Anda di halaman 1dari 7

9 Tanaman Sayur yang Lain

9.1 Keladi (Colocasia esculenta Schott)


Famili Araceae

Keladi ialah sejenis tanaman asli Asia Tenggara. Banyak jenis keladi terdapat di negara ini. Keladi
berbeza dari segi warna isi (sama ada putih, merah samar atau kuning) dan tangkai (dari yang
berwarna hijau, coklat keunguan hingga coklat tua). Jenis yang banyak sekali ditanam ialah keladi
Cina. Pokok keladi ini mempunyai tangkai daun berwarna coklat keunguan dan ubi yang besar
berwarna putih kemerahan. Keladi isi putih, satu jenis lagi keladi yang digemari, hampir-hampir sama
dengan keladi Cina kerana ia juga mempunyai ubi yang besar. Daunnya berwarna hijau sementara
pelepah daunnya berwarna putih. Isi keladi ini berwarna putih kekuningan.

Gambar 49 Pokok keladi telur

Keladi telur mempunyai tangkai daun berwarna hijau. Ubinya lebih kecil daripada keladi Cina dan
keladi isi putih. Keladi ini biasanya mempunyai isi utama iaitu isi yang paling besar dan beberapa isi
kecil melekat padanya. Kesemua jenis keladi agak tahan terhadap kandungan air yang tinggi dalam
tanah dan hidup subur di kawasan tanah liat. Jenis lain yang biasa didapati iaiah keladi air. Keladi air
boleh menyebabkan gatal-gatal kulit dan tidak ditanam untuk dimakan. Keladi ini hidup liar di tepi-
tepi anak air yang subur tanahnya. Dari semasa ke semasa daunnya dipotong untuk dijadikan makanan
tambahan babi.

Cara Menanam
Semua jenis keladi di tanam dari sulur atau anak. Yang paling sesuai ditanam ialah anak atau sulur
yang panjangnya tiga puluh sentimeter. Biasanya sebelum ditanam daun keladi dipotong untuk
mengurangkan.perpeluhan dan untuk mengelakkannya dari busuk. Pokok keladi selalunya ditanam di
atas batas. Lebar tiap-tiap batas kira-kira tujuh puluh sentimeter, dan setiap batas mengandungi satu
baris pokok sahaja. Setelah batas disediakan, buat satu lubang memanjang kira-kira dua puluh
sentimeter dalamnya di tengah-tengah batas. Kemudian tanam anak-anak pokok dalam lubang ini.
Jarak di antara pokok mestilah kira-kira tiga puluh sentimeter. Lebih daripada dua ribu pokok boleh
ditanam dalam sehektar tanah.
Selama pokok keladi membesar, daun tua akan gugur dan isinya bertambah besar dan panjang.
Dari semasa ke semasa tanah di tepi pokok hendaklah dinaikkan supaya menutup bahagian ubi yang
terdedah. Apabila sampai tempoh memungut isi, batas keladi menjadi hampir-hampir sama dengan
batas ubi keledek. Bagi keladi Cina dan keladi isi putih, hanya isi yang besar sahaja diambil. Dari
semasa ke semasa, potong anak keladi atau sulur yang keluar.
Gambar 50 Pokok keladi batik – jenis yang kurang ditanam

Keladi ialah sejenis tanaman yang sangat tahan. Dalam keadaan biasa, baja air kencing cair dan
baja tahi ayam itik yang diberi pada kadar yang berpatutan memadai untuk pertumbuhannya. Jika baja
organik tidak digunakan, untuk setiap batas berukuran sembilan meter, program pembajaan berikut
boleh diamalkan:

(a) Dua minggu selepas di tanam 200 gm baja campuran


(b) Dua bulan selepas ditanam 400 gm baja campuran
(c) Lima bulan selepas ditanam ulang seperti (b)

Taburkan baja tersebut pada jarak kira-kira lapan. sentimeter dari pokok.
Keladi boleh dicabut kira-kira lapan bulan sekpas ditanam. Cabut pokok bersama isinya dan kerat
batang kira-kira sepuluh sentimeter dari isinya. Tanaman yang agak baik menghasilkan lapan hingga
sepuluh ribu kilogram ubi keladi sehektar.

Penyakit Ubi Keladi


Reput ubi disebabkan kulat Rhizoctonia sp., Sphaerostilbe repens dan Selerotium rolfsii adalah
masalah yang biasa dihadapi oleh para pekebun keladi. Penyakit ini lebih kerap berlaku di kawasan
tanah yang basah dibandingkan dengan di kawasan tanah yang kering. Untuk mengurangkan kejadian
penyakit ini, sistem pengairan eloklah diperbaiki selepas lima bulan pokok ditanam ataupun dengan
membuang ubi yang telah diserang penyakit ini.
Satu lagi penyakit yang biasa menyerang keladi ialah penyakit hawar daun yang disebabkan oleh
Phytophthora colocasiae. Tanda-tanda serangan penyakit ini ialah titik-titik nekrotik pada daun.
Buang dan bakar semua daun yang berpenyakit.

Serangga Perosak
Belalang daun dan ulat beluncas kadangkala menyerang dan makan daun keladi. Jika serangannya
teruk, pokok hendaklah disembur dengan dimethoate atau Bayrusil.

9.2 Jagung (Zea mays L.)


Famili Gramineae
Banyak jenis jagung ditanam di negara ini. Jenis yang banyak sekali ditanam ialah jagung 'flint' (Zea
mays jenis indurata) termasuklah jenis 'flint', 'metro' dan 'Guatemala'. Jenis kacukan yang baru telah
dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut
Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM). Jenis kacukan yang diimport juga ada ditanam. Setengah
daripadanya mengeluarkan hasil yang lebih tinggi daripada jenis tempatan, misalnya kacukan 'Sungai
Buluh No.2, 4, dan 5, 'UCPA jenis No. 1' dan 'Bogor Comp N2';
Jagung kacukan hendaklah ditanam dari benih yang dibekalkan oleh pakar biak tanaman yang
telah diakui. Biji-biji jagung kacukan tidak boleh digunakan sebagai benih kerana keturunan yang
berulang akan mengeluarkan hasil yang rendah. Di negara ini ada juga ditanam jagung manis (Zea
mays jenis rugosa), tetapi tidak begitu meluas.

Gambar 51 Pokok jagung


Cara Menanam dan Menjaga
Jagung ialah sejenis tanaman yang tahan dan boleh hidup dengan baik pada kebanyakan jenis tanah.
Tanah gembur, gembur berpasir dan gembur tanah liat paling sesuai untuk jagung. Jagung sebaik-
baiknya ditanam pada musim hujan.
Di kawasan tanah yang tidak menakung air, batas tidak perlu dibuat. Terlebih dahulu tanah
hendaklah digemburkan sedalam lima belas sentimeter. Jika terdapat ketul-ketul tanah yang besar,
pecah-pecahkan, kemudian buat lubang-lubang berbaris-baris memanjang kira-kira lima sentimeter
dalamnya. Jarak antara baris kira-kira enam puluh sentimeter. Bubuh biji benih dalam lubang dengan
jarak dua belas sentimeter antara satu dengan lain. Timbus biji benih dengan tanah yang subur kira-
kira tiga sentimeter tebalnya.
Di kawasan tanah yang agak menakung air, jagung hanya boleh ditanam dengan baik di atas
batas. Batas disediakan sebagaimana batas untuk sayur-sayuran berdaun. Dua baris pokok boleh
ditanam pada sepanjang batas. Jarak antara sebaris pokok dengan yang lain ialah enam puluh
sentimeter dan jarak antara pokok kira-kira tiga puluh sentimeter. Sebelum menyemai, buat lubang
kira-kira lapan sentimeter lebar dan lima sentimeter dalam untuk tiap-tiap benih yang hendak ditanam.
Tiga biji benih yang baik dibubuh dalam setiap lubang. Timbus lubang dengan tanah subur setebal
tiga sentimeter. Sebaik sahaja biji benih disemai, siram dengan air secukupnya. Percambahan berlaku
dalam masa tiga hingga empat hari. Jika cuaca panas, semaian hendaklah disirami air sekali sehari
supaya pokok dapat hidup subur.
Apabila tinggi semaian kira-kira lima belas sentimeter, setengah daripadanya hendaklah dibuang.
Ini dilakukan sama ada kepada pokok-pokok yang ditanam di atas batas atau tanpa batas. Jarak yang
sepatutnya di antara pokok-pokok bagi kawasan yang tidak berbatas ialah kira-kira dua puluh empat
sentimeter. Sementara pokok yang ditanam pada batas pula, hanya satu atau dua pokok ditanam pada
satu lubang. Pokok-pokok ini dibiarkan membesar sehingga berbuah. Dari semasa ke semasa, tanah
hendaklah dinaikkan agar menutupi pangkal pokok dan akarnya untuk mengelakkan pokok dari rebah.
Ini perlu sama ada pada pokok yang ditanam di batas atau yang tidak berbatas.
Pokok jagung sejenis pokok yang besar dan tumbuh dengan cepat. Oleh itu kadar baja hendaklah
diberikan sewajarnya untuk membolehkan pokok hidup subur. Bagi kebun jagung yang diusahakan
secara besar-besaran, sebelum menanamnya dua ratus kilogram baja campuran atau empat ribu
kilogram baja tahi ayam itik boleh dibubuh untuk tiap-tiap satu hektar tanah. Empat hingga lima
minggu selepas ditanam, dua ratus lima puluh kilogram baja campuran atau lima ribu kilogram baja
tahi ayam itik diberikan sebagai taburan sisi. Bagi tanaman secara kecil-kecilan pula, program
pembajaan berikut boleh diikuti untuk setiap batas yang berukuran 90 cm x 9 m:

(a) Satu minggu selepas ditanam 200 gm baja campuran atau empat kilogram baja
tahi ayam itik
(b) Tiga minggu selepas ditanam 300 gm baja campuran atau enam kilogram baja
tahi ayam itik
(c) Lima minggu selepas ditanam 400 gm baja campuran atau lapan kilogram baja
tahi ayam itik

Baja tersebut hendaklah dibubuh pada jarak kira-kira lima sentimeter atau lapan sentimeter dari
pangkal pokok. Air kencing cair dengan kadar yang berpatutan boleh juga disiramkan pada pokok.
Jika air kencing digunakan, kadar baja bukan organik bolehlah dikurangkan.

Memungut Hasil
Jagung muda
Jagung muda sangat digemari oleh orang-orang Cina: Ia dijual sama ada sebagai jagung segar atau
ditinkan. Jagung muda hendaklah dipetik apabila panjang bulunya kira-kira tiga sentimeter. Buah
jagung yang lebih muda dari ini mempunyai isi yang sangat sedikit dan sangat lembut. Buah jagung
yang lebih tua daripada ini mempunyai lebih banyak isi yang boleh dimakan tetapi banyak pula
seratnya.

Buah jagung segar untuk dimakan


Kebanyakan jenis jagung boleh dipetik untuk dimakan sebagai jagung segar kira-kira tujuh puluh lima
hingga lapan puluh hari selepas ditanam. Pada peringkat ini, bulu-bulu di hujung buah telah kering
dan berwarna coklat tua sementara biji-bijinya berwarna kuning keemasan.

Jagung tua untuk pengeluaran biji dan biji benih


Jagung untuk pengeluaran biji dan biji benih hendaklah dipetik kira-kira seratus lima hari selepas
ditanam. Pada peringkat ini biji jagung telah cukup tua. Biji-biji ini tidak mengecut apabila
dikeringkan. Tanaman jagung yang dijaga dengan baik menghasilkan hingga dua ribu kilogram biji
jagung sehektar.

