Anda di halaman 1dari 192

BERKELAHI DENGAN SYAITAN – Tok Awang Ngah

Kandungan
1. TOK AWANG NGAH - ULAR DALAM KUBUR WANITA ............................................................................... 2
2. TOK AWANG NGAH - POKOK PETAI MENCABAR BERTARUNG ............................................................... 12
3. TOK AWANG NGAH - HANTU BOTAK DALAM LOMBONG ...................................................................... 23
4. TOK AWANG NGAH - PAK KAMAT MENUNGGANG HARIMAU ............................................................... 35
5. TOK AWANG NGAH - DIA BERLARI DI ATAS AIR ...................................................................................... 47
6. TOK AWANG NGAH - MAYAT BERNYAWA KUAT MAKAN ....................................................................... 58
7. TOK AWANG NGAH - TIBA-TIBA MAYAT MENJADI BERAT ...................................................................... 69
8. TOK AWANG NGAH - DENDAM ANGUT LUMPUH .................................................................................. 80
9. TOK AWANG NGAH - ORANG BESAR KENA SUNAT ................................................................................ 91
10. TOK AWANG NGAH - DIKEJAR ORANG TUA BERSERBAN KUNING ..................................................... 103
11.TOK AWANG NGAH - SUMPAH PELESIT TURUN TEMURUN ................................................................ 114
12. TOK AWANG NGAH - HANTU PONTIANAK TERSESAT ......................................................................... 125
13. TOK AWANG NGAH - HARIMAU MELOMPAT TENGAH SERAMBI ....................................................... 135
14. TOK AWANG NGAH - RINTIHAN DARI KUBUR..................................................................................... 144
15. TOK AWANG NGAH - LELAKI GIGI RONGAK ........................................................................................ 152
16. TOK AWANG NGAH - LEMBAGA GHAIB DI BALIK LANGSIR ................................................................. 160
17. TOK AWANG NGAH - MAYAT BANGUN MINTA AIR ............................................................................ 168
18. TOK AWANG NGAH - SUDAH DIKEBUMIKAN KELUAR DARI KUBUR. .................................................. 177
20. TOK AWANG NGAH - ORANG TUA KELUAR DARI KEPULAN ASAP ...................................................... 185
1. TOK AWANG NGAH - ULAR DALAM KUBUR WANITA

Lama juga orang-orang kampung bercerita mengenai kematian Latip Pekak semasa memandikan mayat,
isterinya Mak Yot Bidan yang kononnya balik kerumah semula. Judin Bauk yang menjadi saksi peristiwa
itu bersama adik arwah Mak Yot Bidan iaitu Usin Macuk. Tetapi kata orang tua-tua yang balik semula ke
rumah itu bukannya Mak Yit Bidan tetapi jelmaan hantu bungkus.

Semasa orang-orang kampung mengkebumikan jenazah Latip Pekak, didapati kubur Mak Yot Bidan
berlubang kira-kira sebesar lilitan betis. Apabila dijolok oleh Lebai Piut ke dalam, kayu penyolok itu
sampai ke bawah. Berbunyi papan liang lahadnya ketika diketuk-ketuk.

Selepas kematian Latip Pekak tidak lah didengar lagi suara jeritan dari kubur Mak Yot Bidan. Apakah
rahsia di sebalik kejadian itu tidak pula diketahui oleh orang-orang kampung. Ketika saya sampai ke
kampung ini dapatlah saya mendengar serba sedikit ceritanya dari Judin Bauk.

“Tak tau aku apakah ilmu yang dipakai oleh aruah tu,” jelas Judin Bauk apabila saya tanyakan
kepadanya.

“Yang aku tau dia seorang bidan di kampung ni dulu. Agaknya ilmu membidankan orang tentulah ada
padanya,” ujarnya bagaikan tergambar lagi kepadanya peristiwa yang berlaku.

“Sudah selesai semuanya, tak payahlah kita sebut-sebut lagi,” Lebai Piut mencelah.

“Perkara dah berlalu, biarlah orang-orang masih hidup jadikan tauladan tentang petunjuk-petunjuk
sedemikian dari Allah...” katanya perlahan.

“Benar kata Aki tu....” saya tersengih-sengih memerhatikan dia.

“Tapi baik juga kita mengetahui latar belakang mengapa kejadian itu berlaku. Dari sini bolehlah jadikan
tauladan kepada masyarakat kita. Sebab petunjuk dari Allah itu supaya kita semua insaf,” keinginan saya
masih membara mahu mengetahui latar belakang kejadian yangmenimpa diri aruah mak Yot Bidan itu.

Saya memahami maksud Lebai Piut itu. Dia tidak mahu cerita mengenai kubur berasap itu dipanjang-
panjangkan. Tidaklah mengherankan kepada saya mengenai Lebai Piut itu. Dia memang bekas murid
aruah Tok Aki saya. Oleh itu saya cam betul akan tabiatnya seakan-akan mirip dengan aruah Tok Aki
saya.

Sebenarnya saya datang ke kampung terssebut semata-mata mahu menziarahi Lebai Piut. Tetapi secara
kebetulan cerita mengenai kubur berasap itu masih menjadai buat mulut orang-orang kampung itu,
sengajalah saya tanyakan kepada Judin Bauk.

Ketika saya ke Merlimau di Melaka pun ada juga cerita mengenai kisah-kisah yang serupa dengan
kejadian di kubur Mak Yot Bidan ini. Kawan saya Ali Burn yang ceritakan kepada saya.
Tetapi saya tidak ambil peduli dengan cerita Ali Burn ini, fasal kadang-kala ceritanya bercampur
temberang sedikit.

Kira-kira dalam bulan Jun 1982, Ali Burntelah mengajak saya berjumpa dengan seorang lelaki tua di
Felda dekat Johor. Lelaki ini tinggal bersama anak perempuannya di situ. Tetapi dia bukanlah berasal
dari Merlimau iaitu kampung Ali Burn. Bagaimanapun menantu Pak Uduh ini memang berasal dari
Merlimau.

Pak Uduh sudah berumur 80 tahun. Dia kelihatan sudah uzur kerana penyakit. Matanya pun sudah
rabun dan suaranya pun tidak berapa jelas bila bercakap. Tetapi bila Ali Burn datang dia terlalu gembira.
Memang Ali Burn selalu datang ke situ menemui Rahman menantu Pak Uduh.

“Lama kau tak datang ke sini?” Tanya Pak Uduh semasa Ali Burn memperkenalkan saya kepadanya.

“Kalau aku selalu datang nanti Pak Uduh bosan” Ali Burn bergurau dengannya. “Lagi oun Pak Uduh nak
simpan-simpan sangat, kalau ada apa-pa tu bagilah pada orang muda,” tambahnya sambil duduk rapat
dengan orang tua itu.

“Apa yang kau hendak dengan aku, orang tua tak berguna,” sahut Pak Uduh tersengih-sengih.

“Orang tua tak bergunalah selalunya ada isi....” kata Ali Burn memaut bahu orang tua itu. “Kemenyan
sebesar lutut jkalau tak dibakar tak berbau Pak Uduh,” dia menepuk bahu Pak Uduh.

Orang tua itu tersenyum. Dia tahu Ali Burn hanya bergurau. Kedatangan Ali Burn menemui juga memang
mempunyai tujuan, Saya juga tahu Ali Burn datang menemui Pak Uduh kerana mahu mencungkil-cungkil
rahsia ilmu kebatinan orang tua itu. Memang menjadi kelaziman orang tua-tua seperti Pak Uduh itu
tidak akan menurunkan ilmunya kepada orang-orang yang tidak boleh diharapkan.

Maksud orang yang tidak boleh diharap ialah mereka yang tidak bersungguh melain sekadar mahu
menguji-ngji atau tidak sepenuh hati. Sebab itulah Pak Uduh sering mengelak-gelak bila Ali Burn cuba
mendapatkan sesuatu ilmu kebatinan darinya.

Selepas itu Ali Burn memperkenalkan saya pada Pak Uduh. Memang saya sendiri berhajat mahu
bertemu dengannya setelah Ali Burn menceritakan serba sedikit mengenai diri orang tua itu kepada
saya.

“Jabat tangan tadi aku tau dah, jabat tangan orang berisi...” kata Pak Uduh tersengih-sengih merenung
saya. Mungkin kerana matanya yang rabun dia terpaksa merenung saya tepat-tepat.

“Adalah isinya Pak Uduh,” sahut Ali Burn pantas. “Kalau tak ada is kosonglah semuanya, baru jadi hantu
penanggal, semua tali perut habis terkeluar ditarik kelapa..” katanya ketawa terkekeh-kekeh.

Pak Uduh juga ketawa. Saya juga ikut sama ketawa. Geli juga dengan kata-kata Ali Burn itu. Sebab itulah
kawan-kawan kami gelar dia Ali Burn temberang, kerana ada saja ceritanya mahu memanaskan suasana
dengan gelak ketawa.
“Ialah, tahi pun isi juga namanya,” balas Pak Uduh dihung ketawanya. “Tetapi berisi dengan tahi tak
sama dengan ilmu...” ujarnya macam menyindir.

Dari Pak Uduh inilah saya mendapat cerita mengenai kisah Naesah Lawa yang kuburnya berasap seperti
yang diceritakan Ali Burn sebelum itu. Kampung Pak Uduh memang di Melaka, tetapi bukanlah dari
Merlimau. Naesah Lawa itu seorang janda muda yang mudah memikat pemuda-pemuda. Antara yang
jatuh hati pada Naesah Lawa ialah Pak Uduh sendiri.

Akhirnya Naesah berkahwin juga dengan Pak Uduh, tetapi mereka tidak mempunyai anak. Ketika
berkawin dengan Pak Uduh, Naesah Lawa sudah dua kali bersuami. Sebagai orang yang warak, Pak Uduh
selalu menghabiskan masanya di surau menunaikan ibadat, disamping belajar agama dari guru-guru
agama yang diundang khas.

Naesah Lawa pula dalam diam-diam berkenalan dengan seorang anak muda yang lain pula.
Perhubungannya dengan anak muda, sati hari telah terserempak dengan emak Pak Uduh. Apa lagi,
perkara itu terus diberitahu kepada Pak Uduh. Tetapi Pak Uduh tidak terus terburu-buru. Dia meminta
emaknya bersabar dulu, kerana dia belum melihat dengan matanya sendiri akan perbuatan isterinya itu.

Sejak itu emak Pak Uduh mula tidak senang dengan sikap Naesah Lawa. Malah dia menuduh Naesah
Lawa sudah menggunakan ubat pengasih menyebabkan Pak Uduh tunduk mengikut perintahnya.

Sebenarnya Pak Uduh bkanlah terkena ilmu guna-guna atau ubat pengasih. Dia seorang yang taat
kepada perintah agama. Sebab itulah dia masih boleh bersabar mendengar aduan dari emaknya
sendiriterhadap kecurangan isterinya itu.Tetapi emaknya tetap berkeras menyalahkan Pak Uduh.

Tidak lama kemudian emak Pak Uduh jatuh sakit muntah-muntah drah. Ada bomoh mengatakan dia
terkena santau. Sebaliknya apabila dibawa ke hospital, pihak hospital mengatakan dia terkena penyakit
batuk kering. Hospital pula mengesyurkan supaya dihantar untuk mendapat rawatan lanjut di Kuala
Lumpur.

Bagaimana pun emak Pak Uduh tidak mahu berubat di hospital. Akhirnya dia mati kerana mengidap
penyakit batuk darah. Samaada dakwaan bomoh yang mengubatnya benar atau tidak, Pak Uduh juga
tidakmahu mempercayai sangat.Tetapi Pak Uduh sendiri sudah mencubanya sendiri mengubat emaknya
dengan membacakan ayat-ayat Quran seperti yang dipelajarinya

Setiap kali dia memberi emaknya minum air yang sudah dibacakan Yassin, emaknya muntah-muntah
darah. Di dalam darah beku itu terdapat beberpa helai rambut. Malangnya, Pak Uduh sudah terlambut
mahu mengubat emaknya. Orang tua itu meninggal dunia sebelum sempat Pak Uduh mengubatnya
lebih mendalam.

Disebabkan terpengaruh juga dengan dakwaan bomoh mengenai emaknya yang termakan santau itu,
Pak Uduh telah mengerjakan sembahyang sunat tahjud 44 malam agar orang yang menganiaya emaknya
bertaubat. Dia tidak berharap untuk bertemu dengan orang yang menganiaya itu, kerana gurunya
berpesan supaya tidak berbuat demikian. Hanya yang diajarkan oleh gurunya memohon doa agar orang
yang menganiaya itu bertaubat kepada Allah.
Tidak sampai 44 malam Pak Uduh melakukan sembahyang sunat tahjudnya, tiba-tiba Naesah Lawa
isterinya jatuh sakit. Dia meracau-racau dan menjerit-jerit sepanjang malam. Dia menuduh emak
mertuanya sengaja membuat fitnah mengenai hubungan sulitnya dengan seorang pemuda.

Disebabkan tidak tertahan dengan peristiwa emaknya baru saja meninggal dunia, kemudian isterinya
mula jatuh sakit meracau-racau, maka Pak Uduh terpaksa minta tolong kepada gurunya To' Kiyai Parjo
dari Johor.

"Mengapa tak diubat sendiri?" tanya To' Kiyai Parjo apabila Pak Uduh menceritakan masalahnya.

"Hati saya tak tenteram To' Kiyai, tak dapat nak khusyuk..." dia menjelaskan dalam perasaan bimbang.

"Kalau begitu kau tak tahan diuji" sahut To' Kiyai Parjo mengingatkan. "Tak tenteram bererti kau tak
sabar, kalau mau cari kemenangan mesti sabar. Mesti tenteram, barulah kau dapat menggunakan ilmu
kau" ujarnya macam kesal dengan sikap Pak Uduh.

Tetapi Pak Uduh tidak pedulikan lagi mengenai kata-kata gurunya. Yang penting dia mesti selamatkan
isterinya Naesah Lawa. Dia tidak sanggup kehilangan isteri, setelah kehilangan emaknya.

"Sekarang, aku mahu kau sendiri mengubatnya" tegas To' Kiyai Parjo memberi isyarat.

Pak Uduh memahami isyarat itu. Dia mesti ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo untuk melihat sendiri penyakit
isterinya. Dengan cara itu barulah dia dapat mengubat mengikut cara yang diajar oleh To' Kiyai Parjo.

Ketika ditidurkan oleh To' Kiyai Parjo, Pak Uduh merasa dirinya keluar dari jasadnya. Dia terapung-apung
di awangan menurut perintah To' Kiyai Parjo. Apabila disuruh melihat tubuh isterinya Naesah Lawa, dia
nampak Naesah Lawa terbaring dengan seluruh tubuhnya berlubang-lubang. Kelihatan nanah dan darah
keluar dari lubang-lubang sebesar guli itu.

"Apa yang kau nampak?" dia terdengar suara To' Kiyai Parjo sayup-sayup dari jauh.

"Berlubang-lubang badannya. Ada darah dan nanah keluar" Pak Uduh memberitahu apa yang dilihatnya.

"Bacakan ayat ini dan hembuskan ke situ" perintah To' Kiyai Parjo.

Dia membacakan tiga kali ayat yang diajarkan oleh To' Kiyai Parjo, kemudian dihembuskan ke tubuh
Naesah Lawa. Sebaik saja dihembuskan seluruh tubuh Naesah Lawa menjadi hancur. Ketika ini Pak Uduh
merasakan sekelilingnya bagai dilanda ribut kencang, hingga dia juga hampir-hamoir diterbangkan.

"Mengapa?" soal To' Kiyai Parjo.

"Ribut kencang..." jelasnya cemas.

"Bacakan doa ini" kata To' Kiyai Parjo memberi panduan.


Sebaik dibacakan ribut kencang tiba-tiba berhenti. Dia tidak nampak lagi tubuh Naesah Lawa, tetapi
kelihatan seorang lelaki berjubah putih dengan janggutnya juga putih sampai ke pusat. Dia memberitahu
apa yang dilihatnya kepada To' Kiyai Parjo.

Tetapi apabila dia membacakan ayat yang diperintahkan oleh To' Kiyai Parjo, lelaki berjubah putih itu
tersenyum lalu memberi salam. Ketika ini Pak Uduh sudah tidak mendengar lagi suara To' Kiyai Parjo
yang sayup-sayup tadi. Dia merasa begitu jauh terasing.

Pak Uduh menyahut salam lelaki berjubah itu.

"Kenapa kau nak tolong orang yang akan mati?" lelaki berjubah itu bertanya.

"Mati hanya ditentukan oleh Allah....." sahut Pak Uduh keras.

"Kau orang berilmu" ujar lelaki berkenaan macam menyindir. "Tetapi tidak mendalami ilmu kau. Ilmu
Allah luas dan kau tak akan jemu-jemu mempelajarinya" kata lelaki berjubah putih itu lagi.

Pak Uduh dapat mengagak bahawa lelaki berjubah putih di depannya bukanlah syaitan. Kerana syaitan
tidak akan berani menyebut ayat-ayat Allah. Bagaimanapun dia tidak berani bertanya siapakah lelaki
berkenaan. Apa lagi dia tidak dapat lagi berhubungan dengan To' Kiyai Parjo.

"Sekarang, baliklah kau" lelaki berjubah putih itu memerintahkan dia meninggalkan tempat itu.

"Tidak......aku mahu selamatkan isteri aku!" tegas Pak Uduh.

"Isteri seorang mukmin ialah perempuan yang mempunyai cukup syarat di sisi Allah" suara orang tua
berjubah putih itu keras.

"Apakah kau mau seorang isteri yang dilaknati di sisi Allah" jelas orang tua itu lagi.

"Kau setan, memang pendusta" sahut Pak Uduh menahan kemarahan yang mula membakar hatinya. Dia
cuba mengharapkan To' Kiyai Parjo segera menyeru namanya, tetapi sia-sia belaka.

Astaghafarullah-alazzim......" keluh lelaki tua itu menyesali sikap Pak Uduh. "Jangan kau jadikan yang hak
itu batil, dan yang batil itu hak," katanya mengingatkan.

"Jadi kau siapa?" Pak Uduh masih mendongkol.

"Orang berilmu mesti banyak bersabar" orang tua berjubah putih itu menasihati dia. "Aku tau To' Kiyai
Parjo, aku juga tau tentang kau. Bukankah kau telah menunaikan Sunat Tahajud selama 44 malam?"
katanya mengingatkan Pak Uduh.

"Iya....." angguk Pak Uduh.

"Kau sudah memohon pada Allah tunjukkan kebenaran?" tanyanya lagi.


Pak Uduh angguk.

"Sekarang itulah kebenaran!" tegas orang tua berjubah putih itu lagi. "Aku guru pada To' Kiyai Parjo, dan
aku bukan syaitan yang mahu mempengaruhi kau. Mari ke mari......." dia menghulurkan tangannya.

Cepat-cepat Pak Uduh memeluknya. Terbau padanya sekelilingnya harum semerbak yang belum pernah
diciumnya selama itu. Sekaligus air mata Pak Uduh menitis.

"Maafkan saya To' Wali" Pak Uduh menangis terisak-isak.

"Sudahlah Uduh.." dia memujuk sambil mengusap-ngusap kepala Pak Uduh. "Naesah yang memberi
emak kau racun santau, kerana emak kau terserempak akan perbuatan curangnya terhadap kau.
Sekarang baliklah kau" katanya meninggalkan Pak Uduh.

Barulah Pak Uduh dapat mendengar suara bisikan To' Kiyai Parjo. Bagaimanapun Pak Uduh meminta
untuk balik segera masuk ke tubuhnya. Tidak lama kemudian dia membuka mata, dan dilihatnya Naesah
Lawa masih terlentang menderita sakit.

"Saya fikir tak payahlah kita ubatkan lagi Naesah ni To' Kiyai....." bisik Pak Uduh.

To' Kiyai Parjo tersenyum. Dia sudah tahu apakah yang tersirat di hati Pak Uduh. Malah pertemuan Pak
Uduh dengan arwah gurunya itu juga sudah difahami oleh To' Kiyai Parjo.

"Kalau kau dah kata begitu, terpulanglah" ujar To' Kiyai Parjo perlahan.

Tiga hari selepas itu pun perut Naesah Lawa menjadi buncit. Lama kelamaan menjadi busung hingga
kulit perutnya mengening-ngening. Apa yang dilihat oleh Pak Uduh melalui makrifatnya jelas telah
berlaku ke atas Naesah Lawa. Seminggu selepas perutnya menjadi busung Naesah Lawa pun meninggal
dunia.

Pada senja waktu maghrib hari dikebumikannya itulah Pak Uduh mendengar jeritan nyaring dari tanah
perkuburan. Jeritan itu juga didengar oleh orang-orang kampung. Selepas menunaikan fardhu maghrib
Pak Uduh bersama adik iparnya (iaitu adik lelaki Naesah Lawa) bernama Selamat telah pergi ke tanah
perkuburan.

Jeritan itu memang jelas seakan-akan suara Naesah Lawa. Sebab itulah dia mengajak Selamat ikut sama
melihatnya. Memang betul jeritan itu datangnya dari kubur Naesah Lawa. Ketika mereka berdua sampai
rintihan dan ngongoian Naesah Lawa begitu jelas dan menusuk perasaan.

Dari kubur itu kelihatan asap berkepul naik. Air mata Pak Uduh menitik melihat peristiwa yang menimpa
ke atas kubur isterinya. Kalaulah emaknya masih hidup bolehlah dia melutut meminta ampun kepada
emaknya bagi pihak Naesah Lawa. Tetapi semuanya telah berlalu, dia hanya dapat berdoa meminta
pertolongan Allah supaya mengampunkan Naesah Lawa.

"Mat...." kata Pak Uduh sayu. "Kakak kau terseksa. Kau balik dan beritahu To' Kiyai Parjo. Biar abang
tunggu di sini buat apa yang patut" bisiknya tersedu sedan.
Kesedihan yang menusuk di jiwanya bukanlah kerana kematian isterinya, tetapi penderitaan yang
ditanggung oleh isterinya setelah disemadikan di dalam kubur. Kalaulah benar Naesah Lawa membuat
perhubungan dengan lelaki lain dia boleh melupakan saja segalanya. Dia sedia mengampunkan dosa
Naesah Lawa terhadapnya.

Tetapi perbuatan Naesah Lawa tergamak memberikan emaknya makan racun santau itu, hanya
emaknya sajalah yang boleh mengampunkan.

"Baliklah Mat, minta bantuan dari orang kampung" katanya lagi menahan kesedihan.

"Baiklah bang" sahut Selamat perlahan. "Macam mana pun abang sabarlah. Apa nak buat dah nasib
dia..." Selamat cuba mententeramkan perasaan Pak Uduh.

Selamat terus balik ke rumah Pak Uduh, kerana di sana orang sudah berkumpul untuk mengadakan
kenduri aruah. To' Kiyai Parjo juga ada menunggu di rumah Pak Uduh. Segala kejadian yang dilihatnya di
kubur kakaknya diberitahu oleh Selamat kepada mereka yang ada di situ.

"Abang Uduh minta To' Kiyai ke sana" jelas Selamat.

Beberapa orang yang ada di atas rumah turun ke bawah. Mereka bersama-sama To' Kiyai Parjo
mengikut Selamat menuju ke kubur Naesah Lawa. Apabila sampai di kubur mereka dapati Pak Uduh
sedang membacakan Surah Yassin dengan tenang. Bunyi jeritan juga mula mengendur.

Kepul asap juga sudah mula berkurangan. Tetapi keadaan demikian sementara saja. Selepas itu asap dari
kubur semakin menebal dan jeritan suara meminta tolong semakin kuat. Sekali-sekala keluar api dari
celah-celah kepulan asap itu.

Semakin kuat bacaan Surah Yassin dibacakan, semakin kedengaran jeritan nyaring tidak ketahuan.

"Begini Uduh...." To' Kiyai Parjo menepuk bahu Pak Uduh.

"Kalau kau izinkan kita galikan semula kubur Naesah ni, kita mandikan dia dengan air Yassin" ujarnya
menahan kesedihan yang menusuk-nusuk.

Pak Uduh hanya mengangguk. Lidahnya sudah tidak terucapkan apa-apa lagi.

"Kalau begitu kau Selamat, bawalah kawan-kawan" To' Kiyai Parjo berpaling pada Selamat. "Bawa
cangkul, bawa lampu gaslin dan bawa air segeluk" perintahnya.

Selamat tidak menyahut. Dia terus mengajak beberapa orang pemuda balik semula mengambil barang-
barang yang dipesan oleh To' Kiyai Parjo. Sementara bahang panas dari kubur Naesah Lawa sudah
dirasakan oleh Pak Uduh. Bagaimanapun dia tidak undur dari menahan panas yang semakin membahang
itu.
To' Kiyai Parjo membacakan sesuatu doa sambil menghembuskan ke kubur Naesah Lawa. Lama To' Kiyai
Parjo berdoa barulah terasa bahang panas itu terasa berkurangan. Pak Uduh juga ikut sama berdoa
seperti yang pernah diajarkan oleh To' Kiyai Parjo kepadanya.

Tidak lama kemudian Selamat bersama dua tiga orang pemuda tadi datang membawa cangkul dan
lampu gaslin. Air sejuk di dalam jag diberikannya kepada To' Kiyai Parjo.

Setelah diperintahkan gali oleh To' Kiyai Parjo mereka pun sama-sama menggali semula kubur tersebut.
To' Kiyai Parjo mahu memandikan saja jenazah yang sudah dikebumikan itu dengan air yang sudah
dibacakan Surah Yassin. Ketika menggalinya Selamat merungut-rungut juga kerana terasa panas. Tetapi
To' Kiyai Parjo menasihatkan supaya tidak disebut-sebutkan perkara bahang panas itu.

Setelah digali semula Selamat cuba membuka papan yang menutup liang lahad, tiba-tiba dia terkejut
dan cepat-cepat melompat ke atas. Mukanya jadi pucat ketakutan.

"Kenapa Mat...?" tanya Pak Uduh.

Selamat tidak menjawab. Dia terkaku tidak boleh bercakap apa-apa. Untuk mempastikan keadaan
sebenarnya mereka mendekatkan lampu gaslin ke tebing kubur. Pak Uduh sendiri membukakan papan
dinding liang lahad tersebut. Sebaik saja papan dinding itu ditarik ke atas mereka dapat melihat ular-ular
bisa berkumpul di dalam liang tersebut membelit jenazah Naesah Lawa yang baru saja dikebumikan
siang tadinya.

Dari mana datangnya ular-ular tersebut?

"Hanya Allah Yang Maha Mengetahui" kata To' Kiyai Parjo bila melihat kejadian tersebut.

Tentulah mustahil terdapat ular di dalam kubur yang baru saja dikorek dan baru saja dikambus semula.
Mustahil jua ada sarang ular di situ. Kalau mahu dikira ular bersarang di situ, bagaimana pula dengan api
dan asap yang kelihatan di atas kubur tersebut.

Anehnya apabila sudah digali tidak ada langsung kesan asap atau api di situ.

"Jangan difikirkan sangat" To' Kiyai Parjo menasihatkan mereka yang terpegun melihat kejadian
tersebut. "Pengetahuan Allah meliputi tujuh petala bumi tujuh petala langit. Kita yang hidup ini
insaflah........" jelasnya dengan linangan air mata, bukan kerana kesedihan tetapi gementarnya kepada
Allah.

Kemudian dia menyiramkan air sejuk di dalam jag yang sudah dibacakan Yassin ke tubuh Naesah yang
dibelit ular-ular bisa itu. Setelah disiram air tersebut ular-ular berkenaan lari menyusup di dalam lubang
liang lahad dan hilang entah ke mana. To' Kiyai Parjo turun ke dalam kubur lalu mengepal tanah tiga
kepal. Dia berdoa sambil menghembuskan kepada kepalan tanah itu.

Dengan tidak menghiraukan sesiapa dia terus meletakkan tanah yang dikepal tadi ke kepala mayat.
Setelah semuanya selesai To' Kiyai Parjo memerintahkan supaya dikambus semula. Hari berikutnya tidak
ada lagi kedengaran jeritan dari kubur Naesah Lawa. Sementara di rumahnya Pak Uduh membaca Yassin
setiap malam seperti yang diingatkan oleh To' Kiyai Parjo.

Jadi, bila teringatkan pertemuan saya dengan Pak Uduh bersama Ali Burn, saya merasakan ada sesuatu
yang mesti telah berlaku menyebabkan kubur Mat Yot Bidan itu jadi demikian. Tetapi disebabkan Lebai
Piut tidak mahu diungkit-ungkit lagi maka saya pun tidaklah mahu bertanyakan lagi pada Judin Bauk.

Bagaimanapun setelah Judin Bauk balik ke rumah barulah Lebai Piut mahu menerangkan kepada saya
kisah sebenarnya mengapa kubur Mak Yot Bidan boleh jadi begitu.

"Bukan kerana ilmu sesat yang dituntut" kata Lebai Piut serba salah mahu menceritakan kepada saya.
Tetapi dosa kepada sesama makhluk, inilah yang berat hendak kita tanggung" jelasnya mengeluh
pendek.

"Tak ada dia menuntut ilmu sesat?" tanya saya.

"Wallahhu'alam..." dia tersengih-sengih bagaikan soalan itu mencuit hatinya. "Tetapi Yot tu
berkehendakkan Latip Pekak semasa dalam tangan suaminya lagi, iaitu aruah abang haji" katanya lagi.

"Ohhh, begitu..." saya terangguk-angguk mendengarkannya.

Aruah abang haji yang disebutkan oleh Lebai Piut itu ialah abangnya sendiri Haji Suri. Saya juga
mendengar berita kematian aruah Haji Suri akibat termakan racun. Heran juga saya ketika itu, kerana
orang seperti dia masih ada juga orang sakit hati hingga tergamak memberi racun.

Setahu saya aruah Haji Suri itu memang warak. Dia tidak pernah ambil tahu masalah peribadi orang lain.
Malah dia akan bercakap kalau ada perkara-perkara yang ditanyakan kepadanya saja. Bagaimana orang
seperti dia masih ada orang yang sakit hati terhadapnya. Kalau setakat hati pun tak apa juga, tetapi
tergamak pula memberikan racun.

"Yot yang memberinya racun....." tiba-tiba isteri Lebai Piut mencelah.

"Hisss, awak tu diam" Lebai Piut berpaling kepada isterinya yang baru saja sampai menatang dulang air
ke depan kami. "Mana awak tahu Yot yang racun, awak nampak?" katanya perlahan, tetapi jelas dia
tidak senang dengan sikap isterinya membuat tuduhan itu.

"Ramai orang cakap...." jelas Mak Ton tegas.

"Cakap orang cuma syak wasangka saja. Allah saja Yang Maha Mengetahui" ujar Lebai Piut kesal dengan
keterlanjuran isterinya itu.

Memang Lebai Piut tidak mahu menerangkan lebih lanjut perkara sebenarnya. Tetapi esoknya apabila
saya tanyakan kepada Judin Bauk mengenai cerita kematian aruah Haji Suri itu, memang dia juga pernah
mendengar khabar angin kononnya kematian aruah Haji Suri itu akibat diracun oleh Mak Yot Bidan.
Habis saja edah selepas kematian aruah Haji Suri itu, Mak Yot Bidan pun terus berkahwin dengan Latip
Pekak. Bagaimanapun orang-orang kampung tidak dapat ceritanya yang sahih, selain dari khabar-khabar
angin. Kalau ada pun mereka yang tahu tidak ada siapa pula yang berani bercakap terus terang. Maklum
sajalah Mak Yot Bidan itu merupakan bidan di dalam kampung. Masing-masing memerlukan
pertolongan Mak Yot Bidan bila tiba waktunya.
2. TOK AWANG NGAH - POKOK PETAI MENCABAR BERTARUNG

BARU saja mahu melelapkan mata isteri saya menggerakkan kerana ada orang memanggil dari tengah
halaman. Dalam keadaan terkuap-kuap itulah saya memetik lampu lalu membuka pintu hadapan.
Seorang lelaki separuh umur terkial-kial menupang motorsikal hondanya.

"Maaflah ustaz saya mengganggu..." cepat-cepat dia bersuara sebaik saja pintu terbuka.

Saya tersengih-sengih sambil terkuap-kuap. Mata memang sudah mengantuk walau pun baru pukul 10
lebih. Tetapi sudah menjadi kelaziman saya tidur awal sedikit kerana akan bangun semula pada tengah
malam. Bangun tengah malam ini pun bukanlah dilakukan setiap malam, cuma saya lakukan apabila
malam Jumaat. Saya akan melakukan Sunat Tahjud diikuti dengan Sunat Tasbih juga.

"Maaflah ustaz" ulangi lelaki berkenaan.

"Tak apa, silalah masuk..." saya mempelawanya.

"Tak payahlah ustaz" sahutnya terus mara ke pintu rumah saya. "Saya nak minta tolong pada ustaz. Aki
Sahak yang suruh panggil ustaz" katanya.

"Rumahnya di mana?" tanya saya mahu mempastikan. Saya sendiri tidak berapa kenal dengan lelaki
berkenaan, tetapi rasanya dia lebih tua dari saya.

"Saya Sonok dari Kampung Simpang" jelasnya menghulurkan tangan kepada saya. "Petang tadi saya
pergi ambil Aki Sahak di Mancis rumah anaknya. Aki Sahak ada di rumah saya, tapi dia suruh panggil
ustaz juga" dia tersengih-sengih.

Berdebar juga hati saya bila Aki Sahak meminta saya datang. Tentulah perkaranya besar juga, kalau tidak
masakan dia menyuruh Sonok mencari saya. Mujur juga Sonok dapat mencari rumah saya di situ. Kalau
sekadar gangguan syaitan Aki Sahak tidak pernah memanggil saya. Dia sendiri boleh menghadapinya
kalau ada orang sakit diganggu syaitan.

Bagaimanapun saya tidaklah mahu bertanya kepada sesiapa pun mengenai tujuan mereka memanggil
saya. Memang sudah saya duga biasanya kalau orang mencari saya pada tengah-tengah malam tentulah
perkaranya ada pesakit yang memerlukan rawatan. Heran juga saya selama datang ke kampung itu,
mereka sudah menganggap saya macam bomoh. Berkali-kali saya memberitahu mereka saya bukanlah
bomoh.

Disebabkan yang meminta saya datang itu Aki Sahak membuatkan saya serba salah. Nampaknya saya
mesti memikirkan perkara mahu bertukar dari situ, kerana bimbang orang akan salah anggap. Nanti
mereka menyangka saya seorang bomoh, sedangkan saya tidak tahu apa-apa mengenai ilmu bomoh.

Kalau saya tidak mahu datang apa pula kata Aki Sahak. Sejak saya bertukar ke daerah itu, kerapkali
sangat Aki Sahak meminta saya membantu dia. Ingin juga saya membantah tetapi cepat-cepat dia
mengingatkan, "Kerja ni semua buat kerana Allah saja....".
Selepas bersiap-siap memakai baju, saya pun terus membonceng motorsikal Sonok. Malam gelap gelita
tidak ada bintang-bintang di langit. Saya sampai di rumah Sonok kira-kira jam 11 lebih. Aki Sahak sudah
ada di situ duduk di hujung serambi. Beberapa orang jiran Sonok juga ada di situ.

Saya memberi salam ketika menaiki tangga rumah. Kemudian bersalaman dengan mereka yang duduk di
serambi.

"Terus ke hujung ustaz, terus ke hujung" seorang lelaki tua menyuruh saya duduk di hujung serambi
dengan Aki Sahak.

Kampung ini kira-kira empat batu jauhnya dari tempat Aki Sahak tinggal. Semasa saya sampai itu
mereka sudah bercerita fasal anak Abang Amud yang tenggelam dalam lombong. Aki Sahak
memberitahu sayalah yang telah membantunya mencarikan mayat itu yang tenggelam di dalam
lombong.

Akhirnya perhatian mereka sudah beralih kepada saya, bukanlah kepada Aki Sahak. Sebenarnya Aki
Sahak cuba mengelak-ngelak juga apabila dipanggil orang merawat pesakit, tetapi kadangkala serba
salah juga. Tidak heranlah mengapa bomoh-bomoh terpaksa mengenakan bayaran kerana penat lelah
mereka terpaksa berjaga hingga jauh malam.

Malah ada kalanya tidak cukup tidur sekiranya dipanggil orang. Bagaimana kalau sampai pagi baru
selesai kerjanya? Tentulah esoknya menjadi letih dan mereka tidak dapat bekerja mencari rezeki nafkah
hidup? Tetapi kebanyakan orang menuduh bomoh-bomoh itu mementingkan wang semata-mata
apabila mengubat pesakit.

Bagaimana kalau kami lakukan secara sukarela seperti Aki Sahak ini? Nampaknya senang saja iaitu
duduk sambil berdoa. Tetapi ketika berdoa ini mestilah dengan khusyuk atau istilah moden 'kosentrasi',
kadangkala terasa kepala bagaikan mahu pitam kalau 'khusyuk' ini dilakukan sampai hampir satu jam.
Inilah yang tidak difahami oleh kebanyakan orang.

Apabila saya bertukar ke daerah kecil ini Aki Sahak terus meminta saya membantu dia. Bagi penduduk-
penduduk di daerah ini pula asal saja mendapat tahu tentang seorang bomoh mereka akan segera
mendapatkannya kalau menghadapi kesakitan. Kadangkala diserang demam panas pun segera mencari
bomoh, pada hal penyakit demikian lebih baik dibawa ke hospital.

Kesihan juga saya melihatkan Aki Sahak. Tidak pernah dia boleh duduk diam di rumah untuk beribadat
dan sebagainya. Ada saja orang menjemputnya. Kadangkala sampai ke Karak di Pahang, ke Segamat di
Johor, ke Tampin juga. Kadangkala dia sengaja melarikan diri ke rumah anaknya di Mancis, namun dapat
juga dicari orang.

"Anak Sonok ni hilang dari rumah" beritahu Aki Sahak berpaling kepada saya. "Jadi, itulah nak minta kau
sama-sama bantu" jelasnya meleret senyum.

"Eh, Aki sorang pun boleh....." ujar saya tersengih-sengih.

"Tidak..." sahutnya tegas. "Aku tak kemampuan, sebab itulah perlu sangat kau membantu. Ini bukan
kerja manusia......" dia mula serius.
"Dah bagi tau polis?" soal saya.

"Tak lagi, tapi ketua kampung dah beritahu..." sahut Sonok perlahan.

"Bila hilangnya?" saya memerhatikan Sonok tersandar pada jenang pintu induk rumah.

"Hari ni tadilah" jelasnya bertambah gelisah. "Tengahari tadi dia mengembala kambing ke tepi kebun
getah nun, top...top....kambing aje balik petang tadi. Dia entah ke mana" Sonok menerangkan.

Berita kehilangan anak Sonok yang berumur 10 tahun itu segera diberitahu kepada jiran-jiran. Biasanya
petang-petang selepas balik dari sekolah, Tamin mengembala kambing di hujung kampung. Dia bukanlah
penuntut di sekolah tempat saya mengajar. Sebab itulah saya tidak mengenali sangat keluarganya.

Kebanyakan penjaga murid di sekolah saya mengajar memang saya kenali. Lagi pun sekolah yang jauh di
kampung pedalaman ini, bukanlah ramai sangat muridnya. Jadi, cepatlah dapat bermesra dengan
penjaga-penjaga mereka. Lagi pun mereka mulai mengenali saya, sejak peristiwa anak Abang Amud.

Ketika ini penduduk kampung tempat Aki Sahak tinggal itu pun masih belum tenteram akibat gangguan
bunyi air disedut lubang bergaung dari lombong tersebut. Terutamanya bila tengah malam ornag-orang
yang tinggal berhampiran dengan lombong dapat mendengarnya dengan jelas.

Ada juga Tonel memberitahu Sali dia ternampak dari jauh satu benda melintang di tengah lombong.
Tidak lama kemudian benda itu tenggelam semula ke dalam air. Mungkinkah ular besar yang dikatakan
oleh orang-orang kampung selama ini?

"Saya minta ustaz cuba-cubalah sikit" pinta isteri Sonok tiba-tiba muncul di pintu induk rumah itu.
Matanya bengkak bekas menangis. "Cubalah ustaz, kalau mati nak tengok juga mayatnya" dia mula
terisak-isak menahan kesedihan yang menusuk.

"Hisss, jangan cakap macam tu" Sonok mendongak sambil menguis paha Siti dengan sikunya. "Tak ada
apa-apa tu, boleh jadi Tamin sesat. Sabarlah sikit......" katanya macam menasihatkan isterinya.
Sedangkan dia sendiri pun saya lihat resah gelisah sejak datang menjemput saya tadi.

"Cubalah ustaz" pinta Siti lagi merayu-rayu. "Saya dah dengar fasal ustaz di Kampung Hulu bila anak
Amud jatuh ke lombong. Saya harap benar dengan ustaz ni" ujarnya tidak menghiraukan suaminya yang
tersandar pada jenang pintu induk rumah.

"Sabarlah kak...." saya pula meminta dia bertenang. "Kita tengok dulu macam mana, jangan tergopoh-
gopoh. Kalau kita sudah yakin Allah saja memberi perlindungan dan tempat meminta pertolongan,
bertenanglah" kata saya mengingatkan.

Selalunya demikianlah ibu-ibu menghadapi dugaan apabila anak-anaknya menghadapi masalah. Tetapi
saya tidak dapat salahkan mereka, kerana perasaan manusia selalunya mudah digoda. Mereka mudah
hilang pertimbangan dan segera meminta pertolongan dari siapa saja, pada hal tempat meminta
pertolongan hanya semata-mata kepada Allah.
Ketika meminta pertolongan inilah syaitan menjanjikan pertolongan. Orang yang tidak sabar akan segera
meminta pertolongan pada syaitan tadi. Akhirnya terpedayalah dengan perangkap syaitan mahu
menggoda manusia menukar aqidah, dengan meminta pertolongan kepadanya.

"Kita tunggu dulu apa kata Aki Sahak" saya menepuk bahu Aki Sahak yang duduk mrnyandar pada
dinding.

"Tak ada apa kita boleh buat, sebab budaknya tak ada di sini" Aki Sahak tersenyum penuh makna. "Nak
dicari tak tahu di mana, sebab pancaindera kita hanya untuk melihat benda yang nyata" ujarnya
tersengih-sengih.

"Jadi macam mana ni Aki. Anak saya Aki, macam mana" Siti terus meraung tidak dapat menahan
perasaan sebak yang menumpu di dadanya.

Kemudian Aki Sahak meminta saya melakukan tidur seperti pernah dilakukan ketika mencari anak Abang
Amud di dalam lombong. Setelah berbincang dengan Aki Sahak saya bersetuju tidur sendiri dengan tidak
payah dikawal oleh Aki Sahak. Seperti yang telah saya jelaskan cara pengubatan tidur samalah seperti
bomoh-bomoh gunakan semasa mereka 'menurun', tetapi caranya saja berlainan. Bomoh-bomoh selalu
menggunakan 'akuan' tertentu sebagai sahabat, manakala cara tidur yang saya lakukan hanya satu
penyerahan kepada Allah.

Cara memulakannya tidaklah memerlukan menyeru berbagai-bagai nama, tetapi memudahi dengan
berastaghfar kepada Allah Yang Maha Pengampun, kemudian membaca A'uzubillah meminta
dilindungkan dari syaitan, Bismillahhirrahmannirrahim, Selawat kepada Rasullullah dan tasbih
mensucikan keagungan Allah. Para ahli sufi tidaklah perlu cara tidur seperti yang saya lakukan, baginya
memadai merenung saja ke dalam makrifat dan mereka akan mengetahuinya.

Tetapi pengajian kita belum sampai kepada tingkat ahli sufi, maka cara tidur inilah untuk merenung
secara makrifat. Itulah saya katakan amat sukar mahu menerangkannya di sini, kerana hanya orang-
orang yang mengetahui saja tahu apakah yang saya gambarkan ini.

"Kau tidur dulu dan cari di mana budak tu sekarang" bisik Aki Sahak. "Tak payah beritahu apa-apa pada
Aki. Lepas tu nanti baru kita sama-sama mencari di mana dia" katanya lagi.

Saya mengangguk. Saya pun memulakan tidur saya. Tidak lama kemudian saya merasa diri saya sudah
berada di satu kawasan paya. Saya terus menyeberangi paya hingga sampai ke seberangnya yang
dipenuhi oleh belukar rotan. Puas saya memerhati sekelilingnya tidak ternampak pun anak lelaki Sonok
yang hilang itu.

Dalam pada itu yang mesti saya ingatkan ialah lorong-lorong jalan serta pedoman yang terdapat di situ
untuk membolehkan orang-orang kampung mencarinya nanti. Sebab cara yang saya lakukan ini tidak
dapat membawa Tamin balik ke rumah, kecuali kalau dipandu oleh Aki Sahak. Kalau tidur bersendirian
ini hanya untuk melihat saja, bukan untuk melepaskan dia sekiranya dikawal oleh syaitan yang terdiri
dari makhluk-makhluk halus.

Saya menyusup di bawah duri-duri rotan itu memerhatikan kalau-kalau dia disorokkan di situ, tetapi
tidak juga kelihatan. Biasanya yang melarikan budak demikian ialah bunian. Tempat yang demikianlah
selalunya disukai oleh bunian. Bagaimanapun Tamin tidak ditemui di situ.
Hampir saja saya putus asa kerana tidak dapat mencari Tamin. Dalam keadaan demikianlah saya
membacakan Surah Waddhuha untuk membuka jalan supaya pandangan saya tidak dilindungi oleh
makhluk-makhluk halus. Bagi memudahkan lagi saya terus membesarkan diri hingga melangkaui pokok-
pokok besar yang tinggi.

Ketika inilah saya nampak seorang budak lelaki terselit di celah dahan pokok petai. Saya camkan betul-
betul memang benar itulah budak yang sedang dicari. Dari segi akal memang mustahil bagaimana Tamin
yang baru berumur 10 tahun itu boleh memanjat pokok yang dianggarkan lima pemeluk. Pokok itu pula
terlalu tinggi yang dahannya yang paling bawah sekali sama tingginya dengan pucuk kelapa saka.
Bayangkanlah bagaimana budak tersebut boleh sampai di celah dahan pokok petai itu, yang saya
anggarkan kira-kira lebih 30 kaki tingginya.

Setelah saya cam semua pedoman di kawasan pokok petai itu, saya pun balik semula. Apabila saya
terjaga Sonok suami isteri sudah duduk berdepan dengan saya. Tidak sabar-sabar lagi dia mahu
mengetahui sama ada saya sudah berjumpa atau belum anaknya.

Beberapa kali saya menggelengkan kepala. Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya lihat.
Bagaimanapun saya terus memberitahu mereka apa yang telah saya lihat.

"Dah kau pagar tempat tu?" tanya Aki Sahak.

Saya menganggukkan kepala.

"Budak tu dia tak dapat ambil lagi" Aki Sahak menghela nafas. "Jadi, kalau mahu malam ni juga kita cari,
kalau tunggu besok takut terjatuh pula budak tu. Maklumlah penjaga tak dapat masuk dekat lagi" kata
Aki Sahak merenung muka Sonok.

"Eloklah malam ni juga kita ke situ" sahut Pak Jeli lelaki tua yang mula-mula menegur tatkala saya
sampai tadi. Dia ialah ayah Siti iaitu bapa mertua Sonok. Rupanya dia ini seorang bomoh juga di
kampung itu. Walaupun dia seorang bomoh tetapi tidaklah dia merasa irihati dengan usaha-usaha yang
kami buat.

Memang ada cerita mengatakan seseorang bomoh itu akan marah apabila ada orang lain mahu
menunjukkan kepandaian melebihi dia. Tetapi itu adalah tanggapan saja. Seorang bomoh yang
bertanggungjawab tidak akan menghalang orang lain melakukan sesuatu untuk menolong pesakitnya,
malah dia sendiri akan sama-sama membantu mengikut kemampuannya.

Pak Jeli sendiri mengakui ilmu bomohnya tidak sampai kepada kekuatan doa-doa yang menggunakan
ayat-ayat Quran ini. Selama ini dia sendiri memang mengakui akan kebolehan Aki Sahak.

Kira-kira 10 orang jiran ikut sama dengan Sonok menuju ke tempat yang saya katakan seperti yang dapat
saya lihat tadi. Di antaranya ialah Tapa Sungkur yang biasa memanjat pokok petai. Sengaja Tapa Sungkur
menawarkan diri setelah mendengar keterangan saya bahawa Tamin dibawa ke atas pokok yang tinggi.

Saya dan Aki Sahak juga ikut sama. Malah Pak Jeli sendiri sanggup ikut sama. Maklumlah Tamin itu cucu
kesayangannya. Kami masuk ke hutan melalui kebun getah di hujung kampung dengan membawa suluh
andang dari daun nyiur kering. Pak Jeli membawa lampu suluh enam sambung yang digunakan untuk
menyuluh musang.

Disebabkan Tapa Sungkur yang selalu masuk ke hutan dialah yang berjalan di hadapan sekali. Manakala
saya berjalan di belakang sedikit tetapi tidaklah jauh dari Tapa Sungkur, kerana pedoman sebenarnya
menuju ke tempat yang hendak dicari ialah di dalam ingatan saya.

Apabila masuk ke kawasan hutan saya seolah-olah hilang pedoman. Tidak dapat hendak dicari tempat
yang saya lihat melalui tidur tadi. Mungkin keadaan malam terlalu gelap menyebabkan kami tidak dapat
mencari arah. Tapa Sungkur juga sudah berpusing membawa kami sampai ke pinggir anak air, tetapi
paya yang dicari tidak juga bertemu.

"Kalau paya bukan di sini agaknya" Pak Jeli bersuara di belakang. "Yang aku tau kawasan paya di sebelah
baruh kebun getah tadi. Nampaknya kena berpatah balik kita....." ujarnya meragui jalan yang dibawa
oleh Tapa Sungkur.

"Di situ mana ada pokok petai" laung Tapa Sungkur meyakinkan Pak Jeli jalan yang dituju sekarang
adalah betul. "Di situ pun tak ada belukar rotan......" katanya menambah.

"Eloklah kita tengok dulu....." sahut Pak Jeli mencadangkan.

"Jangan gopoh-gopoh" Aki Sahak cepat-cepat mencelah. Dalam usaha demikian tidak boleh berbantah-
bantah. Kerja berbantah-bantah itu memang kerja syaitan untuk melalaikan insan sehingga kerja-kerja
yang mahu dilakukan tidak berhasil. "Kita tak boleh gopoh-gopoh, semuanya mesti bersabar. Ikut dulu
ke mana hala yang diingatkan oleh ustaz tu tadi" ujarnya keras sedikit.

Pak Jeli tidak menyahut. Tapa Sungkur juga diam. Mereka tidak mahu menyinggung perasaan Aki Sahak.
Selama ini memang Aki Sahak menjadi tumpuan penduduk-penduduk kampung berhampiran di daerah
itu. Kadangkala mereka kecewa mahu mendapatkan khidmat Aki Sahak kalau ada orang-orang dari
Karak di Pahang memanggilnya. Atau orang-orang dari Segamat dan Tampin juga.

"Saya cuma agak-agakkan aje Aki" tiba-tiba Pak Jeli menjelaskan dari belakang. Bimbang juga dia kalau-
kalau Aki Sahak tersinggung dengan sikapnya cepat sangat menyalahkan Tapa Sungkur menunjukkan
jalan.

"Tak baik berbantah-bantah" ujar Aki Sahak mengingatkan sambil berdehem-dehem macam kahak
tersangkut di tekak. "Dengar dulu apa cakap ustaz, dia yang dapat mengagak jalannya" katanya
termengah-mengah menyusur lereng bukit.

Pak Jeli terus mendiamkan diri. Dia juga termengah-mengah menyusur lereng bukit kerana banyak akar-
akar pokok besar menungkal. Malam bertambah gelap di dalam hutan demikian. Ketika ini sudah lebih
pukul 12 malam. Bunyi kuang sayup-sayup di balik bukit diselang-seli bunyi ngiang-ngiang cengkerik
bersahutan.

Saya berhenti sejenak di atas akar kayu menungkal sambil mendongak ke atas. Melihatkan saya berhenti
mereka semua pun ikut sama berhenti. Aki Sahak pun sudah sampai di belakang saya.
"Nanti dulu Tapa..." Aki Sahak memanggil apabila Tapa Sungkur yang di depan mahu meneruskan
perjalanan. Tapa Sungkur berpatah balik ke belakang mendapatkan saya.

Perlahan-lahan saya membaca Surah Waddhuha bagi mendapatkan semula pedoman jalan menuju ke
pokok besar yang kami cari. Selepas membaca tiga kali Surah Waddhuha saya dapat melihat dengan
jelas paya di bawah lereng bukit. Paya itulah tidaklah buyau, tetapi cuma tanah pamah yang ditumbuhi
pucuk-pucuk paku.

"Cuba ikut ke bawah ni Tapa" saya memuncungkan bibir ke bawah lereng bukit.

Tapa Sungkur terus melompat mencari jalan untuk ke seberang tanah pamah tadi. Sonok mengekorinya
dari belakang. Manakala saya berjalan di belakang Sonok dan diikuti oleh Aki Sahak serta Pak Jeli. Jiran-
jiran yang lain semuanya berjalan di belakang.
Memang betul sebaik melepasi saja kawasan tanah pamah itu kami menemui belukar rotan yang padat.
Tidak ada lorong mahu menembusi belukar ini. Kami terpaksa berlegar-legar mencari jalan untuk naik ke
bukit di sebelahnya.

"Bangsat...!" saya terdengar Pak Jeli merungut. "Orang di sini nak cari geruh rupanya. Tahulah aku!
Tahulah aku! Ustaz ni akan ajar kau. Aku bawa ustaz ni untuk ajar kau...!" dia menggertap bibir. Sebaik
saja ke kawasan di situ Pak Jeli sudah dapat menangkap gangguan tersebut, kerana dia memang pun
seorang bomoh.

"Dia nak merasa penangan Aki Sahak dengan ustaz dengan Pak Jeli, biarkan!" gerutu Tapa Sungkur
terkial-kial mahu mencari jalan melepasi belukar rotan yang padat.

"Jangan gempur dia dulu Jeli..." kata Aki Sahak mengingatkan. "Kita jumpa anak Sonok dulu dan kita
bawa balik, lepas tu baru gempur" ujar Aki Sahak selanjutnya.

Dia bimbang Pak Jeli tidak sabar bila menghadapi suasana demikian. Disebabkan dia seorang bomoh
tentulah dia tidak peduli apa lagi bila mahu menentang makhluk-makhluk halus demikian. Kadangkala
tindakan demikian boleh membahayakan orang yang sedang diganggu oleh syaitan tersebut. Orang
demikian sudah tidak ada semangat lagi, kerana sudah dikuasai oleh makhluk-makhluk halus. Kalau
tersilap langkah sukar untuk memulihkan semula semangatnya.

"Jangan gempur dulu Jeli!" ulangi Aki Sahak.

"Iyalah Aki..." sahut Pak Jeli. "Saya serahkan pada Aki dan ustaz saja. Saya bantu dari belakang" jelasnya.

Puas berlegar-legar kami sampai ke kawsan belukar bemban. Dari sanalah Tapa Sungkur membelok ke
kanan mencari pokok besar seakan-akan pokok petai yang saya sebutkan itu. Sebaik saja melepasi
belukar bemban itu barulah kami bertemu sebatang pokok besar terpencil dari pokok-pokok yang lain.

"Aki..." Pak Jeli menarik bahu Aki Sahak. Tangannya menyuluh ke atas dengan lampu picit sambung
enam. "Itu Aki, tengok tu, tengok" katanya bergetar menggertap bibir.

Kami semua nampak Tamin di atas pokok tersebut. Bagaimanakah cara mahu memanjat ke atas
sedangkan pokok itu terpencil di situ. Kalau ada anak-anak kayu bolehlah memanjat mengikut anak-anak
kayu. Manakala Tamin pula berpaut pada dahan yang di atas sekali.

Bagaimanakah Tamin boleh sampai ke atas pokok demikian besar? Sedangkan orang-orang dewasa pun
tidak tahu bagaimanakah caranya mahu naik memanjat memandangkan pokok itu tidak dapat dipeluk.
Demikianlah perlakuan mahkluk-makhluk halus yang tidak dapat kita lihat melalui pancaindera biasa,
kecuali melalui makrifat. Tentulah kerjanya membawa Tamin ke atas pokok tersebut.

Disebabkan kami sudah tahu bahwa Tamin berada di atas pokok yang tinggi, maka kami memang sudah
membawa persediaan yang cukup seperti tali serta kapak. Dengan perkakas-perkakas demikian
mudahlah Tapa Sungkur mahu memanjatnya.

Mula-mula Tapa Sungkur menakik pokok itu dibuat bertangga bagi memudahkan kakinya berpijak. Tali
dililitkan sekeliling pokok dan dengan ini boleh memautkan pinggangnya di celah tali tersebut. Sedikit
demi sedikit dia menakik pokok dengan kapak, sedikit demi sedikit dia naik ke atas. Sehinggalah Tapa
Sungkur berjaya memanjat naik, timbul juga masalah bagaimana mahu menurunkan Tamin.

Dia tidaklah pengsan atau tidak sedar diri. Tetapi seperti orang kebingungan tidak tahu apa-apa pun
berlaku ke atas dirinya. Bila dipanggil namanya dia menyahut. Sebaliknya kalau ditanya yang lain-lain dia
hanya menggeleng kepala atau mengangguk saja.

Tali yang dibawa pula tidak cukup panjang untuk membolehkan Tapa Sungkur menbawa Tamin turun.
Kami semua menjadi hilang akal. Adalah satu perkara mustahil untuk membawa seorang kanak-kanak
berumur 10 tahun turun dari pokok demikian tinggi. Kalau silap-silap berpaut mungkin dua-dua sekali
terjun ke bumi.

Setelah puas memikirkan cara untuk menurunkan Tamin, akhirnya Pak Jeli sudah tidak sabar lagi. Saya
lihat dia menggertap bibir menahan perasaan marahnya.

"Aki, sekarang biar giliran saya dulu" katanya memandang Aki Sahak.

"Silakan..." sahut Aki Sahak perlahan.

"Ustaz, tadi giliran ustaz. Sekarang biar saya pula" Pak Jeli menoleh kepada saya pula.

"Silakan Pak Jeli" kata saya.

Itulah baiknya bila kita ramai. Mungkin salah seorang dari kita mempunyai kelebihan dari satu segi, dan
lemah dari segi lain. Manakala dari segi yang lemah itu, orang lain pula mempunyai kelebihan.
Demikianlah antara saya, Pak Jeli dan Aki Sahak ketika ini.

Aki Sahak dan Pak Jeli memerlukan saya untuk mencari di manakah Tamin dilarikan oleh syaitan. Tetapi
dalam kelam kabut untuk membawa Tamin turun dari pokok mungkin Pak Jeli lebih berpengalaman dari
Aki Sahak dan saya sendiri. Di sinilah pentingnya kami semua berpadu tenaga.

"Tapa..." laung Pak Jeli di dalam gelap malam yang sepi itu. Suaranya bergaung ke balik bukit. "Tapa,
turun dulu. Biarkan dia di situ. Turun kau dulu..." dia menyeru Tapa Sungkur supaya turun.
"Turun dulu Tapa" Aki Sahak juga memanggilnya. "Biar Jeli pula naik. Jeli sendiri nak naik" laungnya dari
bawah.

Terpaksalah Tapa Sungkur turun dengan hampa. Ketika ini sudah lebih pukul tiga pagi. Tamin masih juga
belum dapat dibawa turun.

"Setahu saya kawasan ni tak ada pokok petai" keluh Tapa Sungkur sebaik saja dia sampai ke bawah.
Hairan juga dia dari mana datangya pokok petai di situ. Kawasan hutan di situ semuanya sudah dalam
kepala Tapa Sungkur. Dia sudah mahir di mana selekohnya, di mana pokok petainya, di mana rotannya.
Cuma dia satu-satunya yang selalu mencari petai di situ.

Sebaik saja Tapa Sungkur sudah turun, Pak Jeli terus mengelilingi pokok petai berkenaan. Kemudian dia
menampar perdunya tiga kali. Ketika ini Aki Sahak membisikkan kepada saya supaya membantu Pak Jeli.
Apabila saya dan Aki Sahak sudah terpaksa mengambil keputusan menggempur bersama Pak Jeli, cuma
kami bertiga sajalah dapat berhubung antara satu sama lain.

Saya dengan Aki Sahak memang mempunyai cara yang sama, tetapi Pak Jeli berlainan sedikit.
Bagaimanapun kami masih dapat bekerjasama. Sementara jiran-jiran yang sama ada di situ hanya
melihat kami bertiga dari mata kasar saja. Oleh itu mereka melihat hanya Pak Jeli berkeliling pokok,
sementara saya dan Aki Sahak berdiri memejamkan mata. Pokok petai yang tersergam di depan kami
sudah bertukar menjadi lembaga hitam yang tinggi. Pak Jeli juga sudah berdiri sama tinggi dengan
lembaga hitam berkenaan.

"Awak rupanya ye!" jerkah Pak Jeli lalu menampar muka lembaga hitam itu tiga kali. "Awak tak tau ke,
bukankah cucu kawan yang awak larikan tu" dia bercekak pinggang mencabar lembaga hitam itu
seterusnya.

Lembaga hitam itu cuba menyiku Pak Jeli, tetapi dengan pantas kakinya menyepak pada bahagian dada.
Tamin masih juga dikepitnya di celah ketiak.

"Sekarang serahkan cucu aku!" suara Pak Jeli keras mengancam lembaga hitam tersebut.

"Aku tahu asal kau jadi, orang memburu sesat di hutan asal kau jadi" bentak Pak Jeli bertambah marah.

"Awak jangan cari geruh Jeli..." jerkah lembaga hitam itu. "Awak dapat sahabat baru, sahabat lama dah
lupa. Tak mengenang budi awak ni Jeli!" katanya menyindir.

"Kawan tak peduli." sahut Pak Jeli. "Kalau awak tak serahkan cucu kawan, bertempurlah kita. Belum
tentu siapa yang geruh" Pak Jeli teru menyepak dagu lembaga hitam itu.

DIa tetap berkeras tidak mahu melepaskan Tamin yang dikeleknya.

Seperti yang saya katakan Pak Jeli mempunyai cara bomohnya. Dia terpaksa menentang lembaga hitam
setinggi 30 kaki dengan kekuatan tenaganya sendiri. Manakala saya dan Aki Sahak tidak menentang
dengan kekuatan secara makrifat, tetapi dengan ayat-ayat Quran saja.

"Wallauanna Quranna Suyirat bihhil jibalu.." saya membaca doa lalu menghembuskan dari jauh. Serta
merta terpancar kilat dengan petir memukul kepala lembaga hitam itu.
Saya lihat Aki Sahak menghembuskan ayat, "Lanarjumannakum..." sekaligus memancar panah api
menyinggahi tubuh lembaga hitam itu.

"Ampun.." teriaknya merintih. "Belum pernah kawan jumpa ilmu macam ni tinggi. Ampun...Jeli, minta
sahabat baru awak tu, jangan seksa kawan macam ni. Kita bersahabat lagi Jeli" ujarnya merayu-rayu
meminta belas kasihan.

"Baru awak tau, siapa sahabat kawan!" ejek Pak Jeli sambil menampar muka lembaga itu tiga kali lagi.

"Cukuplah Jeli, cukuplah" rayu lembaga itu lagi.

"Sekarang, serahkan cucu aku!" bentak Pak Jeli menyepak betis lembaga itu pula.

"Kalau awak nak berlawan, satu sama satu Jeli..." dia mencabar Pak Jeli setelah panah api tidak
mengancamnya lagi.

"Awak pun kalau nak berlawan, serahkan cucu kawan dulu" sahut Pak Jeli semakin berang. "Kalau awak
berani, dengan kawan, jangan dengan cucu kawan" Pak Jeli terus menyerbu menyiku rusuknya.

Lenbaga hitam itu terhuyung-hayang akibat disiku oleh Pak Jeli. Tetapi dengan pantas dia cuba
membalas dengan menampar Pak Jeli. Bagaimanapun Pak Jeli sempat mengelak. Sekali lagi Pak Jeli
menendang dada lembaga hitam berkenaan.

"Bukankah kawan dah cakap, awak tak dapat mengalahkan kawan, bangsat puaka hutan jembalang
tanah" Pak Jeli menggertap bibir. "Sekarang lepaskan cucu aku!" jerkahnya.

Lembaga itu mengejek dengan ketawa. Dia tetap tidak melepaskan Tamin dari keleknya. Ketika ini
orang-orang yang ada di bawah pokok hanya mendengar Pak Jeli berbantah-bantah dengan Tamin di
atas pokok. Suara Tamin bergaung sampai ke bawah.

"Lepaskan cucu aku!" bentak Pak Jeli lagi.

"Awak kata kuat, cubalah ambil sendiri..." lembaga hitam itu tertawa mengejek.

Kemudian saya lihat Pak Jeli menerkam garang mahu merampas Tamin dari kelekan lembaga hitam itu.
Mereka bergomol menunjukkan kehandalan masing-masing. Ketika ini juga Aki Sahak membacakan
sesuatu doa lalu menghembuskan ke arah lembaga hitam tersebut. Sekaligus api dari segenap penjuru
menyerbu ke arah lembaga hitam.

Terjerit-jerit dia menahan kesakitan. Tetapi Aki terus meniup ke arahnya. Saya juga mengulangi
beberapa ayat lain bagi membantu Pak Jeli yang membuat serangan.

"Hazihi jahannamullati kuntum tu'adun..." saya menghembuskan ke arahnya. Serentak dengan itu petir
dan kilat memancar menerkam ke kepala lembaga hitam.
"Jeli, kau berani kerana sahabat-sahabat kau membantu" rintih lembaga hitam itu gementar. "Ilmu
sahabat-sahabat kau terlalu tinggi. Belum pernah aku menentang ilmu yang demikian tinggi..." katanya
merayu supaya tidak diserang lagi.

Bagaimanapun Aki Sahak tetap tidak mempedulikan rayuan lembaga hitam ini. Memandangkan Aki
Sahak terus menentang, saya juga tidak berhenti dari meneruskan serangan. Asap berkepul-kepul
meliputi lembaga hitam setinggi 30 kaki itu akibat tubuhnya terbakar. Dengan yang demikian dapatlah
Pak Jeli merampas semula Tamin dari bawah kelek lembaga itu. Sebaik saja Tamin berada dalam tangan
Pak Jeli, lembaga hitam itu terpelanting jauh dihembus oleh Aki Sahak. Dia menjerit-jerit kesakitan
ketika melayang ke udara ditiup oleh Aki Sahak.

Apabila keadaan pulih semula kami pun baliklah membawa Tamin yang masih dalam kebingungan. Kira-
kira hampir jam 6.00 pagi barulah kami semua sampai di rumah Sonok. Terasa mengantuk betul mata
akibat keletihan dan tidak tidur semalaman.

Semasa dalam perjalanan balik itu sempat Tapa Sungkur bercerita mengenai apa yang dilihatnya.
Katanya dia hairan bagaimana Pak Jeli yang sudah berumur itu boleh memanjat pokok petai yang tinggi
macam beruang memanjat pokok saja. Dia tidak perlu menggunakan apa-apa, seolah-olah kaki dan
tangannya melekat pada pokok berkenaan.

Semasa dia membawa Tamin turun dari pokok mudah saja kepadanya seperti menjinjing kapas. Inilah
yang menghairankan jiran-jiran yang menyaksikan Pak Jeli menyelamatkan cucunya Tamin.

"Kalau macam tu bolehlah ajak Pak Jeli cari petai ke hutan" Tapa Sungkur mengusik.

"Bukan selalu boleh buat macam tu..." cepat-cepat Sonok mencelah bila mengenangkan bapa
mertuanya boleh memanjat pokok setinggi 30 kaki macam berjalan di atas tanah saja. "Hanya masa-
masa tertentu saja dia boleh lakukan macam tu. Kalau saja-saja nak tunjuk mampus tak dapat" katanya
menerangkan.

"Iya, ini bukan barang permainan..." Aki Sahak pula bersuara keras. "Jangan heboh-hebohkan sangat apa
yang kamu lihat tadi. Kalau boleh perkara di pokok tadi, biar habis di pokok saja" dia mengingatkan
supaya keanehan yang dilihat sebentar tadi tidak diceritakan kepada orang-orang kampung yang tidak
ikut sama.

Saya juga setuju dengan Aki Sahak. Perkara yang berlaku ke atas Pak Jeli yang dilihat boleh memanjat
pokok setinggi 30 kaki seperti berjalan di atas tanah, bukanlah satu pertunjukkan sarkas. Ianya
digunakan pada masa yang diperlukan saja.

Walaupun Tamin dapat dibawa balik tetapi keadaannya masih belum pulih. Semangatnya masih dikuasai
oleh lembaga hitam yang melarikannya. Sebab itu dia masih dalam keadaan kebingungan, tidak tahu apa
yang terjadi ke atas dirinya.

Disebabkan saya tidak boleh lagi menunggu lama di rumah Sonok, saya pun segera balik ke rumah. Lagi
pun saya terpaksa bertugas. Bayangkan bagaimana mahu bertugas dalam masa mata terlalu mengantuk
tidak tidur semalaman. Perkara mengubati Tamin saya serahkan pada Aki Sahak dan Pak Jeli saja.
3. TOK AWANG NGAH - HANTU BOTAK DALAM LOMBONG

BARU saja saya meneguk kopi di rumah Aki Sahak, dua orang lelaki tiba-tiba memanggilnya dari tengah
halaman. Aki Sahak ini memang kenal baik dengan Pak Tua Mahat saya. Sebab itulah dia juga sangat
menghormati saya.

Dua orang lelaki itu saya lihat dalam keadaan cemas. Tetapi dia tidak terus memberitahu tujuan
kedatangannya. Mereka berdua seolah-olah terkejut melihat saya ada di rumah Aki Sahak. Mungkin saya
orang baru di situ, dan mereka menyangka saya juga datang meminta pertolongan dari Aki Sahak.

Memang ramai orang dari kampung-kampung jauh datang ke kampung tempat Aki Sahak tinggal ini.
Mereka tahu Aki Sahak selalu dicari orang kerana mahu berubat. Sudah lebih dua puluh tahun Aki Sahak
pindah ke kampung tersebut apabila berkahwin dengan isterinya Makda Saodah.

"Apa halnya?" tanya Aki Sahak.

"Adalah sikit perkaranya Aki..." sahut salah seorang darinya.

"Emm, kalau iya pun naiklah dulu" pelawanya sambil undur sedikit dari muka pintu.

Dua orang lelaki itu naik ke rumah. Mereka duduk bersebelahan dengan saya. Saya menghulurkan
tangan kepada mereka berdua.

"Mat Deh..." ucap saya ketika bersalaman.

"Sali" sahut lelaki yang duduk berhampiran dengan saya tersenyum. Kami mengangguk tanda mula
berkenalan.

"Saya Tonel" seorang lagi memperkenalkan diri.

"Mat Deh ni orang kampung aku..." Aki Sahak menerangkan kepada mereka. "Sengaja datang nak
jenguk-jenguk aku. Kebetulan pula dia baru tukar kerja ke sini" ujarnya lalu memanggil isterinya supaya
membawakan dua buah cawan lagi.

Tidak lama kemudian Makda Saodah keluar membawakan dua buah cawan kosong. Dia menuangkan
kopi lalu menghulurkan kepada dua orang lelaki tadi.

Kami tidak banyak berbual. Sali dan Tonel kelihatan resah saja hendak memberitahu sesuatu. Seolah-
olah kehadiran saya di situ mengganggu mereka hendak bercakap kepada Aki Sahak.

"Cakaplah, apa halnya?" kata Aki Sahak setelah masing-masing terdiam.

"Begini Aki..." jelas Sali tergagap-gagap. "Anak Bang Amud di baruh jatuh lombong, sampai sekarang tak
jumpa" dia terus memberitahu perkara yang sebenar tujuan kedatangan mereka.

"Huss, mcam mana boleh jatuh lombong?" Aki Sahak macam terkejut.
"Mandi dengan kawan-kawannya. Tiba-tiba dia tenggelam, sampai sekarang tak jumpa" Tonel pula
menerangkan.

Aki Sahak terdiam. Saya lihat dia merenung sesuatu yang sukar hendak dilihat dengan mata kasar.

"Banyak sangat dia nak korban. Bulan dulu lelaki tua, sekarang ni pula kanak-kanak, huss...!" Aki Sahak
mendengus macam menyimpan dendam.

Dengan tidak banyak bicara saya dan Aki Sahak terus mengikut dua lelaki tadi menuju ke lombong yang
dikatakan. Saya dapati sudah ramai orang berkumpul di tepi lombong. Penyelam-penyelam yang
didatangkan dari bandar juga sudah silih berganti menyelam ke dalam air.

Semua penyelam itu memberitahu susah mahu melihat ke dalam air kerana terlalu keruh. Sebaliknya
orang-orang kampung sudah tidak sabar lagi. Budak yang mati lemas di dalam lombong itu sepatutnya
sudah ditemui. Lombong itu bukanlah luas sangat. Tetapi bagaimana pula mayat budak itu tidak ditemui
lagi?

Ada juga setengah pihak mencadangkan supaya menunggu saja sampai mayat tersebut timbul.
Kononnya kalau mayat mati lemas ianya akan timbul apabila perut sudah kembung dipenuhi air. Tetapi
sejak dari tenggelamnya kira-kira pukul 10 pagi, sehingga jam 5.30 petang mayat berkenaan tidak juga
timbul.

Ketua Kampung Pak Semail sudah berbincang dengan ketua penyelam-penyelam itu supaya diusahakan
secara tradisional untuk menemui semula mayat budak tersebut.

Sebaliknya ketua penyelam-penyelam itu seorang lelaki India menolak kemahuan Ketua Kampung Pak
Semail. Dia tetap berpendapat kegagalan usaha menemui mayat budak yang tenggelam itu disebabkan
air lombong terlalu keruh. Abang Amud yang dikatakan oleh Sali tadi, iaitu ayah kanak-kanak berkenaan
sudah mula tidak yakin lagi anaknya boleh ditemui.

Dia tahu anaknya sudah mati lemas. Tetapi mengapa mayat anaknya tidak timbul ke permukaan air?
Kalaulah hendak dikatakan tenggelam dalam lumpur adalah mustahil.

Kemudian saya nampak Aki Sahak menarik bahu Abang Amud ke satu tempat yang jauh dari orang ramai
berkumpul. Saya tidak tahu apakah yang dikatakan oleh Aki Sahak kepadanya. Saya bersama Sali dan
Tonel asyik memerhatikan penyelam-penyelam silih berganti menyelam ke dalam lombong.

Sehingga jam 7.00 malam anak lelaki Abang Amud tidak juga ditemui. Ketua penyelam itu memberitahu
orang-orang kampung kerja menyelam itu ditangguhkan hingga ke esok harinya. Mereka tidak dapat lagi
menyelam disebabkan hari semakin gelap.

Penghulu Mukim yang ikut menyaksikan peristiwa tersebut cuba mententeramkan keluarga Abang
Amud. Dia nasihatkan supaya keluarga Abang Amud bersabar hingga besok paginya. Bagaimanapun
penyelam-penyelam itu tetap berkhemah di tepi lombong untuk memudahkan kerjanya pada esok pagi.

Tidak lama selepas penyelam-penyelam itu menangguhkan kerja-kerja menyelam, saya nampak Aki
Sahak bersama Pak Semail menghampiri Penghulu Mukim yang baru saja mahu meninggalkan tempat
itu. Entah apa pula dicakapkan oleh Aki Sahak kepadanya tidak pula saya ketahui. Cuma dalam samar-
samar senja saya lihat Penghulu Mukim terangguk-angguk kepala saja. Sekali-sekali dia tersenyum
sambil menepuk-nepuk bahu Aki Sahak.

Dalam masa saya asyik memerhati Aki Sahak bersama Pak Semail bercakap-cakap dengan Penghulu
Mukim, tiba-tiba Abang Amud datang menepuk bahu saya. Dia tersengih-sengih saja menjabat tangan
saya. Sali dan Tonel yang ada bersama lalu memperkenalkan kami.

"Aki Sahak dah beritahu tentang Mat Deh ni..." kata Abang Amud masih dalam keadaan rusuh. "Jadi,
saya nak minta tolonglah pada Mat Deh. Tolong benar-benarlah Mat Deh..." ujarnya dengan penuh
harapan.

"Eh, tolong apa ni?" sahut saya tersengih-sengih juga.

"Janganlah berdalih lagi Mat Deh. Saya minta tolong benar-benar ni. Aki Sahak minta saya sendiri
sampaikan kepada Mat Deh" Abang Amud mendesak.

Saya menjadi serba salah dengan permintaan Abang Amud itu. Saya berpaling ke arah Aki Sahak. Dia
bertiga dengan Penghulu Mukim dan Pak Semail datang menghampiri saya.

"Kalau boleh tolonglah apa-apa pun Mat Deh..." Penghulu Mukim menghulur tangan kepada saya.
Cepat-cepat saya menyambut tangan Penghulu Mukim.

Belum sempat saya menyahut Aki Sahak sudah menyuruh saya diam. Aki Sahak meminta saya
membantunya dalam usaha mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam itu.

"Lombong ni bukannya sungai. Kalau sungai bolehlah kita kata budak tu hanyut. Tentu ada sesuatu yang
menyorokkan..." demikian Aki Sahak menerangkan kepada orang-orang kampung yang berkumpul di
tepi lombong. Penyelam-pemyelam yang bertugas juga ada sama menyaksikan. Mereka juga tidaklah
membantah bila Aki Sahak menawarkan diri untuk menolong kerana mereka sudah pun mengambil
keputusan menangguhkan kerja-kerja menyelam.

"Perlukah bara api dan kemenyan?" soal Abang Amud.

"Tak payah. Ini bukan kerja asap kemenyan. Saya dan Ustaz Mat Deh ni tahulah nak buat macam
mana..." Aki Sahak memberi jaminan. Sedangkan saya kebingungan dengan keputusan Aki Sahak. Saya
tidak tahu bagaimanakah cara mahu menolongnya.

Tetapi saya tidak berani untuk bertanyakan kepadanya. Lagipun dia berkali-kali menyebut fasal Pak Tua
Mahat iaitu bapa saudara saya yang sudah lama meninggal dunia. Dia memberitahu tentang Pak Tua
Mahat pernah memberitahu dia mengenai diri saya.

"Kita buat Mat Deh, kita buat kerana Allah" Aki Sahak berbisik kepada saya.

Sebelum memulakan rancangan Aki Sahak itu kami semua menunaikan fardhu Maghrib terlebih dahulu.
Selesai sembahyang Maghrib barulah Aki Sahak menerangkan bahawa dia mahu menidurkan saya.
Barulah saya faham bahawa cara menidurkan orang satu cara perubatan yang memang pernah diajar
oleh Pak Tua Mahat kepada saya, tetapi jarang saya amalkan.
Saya pun bersetujulah untuk membantu Aki Sahak. Saya sendiri yang akan ditidurkan, dan rawan (yakni
roh sewaktu kita tidur) saya sendiri yang dikeluarkan mencari budak tersebut disembunyikan.

Bagi orang-orang yang tidak memahami mungkin merasa pelik bagaimanakah cara demikian boleh
dilakukan. Tetapi bagi mereka yang sudah mempelajari Usuluddin tidak ada apa yang hendak dipelikkan.
Di sini saya tidak mahulah menerangkan, tetapi eloklah sesiapa yang ingin mengetahuinya bertanyalah
kepada ahli-ahli Usuluddin.

Dipendekkan cerita, dibentangkanlah tikar di bawah sepohon pokok. Sali yang masih mempunyai air
sembahyang diminta oleh Aki Sahak berdiri di belakang saya untuk menyambut tubuh saya apabila
rebah ke belakang.

Segala apa yang hendak dilakukan oleh Aki Sahak itu memang saya sudah ketahui. Sebenarnya Aki Sahak
juga tahu bahawa saya boleh tidur sendiri dengan tidak payah dipandu olehnya, tetapi saya sendiri
berkehendakkan dia mengawas saya kalau-kalau apa yang saya hadapi nanti sukar dilawan.

"Mulakan zikir..." bisik Aki Sahak.

Saya hanya tersenyum. Kerana apa yang dicakapkan oleh Aki Sahak itu bukanlah ditujukan kepada saya.
Aki Sahak memang dapat merasa diri seseorang itu sama ada berzikir atau tidak.

Dalam beberapa saat saja saya merasakan dunia menjadi gelap. Hanya saya dengar suara Aki Sahak saja
memerintahkan saya supaya terus berzikir. Ketika ini saya merasakan diri saya melayang ke udara.
Apabila Aki Sahak menyuruh melihat diri sendiri, saya nampak tubuh saya terbaring di atas tikar.

"Sekarang kamu cari di mana anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong ni pagi tadi" suara
Aki Sahak begitu jelas kedengaran ke telinga saya.

Dengan tidak bertangguh saya rasakan diri saya terus masuk ke dalam air lombong. Semuanya gelap
gelita tidak kelihatan apa-apa. Kemudian saya dengar Aki Sahak menyuruh saya membacakan Surah
Waddhuha. Setelah saya bacakan ayat berkenaan semuanya menjadi terang benderang.

Ketika ini saya nampak di tengah lombong satu lembaga manusia yang duduk bersila di tengah dasar
lombong sambil meriba budak lelaki.

"Dah jumpa" bisik saya perlahan sambil memerhatikan kelakuan lembaga tersebut.

Saya berligar-ligar di dalam air itu mahu menghampiri lembaga yang duduk bersila di tengah dasar
lombong sambil meriba budak lelaki. Tiba-tiba dia berpaling memerhati ke arah saya. Matanya kelihatan
merah menyala-nyala seperti puntung api.

"Lepaskan budak tu..." perintah saya mengancam lembaga tersebut. Tetapi dia tidak menghiraukan
saya.

Saya terus memberi isyarat supaya dia melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya. Memang
saya tahu budak tersebut tidak boleh diselamatkan lagi, tetapi tidak patut puaka air itu tidak mahu
lepaskan. Kalau puaka air itu berkeras saya sudah merasakan geruh telah menanti.
Sama ada saya akan menerima geruh atau sebaliknya adalah kuasa Allah saja. Tetapi puaka air itu tetap
jenis syaitan yang menjadi musuh semua anak Adam. Syaitan juga mempunyai ilmu yang hebat kalau
anak-anak Adam tidak mempunyai cukup persediaan.

"Lepaskan!" perintah saya lagi mengancam lembaga botak itu. "Budak ini mengganggu anak cucu aku
bermain" sahut lembaga botak itu menyahut cabaran saya.

"Aku cakap lepaskan!" saya terus memberi amaran. "Mana budak tu tau anak cucu kau bermain. Kau
tubuh halus, kenapa tak menyisih semasa budak tu mandi di sini" ujar saya mengingatkan.

Lembaga botak itu tetap menggelengkan kepala. Dia berkeras tidak mahu melepaskan mayat anak
Abang Amud.

"Lanarjumannakum walayamassannakum minna azabun 'alim..." saya menghembus perlahan-lahan ke


arah lembaga tersebut. Setiap kali saya menghembuskan nafas berpuluh-puluh anak panah dengan api
menyala menjunam ke tubuh lembaga botak itu.

Saya nampak lembaga botak itu menggeliat-geliat setiap kali anak panah berapi itu singgah ke tubuhnya.
Dia menjerit-jerit sambil meronta meminta saya berhenti membacakan ayat tersebut.

"Ampun minta maaf kami. Ampun..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan. "Kami tahu awak
anak buah Tok Pawang Mahat. Kami tahu, tapi janganlah seksa kami macam ni" dia merintih-rintih.

"Kalau kau tak mahu dipanah dengan api, lepaskan budak tu" perintah saya lagi.

Lembaga itu tidak menyahut. Dia hanya terkial-kial merintih meminta belas kasihan dari saya. Untuk
menguji sama ada dia benar-benar mahu mengaku kalah, saya cuba berhenti dari berzikir.
Sebaik saja saya berhenti berzikir tiba-tiba dia melontarkan sesuatu ke arah saya. Berdecap rantai besi
memukul kepala saya. Belum sempat dia mengulangi untuk melemparkan rantai besi itu ke arah saya,
cepat-cepat saya menguatkan zikir di dalam hati saya.

"Wah, kau nak main-main ye. Kau nak duga aku, kau nak duga!" saya mengherdik.

Dalam keadaan ini saya mendengar suara Aki Sahak membisikkan kepada saya, "Allahu Akhbar". Lantas
saya mengucapkan Allahu Akhbar tiga kali, kemudian menghembuskan ke arah lembaga botak itu.

Seluruh kawasan lombong itu bergegar bagaikan ditimpa letusan gunung berapi. Tubuh lembaga botak
itu berputar-putar seperti debu ditiup angin. Dia melolong-lolong meminta saya berhenti dari
mengucapkan Allahu Akhbar.

"Minta ampun kami, minta ampun..." dia merintih-rintih menahan gegaran yang menggoncangkan
seluruh kawasan lombong.

"Sekarang lepaskan budak tu! Lepaskan anak Abang Amud. Budak tu dah mati lemas, tak ada guna kau
sorokkan dia" jerkah saya mengancam.

"Tolonglah berhentikan dulu gegaran ni" katanya merayu-rayu.


Apabila saya berhenti menghembuskan nafas, gegaran itu berhenti. Dia tercongok semula di tengah
dasar lombong meriba mayat anak Abang Amud. Saya lihat dia merintih-rintih seperti orang menahan
seksaan yang berat.

Tetapi dia tetap berdegil tidak mahu mengalah. Dalam keadaan tergigil-gigil menahan kesakitan itu
lembaga berkenaan tidak juga melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya.

"Kalau kau berdegil aku bakar kau lagi" tegas saya mengingatkan.

"Nantilah dulu tunggu sampai kami puas bermain-main dengan budak ni" dia tersenyum mengerling ke
arah saya seolah-olah mahu mengejek.

"Nampaknya awak tak serik!" bentak saya. "Kami tak mahu lawan ustaz. Kami nak bermain-main dulu
dengan budak ni" ujarnya ketawa kecil.

"Kalau nak bermain kenapa tak main dengan anak cucu kau. Mau tak kalau aku ambil anak cucu kau
buat mainan?" saya cuba mengujinya.

"Apa salahnya kalau ustaz nak bertukar-tukar..." dia semakin galak ketawa.

Ketika ini saya terdengar suara Aki Sahak mengingatkan supaya syaitan jangan dilayan. Memang syaitan
sengaja melalaikan kita dengan janji-janji kosongnya. Sebab itu kalau berhadapan dengan syaitan jangan
lagi dilayan bercakap. Teruskan saja menyerang sampai dia tidak dapat bertahan.

Saya tahu memang syaitan tidak boleh dilayan. Tetapi saya cuma mahu menduga saja. Saya mahu tahu
sejauh mana permainan puaka air yang menjelma sebagai lembaga botak itu.

Sebaliknya Aki Sahak mahu saya bertindak cepat. Mungkin orang ramai yang berkumpul di darat sudah
tidak sabar lagi menunggu. Segala pertelingkahan saya dengan lembaga botak itu memang dapat
didengar dengan jelas oleh mereka. Bagi orang-orang yang tidak mengetahui seperti penyelam-
pemyelam yang ada di situ, mungkin mereka merasakan saya sedang merepek atau bercakap sendirian.
Atau bercakap untuk memperolok-olokkan orang ramai saja.

Tetapi kuasa Allah itu tidak dapatlah hendak saya tunjukkan kepada sesiapa. Kecuali mereka yang
memahami dan mempelajarinya saja. Pengalaman yang sedang saya lalui itu hanya boleh diketahui oleh
mereka yang mengetahui tentang ilmu Allah saja.

"Panah saja dengan lanarjumannakum..." bisik Aki Sahak. Saya mendengar suara Aki Sahak sayup-sayup
dari permukaan air. "Besarkan tubuh kamu, kerana roh manusia boleh membesar tidak ada had" kata
Aki Sahak.

Saya menarik nafas. Ketika ini saya nampak dengan jelas tubuh saya menjadi besar berkali-kali ganda.
Lantas saya tangkap tengkuk lembaga botak itu.

"Lepaskan" perintah saya keras.


"Ampun..." sahut lembaga botak tergigil-gigil. "Taubat, kami tak buat lagi. Kami akan lepaskan budak ni"
katanya gementar. Tetapi dia tetap meriba budak itu.

"Walauanna quranna suyyirat bihiljibalu..." saya berdoa dengan khusyuk dan taqwa kepada Allah. Lalu
saya hembuskan ke kepala lembaga botak itu. Kepala itu menjadi hancur seperti debu berterbangan.
Jeritannya bergema ke segenap pelusuk. Hanya saya saja yang dapat mendengar jeritannya yang
menggema itu. Kalaulah semua orang yang berkumpul di tepi lombong itu dapat mendengarnya,
tentulah mereka sedar betapa besarnya kuasa Allah.

Hanya ayat-ayat Allah saja dapat menghancur-leburkan segala gangguan syaitan. Malah ayat-ayat yang
dibacakan setiap hari sewaktu menunaikan fardhu sembahyang itu boleh menggegarkan jantung
syaitan. Sekiranya mereka dapat melihat bagaimana terancamnya syaitan dengan ayat-ayat Allah itu,
sudah tentu mereka insaf dengan diri mereka.

Inilah yang berlaku ke atas lembaga botak jelmaan dari puaka air itu. Dia tidak dapat menyembunyikan
dirinya apabila dibacakan Surah Waddhuha. Kemudian seluruh anggotanya menjadi debu bila dibacakan
ayat-ayat Quran. Kalaulah dengan ayat-ayat Quran gunung boleh dihancur-leburkan, apa sangatlah
kepada Allah kalau mahu meleburkan makhluknya seperti syaitan itu.

Sebaik saja tubuh lembaga botak itu berkecai menjadi debu, mayat anak Abang Amud itu terlepaslah
dari ribaannya. "Sudah dilepaskan mayat budak tu, kejap lagi timbullah" saya memberitahu Aki Sahak.
"Baiklah sekarang masuk semula ke dalam tubuh kamu, dan buka mata" saya dengar Aki Sahak memberi
arahan. Perlahan-lahan saya masuk ke tubuh yang terbaring. Kemudian semuanya menjadi gelap.
Apabila saya buka mata semua orang masih mengelilingi saya.

Tatkala saya mahu duduk, terdengar dua tiga orang memekik dari tepi lombong, "Itu dia, itu dia...mayat
budak tu dah timbul di tengah lombong" kata mereka kegembiraan.

Tiba-tiba saya tergamam bila Abang Amud memeluk leher saya. Terasa air matanya hangat menitis di
atas bahu saya.

Ketika ini orang ramai sudah mula menarik jenazah anak Abang Amud ke tepi. Ketua penyelam itu
segera mendapatkan Penghulu Mukim, dan dia sibuk menyediakan laporan mengenai gerakan mencari
mayat budak tersebut. Di samping itu dia juga telah melaporkan ke ibu pejabatnya mengenai kejayaan
menemui mayat itu.

Penyelam-penyelam itu juga mengambil keputusan untuk membatalkan perkhemahan di situ, di


samping mahu membawa jenazah berkenaan ke hospital terlebih dahulu. Sementara Abang Amud
membantah tidak mahu lagi jenazah anaknya dibawa ke hospital.

Setelah Penghulu Mukim memberi jaminan kepada Abang Amud bahawa mayat anaknya tidak akan
dibedah apabila dibawa ke hospital, barulah Abang Amud setuju. Saya juga nasihatkan Abang Amud
supaya bekerjasama dengan penyelam-penyelam tersebut kerana terpaksa membawa jenazah anaknya
ke hospital terlebih dulu sebagai urusan rasminya.

"Mereka juga bersusah payah menolong Abang Amud" kata saya mententeramkan Abang Amud.
"Ah, dia nak cari nama je..." rungut Abang Amud mendongkol fasal Ketua Penyelam itu pada mulanya
tidak mahu kerjasama dari Aki Sahak.

"Mereka juga sama berpenat lelah" Aki Sahak juga meningatkan dia.

"Dia datang kerana tugas, sebab itu dia perlukan bawa jenazah budak ni ke hospital. Biarlah tugasnya
selesai..." Penghulu Mukim memujuk Abang Amud.

Malam itu juga jenazah anak Abang Amud dibawa ke hospital. Sementara Penghulu Mukim sendiri
mengikutnya bagi mengelakkan dilakukan pembedahan ke atas mayat berkenaan. Kira-kira pukul 2.00
pagi barulah jenazah itu dapat dibawa balik ke rumah.

Semasa orang-orang kampung berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah
anaknya, satu bunyi menggerunkan kedengaran dari arah lombong. Bunyi itu bergaung kuat seperti air
disedut. Sali merapati saya dan bertanyakan apakah bunyi yang kedengaran dari lombong tersebut.

Saya sendiri tidak tahu apakah harus dijawab. Sebenarnya saya tidak tahu mengenai latar belakang
kampung tersebut. Tentulah saya tidak tahu kejadian yang berlaku ke atas anak Abang Amud. Hanya
beberapa minggu sebelum itu seorang pengail tua mati lemas di lombong berkenaan.

Sali bertanyakan kepada saya kerana disangkanya saya dapat melihat semua keadaan di dalam lombong.
Memanglah sukar bagi saya mahu menerangkan kepada Sali bagaimana saya melihat lembaga botak di
dalam lombong tadi, tetapi bukannya melihat semua penjuru yang terdapat di dalam lombong.

Bunyi bergaung macam air disedut itu berulang kali semakin kuat. Saya juga terkejut dengan bunyi yang
menggerunkan itu. Saya lihat Aki Sahak melelapkan mata menggunakan makrifat mahu mencari punca
bunyi tersebut.

"Nampaknya dia nak minta geruh juga" bisik Aki Sahak. Mukanya kelihatan garang seperti menghadapi
musuh di hadapan.
Saya merasakan bulu roma saya tegak. Ini bukanlah bererti saya bimbang menghadapi gangguan syaitan,
tetapi secara automatik apabila zikir dikuatkan di dalam hati, bulu roma mudah saja tegak. Apalagi
tatkala mengetahui akan gangguan syaitan.

"Kalau dia nak geruh, kita bagi geruh!" sahut saya macam mencabar lawan.

"Ini geruh lain yang dipintanya" kata Aki Sahak menggertap bibir. "Dia nak minta aku sendiri. Laknat...!"
kemarahan terbayang pada wajah Aki Sahak.

Ketika ini jenazah anak Abang Amud belum sampai lagi ke rumah. Kira-kira dalam pukul 12.30 tengah
malam. Bunyi bergaung macam air disedut itu cukup jelas kedengaran kepada orang ramai yang
berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah.

"Kalau begitu kita mesti ke hospital" Sali mengesyorkan. "Mana tahu kalau diganggunya pula jenazah
budak tu" dia kelihatan cemas menghadapi suasana demikian.

"Nanti dulu..." ujar Aki Sahak.


"Selalukah bunyi macam tu kedengaran?" tanya saya pada Sali

"Tak pernah..." katanya menggelengkan kepala. "Seumur hidup saya tak pernah dengar bunyi macam
tu" jelasnya semakin bertambah bimbang.

"Macam mana?" Aki Sahak pula bertanya kepada saya. "Aki dah biasa di sini, terpulanglah pada Aki"
sahut saya perlahan.

Saya tahu Aki Sahak mahukan buah fikiran saya bagaimana mahu menghadapi keadaan selanjutnya.
Cuma saya dan Aki Sahak saja yang tahu mengenai hantu botak jelmaan puaka air itu. Sebab itu dia
bertanyakan kepada saya, kerana jenis puaka air ini sama juga dengan syaitan yang mesti dimusuhi oleh
anak-anak Adam.

Dari Kak Liah isteri Abang Amud kami diberitahu mengenai lombong itu adalah bermula dari sungai mati
iaitu teluk sungai yang terputus apabila sungai menjadi lurus. Kata Kak Liah nenek moyang Abang
Amudlah yang menjaga lombong berkenaan.

Semasa arwah ayah Abang Amud masih hidup dia sering membuat ancak sebagai makanan kepada
penunggu di situ. Dia melakukannya adalah mengikut seperti mana dipesankan oleh ayahnya pula.
Mereka turun temurun membuat ancak di tepi lombong setahun sekali dengan meletakkan ayam
separuh masak di situ.

Tetapi setelah kedatangan Aki Sahak ke situ, Abang Amud datang belajar agama dari Aki Sahak. Sejak itu
dia tidak pernah lagi melakukan kerja-kerja memberi makan penunggu. Seperti yang diceritakan oleh
Kak Liah, sejak beberapa keturunan Abang Amud lombong itu memang sudah ada di situ. Lombong itu
berasal dari sungai mati seperti yang disebutkan tadi.

Lama kelamaan lombong berkenaan menjadi besar. Ikan banyak di situ. Ketika ini Pak Jarak merupakan
pengail di kampung tersebut. Dari Pak Jarak inilah asal usul keturunan Abang Amud kemudiannya. Tiap-
tiap hari Pak Jarak mengail tetapi tidak dapat ikan. Mahu menjala dia tidak berani masuk ke tengah
disebabkan lombong itu dalam. Kalau mahu menjala dari tepi saja mungkin tersangkut pada akar-akar
kayu.

Satu hari ketika hujan turun renyai-renyai Pak Jarak nampak seekor ular besar berlingkar di atas
sebatang kayu yang melintang di tengah lombong. Ketika dia ternampak ular ini mata kailnya direntap
ikan. Tetapi sayangnya mata kail dia tersangkut di dalam air. Pak Jarak menjadi serba salah sama ada
mahu turun ke air melepaskan mata kailnya yang tersangkut atau membiarkannya begitu saja. Kalau
mahu turun ke air dia bimbang akan ular besar yang berlingkar di tengah lombong berhampiran denagn
tempatnya menghulur joran kail.

Dalam keadaan serba salah ini satu lembaga botak muncul di depannya. Lembaga botak ini pula berpaut
pada hujung ekor ular tadi.

"Jarak...!" lembaga botak ini menegurnya. "Awak mengail di sini tak minta kebenaran kawan. Lombong
ini kawan yang punya..." katanya mengingatkan.

"Mana aku tau awak yang punya" sahut Pak Jarak memberanikan hati. Sedikit sebanyak dia juga
memang pawang terkenal di kampung itu.
"Kawan tak mahu awak mengail lagi di sini!" kata lembaga botak itu memberi amaran.

"Aku tak peduli..." sahut Pak Jarak tersinggung dengan sikap lembaga botak berkenaan. "Selama ini
rupanya kaulah yang menyebabkan aku tak dapat ikan" jerkahnya lalu menghunus parang.

Pantas dia mencacakkan mata parang ke tanah, sambil membaca jampi serapah seperti yang pernah
dituntutnya. Lembaga botak itu menjadi marah lantas melontar Pak Jarak dengan rantai besi. Pak Jarak
menepisnya sambil menghentakkan tumit tiga kali ke bumi.

Lembaga botak itu terhuyung hayang bagaikan dadanya kena hentak dengan tumit.

"Kalau awak berkeras juga..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan di dadanya. "Kawan balas
dendam pada anak bini awak. Anak bini awak pun selalu mengail ke sini!" katanya mengancam.

Pak Jarak menjadi serba salah. Dia tahu puaka air itu tidak dapat melawan dia, bagaimanapun
dendamnya tetap membara. Mungkin anak atau isterinya akan diganggu apabila datang ke lombong
tersebut. Dia tidak boleh menegah isteri atau anaknya supaya jangan mengail di situ kalau tidak
bersebab. Dia juga tidak boleh memberitahu mereka tentang apa yang dilihatnya sekarang.

"Jadi awak nak apa?" soal Pak Jarak bercekak pinggang.

"Lebih baik kita bersahabat" sahutnya tegas.

Tawaran puaka air itu mudah saja diterima oleh Pak Jarak. Ilmu kebatinannya yang dituntut selama ini
memberi kesan juga. Bukan mudah mahu bersahabat dengan puaka air, seperti juga bersahabat dengan
hantu raya dan lain-lain. Syarat bersahabat pun memang dia tahu. Dia perlu memberi makan sahabatnya
itu setahun sekali iaitu seekor ayam panggang masak mentah, bertih dan darah ayam berkenaan.

Setelah bersahabat dia boleh mengarahkan puaka air itu mendapatkan apa saja keperluannya. Dia juga
boleh mendapatkan pertolongan menentang musuh-musuhnya kalau perlu apabila sudah bersahabat.

"Kalau kau mahu bersahabat, apa salahnya" ujar Pak Jarak lalu mencabut parangnya. Dia memulangkan
semula rantai besi yang dilemparkan oleh puaka air ke arahnya tadi. Di situlah mereka berteguhan janji
sebagai sahabat.

"Ingat, kau jangan ganggu anak cucu dan keturunan aku!" katanya meminta janji. "Baiklah..asal saja kita
tak putus sahabat" balasnya.

Selepas itu ular yang berlingkar di atas batang melintang di tengah lombong itu menyelam semula ke
dalam air bersama lembaga botak yang berpaut pada hujung ekornya. Kemudian Pak Jarak merentap
kailnya dan dapatlah ikan kelah sebesar daun keladi.

Tiap-tiap hari bila dia mengail sentiasa dapat banyak ikan. Bagaimanapun kalau hari hujan panas dia
melarang anak cucunya bermain di tepi lombong itu. Siapa yang mengail ketika itu disuruhnya balik.
Apakah rahsia hujan panas itu tidak pernah diberinya tahu kepada anak cucunya.

"Macam itulah ceritanya..." jelas Kak Liah pada saya.


"Kalau begitu..." bisik saya pada Sali. "Mari kita ke baruh tengok apa yang ada di lombong sekarang" kata
saya mengajaknya.

Aki Sahak juga membenarkan saya pergi melihat apakah sebenarnya yang berlaku di lombong. Dia
sendiri menunggu di situ saja. Kemudian saya dan Sali terus menuju ke baruh. Sali membawa lampu picit
dan berjalan di depan. Saya mengekorinya dari belakang.

Ketika sampai di lombong suasana di situ terlalu gelap. Kami menyusup di celah-celah teberau untuk
memerhatikan lebih dekat apakah yang sebenarnya berbunyi. Sali sendiri tidak pernah lagi mendengar
bunyi tersebut. Memang bunyinya sungguh menggerunkan.

Saya menyuruh Sali memadamkan lampu picit terlebih dulu. Oleh itu kami terpaksa merempuh belukar
teberau itu dalam keadaan gelap gelita. Sebaik saja sampai di tebing lombong, terdengar bunyi
bergaung itu seperti air disedut.

Tidak ada apa-apa yang kelihatan walaupun bunyinya terlalu hampir dengan kami. Sali terdiam tidak
bercakap apa-apa. Saya tahu dia benar-benar dalam ketakutan.

"Jangan-jangan naga tak ustaz?" bisiknya gementar.

"Entahlah" jawab saya, kerana cerita naga ini tidak terlintas langsung di kepala saya.

"Sebenarnya inilah lombong yang dipanggil orang lombong guntung" beritahunya perlahan dalam
keadaan cemas. "Kalau hari hujan panas pernah orang nampak ular besar timbul di tengah lombong"
katanya tidak pernah renggang dari saya.

"Kau pernah nampak?" tanya saya menduga.

"Tidak.." katanya sambil memerhati ke tengah lombong.

"Pernah mengail?" soal saya lagi.

"Ada juga.." jelasnya. "Kadangkala menjala juga dengan orang kampung" dia menerangkan selanjutnya.

"Tak ada pula jumpa ular?" saya kehairanan dengan keterangan dia.
"Selalunya Abang Amud bakar kemenyan barulah orang berani mencari ikan" Sali menceritakan kepada
saya latar belakang sebenarnya lombong guntung itu. Mengapakah dipanggil lombong guntung Sali juga
tidak tahu, kononnya nama itu sudah ada sejak turun temurun.

Saya hanya mengangguk-angguk saja mendengar cerita Sali. Mungkin orang bandar mengatakan itu
sebagai tahyol, tetapi bagi saya bukannya perkara mustahil. Di dalam Quran pun ada disebutkan tentang
peranan syaitan yang menjadi musuh setiap insan.

Syaitan yang nyata ialah perbuatan seseorang insan itu, tetapi syaitan yang tidak nyata adalah makhluk
halus yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera. Bagaimanapun apakah caranya saya hendak
menerangkan kepada Sali tentang puaka air yang disebutkan tadi.
Memang cerita Kak Liah itu juga dianggap tahyol. Tetapi apa yang diceritakan oleh Kak Liah, sudah dapat
saya lihat sendiri melalui makrifat yang dilakukan oleh Aki Sahak. Itulah lembaga botak yang dikatakan
pernah ditemui oleh Pak Jarak.

Sayangnya Pak Jarak cuma mempunyai ilmu pawang, bukannya ilmu agama. Maka dia telah menerima
syaitan menjadi sahabatnya. Sepatutnya seseorang insan tidak boleh menjadikan syaitan itu sahabat,
sebaliknya mestilah menggunakan syaitan itu sendiri untuk melawan syaitan yang lain.

Sebenarnya kita boleh menggunakan syaitan, tetapi jangan biarkan diri kita digunakan oleh syaitan. Cara
bersahabat yang dibuat oleh Pak Jarak, memang selalu digunakan oleh pawang-pawang di masa lalu.
Cara bersahabat ini secara tidak langsung telah menjadikan diri kita dipergunakan oleh syaitan.

Insan berhak memerintah syaitan seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam.
Dan ilmu syaitan tidak akan dapat mengatasi ilmu insan seperti diterangkan dalam Quran mengenai
Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam. Tatkala Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam mahukan istana Puteri
Ratu Balqis dipindahkan dan dibawakan kepadanya, jin Afrit yang merupakan syaitan paling tinggi
ilmunya telah menyahut seruan Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam berjanji akan membawa istana Balqis
sebelum sempat Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam bangun dari duduk.

Tetapi seorang insan telah menyahut dengan berjanji akan membawa istana Balqis sebelum sempat
mata Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam berkedip. Ini menunjukkan ilmu syaitan tidak akan dapat
menandingi ilmu insan. Jadi, mengapakah kita mengambil jalan bersahabat dengan syaitan?

Hal ini susah saya hendak terangkan kepada Sali.

Lama saya dan Sali berdiri di tepi tebing lombong itu, tetapi tidak ada lagi bunyi menggerunkan seperti
tadi. Kalau ada bunyinya saya akan menyuruh Sali menyuluh, walaupun saya tahu kalau disuluh pun
tentulah tidak akan kelihatan apa-apa.

"Dah tak ada bunyinya.." keluh Sali pendek.

"Pukul berapa sekarang?" saya bertanya. Sali menyuluh jam tangannya "Dekat pukul dua..." beritahunya
perlahan.

"Kita balik dulu..." ujar saya menepuk bahunya. "Kalau ada lagi bunyinya, esok kita ajak Aki Sahak
kerjakan" terus saya tolak dia suruh berjalan di hadapan.

Sali tidak menyahut. Dia memasang lampu picit semula merempuh belukar teberau. Ketika berdiri di
tebing lombong itu sempat juga saya membaca Ayatul Kursi sebanyak 133 kali. Sepanjang perjalanan
balik itu tidak ada pun kami dengar bunyi macam air disedut itu lagi.

Semasa kami sampai di halaman rumah Abang Amud itulah, jenazah anaknya baru sampai dibawa balik
dari hospital.
4. TOK AWANG NGAH - PAK KAMAT MENUNGGANG HARIMAU

SUDAH lama saya tidak balik ke kampung. Kalau tidak ada hal mustahak memang jarang saya balik.
Lagipun ayah saya sering mengirim surat memberitahu khabar berita di kampung. Bagaimanapun dalam
bulan Ogos 1975 saya balik juga menemui kedua orang tua. Tergerak saja hati saya mahu balik menemui
mereka.

Ketika saya balik emak saya masih dalam kesedihan. Heran juga saya mengapa emak dalam kesedihan
kerana semasa mengirim surat ayah saya tidak ada memberitahu apa-apa tentang berita tidak baik.

Rupanya emak bersedih disebabkan dua ekor lembunya mati. Seekor lembu dara tengah naik tubuh dan
seekor lagi induk lembu sudah dua kali beranak. Inilah yang menyedihkan emak saya. Dia memang
sayang pada binatang-binatang ternakannya. Emak pernah sugul sampai dua minggu kerana kucing
kesayangannya mati ditetak orang dengan parang.

Sempat kucing itu balik ke rumah dengan belakangnya terbelah akibat ditetak dengan parang. Emak
terpaksa membasuh luka kucing itu dan dibubuh ubat. Bagaimanapun dua hari kemudian kucing
tersebut mati juga kerana lukanya sudah berulat.

"Kalau jual lembu tu tak kurang dari tujuh ratus ringgit seekor" ujar emak masih dalam kesedihan. "Tapi,
bukan duitnya yang kita kenang. Mengapa orang sampai hati menganiaya binatang" tegas emak terharu
dengan nasib yang menimpa binatang ternakannya.

Misalnya kucing kesayangan dia yang ditetak dengan parang itu. Apalah dosa kucing itu sampai
tergamak tangan manusia menetaknya dengan parang. Di manakah letaknya perikemanusiaan sebagai
makhluk yang termulia dijadikan Allah sehingga sanggup melakukan perbuatan yang lebih hina dari
seekor haiwan.

"Lembu tu kena racun ke?" tanya saya perlahan.

Emak tidak menjawab. Dia masih menahan kesedihan akibat kematian dua ekor lembu itu. Memang
emaklah yang mengembala lembu tersebut. Emak ada memelihara enam ekor lembu. Dia tidak
melepaskan lembunya seperti kebanyakan lembu yang diternak di kampung kami. Emak hanya
menambatkan saja lembunya di tengah sawah kami yang tidak dapat dikerjakan kerana tidak dapat
bekalan air secukupnya.

Tengahari emak akan mengembala lembu-lembunya ke sungai untuk diberi minum. Kemudian ditambat
semula. Dalam satu hari itu emak perlu mengalihkan lembu tiga empat kali saja ditambat ke tempat
yang ada kawasan rumput. Jadi, adalah mustahil boleh termakan racun lembu-lembu berkenaan.

"Boleh jadi Cina meracun di kebun pisang agaknya" saya mengagak kalaulah benar lembu-lembu itu
termakan racun. "Kadangkala bekas dia meracun tu boleh membahayakan kalau tak dicuci bersih" jelas
saya lagi.

"Racun apa...?" ayah saya mendengus. "Dua gulung kawat mata punai sebesar tekoh dalam perutnya"
beritahu ayah saya terbatuk-batuk.
"Kawat mata punai...?" saya keheranan.

"Orang Jabatan Haiwan yang belah perut lembu-lembu tu. Mereka tunjukkan kawat mata punai tu" kata
ayah saya menahan perasaan terharu bila mengenangkan peristiwa tersebut.

Itulah yang mengherankan emak saya. Semasa dimasukkan ke dalam kandang emak dapati semua
lembunya sihat petang tersebut. Malamnya, ketika ayah saya membetulkan unggun api, tidak ada
tanda-tanda mencurigakan ke atas semua lembunya. Esok paginya apabila ayah saya mahu ke kebun
dilihatnya seekor lembu sudah terkinjal-kinjal.

Ayah saya cuba memulihkan dengan cara mendoakan pada garam. Tetapi dia tidak berjaya. Sebab itulah
ayah saya terus memberitahu Pejabat Haiwan Daerah. Kalau tidak dapat dipulihkan pun, boleh juga
dijual ke pasar sekiranya pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada penyakit.

Ketika ayah saya membawa Pegawai Pejabat Haiwan seekor lagi lembunya tergolek. Sempatlah ayah
saya menyembelih kedua-dua ekor lembu tersebut. Pihak Pejabat Haiwan mendapati tidak ada apa-apa
penyakit. Untuk mempastikan sama ada termakan racun atau tidak maka mereka pun membelah perut
lembu tersebut.

Alangkah terperanjatnya mereka mendapati segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam
perut lembu itu. Kedua-duanya terdapat segulung seekor yang sama besarnya. Setelah disahkan tidak
ada termakan racun, daging lembu dijual di pasar borong saja seratus ringgit seekor.

Tidakkah mengherankan bagaimanakah segulung kawat mata punai sebesar tekoan air boleh terdapat di
dalam perut lembu. Kalau pun lembu makan menelan seperti ular tentu tidak tertelan kawat mata punai
seperti itu. Apa lagilah lembu makan mengunyah.

Tetapi bila memikirkan tentang kekuasaan Allah, maka tidaklah mengherankan. Allah Maha Pemurah
lagi Maha Mengasihani, tentulah apa saja permohonan dari makhluknya hatta dari syaitan pun akan
dimakbulkanNya.

"Subhanallah..." keluh saya apabila mendengar cerita dari ayah saya.

"Ah, siapa lagi, tentu orang tu yang punya kerja" ujar isteri pula geram.

"Jangan menuduh!" ayah saya mengingatkan. "Kita tak boleh menuduh, kerana kita tak tau" jelasnya
perlahan.

Isteri saya terdiam. Dia sendiri tidak dapat mengawal perasaan bila mendengar cerita tadi. Sudah
kerapkali saya ingatkan dia supaya tidak mengesyaki orang apabila menerima satu-satu musibah.
Serahkan saja pada Allah menentukan yang hak dan yang batil.

"Mujur kena pada binatang" emak saya pula bersuara. "Kalaulah terkena pada manusia.." keluhnya
terasa ngeri. Memang ngeri kalaulah segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam perut salah
seorang keluarga saya. Ini bukanlah kerja syaitan, tetapi kerja manusia yang diperalatkan oleh syaitan.
Lama saya terdiam memikirkan apakah tujuan mereka melakukan kerja demikian. Apakah yang
menyebabkan orang sakit hati kepada keluarga kami sampai sanggup membuat kerja-kerja yang tak
berfaedah. Takdirnya salah seorang keluarga saya menderita akibat perbuatannya, apakah faedah yang
mereka perolehi?

Disebabkan fikiran mereka tidak sampai ke situlah maka mereka tergamak melakukannya. Mujurlah
Allah masih memberikan pertolongan kepada hambaNya yang lemah. Allah menggelincirkan matlamat
orang yang mempunyai perasaan irihati itu dan menyebabkan lembu menjadi sasaran. Sudah tentulah
matlamat awalnya ialah dua orang dari keluarga saya.

"Dia nak tujukan pada ayah dan kau..." beritahu ayah saya apabila emak dan isteri saya sudah masuk ke
dalam.

Saya hanya mengangguk-angguk saja.

Ini adalah sebahagian dari dugaan kepada mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah. Musuh sentiasa
berada di sekeliling pinggang. Kebanyakan musuh-musuh itu adalah terdiri dari manusia biasa yang
diperalatkan oleh syaitan. Mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu syaitan sentiasa panas miang seperti
terganggang ke api, apabila terserempak dengan mereka yang mengamalkan ilmu-ilmu Allah.

Sebab itulah mereka tidak senang diam apabila keadaan mereka terancam.

"Kalau kau nak tengok sendiri, cubalah..." ujar ayah saya tersenyum. Saya tahu maksudnya menyuruh
saya melakukan pengubatan cara tidur itu.

"Tak payahlah" sahut saya menyesali kejadian yang menimpa di tengah keluarga saya. "Perkara dah
lepas, sudahlah" ujar saya selanjutnya.

Saya percaya dengan kata-kata ayah saya bahawa ada orang berniat tidak baik kepada diri saya dan ayah
saya. Seperti saya katakan tadi Allah telah menolong hambaNya yang lemah dari dianiaya. Maka itulah
sasaran orang berniat jahat tidak tepat, lalu terkena kepada dua ekor lembu.

Sebenarnya kalau Allah mengizinkan perbuatan mereka adalah tidak mustahil kalau sasarannya
mengenai kami berdua. Ayah saya sendiri pernah menerima akibat dari perbuatan orang yang tidak
menyenanginya. Kisahnya berlaku semasa saya masih kecil lagi dan aruah Tok Aji iaitu tok aki saya masih
hidup lagi.

Di kampung ayah saya dikenali dengan panggilan Bilal Hud kerana dia menjadi bilal di surau kampung
itu. Untuk menyara hidup masa itu ayah saya bekerja mengambil upah membuat kerja-kerja bertukang.
Pak Kamat telah mengajaknya mengambil kontrak mengangkut pasir iaitu menggali sungai untuk
membuat empangan air. Ajakan Pak Kamat ini diterima oleh ayah saya, memandangkan mereka
berkawan baik.

Dari segi umur memang Pak Kamat lebih tua dari ayah saya, tetapi mereka berkawan baik kerana ada
persefahaman. Sebenarnya Pak Kamat merupakan seorang pawang terkenal juga. Seminggu mereka
sama-sama bekerja mengangkut pasir, tiba-tiba hujan panas turun. Pak Kamat mengajak ayah saya
berteduh di bawah rumpun buluh yang berdekatan.
Semasa mereka berteduh di bawah rumpun buluh inilah ayah saya melihat Pak Kamat berdiri secara
tiba-tiba. Pak Kamat mendongak dengan muka meradang. Kemudian segumpal asap berpusar-pusar di
udara lalu tergendeng macam papan liang lahad mahu menyerkup mereka berdua.

Pak Kamat membaca menteranya dan dihembuskan ke arah asap berkepul tergendeng macam papan
itu. Kemudian papan itu berkecai terus membentuk satu lembaga besar seperti orang berdiri
terkangkang. Asap yang berbentuk lembaga orang terkangkang terbatuk-batuk beberapa kali.

"Kau jangan mungkir janji Kamat!" bentak lembaga itu keras.

"Janji apa...?" sahut Pak Kamat mendongak ke langit kerana lembaga itu terlalu tinggi seolah-olah
kepalanya mencecah ke awan. "Kau tau janji kau aje, janji aku kau tak peduli..." dia menggertap bibir.

"Kamat...!" asap berbentuk lembaga menyeru namanya. "Jangan menyesal kemudian" katanya memberi
amaran.

Asap berbentuk lembaga itu hilang kemudiannya. Sebaik saja asap berbentuk lembaga manusia itu
hilang, hujan panas pun berhenti. Pak Kamat pucat setelah diganggu oleh hantu timggi yang menjelma
tiba-tiba.

"Bilal Hud, biarlah kawan balik dulu" katanya perlahan dalam keadaan rusuh. "Kalau awak nak balik
marilah sama, kalau nak habiskan kerja, suka awaklah..." ujarnya semakin resah.

"Biarlah kawan habiskan kerja ni dulu Abang Kamat" sahut ayah saya.

Memang ayah saya tidak mahu kerja bertangguh-tangguh. Kalau boleh dia mahu cepat siapkan. Lagipun
Pak Kamat sudah berjanji membayar wang secara berkongsi mengenai kerja kontrak mengangkat pasir
itu.

Ayah saya pula menjadi kepala (ketua) beberapa orang lagi pekerja di situ. Sebab itu ayah saya tidak
boleh balik bagi mengawasi mereka yang bekerja.

"Kalau begitu biar kawan balik, kawan rasa tak sedap badan" ujar Pak Kamat serba salah mengingatkan
kejadian yang baru menimpa dirinya tadi.

Sebenarnya semasa hantu tinggi menjelma dalam bentuk kepulan asap tadi, tidak siapa pun menduga
ianya sedang berbalah dengan Pak Kamat. Ayah saya sendiri tidak tahu. Begitu juga dengan pekerja-
pekerja yang mengangkut pasir seramai sembilan orang itu, mereka juga tidak tahu kejadian yang
menimpa Pak Kamat sebentar tadi.

Setelah Pak Kamat balik, mereka semua meneruskan kerja menggali sungai dan mengangkut pasir bagi
tujuan membuat empangan air. Projek empangan air itu dibuat zaman penjajah bagi membekalkan air
ke sawah-sawah. Kerajaan orang putih ketika itulah memberikan kontrak tersebut kepada Pak Kamat.

Apabila balik ke rumah Pak Kamat masih tidak dapat melelapkan mata semalaman itu. Walaupun dia
seorang pawang terkenal tetapi keadaan yang dialaminya sekarang sukar untuk diatasi. Sebagai seorang
pawang memanglah caranya bersahabat dengan jenis-jenis syaitan seperti hantu tinggi. Kalau dia tidak
memenuhi kehendak sahabatnya maka dirinya atau keluarganya akan menerima padah.
Dia mesti memenuhi kehendak sahabatnya bagi membolehkan sahabatnya sentiasa mendampingi dia.
Mudahlah dia memenangi hati Tuan Pegawai Daerah mendapatkan kerja-kerja seperti menggali sungai
itu selagi sahabatnya sentiasa berdamping.

Puas dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah tersebut. Kesalahannya pada
sahabatnya kecil saja, tetapi bagi sahabatnya adalah besar. Sebenarnya dia terlupa membuat simah
semasa memulakan kerja seminggu sebelum itu.

Pak Kamat tidak menyembelih kambing sebagai simah dan menyimbahkan darah kambing di kawasan
tempat kerja. Simah inilah kononnya yang dituntut oleh sahabatnya. Apabila dia tidak melakukan simah
maka galang gantinya adalah nyawa manusia. Inilah yang menyulitkan Pak Kamat.

Sudah tentulah korban yang dikehendakinya itu salah seorang dari pekerja di situ. Mungkin ada mala
petaka yang menimpa pekerja-pekerja seramai sembilan orang, sama ada tergelincir mati lemas di
dalam sungai, sama ada terkena cangkul, dan sebagainya. Pak Kamat tidak mahu pekerja-pekerjanya
menjadi mangsa ketika membuat kerja-kerja tersebut.

Esoknya Pak Kamat datang juga ke situ. Dia telah memberitahu ayah saya mengenai masalah dirinya.
Memang kepada ayah sayalah dia meluahkan masalah dia. Sebab itulah persahabatan mereka sangat
baik.

"Susah betul hati kawan Bilal Hud..." keluhnya bila mengenangkan amaran hantu tinggi yang
direnungnya semalam.

"Awak yang salah, adakan hantu dibuat sahabat" ujar ayah saya bergurau. Sebenarnya ayah saya
tidaklah percaya sangat denagn perkara-perkara demikian . Dia hanya menganggap tahyol saja.

"Ini bukan main-main Bilal" tegasnya meyakinkan hati ayah saya.

"Beginilah Abang Kamat..." ayah saya masih juga bergurau kerana disangkanya Pak Kamat terlalu
percaya dengan perkara tahyol. "Kalau dia nak sangat, suruh ajelah jumpa kawan" katanya tersengih-
sengih.

"Awak jangan cakap macam tu Bilal" Pak Kamat mengingatkan. Mukanya menjadi pucat bila
mengenangkan sahabatnya menuntut janji itu. "Kawan bukan cakap main-main. Ini perkara tak boleh
main-main Bilal..." ujarnya.

Ayah saya tetap dengan pendiriannya menganggap tahyol saja perkara-perkara yang dihadapi oleh Pak
Kamat. Dia percaya disebabkan Pak Kamat terlalu percaya kepada tahyollah menyebabkan dirinya
sentiasa dibayangi oleh khayalan tahyol itu.

Bagi Pak Kamat tentulah sukar mahu menerangkannya bila ayah saya tidak percaya akan kata-katanya.

Hari itu sekali lagi hujan panas turun. Semua pekerja berlindung di bawah rumpun aur berdekatan.
Sekali lagi Pak Kamat melihat kepulan asap datang dan terdiri lembaga manusia yang tinggi, kepalanya
sampai mencecah ke awan. Seperti semalam juga lembaga itu datang menuntut janjinya.
Ketika ini Pak Kamat teringat akan kata-kata ayah saya mahu bertemu dengan sahabatnya itu. Tetapi
Pak Kamat tidak sampai hati mahu memberitahu perkara tersebut. Lagipun dia sudah lama berkawan
dengan ayah saya. Hubungan mereka sudah macam adik beradik. Dia tahu ayah saya cuma bergurau
saja semasa bercakap demikian.

"Awak berilah kawan berfikir sehari dua..." Pak Kamat menengadah hantu tinggi yang menjelma dalam
kepulan asap.

"Awak nak suruh Bilal Hud lawan kawan?" jerkah lembaga tersebut marah.

"Heh, awak jangan macam tu!" terkejut juga Pak Kamat kerana lembaga itu dapat mengagak apa yang
tersirat di hatinya.

"Awak jangan nak menipu kawan, Kamat" bentaknya semakin marah. "Fasal Bilal Hud awak lupa beri
kawan makan..." dia mengingatkan Pak Kamat lagi. "Awak jangan mungkir janji, Kamat. Nanti awak juga
yang susah" tegas lembaga itu memberi amaran.

Pak Kamat bertambah gementar. Dia semakin takut mendengar amaran yang diberikan. Selama ini dia
sentiasa mematuhi apa saja kehendak sahabatnya. Dia tahu padahnya kalau membantah.

Memang perkara ini tidak dapat diterangkannya kepada sesiapa saja, kerana pertemuan dia dengan
sahabatnya tidak dapat disaksikan dengan pancaindera biasa. Tentulah semua orang menganggapnya
tahyol belaka, seperti ayah saya menganggap dia.

Bagaimanapun orang-orang kampung heran juga melihat keadaan dirinya. Walaupun umurnya sudah
meningkat lebih lima puluh tahun, tetapi susuk badannya masih tampan. Malah dia kelihatan seakan-
akan sebaya dengan anak lelakinya sendiri yang sudah berumur tiga puluh tahun. Dia juga boleh
mengangkat barang yang berat-berat seperti batang sagu yang tidak dikerat-kerat, kayu tiang jambatan
dan sebagainya.

Kekuatan dan ketampanannya memang mengkagumkan orang. Tetapi orang tidak tahu rahsia di sebalik
kekuatan dan ketampanan dia selama ini.

"Fasal Bilal Hud, awak lupakan kawan!" bentak lembaga tinggi di dalam kepulan asap itu. "Bukan, dia tak
ada kena mengena" Pak Kamat mempertahankan ayah saya.

"Kalau awak tak berkawan dengan dia, tentu awak tak lupa nak beri kawan makan..." katanya
mengingatkan Pak Kamat.

"Tidak, bukan salah dia" ujar Pak Kamat serba salah. "Kawan yang salah. Berilah kawan tempoh berfikir
sehari dua lagi" jelasnya cuba mententeramkan kemarahan sahabatnya itu.

Selepas itu asap berkepul itu hilang dari pandangan mereka yang sama-sama berteduh di bawah
rumpun aur. Mereka tidak sedar bahawa kepulan asap itu ialah jelmaan hantu tinggi yang hanya dapat
dilihat oleh Pak Kamat. Setelah kabus tebal itu hilang, hujan panas juga turut berhenti. Mereka kembali
membuat kerja masing-masing.
Seperti semalam juga Pak Kamat balik dulu kerana tidak sihat badan. Ayah saya terus menggantikannya
mengawas pekerja-pekerja.

"Kalau kawan tak datang esok, awak sajalah teruskan Bilal" pesannya semasa mencapai basikal untuk
balik ke rumah.

"Kalau Abang Kamat tak sihat, berehatlah di rumah dua tiga hari dulu" beritahu ayah saya. Kesihan juga
dia melihat Pak Kamat seperti orang tidak siuman setiap kali hujan panas turun.

Esoknya memang Pak Kamat tidak datang. Ayah saya menjangka tentulah Pak Kamat sakit. Sejak
semalamnya lagi dia sudah melihat Pak Kamat tidak cukup sihat. Mukanya pucat dan sentiasa rusuh
tidak tenteram.

Bagaimanapun kerja-kerja menggali sungai diteruskan juga. Ayah saya mahu kerja-kerja itu disiapkan
seperti yang telah dijanjikan. Paginya apabila dia dan pekerja-pekerjanya sampai di tempat kerja
didapati pasir yang sudah dinaikkan ke tebing semuanya sudah ditolak semula ke dalam sungai.

Pasir sudah bertimbun semula di dalam sungai. Sekurang-kurangnya memakan masa seminggu untuk
mengangkutnya naik ke tebing semula. Bermakna kerja mereka bertambah lewat seminggu.

"Macam mana ni Bilal...?" salah seorang yang bekerja di situ bernama Usin Rimau bertanya. Heran juga
dia bagaimana pasir-pasir tersebut boleh dikaut semula masuk ke sungai. Kalau kerja manusia tentu
sekurang-kurang tiga puluh atau empat puluh orang yang melakukannya.

Ayah saya juga heran. Bagaimanapun dia menyuruh mereka semua mengangkut semula pasir naik ke
tebing.

"Susah kita macam ni, Bilal" kata Usin Rimau lagi.

"Kita buat ajelah kerja kita" ayah saya mententeramkan pekerja-pekerja yang naik radang melihat
keadaan tersebut.

Hari itu mereka terus bekerja seperti biasa. Terpaksa bersusah payah mengangkut semula pasir naik ke
tebing. Sama ada lambat atau cepat siap kerjanya mereka sudah tidak peduli lagi. Tetapi yang bermain
di fikiran mereka siapakah punya angkara yang melakukannya.

Petangnya apabila mereka balik ke rumah semua perkakas-perkakas kerja sepertiu penyodok (spade),
pungkis dan cangkul semuanya dibawa balik . Mereka bimbang orang yang tidak bertanggung jawab
akan datang lagi mengunakan perkakas kerja mereka mengaut semula pasir di tebing ke dalam sungai.

Tetapi anehnya apabila mereka datang lagi esok paginya, semua pasir yang ada di tebing sudah dikaut ke
dalam sungai. Ayah saya mula mengesyaki sesuatu. Tidak mungkin ianya dilakukan oleh manusia. Adalah
mustahil manusia datang pada sebelah malam semata-mata mahu mengaut pasir di tebing dimasukkan
ke dalam sungai.

"Tak apalah petang nanti aku jumpa Pak Kamat" ujar ayah saya kesal dengan kejadian tersebut.
"Lebih baik kita intai saja malam ni Bilal" Usin Rimau mencadang. Geram juga dia kerana ada orang
berani mengganggu kerjanya. Kalau berani mengapa tidak berani melakukan ketika semua pekerja-
pekerja ada di situ. Mengapa mesti bersembunyi kalau mahu tunjuk keberanian?

"Awak semua letih..." ayah saya tidak mahu menyiasatnya. Dia bimbang kalau bertemu dengan orang
yang melakukan tentulah terjadi pergaduhan. Masakan pekerja-pekerja yang sudah berpenat lelah itu
dapat menahan sabar, bila ada orang cuba mengkhianati kerja mereka. "Awak semua letih, buat apa nak
berjaga-jaga malam hari. Ini semua kerja aku dengan Pak Kamat, serahkan saja pada kami" kata ayah
saya meminta Usin Rimau bertenang.

Tempat mereka mengangkut pasir itu memang jauh dari kampung, kira-kira sebatu jaraknya ke pinggir
hutan. Sudah tentulah bukan kerja orang-orang yang tinggal di kampung mahu ke situ semata-mata
mahu mengkhianati kerja mereka. Lagipun siapa orang yang berani memperolok-olokkan kerja Pak
Kamat, kerana mereka semua tahu projek mengangkut pasir itu kepunyaan Pak Kamat.

"Kawan seorang pun sanggup mengintainya, Bilal..." Usin Rimau menggertap bibir sambil menggenggam
hulu parangnya. "Biar malam ni kawan intai, kawan nak lihat jantan siapa berani mengganggu kerja kita"
ujarnya bersemangat.

Semua pekerja-pekerja itu sanggup menyiasat siapa yang mahu melakukan kerja mengaut semula pasir
ke dalam sungai. Mereka serentak bertekad akan menentang musuh yang mengkhianati mereka. Soal
sudah letih kerana bekerja seharian tidak perlu difikirkan. Mereka tidak mahu tenaga mereka menjadi
sia-sia akibat perbuatan orang yang mengkhianat.

Mahu tidak mahu ayah saya terpaksa mengalah. Dia juga bersetuju untuk sama-sama menyiasat. Kalau
kerja manusia, apakah tujuan mereka melakukannya? Siapakah yang menyuruh? Apakah faedahnya?
Adakah mereka mendapat keuntungan apabila mengganggu kerja-kerja tersebut.

Kalaulah kerja itu cepat siap tentu semua orang kampung akan senang. Kerajaan akan membina
empangan batu di situ yang boleh menampung pengairan ke sawah meliputi satu mukim yakni termasuk
beberapa kampung seperti Kampung Tegom, Kampung Gasing, Kampung Cendak, Kampung Lepam,
Kampung Tangah dan Kampung Hilir. Pesawah-pesawah tidak perlu lagi menggunakan empangan papan
menampung air dari anak-anak sungai kecil bagi mendapatkan bekalan air.

Kadangkala terpaksa berkongsi tujuh lapan orang untuk membina empangan papan. Sawah mereka juga
kekurangan air kecuali di bahagian berhampiran dengan anak-anak air. Tetapi rancangan mendirikan
empangan batu itu boleh mengairkan kawasan tinggi, yang selalunya tidak dapat ditanam padi kerana
tidak dapat air. Alangkah baiknya kerja-kerja untuk mempercepatkan pembinaan empangan batu
tersebut.

Sebab itu ayah saya tidak percaya orang-orang dari kampung yang melakukannya. Walau bagaimanapun
kerana Usin Rimau dan kawan-kawannya sanggup menyengkang mata untuk menyiasat, ayah saya juga
bersedia mengikut kemahuan mereka. Di samping itu mereka juga tidak mahu memberitahu Pak Kamat,
kerana orang tua itu masih tidak sihat. Mereka tidak mahu mengganggu Pak Kamat, mana tahu
penyakitnya akan bertambah teruk bila mendengar kejadian yang menimpa pekerja-pekerjanya.

Kira-kira jam 11 pagi hujan panas turun lagi seperti beberapa hari sebelumnya. Mereka semua
berteduhan di bawah rumpun aur yang berhampiran di situ sementara menunggu hujan panas berhenti.
Tidak lama kemudian ayah saya merasa sakit kepala. Dia memberitahu Usin Rimau kepalanya terlalu
sakit bagaikan ditusuk dengan besi tajam. Tiba-tiba saja ayah saya pengsan tidak sedarkan diri
menyebabkan semua pekerja-pekerja kelam-kabut. Sebaik saja hujan panas berhenti Usin Rimau pun
menyuruh kawan-kawannya tinggalkan saja kerja dan membawa ayah saya balik ke rumah.

Sampai di rumah ayah saya masih belum sedarkan diri. Satu hari satu malam keadaannya tetap tidak
berubah. Memandangkan keadaan semakin tenat, nenek saya menyuruh panggilkan saja Pak Kamat.
Cuma Pak Kamat saja di kampung itu yang dikenali sebagai pawang.

"Pak Kamat pun sakit..." beritahu Usin Rimau.

"Kalau begitu panggilkan Mahat" kata nenek saya seterusnya. "Agaknya Mahat boleh mencuba-
cubakan..." jelasnya supaya diberitahu segera Pak Tua Mahat saya, iaitu anak nenek saya yang tua.

Dalam masa Usin Rimau masih teragak-agak mahu memanggil Pak Tua Mahat, Tok Aji pun sampai
bersama nenek saya sebelah ayah. Mereka berdua sudah pun diberitahu mengenai ayah saya yang tiba-
tiba saja pengsan.

"Macam mana anak kita ni besan?" tanya Tok Aji pada nenek saya.

"Entahlah Aji..."sahut nenek saya rusuh. "Kena dekat tempat dia mengangkut pasir itulah. Tak semena-
mena hujan panas kata Usin, lepas tu teruslah dia tak sedar diri" beritahu nenek.

Tidak lama kemudian Usin Rimau pun terus memanggil Pak Tua Mahat. Apabila dia sampai nenek pun
menyuruh Pak Tua Mahat mengubati ayah saya yang terlantar tidak sedarkan diri.

"Pak Aji ada..." kata Pak Tua Mahat perlahan. "Biar saya yang mengikut Pak Aji" jelasnya apabila
mendapati Tok Aji sudah ada di situ.

Heran juga jiran-jiran bila Pak Tua Mahat menyerahkan kepada Tok Aji. Selama ini mereka tahu Tok Aji
hanya seorang guru agama, bukannya dukun yang boleh mengubati orang sakit. Bagi mereka yang
mengubat orang sakit ialah pawang seperti Pak Kamat, dan Pak Tua Mahat yang baru mahu mencuba
menjadi bomoh.

"Pak Aji ni guru saya..." ujar Pak Tua Mahat sambil menepuk bahu Tok Aji. "Biarlah guru mulakan, nanti
saya akan mengikutnya" katanya lagi tersengih-sengih.

Tok Aji tidak menyahut. Dia mengisar punggung mengadapi ayah saya.

Tok Aji membacakan beberapa doa, tetapi keadaan ayah saya tidak juga berubah. Bagaimanapun Tok Aji
tetap bertenang. Tidak ada kekusutan pada fikirannya menghadapi masalah tersebut sekalipun anaknya
sendiri dalam keadaan tenat.

Ayah saya cuma terlentang saja tidak bergerak seperti mayat. Cuma nafasnya saja kencang turun naik.
Emak saudara saya sudah mula mengusap-ngusap kepala saya seolah-olah saya akan ditinggalkan oleh
ayah saya. Mereka menyangkakan tentulah ajal ayah saya sudah sampai.
Kesedihan menyelubungi suasana di rumah itu. Keadaan ayah saya memang bagaikan mayat yang
dibujurkan.

Pada malam kedua ayah saya tidak sedar diri, Pak Tua Mahat pula menggunakan cara tidurnya. Hanya
beberapa minit dia memulakan cara pengubatannya, dia kembali terbangun. Pak Tua Mahat tidak dapat
menyemadikan dirinya untuk melakukan pengubatan cara tidur.

"Tak dapat saya masuk Pak Aji..." beritahu Pak Tua Mahat kecewa.

Tok Aji tidak menyahut. Dia mengeluh pendek melihat keadaan anaknya yang tidak sedar diri. Setelah
berfikir sejenak, Tok Aji pun terus mengambil wuduk. Dia menunaikan solat sunat dua rakaat. Pak Tua
Mahat mengikut apa saja yang dilakukan oleh Tok Aji.

Selesai mereka berdua solat sunat dua rakaat , Tok Aji menyuruh sesiapa yang tidak hafal Yassin
mengambil Surah Yassin dan membacanya beramai-ramai. Ketika ini emak saya sudah menangis
teresak-esak kerana menyangka ayah saya sudah tidak dapat diubat lagi. Ini bererti saat kematian saja
yang ditunggu.

"Apa yang kau tangiskan ni?" Tok Aji memarahi emak saya.

Kemudian Tok Aji mula membaca Yassin bersama jiran-jiran yang berkumpul di situ. Tidak kurang dari 40
orang turut membacakan Yassin. Petangnya pun Usin Rimau sudah membawakan beberapa Surah Yassin
dari surau. Oleh itu apabila Tok Aji mahu membacakan Yassin, mereka semua sudah pun bersedia.

"Kita gempur Mahat..." bisik Tok Aji pada Pak Tua Mahat.

Pak Tua Mahat mengangguk.

Semasa membaca Yassin ini jiran-jiran semuanya melihat Pak Tua Mahat dan Tok Aji kusyuk
membacakan Yassin. Ketika ini mereka berdua sudah meninggalkan tempat duduk, dan melayang-layang
mencari punca yang menyebabkan ayah saya tidak sedar diri.

Selepas selesai membaca Yassin beramai-ramai Tok Aji dan Pak Tua Mahat kelihatan terlalu letih.
Mereka berdua pun tidur seperti tidak bermaya. Sehingga jam 3.00 pagi barulah mereka berdua
dikejutkan oleh emak saya, setelah ayah saya mulai sedarkan diri.

Esoknya, ayah saya terus mengajak Usin Rimau ke tempat mereka mengangkut pasir. Walaupun ditegah
oleh nenek saya kerana dia baru baik dari sakit, tetapi ayah saya tetap berkeras. Dia tidak kelihatan
seperti sakit sekalipun tidak sedarkan diri dua hari dua malam, serta tidak makan dan minum.

Tetapi Tok Aji tidak melarang. Usin Rimau terpaksa juga ikut menemankan ayah saya, kerana dia
bimbangkan keadaan diri ayah saya. Apabila mereka sampai di situ, Usin Rimau terkejut kerana semua
pasir yang dikaut ke dalam sungai sudah diangkutkan semula ke tebing. Kerja mereka selama ini tidaklah
sia-sia.

Setelah ayah saya balik barulah dia menceritakan keadaan dirinya selepas dia sakit kepala. Ketika ini satu
lembaga besar memukul kepalanya dengan kapak menyebabkan dia tersungkur. Bagaimanapun dia
sempat mengingatkan beberapa ayat Quran yang membolehkan dia bangun semula. Dia terpaksa
menentang lembaga itu dengan segala kekuatan tenaga batiniahnya.

Lembaga itu melarikan diri jauh-jauh kerana tidak tertahan dengan serangan ayah saya. Lembaga itu
melemparkan beribu-ribu kapak ke tubuhnya. Ayah saya merasakan kapak tersebut melekat pada
segenap tubuhnya. Tetapi apabila dibacakan ayat-ayat tertentu semua kapak-kapak itu jadi cair.

"Sekarang kau nak kacau kerja aku ye!" ayah saya semakin marah.

"Nyawa kau dalam tangan aku sekarang.." ejek lembaga itu tertawa terbahak-bahak. "Kau jangan cuba
nak melawan" katanya mengancam.

"Nyawa aku di tangan Allah, bukan di tangan kau..." sahut ayah saya lalu menghembuskan ayat
lanarjumannakum. Berpuluh-puluh panah berapi menjunam tidak dapat dielakkannya.

Ketika ini ayah saya nampak Tok Aji datang lalu menampar muka lembaga hitam bertubuh tinggi itu.
Lembaga itu menjadi gerun bila terpandang Tok Aji. Tetapi Tok Aji tidak menyerang berterusan.

"Aku tau, kau nak menguji anak aku. Cubalah!" Tok Aji mengejeknya. "Tapi jangan tunggu sampai aku
sendiri memusnahkan seluruh kaum keluarga kau..." sekali lagi Tok Aji menampar mukanya sampai
lembaga bertubuh hitam itu berguling. Dia tidak berani langsung mengangkat mukanya mengadap Tok
Aji.

Rupanya semasa Tok Aji mengubat ayah saya, dia sudah tahu bahawa ayah saya memang sedang
berlawan dengan lembaga tersebut. Sebab itulah dia bertenang walaupun ayah saya masih belum
sedarkan diri. Mereka menyangka ayah saya tidak sedarkan diri kerana pengsan, tetapi sebenarnya dia
sedang bertarung secara kebatinan.

"Aku takkan lepaskan kau, selagi aku tak tau siapa yang menyuruh kau memukul curi terhadap aku!"
bentak ayah saya melepaskan panah berapi-api.

Tidak lama kemudian Pak Tua Mahat pula datang menyusul. Semasa Pak Tua Mahat sampai, lembaga itu
berteriak kepada ayah saya, "Kalau kau anak jantan mari satu lawan satu, jangan kau panggil orang
membantu" katanya mencabar setelah mendapati tekanan semakin kuat.

"Aku tak meminta bantuan siapa pun..." sahut ayah saya keras. Dia nampak Pak Tua Mahat datang.
Cepat-cepat ayah saya menyuruh balik segera dan jangan datang membantu. Dia sendiri mahu
menghadapi musuhnya.

Setelah tidak ada siapa pun datang membantu lembaga berkenaan melontarkan semua pohon-pohon
kayu lima enam pemeluk menerjah ke tubuh ayah saya. Semuanya datang seperti ribut. Hampir juga
ayah saya lemas akibat diterjah pohon-pohon lima enam pemeluk itu.

Cepat-cepat dia membaca Surah Al-Ikhlas tiga kali kemudian menghembuskannya. Ribut pohon-pohon
kayu itu terhenti disambut oleh petir halilintar menerkam ke arah lembaga hitam itu. Terlolong-lolong
dia bila dipanah petir tidak berhenti.

"Sekarang tunjukkan siapa menyuruh kau datang menyerang aku?" tanya ayah saya menggertap bibir.
Lembaga itu tetap merahsiakan. Sekali sekala dia menyerang ayah saya dengan kapak berterbangan.
Tetapi setiap serangannya dapat dipertahankan oleh ayah saya. Akhirnya ayah saya sendiri tercengang-
cengang bila tiba-tiba saja kawasan di situ bergegar kuat seperti dilanda gempa.

Dia nampak Tok Aji dan Pak Tua Mahat datang menghentak-hentak kaki hingga semua bukit-bukit
berkecai. Lembaga itu menjadi gementar melihat Tok Aji datang bersama Pak Tua Mahat. Puas ayah
saya menegahnya supaya jangan masuk campur, tetapi mereka berdua tidak peduli. Tok Aji menampar
muka lembaga tersebut lalu berkecai menjadi debu. Pak Tua Mahat pula menendang dadanya sampai
tulang-tulang dada lembaga itu remuk.

Lembaga hitam itu terjerit-jerit kesakitan. Dia berpusing-pusing cuba bertahan.

"Setan!" herdik Tok Aji. "Dah tau kau teruk macam ni, masih nak berdegil lagi. Kalau aku dengan Mahat
tak bantu pun, kau tak dapat kalahkan Hud. Jangan cuba kau nak kalahkan dia, kulit dia pun tak dapat
kau nyenyehkan...!" Tok Aji menghembuskan hazihi jahannamullati kuntum tu a'dun berulang kali.

Ketika ini lembaga itu berputar-putar seperti habuk dikisar angin kencang. Dia terlolong-lolong
kesakitan. Dalam gema jeritannya inilah Pak Kamat datang dengan menunggang harimau untuk
menolong lembaga hitam yang berputar-putar itu.

"Cukuplah, cukuplah.." rayu Pak Kamat pada Tok Aji.

"Awak rupanya yang menganiaya kawan. Awak nak bunuh kawan!" bentak ayah saya melihat Pak Kamat
di depannya.

"Minta maaf kawan Bilal Hud" ujar Pak Kamat sedih. "Dia nakkan anak kawan, sebab itu kawan gantikan
pada awak" jelasnya tidak dapat menyembunyikan kesal yang amat sangat.

Setelah Pak Kamat datang ke situ menunggang harimau, Tok Aji dan Pak Tua Mahat tidak kelihatan lagi.
Ayah saya seorang diri saja berdepan dengan Pak Kamat yang sudah mengakui kesilapannya.
Bagaimanapun dia tidak dapat menolak janjinya dengan hantu tinggi. Dia rela anaknya menjadi korban.

Balik dari tempat mengangkut pasir dengan Usin Rimau, ayah saya mendengar berita ketika berhenti
minum teh di kedai, bahawa anak perempuan Pak Kamat yang baru berumur dua tahun mati mengejut.
Mereka berdua pun terus menziarahi anak Pak Kamat. Semasa ayah saya di situ, Pak Kamat sentiasa
mengelak diri tidak mahu bertembung dengan ayah saya.

Itulah kisah yang pernah dihadapi oleh ayah saya. Oleh itu saya kira peristiwa dua ekor lembu
ternakannya tiba-tiba mati, dan didapati segulung kawat mata punai sebesar tekoan air di dalam
perutnya itu, sebahagian dari ujian dan dugaan yang mesti diterima.
5. TOK AWANG NGAH - DIA BERLARI DI ATAS AIR

SUDAH ramai orang menziarahi Aki Sahak semasa saya sampai bersama isteri saya dan Sali. Sepanjang
jalan untuk ke rumah Aki Sahak saya berfikir bagaimana Aki Sahak boleh muntah darah. Bagaimanapun
saya belum dapat memastikan macam mana keadaan Aki Sahak sebenarnya.

Hendak bertanya pada Sali pun saya fikir tidak penting. Lagi pun Sali dalam keadaan gelabah tidak tahu
apa mahu dibuat. Bila Abang Amud suruh memanggil saya, dia panggil. Makda Saodah suruh dia panjat
kelapa ambil buah kelapa muda, dia panjat. Itu saja yang dia tahu.

Ketika saya masuk mendapatkan Aki Sahak, saya lihat Abang Amud ada duduk di kepalanya. Manakala
Tonel sedang menyudukan air kelapa muda yang dijampi oleh Abang Amud.

"Macam mana jadi ni?" saya duduk sebelah Tonel.

"Emm, dah geruh macam mana pula" sahut Aki Sahak tenang. Saya lihat beberapa helai kain sudah
basah dengan darah yang keluar dari mulut Aki Sahak.

Teringat saya kepada kata-kata Aki Sahak semasa terdengar bunyi air disedut dekat lombong semasa
anak Abang Amud mati lemas. Aki Sahak pernah menyebut puaka lombong mahukan geruh dia. Bererti
puaka lombong mahukan Aki Sahak sendiri menjadi galang ganti.

Heran juga saya bagaimana Aki Sahak boleh terlalai sehingga puaka lombong dapat mengganggu dia.
Tetapi ini bukanlah mustahil kerana manusia ini ada kelebihannya dan ada kelemahannya. Musuh
manusia akan sentiasa menunggu kelemahan itu.

Begitulah yang terjadi kepada seorang ulama di Seremban iaitu mufti Negeri Sembilan. Saya mendapat
tahu Allahyarham merupakan ulama yang doanya selalu menolong orang ramai. Tetapi beliau juga
menghembuskan nafas akibat muntah darah juga.

Jadi, tidaklah heran perkara yang sama boleh berlaku ke atas Aki Sahak. Sedangkan ulama besar seperti
mufti itu pun bila sampai masanya tidak dapat mengelak dari geruh, apakan pula Aki Sahak yang cuma
belajar pondok. Semuanya telah ditentukan oleh Allah. Bagaimanapun Aki Sahak masih kelihatan segar,
walaupun darah banyak keluar dari mulutnya.

"Buatlah apa-apa patut ustaz..." bisik Abang Amud perlahan.

Saya tidak menyahut. Saya memerhatikan pelupuk mata Aki Sahak. Pelupuk mata itu masih segar. Cuma
bibirnya agak lebam sedikit.

Ada juga di antaranya yang mengatakan Aki Sahak terkena 'kelintasan' yakni dilangkah oleh hantu raya
atau hantu tinggi. Ada juga yang menuduh puaka lombong membalas dendam. Tetapi pada pendapat
saya jenis-jenis syaitan tidak akan berani mengganggu Aki Sahak memandangkan amalannya selama ini
sudah cukup kuat mendinding dirinya.
Boleh jadi syaitan digunakan oleh orang-orang berilmu untuk menyempurnakan tugasnya. Inilah yang
boleh memporak-perandakan manusia.

Aruah Tok Aji iaitu tok aki saya juga pernah menghadapi perbuatan orang-orang berilmu menggunakan
syaitan bagi memenuhi kehendak mereka. Tok Aji ini dilahirkan di Sumatera, kemudian dia berhijrah ke
Tanah Melayu. Dia sudah berkahwin di Semenyih, di Singapura dan di Kota Tinggi. Kemudian menetap di
kampung saya.

Semasa dia menikah dengan nenek saya, Tok Aji sudah berumur hampir 60 tahun, manakala nenek saya
baru berumur 18 tahun. Tetapi itu jodoh namanya. Tok Aji kekal dengan nenek saya sehingga akhir
hayatnya.

Disebabkan Tok Aji berkahwin muda maka adalah orang yang iri hati dengannya. Dalam satu kenduri di
rumah seorang kawannya, dia telah dihidangkan dengan kopi. Sebelum kopi itu diunjukkan kepadanya
Tok Aji sudah tahu bahawa yang diberikan kepadanya ialah racun santau. Bagaimanapun Tok Aji tidak
boleh mengelak dan dia mesti meminumnya juga.

"Wah, sedap kopi ni" katanya bila menghirup kopi tersebut. Orang ramai yang menyaksikan tidak tahu
apa telah berlaku.

Setelah diminumnya Tok Aji seperti biasa saja. Tidak ada apa-apa yang berlaku ke atas dirinya. Tetapi
tidak semena-semena anjing di bawah rumah terjerit-jerit lalu mati dengan darah mengalir di mulutnya.
Selepas itu beberapa kali Tok Aji telah diuji, dan dia terpaksa meminumnya sekalipun diketahuinya air
tersebut telah dibubuh racun santau.

Aruah Tok Aji memberitahu saya, racun santau ini dibuat oleh manusia dari serbuk kaca yang
mempunyai ibu. Kadangkala orang yang menyimpan santau ini tidak perlu membubuhkan sendiri racun
santau tersebut, memadai dengan menyeru saja maka ibu racun itu akan terbang seperti lipas dan
memasukkan racun santau berkenaan ke dalam makanan mangsanya.

Sebab itulah ayah saya tidak mahu mengetahui sangat tentang racun santau, kerana katanya sesiapa
yang sudah mengetahui maka dugaan sentiasa mengganggu seperti aruah Tok Aji. Bagaimanapun ayah
saya pernah juga mahu diduga. Semasa saya bersamanya mengikut orang bertakbir Hari Raya pada
malam Hari Raya, tiba-tiba gelas yang dihulurkan orang kepada ayah saya meletup dan pecah. Air kopi
dari gelas itu menimpa kepala saya.

Semua orang menyangka pipi dan muka saya melecur terkena air panas. Tetapi apa yang saya rasakan
adalah sebaliknya. Air kopi itu sejuk seperti dimasukkan ketul air batu. Rupanya ayah saya tidak
mengambil ilmu santau dari Tok Aji yang mesti diminum kalau mengetahui santau ada di dalamnya.
Ayah saya mempelajari doa supaya tidak sampai untuk diberikan kepadanya.

Walaupun Tok Aji dapat mempertahankan dirinya dari racun santau, tetapi apabila akhir hayatnya bisa
racun santau itu naik semula. dia tercungap-cungap seperti itik kena sembelih sehinggalah nafasnya
yang terakhir.

Inilah yang saya fikirkan kalau apa yang dialami oleh aruah Tok Aji dilakukan oleh Aki Sahak. Mana tahu
bisa racun santau yang mengancamnya sekarang sudah bertahun-tahun dulu dihirupnya. Mungkin dia
terpaksa menghirupnya seperti aruah Tok Aji kerana amalannya terpaksa meminum juga.
Hal demikian bukan berlaku ke atas orang-orang yang mendalami ilmu agama saja. Malah bomoh-
bomoh terkenal juga mengalaminya. Seorang sahabat saya telah mempelajari ilmu mempertahankan
diri dari racun santau ini dari ayahnya seorang bomoh. Sekarang sahabat saya berkhidmat dalam
pasukan askar. Ketika dia menuntut dari ayahnya dia masih di kampung lagi dan menoreh getah.

Pernah juga dia mengajak saya menuntut dari ayahnya ilmu mempertahankan diri. Tetapi entah
mengapa hati saya enggan saja mahu mempelajarinya. Mungkin kerana saya lebih tertarik dengan
pelajaran agama dari aruah Tok Aji menyebabkan saya tidak tertarik hati dengan ilmu-ilmu bomoh ini.
Lagi pun saya tidak berniat langsung untuk menjadi bomoh, seperti kawan saya itu. Malah dia sendiri
apabila menyertai pasukan askar langsung melupakan terus cita-citanya mahu menjadi bomoh itu.

Selepas saja dia tamat melalui ujian ilmu mempertahankan diri dari racun santau, satu hari apabila dia
balik dari menoreh getah dia terasa haus lalu meminta air dari emaknya. Oleh kerana emaknya lewat
membawakan air, maka kawan saya terpandangkan botol aiskrim soda. Pada sangkaannya tentulah
aiskrim soda. Dia pun tidak bertangguh lagi lalu menghirupnya hingga habis sebotol.

Apabila emaknya keluar, alangkah terperanjatnya orang tua itu kerana yang diminum oleh kawan saya
itu ialah cuka getah yang baru dibeli oleh emaknya. Kelam kabutlah emaknya menyaksikan kejadian
tersebut. Tetapi tidak ada apa pun merosakkan dia. Kawan saya hanya tersenyum saja selepas
meminum cuka getah tadi.

Tidak tahulah bagaimana dia sekarang, kerana sudah lama saya tidak berjumpa dengannya. Dia pun
sudah berkahwin dengan orang Kluang di Johor. Jadi, jaranglah saya dapat bertemu dengannya.

"Cubalah buat apa-apa ustaz..." desak Abang Amud lagi.

Aki Sahak tersandar pada bantal. Dia kelihatan letih sedikit, tetapi matanya tetap segar. Dia tersenyum
memerhati saya sudah ada di sisinya.

"Takkan kau nak biarkan Aki macam ni" tangannya menampar lutut saya.

Saya tidak juga menyahut. Menghadapi orang berilmu seperti Aki Sahak bukanlah mudah. Kadangkala
dia sengaja mahu menguji seseorang walhal dia memang tahu bagaimana mahu mengatasinya. Tidak
ada langsung tanda-tanda dia dalam kesakitan apabila saya mula-mula menjengah dia tadi.

"Buatlah apa-apa pun" pinta Aki Sahak masih memegang kepala lutut saya.

"Bila kena ni?" saya mengeluh pendek.

"Tiba-tiba aje..." Makda Saodah mencelah. "Lepas makan tengahari tadi dia rasa sakit dada. Langsunglah
jadi macam tu" jelasnya dalam keadaan rusuh.

"Aki, tak buat apa-apa?" tanya saya perlahan.

"Nak buat apa...!" jawabnya tersengih-sengih. Tok Kadi pun tak boleh nikahkan diri dia sendiri. Orang
sakit macam Aki ni pun tentulah tak dapat nak ubat diri sendiri..." ujarnya ketawa macam menyindir.
Serba salah juga saya dibuatnya. Keadaan Aki Sahak memang tenat, tetapi saya lihat dia tidak seperti
orang sakit. Suaranya tetap tenang. Sekali sekala dia terbatuk hingga keluar darah pekat dari mulutnya.

Darah yang keluar dari mulut Aki Sahak itu seolah-olah orang mengalami luka parah. Kalau dibiarkan
mungkin Aki Sahak akan kehilangan darah. Ada juga orang yang mendesak Aki Sahak supaya dibawa ke
hospital, tetapi Aki Sahak enggan. Dia yang suruh Abang Amud segera memanggil saya.

Sebenarnya saya jadi bingung menghadapi keadaan demikian. Kalau Aki Sahak yang saya anggap guru
sudah tidak dapat bertahan, bagaimana pula saya boleh membantunya. Saya sendiri tidak tahu apakah
ubatnya, kerana sebelum ini saya tidak pernah mengubati orang terkena racun atau santau. Lainlah
kalau gangguan syaitan boleh juga saya mencuba-cuba.

"Penyakit macam ni jenis gangguan syaitan juga..." ujar Aki Sahak macam mengetahui apa yang
terbendung di jiwa saya.

"Macam mana saya nak mulakan?" saya serba salah.

"Buatlah macam mana pun..." desak Aki Sahak tersenyum pahit. Darah masih mengalir juga apabila dia
terbatuk.

Saya hanya mencuba. Tidak tahu apakah ayat-ayat tertentu harus digunakan. Saya merenung muka Aki
Sahak tepat-tepat sambil berzikir khusyuk di dalam hati hingga terasa zikir itu menyeluruh ke segenap
badan. Ketika ini dapat saya rasakan diri saya ditolak kuat oleh satu tenaga, tetapi tenaga itu tidak
berdaya menolak saya.

Akhirnya saya tenggelam di dalam zikir. Saya tidak takut kepada apa pun yang mencabar. Hanya
berserah saja kepada Allah untuk meminta pertolongan dan perlindungan. Saya terus menyemadikan
diri, "Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Hayyum Ya Qayyum, Ya Zaljalalil Wal Ikram, kepada Engkaulah
aku memohon pertolongan". Demikian saya memulakan doa yang menyerahkan diri semata-mata
kepada Allah.

Lama saya menguatkan zikir saya barulah saya merasakan diri saya cukup gagah. Kekuatan yang ada
pada saya sudah cukup untuk menghadapi sebarang musuh yang berdampingan dengan syaitan. Saya
melihat seorang lelaki tua yang pernah saya temui sedang mengambil miang rebung dikumpulkan dalam
satu balang. Puas saya mengingatkan di manakah saya pernah menemui orang tua tersebut. Orangnya
kurus tetapi tinggi susuk tubuhnya. Dahinya sulah dan rambutnya jarang sedikit. Sudah dipenuhi uban
hingga memutih.

"Tua kutuk...!" keluh saya meluat melihat perangainya. Tidak sedar sudah tua tetapi masih mahu
melakukan perbuatan yang dilaknati Allah. Sepatutnya orang tua seperti itu mestilah melebihkan amal
ibadat.

Miang rebung yang diambilnya tadi digaul dengan serbuk kaca ditumbuk halus. Kemudian balang berisi
serbuk kaca bergaul miang rebung itu diasap dengan kemenyan. Selepas itu ditapakan jauh dari
kampung, di satu tempat yang dirahsiakan.

Orang tua itu memuja balang berisi serbuk kaca dengan miang rebung itu hingga timbul ulat seperti
bubuk di dalamnya. Ulat-ulat ini menjalar dalam gumpalan miang rebung yang seakan-akan rambut itu.
Sebenarnya saya tidaklah nampak dengan jelas. Hanya seperti bayang-bayang saja. Sebab itulah orang
tua yang saya lihat hanya seperti bayang saja. Bagaimanapun memang saya cam mukanya kalau
bertemu di mana-mana.

"Tua kutuk..." keluh saya perlahan.

Orang tua itu berpaling. Dia seolah-olah mendengar keluhan saya tadi. Sebaik saja melihat saya berdiri
bercekak pinggang menghadapnya, orang tua itu cepat-cepat melontarkan serbuk kaca itu ke mata saya.
Tetapi serbuk kaca yang dilemparkan kepada saya itu tersekat pada tembok yang memagari saya tiba-
tiba.

"Kau berani datang ye!" pekik orang tua tersebut kelihatan marah.

"Orang tua macam awak ni patutnya banyakkan amal ibadat" saya menyindir. Marah sangat saya kerana
dicabar oleh orang tua berkenaan.

"Kau datang nak cabar aku...?" dia mengancam dengan pandangan yang menggerunkan.

"Bukan fasal cabar mencabar" jelas saya mengerling ke arahnya. "Kerja awak ni kerja syaitan. Jadi
hamba syaitan. Dilaknat Allah..." ujar saya seterusnya.

Dia semakin marah bila saya sindir begitu. Dia melepaskan beribu-ribu ekor ular mahu mematuk saya.
Tetapi ular-ular yang dilepaskan oleh orang tua itu semuanya terbakar hangus bila saya hembuskan
ayat-ayat yang tertentu. Bertambah marah dia bila dilihatnya semua ular-ular yang menyerang tadi
terbakar hangus.

Kemudian dia membawa saya ke lombong tempat anak Abang Amud mati lemas. Dia berlari-lari di atas
air tersebut bagaikan berpijak dia atas bumi. Orang tua itu ketawa berdekah-dekah bila melihat saya
kehairanan memerhati dia berjejak di atas air.

"Awak berkawan dengan puaka, berkawan dengan syaitan..." bentak saya mula mengancam dia.
Melihatkan saya marah orang tu itu semakin kuat tertawa. Dia bertandak di atas air lombong itu seolah-
olah memperagakan kebolehan luar biasanya.

"Awak nak tunjuk kepandaian awak ye!" saya cuba mengawal perasaan marah apabila diejek-ejek.

Dia tidak menghiraukan kata-kata saya, sebaliknya terus bertandak-tandak. Tetapi dia tidaklah
menyerang saya seperti mula-mula tadi. Mungkin pada peringkat kedua dia hanya mahu saya meradang
saja. Memang inilah cara syaitan mahu mengalahkan manusia. dia sengaja mahukan kita marah supaya
mudah baginya mencari kelemahan.

Mujurlah saya sedar akan tipu muslihat syaitan yang mahukan saya marah. Setelah dapat mengawal diri
saya pun mula membacakan beberapa ayat Quran dan menghembuskan ke arahnya. Air lombong tiba-
tiba menggelegak dan cair. Orang tua itu tercungap-cungap lari mencari tanah daratan.

"Sahabat kau tak akan datang menolong!" saya mengejek dia. Kerana saya tahu dia lari ke lombong
adalah untuk mendapatkan pertolongan syaitan yang menjadi sahabatnya.
"Sahabat kau akan dipanah petir kalau berani datang menolong kau" kata saya lagi menyebabkan dia
mulai marah. Gelak ketawanya tidak kedengaran lagi, sebaliknya mendengus-demgus marah.

Dia berpaling mahu menentang. Entah macam mana dia menjadi gementar apabila bertentang mata
dengan saya, ketika ini saya sedang azan. Gema azan itulah menyebabkan syaitan yang diserunya tidak
berani datang menolong. Nampaknya dia menggunakan puaka lombong itu untuk menentang saya.

"Serulah sahabat-sahabat kau" saya terus mengejek. "Selagi kau bersahabat dengan syaitan, selama
itulah kau ditipu oleh syaitan. Tak mungkin syaitan datang menolong kalau dia tak dapat keuntungan"
kata saya lagi.

Orang tua itu semakin marah. Tetapi dia tidak berani menentang saya disebabkan syaitan yang
diserunya tidak datang setelah saya azan tadi. Bumi tempatnya berpijak juga bergegar menyebabkan dia
terhuyung hayang tidak dapat berjejak.

"Bertaubatlah, dan kembali ke jalan Allah" saya menyerunya.

Dia tidak juga menyahut. Berlegar-legar dia mahu menyerang. Tetapi setiap kali dia mahu mencuba
gegaran bumi semakin kuat menyebabkan dia terhuyung hayang tidak dapat berjejak.

Orang tua ini memang manusia biasa, tetapi dia menggunakan ilmu syaitan untuk kepentingan diri
sendiri. Tidak heranlah mengapa manusia demikian mudah tertipu kerana syaitan boleh
memperdayakan mereka dengan janji-janji untuk memberi kekuatan, kekayaan, kemewahan atau apa
saja yang dihajat.

Syaitan akan memberikan mereka kebal tidak lut oleh besi, syaitan menjanjikan kebolehan menyerang
musuh dari jauh saja, syaitan menjanjikan ilmu yang boleh ghaib dari pandangan mata. Hal-hal seperti
inilah menyebabkan manusia mudah terpedaya. Segala janji-janji syaitan itu adalah untuk sementara
saja, iaitu selagi manusia mahu mengikut perintahnya.

Bagaimanapun syaitan akan lari meninggalkan manusia tadi, apabila dia terseksa dengan ayat-ayat
Quran. Dengan itu manusia yang ditinggalkan oleh syaitan akan terseksa pula sebagai galang gantinya.
Inilah yang terjadi pada orang tua berkenaan.

Memang saya cam orang tua tersebut. Bagaimanapun saya terpaksa rahsiakan dia dari pengetahuan
orang-orang kampung. Orang tua ini ada hubungan kekeluargaan dengan Abang Amud. Semasa saya
membantu Aki Sahak mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong, dia juga ada
menyaksikannya bersama.

Dialah yang mendesak Ketua Penyelam itu supaya meneruskan kerja mencari mayat tersebut dengan
tidak payah pertolongan dari Aki Sahak. Apakah tujuannya tidaklah saya tahu.

"Apa yang awak sakit hati sangat pada Aki Sahak?" soal saya mengherdiknya.

Dia mengacau hak orang..." sahutnya marah. "Apa yang dikacaunya?"

"Kawasan ni kami punya!"


"Kawasan apa?"

"Kawasan anak ubat kami..." "Dia cuma menolong" "Tidak! Dia mengacau,,!"

"Dia bawa ilmu Allah, awak kata mengacau?" sindir saya.

Orang tua itu menjadi serba salah. Memang ada niat dia mahu menyerang saya. Tetapi setiap kali dia
mahu menyerang terasa dadanya bagaikan kena pijak. Memang telah saya perhatikan sikapnya, sebab
itu saya sudah menghentakkan tumit saya ke bumi dengan makrifat memijak jantungnya.

"Kalau awak berani lepaskanlah kawan.." bentaknya pula mahu menerkam saya.

"Kalau sahabat awak boleh menolong lepaskanlah sendiri" sahut saya mengejeknya.

"Awak halang dia, macam mana dia nak datang!" katanya.

"Kalau awak handal lepaskan halangan tu" kata saya sengaja menyakitkan hatinya.

Berkali-kali dia cuba menerkam tetapi terasa jantungnya terpijak. Dia mengerang kesakitan bila terasa
jantung kena pijak. Akhirnya dia memekik kuat melepaskan kemarahannya. "Kau nak bunuh aku ke?"
jeritnya menggema.

"Awak nak bunuh Aki Sahak kan?" soal saya kuat sedikit.

"Fasal dia nak bunuh sahabat aku!" jawabnya membentak.

"Kalau awak tak mahu malu, pergi sekarang" perintah saya masih tidak melepaskan tumit yang dihentak
ke bumi. "Kalau tidak awak malu, keluarga awak pun malu" saya mengingatkan dia.

"Biar mati aku takkan mengalah dengan kau!" dia berkeras tidak mahu mengalah.

"Mengapa kau beri Aki Sahak santau?" jerkah saya apabila dia berkeras tidak mahu berundur. "Kau fikir
kau boleh selamat. Ayat-ayat Allah lebih berkuasa dari santau, awak tau!" ujar saya seterusnya.

Untuk mengujinya sengaja saya lepaskan tumit dari menekan bumi. Serentak dengan itu dia menerkam
saya. Bagaimanapun belum sempat dia sampai kepada saya, orang tua itu jatuh terhempap ke bumi
Saya menghembusnya dengan Surah Al Fatihah hingga dia terlambung tidak dapat bertahan.

Kemudian saya susul dengan Surah Al Ikhlas. Ketika ini berpuluh-puluh bukit berterbangan menimpa ke
atas dirinya. Dia terhimpit di bawah bukit-bukit yang berterbangan.

"Kau tidak akan dibantu oleh sahabat kau. Dia juga akan hancur kalau cuba mendekati" saya
menyerunya berulang kali.

Setelah saya melihat dia tidak bergerak di bawah himpitan bukit-bukit yang berterbangan, barulah saya
mengembalikan diri saya seperti sediakala. Saya masih menghadapi Aki Sahak yang terbaring. Dia
kelihatan lemah sedikit. Darah juga sudah mula kering dari mulutnya.
Di samping itu air kelapa muda yang sudah didoakan oleh Abang Amud tadi disudukan ke mulut Aki
Sahak. Saya tahu Abang Amud mendoakan 'peluruh' iaitu mengatasi bisa racun, tetapi 'peluruh' yang
diberikannya belum lagi berkesan.

Walaupun keadaan Aki Sahak sudah ada reda dia masih juga terbatuk-batuk. Bahang panas di dadanya
terasa berwap-wap. Lalu saya pun meminta air sejuk dari Makda Saodah. Pada sangkaannya saya
mahukan air minum, maka mereka pun memberikan kopi O.

"Bukan saya nak minum" ujar saya tersenyum kerana geli hati. "Air nak buat ubat..." jelas saya.

Barulah Makda Saodah menghulurkan kepada saya satu jag air sejuk. Saya membacakan Yassin tiga kali.
Selepas itu air tersebut diberi minum pada Aki Sahak. Kira-kira sepuluh minit selepas dia minum air
tersebut, Aki Sahak muntahkan darah dengan lendir-lendir putih.

Saya suruh muntah itu ditadah dalam besen supaya tidak habis tempat tidur. Tiga kali Aki Sahak terjeluih
muntah. Kali yang ketiga muntahnya tidak lagi darah tetapi segumpal rambut sebesar penumbuk, serbuk
kaca dan miang rebung. Setelah semuanya habis keluar barulah kelihatan Aki Sahak terkulai lemah
akibat keletihan.

Disebabkan keadaan baru pulih, saya pun menyuruh Aki Sahak tidur saja. Jiran-jiran pun saya tidak beri
mengganggunya. Biarlah jangan ditanyakan apa-apa sehingga Aki Sahak pulih betul-betul. Biasanya
dalam masa seminggu barulah ada perubahan sedikit.

"Kerja siapa agaknya?" Sali menggertap bibir. Barulah dia mahu bersuara setelah melihat Aki Sahak tidak
lagi terbatuk-batuk.

"Siapa agaknya ustaz?" Abang Amud pula bertanya.

"Mana kita nak tau" sahut saya lemah. Sebenarnya saya juga terlalu letih. Pada lahirnya memang
nampak saya duduk saja di situ, tetapi keletihan yang saya alami seolah-olah baru saja mengangkat
beban berpikul-pikul.

"Kalau tau orangnya" Sali menumbuk-numbuk tinju ke tapak tangan. "Kalau tau orangnya, aku pijak-
pijak kepalanya. Aku terajang dia...!" gerutunya mcam menyimpan dendam.

Saya mendiamkan diri saja. Biarlah Sali melepaskan geramnya. Saya tahu dia tidak akan bertindak
kerana dia tidak tahu siapakah yang didendamnya. Tugas saya sudah selesai iaitu cuba mengubati Aki
Sahak. Soal membalas dendam bukan kerja saya. Sebab Allah sendiri menjanjikan: Setiap perbuatan
yang baik ada ganjarannya di akhirat, dan setiap perbuatan jahat ada balasannya di akhirat.

"Hati binatang!" Sali masih merungut marah.

Kalaulah saya terangkan siapakah orang yang ternampak oleh saya mungkin Sali sanggup
menyerangnya. Tetapi saya tidak boleh memberitahunya.

Kadangkala bayangan yang kita lihat itu tidak semestinya benar. Boleh jadi orang yang berniat jahat itu
menjelmakan dirinya seperti orang lain. Sudah tentulah kita menganiaya orang apabila kita
memberitahu apa yang kita lihat.
Sebab itu aruah tok aki saya melarang menyebutkan orang yang kita lihat melalui bayangan itu kepada
keluarga pesakit. Ditakuti mereka akan bertindak membalas dendam.

Ustaz tak tau siapa orangnya?" tanya Sali semakin kejap menggertap bibir.

"Tidak..." saya menggeleng kepala.

"Kita baca Yassin ramai-ramai" Abang Amud pula mencadangkan. "Kita balikkan semula pada orang yang
membuat Aki Sahak" katanya membayangkan kemarahan yang membakar perasaannya. Dia berkisar
punggung bagaikan mahu melompat menerkam sesiapa saja.

"Jangan ikut perasaan..." Aki Sahak membuka matanya perlahan. Rupanya sejak tadi dia mendengar saja
perbualan kami. "Jangan ikut perasaan. Kau boleh bacakan Yassin dengan niat nak membunuh orang.
Kalau Allah makbulkan, kau mesti ingat dosanya! Dosanya tetap dosa membunuh juga" suara Aki Sahak
masih lemah tetapi nadanya keras.

"Orang hati binatang yang buat ni..." sahut Sali mengepal tinju kejap-kejap, kemudian meninju-ninju
kepala lututnya.

"Habis, kau nak ikut pula jadi hati binatang?" soal Aki Sahak bangun perlahan-lahan bersandar pada
bantal. "Kalau kau nak balas juga, kau pun sama macam dia. Sama berhati binatang!" Aki Sahak
mengingatkan.

Sali tidak berani membantah cakap Aki Sahak lagi. Bukan saja Aki Sahak itu gurunya, tetapi juga pangkat
bapa saudara pula. Makda Saodah itulah emak saudara Sali. Sebab itu dia tidak berani sangat berbantah-
bantah dengan Aki Sahak.

"Allah lebih Maha Mengetahui..." jelas saya setelah Sali terdiam dimarahi Aki Sahak. "Kalau setiap hari
sekurang-kurangnya kita melafazkan iyya kana'budu waiyya kanastai'n tujuh belas kali dalam solat kita
ketika membaca Fatihah iaitu hanya kepada Engkau aku sembah dan hanya kepada Engkau aku
memohon pertolongan, mengapa kita mesti membalas dendam! Mengapa kita tidak mematuhi ikrar kita
dengan Allah" kata saya mengerling Sali.

Sali terdiam. Terasa juga dia sudah terlanjur bercakap mengikut perasaan.

Ketika inilah terdengar seorang seorang perempuan memanggil Pak Semail Ketua Kampung dari tengah
halaman. Pak Semail yang duduk di belakang saya terkejut juga bila ada orang mencarinya ketika itu.
Sedangkan Aki Sahak masih belum pulih akibat termakan santau.

"Ada Abang Mail di sini?" perempuan itu bertanya dari tengah halaman sebaik saja pintu serambi dibuka
oleh Makda Saodah.

"Oh, kau tadi Sumi, naiklah" pelawa Makda Saodah masih berdiri di muka pintu.

"Ada Abang Mail di sini?" ulangi perempuan yang dipanggil Sumi oleh Makda Saodah itu.

"Ada..." beritahu Makda Saodah. "Macam mana pun naiklah dulu..." dia mengajak Sumi naik ke rumah.
Belum sempat Sumi menyahut Pak Semail sudah berdiri di belakang Makda Saodah. "Apa halnya Sumi?"
tanya Pak Semail bimbang. Berdebar juga hatinya bila adiknya itu datang memanggil dia ke situ.

Sumi tidak terus memberitahu. Dia kelihatan rusuh sedikit tetapi masih juga tercegat di tengah halaman.

"Apa halnya?" tanya Pak Semail lagi. "Rumah kami dilanda ribut" jelas Sumi tergagap-gagap. "Abang
Fakeh terperangkap dalam runtuhan rumah tu..." dia tersedu-sedu menahan perasaannya yang
menyebak ke dada.

"Ribut apa pula?" Pak Semail keheranan kerana kampung itu tidak pun dilanda ribut. Tidak ada tanda
ribut atau hujan melanda. Kampung itu tetap cerah dengan cahaya matahari petang memancar bersih.
"Macam mana boleh ada ribut, rumah kau bukan jauh dari sini..." ujarnya sambil berastaghfar beberapa
kali.

"Entahlah..." Sumi menggeleng kepala. "Tapi ribut kencang tadi saya ada di rumah. Saya sempat terjun
ke tanah sebelum rumah tu roboh" jelasnya perlahan. Dia juga heran kerana di kawasan rumah Aki
Sahak itu tidak ada pun kesan-kesan dilanda ribut. Kalau ada ribut melanda tentulah habis sebuah
kampung terlibat. Inilah yang mengherankan mereka.

"Marilah kita pergi tengok Pak Fakeh..." saya mencadangkan.

Saya bersama beberapa orang jiran lelaki yang ada menziarahi Aki Sahak terus mengikut Pak Semail.

Apabila sampai ke rumah Pak Fakeh memang semuanya terkejut melihat keadaan di situ. Rumah Pak
Fakeh habis musnah ditimpa kayu jongkang kalang. Mereka bertambah heran bagaimana Sumi boleh
terselamat kalau melihat keadaan rumah tersebut. Pokok kelapa tidak kurang dari lapan batang
bertupang tindih menimpa rumah. Pokok durian juga melintang menghempap dari tengah bumbung.

Kalau mahu dikira sempat melompat ke tanah memang tidak masuk akal langsung bagaimana Sumi
boleh terselamat. Mujurlah juga cucu-cucu mereka tidak ada di rumah ketika itu. Kesan ribut juga jelas
di sekitar kawasan rumah itu kerana banyak pokok-pokok yang patah dahan.

"Macam mana ribut di sini aje? keluh Sali yang sama mengikut kami tadi.

"Kencang betul ributnya" beritahu Sumi masih dalam ketakutan. "Tengoklah pokok-pokok tu habis
terbongkar akar" katanya lemah.

"Habis macam mana Mak Sumi lepaskan diri?" tanya Tonel pula.

"Entahlah..." ujarnya gementar mengenangkan peristiwa yang menimpa dirinya. "Mak Sumi rasa macam
mati hidup balik..." dia mengesat mata dengan hujung lengan bajunya.

Terpaksa pula masing-masing mengambil kapak dan gergaji untuk memotong kayu yang jongkang kalang
menimpa rumah Pak Fakeh. Hampir dua jam barulah kawasan rumah itu dapat dibersihkan. Kira-kira
sudah dekat masuk Maghrib barulah mayat Pak Fakeh ditarik keluar dari bawah pokok durian. Kepalanya
berkecai remuk. Mata, hidung dan telinganya dipenuhi darah pekat.
Memang Pak Fakeh yang saya lihat ketika saya mengubati Aki Sahak tadi. Tetapi saya tidak mahu
memberitahu sesiapa pun tentang Pak Fakeh itu. Biarlah mereka semua menyangka Pak Fakeh menemui
ajalnya apabila rumahnya dilanda ribut.
6. TOK AWANG NGAH - MAYAT BERNYAWA KUAT MAKAN

SUDAH lama saya bercadang mahu berpindah saja dari tempat tinggal Aki Sahak. Ini bukanlah
disebabkan saya tidak mahu menanggung beban yang sering diletakkan oleh Aki Sahak ke bahu saya.
Sebenarnya saya merasa penduduk-penduduk di situ sudah menganggap saya berlebihan, malah lebih
penting lagi dari Aki Sahak.

Apa lagi Aki Sahak sendiri yang menceritakan tentang hubungan saya dengan Pak Tua Mahat di sebelah
emak, dan Tok Aji di sebelah ayah. Memanglah benar Pak Tua Mahat itu abang emak saya yang tua,
manakala Tok Aji itu ialah tok aki saya iaitu ayah kepada ayah saya.

Perkara keturunan bukanlah perkara yang hendak disebut-sebut selalu, tetapi entah mengapa Aki Sahak
selalu saja mengaitkan saya dengan Pak Tua Mahat sedangkan dia juga pernah berguru dengan Pak Tua
Mahat saya itu. Sekarang mereka berdua sudah lama meninggal dunia.

Sebab itulah saya mengambi keputusan untuk berpindah saja dari situ, sama ada balik ke kampung atau
pun bertukar ke kampung isteri saya. Tetapi permohonan saya mahu bertukar itu masih belum
diputuskan oleh pihak atasan.

Apabila saya beritahu kepada Aki Sahak mengenai cadangan saya mahu berpindah itu, dia seolah-olah
berat mahu melepaskan, tetapi dia tidaklah menghalang keputusan tersebut. Berkali-kali dia
mengingatkan saya bahawa setiap usaha menolong orang yang dilakukannya itu bukanlah untuk
membebankan saya, sebaliknya dia tahu kebolehan saya melebihi dirinya. Sedangkan saya sendiri tidak
tahu apakah ukuran yang dibuatnya.

Setahu saya Aki Sahak sudah lama berguru dengan Pak Tua Mahat. Dia berkawan rapat dengan Pak Tua
Mahat kerana umur mereka lebih kurang sebaya. Sebelum berkahwin dengan Makda Saodah, dia
menetap di kampung saya. Tetapi setelah berpindah ke kampung isterinya hampir 20 tahun jarang pula
dia balik ke kampung.

Sebab itulah hubungan saya hampir terputus dengannya. Abang pada Aki Sahak ini pun bukanlah calang-
calang orang. Saya percaya tentulah Aki Sahak ada juga menuntut dari abangnya. Bagaimanapun semasa
abang Aki Sahak itu meninggal dunia dulu, saya masih kecil lagi kira-kira berumur 10 tahun. Tetapi saya
masih ingat akan kejadian yang menimpa arwah Aki Mat Tera.

Lama Aki Mat Tera jatuh sakit menyebabkan badannya menjadi kurus kering. Walaupun sakit terlantar
namun Aki Mat Tera berselera bila makan. Dia makan bertambah-tambah. Malah kalah pula orang yang
sihat kalau melawan makan dengannya.

Isterinya bercadang mahu memanggil Pak Tua Mahat atau Aki Sahak sendiri datang mengubatnya.
Tetapi Aki Mat Tera enggan diubat oleh Pak Tua Mahat atau Aki Sahak.

"Aku pawang besar..." jelasnya membantah bila isterinya Simit mahu memanggil Pak Tua Mahat.
"Takkan orang baru nak belajar berpawang nak mengubat aku" katanya angkuh.
"Jangan begitu" pujuk Simit masih mengharapkan suaminya mehu berubat. "Pawang ni bukan kira besar
kecilnya, berubat ikut rasi..kalau rasi dengan penyakit, pawang kecil mengubat boleh sembuh" tegasnya
mencemik. Meluat juga dia dengan perangai sombong suaminya yang tidak mahu berubat dengan Pak
Tua Mahat.

"Aku tak mahu berubat dengan Mahat" dia tetap berkeras tidak mahu Simit menjemput Pak Tua Mahat.
"Aku tahu siapa Mahat, dulu aku makam garam dari dia. Takkan dia ada rupa nak mengubat aku" dia
terus mengejek-ngejek kebolehan Pak Tua Mahat.

"Kalau tak mahu dengan Mahat, cuba-cubalah dengan Sahak" Simit tetap mendesak.

"Sahak nak mengubat aku..." Aki Mat Tera tersengih mengejek. "Budak hingus meleleh nak ubat aku.
Kau tau, dia tu belajar dengan aku!" katanya masih berkeras tidak mahu berubat pada Pak Tua Mahat
dan Aki Sahak.

Simit tidak tertahan dengan sikap Aki Mat Tera kerana sudah terlalu lama terlantar. Tubuhnya semakin
kurus hanya tinggal rangka saja. Bolehlah diibaratkan sebagai kata orang kalau tak ada kulit, tulang pun
habis berkecai. Begitulah kurusnya tubuh Aki Mat Tera.

Malah sepanjang dia sakit itu Aki Mat Tera tidak membenarkan Aki Sahak menjejakkan kaki ke
rumahnya. Dia menuduh Aki Sahak cuba memikat Simit. Inilah yang menyinggung perasaan Aki Sahak.
Sejak itu Aki Sahak juga tidak mahu menjengah abangnya yang sakit tenat itu. Hinggalah Aki Mat Tera
tidak boleh bergerak lagi dia tetap tidak mahu diubat oleh Pak Tua Mahat. Bagaimanapun selera
makannya tetap terbuka.

Dengan tidak setahu Aki Mat Tera, Simit terus memberitahu Pak Tua Mahat supaya datang mengubat
Aki Mat Tera. Setelah merasakan sesuatu yang tidak kena pada Aki Mat Tera, lantas Pak Tua Mahat
menyuruh Simit memanggil Aki Sahak datang ke rumahnya.

Setelah Aki Sahak datang dia pun mengajak Aki Sahak sama-sama mengubati Aki Mat Tera. Pada
mulanya Aki Sahak memang enggan juga pergi ke rumah Aki Mat Tera, tetapi setelah didesak oleh Pak
Tua Mahat barulah dia mengalah.

"Ini bukan perkara Abang Mat Tera yang kita hadapi" jelas Pak Tua Mahat menasihati Aki Sahak.
"Perkara lain yang kita sama-sama tak tau..." suaranya keras apabila Aki Sahak enggan menemui Aki Mat
Tera.

"Kecil hati aku Abang Mahat" Aki Sahak terharu bila mengenangkan tuduhan abangnya. "Kecil hati aku
fasal dia tuduh aku ke rumahnya kerana nak mengulang Kak Simit. Adakah patut dia tuduh aku macam
tu!" ujarnya menahan perasaan kesal.

"Ah, cakap setan kau nak ikut" Pak Tua Mahat mendengus. "Bukan Abang Mat Tera yang cakap macam
tu, setan yang cakap! Setan yang cakap!" dia menambah macam memarahi sikap Aki Sahak kerana
enggan menziarahi abang sendiri yang sedang terlantar sakit.

"Iyalah dia yang ikut cakap setan..." balas Aki Sahak.


"Fasal itu kita jangan peduli".
"Sakit hati aku dibuatnya!".
"Kau nak jadi setan juga?".
"Dia cakap tak fikir dulu...".
"Kau nak jadi setan?".
"Tak patut dia tuduh aku macam tu...".
"Kau nak jadi setan?".
"Siapa nak sabar Abang Mahat...!".

"Kau nak jadi setan?" suara Pak Tua Mahat semakin keras menyebabkan Aki Sahak serba salah. Dia
terdiam bila ditanya bertalu-talu oleh Pak Tua Mahat.

"Kau nak jadi setan?" ulangi Pak Tua Mahat merenung tepat-tepat.

Dia merasa tidak patut Aki Sahak langsung tidak mahu menziarahi abangnya kalau sekadar dituduh
mahukan kakak ipar sendiri. Orang sakit selalunya mempunyai fikiran yang tidak tenteram. Sebablah
cakapnya merepek sampai melalut tidak ketahuan.

Sepatutnya Aki Sahak tidak boleh ambil hati dengan tuduhan orang yang terlantar sakit seperti Aki Mat
Tera itu. Lagi pun kalau dibandingkan isteri Aki Sahak dengan Simit pun, jauh lebih muda dan
menariknya isteri Aki Sahak. Masakan dia boleh terpengaruh dengan tuduhan orang yang sedang
terlantar sakit kerana orang seperti ini fikirannya sudah nyanyuk.

Mahu tidak mahu Aki Sahak terpaksa mengalah juga. Dia mengikut Pak Tua Mahat ke rumah Aki Mat
Tera. Jiran-jiran juga berkumpul di rumah Aki Mat Tera apabila mendengar Pak Tua Mahat sanggup
mengubatinya.

Sebaik saja Pak Tua Mahat dan Aki Sahak naik ke rumah terus dimaki hamun oleh Aki Mat Tera. Terkial-
kial dia mahu bangun tetapi tenaganya ternyata lemah. Saya sendiri duduk tidak jauh dari hujung kaki
Aki Mat Tera bersama emak saya..

"Aku tau kau berdua nak berbini dengan Simit..." gerutu Aki Mat Tera terkial-kial mahu bangun.

"Sabarlah Abang Mat Tera" emak saya memujuk supaya Aki Mat Tera tidak berkuat mahu bangun.
"Abang Mat Tera sakit, biarlah Abang Mahat cuba-cuba tengok..." ujar emak saya lembut.

"Mahat nak ubat aku..." dia tertawa mengejek sambil mengerling emak saya. "Dia bukan nak ubat aku,
dia nak jumpa Simit. Aku tahu dia selalu berzina dengan Simit" katanya lagi menggertap bibir.

Saya lihat Simit menangis teresak-esak mendengar tuduhan Aki Mat Tera itu. "Astaghfarullah al-azzim"
keluhnya menahan perasaan sebak yang menusuk-nusuk di jiwa.

"Jangan ambil hati Kak Simit" emak saya memegang bahu Kak Simit. "Orang sakit tenat memang macam
tu. Cakapnya merepek" ujarnya memujuk.

Simit tidak menyahut. Dia mengangguk-angguk kepala saja menyetujui kata-kata emak saya tadi.

"Aku tau Simit, aku tau..." Aki Mat Tera terus mengejek. "Kau berzina dengan Mahat, kau berzina
dengan Sahak" katanya tertawa menyakiti hati mereka yang dituduhnya.
"Tutup mulut kau Abang Mat Tera!" jerkah Aki Sahak tidak sabar dengan tuduhan Aki Mat Tera. Kalaulah
tidak mengenangkan jiran-jiran ramai berkumpul di ditu, memang sanggup dia menerkam abangnya. Dia
tidak peduli lagi fasal abangnya sakit terlantar berbulan-bulan di tempat tidur.

"Sahak..." Pak Tua Mahat memarahi Aki sahak. "Ingat! Kau bukan bercakap dengan Abang Mat Tera, kau
bercakap dengan setan. Ingat tu...!" katanya mengerling Aki Sahak yang masih kelihatan marah.

Aki Sahak tertunduk. Dia sedar tidak dapat mengawal dirinya apabila mendengar tuduhan yang
dilemparkan. Perkara menuduh dirinya berzina dengan kakak ipar sendiri, tentulah macam
mencontengkan arang ke mukanya. Manakala tuduhan itu dibuat oleh abang kandungnya sendiri.

Walaupun abangnya dalam keadaan sakit tenat, namun dia percaya fikirannya masih baik. Aki Mat Tera
masih dapat mengingat semua kejadian yang pernah dilalui. Sebab itulah Aki Sahak percaya abangnya
itu tidak nyanyuk. Tuduhan yang dilemparkan oleh abangnya memang terbit dari hatinya sendiri yang
mulai cemburu terhadap isterinya.

Sudah berbulan-bulan dia terlantar sakit. Tentulah timbul rasa cemburu, apabila melihat Simit sering
menemui Aki Sahak dan Pak Tua Mahat meminta tolong, sedangkan dia sudah melarang supaya jangan
meminta tolong dari dua orang lelaki berkenaan.

"Kau mesti banyak bersabar" ujar Pak Tua Mahat masih memandang ke arah Aki Sahak.

"Usah nak berpura-pura Mahat, aku tau kau dah berzina dengan Simit. Bukan sekali dua, sudah berkali-
kali. Simit akan buntingkan anak kau, tau..." Aki Mat Tera mengejek.

Simit menangis tersedu-sedu mendengar tuduhan suaminya itu. Tetapi dia tidak menyahut. Dia tahu Aki
Mat Tera sedang sakit tenat. Mungkin juga boleh dianggap membuang tebiat, kerana masanya sudah
semakin hampir. Sebab itu Simit tidak menghiraukan sangat.

"Kau pandai berpura-pura! Kau berzina dengan bini orang! Dengan Simit! pekik Aki Mat Tera terketar-
ketar.

Pak Tua Mahat tidak menyahut. Dia membacakan sesuatu sambil menghembuskan kepada Aki Mat Tera.
biarlah Aki Mat Tera memaki hamunnya tidak berhenti-henti, namun Pak Tua Mahat tetap tidak
berundur. Dia terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran yang tertentu.

Setelah lama Pak Tua Mahat membacakannya, tiba-tiba Aki Mat Tera terus memekik. Dia meronta-ronta
bagaikan mahu bangun melawan, tetapi tubuhnya ternyata lemah.

"Bangsat kau Simit..." gerutu Aki Mat Tera. "Dah aku cakap Mahat dengan Sahak jangan jangan diberi
naik ke rumah ni, seksa aku!" dia merintih-rintih kesakitan.

"Kau tak beri aku dengan Sahak datang, fasal takut rahsia kau terbuka!" tiba-tiba Pak Tua Mahat
membentak.

"Rahsia apa?" Aki Mat Tera tersengih-sengih bagaikan orang yang tersipu malu.
"Sekarang pergi dari sini!" jerkah Pak Tua Mahat merenung Aki Mat Tera tidak berkelip matanya.
"Tinggalkan Mat Tera biar diuruskan oleh keluarganya. Kau tidak ada hak nak menguruskan Mat Tera!"
suaranya keras macam memberi amaran yang mengancam.

"Pergi nak ke mana?" tanya Aki Mat Tera seperti tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Pak Tua Mahat.

Ketika ini semua jiran-jiran yang berkumpul di situ melihat Aki Mat Tera berbantah-bantah dengan Pak
Tua Mahat. Tetapi seperti yang diceritakan oleh Aki Sahak kemudiannya kepada saya, masa itu dia
sendiri sudah nampak keadaan sebenarnya. Barulah dia menyesal kerana memarahi abangnya apabila
dituduh berzina dengan kakak ipar sendiri.

Aki Sahak ikut sama menyertai Pak Tua Mahat. Dia melihat satu lembaga besar sedang memangku Aki
Mat Tera seolah-olah seorang ayah sedang meriba anak kecil saja lakunya. Muka lembaga itu tidaklah
jelas sangat hanya seperti bayang-bayang hitam yang terlindung. Lembaga besar itu pun seakan-akan
asap pekat saja.

"Tinggalkan Mat Tera...!" perintah Pak Tua Mahat.

"Nak tinggalkan Mat Tera atau kami serang kamu dengan petir" Aki Sahak pula mencelah.

Lembaga itu memerhatikan Pak Tua Mahat bersama Aki Sahak sudah bersedia untuk menyerangnya. Dia
masih juga meriba Aki Mat Tera seperti ayah yang meriba bayi. Sementara Aki Mat Tera pula dilihatnya
seperti bayi tidur tidak bergerak langsung.

"Kau berdua..." sahut lembaga besar seperti asap tebal itu. "Jangan ganggu aku. Ini anak aku yang mesti
aku jaga. Mengapa kau bersusah payah mahu mengambilnya dari aku" dia ketawa mengejek lalu
melemparkan besi serampang ke dada Pak Tua Mahat. Dengan pantas Pak Tua Mahat menangkap besi
serampang itu. Kemudian diramas-ramasnya hingga menjadi cair.

"Mat Tera tu abang aku, bukan anak kau" kata Aki Sahak sambil membacakan beberapa ayat
dihembuskan kepada lembaga berkenaan.

Ketika ini petir memancar memukul kepala lembaga besar tersebut hingga berkecai. Tidak lama
kemudian dia bertaup semula lantas meriba Aki Mat Tera yang tidur seperti bayi.

"Sia-sia aje kerja kau Sahak" lembaga itu mengejek-ngejek kerana dia terlepas dari ancaman petir tadi.

Belum sempat dia duduk tetap, Pak Tua Mahat menghembuskan ayat-ayat Quran yang datang seperti
gunung menimpa kepala lembaga berkenaan. Dia terhimpit di bawahnya meronta-ronta mahu
melepaskan diri. Puas dia terkial-kial akhirnya dapat juga dia keluar dari bawah gunung yang menimpa
dirinya.

"Nampaknya kau nak bunuh aku, Mahat" pekik lembaga itu meradang.

"Memang aku nak bunuh kau" sahut Pak Tua Mahat pula mengejek. "Sekarang, tinggalkan Mat Tera!"
ujarnya mencabar lembaga tersebut terus bertarung.
Lembaga itu tertawa menyakitkan hati Pak Tua Mahat. Tiba-tiba saja dia melontarkan beratus-ratus
tombak menuju ke dada Pak Tua Mahat. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menghembuskan api
membakar semua tombak-tombak yang berterbangan itu.

Dia masih juga tertawa mengejek Pak Tua Mahat.

Tetapi Pak Tua Mahat tahu lembaga besar yang meriba Aki Mat Tera itu sudah menderita kesakitan.
Bagaimanapun dia tetap berpura-pura menunjukkan serangan yang dibuat ke atasnya tidak memberi
bekas. Inilah yang dipermainkan oleh syaitan bagi menguji kekuatan iman insan. Sekiranya insan cepat
putus asa, maka sudah tentu syaitan akan beroleh kemenangan.

"Kita serang serentak Sahak..." Pak Tua Mahat memberi arahan kepada Aki Sahak.

Aki Sahak membacakan sesuatu lalu berterbangan panah dari api menerkam ke arah lembaga besar itu.
Serentak dengan itu Pak Tua Mahat pula menghembuskan ke arah lembaga tersebut hingga terlempar
rantai besi melilit seluruh tubuhnya. Pak Tua Mahat dan Aki Sahak terus menyerang dari berbagai sudut.

Bukan saja rantai besi melilit tubuh lembaga besar itu, di samping panah api datang dari segenap
penjuru, petir juga berdentum membakarnya. Batu sebesar gunung menimpa kepalanya.

"Kau tipu aku Mahat. Kau berdua dengan Sahak, aku berseorangan. Mana boleh aci macam ni..." dia
menggeliat-geliat menahan serangan bertubi-tubi.

"Aku suruh kau tinggalkan Mat Tera!" suara Pak Tua Mahat semakin keras. Dia tidak berhenti dari terus
menyerang. Habis satu ayat, dibacanya ayat yang lain. Berhenti batu sebesar gunung menimpa
kepalanya, datang pula panah api meradak. Lembaga besar itu terjerit-jerit menahan kesakitan.

Jeritan itu dapat didengar oleh jiran-jiran yang menyaksikan melalui suara Aki Mat Tera yang
menggeliat-geliat di tempat tidur.

Serangan Pak Tua Mahat ditambah lagi oleh serangan Aki Sahak yang tak putus-putus membaca Ayatul
Kursi. Sehingga sampai 333 kali Aki Sahak membacakan Ayatul Kursi terdengarlah rintihan dari lembaga
itu meminta diberhentikan.

"Cukuplah, terseksa aku!" rintih lembaga itu merayu.

"Kalau takut terseksa, pergi sekarang" perintah Pak Tua Mahat.

"Aku tak boleh tinggalkan anak aku" jelas lembaga itu mempertahankan diri.

"Boleh atau tak boleh kau mesti tinggalkan Mat Tera!" tegas Pak Tua Mahat tidak mahu bertolak ansur
pun.

"Ini anak aku" sahut lembaga itu berkeras.

"Sahak, teruskan..." Pak Tua Mahat menyuruh Aki Sahak terus membacakan Ayatul Kursi.

"Jangan, jangan..." lembaga itu menangis teresak-esak melalui Aki Mat Tera yang terbaring lemah.
"Tak tahan aku bahang api, panas..." ujarnya merayu-rayu.

"Aku beri tempoh lima minit" Pak Tua Mahat memberi amaran. "Kalau kau tak pergi juga, aku akan
hancur musnahkan macam debu" katanya menggertap bibir.

Kelihatan Aki Mat Tera tidur nyenyak. Dia tidak bergerak lagi seperti mula-mula kedatangan Pak Tua
Mahat dan Aki Sahak datang. Saya yang duduk di lunjur kakinya bersama emak saya, dapat melihat
ombak dadanya turun naik dengan kencang. Matanya lelap.

Sekali-sekala saya lihat mukanya memang menggerunkan. Pipinya sudah cengkung, sementara matanya
jauh ke dalam. Tulang pipinya menungkal ke atas. Mukanya juga sudah menjadi kecil dan dagunya
kelihatan terlalu panjang. Tetapi dia masih juga terlantar di tempat tidur.

Setelah lima minit, Pak Tua Mahat melihat ke dalam makrifat, dia dapati lembaga itu masih meriba Aki
Mat Tera. Tetapi seluruh badannya sudah bertukar menjadi hitam akibat serangan bertalu-talu tadi.

Bila menyedari Pak Tua Mahat kembali datang untuk menyerang bersama Aki Sahak, lembaga besar itu
melepaskan Aki Mat Tera dari ribaannya. Melihat keadaan ini Pak Tua Mahat tahu lembaga itu sudah
mengalah. Dia tidak sanggup lagi melawan.

"Ilmu kau berdua, bukan ilmu pawang. Aku tak tau apa ilmu yang kamu pakai" lembaga itu bersuara
terketar-ketar.

"Jangan tanya tentang ilmu, sekarang tinggalkan Mat Tera!" jerkah Pak Tua Mahat.

"Kau mahu kami serang lagi...?" tanya Aki Sahak mengeraskan suara.

"Jangan, ampun...ampun" rintihnya menangis teresak-esak. "Aku tak tau jalan balik" katanya berpusing-
pusing di sekeliling Aki Mat Tera.

"Datang tau, balik tak tau ye..." Aki Sahak tidak mempercayai dalih lembaga tersebut.

"Tolonglah lepaskan aku. Bukakan ikatan aku..." lembaga itu merayu bersungguh-sungguh.

Pak Tua Mahat mengangguk. Dia bersetuju dengan permintaan lembaga itu mahu pergi dengan tidak
diganggu. Ikatan yang dimaksudkan oleh lembaga itu ialah terletak pada Aki Mat Tera sendiri. Memang
Pak Tua Mahat tahu mengenai ikatan lembaga tersebut dengan Aki Mat Tera.

"Kak Simit jangan terkejut..." bisik Pak Tua Mahat pada isteri Aki Mat Tera. "Selama ini Abang Mat Tera
pakai ilmu salah, inilah yang menyeksa dia sekarang" beritahu Pak Tua Mahat.

"Habis, apa kakak nak buat?" Simit serba salah bila mendengar keterangan Pak Tua Mahat itu.

"Suruh orang bukakan lantai rumah sekeping, atap sekeping dan anak tangga bawah sekali" jelas Pak
Tua Mahat.
Apa yang dikatakan oleh Pak Tua Mahat itu dilakukan oleh orang. Papan lantai sekeping dikopakkan,
atap juga dibuang sekeping, manakala anak tangga rumah juga ditetas pengikatnya. Setelah semuanya
dilakukan, Aki Mat Tera pun meninggal dunia.

Apabila Aki Mat Tera meninggal dunia, mayatnya pun diselubungkan dengan kain. Mereka pun bersiap-
siaplah untuk menguruskan pengebumiannya pada esok harinya. Ketika mahu memandikan mayat
alangkah terperanjatnya apabila melihat mayat Aki Mat Tera sudah reput. Hanya tulang-tulangnya saja
yang tinggal seolah-olah dia sudah lama meninggal dunia.

Memang benar Aki Mat Tera sudah lama meninggal dunia. Yang dilihat sedang sakit itu hanyalah
lembaga yang memelihara dia. Lembaga itulah yang kuat makan. Dan lembaga itulah yang melarang
Simit dari menjemput Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, kerana dia tahu orang-orang demikian adalah
musuhnya.

Bila mengenangkan sumbangan Aki Sahak ini kepada orang ramai, saya rasa macam berdosa pula mahu
berpindah dari situ disebabkan tidak senang dengan Aki Sahak. Saya seolah-olah mahu melarikan diri
dari membantu dia di situ. Tetapi saya tidak sanggup membuat kerja-kerja seperti dilakukan oleh Aki
Sahak itu.

Saya tidak mahu dijadikan tumpuan oleh masyarakat. Masalahnya berat kalau kita sudah mula mahu
menerima harapan seseorang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Sedangkan semua kerja-kerja ini
mestilah dibuat dengan ikhlas. Bila hati kecil kita sudah mempertikaikan sesuatu, maka kerja-kerja yang
dilakukan itu sudah menjadi sia-sia.

Kadangkala timbul pula tomahan dari orang lain yang mengatakan cara yang dilakukan itu sama seperti
bomoh yang mencari wang. Padahal bukan semua bomoh mencari wang melalui cara pengubatan
mereka. Kalau mahu dikira upah memang tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Aki
Sahak.

Apakah perasaan kita bila dikejutkan orang sewaktu mata baru mahu terlena tengah malam? Bagaimana
kita mahu mencari nafkah apabila semalam-malaman berjaga merawat pesakit? Masyarakat hanya
melihat dari satu aspek saja iaitu bomoh tidak mengeluarkan apa-apa modal apabila mengubati pesakit?

Inilah yang susah hendak dijawab.

Sebab itulah saya mahu melarikan diri dari tempat kerja-kerja demikian. Kadangkala kepala mahu naik
pitam apabila terpaksa membacakan satu-satu ayat itu dengan kusyuk. Ayat-ayat tersebut bukannya
dibaca seperti menghafal senikata lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak muda. Tetapi disekalikan
dengan makrifatnya. Untuk mencapai tingkat itulah yang boleh menyebabkan kepala naik pitam.

Tetapi saya kesihan juga kepada Aki Sahak yang sudah mula mendapat bantuan dari saya. Tentulah dia
kecewa sekiranya saya mengambil keputusan bertukar dari situ. Pernah juga Aki Sahak membisikkan
kepada saya, sementara saya masih bertugas di daerah itu, mungkin Abang Amud bercadang juga mahu
mendalami pengubatan cara ditidurkan ini.

Dalam masa berkira-kira mahu bertukar dari daerah itu hampir saya terlalai kerana Asar sudah masuk.
Isteri saya juga sudah mengingatkan tentang Asar. Saya pun segera mengambil wudhuk di bilik air untuk
menunaikan fardhu Asar berjemaah dengan isteri saya.

Perkara mahu bertukar itu sudah saya beritahu pada isteri saya. Dia juga tidak membantah tujuan saya,
kerana selama ini memang dia sedari saya selalu saja dipanggil orang. Kadangkala terkuap-kuap di
tempat kerja menahan mengantuk.

Pernah juga isteri saya bergurau dengan memanggil saya doktor tak berijazah. Tetapi saya tidaklah
hiraukan sangat. Bukan saya yang meminta diri saya dipanggil, tetapi masyarakat di situ yang mahu
mencari saya. Semenjak Aki Sahak menyuruh mereka mendapatkan saya kalau menghadapi gangguan
syaitan, maka saya sudah menjadi tumpuan.

Asar itu seperti biasa kami terus berjemaah menunaikan fardhu Asar. Semasa masuk rakaat kedua, saya
terdengar ada orang memanggil saya dari halaman. Terpaksa saya mendehem kuat. Kemudian
meneruskan sembahyang saya hingga selesai. Setelah memberi salam saya wirid pendek saja.

Kemudian saya terus ke pintu hadapan menjengah siapa yang memanggil tadi. Sali tercegat di tengah
halaman.

"Ada apa Sali?" tanya saya sambil mempelawanya masuk dahulu.

"Tak payah masuklah ustaz..." sahut Sali tersengih-sengih.

"Aki Sahak panggil?" tanya saya menduga. Selalunya mereka datang berjumpa saya kerana disuruh oleh
Aki Sahak.

Dia mengangguk.

"Kalau macam tu, masuklah dulu" saya berkeras juga mengajak dia masuk dulu. "Masuklah, kita minum
kopi dulu. Lepas tu barulah kita pergi. Tak apa tu, Aki Sahak dah ada cukuplah..." kata saya menyuruhnya
masuk dulu.

"Elok kita cepat ustaz..." ujar Sali mendesak.

"Tak apa, masuklah dulu" ujar saya mendesaknya supaya masuk. Sali menjadi serba salah apabila
didesak.

Mahu tidak mahu terpaksa juga dia masuk. Tetapi saya lihat dia di dalam keadaan rusuh. Mungkinkah
ada gangguan di lombong? Saya rasa puaka air di lombong itu masih belum musnah lagi. Bukanlah satu
perkara mudah untuk menghapuskan mereka sama sekali, kecuali kita hanya boleh menghalang niat
jahat syaitan saja.

"Takkan nak cepat sangat" isteri saya pula keluar dari bilik menyindir. "Datang cuma nak ajak ustaz aje?"
katanya terus berjalan ke dapur.

Sali tersengih-sengih.
Dia tidak banyak bercakap bila sudah duduk. Mungkin dia bimbang orang akan tertunggu-tunggu.
Tentulah mereka menuduh dia tidak boleh diharap disuruh memanggil saya. Sepatutnya dia mesti
segera datang semula membawa saya bersama.

"Apa halnya?" tanya saya.

"Abang Amud ajak ustaz cepat" dia memberitahu.

"Apa halnya...?" ulangi saya.

Sali terdiam. Susah benar dia mahu menerangkan kepada saya. Mengapa pula dia masih mahu
menyembunyikan tujuan kedatangannya. Kalau dia disuruh oleh Abang Amud mendapatkan saya,
mestilah saya hendak tahu jugak apa masalah Abang Amud. Sepatutnya Sali mesti memberitahu.

Tetapi dia tetap membisu. Sama seperti seorang gadis yang bekerja di pejabat daerah yang pernah
menemui saya terlalu susah mahu menerangkan tujuannya. Dia mahu bercakap sama seorang saja
dengan saya. Terpaksalah saya membawanya jauh sedikit. Dia memberitahu tentang seorang lelaki yang
berjanji mahu mengahwini dia, tetapi masih juga enggan masuk meminang. Lelaki itu memberi berbagai-
bagai dalih. Akhirnya menghilangkan diri entah ke mana. Gadis itu meminta saya membuatkan sesuatu
supaya lelaki tersebut kembali kepadanya.

Masalah gadis tersebut tentulah tidak sama dengan Sali. Gadis itu terpaksa menyembunyikannya kerana
masalah peribadi. Saya sendiri tidak tahu apakah caranya mahu menolong, kerana seperti saya katakan,
saya bukanlah seorang bomoh.

Sedangkan gadis berkenaan menyangkakan saya seorang bomoh. Bagaimanapun saya nasihatkan gadis
itu supaya sembahyang Tahajud memohon kepada Allah supaya lembutkan hati lelaki yang telah
merosakkan masa depannya itu dan datang menikahinya. Sama ada dia melakukan atau tidak, saya pun
tidak tahu. Selepas itu saya tidak pernah lagi menemui gadis tersebut.

"Apa halnya?" soal saya lagi.

"Abang Amud suruh ustaz cepat itu saja" jelasnya serba salah.

"Iyalah, cepat nak ke mana?" heran juga saya mengapa Sali tidak mahu berterus terang.

Sebenarnya kalau memerlukan saya cepat pun tidaklah penting sangat, kerana Aki Sahak sendiri
mempunyai pengalaman yang lebih dari saya.

Pengubatan cara tidur yang sering saya katakan itu memang saya belajar dari Aki Sahak juga. Malah
bukanlah perkara yang pelik, kerana ada kawan saya yang pernah bekerja di Sarawak memberitahu, di
Sarawak juga pengubatan secara ini sudah meluas digunakan.

"Cepat, nak ke mana?" saya mendesaknya.

Belum sempat Sali menjawab, isteri saya sudah keluar membawa kopi bersama karipap yang sudah
disediakannya. Sali terus terkebil-kebil mata memerhati isteri saya datang.
"Bagilah can ustaz rehat-rehat di rumah..." isteri saya mengusik.

"Abang Amud yang suruh jemput" beritahu Sali tersengih-sengih.

"Kalau ustaz selalu aje dijemput, saya ni macam mana?" ujar isteri saya. Sebenarnya isteri saya bukanlah
menyindir, sebaliknya dia memang gemar mengusik. Kadangkala kalau orang nipis telinga mungkin
mengatakan isteri saya menyindir. Tetapi dia memang tahu mengapa masyarakat di situ menjemput
saya tergesa-gesa.

Disebabkan mereka tidak pernah mengalami pengubatan yang sering saya dan Aki Sahak lakukan, jadi
mereka menyangka ianya satu perkara baru. Sebenarnya ilmu Allah bukanlah baru, ianya sudah ujud
sejak lama dulu.

"Minumlah dulu..." pelawa isteri saya menghulurkan cawan kepada Sali. "Lepas tu nak ambil ustaz,
ambillah. Tapi hantar balik tau..." katanya tersenyum.

Sali tersengih-sengih mendengar usikan isteri saya itu. "Abang Amud suruh ustaz datang fasal Aki
Sahaklah" kemudiannya dia memberitahu.

"Mengapa Aki Sahak?" tanya saya.

"Entah..." jelas Sali perlahan. "Sejak lepas Zohor tadi dia muntah darah. Fasal itu Abang Amud minta
sangat ustaz datang cepat." katanya bercampur rusuh.

Tidak jadi saya meneguk kopi bila mendengar cakap Sali. Lantas saya suruh isteri saya bersiap-siap untuk
menziarahi Aki Sahak. Dalam kepala saya mula timbul bermacam-macam soalan, bagaimana Aki Sahak
yang sentiasa beringat itu, sekali sekala terlalai juga. Tetapi, inilah sifat insan...
7. TOK AWANG NGAH - TIBA-TIBA MAYAT MENJADI BERAT

TOK AWANG NGAH - CETAKAN PERTAMA 1985


TAJUK BUKU: ULAR DALAM KUBUR WANITA. (12 siri)

MADRASAH Tok Aji dibina di depan rumahnya saja. Ramai penuntut-penuntut yang datang belajar di
situ. Ada yang datang dari Johor, ada yang datang dari Pahang, ada yang dari Selangor dan ada yang
datang dari Negeri Sembilan. Saya ikut sama belajar di madrasah Tok Aji, kerana ayah saya lebih suka
saya memulakan pelajaran pondok. Itu pun dihantar pada sebelah petang saja, kerana paginya ayah
mahu saya belajar di sekolah Melayu atau sekarang ini di sekolah rendah.

Kegiatan saya masa di madrasah Tok Aji ini memang cergas. Saya pernah memenangi pertandingan
syarahan seluruh daerah bagi murid-murid sekolah agama termasuk sekolah pondok. Ustaz Noor yang
membimbing saya hingga menjadi johan syarahan itu sangat gembira.

Tetapi yang hendak saya ceritakan di sini bukanlah pengalaman ketika saya mengaji di madrasah Tok Aji.
Saya tertarik dengan beberapa cerita Tok Aji mengenai kisah masa remajanya ketika di Sumatera lagi.

Seperti saya telah jelaskan, Tok Aji adalah berasal dari Sumatera. Kemudian merantau ke Tanah Melayu
ketika umurnya sudah meningkat dua puluhan. Sebelum datang ke kampung di daerah saya dan
bernikah dengan nenek saya iaitu emak ayah saya, Tok Aji sudah menikah di Semenyih, Selangor. Dia
juga menikah di Singapura dan di Kota tinggi, Johor.

Apa yang Tok Aji ceritakan ialah pengalamannya semasa di Sumatera dari aruah ayahnya. Ketika ini
seorang pelajar bertanya kepada ayah Tok Aji mengenai tingkah laku orang yang nazak, sama ada
mereka yang tersenyum itu sudah ternampak ganjaran baik dari Allah.

Ayah Tok Aji menerangkan belum tentu orang yang nazak itu tersenyum kerana ternampak ganjaran dari
Allah. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Boleh jadi orang yang tersenyum tatkala nazak itu
sedang mendengar janji-janji iblis yang menunggu peluang, manakala orang yang masam mukanya itu
sedang memarahi iblis yang cuba mengganggu.

"Kita tak tahu rahsia itu..." jelas Tok Aji semasa mengajar apabila saya sudah mula dewasa.

Tok Aji juga menceritakan tentang seorang yang terkenal sebagai ahli agama di Sumatera, yang
mempunyai madrasah sendiri. Dia juga digelar orang ulama di kampung tersebut. Ulama ini mempunyai
seorang anak yang mempunyai kelulusan dari Mesir.

Satu hari ulama itu pun meninggal dunia. Selang beberapa hari selepas kematiannya orang-orang
kampung menjadi terkejut melihat seekor harimau sedang wirid di atas masjid. Apabila dipandang dari
belakang rupanya seakan-akan ulama yang baru meninggal dunia itu.

Tiap-tiap waktu Maghrib harimau berkenaan dilihat ada di tempat ulama itu selalu duduk. Disebabkan
orang-orang kampung takut dengan kehadiran harimau tersebut, mereka pun memberitahu kejadian itu
kepada anaknya. Setelah dilihat oleh anaknya, jelaslah kepada dia memang harimau itu adalah jelmaan
dari ayahnya.
Alangkah anehnya seorang ulama apabila mati telah menjelma menjadi harimau. Sebagai orang yang
berpelajaran tinggi dalam agama, si anak tadi terus datang kepada harimau yang sedang wirid itu.
Berkatalah si anak, "Ayah, apa boleh buat kehendak Allah begini. Kita tak boleh menolak iradatNya.
Bagaimanapun janganlah ayah datang lagi ke sini, kerana orang-orang kampung takut dengan keadaan
ayah sekarang.

Mendengarkan kata-kata si anak itu maka harimau itu menangis. Air matanya mengalir dari pelupuk
mata, dia hanya mengangguk-angguk seolah-olah faham akan kata-kata manusia. Kemudian dia
dipimpin oleh si anak turun dari masjid lalu dibawa balik ke kuburnya. Dia ghaib sebaik saja sampai ke
atas kubur.

"Rahsia demikian pun hanya Allah saja yang Maha Mengetahui..." Tok Aji menerangkan.

Memang seronok mendengar Tok Aji bercerita mengenai pengalamannya semasa menerangkan sesuatu
kejadian yang dianggap aneh oleh orang. Kerana bagi Tok Aji tidak ada satu kejadian pun di muka bumi
ini yang aneh, disebabkan semua itu adalah di dalam kudrat dan iradat Allah belaka.

Dalam masa Tok Aji bercerita mengenai pengalamannya inilah Dolah Moyok datang termengah-mengah
mencari Tok Aji. Tergagap-gagap Dolah Moyok bila ditanya mengapa dia tercungap-cungap macam
dikejar anjing gila. Lama Dolah Moyok jadi ayam berak kapur, barulah dia dapat bertenang.

"Mengapa kau ni, ada apa halnya?" Tok Aji geli hati dengan kelakuan Dolah Moyok termengah-mengah
berlari mendapatkan dia di madrasah.

"Mak, minta Pak Aji datang ke rumah" jelas Dolah Moyok masih lagi tercungap-cungap menahan
mengah.

"Apa halnya?" Tok Aji mendesak.

"Dia suruh Pak Aji datang aje..." beritahu Dolah Moyok tidak ketahuan.

Disebabkan Dolah Moyok tidak dapat menerangkan maka Tok Aji tidaklah bertanya lebih lanjut.
Sebaliknya dia tersengih-sengih geli hati melihatkan telatah Dolah Moyok.

"Kau balik dulu, nanti Pak Aji datang" kata Tok Aji.

Dolah Moyok terus balik. Dia tidak peduli sama ada Tok Aji datang atau tidak. Dia pun tidak mahu
menunggu Tok Aji.

Tetapi Tok Aji tahu Dolah Moyok itu bodoh-bodoh alang. Salahnya, Mak Munah sendiri yang
mengharapkan anaknya itu. Sudah tahu Dolah Moyok bodoh-bodoh alang mengapa diserahkan pada dia
membuat urusan. Bagaimana kalau Tok Aji menyangka urusan itu tidak penting, dan dia sengaja lambat
datang?

Puas memikirkan mengapa Dolah Moyok datang tergesa-gesa, barulah Tok Aji mengambil keputusan
mahu melihat segera masalah yang dihadapi oleh Mak Munah. Kalau tidak perkara mustahak tentulah
Mak Munah tidak tergesa-gesa menyuruh Dolah Moyok menjemput.
Bagaimanapun Tok Aji mengajak nenek pergi bersama.

Ketika Tok Aji sampai di rumah Mak Munah keadaan di dalam rumah itu muram. Mak Munah menangis
teresak-esak. Dolah Moyok duduk di sudut serambi terkebil-kebil mata. Dua tiga orang jiran sudah pun
sampai terlebih dulu dari Tok Aji. Melihat keadaan itu Tok Aji menjadi bingung.

"Mengapa ni...?" tanya Tok Aji memerhatikan Mak Munah.

"Abang Aji dah lambat..." Mak Munah mengongoi hiba.

"Mengapa?" ulangi Tok Aji.

"Masuklah ke dalam" katanya dengan tidak menerangkan apa-apa.

Tok Aji tidak membantah. Dia terus masuk ke dalam mahu memastikan apakah yang menyebabkan Mak
Munah muram. Apabila dia masuk ke dalam dilihatnya anak gadis Mak Munah terlentang tidak
bergerak. Darah mengalir di mulut gadis itu. Nafasnya juga tidak berombak-ombak lagi seperti sewaktu
Dolah Moyok berkejar mendapatkan Tok Aji.

"Milah, Abang Aji" jelas Mak Munah tersedu-sedu.

"Milah dah tak ada, dah tak ada" dia masih mengongoi menahan kesedihan yang menimpa ke atas anak
gadisnya itu.

Milah baru berumur 16 tahun. Orangnya memang cantik, sebab itu di kampung dia dikenali dengan
panggilan Milah Cantik. Kerana kecantikan Milah, ramai pemuda-pemuda yang terpikat kepadanya.
Tetapi bukanlah senang mahu memikat Milah.

Milah masih boleh mengawal dirinya dari digoda. Apa lagi dia mendapat didikan agama dari madrasah
Tok Aji. Bagaimanapun hanya beberapa bulan sebelumnya malapetaka menimpa diri Milah Cantik. Dia
didapati mengandung enam bulan. Setelah perutnya membesar barulah berita dia mengandung itu
pecah.

Mak Munah sudah pun menemui Tok Aji meminta doanya supaya kandungan itu digugurkan, tetapi Tok
Aji enggan. Tok Aji nasihatkan supaya biarkan saja Milah Cantik lahirkan bayi dalam kandungan itu
sampai selamat. Manakala Milah Cantik pula tidak mahu memberitahu siapakah yang melakukan
sehingga dia mengandung.

"Kalau kita buang, sama juga macam membunuh" jelas Tok Aji pada Mak Munah. "Apa nak dimalukan
kepada manusia, sedangkan kepada Allah tidak malu ketika melakukannya" Tok Aji menasihatkan Mak
Munah supaya bersabar.

Tetapi Mak Munah tidak dapat menahan sabar. Dia mahu menghalau saja Milah Cantik dari rumah
kerana memberi malu kepada keluarga. Marah sangat dia dengan perbuatan anak gadisnya itu. Sia-sia
dia menyuruh belajar agama di madrasah Tok Aji. Sia-sia pelajaran agama yang dididik oleh Tok Aji
selama ini hingga sanggup mencemarkan nama baik keluarga dan kampung halaman sendiri.
"Jangan bertindak terburu-buru..." kata Tok Aji lagi mengingatkan Mak Munah. "Boleh jadi bukan salah
Milah. Boleh jadi dia diperkosa orang, sebab itu dia malu menerangkan siapa yang melakukannya" dia
menyabarkan Mak Munah yang sudah mula hilang punca akibat malapetaka yang menimpa keluarganya
itu.

Tidak pula disangka oleh Tok Aji tindakan Milah selanjutnya sampai demikian. Baru beberapa hari
sebelum itu Tok Aji menasihatkan Milah Cantik supaya bersabar. Tok Aji sendiri meminta Milah Cantik
menerangkan siapakah lelaki yang telah melakukan perbuatan terkutuk itu.

Milah Cantik menceritakan kepada Tok Aji dengan linangan air mata. Segala rahsianya dicurahkan
kepada Tok Aji. Atas sebab-sebab inilah Tok Aji meminta dia bersabar, kerana pada pendapat Tok Aji
kesalahan itu tidak seharusnya dibebankan kepada Milah Cantik. Sayangnya, Milah Cantik tidak dapat
juga menerima nasihat Tok Aji. Dia membunuh diri dengan meminum racun tikus yang digunakan oleh
Mak Munah untuk meracun tikus di sawah.

"Kalau saya cepat sampai pun, mungkin Milah tak dapat diselamatkan Munah" Tok Aji menasihatkan
Mak Munah supaya bertenang. "Ajalnya sudah ditentukan demikian, siapa pun tak dapat
menyelamatkan..." keluh Tok Aji lalu menutup mayat Milah Cantik.

Bila mengenangkan cerita Milah Cantik terasa juga sebaknya dada Tok Aji. Tidak disangkanya gadis
secantik Milah itu sanggup meminum racun tikus hanya disebabkan mengandung. Tetapi Tok Aji sudah
menasihatkannya supaya bersabar, sayangnya Milah Cantik tidak dapat menahan kesabaran.

Sebagai gadis cantik, Milah Cantik selalu diusik oleh pemuda-pemuda yang ingin memikatnya.
Kadangkala usikan itu sampai menyakitkan hati pula. Akibat dari usikan yang sudah melampaui batas itu,
sekali sekala Milah Cantik terpaksa juga mengeluarkan kata-kata kesat. Inilah yang terjadi dengan
seorang duda bernama Lajak Jongang apabila mengusik Milah Cantik.

Kalau mahu dikira tua Lajak Jongang tidaklah tua sangat baru berumur kira-kira 38 tahun. Tetapi
tidaklah patut dia cuba memikat gadis baru berumur 16 tahun seperti Milah Cantik. Dia bercerai dengan
isterinya disebabkan Lajak Jongang suka main daun terup berjudi. Kadangkala semalaman tidak balik ke
rumah.

Setelah bercerai Lajak Jongang jadi miang tidak menentu. Pantang nampak dahi licin dia akan cuba
memikat. Mahu dikira tampan tidaklah tampan Lajak Jongang ini. Kulitnya putih kuning, tetapi bertubuh
kurus ceding. Giginya jongang sedikit dan mukanya banyak ditumbuhi jerawat.

"Hai Milah..." tegur Lajak Jongang ketika Milah Cantik singgah membeli biskut di kedai Mamak Kadir.
"Orang cantik bertambah cantik bila pakai kurung merah jambu" katanya mengusik.

Milah Cantik tidak menyahut. Dia mengerling masam. Menyampah sangat dia dengan Lajak Jongang.
Tidak sedar diri sudah beranak lima, cuba nak memikat gadis seperti dia. Bukan sekali dua Lajak Jongang
bersikap demikian. Sudah selalu sangat dia mengusik bila bertemu dengan Milah Cantik.

"Janganlah marah, takkan tak boleh nak bergurau sedikit" usik Lajak Jongang lagi.
Dua tiga orang pemuda ada tercongok di bangku panjang di kedai Mamak Kadir itu sedang menunggu
kawan-kawan lain mahu bermain terup, tertawa berdekah-dekah mengejek Lajak Jongang cuba memikat
Milah Cantik.

"Anak orang jangan diusik Abang Lajak" kata seorang pemuda. "Nanti kena ludah baru padan jadi ubat
jerawat..." ujarnya macam mahu menyakitkan hati Lajak Jongang.

Marah juga Lajak Jongang bila diungkit fasal mukanya yang penuh jerawat itu. Mahu saja dipeluknya
Milah Cantik di situ untuk membuktikan pada anak-anak muda itu bahawa dia masih boleh memikat
gadis cantik seperti Milah Cantik.

"Kalau aku nikah dengan Milah baru padan muka engkau orang" sahutnya kesal kerana diejek.

"Bagi can orang muda Abang Lajak" anak-anak muda yang bertenggong di bangku panjang terus
mengejeknya. "Abang Lajak dah tua, anak dah empat lima orang. Nak bersanding pun dah tak padan"
siul mereka melangsing ikut sama mengusik Milah Cantik.

"Kau tengoklah nanti..." marah sangat Lajak Jongang dipersendakan oleh anak-anak muda. "Kalau Lajak
tak bersanding atas pelamin dengan Milah Cantik, jangan haraplah kau orang nak bersanding.
Kempunanlah engkau orang semua" ujarnya menggertap bibir.

Anak-anak muda terus ketawa mengejek. Masakan Milah Cantik boleh terpikat dengan Lajak Jongang
kaki main terup pakau. Rupa pun tidaklah boleh memikat. Sudahlah muka tirus, jerawat batu pula timbul
dua tiga hingga muka jadi bokop. Lainlah macam P.Ramlee bintang filem terkemuka ketika itu.
Walaupun badan kurus ceding, muka bokop berjerawat, P.Ramlee boleh menyanyi, berlakon dan
terkenal. Siapa yang tidak tergila-gilakan bintang filem masa itu.

Tetapi Lajak Jongang orang kampung menoreh getah. Asyik pula menghabiskan masa di belakang kedai
kopi Mamak Kadir bermain terup pakau. Ada isteri pun lari meninggalkan dia. Macam mana pula ada
keinginan memikat Milah Cantik gadis comel baru berumur 16 tahun itu.

"Jangan pungguk rindukan bulan Abang Lajak..." ketawa budak-budak semakin meninggi. Terasa pada
Lajak Jongang dia benar-benar dipandang seperti lelaki tidak berharga di sisi wanita. Mentang-
mentanglah isterinya lari menuntut cerai, tidak bererti dia tidak dihargai oleh isterinya.

Malu benar-benar dihina oleh anak-anak muda itu di depan Milah Cantik. Dia terus merapati Milah
Cantik tersengih-sengih.

"Milah..." dia tersenyum menegur Milah Cantik.

"Ah, sudah..." bentak Milah Cantik mencapai biskut yang dibelinya dari kedai Mamak Kadir. "Tak padan
dah tua nak jadi ulat bulu. Kalau miang sangat mengapa biarkan Kak Dah lari dari rumah" kata Milah
Cantik marah. Tersinggung sangat dia dengan sikap Lajak Jongang tidak sedar diri itu.

"Hei, Milah..." panggil Lajak Jongang serba salah. Tetapi Milah Cantik sudah pun berlari keluar dari kedai
Mamak Kadir.
Anak-anak muda di bangku panjang terus ketawa mengejek. Tebal rasanya muka Lajak Jongang
mendengar kata-kata Milah Cantik tadi. Perkara Midah lari meninggalkan dia tidak wajar diungkit oleh
anak gadis seperti Milah Cantik. Mungkin Midah melarikan diri disebabkan selalu meleteri dia,
menyebabkan dia cepat naik angin.

Dia benar-benar merasa terhina bila seorang gadis mentah berani mempertikaikan keruntuhan
rumahtangganya. Lajak Jongang terus meninggalkan kedai Mamak Kadir dalam ejekan anak-anak muda
yang ketawa berdekah-dekah.

Semalaman Lajak Jongang tidak dapat melelapkan mata. Malu benar dia mendengar kata-kata Milah
Cantik di depan anak-anak muda yang suka mengejek. Kalau Milah Cantik tidak sudi menyahut pun
janganlah ungkit fasal kegagalan rumahtangganya dengan Midah.

Esoknya pagi-pagi lagi Lajak Jongang menemui Tok Batin di hulu kampung. Hampir sebulan dia berulang
alik menemui Tok Batin sehingga dia tidak pernah lagi menjenguk muka di kedai Mamak Kadir.
Kuranglah kaki main terup pakau dengan ketiadaan Lajak Jongang.

Tup-tup satu hari terjongol saja muka Lajak Jongang di kedai Mamak Kadir. Apabila dipelawa main terup,
dia terus saja tumpang sekali. Semasa bermain ini anak-anak muda juga mengusiknya. Mereka
mengatakan Lajak Jongang merajuk kerana Milah Cantik tidak mahu melayan.

"Merajuk, siapa nak pujuk Abang Lajak!" Johar menyinggung bahunya sambil tersengih-sengih. "Takkan
Milah Cantik nak datang pujuk" celah Leman pula.

Mereka ketawa terkekeh-kekeh untuk menyakitkan hati Lajak Jongang. Tetapi Lajak Jongang tidak
marah.

Dia hanya tersenyum saja, walaupun mukanya merah padam menahan marah.

"Nanti Abang Lajak gigit jari..." cepat-cepat Kahar menyampuk. "Milah Cantik selalu jeling-jeling Johar
nampaknya sekarang ni" ujarnya disambut ketawa berderai.

Dalam masa mereka mengusik-ngusik Lajak Jongang itu, Milah Cantik datang ke kedai Mamak Kadir.
Apabila mereka tahu Milah Cantik datang cepat-cepat Johar menguis bahu Lajak Jongang. Tetapi dia
tidak ambil peduli langsung anak-anak muda itu mengusiknya.

Sebaik sampai saja di kedai Mamak Kadir, terus saja Milah Cantik menjengah ke belakang kedai
memerhati orang bermain terup. Tidak pernah selama ini dia menjengah ke situ. Selepas terpandang
Lajak Jongang bermain terup dia tersenyum mengerling ke arah lelaki duda tersebut.

Lajak Jongang pura-pura tidak nampak Milah Cantik memerhatikan dia. Anak-anak muda yang mengejek
juga terdiam dengan perubahan Milah Cantik mengerling dan tersenyum merenung Lajak Jongang itu.
Mereka melihatnya seperti dalam mimpi saja, bagaimanakah Milah Cantik boleh tersenyum merenung
Lajak Jongang.
Sejak dari hari itulah Milah Cantik sentiasa teringatkan Lajak Jongang. Tidur pun sentiasa termimpi-
mimpikan Lajak Jongang datang. Dia merasa gembira apabila dibelai Lajak Jongang. Setiap malam seperti
ada saja orang memandunya datang menemui Lajak Jongang di rumah lelaki duda bermuka bokop itu.

"Rumah abang buruk..." bisik Lajak Jongang merangkul tubuh gadis itu.

"Milah bukan mahu rumahnya" sahut Milah merebahkan kepala ke lengan Lajak Jongang. "Habis, Milah
mahu apa?" Lajak Jongang memain-mainkan anak rambut Milah Cantik. Setiap sentuhan jari Lajak
Jongang tetap mendebarkan dia. Milah Cantik merasakan dunianya hanya untuk Lajak Jongang saja. Dia
tidak mahu berenggang walau sesaat pun dari Lajak Jongang.

"Milah mahu apa?" ulangi Lajak Jongang perlahan.

"Milah mahu abang..." sahut gadis itu mengusap-ngusap pipi lelaki duda tersebut.
"Abang tak lawa!"

"Ah, Milah pun bukannya cantik sangat"

"Tapi, Milah memang cantik"

"Abang pun apa kurangnya...!"

"Abang dah tua, duda pula..."

"Tapi Milah, sayangkan abang". Akhirnya Milah menyerahkan segala-galanya pada Lajak Jongang.
Dapatlah Lajak Jongang membalas dendam, setelah Milah Cantik menghina dia ketika di kedai Mamak
Kadir. Selama berulang alik berjumpa Tok Batin itulah dia telah memuja Milah Cantik.

Selepas puas melepaskan hawa nafsunya terhadap gadis mentah itu, Lajak Jongang pun memulihkan
semula semangat Milah Cantik. Sejak itu Milah Cantik kembali sedar apa yang berlaku. Dia bagaikan
mahu menjerit bila menyedari bahawa kehormatannya sudah dinoda oleh lelaki yang dibencinya selama
ini.

Apabila dia menyedari dirinya mengandung, Milah Cantik sengaja mendiamkan diri. Dia bimbang kalau
dia menerangkan kedudukan sebenarnya tentulah emaknya memaksa dia bernikah dengan Lajak
Jongang, sedangkan hatinya tidak terbuka pun mahu menerima Lajak Jongang.

Hinggalah saat Milah Cantik menutup mata dengan meminum racun tikus, tidak siapa pun mengetahui
rahsianya. Kecuali Tok Aji satu-satunya yang mengetahui tentang Lajak Jongang. Tok Aji jugalah yang
tahu tentang perbuatan Lajak Jongang memuja semangat Milah Cantik supaya menyerah kepadanya.

Ketika hayatnya Milah Cantik disuruh oleh Tok Aji melakukan solat sunat Tahajud setiap malam, supaya
dirinya dilindungkan dari sebarang bencana malu. Biarlah masyarakat dapat menerima hakikat
sebenarnya bahawa dirinya telah diperalatkan oleh syaitan yang bertopengkan manusia.

Sama ada dia melakukannya atau tidak, Tok Aji sendiri tidak tahu. Tetapi menurut cerita Mak Munah
memang setiap malam Milah Cantik bangun tengah malam menunaikan solat sunat. Apakah doanya
tidaklah diketahui oleh Mak Munah.
Tetapi, mengapa pula dia tergamak meminum racun kalau sentiasa mengerjakan solat?

Disebabkan dia mati ketika mengandung orang-orang kampung menasihatkan Mak Munah supaya
mengkebumikan Milah Cantik mengikut kepercayaan mereka iaitu membubuh jarum di tapak tangan,
telur di bawah ketiak dan emas di dalam mulutnya. Kononnya, kalau tidak dilakukan begitu dia akan
bertukar menjadi langsuyar.

Walaupun Tok Aji tidak bersetuju dengan kepercayaan tersebut, tetapi dia tidaklah membantah. Dia
tidak mahu masyarakat akan membuat anggapan buruk pula kalau ditegur kepercayaan mereka.
Akibatnya boleh mendatangkan perpecahan di kalangan masyarakat apabila berbantah-bantah.

Dalam masa orang ramai sedang membuat persiapan untuk memandikan, tiba-tiba suasana menjadi
gempar bila Lajak Jongang datang menangis-nangis menyembah kaki Mak Munah. Dia mengaku di
depan Mak Munah melakukan perbuatan terkutuk itu menyebabkan Milah Cantik mengandung. Dia
sendiri tidak menyangka Milah Cantik tergamak membunuh diri. Malah kalau Milah Cantik sudi dia
sanggup mengambilnya menjadi isteri.

Akhirnya Lajak Jongang terpaksa menceritakan semua yang dilakukannya terhadap Milah Cantik. Orang-
orang kampung mendengar pengakuan itu dengan rasa benci, kerana selama ini mereka menuduh
tentulah kalau tidak bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Dengan pengakuan Lajak Jongang itu
barulah mereka sedari bahawa Milah Cantik hanya teraniaya selama ini.

Serentak dengan itu Mak Munah sudah mencapai parang mahu menerkam Lajak Jongang. Terpaksalah
orang ramai mententeramkan keadaan.

"Yang mati, dah tentulah mati...!" Ketua Kampung mengingatkan Mak Munah. "Jangan yang hidup pula,
tak ada beban batu digalas. Cukuplah Munah, jangan ikutkan sangat perasaan kau" nasihat Ketua
Kampung.

"Binatang ni salah, binatang ni salah!" Mak Munah menangis teresak-esak sambil meronta mahu
melepaskan diri dari pegangan orang ramai.

Lajak Jongang tidak berganjak menunggu serangan Mak Munah. Dia seolah-olah menyerahkan diri saja
tidak bertindak melarikan diri pun.

"Munah...!' Tok Aji pula bersuara. "Pengakuan Lajak di hadapan orang ramai ini satu rahmat besar dari
Allah. Sepatutnya kau bersyukur, kerana Allah telah menunjukkan kepada hambaNya bahawa anak kau
tidak berdosa. Dia dianiaya" jelas Tok Aji meminta Mak Munah bertenang.

Semakin lemah Mak Munah dipegang ramai-ramai. Dia tidak berdaya lagi mahu meronta. Kalau ikutkan
perasaannya memang dia tidak benarkan Lajak Jongang menjejakkan kaki ke rumahnya. Tetapi Lajak
Jongang sedikit pun tidak mengangkat muka walau dimaki macam mana pun.

"Sabarlah Munah" pujuk Tok Aji lagi.

Mak Munah dipapah ke dapur untuk meredakan suasana kerana Lajak Jongang tetap melutut di sisi
jenazah. Dia tidak mahu berundur walaupun orang ramai menasihatkan dia supaya meninggalkan rumah
tersebut buat sementara waktu. Bila keadaan sudah pulih barulah diselesaikan perkara itu dengan Mak
Munah.

Ketika jenazah hendak dimandikan orang menjadi bingung kerana mereka tidak terangkat jenazah untuk
ditatang ke tempat dimandikan. Hingga tujuh lapan orang lelaki mencuba mengangkatnya, tetapi
jenazah tidak bergerak sedikit pun.

Puas mencubanya, maka mereka pun mengadukan hal itu kepada Ketua Kampung.

"Macam mana Pak Aji...?" tanya Ketua Kampung dalam kebingungan. "Tak pernah pula saya menemui
kejadian macam ni seumur hidup saya" katanya keheranan mendengar penerangan dari orang-orang
yang mahu memandikan jenazah.

"Lajak..." Tok Aji memanggil Lajak Jongang. "Boleh jadi dia meminta pertolongan kau" ujarnya
menyuruh Lajak Jongang mengangkat jenazah itu ke tempat hendak dimandikan.

Mudah saja Lajak Jongang menatang jenazah itu seorang diri. Heran juga orang yang mengangkat mua-
mula tadi, kerana mereka telah mencubanya beramai-ramai tetapi tidak berjaya. Bagaimana dengan
Lajak Jongang hanya seorang diri saja boleh mengangkat jenazah tersebut.

Mereka mula menuduh Lajak Jongang masih menggunakan ilmu Tok Batin, sebab dia sendiri mahu
mengangkat jenazah Milah Cantik. Memang Lajak Jongang yang menyebabkan mayat menjadi berat.
Bagaimanapun Tok Aji menasihatkan mereka supaya tidak menuduh sesuka hati.

"Serahkan kepada Allah, hanya Allah Yang Maha Mengetahui..." Tok Aji mengingatkan mereka.

Tetapi mereka tidak puas hati dengan alasan Tok Aji. Saudara mara Mak Munah juga menyimpan
dendam pada Lajak Jongang. Kalaulah tidak mengenangkan Tok Aji dengan Ketua Kampung memang
mereka mahu menghalau Lajak Jongang dari situ. Kedatangan Lajak Jongang semata-mata untuk
menimbulkan keributan saja.

"Entah apa tangkal yang dipakainya, fasal itu jenazah jadi berat" rungut salah seorang dari mereka.

Tok Aji tidak peduli sangat dengan rungutan demikian. Dia hanya memberi nasihat, kalau orang tidak
mahu mendengar nasihatnya dia tidak ambil peduli sangat. Terpulanglah pada orang itu sama ada mahu
menerima nasihatnya atau tidak.

Setelah selesai dimandikan dengan sempurna maka dikapankan oranglah jenazah Milah Cantik.
Terpaksalah Lajak Jongang mengangkat jenazah itu untuk dikapankan dan kemudiannya diletakkan di
depan Tok Aji untuk disembahyangkan. Setelah selesai disembahyangkan dimasukkan ke dalam
usungan. Lajak Jongang juga terpaksa membawanya ke dalam usungan.

Ketika usungan hendak dibawa ke kubur sekali lagi tidak dapat dilakukan. Usungan tidak bergerak
langsung dan mereka yang memikul usungan terasa jenazah itu terlalu berat. Mahu tidak mahu
dipanggil juga Lajak Jongang memikul usungan.

Barulah orang-orang yang merungut tadi sedar akan kata-kata Tok Aji hanya Allah Yang Maha
Mengetahui. Kalau semasa memandikan jenazah bolehlah mereka menuduh Lajak Jongang
menggunakan tangkal azimat supaya jenazah menjadi berat, bagi membolehkan dia memeluk jenazah
untuk melepaskan geramnya kepada gadis kesayangannya. Tetapi bagaimana pula dengan usungan?

Sepanjang jalan kira-kira setengah batu menuju ke tanah perkuburan Lajak Jongang tidak dapat bergilir-
gilir seperti orang lain memikul usungan jenazah. Kalau Lajak Jongang menukarkan kepada orang lain
maka usungan itu tidak dapat dibawa bergerak ke depan.

Masing-masing merasa terlalu berat. Mereka tidak dapat melangkah langsung. Mahu tidak mahu
terpaksa juga Lajak Jongang memikulnya dengan tidak dapat bergilir-gilir. Lajak Jongang tidak
membantah. Dia terpaksa melakukan kerana dia merasa berdosa menyebabkan Milah Cantik jadi
demikian.

Untuk menebus dosanya, dia sanggup melakukan apa saja di hari pengebumian Milah Cantik. Orang
ramai yang melihat Lajak Jongang berpeluh-peluh memikul usungan itu mula merasa simpati
terhadapnya. Tetapi mereka tidak dapat menolong. Walaupun ada orang yang mahu menggilirkan dia
memikul usungan, tiba-tiba saja usungan tidak bergerak. Kaki mereka tidak dapat melangkah kerana
menahan beban yang terlalu berat.

"Sabarlah, Lajak" bisik Tok Aji yang berjalan berhampiran dengannya.

Lajak Jongang hanya mengangguk. Dia teringat juga akan masa manisnya bersama Milah Cantik,
sekalipun melalui guna-guna yang dipuja oleh Tok Batin. Memanglah Milah Cantik bukan dengan rela
hati menyerahkan tubuhnya kepada dia, namun kenikmatan itu tetap tidak dapat diluputkan dari
jiwanya.

"Ingatlah, Allah Maha Pengampun..." Tok Aji memberi nasihat kepadanya kerana kasihan melihat Lajak
Jongang tersenget-senget bahu memikul usungan jenazah.

Lajak Jongang tidak menyahut. Dia mengangguk lemah. Air matanya berlinang di pelupuk mata
menyesali perbuatannya terhadap gadis mentah yang tidak berdosa itu.

Apabila sampai di kubur, sekali lagi menjadi kecoh kerana jenazah tidak dapat diturunkan ke liang lahad.
Mereka semua tidak terdaya mahu mengangkat jenazah. Disebabkan mereka sudah tahu masalahnya,
maka disuruh saja Lajak Jongang masuk ke dalam kubur menyambut jenazah.

Lajak Jonganglah menyambutnya, dan dia jugalah yang memasukkan jenazah ke liang lahad. Sebaik saja
orang mengambuskan tanah, tiba-tiba Lajak Jongang tidak dapat mengangkat kakinya. Dia meronta-
ronta mahu melepaskan kakinya yang terlekat di tanah.

"Tanah ni lekit..." katanya sambil menghulurkan tangan minta ditarik ke atas. Sebaik saja mahu ditarik ke
atas kakinya semakin tenggelam. Terpaksalah berhenti orang menariknya. Asal saja cuba ditarik maka
kakinya akan bertambah tenggelam. Puas Lajak Jongang meronta mahu melepaskan diri, tetapi tidak
juga berjaya.

Selagi Lajak Jongang tidak ditarik naik ke atas maka kubur tersebut tidak dapat dikambus. Memang
keadaan semakin terdesak. Tok Aji pun menyuruh Lajak Jongang berastaghfar. Masing-masing
bertambah bingung dengan kejadian yang berlaku tidak semena-mena itu.
"Cuba kau melompat Lajak..." ujar Mak Munah yang mula kasihan melihat Lajak Jongang bersusah payah
mengkebumikan anaknya.

Lajak Jongang cuba melompat tetapi tidak boleh bergerak. "Kaki saya panas" katanya mendongak ke
atas terkebil-kebil mata. Suaranya gementar dalam ketakutan.

Tok Aji mengadap kiblat terus azan dengan lantang suaranya. Selepas azan Tok Aji merenung ke liang
lahad, lalu dia masuk ke lubang kubur. Tok Aji membongkok bagaikan bercakap-cakap dengan jenazah
Milah Cantik. Kemudian dia berdiri semula sambil berkata dengan tenang,

"Milah, pergilah kau saja. Tinggalkan Lajak di sini, biarlah urusan Allah diserahkan kepada Allah".

Setelah itu Tok Aji memberi isyarat supaya Lajak Jongang ditarik ke atas. Barulah Lajak Jongang dapat
ditarik. Selepas itu disempurnakanlah pengkebumian Milah Cantik. Bagaimanapun Lajak Jongang tidak
lama kemudiannya jadi gila. Seluruh badannya dipenuhi tokak. Kira-kira dua tahun dia menanggung
pernderitaan itu, Lajak Jongang pun meninggal dunia.
8. TOK AWANG NGAH - DENDAM ANGUT LUMPUH

SEBATANG parit yang melintasi tengah kampung selalu dikaitkan oleh orang-orang kampung dengan
dendam Angut Lumpuh. Siapa saja yang terkena dendam Angut Lumpuh nescaya akan menjadi lumpuh
kalau umur panjang, sebaliknya kalau sampai ajal akan mati. Apakah yang dikatakan Angut Lumpuh ini
pun saya tidaklah tahu sangat, cuma Kadir Misai yang mengajak saya ke Jerantut di Pahang apabila
adiknya dikatakan sakit akibat disampuk dendam Angut Lumpuh ini.

Kadir Misai pun hanya mengesyaki saja adiknya disampuk dendam Angut Lumpuh. Ini disebabkan
apabila penduduk kampung itu diserang sakit luar biasa, maka mereka akan cepat mengesyaki terkena
sampuk Angut Lumpuh.

Kerana tidak mahu menghampakan hati Kadir Misai saya pun bersetuju ke Jerantut pada malam itu juga.
Lagi pun saya sendiri ingin untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu. Kalau puaka
mengapa pula dinamakan Angut Lumpuh? Kalau jenis syaitan dari mana pula datangnya nama Angut
Lumpuh?

Ketika saya sampai di rumah ayah Kadir Misai, memang adiknya berumur 13 tahun masih tidak sedar
diri. Kata Lebai Man iaitu ayah Kadir Misai sudah tiga hari Zuki anaknya tidak sedarkan diri.

"Kenapa awak tak panggil Ulung Bahar di Lancang?" tanya saya pada Kadir Misai.

"Ah, awak pun sama juga ustaz..." bisiknya.

"Tapi lebih elok orang sini juga" kata saya cuba menarik perhatian dia.

"Mana nak ingat semua tu, dalam keadaan macam ni" ujarnya sambil memanjangkan bibir menunjuk ke
arah adiknya yang terlentang di tengah rumah.

"Kawan ingat, usaz pun bolehlah..." jelasnya perlahan

."Ha, cubalah ustaz" Lebai Man pula menggesa.

Sukar juga saya mahu membuat keputusan. Orang sudah mendesak supaya saya tengokkan Zuki. Kalau
saya mahu berdalih mengapa tidak menolak semasa Kadir Misai datang menjemput ke rumah.
Sebenarnya saya datang hanya untuk mengetahui apakah yang dikatakan Angut Lumpuh itu.

Kebetulan Dukun Pak Cu Jabat sudah mengubatnya. Dia sendiri meminta saya pula mencubanya. Dukun
Pak Cu Jabat juga mengesyaki memang angkara Angut Lumpuh. Dari dialah saya diberitahu mengenai
parit yang melintasi kampung, yang telah saya lalui bersama Kadir Misai ketika datang ke situ, memang
ada kaitan dengan Angut Lumpuh ini.

Beberapa tahun dulu anak saudara dia meninggal dunia setelah terkejut melihat seorang perempuan tua
berjalan menginsut punggung di dalam parit tersebut. Dia tidaklah meninggal dunia sebaik saja melihat
perempuan tua itu, sebaliknya jatuh demam. Budak baru berumur empat tahun itu memberitahu
emaknya dia ternampak seorang nenek tua menginsut punggung mudik parit tersebut.
Kira-kira sebulan lebih budak itu sakit, dia pun meninggal dunia. Dukun Pak Cu Jabat memberitahu kalau
ternampak perempuan tua itu nyatalah dia Angut Lumpuh. Maksudnya Angut ini ialah nenek kepada
nenek. Sekiranya ternampak dia mudik bererti susahlah hendak diselamatkan pesakit berkenaan,
sebaliknya kalau dia menginsut ke hilir masih ada harapan untuk sembuh, tetapi mangsanya itu akan
lumpuh.

Dia juga menceritakan seorang lelaki tepok di dalam kampung itu yang disebabkan angkara dendam
Angut Lumpuh. Kaki dan tangan sebelah kanannya menjadi lumpuh setelah sembuh dari sakitnya. Lelaki
itu sekarang sudah berumur lebih 40 tahun dikenali sebagai panggilan Apat Tepok saja.

Seorang lagi sepupu Lebai Man menjadi tidak siuman selepas sembuh dari sakit yang dikatakan akibat
terkena sumpahan Angut Lumpuh ini. Sebenarnya sudah banyak mangsa Angut Lumpuh itu sejak
beberapa tahun dulu. Parit itu adalah anak sungai kecil yang mata airnya terbit dari bukit dalam
kampung itu juga, sekarang ini bukit berkenaan sudah pun ditebang tebas dijadikan kebun getah.

"Kalau ternampak Angut Lumpuh tu di dalam parit tu, hah tanda nahaslah tu..." ujar Dukun Pak Cu Jabat.

"Ada yang terjumpa?" tanya saya.

"Siapa yang jumpa Angut Lumpuh, kalau tak lumpuh, mati..." sahut Lebai Man pula menguatkan lagi
dakwaan Pak Cu Jabat.

"Zuki ni jumpa?" soal saya lagi.

"Tak taulah..." beritahu Lebai Man perlahan. "Tengah makan tiba-tiba dia pening kepala, langsunglah tak
sedar diri. Fasal itulah kawan telefon pada Kadir di Kuala Lumpur" jelas orang tua itu seterusnya.

Lama saya memikirkan apakah cara mahu dilakukan terhadap Zuki. Kalau Pak Cu Jabat seorang dukun
sudah berusaha memulihkan, pada hal dia sudah berpengalaman sekian lama di situ tetapi tidak
berhasil, bagaimana pula saya mahu mencubanya.

Kerana tidak terfikirkan cara yang lain, lalu saya mengajak semua orang yang ada di situ bersama-sama
dengan saya membaca Yassin. Mereka bersetuju dengan cadangan saya, iaitu membaca Surah Yassin.
Lebai Man juga setuju saya mengepalai bacaan Yassin tersebut.

Tiga kali bacaan Yassin dibuat barulah saya dapati Zuki mula menggerakkan badannya. Bagaimanapun
dia masih tidak sedarkan diri. Dia seolah-olah mahu bangun untuk melompat ke tanah, tetapi tenaganya
masih lemah. Zuki terbaring semula. Apabila dipanggil namanya dia tetap mendiamkan diri.

Hati saya lega kerana Zuki sudah mula menggerakkan badan. Walaupun dia masih belum sedarkan diri,
namun ada perubahan juga. Tidaklah terlentang tidak bergerak-gerak seperti mula-mula saya datang.
Saya sampai di rumah Lebai Man kira-kira jam 11.30 malam. Ketika ini masih ramai lagi orang datang
menziarahi Zuki.

Saya lihat Pak Cu Jabat juga tersenyum dengan perubahan Zuki. Setelah setengah jam Zuki boleh
menggerakkan badan, dia pun mula berpusing ke kiri ke kanan dalam keadaan masih lemah. Nafasnya
saja kencang turun naik. Dia tidak bercakap apa-apa pun.
"Ada perubahan nampaknya, ustaz..." kata Dukun Pak Cu Jabat.

"Alhamdulillah..." sahut saya perlahan.

"Dukun ni bukan kira besar kecil, kira rasi" ujar Pak Cu Jabat mengurut-ngurut misainya. "Kira rasi, kalau
rasi dukun dengan ubatnya, hah macam kunyit jumpa kapur aje laa" dia terangguk-angguk puas hati
dengan perubahan Zuki yang sudah tiga malam tidak bergerak-gerak.

Semakin lama semakin keras Zuki berpusing ke kiri ke kanan. Terpaksa pula Kadir Misai memegangkan
kakinya. Tetapi cepat saja kaki Zuki menyinggahi dada Kadir Misai. Terundur juga Kadir Misai ke
belakang bila kaki itu menerjah ke dadanya.

"Mari kita cuba sama-sama Pak Cu" saya menepuk bahu Pak Cu Jabat.

"Silakan dulu..." dia menyuruh saya terus menghadapi keadaan Zuki yang semakin keras.

"Pak Cu bantulah saya" kata saya mengharapkan dia sama-sama menggunakan kemahirannya.

"Iya, ya...silakan" ujarnya sambil rapat kepada Zuki.

Zuki tidak meronta-ronta, tetapi dia membalikkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan. Makin lama semakin
kencang dia membalikkan tubuh ke kiri dan ke kanan.

Saya lihat Pak Cu Jabat sudah terkumat kamit mulut membacakan ayat-ayat tertentu, yang saya tidak
tahu apakah ayatnya. Seperti Ulung Bahar yang pernah saya temui, Pak Cu Jabat juga tidak
menggunakan kemenyan, bertih, limau atau ramuan-ramuan khas bagi mengubati pesakit.

Zuki masih membalik-balikkan tubuh ke kiri ke kanan. Sekali-sekala dia mendengus bagaikan hidung
tersumbat. Saya menyorot tubuhnya dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Lama kelamaan tubuh
Zuki hilang dari sorotan saya. Keliling saya menjadi gelap seketika.

Setelah melepasi kegelapan itulah saya dapati diri saya terlalu jauh di dalam kawasan hutan yang
terdapat satu parit anak sungai yang kecil. Parit tersebut sama seperti parit yang melintasi di tengah-
tengah kampung Kadir Misai. Cuma keadaan kelilingnya saja dipenuhi hutan dan anak-anak pokok.

Lama saya berlegar-legar mencari punca di manakah saya telah sampai. Akhirnya saya dapat mengangak
bahawa anak air yang saya temui itu adalah anak air di kampung itulah seperti keadaannya beberpa
puluh tahun dulu.

"Mungkinkah saya sudah berjalan terlalu jauh?" fikir saya dalam kebingungan.

Ketika ini saya teringat untuk membaca Ayat Waddhuha. Saya membaca tiga kali barulah saya mendapat
pedoman mengenai anak air itu. Memang itulah anak air yang saya cari. Tidak salahlah dakwaan Pak Cu
Jabat mengenai anak air yang mengalir di tengah kampung itu sudah banyak memakan mangsa.

Dalam masa saya merayau-rayau ini kedengaran kepada saya suara orang mendehem. Cepat-cepat saya
berpaling memerhatikan arah suara itu. Seorang lelaki berserban putih, mukanya bersih berbau harum
sambil memegang tongkat semambu dari rotan beruas songsang. Dia memimpin tangan Zuki masih
teragak-agak mahu melompati parit berkenaan.

"Assalamualaikum..." tiba-tiba dia memberi salam. Saya menjadi serba salah. Mustahil pula syaitan
boleh memberi salam atau berbau harum demikian. Sekali lagi dia memberi salam. Mau tidak mau saya
terpaksa juga menyahut salamnya.

"Anak jangan ragu-ragu" dia tersenyum seolah-olah dapat membaca perasaan saya yang tidak
mempercayai dia. "Anak mau budak ni balik, memang saya mau menghantar dia pada keluarganya"
jelasnya sambil mengusap-ngusap kepala Zuki. Budak itu tersenyum mengerling ke arahnya.

"Tok Sheikh ni siapa? saya mula mempercayai dia.

"Saya menjaga tempat ni" beritahu dia ramah.

"Memang si lumpuh tu tak habis-habis berdendam, sampai budak Zuki ni pun dia nak kenakan. Mujur
saya cepat sampai menolongnya..." katanya menghentak-hentakkan tongkat rotan beruas songsang itu.

"Kenapa Tok Sheikh tak hantar Zuki balik...?" saya cuba menduga.

"Tak ada orang sampai ke sini. Pak Cu Jabat tak sampai, dia jauh lagi. Saya pula tak boleh keluar jauh dari
sini" jelas lelaki yang saya panggil Tok Sheikh tu.

Tok Sheikh itu tidak pula menceritakan siapakah dirinya sebenar. Tetapi saya dapati dia memang berniat
baik. Boleh jadi juga Pak Cu Jabat tidak sampai ke situ, sebab itulah Zuki tidak dapat dihantarnya balik.
Kalaulah Zuki tidak dapat diambil balik bereti dia akan tidak sedarkan diri beberapa lama lagi. Inilah
hakikat sebenarnya.

"Memang jauh anak berjalan..." katanya lalu mengajak duduk pada sepohon pokok. "Jarang orang boleh
sampai ke sini, kalau kurang pengalaman memang sukar nak sampai ke sini" ujarnya.

Saya mengangguk-angguk kepala. Kagum juga saya dengan sifat ramah orang tua berkenaan . Kalaulah
dia dari jenis syaitan masakan budi bahasanya begitu ramah. Oleh itu saya kuat mengagakkan dia
bukanlah syaitan, tetapi golongan yang boleh membantu.

"Anak mau pertolongan saya?" tanyanya tersenyum memerhatikan saya dalam keadaan ragu-ragu.

"Tidak!" tegas saya. "Saya hanya memerlukan pertolongan Allah" kata saya ego sedikit.

"Alhamdulillah, kalau begitu..." suaranya lembut mempesonakan. "Saya tahu anak memang cucu Tok Aji
Mat Kampar. Saya kenal dengan Tok Aji Mat Kampar" katanya lagi.

Kesal juga saya kerana bercakap seakan-akan kasar terhadap orang tua berkenaan. Tetapi saya masih
tertanya-tanya siapakah dia sebenarnya? Belum pernah saya menghadapi suasana demikian, kerana
selalunya kedatangan saya ditentang oleh jelmaan syaitan-syaitan.
Mahu bertanya berulang kali terasa juga segan. Maklum saja, menyoal orang demikian, tidak sama
seperti menemui manusia biasa di alam nyata. Orang begini kadangkala sudah dapat membaca apa yang
terbendung di hati kita.

Dia juga tahu mengenai Tok Aji saya yang dikenali Tok Aji Mat Kampar itu. Tentulah orang tua itu
bukannya musuh. "Saya bukannya musuh..." katanya seolah-olah mengerti apa yang saya fikirkan. "Tapi,
datang untuk menolong" jelasnya.

Dia pun menceritakan mengenai Angut Lumpuh yang mengganggu itu. Katanya Angut Lumpuh itu
seorang wanita yang pernah dimadukan oleh suaminya. Dia tinggal berhampiran dengan parit
berkenaan. Kisah ini berlaku bertahun-tahun dulu sebelum kampung itu terbuka seperti sekarang.

Nama sebenar Angut Lumpuh ini ialah Mak Pilin, manakala suaminya Pak Bakok telah berkahwin
seorang lagi atas alasan Mak Pilin tidak mempunyai anak. Dengan isteri mudanya Pak Bakok mendapat
tiga orang anak. Mak Pilin tidaklah marah dengan perbuatan suaminya berkahwin lain, sekalipun pada
mulanya dia merasa kecewa juga.

Lagipun dia tidaklah berani mahu melawan Pak Bakok. Kadangkala apabila diherdik Pak Bakok dia tidak
berani langsung mahu menjawab. Satu hari Pak Bakok menyuruh Mak Pilin membasuh seluarnya yang
sudah kupam. Seperti biasa Mak Pilin tidak membantah perintah suaminya, maklumlah sejak
kebelakangan itu pula Pak Bakok menunjukkan sikap lebih sayang kepada isteri mudanya. Ini disebabkan
isterinya yang muda mempunyai anak, sedangkan Mak Pilin bolehlah dianggap perempuan mandul.

Kerja-kerja di rumah lebih banyak dilakukan oleh Mak Pilin. kadangkala bila isteri Pak Bakok yang muda
bernama Siti mahu membantu akan dimarahi pula oleh Pak Bakok. Jadi, terpaksalah Mak Pilin membuat
kerja-kerja seperti membasuh, memasak, mencari kayu api dan sebagainya. Sementara Siti hanya
menjaga anak-anak saja.

Mereka tinggal serumah. Siti sangat menghormati Mak Pilin, sementara Mak Pilin juga menganggap Siti
sebagai adiknya. Dia melayan anak-anak Siti sama seperti anaknya juga. Sayangnya sikap baik Mak Pilin
ini disalah anggap oleh Pak Bakok. Dia memikirkan sikap baik Mak Pilin itu ada udang di sebalik batu.
Tentu Mak Pilin akhirnya akan menganiaya Siti anak-beranak melalui sikap lemah lembut itu.

Memang ada niat Pak Bakok mahu membuat rumah berasingan, tetapi mestilah membawa Siti anak-
beranak berpindah kerana rumah yang didudukinya itu adalah harta peninggalan ayah Mak Pilin. Untuk
membina rumah lain tentulah memakan belanja yang besar. Oleh itu terpaksalah Pak Bakok
mendiamkan diri terlebih dulu dengan menumpang tinggal di rumah pusaka Mak Pilin.

Bermula dari membasuh seluar kupam itulah rumahtangga Pak Bakok menjadi porak peranda. Pak
Bakok menjadi berang kerana seluar yang dibasuh itu tidak bersih. Seolah-olah retak menanti belah saja
bila didapatinya seluar tersebut tidak putih setelah dibasuh.

"Memang awak betina tak berguna, basuh kain pun tak boleh diharap!" bentak Pak Bakok melemparkan
seluar tersebut ke muka Mak Pilin.
"Seluar tu memang kupam. Tak boleh putih lagi dah..." sahut Mak Pilin terharu dengan sikap suaminya.
Selama ini dia tahu Pak Bakok tidak pernah bersikap demikian. Hanya setelah mendapat anak dari Siti
barulah sikapnya berubah terhadap Mak Pilin.

"Awak jangan menjawab cakap aku!" gerutu Pak Bakok.

"Aku cakap yang benar" balas Mak Pilin tidak puas hati dengan tindakan suaminya yang kasar. "Macam
mana nak putih kalau seluar tu kupam" ujarnya mempertahankan diri.

Memang seluar kupam itu tidak boleh putih walau macam mana dicuci pun. Tetapi Pak Bakok sengaja
mahu mencari salah dia. Seolah-olah apa saja kerjanya semua tidak memuaskan hati Pak Bakok.

Siti cuba masuk campur, tetapi diherdik oleh Pak Bakok. Dia tidak mahu Siti membela Mak Pilin. Padanya
Mak Pilin memang tidak boleh diharap lagi. Membasuh kain baju pun sudah tidak cuci. Masak nasi sudah
tidak menyelerakan. Semua yang dibuat oleh Mak Pilin tidak kena lagi pada dia. "

Bukan Kak Pilin yang basuh tu, aku yang basuh..." Siti cuba mempertahankan Mak Pilin. "Seluar tu dah
kupam, macam mana nak putih lagi. Sental macam mana pun tak hilang kupamnya" kata Siti dengan
harapan kemarahan Pak Bakok boleh reda.

Rupa-rupanya dengan kata-kata Siti itu membuat Pak Bakok semakin berang. Matanya terjengil
memerhati Mak Pilin.

“Oh, selama ni di belakang aku, kau hambakan Siti ye?" dia terus menyepak paha Mak Pilin. "Kau suruh
Siti membasuh, memasak, mencari kayu api. Kau duduk goyang kaki aje di rumah!" bentaknya
menggertap bibir.

"Tak pernah aku buat macam tu..." sahut Mak Pilin terkejut juga dia dengan tindakan Pak Bakok
menyepak dia.

"Habis, kenapa Siti mengaku dia membasuh seluar aku tu?" Pak Bakok terus menampar pipi Mak Pilin.

Cepat-cepat Siti memeluk Pak Bakok. Dia juga tidak menyangka Pak Bakok bertindak demikian jauh.
"Awak dah gila ke buat Kak Pilin macam tu, awak dah gila!" Siti menangis teresak-esak menahan sebak di
dada.

Pak Bakok tidak peduli rayuan Siti. Dia terus melepaskan geramnya kepada Mak Pilin. Benci sangat dia
pada Mak Pilin, setelah mendapati wanita itu seolah-olah menjadi beban saja kepadanya.

"Aku mau kau basuh seluar tu sampai putih, kalau tak putih aku bunuh kau!" kata Pak Bakok terus
meninggalkan Mak Pilin dengan Siti di situ. Apabila Mak Pilin mahu bangun tiba-tiba dirasakan kakinya
sudah tidak boleh digunakan lagi. Dia tersepuk duduk tidak boleh berjalan. Terkejut juga Siti melihat
kejadian yang menimpa Mak Pilin. Mungkin tendangan Pak Bakok terlalu kuat menyebabkan paha Mak
Pilin patah.

Malamnya setelah Pak Bakok balik ke rumah, Siti memberitahu kejadian yang menimpa Mak Pilin. Tetapi
Pak Bakok tidak memperlihatkan rasa kasihan dengan apa yang berlaku ke atas diri Mak Pilin. Dia juga
tidak berusaha untuk mengubat kaki Mak Pilin. Sejak itulah Mak Pilin menjadi lumpuh. Dia berjalan
dengan menginsut punggung.

Kerja-kerja di rumah tetap dilakukan seperti biasa. Pak Bakok tidak mahu dia membebankan kerja-kerja
rumah pada Siti. Manakala Pak Bakok sehari-harian kerjanya pergi menyabung ayam. Jadi, terserahlah
kepada Mak Pilin membuat kerja-kerja membasuh, memasak dan mencari kayu api.

Rupa-rupanya kemarahan Pak Bakok menjadi-jadi disebabkan dia kalah bersabung. Tapi nasibnya baik,
apabila seluar kupam yang telah dibasuh oleh Mak Pilin itu dipakainya dia sentiasa menang bersabung
ayam. Dia terlalu sayang dengan seluar tersebut, walaupun kelihatan kupam.

Siti tidak berani lagi masuk campur sekiranya Pak Bakok memarahi Mak Pilin. Dia tidak mahu berlaku lagi
apabila dengan pengakuannya membasuh seluar itu telah menyebabkan Pak Bakok bertambah marah,
padahal tujuannya adalah untuk meneyelamatkan Mak Pilin.

Setelah beberapa lama Mak Pilin menjadi lumpuh, satu hari sampailah masanya Siti pun meninggal
dunia. Sedih juga hati Mak Pilin kerana Siti yang baik hati meninggal dunia. Anak-anak Siti yang
ditinggalkan juga belumlah dewasa lagi.

Pak Bakok pula tidak lama selepas kematian Siti, dia bernikah lagi dengan seorang janda. Sejak
berkahwin dengan janda itu Pak Bakok mengikut apa saja perintah isterinya. Sampaikan anaknya dengan
Siti pun terbiar. Terpaksalah Mak Pilin mengambil berat akan nasib anak-anak Siti.

Setiap hari dia terpaksa membasuh kain yang bertimbun-timbun. Janda itu bernama Encom kadangkala
bertindak lebih garang dari Pak Bakok sendiri terhadap Mak Pilin.

Di parit anak sungai itulah Mak Pilin membasuh kain. Dia menginsut punggung untuk membasuh kain.
Kadangkala anak-anak Siti tiga orang yang berumur 5, 3 dan 2 tahun itulah menemankan dia ke parit
berkenaan. Kebetulan satu pagi dia ke parit itu bersama-sama anak Siti tiga orang untuk membasuh
kain. Encom menyuruh budak-budak itu membantu Mak Pilin membasuh.

Ketika sedang membasuh itu sehelai kain kesayangan Encom telah dihanyutkan air. Apabila menyedari
kain itu hanyut anak Siti yang berumur 5 tahun bernama Minah terus menghilir air untuk mencari kain
tersebut. Dia telah pergi bersama dua orang lagi adiknya.

"Biar aku cari ke hilir Mak Tua..." kata Minah meminta izin untuk pergi mencarinya.

"Tak payahlah..." Mak Pilin berkeras tidak membenarkan.

"Biar Mak Tua saja mencarinya. Kau semua tunggu di sini" ujarnya hiba.

"Mak Tua susah nak berjalan, biarlah aku cari" Minah ketakutan akibat kain tersebut hanyut tidak
mereka sedari. "Nanti Mak Encom marah, kalau kain tu hilang" dia tetap mahu mencari kain yang hanyut
itu.

Mahu tidak mahu Mak Pilin terpaksa juga membenarkan Minah bersama adik-adiknya menghilir sungai
mencari kain yang hanyut itu. Setelah matahari tegak di kepala dia menunggu, Minah tidak juga balik.
Dia mulai bimbang kerana Minah tidak balik semula ke situ. Tentulah suaminya menjadi berang kalau
Minah tiga beradik tidak balik, sementara Encom pula akan merampus bila didapati kain kesayangannya
hanyut tidak ditemui.

Terpaksalah Mak Pilin menginsut punggung menghilir sungai untuk mencari Minah tiga beradik. Perkara
kain Encom hilang tidak menjadi soal lagi kepadanya. Dia mesti mencari Minah sampai dapat. Semasa
menghilir sungai ini, Minah bersama tiga orang adiknya sudah pun menemui kain yang hanyut itu
tersangkut pada rumpun aur. Tetapi apabila mudik semula ke hulu, dia tidak mengikut jalan sungai itu,
sebaliknya naik ikut jalan darat supaya cepat sampai semula. Bimbang juga dia kalau-kalau Mak Pilin
terlalu lama menunggu.

Apabila dia sampai ke tempat Mak Pilin membasuh didapati oleh Minah kain baju sudah siap berbasuh,
tetapi Mak Pilin tidak ada. Puas dia menunggu Mak Pilin tidak juga muncul, Minah juga mengajak adik-
adiknya balik untuk memberitahu perkara itu kepada ayahnya.

Sejak itulah Mak Pilin tidak lagi balik-balik ke rumah. Pak Bakok pula cuba juga menghilir parit tersebut
untuk mencarinya, tetapi tidak bertemu kesannya.

Akhirnya dengan hasutan Encom, dia pun melupakan saja ke mana hilangnya Mak Pilin. Dengan
kehilangan Mak Pilin itu terpaksalah Minah yang baru berumur lima tahun itu mengambil alih tugasnya
membasuh, memasak dan mencari kayu api. Encom hanya memerintah saja, sementara Pak Bakok tidak
berani membantah perbuatan Encom.

Satu hari semasa Minah membasuh di tempat yang selalu digunakan menjadi pengkanlan, dia
ternampak Mak Pilin menginsut punggung mudik. Cepat-cepat dia berkejar mendapatkan Mak Pilin.

"Ke mana Mak Tua selama ni?" Minah menangis teresak-esak.

"Janganlah Minah menangis..." pujuk Mak Pilin. "Jagalah adik-adikmu baik-baik. Kau tak ada emak, tak
ada Mak Tua lagi" dia mengusap-ngusap rambut anak kecil itu.

"Marilah kita balik Mak Tua" Minah mengajaknya. "Mak Tua tak boleh balik lagi" beritahu dia kepada
Minah. "Mak Tua dah tak sama lagi dengan Minah" ujarnya memujuk anak kecil itu.

Walaupun Minah masih kecil, tetapi pada Minahlah dia menceritakan apa yang telah terjadi. Semasa dia
menghilir mencari Minah tiga beradik dia sudah berjalan terlalu jauh, sambil menginsut-insut punggung
itu dia meraba-raba juga di tepi parit kalau kain kepunyaan Encom tersangkut di situ.

Hinggalah sampai ke satu pondok di tepi sungai di hilir yang tidak tahu di mana, seorang lelaki tua
menunggu Mak Pilin di situ. Lelaki tua itu berjanji boleh mengubati kaki Mak Pilin yang lumpuh dengan
syarat mesti bernikah dengannya. Mak Pilin memberitahu tentang suaminya Pak Bakok, oleh itu adalah
mustahil untuk berkahwin lain.

Tetapi lelaki tua itu memberitahu bahwa kain Encom ada di tangannya. Dia akan memulangkan dengan
syarat Mak Pilin mesti menjadi isterinya. Dia tertarik hati pada Mak Pilin kerana hatinya terlalu jujur
kepada suami. Sebab itulah dia mahu sangat menikahi Mak Pilin, walaupun perempuan itu sudah tua.

Disebabkan takut dimarahi Pak Bakok, di samping kain Encom yang hilang itu pada lelaki berkenaan,
maka Mak Pilin terpaksa menerima syarat tersebut. Bagaimanapun dia tidak dibenarkan balik semula
pada Pak Bakok. Dengan janji itulah kain berkenaan ditemui semula oleh Minah, yang terlebih dahulu
menghilir mencarinya sebelum Mak Pilin menghilir.

Memang Mak Pilin memerhatikan kain tersebut diserahkan oleh lelaki tua itu kepada Minah yang pada
sangkaan Minah dia menemui kain tersebut tersangkut pada ranting aur. Sebenarnya Mak Pilin sudah
dinikahi oleh puaka sungai berkenaan yang sekian lama telah memerhatikan keadaan kehidupan Mak
Pilin suami isteri.

"Kalau Mak Tua mudik ke hulu itu tandanya Mak Tua nak makan" dia memberitahu Minah.

"Kalau Mak Tua menghilir, Mak Tua nak main-main aje" itulah pesan Mak Pilin pada anak tirinya.

Sebelum pergi Mak Pilin mengingatkan Minah supaya tidak terkejut kalau ditegur oleh Mak Pilin. Kalau
Minah terkejut tidak dapatlah Mak Pilin mengetahui akan siapakah Minah sebenarnya, kerana dia
sendiri memang tidak ada keturunan. Hanya Minah dianggapnya sebagai keturunan dia.

"Mak Tua tak akan mengganggu Minah" jelasnya.

Sejak itu hilanglah Mak Pilin dari pandangan Minah. Sebagaimana sumpahnya apabila dia mudik parit
berkenaan, maka adalah mangsanya. Sebaliknya kalau ada yang menghilir, maka mangsanya akan
lumpuh. Demikianlah kisah Angut Lumpuh yang diceritakan oleh Tok Sheikh.

"Sayalah keturunan dari Minah itu..." beritahu orang tua berserban yang memimpin Zuki.

"Jadi, Tok Sheikh pun tak suka dengan perbuatan Angut Lumpuh?" saya menduga.

"Iya..." dia mengangguk lemah. "Tapi, saya tak boleh menghalangnya. Cuma saya akan selamatkan
mangsanya, itu saja" jelas dia tenang.

"Mengapa pula?" soal saya. "Sebab dia tidak menjadikan anak cucu Minah sebagai mangsanya" ujar
orang tua berjubah dan berserban putih itu.

"Mana dia nak tau anak cucu Minah?" saya mendesak lagi. "Kalau tidak terkejut bila ternampak dia,
itulah tandanya anak cucu Minah" beritahunya tersenyum mengerling ke arah saya.

"Bolehkah saya bertemu dengan Angut Lumpuh?" saya memberanikan hati bertanya kepada Tok Sheikh
itu.
“Memang anak seorang yang berani..! kata Tok Sheikh itu tidak menjawab pertanyaan saya. Dia pun
menyerahkan Zuki kepada saya lantas menghilangkan diri. Heran juga saya mengapa dia tidak mahu
menjawab pertanyaan saya untuk bertemu dengan Angut Lumpuh atau Mak Pilin yang sudah
diperdayakan oleh syaitan itu.

Bagaimanapun saya tidaklah mengesyaki yang Mak Pilin itu bertemu dengan puaka sungai seperti yang
diceritakan oleh Tok Sheikh. Kemungkinannya ialah dia mati lemas semasa menghilir parit itu.
Sebenarnya Mak Pilin itu sendiri yang bertukar menjadi puaka di situ di sungai tersebut.
Ketika saya mahu membawa Zuki balik, saya ternampak seorang nenek tua lumpuh menginsut punggung
mudik ke hulu. Matanya merah menyala seperti api. Mukanya kelihatan garang seolah-olah menyimpan
dendam. Kelihatan dia terlalu payah mahu menginsut punggungnya.

Saat inilah Tok Sheikh yang menghilang tadi muncul di hadapan saya. Dia memegang tongkat rotan
beruas songsang itu di tangannya.

"Angut jangan ganggu Zuki ni!" kata Tok Sheikh perlahan. "Dah masuk ke tangan, takkan nak lepaskan"
suaranya bergetar seperti menyimpan dendam.

"Tak usahlah Angut, dah banyak sangat mangsa Angut" Tok Sheikh mengeraskan suara.

"Kau jangan masuk campur!" jerkah Angut Lumpuh.

"Saya kata jangan, janganlah Angut..." Tok Sheikh memberi amaran. "Kalau Angut berkeras, saya juga
akan berkeras" tegasnya lalu menghentakkan tongkat rotan beruas songsang itu ke tanah.

Terjerit Angut Lumpuh menekup dadanya dengan tangan. Kenudian dia melompat bertukar menjadi
asap berkepul mahu menerkam ke arah Tok Sheikh. Tetapi Tok Sheikh tidak melepaskan tongkatnya
yang tercancang di tanah. Asap berkepul itu tidak dapat menerpa.

Dia berlegar-legar mahu menerkam. Bagaimanapun dia tidak dapat merapati Tok Sheikh kerana tongkat
itu tetap tercancang di situ. Sekali sekala suara jerit Angut Lumpuh bergema juga menahan kesakitan.
Melihatkan keadaan tersebut saya pun mengambil kesempatan lalu membacakan lanarjumannakum,
menyebabkan panahan api datang menerjah beratus-ratus.

Angut Lumpuh terpekik-pekik menepis panahan api yang menerjah ke arahnya.

"Saya dah cakap, Angut jangan mengganggu lagi...!" seru Tok Sheikh melihat asap berkepul-kepul itu
jatuh semula ke dalam parit. Terkial-kial Angut Lumpuh menginsut punggung. "Angut tidak akan
diganggu, kalau Angut tidak mengganggu orang" jelas Tok Sheikh mengingatkan.

Angut Lumpuh mengerang-ngerang kesakitan. Dia masih tidak berputus asa mahu menerkam balik.
Tetapi tongkat rotan beruas songsang yang tercancang di tanah itu membuatkan dia menekan-nekan
dadanya. Tongkat tersebut seolah-olah menusuk ke dadanya.

Lama dia terkial-kial menekup dadanya barulah dia menghilir semula dengan hampa. Selepas dia
menghilang, Tok Sheikh berpaling ke arah saya, "Bawalah budak ni balik. Insya Allah semuanya akan
selamat..." beritahu Tok Sheikh itu kemudian pergi dengan tidak meninggalkan apa-apa pesan.

Beberapa kali Pak Cu Jabat menepuk bahu saya, barulah saya membuka mata. Dia memicit tengkuk saya,
sambil menghembus ubun-ubun saya. Betul-betul saya keletihan.

"Berani sangat ustaz berjalan jauh..." bisiknya ke telinga saya. Baru saya sedari bahawa Pak Cu Jabat
memang tahu saya sudah terlalu jauh melepasi had yang sepatutnya.

Saya menceritakan pengalaman saya kepada Pak Cu Jabat selepas itu. Kata Pak Cu Jabat bahawa Tok
Sheikh yang saya temui itu memang tok akinya yang telah meninggal dunia berpuluh tahun dulu. Akinya
memang seorang ulama yang pernah belajar agama di Sumatera. Dari Pak Cu Jabat juga saya mendapat
tahu dia memang keturunan Minah anak tiri Angut Lumpuh itu.

Selepas Zuki pulih semula dia juga menceritakan dirinya telah dikurung di satu pondok buruk. Tidak lama
kemudian datang Tok Sheikh itu membawa dia keluar dari pondok berkenaan. Angut Lumpuh cuba
merampasnya dari Tok Sheikh, tetapi Tok Sheikh terus membawa dia lari.

"Saya fikir elok juga carikan saya rotan beruas songsang" saya memberitahu Pak Cu Jabat.

Pak Cu Jabat tersenyum. "Itulah pun musuh dia..." katanya. Dia tidak menceritakan lebih lanjut
mengenai rotan beruas songsang itu. Tetapi saya memang sudah mengagaknya, kerana Tok Sheikh itu
saya lihat memegang tongkat dari rotan beruas songsang.
9. TOK AWANG NGAH - ORANG BESAR KENA SUNAT

SERBA salah juga Ulung Bahar kalau orang sudah datang memanggil di rumah. Kalau tidak pergi nanti
dituduh orang mementingkan diri saja, kalau pergi pula kerja sendiri terbengkalai. Orang datang
menjemput tidak kira siang atau malam. Walaupun diberi saguhati, tetapi tidak tergamaklah mengambil
lebih. Takut juga dia akan tuduhan orang mengatakan dia bomoh cari wang.

Dia sendiri tidak mahu dipanggil bomoh. Ulung Bahar tahu dirinya bukanlah bomoh. Tetapi entah
mengapa orang ramai menganggap dia seorang bomoh.

Segalanya bermula ketika dia pergi ke rumah anaknya di Felda Air Kuning sepuluh tahun dulu. Jiran
anaknya memberitahu anak gadisnya berumur 17 tahun digigit lipan, sudah tiga hari tidak baik. Sudah
pun dibawa ke hospital, tetapi bisa lipan itu semakin bertambah pasang.

"Di mana digigitnya?" tanya Ulung Bahar.

"Paha..." beritahu jiran itu sugul.

Ulung Bahar sengaja menziarahi jiran itu setelah mendengar berita anak gadisnya digigit lipan. Adat
berjiran kenalah ziarah menziarahi bila ada di antaranya mendapat susah.

"Lipannya dapat dibunuh?" tanya Ulung Bahar lagi.

"Tidak..." jiran itu menggeleng kepala. "Tak sempat saya nak bunuh, sebab cepat sangat dia menghilang
masuk ke bawah tikar" ujarnya.

"Nampak lipannya?" Ulung Bahar ingin tahu.

"Nampak..Nampak..." jelas jiran tersebut. "Lipan bara, memang saya nampak lipan itu menyusup bawah
tikar, kemudian hilang" katanya mengingatkan kembali peristiwa bagaimana anaknya digigit lipan bara.

Tiba-tiba saja anak gadisnya terjerit sebaik selesai makan malam. Dia menepis bahagian pahanya sampai
lipan tersebut jatuh ke tikar. Cepat-cepat dia mahu memukulnya, tetapi cepat-cepat pula lipan
berkenaan menyusup ke bawah tikar.

"Cuba bagi saya air sejuk" pinta Ulung Bahar.Dalam keadaan begini dia merasa patut juga membantu.
Dia bukanlah mahu menunjukkan pandai, tetapi tidak mungkin bisa lipan bertambah pasang setelah tiga
hari. Lagipun sudah dibawa ke hospital.

Jiran itu segera mengambilkan air sejuk. Hatinya gembira kerana tiba-tiba saja ada orang sanggup
menolong anaknya digigit lipan. Tidak pula disangkanya Ulung Bahar boleh mengubati anaknya itu.

Kumat-kamit mulut Ulung Bahar merenung air sejuk di dalam gelas di tangannya. Pada mulanya dia
mahu menyuruh gadis itu minum saja air tersebut, tetapi kemudian Ulung Bahar tidak jadi memberikan
air tersebut pada gadis berkenaan.
"His, permainan orang..." Ulang Bahar mencebik bibir.

"Permainan macam mana tu Ulung?" tanya jiran itu keheranan.

"Tak usahlah kita panjangkan" sahutnya memerhatikan gadis itu masih mengerang kesakitan. "Tak ada
bisa lipan, cuma perasaan dia saja sakit..." ujar Ulung Bahar sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuk pada
bibir gelas.

"Permainan macam mana tu?" desak jiran itu lagi.

"Permainan orang muda..." kata Ulung bahar tersenyum.

Termenung jiran itu memikirkan maksud Ulung Bahar. Bila dia mengerling pada anaknya, gadis itu masih
juga mengerang-ngerang kesakitan. Tidak mungkin anaknya berpura-pura sakit kerana dia sendiri
melihat lipan bara tersebut jatuh dari paha anaknya. Lipan itu lari menyusup ke bawah tikar.

Sekaligus dia memukulkan jarinya kuat sedikit ke bibir gelas. Tiba-tiba terapung satu lembaga lipan
diperbuat dari upih pinang di dalam gelas tersebut. Macam dibuat-buat saja nampaknya, gadis anak
jiran itu pulih semula. Dia tidak merasa sakit apa pun.

Bila ditanya sama ada dia digigit lipan atau tidak, dia sendiri tidak tahu.

"Lipan apa pula...?"soalnya keheranan.

Cepat-cepat emaknya melihat bahagian paha yang digigit lipan itu. Tidak ada kesan langsung digigit
lipan.

"Permainan orang..." ulangi Ulung Bahar.

Barulah jiran itu faham, rupanya ada orang yang sengaja mempermain-mainkan anaknya dengan
memuja upih pinang tadi dengan digambarkan seperti lipan. Jadi, anaknya merasa seolah-olah digigit
lipan, sebaliknya sakit bisa lipan itu hanya pada pandangan anaknya saja. Anaknya sendiri tidak
menyedari apakah sebenarnya yang telah berlaku ke atas dirinya.

"Pulangkan sajalah Ulung..." jiran itu menggertap bibir. Marah sangat dia pada orang yang melakukan
tipu daya demikian.

Ulung Bahar tersenyum. Dia tahu inilah sifat manusia mudah saja mahu membalas dendam apabila
dianiaya. Sepatutnya seseorang mukmin wajib mendoakan orang yang menganiaya orang itu supaya
insaf dan bertaubat.

"Kita pulangkan saja Ulung" desak jiran itu.

"Apa faedah kita dapat?" Ulung Bahar marah bila didesak demikian. Tidak sepatutnya jiran itu memaksa
dia melakukan sesuatu yang tidak disukainya.

"Biar dia jeran..." sahut jiran itu masih menyimpan dendam.


"Jangan berdendam" ujar Ulung Bahar mengingatkan. "Anak awak selamat cukuplah. Bersyukurlah pada
Allah..." katanya macam menyindir.

Sejak itulah orang-orang di situ akan memanggil Ulung Bahar kalau mereka ditimpa sakit pening.
Kadangkala mereka sanggup mengajak anaknya Dalip menjemput dia ke kampung. Tidak dapatlah Ulung
Bahar mengelak lagi bila sudah ramai tahu mengenai kebolehannya.

Orang-orang jauh dari Gedangsa di Selangor, Hutan Melintang di Perak, di Sabak Bernam, Pengkalan
Kempas di Port Dickson akan datang mencari Ulung Bahar, setelah mendapat tahu dari mulut ke mulut
yang bermula di Felda Air Kuning itu. Keballah dia dianggap seorang dukun di kalangan masyarakat.

Malah Ulung Bahar juga pernah dipanggil ke istana bagi mengubat kerabat diraja. Pendek kata nama
Ulung Bahar sudah dikenali oleh ramai pembesar-pembesar dan pegawai tinggi kerajaan. Jadi, macam
mana dia hendak mengelak apabila ada orang menjemputnya.

Kalau sudah orang-orang besar memanggil tentulah serba salah mahu mengelak. Bila sudah pergi
memenuhi jemputan orang-orang besar, tentu tidak sedap hati kalau mengelak dari menerima
jemputan orang-orang kampung. Tentu mereka menuduh dia memilih pesakit kerana mengejar wang.
Hanya orang-orang besar saja yang sanggup memberi wang banyak.

Tetapi bukanlah itu maksud Ulung Bahar. Dia terpaksa meninggalkan tanggungjawabnya mencari nafkah
hidup, disebabkan selalu dipanggil mengubati orang. Walaupun dia tinggal bersama isterinya,
disebabkan anak-anaknya semua sudah berumahtangga, tetapi tanggungjawab mencari nafkah hidup
masih menjadi fardhu ain yang tidak boleh diwakilkan kepada sesiapa.

Apakah pendapatannya tidak lumayan menjadi dukun? Perkara inilah yang sangat ditakutinya. Dia tidak
mahu dituduh mencari nafkah hidup dengan berdukun. Walaupun tidak salah, tetapi tuduhan tersebut
sangat menyeksa batinnya.

Inilah yang menyebabkan Ulung Bahar termenung panjang bila diminta datang ke Kuala Lumpur oleh
seorang Orang Besar. Puas juga dia berfikir bagaimana caranya mahu mengelak, tetapi masih juga
buntu. Malu juga dia mahu ke rumah Orang Besar itu, kerana apalah kurangnya ilmu bomoh-bomoh lain
yang lebih terkenal.

Ulung Bahar merasa dirinya terlalu kecil bila dibandingkan dengan bomoh-bomoh terkenal yang sering
datang ke Kuala Lumpur. Tetapi anak saudaranya yang berkhidmat di bawah Orang Besar mendesak dia.
Anak saudaranya itu sudah diberi kepercayaan oleh Orang Besar itu untuk mencari dukun yang boleh
mengatasi masalah dia.

"Jangan nak mengelak pula Ulung" kata Meon mendesaknya. "Nanti malu saya kalau Ulung tak mau
datang" ujarnya penuh harapan.

"Kau lagi malu, kalau Tuan tu tak sembuh" Ulung Bahar mencari alasan.

"Sembuh tak sembuh kuasa Allah..." balas Meon.

"Hah, mohon sajalah pada Allah..." cepat-cepat dia memintas cakap Meon.
"Nak meminta pada Allah pun ada aturannya" kata Meon menyindir. "Ulung tahu aturannya, jadi
kenalah Ulung tunjukkan aturannya" dia menambah sambil menghulur rokok pada Ulung Bahar.

Sukar juga Ulung Bahar mahu memberi keputusan. Pergi ke rumah Orang Besar tidak sama dengan
rumah orang kebanyakan. Orang kampung seperti dia banyak kesulitan mahu datang ke rumah Orang
Besar. Maklumlah orang sudah tua, lat-lat setengah jam mahu ke bilik air saja. Tentulah dia kekok mahu
ke bilik air saja bila berada di rumah Orang Besar.

Begitu juga dengan makan minum. Pinggan mangkuk di rumah Orang Besar semuanya jenis mahal. Kalau
tidak biasa memegangnya takut pula terlucut dari tangan dan terhempas pecah. Makan di rumah Orang
Besar juga terpaksa pakai sudu dan garfu. Mencedok gulai tergigil-gigil dengan tangan kiri.

Ulung Bahar tidak biasa dengan suasana begitu. Dia lebih senang minum di koleh. Makan bertinggung
lutut duduk di lantai. Ambil lauk cekup saja jari ke dalam piring gulai. Tentulah Meon akan malu kalau
dia tidak tahu menyesuaikan diri dengan suasana di rumah Orang Besar.

"Bersiaplah Lung, kita ke Kuala Lumpur" kata Meon tidak sabar.

"Banyak kerja aku ni, Meon" sahut Ulung Bahar lemah.

"Ah, kerja-kerja tu Mak Lung boleh tengokkan" balas Meon mendesak lagi. "Urusan Ulung di Kuala
Lumpur semuanya serahkan saja pada saya" tegasnya memberi jaminan.

Petang itu juga Ulung Bahar dibawa oleh Meon ke Kuala Lumpur menemui Orang Besar berkenaan.
Terperanjat benar Ulung Bahar kerana terpaksa ditahan di pintu pagar sebelum dibenarkan masuk.
Bagaimanapun setelah melihat Meon, mereka berdua pun dibenarkan masuk.

Dia dibawa masuk menemui Orang Besar berkenaan di bilik khas. Cuma mereka berdua saja di situ.
Orang Besar itu kelihatan sihat segar bugar. Tidak ada tanda-tanda ianya berpenyakit. Dia berbual juga
seperti orang biasa tidak kelihatan pun akan dirinya menderita sakit.

Ulung Bahar tidaklah bertanyakan tentang penyakit Orang Besar tersebut. Dia tidak perlu bertanya apa-
apa. Kalau dia sudah bertanya samalah macam terlalu mengetahui semua penyakit. Seolah-olah dia
bersedia mengubat semua penyakit.

"Saya ni nampak saja sihat Tok Ulung..." Orang Besar itu bersuara sebaik saja semua orang keluar dari
bilik khas. "Sebenarnya saya ni sakit. Itulah nak minta tengok-tengokkan pada Tok Ulung" katanya
ramah.

"Cuba-cuba bolehlah Tuan" sahut Ulung Bahar perlahan. "Saya ni pun bukanlah pandai sangat.
Maklumlah orang kampung" dia merendah diri.

"Orang bandar pun bukan pandai sangat" sahut Orang Besar tersengih-sengih. Dia masih belum
menerangkan penyakitnya pada Ulung Bahar.

"Bodoh orang bandar tak sama dengan pandai orang kampung" Ulung Bahar pula tertawa bila
mengenangkan dirinya tiba-tiba saja menjadi penting. Hinggakan Orang Besar terpaksa menjemputnya
datang ke rumah yang tersergam bagaikan istana. "Bodoh orang bandar panjang ikhtiarnya, pandai
orang kampung diri sendiri pun tak terkemaskan..." dia masih merendah bila membandingkan dirinya
dengan Orang Besar itu.

"Panjang ikhtiar pun panjang ikhtiar nak menipu bangsa" Orang Besar itu macam meluahkan perasaan
hatinya. Bagaikan terpancar kekusutan dalam fikirannya di sebalik kemewahan hidup yang
menyelubungi dia selama ini. "Terlalu ramai orang nak menipu bangsa sendiri sekarang ni" jelas Orang
Besar itu lagi.

Terdiam Ulung Bahar mendengar kata-kata berupa rintihan yang terluah dari mulut Orang Besar
tersebut. Dia bagaikan tenggelam oleh kekusutan fikiran yang menguasai dirinya. Inilah yang dapat
dirasakan oleh Ulung Bahar sebagai kesan pertama apabila bertemu Orang Besar berkenaan.

Lama Orang Besar itu mendongak memerhati siling dengan keluhan memanjang selepas meluahkan
perasaannya di depan Ulung Bahar. Kemudian perlahan-lahan dia bersuara. "Sebenarnya saya ni dah tak
melawan lagi Tok Ulung. Dah puas saya berubat..."

Tersentak juga Ulung Bahar mendengar pengakuan terus terang Orang Besar tersebut. Tentulah
hidupnya sebagai Orang Besar pun tidak bermakna lagi kalau menanggung beban seksa batin sepanjang
hidup. Seseorang lelaki yang sudah hilang kelelakiannya samalah macam anak patung untuk menjadi
hiasan di sudut rumah saja.

"Orang yang membuatnya saya tahu, tapi biarlah..." keluhnya menahan sebak di dada. Secara tidak
langsung Orang Besar itu mengakui sudah berkahwin lain. Akibat dari perkahwinan itulah ada orang
yang irihati menyebabkan tenaga kelelakiannya hilang.

Ulung Bahar tidaklah banyak bertanyakan apa-apa mengenai masalah yang dihadapi oleh Orang Besar
tersebut. Tujuannya bukan hendak mengetahui bagaimana puncanya, tetapi cuba mengubati sekiranya
diizinkan Allah. Kalau tidak berhasil bukanlah tanggungjawab dia lagi.

"Saya hanya mencuba Tuan, kalau tak berjaya janganlah sesal pula" beritahu Ulung Bahar.

"Tidak, tidak..saya faham Tok Ulung" cepat-cepat dia memintas cakap Ulung Bahar yang terlalu
merendahkan diri itu. "Tok Ulung cuma berusaha, yang menentukan tetap Allah jua" katanya.

"Alhamdulillah, Tuan kata macam tu..." sahut Ulung Bahar tersenyum.

Ulung Bahar meminta disediakan geluk air. Dan dia akan memberitahu ketika yang baik untuk
memulakan usahanya, sama ada waktu Maghrib, atau Isyak atau tengah malam. Ini disebabkan dia
mahu melihat cara mana permainan sebelah pihak.

Segala yang dikehendaki oleh Ulung Bahar dipersetujui oleh Orang Besar. Malam itu dia tidak
dibenarkan oleh Orang Besar mengikut Meon balik ke rumahnya di Gombak, tetapi disuruh menginap di
rumah Orang Besar itu. Ulung Bahar disediakan bilik di situ untuk berehat, tempat tidur dan
sembahyang. Selama di Kuala Lumpur dia dikehendaki menjadi tetamu Orang Besar tersebut.

Selepas menunaikan Isyak, Ulung Bahar memberitahu Orang Besar dia mahu memulakan usahanya
mengubati masalah yang dihadapi Orang Besar. Beberapa orang kerabat terdekat Orang Besar ada sama
setelah diberitahu mengenai Ulung Bahar akan mengubat itu. Memang kerabat terdekat Orang Besar
sudah tahu masalah tersebut, malah mereka semua sudah berusaha menolongnya.

Fasal itulah Orang Besar menceritakan masalahnya kepada Meon. Ketika inilah Meon teringatkan Ulung
Bahar di kampung. Lantas Meon menerangkan kepada Orang Besar akan kepandaian Ulung Bahar
selama ini. Maka tidak bertangguh lagi Orang Besar menyuruh Meon memanggil Ulung Bahar. Segala
perbelanjaan Meon membawa Ulung Bahar serta perjalanan Ulung Bahar selama berada di Kuala
Lumpur adalah di bawah urusan Orang Besar.

Lebih kurang pukul 9.00 malam Ulung Bahar mula menarik geluk air ke depannya. Mulutnya kumat
kamit serta matanya terpejam rapat. Sekali sekala dia membuka mata memerhati ke dalam geluk sambil
menghembus perlahan-lahan.

Ketika ini Ulung Bahar sudah menguatkan zikirnya di dalam hati. Seluruh bulu romanya terasa
meremang. Dia melihat dalam makrifat tentang masalah yang dihadapi oleh Orang Besar. Sekali sekala
orang-orang yang melihat Ulung Bahar nampak dia mengerutkan dahi sambil menggeleng-gelengkan
kepala.

Ulung Bahar melihat seorang lelaki berpakaian seperti sami Budha tersengih-sengih menunggu
kedatangannya. Lelaki itu dipenuhi dengan tangkal azimat di seluruh badan. Lelaki itu seolah-olah
mempersilakan dia hampir kepadanya. Tetapi Ulung Bahar tidak mahu datang hampir. Dia membaca
Fatihah tiga kali lantas dihembus kepada lelaki berkenaan.

Terpelanting lelaki itu bila dihembuskan dengan Fatihah. Mukanya merah padam menahan perasaan
marah.

"Aku terima kau baik-baik, kau balas dengan jahat!" bentak lelaki itu cepat-cepat berdiri bercekak
pinggang.

"Kau nak tunjuk pandai dengan aku, sekarang terima habuan kau pula" pekiknya mengambil debu tanah
lalu dihembuskan ke arah Ulung Bahar.

Terasa pada Ulung Bahar ribut kencang mahu menerbangkannya, tetapi dia menguatkan zikir di dalam
hati menyebabkan ribut kencang tersebut tidak dapat menerbangkan dia. Setelah ribut kencang itu
berhenti, Ulung Bahar tidak nampak lagi ke mana lelaki tadi bersembunyi.

"Kenapa kau lari?" Ulung Bahar mencabar.

"Aku tak lari...!" sahut lelaki tadi tertawa mengejek. "Nampaknya kau takut dengan aku" lelaki itu terus
mempersenda-sendakan Ulung Bahar.

"Aku tak takut pada kau. Aku takut pada Allah" kata Ulung Bahar memerhati di sekeliling kawasan itu
menjadi hutan rimba yang jauh dari manusia. Tetapi suara lelaki itu tertawa berdekah-dekah masih
mengejek-ngejeknya.

Ulung Bahar membacakan Surah Waddhuha dihembuskan sekelilingnya. Serentak dengan itu lelaki tadi
tersungkur di depannya. Terkial-kial lelaki itu bangun akibat jatuh terhempas.
"Sekarang sembunyilah!" Ulung Bahar menyindir.

Kemudian dia mendengar lelaki itu merungut dalam bahasa yang tidak difahaminya. Bagaimanapun dia
dapat mengagak lelaki tersebut menggunakan Bahasa Thai. Jelaslah kepadanya lelaki itu adalah Bomoh
Siam.

"Berapa upah yang orang beri pada kau ni?" tanya Ulung Bahar.

"Aku bukan makan upah...! sahut lelaki itu marah.

"Ah, Bomoh Siam macam kau tak makan upah?" ejek Ulung Bahar mahu menyakiti hati lelaki tersebut.

"Aku menolong orang saja" jawabnya membentak kerana terlalu marah diperolok-olokkan. Dia sendiri
hairan bagaimana Ulung Bahar boleh menembusi tempat persembunyiannya. "Aku menolong orang,
tapi macam mana kau boleh sampai ke sini?" dia mendongak Ulung Bahar yang berdiri berpeluk tubuh di
tempat dia terguling.

"Itu kuasa Allah..." beritahu Ulung Bahar tersenyum.

"Sudah banyak dukun-dukun Melayu mencari tempat aku tak jumpa, macam mana kau boleh jumpa?"
pekik lelaki itu berdiri dengan lutut.

"Kuasa Allah...!" ulangi Ulung Bahar. "Kau tak takut kuasa Allah?" tesengih-sengih Ulung Bahar
mengejeknya lagi.

Lelaki itu menggeleng kepala.

"Baiklah, kau akan tahu kuasa Allah" Ulung Bahar pun mula azan tiga kali. Sebaik saja azannya bergema
lelaki itu terumbang ambing apabila seluruh tempatnya berdiri bergegar. Dia terhumban macam bertih
direndang dalam kuali mencari tempat mahu berpijak.

"Ilmu apa kau pakai ni!" jeritnya meminta Ulung Bahar berhenti dari azan.

"Kau kata tak takut Allah" ejek Ulung Bahar.

"Aku takut, aku takut..." sahutnya terketar-ketar.

"Sekarang cakap! Siapa yang suruh kau?" Ulung Bahar mula keraskan suara.

"Orangnya baik..." ujar lelaki itu termengah-mengah. "Dia dianiaya oleh Orang Besar tu, kalau awak nak
tau, Orang Besar tu jahat. Dah dapat manis sepah dibuang" jelasnya memepertahankan diri.

"Berapa dia upah kau?" soal Ulung Bahar.

"Aku tolong saja"

"Mana boleh! Bomoh Siam mesti terima upah!"


"Aku ambil sikit..."

"Berapa?"

"Satu ribu..."

"Bodoh punya Bomoh Siam! Kenapa tak minta lebih?"

"Tak boleh, kita nak tolong aje..."

"Selalu Bomoh Siam ambil upah sampai lima ribu!"

"Itu Bomoh Siam moden..."

Terkekeh-kekeh Ulung Bahar tertawa mendengar kata-kata lelaki berkenaan. Manakan tidak ketawa bila
dia menyebut Bomoh Siam moden yang ambil upah mahal, sedangkan dia adalah Bomoh Siam yang
bertugas menolong orang.

Bagi Ulung Bahar memang selalu menghadapi keadaan demikian. Sebab itulah dia boleh berhujah
dengan syaitan yang datang mengganggu. Syaitan juga mempunyai ilmu psikologi bila berhadapan
dengan manusia. Oleh itu manusia yang terperdaya dengan ilmu psikologi syaitan akan cepat mengalah.

Sikap mengalah syaitan bukanlah bererti dia benar-benar mengalah. Sebaliknya mencari strategi untuk
menyerang balas. Sebab itu Ulung Bahar sengaja menyoal macam-macam biar syaitan sendiri serba
salah mahu menjawab.

"Kalau begitu cakap, apa yang kau buat pada Orang Besar?" tanya Ulung Bahar.

"Aku tak buat apa" jawabnya tersengih-sengih.

"Kalau tak cakap aku azan!" cepat-cepat Ulung Bahar mengugut.

"Eh, jangan..." rayunya mula berpusing-pusing mahu mencari helah.

"Jangan cari helah!" jerkah Ulung Bahar yang sudah tahu cara mana syaitan mahu bertindak.

Lelaki itu menjadi serba salah, sebab apa saja helah yang mahu dibuatnya sudah diketahui oleh Ulung
Bahar. Dia menjadi hairan kerana selama ini dukun yang mengubat Orang Besar terperdaya dengan
helah dia. Tetapi menghadapi Ulung Bahar dia menjadi kebingungan.

Dia sudah meniupkan ribut kencang tetapi tidak berjaya menerbangkan Ulung Bahar kerana zikirnya
yang mantap. Dia membawa Ulung Bahar merentas hutan, tetapi Ulung Bahar dapat mencari tempat
persembunyiannya. Apa saja helah yang dibuatnya dapat dikesan oleh Ulung Bahar.

Sudah banyak dukun-dukun Melayu yang ditentangnya, akhirnya dia dapat memperdayakan. Kadangkala
apabila ditiupkan ribut kencang mereka tidak dapat bertahan. Mereka cepat berlindung diri dan terus
balik meninggalkannya. Kalau ada pun yang boleh bertahan dari ribut kencang, akan sesat meraba-raba
bila dibawa merentas hutan rimba.
Ternyata Ulung Bahar sangat berbeza dari dukun-dukun Melayu yang pernah cuba mengubat Orang
Besar. Malah Bomoh Siam yang dipanggil mengubati Orang Besar juga tidak berdaya menentang dia.

Tertanya-tanya dia apakah ilmu yang digunakan oleh Ulung Bahar. Hanya yang didengarnya Ulung Bahar
menyebut kuasa Allah. Tentulah ilmu Ulung Bahar ini bukan ilmu baru, tetapi sudah ujud sejak bertahun-
tahun. Ilmu yang ada padanya tidak dapat menentang ilmu yang dimiliki oleh Ulung Bahar.

"Apa ilmu yang awak pakai?" tanya lelaki itu gementar.

"Ilmu Allah yang diturunkan kepada umat Islam" jelas Ulung Bahar.

"Bolehkah awak ajar aku?" dia mahu menguji.

"Jangan nak cari helah..." Ulung Bahar mengingatkan. "Cakap, apa awak sudah buat pada Orang Besar?"
bentaknya keras.

"Tak buat apa pun..." sahutnya tersengih-sengih.

Tidak bertangguh lagi Ulung Bahar terus azan. Bumi tempat lelaki itu berpijak bergegar kuat. Dia
terlambung-lambung macam bertih di dalam kuali tidak dapat berjejak. Terpekik-pekik dia meminta
Ulung Bahar memberhentikan azan. Tetapi Ulung Bahar tidak peduli. Dia terus azan berulang kali.

"Aku cakap, aku cakap..." tercungap-cungap lelaki itu merayu pada Ulung Bahar supaya berhentikan
azan.

"Sekarang cakap!" herdik Ulung Bahar.

"Aku dah lepaskan dalam Sungai Gombak" kata lelaki itu gementar.

"Apa yang kau lepaskan?" soal Ulung Bahar mengancam.

"Ikan haruan..." jelasnya terketar-ketar. "Ada penunggunya di situ..." ujar lelaki itu dalam ketakutan.

Setelah mendapat rahsia dari lelaki yang berpakaian seperti Sami Budha itu, Ulung Bahar menghembus
lelaki itu dengan ayat Al-Ikhlas hingga melayang-layang seperti bunga lalang. Kemudian Ulung Bahar
terus melayangkan dirinya di sepanjang Sungai Gombak.

Puas dia mencari-cari di kawasan yang dituju tetapi tidak juga berjumpa. Ulung Bahar terus membaca
Surah Waddhuha dengan penuh khusyuk. Ketika ini dia sampai jauh dari bangunan-bangunan tinggi di
tengah bandar. Air Sungai Gombak yang keruh jelas pada penglihatan dia.

Dalam masa dia memerhatikan di sekitar kawasan Sungai Gombak itu, tiba-tiba dia nampak seorang
perempuan cantik berdiri di tengah sungai memegang tangguk. Dia percaya perempuan ini bukannya
bunian, tetapi penunggu sungai yang menjelmakan dirinya sebagai isteri muda Orang Besar.

Memang Ulung Bahar tahu Orang Besar sudah berkahwin dengan seorang gadis cantik berasal dari
Kelantan. Perkahwinan itu tidak kekal. Hanya selama lapan bulan saja. Gadis itu diceraikan setelah
Orang Besar diberi tangkal pembenci oleh isteri tuanya, sebaik saja isteri tuanya mendapat tahu Orang
Besar berkahwin lagi.

Tidak lama selepas penceraian itu Orang Besar bermimpi dia dikhatankan oleh seorang mudim yang
dikenalinya. Esoknya apabila dia bangun dari tidur, dia merasa kemaluannya ngilu. Lama kelamaan tidak
terasa lagi kalau dijentik pun.

Orang Besar telah bertemu ramai dukun untuk mengubatnya. Sejak lapan tahun dia mengidap dan
menderita keadaan demikian. Isteri tuanya terasa juga menyesal, tetapi lebih gembira kerana Orang
Besar tidak akan berkahwin lagi. Bagaimanapun ada juga dukun menasihati dia supaya rujuk semula
dengan bekas isteri muda yang pernah diceraikan.

Tetapi dia diberitahu jandanya itu sudah berkahwin lain. Orang Besar tidak mahu sangat ambil tahu
mengenai diri jandanya itu. Soal yang penting dia harus mengatasi masalah yang dihadapinya.

"Buat apa awak bawa tangguk, kalau tak menangguk ikan?" tegur Ulung Bahar mendekati perempuan
cantik yang berdiri di tengah sungai.

"Kita punya sukalah" sahut perempuan itu mengerling ke arah Ulung Bahar.

"Kalau tak mahu menangguk, pinjamkan aku. Biar aku yang menangguk" ujar Ulung Bahar.
Bagaimanapun di tidak leka semasa berhadapan dengan perempuan cantik tesebut.

Masa ini terasa ribut bertiup kencang. Ulung Bahar terus bertahan di tengah ribut kencang. Kemudian
dia azan sekuat hatinya menyebabkan ribut kencang terhenti tiba-tiba. Lelaki yang berpakaian seperti
Sami Budha tadi tersungkur di tengah sungai.

Bersama dengan perempuan cantik di sampingnya, lelaki berkenaan melemparkan bola api ke arah
Ulung Bahar. Perempuan itu melontarkan serpihan besi tajam seperti paku menerjah ke tubuh Ulung
Bahar. Tetapi semuanya tidak memberi kesan kepada tubuh Ulung Bahar yang sentiasa berzikir.

Akhirnya mereka berdua mengeluh panjang kerana melihat Ulung Bahar tetap berdiri di tebing sungai
mengejek mereka. Ternyata serangan mereka berdua menjadi sia-sia.

"Tadi, awak dah kalah. Masih degil lagi mahu melawan!" cabar Ulung Bahar.

Lelaki tersebut tidak menyahut. Dia serba salah mengerling perempuan cantik di sebelahnya.
Perempuan itu melemparkan tali lantas membelit seluruh tubuh Ulung Bahar. Mereka berdua ketawa
berdekah-dekah melihat tali tersebut melilit seluruh tubuh Ulung Bahar.

"Hasbiallahu Lailahaillallah alaihi watawakkal.." kumat kamit mulut Ulung Bahar membaca doa
mengehembuskan ke seluruh tubuhnya. Tali yang melilit tubuhnya jadi cair seperti air. Sekali lagi lelaki
dan perempuan cantik itu tercengang kerana Ulung Bahar tidak takut pun menghadapi serangan
mereka.

"Hei, bomoh bodoh..!" jerkah Ulung Bahar bercekak pimggang di atas tebing sungai. "Kau nak mengaku
kalah atau nak merasa lagi serangan aku?" tanyanya memberi amaran.
Tidak bertangguh lagi lelaki itu terus menghilangkan diri. Dia tidak berani lagi bertahan apabila Ulung
Bahar sudah memberi amaran. Hanya tinggal perempuan cantik itu kebingungan ditinggalkan lelaki tadi.

Memandangkan perempuan cantik itu degil, Ulung Bahar membaca beberapa ayat lagi menyebabkan
perempuan itu berputar seperti gasing beruri ligat. Laungnya bergema kerana berputar-putar di dalam
air. Setelah putaran itu berhenti dia termengah-mengah menengadah Ulung Bahar. Kecantikannya juga
luntur akibat diputar tadi.

"Bukan aku yang salah" dia merayu supaya dibebaskan.

"Jangan berdalih!" jerkah Ulung Bahar.

"Iya..." katanya gementar. "Botak tadi yang suruh. Dia suruh aku jagakan haruan yang dilepaskan di
sungai ni" ujarnya bertambah gerun bila mengerling Ulung Bahar.

"Mengapa kau ikut cakap dia?" tanya Ulung Bahar mahu menduga.

"Kalau tak ikut dia bunuh aku..." jelasnya menangis teresak-esak.

"Kau takut pada dia?" ejek Ulung Bahar seterusnya.

Dia mengangguk lemah.

"Kau tak takut Allah...! suara keras Ulung Bahar semakin menggerunkan dia. Dia mengangguk juga.

"Kalau kau takutkan Allah, jangan pedulikan botak tadi" perintah Ulung Bahar merentap rambut
perempuan tersebut. "Sekarang serahkan pada aku haruan tu!" bentaknya.

Mahu tidak mahu terpaksalah perempuan tadi menangguk ikan haruan yang dilepaskan ke dalam
sungai. Ulung Bahar terus menangkap ikan tersebut dari tangguk perempuan berkenaan melalui
makrifat. Dan terus dibawanya semula ke rumah Orang Besar.

Ketika ini mereka yang ada di rumah Orang Besar melihat Ulung Bahar mengetuk jari telunjuknya ke
bibir geluk. Tiga kali dia mengetuk berdentum seekor haruan yang masih berlumpur lagi tubuhnya
menjelma di dalam geluk.

"Alhamdulillah..." Ulung Bahar menarik nafas.

Orang Besar terkejut melihat ikan haruan di dalam geluk di depan Ulung Bahar. Geluk itu juga menjadi
keruh disebabkan lumpur yang dibawa oleh haruan tadi. Kemudian dia membelah perut ikan itu. Di
dalam perut ikan haruan berkenaan terdapat segulung benang kuning yang diikat pada paku setengah
inci.

Barang-barang yang dikeluarkan dari perut ikan itu diambil oleh Ulung Bahar dibungkus dengan sapu
tangannya. Ikan haruan itu juga dibungkus dengan plastik, kerana menurut Ulung Bahar dia sendiri akan
membuangnya ke laut.
Setelah semuanya selesai, Ulung Bahar tidak membuat apa-apa tangkal atau azimat untuk Orang Besar.
Dia hanya membacakan doa lalu dihembuskan ke kepala Orang Besar. Kemudian dia menyuruh Orang
Besar solat tengah malam dua rakaat.

Tidak ada ubat-ubat lain yang diberikan oleh Ulung Bahar. Selepas dia mengubat malam itu, esoknya dia
terus balik ke kampung. Orang Besar bertanya sama ada dia akan mengubatnya tiga kali ulang, tetapi
Ulung Bahar menjawab, "Nak ubat apa lagi Tuan, bukannya Tuan sakit..." dia tersenyum mengerling
Orang Besar.

Khabarnya Orang Besar berkahwin lagi tidak lama selepas itu. Selepas peristiwa ini isteri Orang Besar
tidak lagi mencari tangkal pembenci. Dia sendiri tidak marah lagi kalau Orang Besar berkahwin lain.
10. TOK AWANG NGAH - DIKEJAR ORANG TUA BERSERBAN KUNING

DEMIKIANLAH diberitahu oleh Meon kepada saya mengenai Ulung Bahar. Dari apa yang diceritakan oleh
Meon itu saya dapati dia bukanlah orang dukun yang mengamalkan cara perubatan tradisional. Kalau
dukun tentulah dia menggunakan ramuan seperti bunga-bunga, bertih direndang, kemenyan dan
sebagainya.

Cara yang dilakukan oleh Ulung Bahar ketika mengubat Orang Besar samalah seperti yang pernah
dilakukan oleh Pak Tua Mahat, Aki Sahak dan Tok Aji. Berbeza dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak, Tok
Aji adalah guru agama yang mempunyai madrasah sendiri.

Sebab itulah saya berminat sangat mahu bertemu muka dengan Ulung Bahar ini.

Saya datang ke rumah Meon di Gombak kira-kira jam 9.00 malam kerana mahu menetapkan hari bilakah
dia akan balik ke kampungnya. Memang saya tertarik hati mahu mengenalinya. Ulung Bahar hanya
menggunakan doa-doa tertentu saja dari ayat-ayat Quran, dan bukannya menggunakan jampi mentera.
Dia juga tidak menggunakan ramuan seperti bertih, kemenyan, limau, bunga-bunga sebagaimana yang
lazim digunakan oleh dukun-dukun.

Inilah persamaan yang dapat saya lihat antara Ulung Bahar dengan Pak Tua Mahat dan Aki Sahak.

"Macam ustaz buat apa lagi jumpa Ulung Bahar..." kata Meon sebaik saja saya masuk ke rumahnya.

"Orang macam tu patut kita jumpa" jelas saya lalu duduk. "Orang tua banyak pengalaman..." ujar saya
tertawa.

"Saya agak orang macam ustaz ni memang suka sangat Ulung Bahar nak berjumpa" isteri Meon
menyampuk.

"Ah, apa sangat saya ni..." saya serba salah bila dikatakan begitu.

Sebenarnya saya baru setahun mengenali Meon dari seorang kawan. Kawan saya itu mengidap sakit
lelah beberapa tahun. Meon telah membawakan dia berjumpa dengan Ulung Bahar. Katanya penyakit
lelahnya itu sudah beransur baik. Dialah yang membawa saya pula bertemu dengan Meon.

Dari Meon pulalah saya mendengar cerita Ulung Bahar mengubat Orang Besar yang hilang tenaga
kelelakian itu. Tidak lama kemudian Simah isteri Meon meminta masuk ke bilik kerana dia merasa
pening kepala. Tinggallah saya dengan Meon berbual-bual kosong. Pada mulanya saya tidak berniat
untuk lama di rumah Meon, tetapi bila Meon bercerita mengenai beberapa kisah di kampungnya yang
melibatkan Ulung Bahar, saya tertarik hati pula mahu mendengarnya.

Kata Meon, satu waktu dulu kampungnya diganggu oleh lembaga hitam pada setiap malam. Lembaga
hitam ini akan masuk ke dalam rumah dan mencabul wanita-wanita dengan sesuka hatinya. Kebanyakan
wanita itu tidaklah diperkosanya, hanya dibukakan pakaian wanita berkenaan, kemudian dia melarikan
diri.
Bagaimanapun Ketua Kampung enggan melaporkan kepada polis, kerana orang-orang kampung mahu
menangkap sendiri, siapakah yang melakukannya.

Seorang janda beranak terjerit bila tiba-tiba satu lembaga hitam menjelma di depannya. Jeritannya
hanya sekaligus saja, kerana selepas itu dia terus kebingungan akibat dipukau oleh lembaga berkenaan.
Lembaga hitam itu telah membuka pakaian janda tadi hingga tidak tinggal sebenang pun. Sebelum lari
meninggalkan wanita tersebut dia memangkahkan kapur pada kemaluan janda itu.

Satu malam sampai lima enam orang diganggunya. Dia tidak peduli sama ada anak dara, janda atau isteri
orang, semua diganggunya. Setelah ditelanjangkan dia akan memangkah kemaluan wanita tersebut
dengan kapur. Apakah tujuannya tidak pula diketahui.

Anehnya rumah-rumah yang berdekatan dengan Ulung Bahar tidak pula diganggunya.

Apabila diberitahu pada Ulung Bahar dia juga tidak dapat memberi jawapan. Katanya sukar juga mahu
memerangkap lembaga hitam itu, keran tidak tahu rumah mana yang akan diganggunya. "Kalau kita
tahu rumah siapa mahu diganggunya, mudahlah kita memerangkap dia..." jelas Ulung Bahar.

"Apa tujuannya lembaga hitam ni Ulung?" Ketua Kampung hairan dengan suasana yang melanda
kampung.

"Ah, ilmu sesat. Ilmu orang tak ingat Allah..." beritahu Ulung Bahar selamba.

Bagaimanapun tiap-tiap malam Ketua Kampung mengarahkan penduduk-penduduk kampung berkawal


malam. Lembaga hitam itu pula bagaikan tahu di mana penduduk-penduduk kampung berkawal. Dan dia
akan datang mengganggu rumah yang jauh dari kawalan.

Sebenarnya Ulung Bahar boleh memerangkap lembaga hitam berkenaan sekiranya mendapat kerjasama
dari penduduk-penduduk kampung. Sayangnya, penduduk-penduduk kampung sendiri tidak mahu
bersatu apabila diajak berkumpul di surau. Ulung Bahar mengajak mereka membaca Yassin beramai-
ramai supaya lembaga hitam itu tidak dapat lagi masuk mengganggu.

Tetapi sebahagian besar penduduk mahu menangkap lembaga hitam itu. Mereka mahu tahu siapakah
orangnya yang berani melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Disebabkan Ulung Bahar enggan
menerima cadangan orang-orang kampung yang berdendam mahu menangkap lembaga hitam tersebut,
maka mereka telah menemui seorang dukun bernama Pak Musiro.

Pak Musiro mendakwa dialah yang menjadi guru kepada lembaga hitam yang mengganggu orang-orang
kampung. Mengikut cerita Pak Musiro seorang pemuda telah datang menemuinya untuk belajar ilmu
ghaib. Bila ditanya siapakah pemuda berkenaan, Pak Musiro tidak mahu menerangkannya.

"Nantilah, bila dapat kita tangkap, kalian semua akan tau..." kata Pak Musiro.

Pak Musiro ini dipercayai memiliki ilmu ghaib. Pernah di zaman pemerintahan Jepun dia mahu ditangkap
oleh askar-askar Jepun. Tetapi askar-askar Jepun tidak menemuinya. Semasa darurat juga gerila komunis
mahu menangkapnya, tetapi tidak dapat dikesan di mana dia bersembunyi.
Satu hari seekor babi hutan telah masuk ke kampung menyerang beberapa orang penduduk. Tetapi
apabila terserempak dengan Pak Musiro babi hutan itu berpusing-pusing mencari Pak Musiro. Sempat
pula Pak Musiro mengasah parangnya sebelum menetak kepala babi itu sampai tersungkur mati.

Mungkin kerana mendengarkan cerita kehebatan Pak Musiro inilah pemuda berkenaan ingin sangat
mempelajari ilmu ghaib dari orang tua tersebut. "Ilmu ghaib macam mana yang kau nak belajar?" tanya
Pak Musiro.

"Ilmu ghaib yang ada pada Pak Musiro" sahut pemuda berkenaan.

"Ilmu ghaib ni ilmu jahat..." beritahu Pak Musiro menjelaskan kepada pemuda itu. "Tetapi kalau
mahukan ilmu supaya tidak ditemui oleh musuh, kau boleh amalkan dari Surah Yassin" dia menerangkan
selanjutnya.

"Saya bukannya ada musuh..." kata pemuda itu tersengih-sengih.

Pak Musiro telah menerangkan satu cara yang paling sulit dilakukan dengan harapan pemuda tersebut
tidak jadi meneruskan usahanya mahu menuntut ilmu ghaib. Lagi pun Pak Musiro bukanlah bersungguh-
sungguh mengajarnya. Dia hanya menerangkan satu perkara yang dia sendiri tidak pernah
melakukannya. Pendek kata apa yang dicakapkan oleh Pak Musiro itu hanyalah rekaan semata-mata.

Kata Pak Musiro. "Kalau kau berani cubalah".

"Cuba macam mana?" pemuda itu mendesak.

"Aku ingat lebih baik tak usah" dia masih lagi mencari akal apakah cerita yang hendak direkanya.

"Saya sanggup buat apa pun Pak Musiro" tegas pemuda berkenaan.

Akhirnya Pak Musiro mendapat satu akal. Dia percaya tentu pemuda itu tidak akan sanggup
melakukannya. Memang kalau orang yang waras fikiran pun merasa tidak munasabah dengan apa yang
disebutkan oleh Pak Musiro.

"Apabila ada orang mati, kau ambil abuk papan lahad yang diketam. Dibakar dan ambil abunya. Lepas itu
semasa mayat sedang dimandikan, kau masuk ke bawah rumah tempat mayat itu dimandikan dan
taburkan abu papan itu di kepala..." ujar Pak Musiro tersengih-sengih kerana pemuda tadi percaya
sangat dengan apa yang dicakapnya.

"Lepas tu apa saya nak buat?" tanya pemuda berkenaan dengan yakin.

"Kalau ada apa-apa datang, kau curilah apa saja barangnya" kata Pak Musiro seterusnya.

"Lagi..." pemuda tersebut sedikit pun tidak ragu-ragu akan cerita Pak Musiro.

"Kalau ada sesiapa mengejar kau carilah sungai, dan cepat-cepat menyeberang" ujar Pak Musiro.
Pemuda itu mengangguk lemah. Terasa padanya terlalu berat mahu melakukan seperti yang diterangkan
oleh Pak Musiro. Namun dia tidak sedar bahawa Pak Musiro hanya berolok-olok saja untuk melemahkan
semangat dia dari meneruskan cita-citanya mahu belajar ilmu ghaib.

Bagi Pak Musiro orang yang akan mengejar sekiranya pemuda itu meneruskan cita-citanya mestilah
keluarga si mati. Tentulah mereka marah apabila ada orang melakukan perbuatan demikian semasa si
mati dimandikan. Sebab itulah dia sentiasa tersengih-sengih bila memberitahu demikian.

Selepas itu Pak Musiro tidak tahu apa yang berlaku ke atas pemuda tadi. Apabila orang-orang kampung
gempar dengan kejadian lembaga hitam mengganggu dan datang menemuinya, Pak Musiro mula
teringatkan kepada pemuda yang pernah menemuinya untuk belajar ilmu ghaib itu. Hanya orang yang
melakukan ilmu halimunan saja yang boleh hilang dari pandangan orang ramai.

Orang-orang kampung menjadi bingung kerana lembaga hitam itu boleh masuk ke dalam rumah mangsa
mengikut lubang yang boleh ditembusi angin. Bagaimana rapat dikunci pun pintu dan tingkap, dia boleh
masuk selagi ada lubang yang boleh ditembusi angin.

Setelah berjanji untuk menangkap lembaga hitam tersebut, Pak Musiro pun bersiap-siap dengan ramuan
dukunnya. Dia menyediakan tujuh jenis bunga, tujuh biji limau dan tujuh geluk air yang diambil dari
tujuh batang sungai. Dia akan memanggil lembaga hitan itu datang ke rumahnya dan akan
menggunakan 'pasung bumi' iaitu ilmu kebatinan yang mengunci musuh tidak dapat mencari jalan
keluar untuk melarikan diri.

Penduduk-penduduk kampung yang ditugaskan membantu Pak Musiro juga bersiap sedia di sekitar
rumah Pak Musiro. Mereka akan menyerbu sebaik saja mendapat isyarat dari Pak Musiro.

Kira-kira jam 9 malam, Pak Musiro memulakan tugasnya. Dia mencucukkan tujuh batang lidi kepada
setiap biji limau dan direndamkan ke dalam tujuh geluk yang berisi air dan tujuh jenis bunga. Kemudian
Pak Musiro membakar kemenyan sambil mulutnya kumat-kamit membaca mentera.

Lama dia membaca menteranya, tiba-tiba dia hilang dari pandangan orang ramai. Selepas itu mereka
terdengar bunyi pergelutan di sekitar rumah itu. Meon yang ditugaskan oleh Pak Musiro membakar
kemenyan apabila dia sudah hilang dari pandangan, terus membakar kemenyan yang siap dijampi oleh
Pak Musiro.

Orang ramai mahu membantu tidak dapat kerana masing-masing tidak nampak siapakah yang bergelut.
Hanya barang-barang di dalam rumah itu saja tunggang-langgang seperti dirempuh. Mereka semua
menjadi cemas juga kerana tidak tahu siapakah akan tewas dalam pergelutan itu. Dalam masa mereka
tidak ketahuan itu tiba-tiba Pak Musiro terpelanting di hadapan mereka. Termengah-mengah Pak
Musiro menahan kesakitan. Mulutnya kelihatan berdarah dengan seluruh badannya calar balar.

Pak Musiro terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedar diri. Orang-orang kampung semakin cemas
melihatkan Pak Musiro tidak sedarkan diri setelah dipercayai bergelut dengan lembaga hitam yang
mengganggu penduduk-penduduk kampung selama ini.

Dua hari Pak Musiro tidak sedarkan diri. Nafasnya mengombak-ngombak. Kuku kaki dan tangannya
sudah menjadi lebam. Melihatkan keadaan Pak Musiro semakin tenat Meon pun menyuruh isteri Pak
Musiro memanggil Ulung Bahar. Orang-orang kampung selama ini tidaklah menganggap Ulung Bahar
sebagai dukun, tetapi sebagai orang tua yang banyak pengalaman saja. Lagi pun Ulung Bahar sendiri
tidak suka dirinya dipanggil dukun seperti Pak Musiro.

Jiran-jiran masih ramai berkumpul di rumah Pak Musiro semasa Ulung Bahar datang. Ketua Kampung
juga ada sama menziarahi Pak Musiro. Mereka semua merasa terhutang budi kepada Pak Musiro yang
sanggup menyabung nyawa untuk menyelamatkan penduduk-penduduk kampung.

Ulung Bahar memegang kepala Pak Musiro. Kesan calar-balar di tubuhnya juga menjadi lebam.

"Musiro bernasib baik..." keluh Ulung Bahar perlahan. "Dia hampir berjaya, tetapi tak ada orang
membantu. Musuhnya hampir kalah, tetapi cepat mendapat bantuan" katanya macam kesal.

Kekesalan yang terpancar di mata Ulung Bahar, ialah orang-orang kampung hanya berharap kepada Pak
Musiro semata-mata. Mereka tidak tahu bagaimana harus membantu bila seseorang seperti Pak Musiro
menentang gangguan syaitan. Kalau ada salah seorang darinya azan, sudah tentu Pak Musiro lebih
mudah menjalankan tugasnya. Disebabkan tidak ada sokongan itulah Pak Musiro dapat ditewaskan.

"Minta aku air sejuk segelas..." Ulung Bahar meyuruh isteri Pak Musiro ambilkan air. "Meon, ambil
wudhuk" perintahnya lalu berpaling pada Meon. Tidak bertangguh Meon mengambil wudhuk.

"Azan..." katanya lagi sambil mencapai gelas air yang dihulurkan oleh isteri Pak Musiro. "Jangan berhenti
selagi aku tak suruh" dia memberitahu Meon.

Meon pun azan seperti yang disuruh oleh Ulung Bahar. Kira-kira sepuluh kali Meon azan barulah disuruh
berhenti oleh Ulung Bahar. Ketika ini dia merenung ke dalam gelas air di depannya. Ulung Bahar
tersenyum sedikit bila merenung ke dalam gelas.

"Bodoh!" itu saja yang orang ramai dengar terkeluar dari mulut Ulung Bahar. Selepas itu mereka melihat
mulut Ulung Bahar terkumat-kamit dengan mata terpejam rapat.

Sebenarnya Ulung Bahar sudah ternampak Jalit abang Meon sedang diubat oleh seorang lelaki tua
berserban kuning. Jubahnya juga kuning seperti kain Sami Budha. Apabila mereka berdua nampak Ulung
Bahar mereka cuba melarikan diri. Ketika ini Pak Musiro sudah menunggu di muka pintu, lalu mereka
bertarik-tarikan.

Sebelah tangan Jalit ditarik oleh lelaki tua berserban kuning itu, manakala sebelah lagi ditarik oleh Pak
Musiro.

"Kau ajar dia jadi jahat!" pekik Pak Musiro menendang dada lelaki tua berserban kuning itu.

"Bukankah kau yang suruh dia datang kepada aku?" lelaki tua itu mengejek.

"Aku tak suruh...!" sahut Pak Musiro marah.

"Jangan pula kau berdalih" lelaki tua berserban kuning itu menampar muka Pak Musiro. "Kau suruh dia
datang belajar dengan aku, sekarang kau nak berdalih!" ujarnya masih memaut tangan Jalit. Sementara
Jalit pula menjadi bingung tidak bertindak apa-apa walaupun tangannya dipegang oleh orang tua
berserban kuning dengan Pak Musiro.
Terkejut juga Pak Musiro bila dituduh demikian. Dia tidak pernah menyuruh Jalit menuntut dari sesiapa
pun.

Semua pertengkaran ini dilihat oleh Ulung Bahar. Tetapi yang menerima akibat dari pertentangan itu
ialah Jalit dan Pak Musiro sendiri. Mereka berdua yang cedera, manakala lelaki tua berserban kuning itu
tidak menanggung apa-apa kecederaan. Setiap tendangan kaki Pak Musiro yang menyinggahi dada lelaki
itu semuanya menuju ke sasaran dada Jalit. Seolah-olah Jalit menjadi pelindung lelaki tua berkenaan
apabila Pak Musiro membuat serangan.

"Jalit cakapkan siapa yang suruh kau datang menemui aku?" soal orang tua berserban kuning.

"Pak Musiro..." beritahu Jalit.

"Jangan berdusta Jalit!" marah benar Pak Musiro bila Jalit menuduh dia demikian.

"Bukankah Pak Musiro menyuruh aku curi kulit papan yang diketam untuk papan lahad?" Jalit
mengingatkan Pak Musiro. "Pak Musiro suruh aku bakar, Pak Musiro suruh aku ambil abunya. Pak
Musiro suruh aku mandi bawah air mandi mayat. Pak Musiro suruh aku taburkan abu kulit papan ke
kepala aku...!" jelasnya bergema memukul gendang telinga Pak Musiro.

"Cukup...!" pekik Pak Musiro marah. Merah padam mukanya bila mengingatkan balik peristiwa dia
menipu Jalit yang bersungguh-sungguh sangat mahu belajar ilmu ghaib. Rupa-rupanya Jalit betul-betul
melakukan seperti apa yang disuruhnya, padahal dia hanya mereka-reka supaya Jalit lemah semangat.

Sebaik saja diberitahu oleh Pak Musiro petua-petua mencari ilmu ghaib, Jalit tidak memikirkan sama ada
Pak Musiro memperolok-olokkan dia atau tidak. Dia sudah nekad akan mencuba seperti apa yang
dicakapkan oleh Pak Musiro. Ilmu yang dituntut mestilah atas keyakinan diri sendiri. Sama ada ajaran
guru itu betul atau salah tidak boleh difikirkan. Inilah pendirian Jalit apabila menerima peraturan yang
disuruh oleh Pak Musiro kalau mahukan ilmu menghilangkan diri.

Kebetulan tidak lama kemudian ada orang meninggal dunia di kampung itu. Jalit terus menziarahi si mati
dengan nekad akan melakukan seperti yang dikatakan oleh Pak Musiro. Semasa orang mengetam papan
untuk dibuat papan lahad, Jalit terus mengumpulkannya dan membawa ke lubang sampah. Pada
penglihatan orang ramai Jalit sangat rajin membantu dengan membuangkan sampah tersebut.

Di situ dia membakar sampah papan diketam tadi. Abunya dibungkus dengan sapu tangan. Dia
menunggu sehingga mayat dimandikan di atas rumah kira-kira jam 12 tengah hari. Orang ramai tidak
menyedari bahawa dia sudah pun mencangkung di bawah rumah bersetentangan dengan mayat hendak
dimandikan. Sebaik saja derau air yang mula dari mayat itu jatuh ke bawah rumah, teruslah menimpa
kepala Jalit yang sudah ditaburkan dengan abu sampah papan diketam.

Belum pun selesai mayat itu dimandikan, Jalit nampak lelaki tua datang bertongkat ikut sama mandi
bersamanya. Lelaki itu tidak bercakap sepatah pun. Sebelum masuk mandi bersama dengan Jalit, dia
meletakkan serban kuningnya pada gelegar rumah, manakala tongkatnya tetap dipegang di tangan.

Jalit memerhatikan apakah barang yang harus dilarikannya dari orang tua itu. Kalau mahu dilarikan
tongkat, orang tua itu masih menggenggam tongkatnya erat-erat. Akhirnya terlintas di kepalanya untuk
melarikan serban yang tersangkut pada gelegar rumah. Itu saja barang yang ada pada orang tua itu tidak
dipakainya.

Setelah melihat orang tua itu asyik mandi di bawah air mandian mayat tadi, Jalit pun meluru mencapai
serban kuning yang tersangkut di gelegar. Serentak dengan itu dia mendengar orang tua itu menjerit
memanggil dia dan mengejarnya dari belakang. Jalit pun lari sekuat hati menuju ke arah sungai.

Dia sempat menyeberang sungai. Orang tua yang mengejarnya dari belakang tadi tidak dapat
menyeberang.

"Pulangkan serban aku!" pinta orang tua tersebut.

"Tidak..." sahut Jalit berbangga dengan kejayaannya melarikan serban orang tua yang sama-sama mandi
air mayat tadi. "Sekarang serban ni kepunyaan aku. Kalau kau mau marilah menyeberang sungai ke
sini..." dia megejek-ngejek.

"Memang aku nak beri kau" orang tua itu tersenyum. "Memang aku tau kau berhajat sangat hendakkan
ilmu ghaib. Kau boleh memakai serban itu, tetapi ada syaratnya" beritahu orang tua itu.

"Apa syaratnya?"

"Senang saja..."

"Kalau aku tak ikut syarat?"

"Aku ambil semula serban"

"Ah! aku tak percaya!" Jalit cuba mengelak dari syarat yang hendak dikenakan oleh orang tua tersebut.

Orang tua itu menunding jarinya ke arah Jalit. Dengan tiba-tiba saja serban kepunyaannya melayang dari
tangan Jalit terus masuk berlingkar ke hujung tongkat. Jalit terlopong dengan tindakan orang tua
berkenaan. Ternyata dia tidak dapat melawannya. Jalit tidak mempunyai apa-apa kelebihan bagi
mempertahankan diri dari tindakan orang tua tadi. Dia hanya melakukan seperti apa yang disuruh oleh
Pak Musiro dengan tidak bertanyakan lebih lanjut bagaimana kalau dia tidak boleh melawan dugaan.

"Sekarang kau percaya atau tidak?" tanya orang tua itu ketawa berdekah-dekah mengejek Jalit.

Pucat muka Jalit. Dia percaya dirinya tidak akan dapat lari ke mana. Kalau serban di tangannya lagikan
mudah dirampas kembali oleh orang tua itu, tentulah dia juga tidak akan dapat melarikan diri.

"Aku percaya..." sahut jalit lemah. "Cakaplah apa syaratnya?" tanya Jalit mengharapkan pertolongan dari
orang tua tersebut.

"Kau mesti mencabul 44 orang perempuan!" ujar orang tua itu memberikan syaratnya. "Tetapi ingat,
kau tidak boleh menodai seorang pun..." katanya memberi amaran.

Lama Jalit berfikir sama ada mahu menerima syarat tersebut atau tidak. Alang kepalang dia sudah pun
hampir mencapai maksudnya. Cuma syarat itu saja mesti dilakukan.
"Ingat 44 orang perempuan dalam masa dua minggu!" tegas orang tua itu lagi.

"Baiklah, aku sanggup" Jalit memberi pengakuan.

"Kau mesti tandakan sebagai bukti kau telah mencabulnya!" katanya lagi.

"Baiklah!" sahut Jalit tegas.

Serban kuning itu dipulangkan semula kepadanya. Apabila dipakai di kepala Jalit merasakan dirinya
boleh berlari kencang. Dia boleh melompat melepasi sungai. Alangkah gembiranya kerana dapat
memenuhi maksudnya.

"Kalau kau tak berjaya mencabul 44 orang perempuan, serban itu aku ambil semula" beritahu orang tua
itu menghilangkan diri dari pandangannya.

Untuk memenuhi tuntutan itulah Jalit terpaksa melakukan perintah orang tua berjubah dan berserban
kuning itu. Apabila dia balik ke rumah hari itu dia telah bertemu Meon sedang mengembala lembu
masuk ke kandang. Jalit memanggil Meon, tetapi Meon berpusing-pusing mencari suara Jalit yang
memanggilnya.

Apabila serban itu ditanggalkan barulah Meon melihat dia. Meon juga tidak nampak serban yang
dipegang di tangannya. Sejak itulah kegemparan berlaku di kampung itu mengenai lembaga hitam
mengganggu perempuan. Setiap malam sekurang-kurangnya tiga orang perempuan telah dicabul.
Kemaluannya dipangkah dengan kapur. Kesemua mangsa mengakui bahawa mereka tidak dinoda oleh
lembaga hitam tersebut.

Hinggalah Jalit tidak dapat mengelak bila bertembung dengan Pak Musiro. Dia sudah berjaya mencabul
hampir 30 orang perempuan bila namanya diseru oleh Pak Musiro. Apabila dia mahu menyerah kalah
kepada Pak Musiro, orang tua yang memberikan dia serban kuning itu datang menjelma. Orang tua itu
memerintahkan dia supaya menentang Pak Musiro.

Terpaksalah Jalit menentang Pak Musiro. Tetapi setiap kali memberi tentangan, serangan Pak Musiro
terlalu keras. Dia tidak dapat bertahan dari serangan Pak Musiro. Mujurlah orang tua berjubah kuning
itu datang menolongnya. Orang tua itu meresap ke dalam tubuhnya lalu sama-sama menyerang Pak
Musiro. Akhirnya Pak Musiro terpelanting tidak berdaya lagi untuk bangun menentang.

Jalit juga mendapat cedera parah. Bagaimanapun cederanya dapat diubat oleh orang tua yang
menolongnya. Hinggalah Ulung Bahar datang menjelma, barulah Pak Musiro kembali bertenaga untuk
melepaskan dia dari genggaman orang tua tersebut.

"Kenapa kau lari?" jerkah Ulung Bahar bila melihat orang tua berserban kuning bergegas-gegas menarik
Jalit, tetapi ditahan oleh Pak Musiro. "Kau takut pada aku?" kata Ulung Bahar menghentakkan tumitnya
ke lantai rumah Jalit.

Terpekik Jalit bila Ulung Bahar menekan tumitnya ke lantai. Orang tua berserban kuning itu tertawa
berdekah-dekah bila Jalit terpekik.
"Kau takkan menang Bahar..." ejeknya menyakitkan hati Ulung Bahar.

Pak Musiro juga masih memaut tangan Jalit. Dia tidak berjaya melepaskan Jalit dari orang tua
berkenaan. Kalaulah Pak Musiro dapat melepaskan tangan Jalit dari genggaman orang tua itu, tentulah
mudah bagi mereka menyerang orang tua tadi. Syaitan yang menjelma sebagai orang tua itu berjaya
menggunakan Jalit menjadi pelindungnya apabila diserang oleh manusia.

Tetapi Ulung Bahar bukan semudah itu hendak ditentang oleh syaitan. Dia tidak putus asa apabila Jalit
dijadikan pelindung syaitan. Ulung Bahar terus azan hingga menggegarkan kawasan rumah Jalit. Pak
Musiro tetap berpaut pada tangan Jalit walaupun gegaran bertambah kuat.

"Musiro, kuatkan zikir kau..." Pak Musiro mendengar Ulung Bahar membisikkan sesuatu ke telinganya.
Pak Musiro mengangguk. Dia berzikir mengingatkan kudrat dan iradat Allah. Ketika ini dia merasa
gegaran itu tidak menyusahkan dirinya. Pak Musiro terselamat dari gangguan gegaran apabila Ulung
Bahar azan.

Hanya orang tua itu saja terhumban ke kiri ke kanan tidak dapat berjejak. Gegaran semakin kuat.

"Nanti..." orang tua itu merayu meminta Ulung Bahar berhenti azan. Tetapi tangannya tetap berpaut
pada Jalit.

"Lepaskan Jalit dulu..." perintah Ulung Bahar. Dia tidak memberhentikan azannya. Semakin galak Ulung
Bahar azan berulang kali, semakin kuat gegaran di sekitar rumah Jalit. Orang tua itu terumbang ambing
macam bertih direndang dalam kuali terlompat ke kiri ke kanan.

"Tolong berhentikan! Aku tau kau tak sama dengan Musiro. Aku kalah dengan kau, tolong..." rintihnya
memanjang.

"Lepaskan Jalit dulu..." tegas Ulung Bahar. Selagi dia tidak melepaskan Jalit, Ulung Bahar tidak akan
berhenti azan.

Tidak tahan dengan gegaran yang semakin kuat orang tua itu terpaksa melepaskan Jalit. Sebaik saja Jalit
dilepaskan, Ulung Bahar menyuruh Pak Musiro lindungkan Jalit. Dia tahu Jalit tidak bersalah. Jalit hanya
terpengaruh dengan ilmu sesat yang ditunjukkan oleh syaitan.

"Aku tak bermusuh dengan kau" gerutu orang tua itu marah. "Aku bermusuh dengan Musiro, biarkan
saja Musiro melawan aku" ujarnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.

"Kalau kau tak mahu bermusuh dengan aku, biar aku yang bermusuh dengan kau" sindir Ulung Bahar.

"Jangan! Aku tak mahu bermusuh dengan kau...!" sahut orang tua itu lemah.

"Aku nak bermusuh dengan kau...!" jerkah Ulung Bahar.

"Mengapa pula?" dia sengaja mencari jalan mahu mengelakkan diri dari bertentang dengan Ulung
Bahar.

"Memang syaitan musuh aku!" balas Ulung Bahar menampakkan kebenciannya.


"Aku nak berlawan dengan Musiro..." beritahu orang tua itu lagi.

"Kenalah langkah mayat aku dulu!" Ulung Bahar terus mencabar.

Orang tua itu berlegar-legar mahu menerkam ke arah Pak Musiro. Belum sempat dia menerkam, Pak
Musiro menendang dadanya. Terpelanting orang tua itu akibat ditendang oleh Pak Musiro. Masa ini dia
tidak dapat lagi menggunakan Jalit sebagai pelindungnya. Dia terpaksa menanggung sendiri kesakitan
akibat tendangan kuat dari Pak Musiro.

Marah benar dia ditendang oleh Pak Musiro. Cepat-cepat dia bangun mahu membalas semula. Dia
menerkam tetapi sempat dielak dengan pantas oleh Pak Musiro.

"Di depan Bahar kau memang handal..." bentak orang tua itu marah.

"Baca Fatihah Musiro..." bisik Ulung Bahar.

Pak Musiro membaca Fatihah tiga kali. Satu putaran angin kencang memutar orang tua tersebut seperti
uri gasing berputar ligat. Jeritan orang tua itu bergaung di dalam putaran angin kencang itu. Lama dia
diputar angin kencang orang tua itu jatuh tersungkur di depan Pak Musiro.

"Sekarang kau nak lawan Musiro lagi?" kata Ulung Bahar mengejeknya.

Orang tua itu tidak dapat bergerak lagi selepas diputar angin kencang tadi. Ternyata dia terlalu lemah
untuk bangun semula. Selama ini dia tidak gentar kalau menentang Pak Musiro. Walaupun Pak Musiro
dukun terkenal, tetapi dia tahu mempermainkan Pak Musiro. Apabila kalah dia akan berundur buat
sementara dulu. Kemudian akan datang semula mengganggu.

Tetapi dengan Ulung Bahar dia tidak berpeluang mahu mengelak. Ke mana saja bersembunyi dapat
diekori oleh Ulung Bahar. Sebab itulah sedapat-dapatnya dia mahu mengelak dari bertemu dengan
Ulung Bahar.

"Sekarang kau lawanlah Musiro..." ulangi Ulung Bahar.

"Kau tolong dia, fasal itu aku tak terlawan" rintihnya menyimpan dendam pada Pak Musiro.

"Aku tak tolong dia, kau yang tak terlawankan dia" Ulung Bahar mengejeknya.

Orang tua itu bangun terhuyung hayang. Dia masih berdendam pada Pak Musiro. Sebaik saja dia mahu
menerkam, Ulung Bahar membisikkan ke telinga Pak Musiro supaya membaca Surah Al-Ikhlas, Pak
Musiro membacanya tiga kali. Tiba-tiba bukit bukau berterbangan menimpa ke arah orang tua itu. Jerit
orang tua itu bergema menahan kesakitan.

Pak Musiro melihat orang tua tersebut terhimpit di bawah bukit bukau yang berterbangan menimpanya.
Apabila dia membuka mata, dilihatnya Ulung Bahar ada di sebelahnya. Malam itu juga Pak Kadut ayah
Meon datang memanggil Pak Musiro kerana Jalit diserang sakit sesak nafas tiba-tiba.
Alangkah terperanjatnya dia bila diberitahu Pak Musiro masih belum pulih dari sakit. Bagaimanapun
Ulung Bahar mendoakan segelas air dan menyuruh Pak Kadut membawanya pulang. Air itu hendaklah
diberi minum pada Jalit dan disapukan ke dadanya.

"Itulah ceritanya ustaz..." kata Meon mengingatkan semula kisah abangnya tersalah tuntut ilmu.

Sebelum saya balik malam itu, kami telah berjanji fasal mahu menziarahi Ulung Bahar. Ketika saya mahu
balik terdengar Simah isteri Meon memekik dari dalam bilik. Bergegas-gegas Meon masuk ke bilik bila
mendengar isterinya memekik sebentar tadi. Sebentar kemudiannya dia keluar semula dalam keadaan
cemas.

"Jangan balik dulu ustaz..." katanya rusuh. "tolong tengokkan Simah dulu" ujarnya tidak ketahuan.

"Astaghafarullah hala'zim..." keluh saya mengikut Meon mendapatkan isterinya di bilik.


11.TOK AWANG NGAH - SUMPAH PELESIT TURUN TEMURUN

SEHINGGA pukul 10 malam, Simah isteri Meon masih mengerang-ngerang sakit kepala. Pada mulanya
saya menyangkakan dia pening kepala biasa saja, mungkin disebabkan hawa panas. Tetapi akhirnya
Meon memberitahu Simah akan diserang sakit kepala setiap kali saya datang ke situ.

Bagaimanapun sakit kepalanya itu akan beransur hilang bila saya meninggalkan rumahnya. Sebenarnya
Simah memang selalu diserang sakit kepala, cuma sakitnya bertambah berat kalau saya datang
menemui Meon. Setelah lima tahun berkahwin dengan Meon rumahtangga mereka tidak begitu
tenteram. Simah sentiasa merasa tidak tenteram dengan sikap Meon.

Tetapi mengapa dia merasa tidak senang dengan Meon, dia sendiri tidak tahu. Mujurlah Meon dapat
bersabar dengan perangai Simah. Kalaulah tidak bersabar memang sudah lama rumahtangga mereka
runtuh. Meon dapat memikirkan tentulah ada masalah lain menyebabkan Simah berperangai benci saja
melihat Meon.

Bila hatinya senang SImah tetap menunjukkan kasih sayangnya terhadap Meon. Sebab itulah Meon
dapat memahami bahawa Simah memang ada gangguan lain menyebabkan dia berperangai sentiasa
benci saja melihat dia apabila tiba masa hatinya tidak tenang.

Memang Meon berhajat untuk membawa isterinya menemui Ulung Bahar. Jadi, kedatangan saya ke
rumah Meon pun, memang ada kaitannya dengan cadangan Meon untuk membawa Simah berubat
kepada Ulung Bahar.

"Dah lama ke Simah sakit macam ni?" tanya saya bila Simah semakin kuat mengerang-ngerang sebaik
saja saya masuk ke biliknya.

"Sejak saya kahwin memang inilah sakit idapannya" ujar Meon lemah.

"Sabar sungguh awak, Meon..." kata saya.

Meon terdiam. Terkejut juga dia bila saya kata demikian. Pada anggapannya saya mengatakan sabar
disebabkan dia boleh bertahan demikian lama dengan Simah. Saya dapat menangkap akan perasaan
Meon bila saya memberitahu demikian tadi.

Oleh itu cepat-cepat saya menyambung, "Maksudnya, kau tak bawa Simah berubat. Lama sangat kau
bersabar membiarkan Simah macam ni..." jelas saya supaya Meon tidak terkeliru dengan kata-kata saya
itu.

"Inilah saya nak bawa jumpa Ulung Bahar nanti" keluh Meon memerhati isterinya mengerang-ngerang
sakit kepala.

Simah isteri Meon ini berasal dari Air Tawar, Perak. Sejak berkahwin dengan Meon lima tahun dulu
jarang mereka balik ke kampung Meon, di Temerloh. Lagi pun memang Meon tidak menyangka Simah
mengidap penyakit demikian, sebab itulah dia tidak cepat-cepat membawa bertemu Ulung Bahar.
Baru kebelakangan inilah Meon menyedari Simah sebenarnya sakit. Kadangkala bila sakit kepalanya
menyerang dia akan memaki hamun Meon. Mula -mula dulu terkejut juga Meon sampai hampir-hampir
dia menceraikan Simah. Apabila Simah pulih semula, dia sendiri tidak tahu apa yang telah dicakapkannya
kepada Meon.

Kebetulan saya berhajat mahu bertemu dengan Ulung Bahar, maka Meon bercadang membawa Simah
berubat sekali dengan Ulung Bahar.

"Cubalah ustaz tengokkan dulu..." kata Meon semakin rusuh melihat isterinya mengerang-ngerang sakit
kepala.

"Sakit kepala lain ni Meon" jelas saya merasakan bulu roma saya meremang seram sejuk.

"Kalau dia melawan tak terkawal dek kita. Cubalah kau telefon adik kau di Datuk Keramat suruh dia
datang. Kalau ramai nanti panjang juga ikhtiar kita..." saya menyuruhnya menelefon adiknya Jamlus di
Datuk Keramat.

Saya tahu Meon mempunyai adik di Kuala Lumpur tinggal di Datuk Keramat. Sudah dua tiga kali kami
bertemu di rumah Meon itu. Kalau ada saudara mara Meon tidak segan jugalah saya mahu mencuba
mengetahui punca penyakitnya.

Cepat-cepat Meon menelefon Jamlus adiknya. Di samping itu dia juga memanggil jirannya. Dalam
keadaan demikian masing-masing kelam kabut juga melihat keadaan isteri Meon sambil menuduhnya
mati pucuk kerana sudah lima tahun berkahwin masih belum mendapat anak.

Bagi Meon maki hamun demikian sudah perkara biasa kepadanya. Dia tidak tersinggung kalau Simah
bercakap demikian. Tetapi bagi jiran-jiran yang baru datang menjengah terkejut juga dia mendengar
kata-kata Simah itu. Tidak lama kemudian kira-kira jam 11.30 Jamlus datang bersama isterinya. Terkejut
juga dia apabila Meon menelefon fasal Simah sakit. Tentulah sakit Simah berat menyebabkan abangnya
menelefon dia suruh datang segera.

"Kita bawa hospital aje..." kata Jamlus sebaik saja melihat kakak iparnya mengerang-ngerang kesakitan.
"Boleh jadi migraine. Elok cepat kita bawa ke hospital" gesanya tidak sabar lagi melihat Simah
menggelepar di atas katil.

"Sabar dulu..." sahut Meon menahan kerusuhan hatinya.

Jiran-jiran yang lain juga mendesak supaya Simah dibawa ke hospital memandangkan keadaannya
menggelepar seperti ayam kena sembelih. Saya masih berfikir apakah cara yang harus dilakukan dengan
keadaan yang demikian. Keadaan demikian begini bukanlah baru kali pertama saya tempuhi, sebab itu
saya tidak tergopoh-gopoh sangat melihat keadaan Simah itu.

"Kak Simah ni kena migraine agaknya. Jangan sabar-sabar lagi, bawa aje ke hospital" desak Jamlus lagi.

Tetapi Meon yakin Simah bukan dihinggapi sakit migraine. Kalaulah Simah kena sakit migraine masakan
dia akan memaki hamunnya. Menuduh dirinya yang bukan-bukan. Sehingga Simah tergamak
mengatakan dia mati pucuk kerana tidak mendapat seorang anak pun setelah lima tahun berkahwin.
Mujurlah dia dapat menahan sabar apabila dituduh demikian. Memang dia sedar Simah sakit, tetapi
tidak dapat mempastikan sakit sebenarnya. Setelah ada ura-ura saya mahu menemui Ulung Bahar,
barulah dia bercadang mahu mencuba membawa Simah berubat pada Ulung Bahar.

"Ada dukun di sini yang boleh kita cuba?" saya bertanya pada Meon.

Meon menggeleng kepala tidak tahu. Memang dia tidak tahu siapakah dukun di kawasan perumahan
itu. Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas harian, kadang-kadang jiran sebelah rumah pun tidak
kenal. Inikan pula mahu tahu mengenai siapa menjadi dukun di situ. "Kita cari di Sungai Pusu..." seorang
jiran memberitahu.

"Boleh juga kita panggil dukun tu" kata saya berpaling pada jiran yang memberitahu itu.

"Saya tak tau rumahnya" sahut dia serba salah. "Tetapi saya dengar dia duduk di Sungai Pusu. Kalau
kena penyakit macam ni, selalunya orang panggil dia" jelas jiran itu lagi.

"Kalau tak tau rumah macam mana nak cari malam-malam ni..." keluh Jamlus pula.

Kata-kata Jamlus itu benar juga. Sekiranya hari siang boleh juga bertanya pada siapa-siapa yang melintas
di situ. Tetapi bila hari malam masakan mahu mengetuk rumah orang mencari dukun tersebut.

"Ah, Sungai Pusu tu bukannya besar sangat" seorang lagi jiran mencelah. "Mari kita ke sana, kita carilah
sampai dapat..." ujarnya mengajak Jamlus mencari dukun berkenaan di Sungai Pusu.

Setelah Jamlus dan jiran itu pergi, keadaan Simah masih juga tidak berubah. Dia menggelepar ke kiri ke
kanan sambil mengerang sakit kepala. Jiran-jiran yang datang menziarah tadi tidak keruan dengan
keadaan tersebut.

"Sebelum dukun tu sampai, ustazlah cuba-cuba dulu..." Meon menepuk bahu saya.

Saya tahu Meon memang ikhlas meminta saya mendoakan supaya isterinya sembuh. Dalam masa
setahun dia mengenali saya, memang dia sudah mengagak mestilah ada sebab mengapa saya berhajat
sangat mahu menemui Ulung Bahar. Selalu juga dia bila terasa sakit gigi mengusik-ngusik suruh saya
ubatkan. Tetapi tidak pernah saya penuhi permintaannya.

Kalau dia mendesak juga saya suruh dia ke klinik gigi.

Bagaimanapun Meon tidak pernah berkecil hati kalau saya bersikap demikian. Pernah juga dia meminta
saya doakan supaya tidak basah terkena hujan, saya beritahu dia doa supaya tidak basah terkena hujan
pakailah payung.

Semua ini adalah usik mengusik saja. Dia hanya mahu berolok-olok dengan saya, seperti juga dia pernah
berolok-olok dengan Ulung Bahar.

Tetapi kali ini saya sedar Meon bukanlah berolok-olok. Dia meminta dengan ikhlas. Saya menjadi serba
salah dengan permintaan Meon, di samping keadaan Simah yang semakin membimbangkan. Dalam
ingatan saya sudah tergambar mungkin ada benda lain yang mengganggu menyebabkan Simah cepat
diserang penyakitnya apabila saya berada di rumah itu.
Hingga pukul 12.00 malam dukun dari Sungai Pusu yang dijemput oleh Jamlus masih belum datang.
Jamlus juga tidak nampak muka hidung.

Memandangkan keadaan Simah menggelepar-gelepar menahan sakit di kepalanya, saya pun meminta
izin dari Meon untuk memegang kepala Simah. Kira-kira dua minit saya memegang kepalanya, tiba-tiba
Simah bingkas bangun lalu meludah saya.

"Kau yang tukang kacau, laknat!" bentak Simah macam mahu menerkam ke arah saya. "Buat apa kau
datang selalu ke sini, kau nak nikah dengan aku ke?" dia ketawa mengilai.

"Kau harus sabar Meon..." bisik saya perlahan. "Yang bercakap ni bukan Simah lagi, yang lain bercakap
ni" kata saya menerangkan pada Meon.

"Saya tahu ustaz" jelas Meon merapati saya. "Buatlah macam mana pun, memang saya tahu, fasal saya
selalu ikut Ulung Bahar" ujarnya.

Simah terus berdiri dengan tangannya mahu mencengkam leher saya. Cepat-cepat Meon memegang
pinggangnya membawa rebah semula ke katil.

"Meon, kau jangan jadi bodoh!" Simah meronta-ronta mahu melepaskan diri dari Meon. "Inilah
jantannya yang menggoda aku. Dia nak nikah dengan aku, tapi aku tak mau. Aku sayangkan kau Meon"
dia merintih-rintih bagaikan merayu.

"Siapa hendakkan kau, aku pun tak mau" bentak Meon.

"Kau tak mahu pada aku?" mata Simah terjengil memerhati Meon.

"Aku tak mau..!" sahut Meon keras.

"Sekarang ceraikan aku..." Simah juga bersuara keras.

"Berambuslah kau" kata Meon.

"Lepaskan aku...!" Simah meronta-ronta sekuat tenaga. "Lepaskan aku, biar aku berambus" dia
membentak-bentak sambil menumbuk dada Meon.

"Kalau kau nak berambus, berambuslah" jerkah Meon semakin kuat memaut pinggang Simah. "Tapi,
tinggalkan Simah tau!" katanya memahami apa sebenarnya berlaku di sebalik keadaan Simah demikian.

"Kau gila, aku ni bukankah Simah" dia tertawa mengejek.

"Aku tau kau setan!" bentak Meon.

Dari cara Meon bercakap itu memang saya tahu dia juga menyedari akan penyakit isterinya. Tetapi
selama ini dia sengaja merahsiakan dari pengetahuan saya. Dia bimbang kalau saya mengetahuinya,
nanti akan menyusahkan saya pula.
Memang Meon tahu akan gangguan syaitan tersebut. Tetapi apakah jenis gangguannya tidaklah
diketahui.

"Sekejap lagi dukun Sungai Pusu datang, kau rasa nanti!" Meon cuba mengugut.

"Ah, bapak dukun Sungai Pusu aku tak takut" balas Simah termengah-mengah mahu melepaskan diri
dari Meon. Beberapa orang jiran wanita juga turut sama membantu memegangkan kakinya. "Dukun
Sungai Pusu tu takut pada aku, takkan dia berani datang...!" dia tertawa macam menyindir Meon.

"Diam...!" herdik saya merenung muka Simah. Ketika ini saya tidak nampak Simah lagi meronta-ronta di
atas katil. Saya berada jauh dari rumah Meon di Gombak di sebuah bukit dekat Air Tawar di Perak.
"Diam, kata aku. Sekarang kau datang ke sini, supaya aku bakar kau dengan Ayatul Kursi...!" saya terus
membaca Ayatul Kursi sebanyak 17 kali.

Selesai saja saya membaca Ayatul Kursi wajah Simah bertukar menjadi seorang perempuan tua kurus
dengan rambut menggerbang putih.

Perempuan tua itu mengilai ketawa mengejek-ngejek saya. Dia merenung saya bagaikan mahu
menerkam, tetapi tidak dapat mara.

"Jangan nak sembunyi lagi!" suara saya semakin keras.

"Ah, merepeklah kau. Jangan cuba nak goda aku..." perempuan tua itu terkekeh-kekeh ketawa. "Aku ni
bini Meon, buat apa kau goda. Mentang-mentang Meon mati pucuk, kau fikir aku mudah tergoda
dengan kau" dia cuba menyakitkan hati Meon yang mendengarnya.

"Kau fikir Meon bodoh" sahut saya sambil memerhatikan gerak gerinya yang mencari tipu helah. "Kau
dah tua, Meon tengok pun tak ada nafsu" saya pula menyakitkan hatinya.

Dia menjadi marah bila saya katakan dirinya sudah tua. Dia tetap mengaku dirinya Simah, walaupun saya
sudah melihat akan rupa asalnya.

"Jangan kau nak berdusta!" saya membaca Ayat Yassin dan menghembuskan ke arahnya. Angin kencang
bertiup menyebabkan dia melayang-layang tidak jejak ke bumi. "Aku tau kau perempuan tua simpan
pelesit, tubuh kau kurus, rambut menggerbang putih macam pontianak, siapa pun tengok tak naik
nafsu" kata saya lagi.

Dia bertambah marah bila saya sudah mengetahui dirinya yang sebenar. Pada sangkaannya saya hanya
melihat Simah terbaring meronta-ronta menggelepar di atas katil. Barulah disedarinya saya sudah
melihat dirinya yang sebenar dari kawasan hutan terbiar di sebuah bukit di kampung Simah.

Bila diketahuinya dirinya sudah dapat dikesan, dia terpaksa menentang habis-habisan. Perempuan tua
itu mengeluarkan botol kecil dari ikatan pinggangnya, lalu mengeluarkan seekor belalang. "Anak aku ini
akan mengajar kau...!" gerutunya lalu melepaskan belalang tersebut.

Seekor belalang sebesar pohon kelapa menerpa ke arah saya. Cepat-cepat saya melompat ke atas
belalang tersebut. Saya menyebut Allahu Akhbar tiga kali menyebabkan belalang itu kembali menjadi
kecil dan jatuh ke dalam genggaman saya.
Perlahan-lahan saya memulas kepala belalang itu dengan membacakan Ayatul Kursi 33 kali. Ketika ini
perempuan tua itu terjerit-jerit memegang tengkuknya menahan kesakitan. Dia terkial-kial merebahkan
badan ke bumi mahu melawan balik. Apabila saya pulaskan kepala belalang itu sampai putus, tubuh
perempuan itu bertukar menjadi belalang lalu terbang berligar-ligar di kepala saya mahu menyerang.

Bagaimanapun dia tidak dapat menghampiri saya. Kemudian saya membaca lanarjumannakum dari
Surah Yassin menyebabkan dia terpelanting ke tanah. Berpuluh-puluh panah api datang menerjah ke
tubuhnya. Dia menggeliat menahan panahan api itu, tetapi masih bertahan tidak mahu mengalah.

Apabila tidak tahan dengan panahan api, belalang berkenaan berkepul-kepul menjadi asap hitam lalu
membentuk satu lembaga manusia. Lama kelamaan dia menjelma di depan saya. Dia lelaki tua bertubuh
kurus memakai pakaian serba hitam. Mukanya cengkung berkedut-kedut macam kulit gajah.

"Aku sayang pada Simah ni..." ujar lelaki bertubuh kurus itu. "Aku nak nikah dengan dia, kenapa awak
tak bagi?" suaranya lemah bagaikan meminta belas kesihan.

"Simah mahukah pada awak?" tanya saya.

"Ada masa dia mau, ada masa tak mau..." beritahunya perlahan berketar-ketar.

"Apa fasal dia tak mau?" saya mengujinya.

"Dia kata saya mati pucuk..." ujarnya serba salah.

"Simah dah nikah dengan Meon" jerkah saya memberi amaran. "Kenapa awak ganggu dia lagi?" tanya
saya keras sambil mengejeknya.

"Saya cintakan dia" jelasnya menangis tersedu-sedu. "Buruk sangat rupa awak orang tua menangis..."
sindir saya.

Dalam masa saya berkata-kata dengan lelaki tua itu, tiba-tiba perempuan tua bertubuh kurus itu
menjelma semula. Dia terlalu marah kerana lelaki itu cuba berbaik-baik dengan saya.

"Dia inilah yang selalu kacau kita...!" kata perempuan tua menjelirkan lidah kepada saya.

Saya mendiamkan diri. Saya mahu lihat sejauh mana tindakan seterusnya dari mereka berdua. Tetapi
mereka berdua tidak menyerang saya. Cuma perempuan tua itu saja menyindir untuk menyakitkan hati,
sementara lelaki tua itu seolah-olah dalam ketakutan.

"Dia nak pisahkan kita!" ujar perempuan tua itu lagi. "Kalau dia datang dekat, aku rasa tubuh aku
terbakar. Sebab itu kita mesti jauhkan dia dari berkawan dengan Meon. Aku tak tau apa ilmu yang dia
pakai" perempuan tua itu menangis teresak-esak sambil menggeliat-geliat seperti menanggung bahang
kepanasan.

Lelaki itu tetap mendiamkan diri. Dia mengusap-ngusap rambut yang menggerbang putih. Sekali sekala
saya nampak muka perempuan tua itu berubah menjadi Simah. Tetapi apabila saya hembuskan ayat
Hazihi jahannamullati kuntum tu 'adun, wajah tersebut tidak jadi bertukar.
Dari situ dapatlah saya fahamkan bahawa memanglah sukar mahu mengubati Simah, kerana gangguan
yang datang itu bukanlah datangnya dari luar. Gangguan ini datang dari keluarganya turun temurun
yang pernah menyimpan pelesit. Apabila pelesit itu sudah tidak bertuan, maka dia mencari keturunan
tuannya sebagai sumpahan untuk mencari naungan.

Simah yang tidak tahu apa-apa tidaklah mahu menerima kedatangan pelesit yang berasal dari datuk
nenek moyangnya dulu. Inilah yang selalu mengganggu dia kerana dirinya sudah terpisah jauh dari
pelesit tersebut, sedangkan pelesit berkenaan cuba mendekatkan dirinya.

Sebab itulah pelesit berkenaan menjadi seperti orang yang diganggang oleh api bila berdekatan dengan
orang-orang yang mengamalkan membaca Suratul Kursi setiap hari. Mungkin Simah sendiri tidak tahu
tentang asal usul datuk nenek moyangnya dulu ada memelihara pelesit.

"Jauhkan dia dari sini" rayu perempuan tua itu kepada lelaki tua yang berdiri di sampingnya. Lelaki tua
itu menghentakkan kakinya ke tanah tiga kali. Kemudian beribu-ribu belalang menerpa ke arah saya.
Sebaik saja belalang-belalang itu mahu menerpa saya hembuskan Fatihah, menyebabkan semuanya
gugur ke bumi seperti dibakar api. Terasa saya seakan-akan lemas akibat bau hangit belalang terbakar.

Merah padam muka lelaki tersebut melihat semua belalangnya habis terbakar. Semua belalang yang
jatuh itu tengkuknya terpatah dan keluarlah seulas nasi dan sehelai rambut dari tengkuk terpatah itu.

"Aku datang mencari anak cucu aku..." lelaki tua itu bersuara keras. "Tak patut awak putuskan hubungan
kasih sayang kami" katanya kesal dengan sikap saya menghalang tindakan dia.

"Simah tak perlukan awak lagi" sahut saya membentak. "Dia perlukan Meon, biar Meon yang jaga dia.
Awak tak perlu jaga dia" ujar saya memarahinya.

Ketika saya menyahut kata-katanya dia menyimbahkan air ke atas bangkai-bangkai belalang tadi.
Sekaligus bangkai-bangkai terbakar itu menjadi kepulan asap hitam yang berjurai-jurai seperti rambut.
Juraian rambut menyerkup ke kepala saya menyebabkan pandangan saya gelap tidak kelihatan apa-apa
lagi.

Namun saya tetap bertenang menghadapi tekanan-tekanan seperti ini. Semua yang saya hadapi itu
adalah tipu daya syaitan belaka.

Beberapa ketika saya terperangkap dalam juraian rambut itu, hingga hampir-hampir meliliti seluruh
tubuh saya. Lalu saya bacakan Surah Waddhuha sepuluh kali. Tiba-tiba juraian rambut itu melayang
ditiup angin.

Lelaki tua itu semakin marah kerana rambut yang menyerungkup ke kepala saya tadi diterbangkan
angin. Itulah pertama kali serangannya sampai ke tubuh saya. Memang kesilapan telah saya lakukan
membiarkan dia menyerang sambil melayani dia bercakap.

Tok Aji pernah mengingatkan saya supaya tidak melayani syaitan apabila berhadapan dengannya. Kalau
menentang syaitan mestilah digempur sampai mereka kalah. Sekiranya kita melayaninya, sudah
tentulah kita termasuk ke dalam perangkap tipu dayanya untuk melalaikan kita.
Setelah teringatkan Tok Aji, saya pun menguatkan zikir saya. Saya membaca beberapa ayat yang
diajarkan oleh Tok Aji. Ketika ini seluruh kawasan itu bergoncang kuat seperti gempa disambut oleh
petir serta kilat. Orang tua lelaki dan perempuan itu berlari-lari mahu menyelamatkan diri. Batu-batu
dari atas bukit juga gugur melayang menerjah ke arahnya.

Mereka berdua menjadi panik dengan gempa yang datang secara tiba-tiba. Saya tetap berdiri di tengah-
tengah gempa itu memerhatikan mereka berdua berlari ke hujung ke pangkal mencari tempat selamat.
Tetapi ke mana saja mereka berlindung petir dan kilat menyambar. Mereka terpelanting apabila
disambar kilat dan petir bertalu-talu.

Termengah-mengah mereka mencari tempat perlindungan. Akhirnya mereka lesap di dalam kepulan
asap di tengah-tengah dentuman petir serta kilat menyambar. Setelah mereka berdua hilang saya
memberhentikan bacaan. Lama saya menunggu di situ, namun dia tidak muncul-muncul lagi.

Saya rasa buat sementara itu dia tidak akan datang lagi mengganggu. Bagaimanapun mereka tetap akan
berusaha untuk meneruskan cita-citanya untuk bernaung kepada Simah. Hal inilah yang mahu saya
beritahu pada Meon, supaya dia sendiri mesti mempunyai persediaan menghadapi kemungkinan
tersebut.

Setelah yakin mereka tidak akan mengganggu lagi, saya meninggalkan kawasan hutan di pinggir bukit
itu, dan kembali berdiri di dalam diri. Apabila saya membuka mata, saya dapati Simah sudah pulih
semula. Tetapi keadaannya masih letih lagi.

Rupanya ketika saya menghadapi suasana sengit tadi, Jamlus dan rakan yang pergi menjemput dukun ke
Sungai Pusu sudah balik. Mereka berdua hampa kerana dukun berkenaan sudah pun dijemput oleh
orang di Damansara. Sehingga hampir pukul 2.00 pagi mereka menunggu, dukun itu tidak juga balik.
Akhirnya terpaksalah mereka mengambil keputusan balik semula ke rumah Meon.

Jamlus bertanyakan kepada saya siapakah yang melakukan gangguan itu. Saya hanya tersenyum dengan
soalan demikian. Selalunya begitulah pertanyaan yang diterima apabila menghadapi masalah demikian.
Sepatutnya mereka bersyukur kerana dapat menjauhkan diri dari gangguan syaitan. Siapa yang
membuat gangguan itu tidak harus difikirkan lagi.

Apabila saya tanyakan kepada Simah, sama ada terdapat di kalangan keluarganya di masa lalu yang
menjadi dukun atau bomoh, Simah memberitahu ayah kepada moyangnya dulu memang dukun
terkenal. Tetapi selepas peringkat moyangnya, dia tidak lagi mahu menjadi dukun hinggalah sampai
kepada beberapa keturunan seterusnya.

"Saya sedar apa yang berlaku ke atas diri saya" ujar Simah dalam keletihan. "Tetapi saya tak dapat nak
mengawal diri, macam ada kuasa lain yang mengawal saya.." jelasnya bila mengingatkan peristiwa
sebentar tadi.

Memang saya akui cerita Simah itu. Memang mereka yang menerima gangguan ini sedar apa yang
sedang berlaku. Tetapi mereka tidak dapat mengawal dirinya sama ada bercakap atau bertindak.
Kejadian demikian memang aneh, tetapi itulah hakikat yang sebenarnya.

Apabila saya menerangkan kepada Simah mengenai belalang pelesit, dia teringat aruah neneknya
pernah memberitahu tentang keluarganya dari keturunan dulu memang memelihara pelesit. Semasa
Tok Bani meninggal dunia dia tidak sempat menurunkan pelesit peliharaannya itu kepada anak cucunya.
Maka pelesitnya itu sentiasalah mencari anak cucu Tok Bani untuk tempat bernaung.

Apabila pelesit itu tidak dapat bernaung maka anak cucu Tok Bani pun menjadi mangsa. Adik nenek
Simah itu pernah menjadi lumpuh dengan tidak bersebab. Penyakit lumpuhnya itulah yang membawa
maut kepadanya. Selepas dia meninggal dunia akibat lumpuh, seorang lagi keluarganya mati muntah-
muntah darah seperti termakan racun.

Hingga sampailah kepada bapa saudara Simah bernama Jana, dengan tidak semena-mena diserang
penyakit lemah tenaga batin hingga menyebabkan dia menjadi tidak siuman.

Ketika mengubat Jana inilah Dukun Busu mendapat tahu tentang Tok Bani menyimpan pelesit. Dukun
Busu mencari punca-punca Jana hilang tenaga batin hingga menjadikan dia tidak siuman. Dia mendapati
pelesit Tok Bani yang sudah tidak bertuan itu mencari perlindungan kepada Jana. Disebabkan Jana tidak
tahu bagaimana mahu memeliharanya, maka pelesit itu telah memakan tuan sendiri.

Tidak siapa pun tahu Tok Bani memelihara pelesit. Malah isterinya sendiri Yong Saenah tidak tahu
mengenai pelesit yang dipelihara oleh Tok Bani. Setelah berkahwin dengan Yong Saenah dia mendapat
dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Selepas itu Tok Bani jatuh memanjat pokok
menyebabkan dia patah pinggang.

Akibat dari kecederaan itulah Tok Bani hilang tenaga kelelakiannya. Bermula dari situlah keretakan
rumahtangganya bermula, bila Yong Saenah mula bermain gila dengan anak muda. Tok Bani tidak boleh
berbuat apa-apa, kerana kononnya Yong Saenah telah menggunakan bomoh untuk menundukkan Tok
Bani. Walaupun Tok Bani tahu isterinya bermain gila dengan pemuda lain, dia tetap membisu saja.

Satu hari telah berlaku pertengkaran di antara Tok Bani dengan isterinya Yong Saenah, berpunca dari
perbuatan Yong Saenah yang bermain gila itu.

"Kau dah tak ada jantan, buat apa nak cemburu" kata Yong Saenah menyindir. "Kau dah mati pucuk,
takkan boleh nak pandang alu sengkalan aje sepanjang masa..." ujar Yong Saenah mencabarnya. Kata-
kata Yong Saenah itu benar-benar menghiris perasaan Tok Bani.

Bagi mengubat hatinya yang luka, Tok Bani selalu membawa diri bila terdengar ada anak muda datang
menemui Yong Saenah. Perasaan marahnya tetap membara setiap kali terpandangkan wajah pemuda
yang bermain gila dengan Yong Saenah. Ada juga hatinya mahu bertindak, tetapi terpaksa
dipendamkannya saja bila teringatkan kata-kata Yong Saenah itu.

Satu malam, sebaik saja Tok Bani terlihat anak muda yang bermain gila dengan isterinya masuk ke bilik,
dia pun keluar merayau-rayau ke dalam kampung dengan tidak ada tujuan. Ketika sampai berhampiran
dengan kawasan tanah perkuburan dia terdengar bunyi budak menangis.

Terasalah belas kesihan di hati Tok Bani mendengar tangisan bayi yang sangat menusuk kalbu. Dia pun
mencari arah bunyi tangisan bayi itu hingga sampai ke kawasan tanah perkuburan. Semakin di
hampirinya semakin kuat bunyi tangisan bayi tadi. Tok Bani memberanikan hatinya untuk melihat
siapakah yang menangis itu.
Sebaik saja sampai di tempat bunyi bayi menangis itu Tok Bani melihat satu bungkusan di dalam kain
putih terselit pada perdu pokok mengkudu. Dia memegang bungkusan itu, terasa lembik saja. Apabila
hendak dibukanya bunyi tangisan itu menjadi kuat dan menggerunkan.

"Aku hanya nak menolong kau..." satu suara halus menegurnya.

Bila diselidiki oleh Tok Bani ternyata bungkusan kain putih itulah yang berkata-kata dengannya.

"Siapa kau?" tanya Tok Bani keheranan.

"Aku pelesit" sahut suara itu.

"Kau nak tolong aku?" dia merasa gembira bila ada orang yang sanggup menolong dia.

"Iya, aku akan menolong kau..." pelesit itu memberi jaminan.

Pelesit itu sanggup memulihkan semula tenaga batinnya, dan menghapuskan siapa saja yang telah
menodai Yong Saenah dengan menghilangkan tenaga batin orang itu pula. Malah dia juga berjanji akan
menjaga harta benda Tok Bani dari diganggu oleh pencuri dan sebagainya.

Mendengarkan janji pelesit itu Tok Bani tidak berfikir panjang terus menerima saja pertolongan
tersebut.

"Tetapi dengan syarat, kita sama-sama berteguhan janji" tegas pelesit itu selanjutnya.

Tok Bani menerima juga syarat berteguhan janji itu.

"Syaratnya kau jangan buang aku, dan bila sampai masanya hendaklah kau serahkan aku pada waris kau
untuk menjaga aku..." kata pelesit itu lagi.

Tidak ada bantahan apa-apa dari Tok Bani. Dia menerima saja syarat tersebut, kerana pada fikirannya
syarat itu bukanlah susah sangat.

"Setiap kali bulan mengambang kau datanglah ke sini, dan siramkan aku dengan darah ayam" pelesit itu
mengingatkan dia.

Itu juga diterima dengan senang hati oleh Tok Bani. Setelah berteguhan janji Tok Bani pun membuka
bungkusan tersebut. Dilihatnya seorang bayi belum bersifat sedang memegang botol kecil. Bayi itu
menyuruhnya mengambil botol seperti botol susu itu, dan di dalamnya ada seekor belalang.

Tok Bani pun mengambil botol itu dibawa balik ke rumah. Disimpannya baik-baik botol berisi belalang
tersebut.

Sejak itu siapa saja lelaki tidak berani lagi menggoda Yong Saenah. Siapa saja berani main gila dengan
Yong Saenah alamatnya kena lemah tenaga batin seumur hidup. Puaslah mereka berubat ke mana-mana
pun tidak akan dapat disembuhkan. Sementara itu Yong Saenah pula selepas itu sentiasa mahukan Tok
Bani mendampinginya.
Akhirnya dia sendiri tidak mampu lagi mahu melayani Tok Bani. Terpaksa pula Yong Saenah
meminangkan ramai anak-anak gadis untuk menjadi isteri Tok Bani. Apabila Tok Bani meninggal dunia,
botol berisi belalang itu dibuang oleh anak cucunya ke sungai, kerana pada sangkaan mereka belalang
permainan Tok Bani saja.

Itulah cerita yang dapat diketahui oleh Dukun Busu, ketika dia mengubat penyakit Jana. Bagaimanapun
Jana tidak dapat diselamatkan juga. Dia meninggal dunia setelah menderita sekian lama.

"Macam itulah cerita dari aruah nenek saya dulu" beritahu Simah termengah-mengah keletihan.

"Insya Allah..." kata saya perlahan dan merasa simpati dengan keadaan yang dialami oleh keluarga
Simah itu. "Sementara kita bertemu Ulung Bahar, kita cuba buat lagi macam tadi. Moga-moga dia lari
dari awak, sebab ianya bukan penyakit tapi benda permainan turun temurun" ujar saya menjelaskan
kepadanya.
12. TOK AWANG NGAH - HANTU PONTIANAK TERSESAT

TOK AWANG NGAH - CETAKAN PERTAMA 1985


TAJUK BUKU: ULAR DALAM KUBUR WANITA. (12 siri)

KESIHAN saya mendengar cerita Jali mengenai kematian emaknya semasa melahirkan anak kira-kira 20
tahun dulu. Saya kesihan bukanlah disebabkan emaknya meninggal dunia, kerana perkara meninggal
dunia adalah sudah ditentukan Allah. Tetapi saya kesihan kerana jenazah emaknya sebelum
dikebumikan telah dicucukkan jarum pada kesemua jari tangan dan kakinya.

Mengapa sampai begitu sangat mereka menyeksa mayat? Kononnya kalau tidak dilakukan begitu
jenazah tersebut akan bertukar menjadi langsuyar. Apakah langsuyar ini saya sendiri pun tidak pernah
menemuinya.

Jali berasal dari Bukit Mertajam di sebelah utara. Dia hanya sekadar menceritakan peristiwa 20 tahun
dulu kepada saya. Ketika ini dia masih kecil berumur kira-kira 10 tahun. Tentulah anak kecil seperti ini
tidak berdaya membantah apabila orang menyuruh menyeksa jenazah emaknya.

Mungkin langsuyar yang dimaksudkan oleh mereka itu adalah sejenis syaitan juga, tetapi tidak mungkin
ianya berasal dari perempuan mati beranak. Di dalam Islam perempuan yang mati kerana beranak itu
dikira sebagai syahid, bagaimanakah kita boleh mempercayainya bertukar menjadi langsuyar?

Saya difahamkan langsuyar ini juga dikenali oleh orang-orang di selatan Semenanjung sebagai
pontianak. Sebab itulah dalam tahun-tahun 50an dulu terdapatnya pengusaha filem tempatan membuat
cerita pontianak. Saya juga pernah dibawa oleh sepupu saya menonton filem pontianak ini. Malah saya
tertarik hati dengan pelakon yang jadi pontianak itu iaitu Maria Menado.

Apakah pontianak yang ujud di muka bumi sama seperti pontianak yang difilemkan? Atau samakah
dengan kepercayaan orang-orang Melayu bahawa ianya berasal dari perempuan mati beranak? Tetapi
kita tidak boleh menafikan ujudnya syaitan dan iblis serta makhluk halus yang sentiasa mengganggu
ketenteraman manusia.

Sebaliknya kita harus yakin bahawa syaitan dan iblis itu takut kepada manusia. Syaitan dan iblis akan
berani mengganggu manusia apabila dia digunakan oleh manusia yang mengamalkan ilmu-ilmu syaitan.
Sedangkan syaitan dan iblis secara bersendirian dia tidak akan dapat mengganggu manusia.

Selalunya mereka berlindung pada manusia, sebelum mengganggu manusia. Sebaik-baiknya hendaklah
manusia sendiri jangan mengamalkan ilmu-ilmu syaitan.

Hanya orang-orang yang mengamalkan ilmu syaitan saja memuja mayat perempuan mati beranak
supaya melakukan suruhannya. Apabila mayat ini diresapi oleh semangat syaitan, jadilah ia langsuyar
yang dikatakan mengganggu manusia.

Sebab itulah saya merasa kesihan dengan cerita Jali mengenai kematian emaknya 20 tahun lalu.
Sebenarnya timbul cerita langsuyar ini, kerana tiba-tiba saja di Kampung Melang heboh mengenai
pontianak mengganggu. Anehnya pontianak ini tidaklah menjadikan manusia sebagai mangsanya,
sebaliknya ternakan.

Mereka dapati kambing, lembu atau kerbau mati terdapat kesan bertebuk di tengkuknya. Seolah-olah
darah di tengkuk itu kena hisap. Apabila dibawa ke pengetahuan Pejabat Haiwan, pihaknya juga tidak
dapat memastikan apakah binatang yang menghisap darah demikian.

Seorang kawan Jali dari Kampung Melang telah memberitahunya. Jadi, Jali pun dengan tidak bersoal
jawab mengajak kawannya itu berjumpa dengan saya. Tentulah saya serba salah bila diajak ke Kampung
Melang untuk menangkap pontianak itu.

"Saya tak tau mengenai pontianak..." beritahu saya pada Jali dan kawannya Hasim.

Memang saya tidak mahu pergi kalau semata-mata mahu menangkap pontianak. Tetapi ada juga
keinginan saya mahu melihat sendiri apakah rupanya pontianak. Adakah ianya sama seperti yang
digambarkan oleh Maria Menado dalam filem pontianak?

"Lebih baik ajak Pak Hid di Ulu Kelang" kata saya.

"Maukah dia pergi?" tanya Jali

"Kita cubalah beritahu dulu" ujar saya berkuat mahu mengajak Pak Hid pergi sama.

Biasanya Pak Hid ini kalau saya ajak ke mana-mana, memang dia sanggup. Lagi pun dia bukanlah ada
kerja sangat. Tambah pula menduda sejak kematian isterinya. Anak pun tak ada. Jadi, bila ada anak-anak
muda yang mahu berkawan dengannya dia pun samalah menjadi orang muda.

Pak Hid bukanlah tinggal di Ulu Kelang, tetapi menumpang di rumah seorang kawannya. Dia berasal dari
Kuala Selangor. Sebelumnya menjadi nelayan di situ menangkap udang dan ketam di kuala sungai. Saya
berkawan dengan Pak Hid pun baru saja, tetapi sudah terasa begitu mesra.

Semasa menangguk udang di sebelah malam Pak Hid pernah bertemu dengan pontianak di satu belukar
bakau. Dia mendengar pontianak itu ketawa mengilai sewaktu bulan mengambang penuh. Pak Hid terus
menerpa ke arah bunyi pontianak mengilai itu. Dia dapat melihat jelas pontianak itu bertenggek di
hujung pokok bakau.

Apabila Pak Hid menggoncang pokok tersebut dia telah dikencing oleh pontianak berkenaan. Akibat
dukencing itu Pak Hid terpaksa membakar pakaiannya yang disimbahi oleh kencing pontianak itu.
Katanya, bau hancing kencing pontianak itu tidak akan hilang sekalipun berkotak-kotak sabun basuh
digunakan.

"Mengapa tak tangkap?" saya bergurau dengan Pak Hid.

"Memang aku nak tangkap, tapi dia lari..." sahut Pak Hid tersengih-sengih.

"Pak Hid bawa paku?" usik saya lagi.


"Buat apa..." katanya menggaru-garu tunggul janggut di dagu. Memang dia sudah menduga maksud
saya bertanya demikian. "Ustaz mau saya berkahwin dengan pontianak? Buat apa...kan manusia ramai,
lagi cantik..." ujarnya ketawa berderai.

Cerita orang-orang tua mengenai pontianak ini, kononnya tengkuk pontianak itu berlubang. Bila
dicucukkan paku dia akan menjelma menjadi manusia dan tidak dapat kembali kepada asalnya. Saya kira
inilah sebahagian dari cerita tahyol yang menyimpang dari akidah Islam. Kalaulah pontianak ini ujud dia
tetap jenis syaitan juga yang menjadi musuh manusia. Tidak ada sebab dia boleh menjelma menjadi
manusia dan tidak dapat kembali kepada kehidupan asalnya setelah lubang di tengkuknya disendal
dengan paku.

Bila mengenang Pak Hid dikencing pontianak, saya juga pernah mengalami keadaan demikian. Masa ini
saya masih anak nakal berumur dalam lingkungan 15 tahun. Saya telah menemankan seorang kawan
menemui kekasihnya di satu malam berdekatan dengan belukar kubur. Semasa kawan saya pergi
menemui kekasihnya itu, saya tercangkung kira-kira empat rantai dari tempat pertemuannya menunggu
dia. Selapas itu kami akan sama-sama balik ke madrasah Tok Aji untuk tidur di sana.

Kalaulah Tok Aji tahu perbuatan nakal saya itu, tentulah saya akan dimarahinya. Tetapi saya sengaja
memberanikan hati untuk menolong kawan saya itu. Bagaimanapun dia kemudiannya berkahwin juga
dengan kekasihnya itu.

Jadi, ketika inilah saya mendengar bunyi orang ketawa mengilai di atas pokok rambai yang rimbun di
tepi belukar kubur itu. Disebabkan saya tidak mempunyai perasaan takut, kerana Tok Aji telah
mengingatkan supaya takut kepada Allah saja, saya pun menghampiri pokok rambai tersebut lalu
menyuluh dengan lampu picit.

Tiba-tiba saya rasa air memercik dari atas, dan saya mendengar satu lompatan ke arah pokok enau yang
berhampiran. Jelas pada silau lampu picit itu seekor musang berlari melarikan diri. Air yang memercik
tadi, memangnya air kencing, Baunya hancing dan tidak hilang setelah direndam dan disabun.

Bagaimanapun saya tidaklah mahu bertanyakan kepada Pak Hid mengenai persamaan musang dengan
pontianak. Bimbang juga saya kalau-kalau dia kecil hati dengan pertanyaan demikian. Tetapi saya
percaya Pak Hid seorang yang berani, kerana ada kawan-kawannya yang mengatakan Pak Hid pernah
mengejar harimau apabila terserempak sewaktu mencari ketam di kuala sungai.

Saya tanya Pak Hid mengenai cerita dia mengejar harimau itu. Katanya "Aku terserempak harimau
bintang. Dia membelakangkan aku di atas tebing, lalu aku pun sergah dia. Disebabkan dia terperanjat dia
pun melompat langsung lari, aku pun pura-puralah mengejarnya. Aku tak kejar betul-betul, mana tau
kalau dia berpaling, huh nahas aku dibahamnya" dia tertawa terkekeh-kekeh bila mengenang peristiwa
dia dikatakan mengejar harimau itu.

Bagaimanapun saya berpendapat Pak Hid bukanlah berani membabi buta. Dia tidak akan menyergah
seekor harimau sedang tidur, kalau dengan keberanian hati semata-mata. Tetapi sudah lama sejak
beberapa bulan ini saya mendampingi Pak Hid masih belum dapat saya lihat kebenaran tentang cerita
mengenai dirinya selama ini.

Oleh itulah saya mengajak Pak Hid sama ke Kampung Melang iaitu kampung kawan Jali. Saya beritahu
Hasim bahawa Pak Hid memang berpengalaman mengenai pontianak, padahal saya tidak tahu sama ada
Pak Hid betul-betul berpengalaman atau tidak. Tujuan saya adalah untuk mengelak diri dari Hasim,
supaya tidak dianggapnya saya tahu mengenai pontianak itu.

Sepanjang umur saya belum pernah bertemu dengan golongan syaitan ini di alam nyata, kecuali melalui
perubatan secara tidur. Ketika ke Kuala Terengganu dengan seorang kawan, dia memberitahu mengenai
peristiwanya bertemu dengan lembaga manusia di Bukit Kijal. Oleh itu dia mengingatkan saya agar tidak
terkejut sekiranya ternampak lembaga berkenaan.

Alhamdulillah, apabila kereta kami sampai di Bukit Kijal kira-kira pukul 11.30 malam, saya tidak
ternampak pun lembaga yang dibimbangkan oleh kawan saya itu. Saya memberitahunya, "Saya tak mau
bertemu dengan syaitan, tetapi kalau bertemu saya tidak akan undur sebab dia adalah musuh saya".
Mujurlah sepanjang perjalanan itu pergi dan balik, saya tidak bertemu dengan lembaga yang sangat
ditakuti oleh pemandu-pemandu kereta di Bukit Kijal itu.

"Bagaimana kalau ustaz bertemu dengan lembaga tersebut?" soal kawan itu mahu menguji perasaan
saya.

"Saya tidak akan peduli, kecuali kalau dia mengganggu saya" jelas saya perlahan.

"Kalau dia mengganggu?" tanya kawan itu lagi.

"Saya memohon perlindungan Allah" beritahu saya.

Kawan saya terdiam. Dia sedar apabila seseorang itu sudah menyerahkan dirinya kepada Allah, bahawa
dia tidak akan takut menghadapi sebarang musuhnya. Kawan saya itu memang pernah belajar menjadi
dukun dari beberapa orang dukun terkenal. Malah dia pernah menuntut ilmu pendukunan dari seorang
Tok Batin di Jerantut.

Bagaimanapun dia telah meninggalkan ilmu pendukunannya setelah menyertai satu kumpulan harakah
Islam. Dia merasakan ayat-ayat Quran lebih tinggi martabatnya dari sebarang jampi serapah. Inilah
hakikat sebenarnya tentang kekuatan ayat-ayat Quran itu, terutama dalam menghadapi musuh yang
paling besar iaitu godaan syaitan.

Kawan saya itu pernah dihambat oleh lembaga yang menjelma seperti seorang wanita memakai pakaian
nipis di tepi cermin keretanya semasa melalui Bukit Kijal dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari
Kuala Lumpur. Kawan saya ini dikenali di kalangan rakan-rakannya Kadir Misai. Dia ke Kuala Terengganu
bersama kawannya dari Temerloh Suman Awangteh.

Suman Awangteh yang memandu kereta. Biasanya lembaga berkenaan akan menghambat mangsanya
dari tepi jalan saja. Lembaga wanita akan mengejar kalau kereta menuju ke Kuala Terengganu, manakala
lembaga lelaki akan menghambat kalau kereta meninggalkan Kuala Terengganu. Seolah-olah macam
satu simbolik pula iaitu apabila datang ke Terengganu akan dinanti oleh wanita, dan apabila balik
meninggalkan wanita berkenaan maka akan diperhambatlah oleh lelaki pula.

Kadir Misai sudah mendengar kisah di Bukit Kijal ini. Dia menceritakan pada Suman Awangteh mengenai
gangguan lembaga halus di Bukit Kijal. Tetapi Suman Awangteh macam percaya dengan tidak saja cerita
Kadir Misai ini. Kebetulan malam itu kira-kira pukul 10.00 mereka melalui Bukit Kijal untuk ke
Terengganu.
Sebaik saja menurun dari Bukit Kijal tiba-tiba Kadir Misai nampak satu lembaga putih menerkam ke arah
kereta. Mujurlah cermin kereta sudah dinaikkan. Jadi, lembaga itu berdentam ke pintu kereta. Terkejut
juga Suman Awangteh melihat kejadian itu. Bagaimanapun dia masih dapat mengawal perasaan supaya
tidak dipengaruhi oleh ketakutan.

" Jangan peduli Kadir..." bisiknya mengerling ke arah Kadir Misai.

"Awak pun jangan lari laju sangat, kalau kita laju dia akan berlari laju juga" ujar Kadir Misai menjauhkan
diri dari cermin kereta. Terasa olehnya tangan wanita itu seolah-olah dapat menggapai mukanya.

"Pontianak ke?" tanya Suman Awangteh.

"Bukan..." sahut Kadir Misai. "Kalau pontianak dia mengilai..." jelasnya masih dirundung bimbang.

"Orang bunian agaknya..." Suman Awangteh cuba menghilangkan ketakutan yang menyelubungi
perasaannya.

"Tak mungkin" Kadir Misai mengeluh pendek.

Lembaga itu terus mengejarnya dari arah tepi jalan. Sekali sekala pintu kereta sampai terdengar bunyi
dentamnya. Bagaimanapun tidaklah mengganggu kereta tersebut. Dia akan berlari mengikut kelajuan
kereta. Muka lembaga itu tidaklah berapa jelas kepada Kadir Misai, tetapi jelas seorang wanita kerana
rambutnya yang panjang mengurai, di samping pakaiannya seperti perempuan memakai baju tidur halus
dan jarang.

"Kita berhenti saja..." Suman Awangteh mula marah dengan kelakuan lembaga itu merempuh ke arah
keretanya.

"Jangan, lebih baik kita terus saja. Jangan pedulikan dia" kata Kadir Misai. Dia juga sudah mula rusuh
dengan gangguan lembaga tersebut. Sekiranya dia mengikut cadangan Suman Awangteh bimbang juga
lembaga itu bertindak lebih jauh. Mana tahu dia akan menghumbankan kereta Suman Awangteh ke
bawah gaung.

Apa akan jadi kalau kereta tersebut dihumbankannya ke bawah gaung. Tentu dia dan Suman Awangteh
terperangkap menjadi mangsa. Sudah tentu orang ramai mengatakan kereta mereka terbabas
menyebabkan terhumban ke bawah gaung. Oleh itulah Kadir Misai melarang kawannya mengikutkan
perasaan marah di hati.

Sehingga masuk ke kawasan kampung barulah lembaga tersebut tidak mengejar kereta itu lagi. Barulah
lega hati Kadir Misai tidak digannggu oleh lembaga berkenaan. Kalaulah dia masih mengamalkan ilmu
pendukunan memang diujinya lembaga tersebut.

"Mengapa kau tak gunakan ayat-ayat Quran?" tanya saya apabila dia menceritakan peristiwa itu kepada
saya dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dalam bulan Januari tahun 85 lalu.

"Aku tak tau ayat mana yang hendak digunakan..." keluhnya perlahan. "Surat Al Ikhlas itu sudah cukup
untuk menghancurkan syaitan" kata saya menjelaskan.
Kadir Misai tidak menyahut. Sama ada dia tidak yakin dengan ayat tersebut, atau merasakan kata-kata
saya itu hanya untuk menguji dia, tidaklah saya tahu. Tetapi dari keluhannya saya dapati dia tidak
menyangka bahawa ayat yang sering dibacakan itu mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Tetapi dalam perjalanan itu saya tidaklah berharap untuk bertemu makhluk berkenaan di Bukit Kijal. Doa
saya apabila memohon kepada Allah hanya lindungi saya dan berilah pertolongan apabila memerlukan.
Hanya Allah sajalah yang melindungi dan memberi pertolongan kepada diri saya, kerana saya adalah
lemah di sisiNya.

Itu sajalah cerita mengenai lembaga perempuan di Bukit Kijal yang saya dengar dari Kadir Misai. Tetapi
dia mengatakan lembaga itu bukanlah pomtianak.

"Ustaz nak jumpa pontianak?" tanya Kadir Misai di satu masa yang lain.

"Buat apa...!" jawab saya perlahan. "Saya tak ada urusan dengannya buat apa nak jumpa, kecualilah
kalau terserempak" beritahu saya seterusnya. Memang tidak ada gunanya kita sengaja mempunyai
tujuan untuk bertemu jenis-jenis benda begini.

Sebagai makhluk Allah syaitan juga mempunyai kegiatan hidup sehari-hari seperti kita. Cukuplah, kita
menyedari bahawa syaitan itu wujud. Tanggungjawab syaitan ialah untuk memusnahkan anak-anak
Adam, setelah dia tidak mahu sujud kepada Adam. Jadi, apa perlunya kita mahu menemui syaitan?

"Barulah kita dapat buktikan tentang pontianak..." ujar Kadir Misai tersengih-sengih.

"Apa untungnya...?" saya tersinggung juga dengan kata-kata Kadir Misai, seolah-olah saya sengaja mahu
mencari syaitan.

"Kita mahu tunjuk pada orang mengenai pontianak" katanya lagi.

"Ah, kerja sia-sia Kadir" jelas saya mengingatkan dia. "Kalau orang percaya kepada ayat
A'uzubillahhiminas syaitannir rajim, orang akan sedar syaitan itu ujud dan mengganggu manusia. Itulah
buktinya..." ujar saya kesal dengan sikap Kadir Misai.

Tetapi saya tahu Kadir Misai hanya bergurau. Dia seolah-olah mahu mempersenda-sendakan pontianak
itu. Disebabkan sudah lama terlibat dalam ilmu pendukunan tentulah dia sering ditanya oleh orang
ramai mengenai hantu jembalang yang mengganggu pesakitnya itu. Selama itu juga dia tidak dapat
membuktikan kepada orang ramai, apakah sebenarnya hantu jembalang tersebut.

