Anda di halaman 1dari 3

RAJA RIMBA

Saya, Qishmieyna Anak Dennis dari Sekolah Kebangsaan Bakerkong, Daro

akan menyampaikan sebuah cerita haiwan yang bertajuk Raja Rimba.

Di sebuah hutan, ada seekor harimau yang kejam. Ia akan meminta haiwan lain

mencarikan makanan untuknya. Jika haiwan itu enggan, ia akan memakan pula haiwan

itu. Semua haiwan di dalam hutan takut kepadanya.

“Kita tidak boleh biarkan Sang Harimau buat begini. Apa kata kita minta bantuan

Sang Kancil,” cadang Sang Monyet.

Semua haiwan bersetuju dengan cadangan Sang Monyet.

“Sang Kancil, kami perlukan bantuan kamu. Sang Harimau semakin kejam,” kata

Sang Monyet.

“Sang Harimau memang sudah melampau. Jangan risau, aku boleh tolong. Tapi,

aku juga perlukan bantuan daripada kamu semua,” kata Sang Kancil.

“Kami sedia membantu. Apa yang kamu mahu?” tanya Sang Monyet.

Sang Kancil berfikir sejenak lalu berkata, “Salah seorang daripada kamu perlu

berjumpa dengan Sang Harimau.”

“Kenapa?” tanya Sang Monyet.

“Beritahu Sang Harimau yang aku telah memukul kamu. Aku tidak suka

diganggu kerana sedang membuat satu tugas penting. Malah, aku juga berani memukul

Sang Harimau jika ia datang mengganggu aku,” kata Sang Kancil.

Setelah undian dilakukan, Sang Tenggiling terpilih untuk berjumpa dengan Sang

Harimau.

Sang Tenggiling pun pergi berjumpa dengan Sang Harimau.


“Wahai Sang Harimau, aku ingin mengadu kepada kamu. Aku telah dipukul oleh

Sang Kancil kerana mengganggunya melakukan tugas penting. Katanya, ia sanggup

memukul kamu jika kamu juga mengganggu tugasnya,” kata Sang Tenggiling, terketar-

ketar.

Sang Harimau yang sedang berehat, bingkas bangun.

“Apa? Berani Sang Kancil berkata begitu. Ia tidak kenal siapa aku? Akulah raja di

hutan ini,” kata Sang Harimau.

“Ya, aku sudah katakan kepadanya. Tapi, ia tidak peduli. Katanya, kerja itu lebih

penting,” balas Sang Tenggiling, “dan …”

Belum sempat Sang Tenggiling menghabiskan kata-katanya, Sang Harimau

terus mencari Sang Kancil.

Sang Kancil sudah bersedia menunggu Sang Harimau.

“Hei, Sang Kancil! Engkau tidak takut kepada aku, ya?” tanya Sang Harimau.

Sang Kancil tidak mempedulikan kata-kata Sang Harimau. Sebaliknya, ia

berpura-pura sedang berfikir.

“Aku sedang bercakap dengan kamu. Kenapa kamu tidak mempedulikan aku?”

soal Sang Harimau lagi.

“Aku tidak suka diganggu. Kamu tidak nampak aku sedang sibuk? Kalau kamu

ganggu aku lagi, aku akan pukul kamu,” balas Sang Kancil.

“Kau mahu memukul aku? Kerja apa yang penting sangat sehingga kamu

sanggup pukul aku?” tanya Sang Harimau.

“Kerja aku membunyikan gong untuk raja. Jika aku dapat membunyikan gong itu,

raja akan memberikan makanan yang lazat kepada aku. Aku sedang berfikir cara

memukul gong itu supaya berbunyi,” kata Sang Kancil.


Sang Harimau tertarik dengan kata-kata Sang Kancil. Ia juga mahukan makanan

yang enak itu.

“Di mana gong itu? Bagaimana rupanya?” tanya Sang Harimau dengan tidak

sabar.

Sang Kancil menunjukkan sarang tebuan yang berada di atas pokok.

“Itulah gongnya. Tapi gong itu sangat tinggi. Mustahil aku boleh memukulnya,”

balas Sang Kancil.

Sang Harimau yang tidak pernah melihat gong terpedaya dengan helah Sang

Kancil. Ia pun berkata, “Biar aku sahaja yang memukul gong itu.”

Sang Kancil tersenyum dan berkata, “Cubalah!”

Sang Harimau mula memanjat pokok tersebut. Ia memukul sarang tebuan itu

sekuat hati. Tiba-tiba, beribu-ribu ekor tebuan keluar menggigit Sang Harimau. Ia

terkejut dan terus melarikan diri lalu terjun ke dalam sungai.

“Kenapa kamu lari? Bukankah kamu haiwan yang paling kuat di dalam hutan ini?”

sindir Sang Kancil.

Sang Harimau yang kesakitan mula sedar akan perbuatannya selama ini. Ia

meminta maaf kepada semua haiwan yang ada di dalam hutan itu. Mereka memaafkan

Sang Harimau.

Pengajaran cerita ini ialah kita seharusnya berhemah tinggi dengan orang lain

supaya mereka akan sentiasa menghormati kita. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai