
para peserta tanpa mengira kaum dan rasa tanggungjawab memelihara
warisan sastera negara.

Saya berharap agar kegemilangan program ini akan bergemerlapan tahun


hadapan. Semoga matlamat dan objektif pertandingan ini berjaya mencapai
sasarannya.

5. TERIMA KASIH

Penghias bicara, syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah
menunjukkan ketrampilan diri dan semangat juang yang tinggi untuk
bertanding di peringkat sekolah. 

Syabas dan tahniah juga kepada semua guru panitia bahasa dan guru
praktikal yang telah menguruskan pertandingan masing-masing.
Akhir kata, semoga program bulan bahasa mampu merealisasikan matlamat
untuk melahirkan semangat kebangsaan dalam kalangan murid dan
seterusnya mewujudkan perpaduan yang sejati. Sekali lagi saya merakamkan
jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak
langsung dalam usaha menjayakan pertandingan ini.  Tanpa penglibatan dan
komitmen daripada semua pihak sebagai satu pasukan sudah tentu
pertandingan ini tidak akan berjalan lancar.

6. LAFAZ PERASMIAN PENUTUPAN

Dengan lafaz yang mulia, bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan majlis


perasmian penutupan program bulan bahasa SK Gopeng Jalan Ilmu bagi
tahun 2021.

Sekian wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi


wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai