Anda di halaman 1dari 6

Jagung adalah salah satu tanaman yang boleh dikatakan

terkenal di negara kita. Jagung sangat digemari oleh rakyat


Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat. Pelbagai cara
jagung ini dimakan antaranya direbus, dijadikan bubur, atau
dimakan tongkol mudanya atau baby corn sebagai campuran
dalam sayur. Apa kata pembaca di luar sana cuba menanam
jagung di kebun atau di halaman rumah anda. Jika anda
menanam 6 pokok jagung, ianya membekalkan 8 hingga 9
buah jagung yang boleh dinikmati oleh keluarga anda. Ini
kerana sepokok jagung akan mengeluarkan satu atau dua
tongkol jagung. Berikut adalah panduan dan cara menanam
pokok jagung;
Jagung adalah tanaman yang sesuai di tanaman di negara kita.
Kegusaran dan kebimbangan menanam jagung amat kurang
jika dibandingkan dengan menanam asparagus atau salad.
terdapat dua cara menanam jagung iaitu ditanam dalam pasu
dan di atas batas. Jika memilih menanam di dalam pasu
pastikan memilih pasu yang sederhana besar atau jenis pasu
besar agar akar bebas bergerak di dalamnya.

MEMILIH VARIATI JAGUNG YANG HENDAK


DITANAM
Pembaca boleh mendapatkan benih-benih jagung ini di kedai-
kedai pertanian berhampiran. Boleh bertanya kepada penjual
berapa jenis variati yang dijual, perbezaan dan persamaan
serta jenis tanah yang sesuai (hal ini penting untuk
mengetahui adakah benih itu sesuai di tanam di halaman
rumah anda). Pembaca boleh mencuba variati jagung seperti
mas madu (jagung manis), jagung taiwan yang sangat
digemari dan permintaan tinggi di pasaran namun mudah
diserang ulat pengorek, jagung korea, jagung hibrid 338.
Pembaca juga boleh menanam jagung thai manis atau jagung
kampung yakni jagung kategori heirloom seperti jagung pulut
dan jagung pandan (harum seperti pandan). Biasanya jagung
kampung ini hanya boleh didapati di kampung atau kedai
yang menjual benihnya. Di Sabah boleh diperolehi di tamu
(pasar minggu). Namun untuk beginner beli sahaja benih
jagung yang ada dan tanam. Semua variati jagung sesuai
ditanam di dalam pasu.

PEMILIHAN KAWASAN MENANAM


Cari kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi 6 jam,
hampir dengan sumber air, elakkan menanam pada jenis tanah
liat dan berbatu (namun jika terpaksa, tanah tersebut harus
digaul dengan kompos dan jika boleh ditambah dengan tanah
hitam atau peat-moss atau topsoil. Kompos, peat-moss dan
topsoil akan membantu memperbaiki struktur tanah dengan
pengudaran dan saliran air yang baik serta mengekalkan
kelembapan pada tanah tersebut.
Bagi menanam di dalam pasu pula, sila letakkan pasu-pasu
tersebut pada kawasan yang terkena sinaran matahari melebihi
6 jam, jagung memerlukan cahaya sepenuhnya untuk
tumbuhbesaran. Jika tidak jagung anda panjang tinggi seperti
galah dan bila ditiup angin ia akan mudah patah serta buahnya
tidak cukup sifat dan kecil.

PENYEDIAAN TANAH DAN PEMBAJAKAN JIKA


PERLU
Bagi yang mempunyai tanah yang luas di halaman rumah dan
mahu menanamnya terus pada tanah. Anda perlu membuat
batas yang sesuai. Batas ideal bagi jagung ialah 15 hingga 25
cm (secara ladang) atau kurang dari itu pun boleh ikut
kesesuaian anda. Gembur batas tersebut hingga lerai tanah-
tanah tersebut. Bagi tanah jenis merah (tanah liat peroi - tanah
peroi ketika kering dan meleket ketika hujan) anda gembur
tanah tersebut dan campurkan dengan kompos lebih kurang 15
kilo atau mengikut kesesuaian pada batas. Sekiranya tanah
masam (berasid) tabur serbuk kapur pada batas. Jika tanah
jenis tanah liat (keras masa musim kemarau dan meleket
ketika hujan) campurkan dengan peat-moss (harga mahal di
pasaran) atau topsoil (harga boleh tahanlah juga) atau kompos
buatan sendiri/kompos yang dibeli pada tanah tersebut. gaul
hingga sebati antara tanah liat dengan pembaikpulih tanah di
atas. Sekiranya terdapat kilang kelapa sawit, rajin-rajinlah ke
kawasan itu, biasanya terdapat sisa buangan kelapa sawit
berwarna hitam seperti kompos. Bahan tersebut juga boleh
digunakan untuk campuran pada tanah liat tersebut. Untuk
supaya tanah lebih baik gaul bersama tinja binatang reput.
Maka di sini tanah penanaman jagung anda mempunyai tinja
binatang, kompos, peat-moss dan topsoil, serta kompos kelapa
sawit, ini dikira tanah paling ideal untuk jagung. Namun jika
batas anda hanya ada tinja binatang dan kompos juga sudah
memadai untuk jagung anda dan jika hanya ada kompos
sahaja boleh lah untuk jagung anda, anda masih boleh tuai
hasilnya. Tetapi jika tanah batas penanaman jagung tidak
dicampurkan apa-apa, anda akan putih mata melihat pokok
jagung tersebut.
Manakala bagi menanam di dalam pasu pula pilih pasu
bersaiz 18 inci ke atas untuk sepokok jagung. Anda
memerlukan 5 hingga 10 pasu untuk mendapatkan 5 hingga
10 buah jagung. Pembaca juga boleh menggunakan apa-apa
kontena atau pot yang sesuai untuk menanam jagung. Perlu
diingat bahawa jangan guna pasu, kontena atau pot bersaiz di
bawah 18 inci kerana pertumbuhan pokok jagung tidak
menarik. Guna nisbah media penanaman 2:1:1 di mana dua
bahagian tanah loam, satu bahagian kompos/tinja binatang:
satu bahagian pasir sungai jika perlu untuk satu pasu.
SEMAIAN DAN MENANAM BENIH JAGUNG
Bagi tanomkinotuan, benih jagung boleh ditanam terus pada
tanah atau pasu. Tidak perlu semai dan alihkan ke tempat
baharu. Ini kerana apabila anak pokok jagung dialihkan ia
memperlambatkan pertumbuhannya dan menambah kerja
yang mudah kepada yang rumit. Selama tanomkinotuan
menanam jagung tidak pernah merendam benih jagung ke
dalam air dan benih jagung masih boleh bercambah selepas
tiga hari tetapi jika anda melakukannya tanomkinotuan tidak
melarang. Tanam benih jagung 2 biji selubang pada jarak
antara lubang ialah 20 inci (40 cm) atau mengikut kesesuaian
anda. Jangan lupa timbus dan siram dengan air secukupnya.