Penyakit Pokok Jagung


Reput biji benih kadang-kadang berlaku pada jagung. Oleh itu, untuk menanam jagung secara besar-
besaran, adalah lebih baik jika biji-biji benih digaulkan dengan beberapa gram Thiram atau Captan
sebelum menanamnya, bagi mengawal biji-biji benih tersebut daripada penyakit dan menjamin pokok
itu cukup kuat.
Karat daun disebabkan Puccinia polysora dan Puccinia sorghi merupakan penyakit yang biasa
menyerang jagung. Hawar daun disebabkan oleh Helminthosporium spp. juga berlaku pada jagung.
Kesemua penyakit ini boleh dielakkan dengan menanam jenis jagung yang tahan terhadap serangan
penyakit.

Serangga Perosak
Serangga pengorek (Ostrinia salentialis Snell.) dan cacing jagung (Monoctenocera brachiella
Hamps.) merupakan perosak yang biasa menyerang pokok jagung. Larva serangga pengorek
memakan daun yang muda menyebabkan daun berlubang dan bertompok-tompok jarang. Larva ini
juga makan buah jagung muda dan mengorek batang pokok jagung. Cacing ini makan daun jagung,
buah jagung muda dan biji-biji jagung. Kedua-dua perosak ini boleh dikawal dengan menyemburkan
Carbaryl atau dimethoate. Di kawasan yang teduh, terdapat kutu-kutu daun merosakkan buah jagung
muda dan daun-daun yang muda. Kutu-kutu daun ini boleh dikawal dengan menyemburkan Bayrusi/,
Watathion, Tamaron dan dimethoate.

9.3 Halia (Zingiber officinale Rose.)


Famili Zingiberaceae
Halia boleh ditanam pada berbagai jenis tanah. Bagaimanapun, tanah yang paling baik untuk halia
ialah tanah gembur yang subur dan tanah gambut. Pokok halia boleh hidup di kawasan teduh
(bernaung) dan boleh ditanam di tempat-tempat yang teduh di kebun-kebun. Ia boleh ditanam sebagai
tanaman selingan di ladang getah dan kelapa sawit yang baru ditanam. Beberapa jenis halia ditanam
di negara ini. Jenis ini berasal dari negeri Cina, India dan Taiwan. Perbezaan di antara satu jenis halia
dengan yang lain ialah dari segi struktur, bentuk rizom dan warna isinya. Bagaimanapun cara
menanam semua jenis halia ini sama sahaja.

Cara Menanam dan Menjaga


Halia boleh ditanam dari rizom tua yang telah disimpan beberapa lama. Rizom muda yang baru digali
tidak sesuai dijadikan benih kerana ia tidak mudah mengeluarkan tunas pucuk.
Di kawasan tanah yang tidak menakung air, batas tidak perlu dibuat. Walau bagaimanapun bagi
kebanyakan jenis tanah, batas perlu dibuat sekiranya hasil halia yang tinggi mahu diperolehi. Lebar
batas hendaklah kira-kira tujuh hingga lapan puluh sentimeter. Pilih rizom yang panjangnya kira-kira
lapan sentimeter dan mengandungi dua atau tiga mata tunas. Lebih kurang satu minggu sebelum
ditanam, letak rizom di tempat-tempat yang lembab untuk membolehkan tunas-tunas pucuk tumbuh.
Tiap-tiap rizom itu kemudian dibubuh di dalam lubang berukuran sepuluh sentimeter lebar dan enam
sentimeter dalam; kemudian timbus dengan tanah yang subur setebal empat sentimeter. Hanya satu
baris pokok boleh ditanam pada satu batas dengan jarak antara pokok lebih kurang tiga puluh
sentimeter. Sebaik saja pokok ditanam, siram batas dengan air. Sekiranya perlu, lindungi batas dengan
pelepah kelapa. Pucuk-pucuk mula muncul kira-kira seminggu kemudian. Di peringkat ini pelepah-
pelepah kelapa bolehlah dibuang. Pokok halia tumbuh dan biak begitu cepat. Pucuk-pucuk baru
tumbuh dari semasa ke semasa hinggalah menjadi serumpun pokok.
Di negeri tropika, hujannya lebat. Dari semasa ke semasa tanah batas akan dibawa air. Keadaan
ini kadang-kala mendedahkan rizom dan kesannya melambatkan pertumbuhan dan pembiakan pokok.
Cara yang baik untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menaikkan tanah ke batas dari semasa ke
semasa supaya rizom yang baru akan tumbuh dan berkembang biak.