Pada pasu pula tanam dua biji jagung pada lubang yang dibuat
ditengah-tengah pasu dan apabila benih sudah tumbuh pilih
anak pokok jagung yang tidak sihat/terbantut dan cabut,
tinggalkan hanya sepokok di dalam pasu dan siram.

PEMBAJAAN DAN PENJAGAAN

Terdapat dua cara pembajaan iaitu pembajaan secara organik


dan pembajaan secara komersil. Pembajaan secara organik
dimulai pada minggu kedua selepas anak pokok benih tumbuh
(kira-kira dua hingga tiga daun), yakni setiap selang dua
minggu bubuh baja pada sekeliling pokok, kaedah ini
digunakan bagi mereka yang mahukan jagung tersebut
tumbuh secara organik. Bagi pembajaan secara komersil pula
dimulai pada minggu pertama dengan NPK blue special
(12:12:17:2), minggu keempat ialah baja tinja binatang
bercampur dengan NPK blue dan baja garam (warna putih),
minggu 7 ialah baja garam dan sedikit baja subur (merah).
Cara pembajaan di atas sesuai digunakan dalam pasu cumanya
guna sukatan 1 sudu setiap baja kimia dan dua genggam bagi
baja organik. Berhati-hati bila menggunakan baja kimia/urea
pada jagung, jangan terkena pada batang pokok ia akan
terbakar dan mati. Letak baja tersebut jauh pada batang
pokok.
Buang rumput pada batas, kerja ini adalah wajib bagi
membolehkan pokok jagung tidak bersaing untuk
mendapatkan makanan. Jika boleh letakkan mulsa (rumput
kering, daun kering, kayu reput, cocopeat, jerami padi, lalang
kering pada batas atau pasu untuk kelembapan dan juga boleh
mengurangkan rumput di atas batas dan pasu. Berhati-hati
ketika merumput jangan mencederakan akar jagung. Siram
pokok jagung dua kali sehari dan tidak perlu ketika hujan.
Jagung akan diserang makhluk perosak semasa anak pokok
dan musim mulai berbuah. Daun anak pokok akan dimakan
oleh belalang, siput dan lintah bulan. Buang siput dan lintah
bulan jauh dari pokok jagung. Ulat pengorak buah akan
bertelur pada buah jagung menyebabkan jagung cacat oleh itu
sembur racun jika perlu (Kepada mereka yang tidak kesah).
Namun bagi pengamal makanan organik (bebas racun
serangga dan baja kimia) seimbangkan PH tanah dan baja, air
dan kelembapan pada pokok jagung. Jangan biarkan pokok
jagung mendapat tekanan (stress). Sekiranya ini berlaku
pokok jagung (dan tumbuhan lain) mengeluarkan bahan kimia
yang boleh dihidu oleh makhluk perosak untuk datang
kepadanya dan merosakkan pokok jagung tersebut. Banyak
kajian berhubung perkara ini dan sudah dibuktikan dengan
kajian sains. Jika masalah ini diatasi dengan baik, jagung anda
adalah bebas kimia dan organik sifatnya.

PENUAIAN HASIL JAGUNG


Buah jagung matang kira-kira 68 hingga 72 hari selepas di
tanam. Pembaca boleh melihat rerambut buah jagung sudah
kering dan hitam tandanya jagung sudah matang. Maka usaha
anda selama ini berhasil untuk menikmati buah jagung tanam
sendiri. Nikmati hasil tanam sendiri bersama-sama keluarga
dan ceritakan pengalaman anda dalam tempoh menanam
hingga menuai hasil buah jagung.

Anda mungkin juga menyukai