Gambar 52 Pokok halia

Halia ialah sejenis tanaman yang tahan. Jika cuaca terlalu kering pokok halia yang baru ditanam
hendaklah disiram air sekali sehari. Pokok yang telah dewasa tidak perlu disiram. Tanaman ini
memerlukan banyak baja untuk membolehkannya hidup subur. Bagi kebanyakan jenis tanah, baja
berikut hendaklah diberikan kepada batas berukuran 70 cm x 9 m.

(a) Dua minggu selepas ditanam 250 gm Nitrofoska atau lima kilogram baja tahi
ayam itik
(b) Enam minggu selepas di tanam lapan kilogram baja tahi ayam itik atau 400 gm
Nitrofoska
(c) Sepuluh minggu selepas ditanam ulang (b)

Untuk menghasilkan halia tua, satu lagi program pembajaan hendaklah diberikan iaitu empat
hingga lima bulan selepas di tanam.
Air kencing cair dengan kadar yang berpatutan boleh juga disiram pada pokok ini. Di kawasan
tanah gambut lebih banyak baja di perlukan untuk pertumbuhan halia yang baik.

Memungut Hasil
Di ladang-Iadang yang luas, halia muda dipungut kira-kira lima bulan selepas ditanam. Halia tua pula
dipungut kira-kira lapan bulan selepas ditanam. Sebelum itu cangkul tamih-tanah di tepi-tepi batas
dahulu, kemudian cabut rizom dengan cermat. Hasil halia tua yang dapat dipungut kira-kira lima belas
ribu hingga dua puluh ribu kilogram sehektar.

Penyakit Pokok Halia


Layu bakteria disebabkan bakteria Pseudomonas solanacearum ialah penyakit yang paling teruk
menyerang halia. Tanda-tanda penyakit ini termasuk warna kuning pada hujung dan tepi daun serta
daun-daun layu. Batang halia yang diserang layu bakteria boleh mati dan patah dengan mudah. Jika
serangan terlalu teruk, rizomnya busuk. Bakteria ini juga menyebabkan penyakit pada pokok cili,
tomato, terung dan tanaman lain. Satu cara untuk mengelakkannya ialah dengan menggunakan rizom
yang sihat dan menggilirkan tanaman dengan menanam pokok yang tahan terhadap penyakit ini
misalnya ubi keledek, sayur berdaun, mentimun, jagung dan lain-lain.
Bintik daun disebabkan Phyllosticta zingiberi juga biasa terdapat pada pokok halia. Seringkali
kerosakan yang diakibatkan penyakit ini sangat serius. Leptosphaeria typhae juga boleh menyebabkan
bintik daun pada pokok halia. Di kawasan kebun yang diserang bintik daun, pokok yang sihat
hendaklah disembur dengan Maneb atau Mancozeb dua minggu sekali.

Serangga Perosak
Serangga pengorek batang dan rizom (Udaspes falcus) merupakan perosak yang biasa menyerang
pokok halia. Tanda serangan ialah daun dan pucuk menjadi kuning dan mati beransur-ansur.
Kadangkala ulat-ulat beluncas pemakan daun juga merosakkan pokok tersebut. Jika kerosakan yang
diakibatkan oleh pengorek daun dan ulat beluncas ini serius, semburkan pokok dengan Hatsuta atau
dicrotophos dua minggu sekali.

Anda mungkin juga menyukai