Jadi dia menganggap saya menghadapi masalah demikian. Sedangkan berkali-kali saya memberitahu dia
bahawa saya bukanlah seorang dukun.

Beginilah mulanya perkenalan saya dengan Jali yang berasal dari Bukit Mertajam itu. Pada mulanya dia
dan isterinya datang ke rumah saya dengan tujuan membuat parti arcoroc. Kebetulan isterinya memang
kenal kepada isteri saya, sebab itulah dia meminta isteri saya membantunya mengadakan parti arcoroc
yang diusahakannya.
Jali ikut sama menghantar isterinya itu. Apabila Mimi isteri Jali mahu masuk ke pintu rumah saya, dia
merasakan dirinya tiba-tiba seram sejuk. Kepalanya juga terasa pening menyebabkan dia hampir pitam.
Akhirnya parti arcoroc itu juga tergendala. Jiran-jiran yang sudah datang berkumpul di situ pun terkejut
melihat peristiwa yang tiba-tiba saja berlaku.

Melihat keadaan isterinya cepat-cepat Jali menerpa datang. Dia juga terkejut dengan keadaan isterinya
itu. Sementara isteri saya pula segera memanggil saya di bilik. Ketika ini saya sedang membaca buku,
kerana saya tidaklah mencampuri sangat parti arcoroc yang dikelolakan oleh Mimi dengan bantuan isteri
saya itu.

Apabila saya keluar mahu melihat Mimi, itulah pertama kali saya berkenalan dengan Jali. Selepas itu
kami pun menjadi kawan baik pula.

"Badan saya ni rasa nak demam ustaz..." kata Mimi gelisah.

"Bila awak demam?" tanya saya.

"Tak tau, dari rumah tadi sihat" beritahu Jali serba salah kerana orang-orang yang dipanggil untuk parti
arcoroc sudah pun datang, tiba-tiba tergendala pula.

"Selalukah dia kena macam ni..?" saya inginkan kepastian.

"Tak pernah" jelas Jali gugup. "Tapi, selalu juga dia mengadu sakit kepala, dan badannya lenguh-lenguh
macam membawa beban berat" ujarnya lagi.

Saya menyuruh isterinya mengambil air sejuk segelas. Kemudian saya membaca Surah Al Ikhlas tiga kali
dan menyuruh dia meminum air tersebut. Sebaik saja Mimi meminumnya dia terpekik, "Panas...!. Lantas
dilemparkannya gelas tersebut. Jali melekapkan tapak tangannya kepada air yang jatuh di lantai. Dia
keheranan dengan kelakuan isterinya menggelupur seperti terkena air panas sebentar tadi. "His, air ni
sejuk aje. Mengada-ngada aje kau..." suaranya keras sedikit.

"Awak jangan terkejut Jali..." saya merenungi dia. "Awak tak boleh marahkan dia, sebab dia ni ada
gangguan..." jelas saya agar dia memahami bahawa Mimi sebenarnya memang sakit.

Gangguan terhadap Mimi sudah lama, tetapi mereka berdua tidak menyedarinya. Mimi hanya merasa
kepalanya sering sakit dan badannya lenguh-lenguh. Apanila Jali membawa Mimi ke hospital atau klinik
pihak doktor menyatakan darah tinggi. Anehnya, bila diuji ternyata Mimi tidak mengidap penyakit darah
tinggi.

Disebabkan gangguan itu memang sudah sebati dengan tubuh Mimi, dia menjadi tertekan ketika masuk
ke rumah saya. Sedapat-dapatnya dia tidak mahu masuk ke rumah saya, tetapi Mimi menguatkan
azamnya untuk masuk juga. Perlawanan antara Mimi dengan gangguan semangatnya inilah yang
menyebabkan dia menggelupur sebentar tadi.

Setelah meminum air sejuk yang dikatakannya panas tadi, Mimi mula bertindak ganas. Dia menampar
pipi saya sekuat hatinya. "Mengapa kau ganggu aku! Dah lama aku dengan Mimi, tak ada siapa pun
ganggu!" Mimi mula meracau sambil mahu menerkam ke arah saya.
Jiran-jiran pun segera memegangkan Mimi. Mereka juga tahu bahawa Mimi dalam keadaan tidak
sedarkan diri.

"Awak sabarlah, Jali..." saya mengingatkan Jali.

Jali hanya mengangguk. Dia mengerling pipi ssya yang berbekas lima jari akibat ditampar MImi.

Inilah risikonya apabila kita mahu menolong orang yang diganggu semangat syaitan. Kebanyakan dukun-
dukun juga menghadapi risiko begini. Kadangkala ditampar, dimaki hamun, diludah dan sebagainya.
Tetapi kita terpaksa bersabar kerana yang melakukan perbuatan tersebut bukannya diri pesakit
berkenaan, tetapi jiwanya yang sudah dirasuk.

Saya meminta izin dari Jali untuk memegang kepala isterinya. Kemudian saya membacakan 6 ayat
terakhir dari Surah Yassin disambung dengan Ayat Kursi. Ketika ini Mimi memekik-mekik kesakitan.

"Cakap! siapa awak!" jerkah saya merenung mata Mimi. Di matanya saya lihat perempuan tua yang
lemah menunggu kedatangan saya. Tetapi perempuan tua cuba melindungi kelemahannya, sebaliknya
berpura-pura gagah mahu menentang saya.

"Siapa awak?" soal saya keras.

"Ustaz jangan kacau saya" sahut perempuan tua itu marah.

"Saya sayangkan budak Mimi ni, buat apa ustaz nak pisahkan kami" katanya mengancam.

"Mimi tak sukakan awak!" balas saya.

Perempuan itu menjengilkan mata mengancam saya. Kemudian dia tertawa mengilai. Ketawa itu
sungguh menggerunkan, dan dapat saya rasakan itulah hilaian pontianak. Saya mengagak inilah jenis
pontianak yang selalu mengganggu manusia.

"Awak simpan pontianak ye...?" bentak saya bila melihat tiba-tiba perempuan muda berwajah jelita
berdiri di belakang perempuan tua itu.

"His, aku tak kenal dia" sahut perempuan tua mengalih pandangan kepada perempuan muda yang
mengilai tadi.

"Kau nak berolok-olok dengan aku!" ujar saya lalu membacakan ayat yang lain. Api tiba-tiba menyala di
depannya menyebabkan perempuan tua itu terpekik-pekik mengatakan panas. Seluruh badannya
menggelupur akibat bahang api yang menyala di kelilingnya.

Perempuan muda itu cuba melarikan diri dari api menyala, tetapi cepat-cepat disambar oleh perempuan
tua tadi. Mereka berpeluk-peluk menghadapi api yang menjulang.

"Tolong..." kata perempuan muda itu merayu. "Tolong ustaz...! saya tak tau hal, saya tersesat jalan.
Orang tua ni yang tipu saya" ujarnya merintih-rintih.
Tetapi memang dasar syaitan tidak mahu mengaku kesalahannya. Dia akan menyalahkan orang lain bila
dirinya terancam. Oleh itu saya tidaklah terpengaruh dengan rintihan dia. Saya terus membacakan
beberapa potong ayat lagi untuk menyerangnya.

"Ustaz, tolong saya" rayunya meminta belas kasihan. "Saya tersesat jalan, percayalah saya tersesat jalan.
Saya bukan nak ke sini tadi, tapi orang tua ni perdayakan saya" jelasnya.

"Aku tak percaya!" sahut saya keras.

"Saya tak bohong ustaz..." ujarnya lagi merayu-rayu.

"Awak mahu pergi tinggalkan Mimi?" soal saya tegas.

"Saya memang nak pergi" dia memberitahu.

Memang saya lihat dia mahu pergi, tetapi perempuan tua itu memaut pinggangnya kuat-kuat.

"Macam mana awak boleh sesat?" tanya saya.

"Saya nak balik, orang tua ni ajak singgah" katanya meronta-ronta mahu lepaskan diri dari pautan
perempuan tua berkenaan.

Perempuan muda berkenaan mengaku dirinya pontianak. Dia sebenarnya mahu melarikan diri dari
manusia. Demikian yang dialami oleh Pak Hid semasa dia terserempak dengan pontianak. Pak Hid
memberitahu saya pontianak memang takut pada manusia. Dia akan lari apabila terserempak dengan
manusia sampaikan terkeluar kencing. Tetapi mengapa manusia takut kepada pontianak?

Dia diperalatkan oleh perempuan tua itu bagi menjadi perisainya apabila diserang dengan api. Sebab
itulah ketika dia melintasi kawasan berkenaan, dia terpedaya sehingga termasuk ke dalam jebak wanita
tua itu. Dia tersesat kerana tidak diketahuinya bahawa perempuan itu sedang terancam.

"Baiklah, kalau awak nak balik, baliklah sekarang" kata saya sambil memberhentikan serangan.
Perempuan muda itu mengilai panjang sebaik saja api menyala itu padam.

Tetapi dia tidak dapat bergerak. Pinggangnya dipaut kuat oleh perempuan tua berkenaan.

"Awak lawan dia dan pergi dari sini!"

Perempuan muda yang mengaku dirinya pontianak itu meronta-ronta mahu melepaskan diri, tetapi
ternyata rontaannya tidak dapat membuka pautan tangan perempuan tua. Saya menjadi marah dengan
sikap perempuan tua itu. Dia tahu selagi perempuan muda berkenaan dapat dipautnya, saya tidak akan
menyerang dia.

"Innahu minsulaiman wainnahu bismillahhirahmannirrahim..." saya menghentakkan kaki. Saya


mempunyai iktikad bahawa pontianak itu adalah hamba yang boleh saya perintah. Pontianak itu akan
mengikut apa saja perintah saya selagi dia di dalam kekuasaan saya.
"Sekarang awak cakar muka perempuan tua itu dengan kuku awak!" perintah saya kepada pontianak
yang mendakwa dirinya tersesat tadi.

Sekaligus dia mencakar muka perempuan tua dengan kukunya yang panjang dan keras. Perempuan tua
itu terjerit-jerit kesakitan. Di sini bererti saya berjaya menggunakan syaitan untuk menyerang syaitan
yang lain. Saya gunakan pontianak tersesat tadi menyerang perempuan tua itu.

Mau tidak mahu perempuan itu melepaskan pontianak tadi. Terlalu gembira pontianak itu apabila dia
terlepas dari pautan perempuan tua. Dia mengilai lagi sebagai tanda berjaya.

"Sekarang awak pergi, jangan mengganggu lagi..." perintah saya setelah menyedari bahawa dia bercakap
benar.

"Baiklah ustaz, saya pergi sekarang" sahutnya lalu melayang hilang dari pandangan saya.

Setelah pontianak itu pergi saya melihat orang tua tadi menekup mukanya yang calar balar dicakar
pontianak. Dia mengerang-ngerang kesakitan. Tidak berani memandang saya.

"Awak jangan ganggu Mimi lagi, tau!" jerkah saya mengancam dia.

"Tujuh tahun aku bela dia..." perempuan tua itu terisak-isak menangis. "Tujuh tahun aku bela Mimi,
sekarang senang-senang awak nak rampas dia dari tangan aku" dia menahan kesakitan akibat dicakar
kuku pontianak.

"Fasal apa awak bela dia, dia ada keluarga?" ejek saya. "Aku sayangkan dia..." sahut perempuan tua itu
lagi. "Mimi tak sayang kau, lebih baik kau tinggalkan dia" ujar saya mengingatkan dia.

Perempuan tua itu menangis terisak-isak. Kesakitan dicakar oleh pontianak sebenarnya tidak menjadi
ancaman pada dirinya. Tetapi dia tidak dapat bertahan dari ayat-ayat Quran yang dibacakan di
hadapannya.

Rupanya perempuan itu adalah pemilik tanah tempat tinggal Jali dan Mimi yang dibelinya di Bukit
Mertajam. Perempuan itu telah lama meninggal dunia iaitu sejak tujuh tahun lalu. Keluarganya
menjualkan tanah tersebut kepada Jali.

Disebabkan harga tanah itu murah, maka Jali pun membelinya. Sejak membeli tanah itulah Mimi selalu
merasa kepalanya sakit. Badannya lenguh-lenguh seperti membawa beban berat. Apabila dibawa
berubat ke hospital doktor mengesyaki penyakit darah tinggi. Tetapi setelah diuji tidak ada pula kesan-
kesan darah tinggi itu.

Setelah Mimi sedar, saya menasihatkan Jali dan jiran-jiran supaya tidak menceritakan kepada Mimi apa
yang berlaku sewaktu dia tidak sedarkan diri. Segala percakapan saya dengan perempuan tua dan
pontianak yang tersesat itu dapat mereka dengar melalui Mimi.

Bermula dari kisah itu jugalah Jali mengajak kawannya Hasim menemui saya untuk mengajak ke
Kampung Melang. Saya pula mengajak Pak Hid bersama, kerana saya percaya Pak Hid juga mempunyai
pengalaman lebih dari saya.
13. TOK AWANG NGAH - HARIMAU MELOMPAT TENGAH SERAMBI

TOK AWANG NGAH - CETAKAN PERTAMA 1986


TAJUK BUKU: RINTIHAN DARI KUBUR(12 siri)

Tergelak besar Wak Samin bila saya tanyakan kepadanya mengenai harimau cinaku atau harimau jadian.
Bagi mereka di Sumatera terutama di daerah Jambi kisah harimau cinaku ini perkara biasa saja kepada
mereka, tetapi bagi orang-orang di Semenanjung mendengarnya sebagai cerita tahyol saja. Sebab itu
Wak Samin tergelak besar, kerana pada sangkaannya saya hanya mahu bertanya disebabkan merasakan
cerita tersebut sebagai tahyol saja.

Kebanyakan harimau cinaku ini boleh mencuri kerbau dan lembu orang-orang kampong. Mereka boleh
menghilangkan diri dalam sekelip mata saja. Ada juga orang mengatakan bahawa harimau cinaku ini
hanya kepalanya saja bertukar menjadi harimau, sementara batang tubuhnya kekal sebagai manusia.

“Wak tak dengar cerita macam tu” beritahu Wak Samin apabila saya tanyakan mengenai cerita harimau
cinaku yang kepalanya bertukar menjadi harimau sedangkan batang tubuhnya masih kekal seperti
manusia biasa.

“Setahu Wak, harimau cinaku ini berubah menjadi harimau seluruh batang tubuhnya” jelasnya lagi.

“Harimau cinaku ni banyak di Jambi ye Wak?” saya cuba menduga.

“Kebetulan saja” ujarnya perlahan.

“Dulu, orang kata orang-orang Jambi yang jadi harimau cinaku” katanya tersengih-sengih macam gelihati
dengan tuduhan tersebut.

“Adakah Tok Malim Udoh tu menuntut ilmu harimau cinaku?” tanya saya selanjutnya.

Dia menggelengkan kepala. Malah Wak Samin tidak mahu langsung menyebut kisah Tok Malim Udoh,
sekadar dia memberitahu mengapa dia datang ke Tanah Melayu ini. Kalaulah tidak berlaku peristiwa
yang menimpa gurunya, memang dia tidak akan meninggalkan kampung halamannya merantau
sedemikian jauh.

Sebelum datang ke Endau, Wak Samin pernah juga berkahwin dengan seorang janda di Kota Tinggi.
Perkahwinan itu tidak lama kerana isterinya lari meninggalkan dia. Disebabkan malu dengan peristiwa
isterinya meninggalkannya itu Wak Samin lari membawa diri ke Endau. Demikian Tok Aji memberitahu
saya mengenani kawannya Wak Samin yang sama-sama menumpang kapal barang dari Dumai
menyeberang ke Tanah Melayu dan naik di Johor.

Sementara berkahwin dengan janda di Kota Tinggi itu, Tok Aji ikut sama jadi pengapit Wak Samin. Ketika
ini Tok Aji juga berkahwin di Kota Tinggi dan sudah mendapat seorang anak lelaki.
Pada malam pertama hari perkahwinannya itu, janda tersebut Lisun terkejut kerana Wak Samin tidur
bersener kuat. Bunyi senarnya seolah-olah seperti harimau mendengkur. Kerana was-was dengan
suaminya yang datang berdagang ke situ, Lisun bertanya dari mana kampung halaman Wak Samin.

“Abang dari Palembang, tetapi menetap di Bukit Tinggi” dia menjelaskan kepada isterinya.

“Abang bukan dari Jambi?” tanya Lisun lagi.

“Tidak…” beritahu Wak Samin keheranan. Hatinya mula tertanya-tanya sama ada isterinya menduga
yang bukan-bukan terhadap dirinya.

“Lisun, syak yang tak baik terhadap diri abang?” soalnya macam rasa tersinggung.

“Saya hanya nak tau, kerana orang kata orang Jambi suka jadi harimau” jelas Lisun secara jujur.

Memang dia pernah mendengar dari orang tua-tua mengenai kesukaan orang-orang Jambi mempelajari
ilmu kebatinan menjelma menjadi harimau. Kebanyakan mereka pula menyalahgunakan kepandaian
tersebut, dengan melakukan rompakan dan mencuri harta benda.

“Bukan semua orang Jambi begitu” Wak Samin menerangkan kepada isterinya.

Segala kebimbangan isterinya itu diceritakan oleh Wak Samin kepada Tok Aji. Bagaimanapun Tok Aji
menasihatkan dia supaya bersabar saja, kerana niat baik tentu dibalas dengan baik juga.

Wak Samin sudah melupakan ilmu-ilmu kebatinan yang dituntutnya selama di Sumatera dulu. Sebab itu
dia lebih suka orang memanggilnya Wak Samin saja kerana panggilan Wak itu biasanya digunakan
kepada orang-orang dari Tanah Jawa saja. Kalau orang-orang dari Sumatera biasanya dipanggil ‘Pak Tua’
sebagai menghormati orang yang lebih tua.

Kerana mahu melupakan kisah-kisah di Sumatera inilah dia sanggup mengembara jauh. Dia hanya mahu
menyerahkan diri semata-mata kepada Allah. Ilmu-ilmu kebatinan yang berlawanan dengan ajaran
Islam, mahu dibuang jauh-jauh dari ingatannya.

Rupa-rupanya orang-orang di Semenanjung ketika itu apabila berkahwin dengan orang-orang dari
Sumatera, bimbang kalau berkahwin dengan orang-orang dari Jambi. Cerita ini merebak dari satu telinga
sehingga mereka benar-benar takut kepada orang-orang Jambi.

“Mereka takut harimau kerinci…” ujar Tok Aji ketawa geli hati dengan nasib yang menimpa kawannya
Wak Samin.

Bagaimanapun Tok Aji dapat meyakinkan Lisun bahawa cerita-cerita mengenai harimau kerinci, harimau
cinaku atau harimau jadian itu hanya reka-rekaan saja bagi menakutkan orang-orang Semenanjung
dengan orang-orang Jambi.

Ketika ini ramai orang-orang Semenanjung mengambil menantu dari mereka yang datang dari Sumatera
kerana dipercaya mempunyai ilmu agama yang tinggi. Untuk menyedarkan orang-orang seperti inilah
ditimbulkan cerita-cerita seperti ini.
Lisun pula tidaklah mengesyaki apa-apa lagi terhadap suaminya, malah dia semakin kasih akan Wak
Samin. Dia sama-sama membantu Wak Samin pergi menoreh getah atau mengait kelapa.

Satu ketika orang-orang di kampung itu diganggu oleh harimau yang membaham kambing-kambing
ternakan. Mereka takut dengan gangguan itu, kerana setiap masa ada saja mangsanya. Beberapa kali
dibuat perangkap tetapi mereka tidak berjaya membunuh harimau tersebut.

Akhirnya lembu ketua kampung sendiri dilarikan oleh harimau. Lembu jantan itu kesayangan ketua
kampung Pak Kidam. Oleh itu Pak Kidam sanggup membayar sampai seratus ringgit kepada sesiapa yang
sanggup membunuh harimau berkenaan. Pak Kidam sendiri mengajak beberapa orang kampung
mengikut jejak harimau itu masuh ke hutan dengan mengesan titisan darah lembu yang menjadi
mangsanya.

Di antara yang sama mengikut itu termasuklah Tok Aji dan Wak Samin sendiri. Sebagai orang dagang
mereka terpaksalah mengambil hati ketua kampung supaya tidak dipandang serong. Mereka berdua
sama-sama mengesan jejak harimau melarikan lembu itu.

Mereka sampai juga kepada bangkai lembu yang sudah habis sebelah pahanya ditinggalkan pada
sebatang pokok. Pak Kidam pun menyuruh membuat pondok di atas pokok bagi menunggu kedatangan
harimau mengulangi lagi bangkai lembu berkenaan. Pak Kidam menunggu pada sasaran yang senang dia
membedil dengan senapangnya. Seolah-olah dia betul-betul berdendam dengan binatang tersebut.

Tok Aji sengaja memilih pondok tempat Pak Kidam menunggu dengan senapangnya. Sementara Wak
Samin menunggu pada pokok yang satu lagi bersetentang dengan pondok Pak Kidam.

Lama juga mereka menunggu sehingga hari malam, tetapi harimau itu tidak juga datang mengulangi
mangsanya. Mereka tahu lambat laun harimau itu akan datang juga semula. Disebabkan terlalu lama
menunggu, salah seorang yang bertahan di pondok Wak Samin iaitu Jalit abang iparnya sendiri, terasa
mahu buang air kecil.

Dia malu mahu buang air dari atas pokok itu saja, maka terpaksalah dia turun ke tanah. Ketika dia turun
inilah Pak Kidam ternampak dua biji mata mara ke situ. Pak Kidam cepat-cepat menyuruh Jalit naik
segera ke pondoknya, tetapi belum sempat Jalit naik semula ke pondok, harimau itu sudah hampir
benar.

Serba salah Pak Kidam mahu menembak. Kalau tembakannya tidak tepat harimau itu pasti akan
menerkam Jalit. Harimau terluka tentu lebih ganas apabila ternampak mangsa.

Disebabkan harimau sudah terlalu dekat, sedangkan Jalit masih belum naik ke atas pondok tempat
bertahan, maka Wak Samin pun terjun ke tanah mahu menyelamatkan abang iparnya iaitu abang Lisun.
Sebaik saja harimau itu mahu menerkam, Jalit nampak Wak Samin menekan ibu jari kakinya ke tanah
menyebabkan harimau itu tidak dapat menerkam.

“Kau nak tunjuk kuat ye!” herdik Wak Samin.

Harimau itu seolah-olah meronta, tetapi badannya tidak dapat bergerak. Dia bagaikan terlekat pada
tanah tidak boleh menghambur. Ngaumannya juga tidak keluar dari rahangnya, cuma rungutan kecil.
Jalit nampak air liur harimau itu meleleh keluar seperti termakan cili padi.
“Dengan orang kampung ni kau boleh tunjuk keras kepala, tapi dengan Samin kau jangan cuba main-
main” Wak Samin menggertap bibir sambil berjalan mara mendapatkan harimau yang terpaku di
depannya.

Pak Kidam yang memegang senapang tidak dapat melepaskan tembakan dia. Jarinya seolah-olah kaku
tidak dapat memetik trigger. Dia terpegun melihat Wak Samin yang tiba-tiba saja melompat ke tanah
sebaik saja abang iparnya terperangkap tidak sempat naik ke atas pondok.

“Biadap kau…” tepiknya lantas menampar muka harimau itu sekuat hatinya.

Harimau itu menjerit kesakitan tetapi kakinya tidak terlepas dari bumi. Kaki harimau itu seolah-olah
diikat dengan simin ke tanah tidak boleh diangkat langsung.

“Depan Samin, kau jangan nak tunjuk garang” dia menampar sebelah lagi muka harimau itu.

Tok Aji nampak apa yang dibuat oleh Wak Samin, kerana kedudukan pondok itu tidaklah jauh sangat.
Cahaya samar-samar di pinggir hutan itu masih jelas boleh nampak dari jarak yang tidak berapa jauh.
Tok Aji hanya tersenyum melihat kehebatan kawannya, tidaklah terperanjat seperti Pak Kidam. Malah
Pak Kidam sendiri terasa gementar apabila Wak Samin menampar muka harimau itu.

Harimau itu merungut-rungut, tetapi tidak mengaum kuat. Air liurnya meleleh-leleh keluar. Jalit yang
tercegat di bawah pokok tempat mereka membuat pondok terkencing dalam seluar kerana terlalu takut.
Dia melihat sendiri harimau sebesar lembu itu tercegat di depan adik iparnya. Kemudian adik iparnya
menampar beberapa kali ke muka harimau itu, tetapi sedikit pun harimau itu tidak melawan.

Beberapa minit kemudian tidak kedengaran lagi rungutan harimau. Wak Samin berpaling ke belakang
dan berjalan mendapatkan abang iparnya Jalit yang terketar-ketar ketakutan. Apabila dia meninggalkan
harimau berkenaan, tiba-tiba saja tubuh harimau itu berdebap jatuh.

Barulah semua orang di atas pokok turun ke tanah. Mereka memeriksa harimau itu sama ada sudah
mati atau masih hidup. Sebenarnya tidak siapa pun berani mendekati harimau itu apabila turun dari
pokok. Hanya setelah Tok Aji merapati harimau tersebut sambil menyepak-nyepak punggungnya,
barulah orang lain berani.

Setelah diperiksa didapati muka harimau lekuk seperti disinggahi pukulan yang terlalu kuar lagi berat
berpikul-pikul. Harimau itu sudah mati terbujur dengan tulang mukanya remuk. Kalau diamat-amati
bekas penampar Wak Samin yang singgah ke muka harimau itu seolah-olah bekas diterjah kayu balak
yang besar.

“Tak sangka awak boleh menentang harimau Wak Samin” keluh Pak Kidam masih terasa gementar.

Wak Samin tidak menyahut. Dia sendiri menyesal kerana terlalu cepat menunjukkan kepandaiannya.
Tetapi kalau dia terlambat, tentulah abang iparnya Jalit menjadi mangsa pula. Harimau itu sudah
bersedia untuk menerkam semasa dia terjun ke tanah. Kalau harimau tersebut sempat menerkam
tentulah Jalit mendapat cedera parah. Sebab itulah Wak Samin tidak bertangguh terjun ke tanah bagi
menyelamatkan abang iparnya.
Ketika ini dia tidak memikirkan apa orang kampung akan kata. Boleh jadi orang-orang kampung merasa
kagum dengan tindakannya, dan boleh jadi juga mereka takut bila berhadapan dengannya. Itulah
pertama kali Wak Samin menunjukkan kepandaiannya. Selama ini dia tidak pernah menunjukkan apa-
apa kelebihan kepada masyarakat kampung. Malah Tok Aji sendiri tidak tahu tentang kebolehan Wak
Samin menentang seekor harimau liar di hutan.

“Terima kasihlah Wak Samin kerana sudah menolong orang-orang kampung “ kata Pak Kidam mengajak
semua anak buah balik semula. Cerita Wak Samin menentang harimau dengan tidak bersenjata itu cepat
saja meribak ke seluruh kampung. Jalit juga memuji-muji adik iparnya itu, malah dia merasa terhutang
nyawa kepada Wak Samin. Kalaulah tidak kerana Wak Samin cepat datang menolong sudah tentu dia
menjadi mangsa harimau.

Kegagahan Wak Samin menentang harimau ini telah menjadi bualan. Tidak lama kemudian Tok Aji,
membawa anak isterinya ke Singapura, tinggallah Wak Kamin saja di Kota Tinggi. Ketika ini Lisun sudah
mula mengandung 3 bulan. Entah mengapa dalam masa mengandung ini Lisun kuat mendesak Wak
Samin ke hutan kerana dia mahu melihat harimau hidup-hidup.

Wak Samin tahu desakan Lisun bukanlah kerana mendengar kegagahan dia meneang harimau dan
menyelamatkan Jalit, tetapi pembawaan orang mengandung. Heran juga dia dengan pembawaan Lisun.
Kalau perkara lain dia memang bersedia untuk memenuhi kemahuannya, tetapi untuk melihat harimau
hidup bukanlah perkara yang menjadi kebiasaan.

“Saya hendak sangat melihat harimau hidup, bang” desak Lisun selepas makan tengah hari.

“His, merepek aje kau ni Lisun” rungut Wak Samin.

“Betul-betul ni bang, saya ingin sangat” kata Lisun lagi bagaikan tidak sabar.

“Harimau di trengah hutan, macam mana nak bawa kau ke sana? “ Wak Samin cuba menasihati
isterinya.

“Cubalah abang bawa saya jumpa harimau” ujar Lisun bersungguh-sungguh

Wak Samin tahu pernmintaan Lisun itu bukanlah olok-olok. Memang pembawaan orang mengandung
bermacam-macam. Tetapi dia heran juga dengan pembawaan Lisun yang ganjil dari orang lain. Belum
pernah dia mendengar pembawaan perempuan mengandung mahu melihat harimau berjalan-jalan dan
melompat-lompat.

Harimau binatang ganas yang liar di hutan, bukanlah seperti kucing yang boleh dibuat permainan.
Sebaliknya bila didesak oleh Lisun, dia menjadi serba salah juga. Kalau tidak dipenuhi pembawaan orang
mengandung entah apa pula bencana.

Puas memikirkan apa harus dibuat. Wak Samin mengadukan halnya kepada Jalit. Selalunya dia minta
buah fikiran Tok Aji, tetapi disebabkan Tok Aji tidak ada, dia pn bertanya pada Jalit.

“Kau dah gila.....” Jalit memarahi adiknya Lisun kerana membuat permintaan yang bukan-bukan. “Apa
yang kau pinta Samin lakukan ni cari nahas saja” ujar Jalit keras.
“ Saya tahu Abang Samin boleh jinakkan harimau. Nyawa abang pun Abang Samin yang selamatkan”
Lisun tersinggung dengan sikap abangnya berkasar terhadap dirinya. “Takkan dia tak boleh jinakkan
harimau, kalau saya sendiri yang nak tengok” katanya macam mengejek.

“Perkara sia-sia yang kau minta Samin buat” jerkah Jalit masih heran dengan permintaan adiknya.

Dia tahu Lisun sudah mendengar cerita Wak Samin membawanya ke hutan untuk melihat harimau
hidup-hidup. Kalau memakan binatang-binatang hutan seperti pelanduk, kijang, rusa atau naouh dia
sendiri sanggup menemankan Wak Samin pergi memburu.

Tetapi permintaan seperti Lisun ini jarangbenar didengar. Malah tidak pernah perempuan mengandung
mahu mengidammelihat binatang buas hidup-hidup. Apa lagi harimau yang ganas di hutan.

“Janganlah kau minta yang bukan-bukan Lisun “ ujar Jalit menasihatinya.

“Saya ingin sangat nak tengok.....” Lisun macam merayu.

“Tak boleh kah kau minta yang lain?” soal Jalit semakin heran.

“Entah lah bang, saya tak dapat nak minta yang lain” jelasnya tegas.

Wak Samin terdiam dengan desakan isterinya itu. Dia semakin gelisah dengan desakan isterinya itu. Dia
semakin gelisah mengenangkan permintaan yang diluar dugaan itu. Bagaimanakah seorang perempuan
mengandung mengidam mahu melihat harimau hidup-hidup padahal tidak pernah didengarnya
perempuan mengidam sedemikian.

Tetapi pembawaan perempuan mengandung bermacam-macam. Ada perempuan yang suka menghisap
puntung rokok saja, ada yang suka makan sepah sirih, ada yang mahu makan asam, ada pula yang suka
mandi air telaga dan bermacam-macam lagi. Wak Samin terpaksa menerima hakikat ini bahawa amalan-
amalan yang dipelajari dari Tok Malim Udoh inilah yang sedang menguji dia sekarang.

Sedangkan Jalit sudah tidak berupaya untuk menghalang kemahuan Lisun. Apa lagi permintaan itu
merupakan pembawaan perempuan mengandung.

“Aku tak dapat nak cakaplah, Samin” keluh Jalit memberi keputusan kerana tidak sanggup lagi
menasihatkan Lisun.

“Tak apalah bang Jalit, muga-muga dia boleh lupakan juga” sahut Wak Samin dengan satu harapan
tergaris di hatinya.

Tetapi sepeninggalan Jalit itu, Lisun tetap tidak mahu mengalah. Dia berkeras mahu mengajak Wak
Samin ke hutan kerana hendak melihat sendiri harimau hidup-hidup. Puas Wak Samin memujuk dia
berkeras juga mahu seperti yang dihajatinya.

“Nanti kau terkejut kerana takut” Wak Samin cuba berdalih.

“Ah, itu dalih abang saja kerana tak mahu membawa saya ke hutan” Lisun mencemiknya.
“Kalau Lisun nak tengok harimau tak payah ke hutan” beritahu Wak Samin perlahan. “Abang boleh
panggilkan harimau datang ke sini” jelasnya tersengih-sengih macam menduga perasaan Lisun.

“Abang sengaja takut-takutkan saya” perempuan itu menjuihkan bibir mengejek. :Kalau abang boleh
panggilkan, panggillah” ujarnya mencabar Wak Samin.

“Nanti Lisun ketakutan” Wak Samin masih menasihatkan dia.

“Saya teringin nak tengok, tak kan saya ketakutan” sahutnya keras.

“Kalau begitu baiklah’ Wak Samin memberi jaminan.

Sedapat-dapatnya dia tak mahu melukakan hati isterinya. Dia tahu hidup berdagang di rantau mesti
tahu membawa diri. Mesti selalu merendahlkan diri kepada sesiapa saja. Apa lagi dengan isteri sendiri
dia dia mesti tunjukkan segala kasih sayangnya. Apa saja permintaan isteri mesti dipenuhi juga.

Dia menyuruh Lisun naik keatas para romeh, iaitu lantai yang sengaja dibuat seperti silng rumah.

“Lisun tunggulah di sini, dan jangan kemana-mana” katanya kepada isterinya penuh kasih sayang.

Setelah Lisun naik keatas para rumah, Wak Samin pula mula membakar kemenyan dan mulutnya kumat
kamit membaca sesuatu. Lisun memerhatikan sahaja kelakuan suaminya, sementara matanya melingas-
lingas dari manakah harimau yang dipanggil oleh suaminya akan masuk ke dalam rumah.

Lama Lisun memerhatikan suaminya, dia terperanjat bila Wak Samin membongkok sambil meneran
sesuatu seperti laku orang mahu membuang air besar. Tiba-tiba ekor panjang keluar dari punggongnya.
Setelah ekornya keluar, Wak Samin mula meniarap seperti kucing bangun dari tidurnya.

Kemudian dia menguling-gulingkan badannya dan mengeliat-ngeliat. Dari sinilah tubahnya berubah
sedikit demi sedikit menjadi harimau sepenuhnya. Apabila sudah menjadi harimau sepenuhnya, Wak
Samin pun melompat dan berjalan dari serambi masuk ke induk rumah. Dia menganga- ngangakan
mulut seperti terkuap-kuap kelaparan. Sekali sekala mengerling juga ke arah para rumah supaya
isterinya dapat melihat dengan jelas rupa seekor harimau yang hidup.

Kira-kira setengah jam dia menjelma menjadi harimau, Wak Samin pun memulihkan semula dirinya.
Setelah dia kembali kepada asalnya, cepat-cepat dia mendapatkan isterinya di atas para. Tapi, alangkah
terkejutnya dia melihat Lisun pengsan tidak sedarkan diri.

Disebabkan dia sudah menduga Lisun memang terkejut melihat harimau hidup maka tidak Wak Samin
terkejut benar. Tetapi yang diketahui oleh Wak Samin ialah Lisun terkejut kerana suaminya bertukar
menjadi harimau.

Terpaksa pula Wak Samin memulihkan isterinya dari pengsan. Sebaik saja Lisun sembuh dia terus
meluru ke pintu lari dari rumahnya. Dia terus balik ke rumah emaknya dan enggan balik semula kepada
suaminya. Puas dipujuk oleh Jalit supaya Lisun jangan ikutkan perasaan, namun dia tetap berdegil tidak
mahu balik lagi mendapatkan Wak Samin.
“Selama ni saya nikah dengan harimau,” dia merintih-rintih memberitahu keluarganya. “Saya lihat
sendiri Samin bertukar menjadi harimau. Saya tak mahu lagi bersuamikan harimau,” katanya menangis
hiba.

“Perasaan kau saja Lisun,” kata Jalit memarahinya. “Pasal kau berkeras mahu melihat harimau, sebab tu
Samin pun kau kata harimau!” Jalit tidak percaya dakwaan adiknya Wak Samin bertukar menjadi
harimau.

Emaknya juga menasihatkan Lisun supaya balik semula ke rumah. Masalah Wak Samin bertukar menjadi
harimau bukanlah perkara yang boleh meruntuhkan rumah tangga mereka. Wak Samin tidak pernah
menganggu sesiapa pun dengan kepandaiannya menukar dirinya menjadi harimau.

Malah dia sudah menolong Pak Kidam dengan kebolehannya itu, disamping menyelamatkan nyawa Jalit.
Ilmu di dada menjadi salah kalau ianya disalah gunakan , tetapi kalau digunakan dijalan kebaikan, ia
tetap memberi manafaat kepada semua orang.

Setelahmendapat tahu isterinya tidak mahu lagi balik kepadanya, disamping menuduhnya seekor
harimau, maka dengan diam-diam Wak Saminmelarikan diri dari kampung tersebut. Dia malu bertemu
muka dengan mak mentuanya dan juga sanak saudara Lisun. Tidak pula diduganya Lisun membukakan
rahsia tersebut kepada kaum keluarganya.

Tidak siapa pun mengetahui ke mana Wak Samin membawa dirinya. Sementara Lisun pula sentiasa
meracau-racau takut menjadi isteri harimau. Dia memekik-mekik kerana sudah trerpeday hingga
menjadi isteri harimau. Penyakit Lisun tidak dapat diberitahu kepada Wak Samin. Hingga akhirnya Lisun
meninggal dunia akibat terkejut melihat suaminya menjadi harimau, siapa pun tidak dapat
menyampaikan berita itu pada Wak Samin.

“Saya kira amalan menjadi harimau ni bertentangan dengan ajaran Islam,’ kata saya memerhati Wak
Samin.

Dia menganggukan kepala. Kemudian menunduk memikirkan sesuatu.

“Iya, kerana menyamakan diri kita dengan binatang,” keluhnya perlahan.


Saya tahu Wak Samin juga bukanlah sebarangan orang dari segi pengetahuan agama. Sebab itu saya
tidak banyak bertanya mengenai perkara lain selain dari amalan dirinya yang boleh menukarkan sifat
tubuhnya kepada harimu.

“Ustaz tak takukan Wak? “ katanya macam menyindir.

“Tidak,” sahut saya menggelengkan kepala. “Saya hanya takut kepada Allah,” beritahu saya tegas.

“Alhamdulillah.....’” dia tersenyum menatap muka saya.

Ketika ini saya membaca Ayat Kursi di dalam hati hingga sampai 313 kali. Tetapi saya lihat Wak Samin
tetap tidak menghadapi apa-apa perubahan. Kemudian dia tersenyum lagi sambil menepuk paha saya.

“Wak tak ada apa-apa Ustaz,” katanya lagi. Saya merasakan diri saya disindir, tetapi saya sedar Wak
Samin juga tahu saya sedang mengujinya. “ Wak tak ada amalkan ajaran yang berlawanan dengan
aqidah Islam. Hanya kepada Allah, Wak mohon pertolongan dan perlindungan,” jelasnya terangguk-
angguk.

Saya percaya dengan kata-kata Wak Samin itu. Memang Tok Aji sudah pesankan kepada saya mengenai
diri Wak Samin itu dia tidak lagi mengamalkan pertapaan yang membolehkan dirinya menjelama
menjadi haiwan. Sudah tentulah menjadikan diri kepada haiwan itu tidak dikehendaki oleh Islam.
14. TOK AWANG NGAH - RINTIHAN DARI KUBUR

SEPANJANG lima bulan Daboh dalam kurungan pasung kayu, dia hanya tersengih-sengih saja setiap kali
Dukun Sood datang. Kadangkala dia melambai-lambai tangan apabila Dukun Sood membakar kemenyan.
Tetapi Daboh akan merungut-rungut sekiranya dia nampak Sarip Kubung tersandar pada tiang tengah.

Dukun Sood sering mengingatkan Sarip Kubung supaya tidak berkasar dengan adiknya itu. Daboh sakit
hilang akal, bukannya demam biasa. Dia tidak mengganggu sesiapa, cuma tersengih-sengih saja. Dukun
Sood menyuruh dikurung dalam pasung kayu, bukan bimbangkan Daboh mengganggu orang, tetapi
supaya dia terkawal tidak dapat merayau-rayau ke sana ke mari.

Bila terlepas Daboh akan berjalan-jalan ke tepi sungai sambil tersengih-sengih. Perempuan-perempuan
yang sedang membasuh akan bertempiaran lari bila ternampak Daboh, kerana ketakutan. Sebenarnya
Daboh tidak mengusik sesiapa pun. Tetapi disebabkan takut perempuan-perempuan itu lari
bertempiaran. Daboh pula akan terlompat-lompat kesukaan melihat perempuan-perempuan itu lari.

Sarip Kubung pula akan menempeleng muka adiknya itu kalau dijumpainya merayau-rayau di keliling
kampung. Dia akan mengheret Daboh memaksa adiknya balik semula ke rumah. Kadang-kala menangis
juga Mak Leha melihat lutut Daboh berdarah-darah kerana diheret oleh abangnya.

Kira-kira lima bulan Daboh menderita dalam kurungan pasung kayu. Kalau Dukun Sood tidak suruh
demikian tentulah lebih teruk Daboh diseksa oleh abangnya Sarip Kubung. Manalah dapat menahan
Daboh berjalan-jalan sambil tersengih-sengih memegang sebatang kayu, sedangkan fikirannya bukanlah
seperti orang biasa. Dia hilang akal sejak beberapa lama.

Puncanya tidak siapa pun tahu. Tetapi seingat-ingat Mak Leha, mula-mulanya Daboh selalu duduk
termenung. Dia tidak lagi mengikut kawan-kawannya memburu ke hutan, atau memikat balam, atau
mendekut wak-wak. Disuruh makan pun, Daboh tidak mahu. Dia enggan bercakap dengan sesiapa.

Kemudian sedikit demi sedikit perangainya mula berubah. Dia mula bercakap seorang diri, tersengih-
sengih dan ketawa sesuka hatinya bila masa saja. Dukun Sood yang dipanggil mengubatnya hanya dapat
mengatakan Daboh terkena badi hutan.

"Kau tak boleh berkasar dengan adik kau, Sarip." Dukun Sood mengingatkan setelah mendengar cerita
Mak Leha bagaimana Sarip Kubung melayani adiknya itu. "Dia tu kena badi, susah nak diubat. Kena
bersabarlah kita menjaga dia," nasihat dukun itu.

Sarip Kubung hanya mengangguk kepala. Sebenarnya dia tidak berniat untuk bersikap kasar dengan
Daboh. Tetapi apabila dipujuk baik-baik Daboh tidak mahu mempedulikannya, sebab itulah dia terpaksa
berkeras. Kadang-kadang disuruh makan pun Daboh sengaja terberak atau terkencing di dalam pinggan,
kecuali apabila disergah barulah dia mahu menurut perintah Sarip Kubung.

"Menjaga orang macam ni memang susah" kata Dukun Sood lagi. "Tapi, kita kenalah sabar. Kalau tidak
kita menjaga dia siapa lagi hendak diharapkan!" ujar orang tua itu mengingatkan.
Mak Leha memang tidak dapat berkata-kata lagi sejak Daboh jatuh sakit. Sarip Kubung berkahwin, hanya
dengan Daboh sajalah dia tinggal di rumahnya. Daboh yang menyara hidupnya selama ini. Kalau patut
menoreh getah, Daboh akan pergi menoreh getah. Kalau patut ke hutan mencari manau, damar atau
petai, dia ke hutan bersama kawan-kawannya.

Kadangkala Daboh memasang perangkap pelanduk, memburu denak, mendekut wak-wak. Memang
Daboh anak muda yang rajin bekerja. Susuk tubuhnya gempal berambut kerinting, berkulit hitam manis.
Boleh dikatakan dalam kampung itu dia merupakan anak muda yang tampan juga. Kalau ada kenduri
kendara selalulah dia bersenda gurau dengan anak gadis di penanggah.

Tetapi semenjak dia jatuh sakit, Daboh berubah sama sekali. Tubuhnya masih gempal tetapi comot
selekeh tidak terurus. Baunya hapak kerana jarang mandi. Hanya sekali sekala saja emaknya dapat
memujuk menyuruh dia mandi.

"Kenapa kau jadi macam ni Daboh!" rintih Mak Leha bila sekali sekala dia tidak dapat menahan perasaan
terharunya melihat keadaan anaknya itu.

Daboh hanya tersengih-sengih melihat emaknya menangis merintih-rintih. Kadangkala dia menggaru-
garu belakang dengan menggosokkannya ke dinding. Atau dia berjalan berligar-ligar di dalam kandang
kayu yang dibuat berpasung itu. Daboh tidak akan menyahut apa-apa kalau emaknya merintih-rintih di
depannya.

"Nasib kaulah Daboh, kalau pendek umur emak macam manalah kau Daboh" Mak Leha menahan
kesedihan yang mengganggu jiwanya.

Daboh hanya tersengih-sengih. Dia tidak peduli emaknya merintih-rintih tersedu di depannya.

Sama ada Daboh terkena badi binatang hutan, Mak Leha tidaklah hiraukan sangat kerana dia tahu
Daboh memang gemar berburu. Pernah juga dia mengidap sakit telinga berdarah selepas dapat
menjerat kijang. Ketika kijang meronta-ronta dia dan kawan-kawannya merebahkan binatang itu ke
tanah. Daboh menekan lututnya ke pangkal telinga kijang itu bagi membolehkan Lajis menyembelih.

Balik dari hutan itu semua mereka yang pergi seramai 8 orang jatuh demam. Lajis demam kena beguk
hingga kedua-dua belah lehernya bengkak. Mat Jol yang memegangkan kaki pula kena bisul pada betis
samapai sebulan lebih menghidap bengkak betis. Rasip meracau-racau takutkan orang besar
mengganggu setiap kali terlena. Liham pula sakit mata sebulan biji matanya merah tidak boleh melihat.
Sanip pula terberak-berak darah menghidap berbulan-bulan. Hendak dikatakan buasir bukannya
penyakit buasir, tetapi duburnya terasa seperti luka baru sembuh.

Keenam-enam mereka terkena badi kata Dukun Sood. Lajis, Mat Jol, Rasip, Liham dan Sarip jeran
sejeran-jerannya selepas dikatakan badi kijang itu. Baik saja dari sakit mereka tidak mahu lagi berburu
binatang hutan. Lajis yang menyembelih kijang terasa lehernya pedih bagaikan dihiris dengan pisau
semasa menghidap beguk itu. Kalau beguk biasa dua tiga hari akan sembuh. Atau ianya boleh
menjangkit pada orang lain.

Sebaliknya beguk yang dihidap oleh Lajis sampai lebih sebulan. Terpaksa Dukun Sood berkebas dengan
kain hitam dan mayang pinang. Sementara Mat Jol yang memegangkan kaki, betisnya pula hinggap bisul.
Betis itu membengkak sampai sebesar batang pinang. Dukun Sood juga mengubatnya dengan
merendang bertih. Hampir sebulan dia mengidap barulah bisul itu meletus hingga keluar nanah
bercampur darah pekat.

Rasip cuma duduk saja diatas badan kijang yang sudah rebah ke tanah. Dia tidak melakukan apa-apa.
Tetapi apabila balik ke rumah dia kena demam panas seluruh badan. Setiap malam dia merepek
meracau-racau takutkan orang besar datang mencekik lehernya. Dukun Sood berkebas dengan kain
hitam juga di samping air tujuh geluk dari tujuh kuala sungai dibubuh bunga tujuh warna. Sampai kurus
badan Rasip menderita sakit barulah dia pulih semula.

Sementara Liham pula kerana mahu cepat dia menerpa hingga pahanya menghimpit bahagian mata
kijang. Mungkin itulah sebabnya dia mengidap sakit mata sebulan lebih. Matanya merah tidak boleh
celik kalau berdepan dengan cahaya. Apabila bangun pagi kedua pelupuk matanya seperti kena gam
melekat tidak boleh dibuka. Terpaksa pula dibasuh dengan air embun. Kadangkala mata itu pedih
seperti dibubuh pasir.

Sanip yang melompat ke atas perut kijang itu berdiri dan menginjak-nginjak supaya binatang itu tidak
dapat berkuat terkena pula sakit terberak-berak darah. Semuanya berubat kepada Dukun Sood.
Mengikut cerita Dukun Sood memang mereka terkena badi kijang.

Begitu jugalah Daboh yang menghimpit pangkal telinga kijang itu dengan kepala lututnya, menyebabkan
telinganya berdarah. Dia merasa menggelegak macam dimasuki lipas. Bila disumbat dengan kapas
didapati kapas itu berdarah. "Binatang hutan ada gembala, kalau tak tahu permainan gembalanya nanti
kita yang musnah" Dukun Sood mengingatkan mereka supaya jangan lagi memburu binatang hutan.

"Yang kuat badinya burung puyuh..." jelas Dukun Sood menasihati anak-anak muda yang ghairah
memburu itu. "Yang kedua ayam denak, yang ketiga rusa dan keempat kijang. Nasib baiklah awak semua
terkena badi kijang, masih boleh ditolong" beritahunya macam memberi amaran.

Lajis, Mat Jol, Rasip, Liham dan Sanip memang tidak berani lagi sebut perkara memburu di hutan. Tetapi
Daboh tetap berdegil. Dia tidak mengalah walaupun dilarang oleh Dukun Sood. Kalau kawan-kawannya
tidak mahu ke hutan dia pergi berseorangan saja. Dia akan memasang jerat di tempat biasa
dipasangnya.

Tidak lama selepas itulah dia selalu duduk termenung tidak ketahuan. Akhirnya berubah menjadi seperti
sekarang ini. Dia merayau-rayau ke merata kampung dengan membawa sebatang kayu. Di mana ada
pokok dia berhenti lantas bersandar melepaskan penat. Kadangkala dia bercakap seorang diri tidak
tentu biji butir.

Bila terserempak Sarip Kubung dia akan berlari terhencot-hencot ketakutan. Abangnya akan menyergah
dia menyuruh balik ke rumah. Tetapi Daboh tidak balik ke rumah. Dia lari ke mana saja ikut suka hatinya.
Mahu tidak mahu terpaksalah Sarip Kubung berkasar mengheretnya balik ke rumah.

Tetapi selepas dikurung dalam pasung kayu, tidak payah lagi Sarip Kubung mengawasi adiknya merayau-
rayau ke sekeliling kampung. Dia hanya datang menjengah waktu hendak makan tengahari atau malam.
Mana tahu kalau Daboh mengencing dan memberakkan makanannya, kemudian dibancuh-bancuh
sebelum dimakan.
Emaknya memang sudah tidak berupaya lagi mahu menjaganya. Orang tua itu mudah menangis melihat
perangai anaknya yang berubah sama sekali dari perangai biasanya. Dari seorang anak muda yang
tampan, dia sudah menjadi hodoh kerana tidak terurus lagi pakaiannya.

Beberapa lama menderita Daboh pun meninggal dunia secara mengejut. Ketika ditemui oleh emaknya,
Daboh tertonggeng dengan tubuhnya tersandar pada palang kayu pasung. Mulutnya berdarah dan
matanya terbeliak. Kematian Daboh itu seolah-olah terlepaslah beban Mak Leha menjaga anaknya yang
sakit hilang akal itu. Dukun Sood hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat keadaan Daboh, kerana
dia tidak berupaya untuk menyelamatkan anak muda itu.

"Inilah sakit badi binatang hutan" keluh Dukun Sood sewaktu jenazah Daboh dibawa ke kubur.

"Dia memang degil" Sarip Kubung menjelaskan. "Sudah dilarang jangan pergi mencari barang hutan, dia
pergi juga. Tengok Lajis, Mat Jol, Liham, Sanip, Rasip semua dengar nasihat Dukun Sood, hah selamat!"
ujarnya seolah-olah menyesali sikap adiknya itu.

"Badi apakah agaknya Tok Dukun?" Lajis mahu tahu tentang peristiwa malang yang menimpa kawan
baiknya itu.

"Entahlah" dia menggeleng kepala. "Tak taulah pula binatang apa, tetapi biasanya yang keras macam ni
ayam denak atau rusa" kata Dukun Sood mengagak-ngagak.

"Boleh jadi ayam denak" Mat Jol menyampuk.

"Mana kau tahu?" soal Lajis macam terkejut mendengar cerita baru dari Mat jol itu.

"Ada dia cakap pada aku" jelas Mat Jol mengingatkan balik cerita Daboh kepadanya sebelum kawannya
itu jatuh sakit.

Semasa memasang jerat di satu kawasan lapang, dia telah dapat menjerat seekor bapak denak. Ketika
dia mahu cepat menyerbu ke tempat jerat itu terpasang takut ayam denak itu terlepas, seekor ular
hitam melintas di depannya menyebabkan dia tersentak. Daboh terkejut melihat ular melintas cepat di
depannya, kemudian hilang ke dalam belukar puar.

Dia terpaksa membiarkan ular tersebut melintas, barulah dia mengejar jeratnya yang sudah mengena.
Dalam keadaan kelam-kabut itu dia tidak nampak ke manakah perginya ayam denak terkena jerat itu.
Tetapi di depannya berdiri seorang lelaki tua berpakaian serba hitam. Lelaki tua itu mengelek ayam
denak terkena jerat tadi.

"Mengapa jerat ayam Aki?" tanya orang tua itu ramah.

"Tidak, saya jerat ayam denak" sahut Daboh keheranan kerana ayam yang dikelek oleh lelaki itu
bukannya ayam denak, tetapi ayam kampung biasa.

"Ayam Aki selalu mengekas di sini, mana ada ayam denak dekat sini" jelas orang tua itu lagi.
Daboh heran juga kerana selama ini dia tidak pernah melihat lelaki berkenaan. Tetapi dari raut wajahnya
orang tua itu sangat ramah dan baik hati. Dia tidak memarahi Daboh walaupun ayamnya terkena jerat
Daboh.

"Tak ada ayam denak di sini. Semuanya ayam Aki yang mengekas di sini" ujarnya lagi sambil
menunjukkan ke arah pondoknya di bawah bukit.

Bertambah heran Daboh kerana selama ini tidak pernah dia melihat ada pondok di situ. Kalau mahu
dikatakan dia tersesat, tidak ada tanda-tanda dia tersesat. Kawasan tersebut sudah biasa sangat
kepadanya. Malah tempat dia menahan jerat denak itu sudah kerapkali dipasangnya jerat.

"Jangan pasang jerat lagi di sini ye, nanti terkena lagi ayam Aki" orang tua itu mengingatkan dia. "Aki nak
jual ayam-ayam tu, kalau tak jual ayam siapa nak belikan beras Aki" ujarnya menasihatkan Daboh.

Daboh mengangguk. Dia merasa tersalah tempat pada kali itu. Boleh jadi juga dia tersesat dari tempat
biasa dia memasang jerat. Kadangkala kawasan pinggir hutan itu sama saja. Apabila melepasi satu bukit
maka akan sampai ke kampung lain pula. Manalah dia kenal dengan orang-orang di kampung lain,
terutama dengan orang tua-tuanya.

"Maaflah Aki..." sahut Daboh kesal. "Saya tak sangka pula tempat ni dekat dengan rumah Aki. Lain kali
saya tak datang lagilah" dia memberi jaminan tidak akan memasang jerat di situ lagi.

"Eloklah tu, ayam Aki memang mengekas dekat sini selalunya, nanti terkena pula ayam nenek lagi"
ujarnya tersenyum sambil mengelek ayamnya dibawa balik.

Besoknya apabila Daboh datang lagi ke situ didapatinya tempat pondok orang tua yang ditunjukkan
kepadanya semalam hanya belukar teberau saja. Bulu ayam yang reras kerana menggelupur semasa
terkena jeratnya juga memang bulu ayam denak. Inilah puncanya Daboh meradang seolah-olah
dipermainkan oleh orang tua itu.

Dia telah mengambil ketul-ketul batu membalingkan ke arah belukar teberau yang dilihatnya ada
pondok. Betul-betul meradang benar hati Daboh kerana jeratnya yang sudah mengena, tetapi ditipu
oleh orang tua berkenaan. Daboh masih berpegang kuat bahawa tidak ada badi pada ayam denak,
sebaliknya dia telah ditipu oleh orang tua yang dilihatnya semalam.

Kepada Mat Jol dia menceritakan apa yang dilihatnya. Sejak itulah dia selalu termenung, kerana
teringatkan peristiwa bertemu dengan orang tersebut. Dia berdendam kepada orang tua yang berpura-
pura ramah dan baik hati itu, sebaliknya telah menipu dia.

"Mengapa kau tak beritahu Dukun Sood semasa aruah ni sakit?" soal Lajis kesal dengan sikap Mat Jol
merahsiakan kejadian tersebut.

"Dia tak beri aku cakap dengan orang lain" jelas Mat Jol mempertahankan dirinya.

"Kau tak boleh dengar cakap dia" gerutu Lajis.

"Ah, sudahlah. Dah tak ada apa-apa lagi nak ungkit-ungkit" Sarip Kubung memarahi mereka berdua.
"Sekarang ni dia dah tak ada, tak guna lagi sebut fasal-fasal yang sudah" tegasnya.
Daboh selamat dikebumikan. Mak Leha yang paling sedih dengan kematian Daboh, kerana itulah satu-
satunya anak bujangnya yang tinggal bersama dia. Ketiadaan Daboh bererti dia tinggal kesepian.
Memang dia boleh tinggal di rumah Sarip Kubung, tetapi apalah gunanya memberatkan bebanan
anaknya yang sudah berkeluarga itu.

Malam selepas Daboh dikebumikan terdengar sayup-sayup dari kuburnya seperti merintih-rintih
semasa dikurung dalam pasung kayu. Mak Leha memberitahu perkara itu kepada Sarip Kubung.
Disebabkan rumah Mak Leha memang berhampiran dengan tanah perkuburan, maka suara itu jelas
kedengaran kepadanya.

Pada malam kedua, Sarip Kubung bersama dengan Lajis dan Mat Jol datang melihat ke kubur itu setelah
Dukun Sood menyuruhnya membacakan Yassin di atas kubur.

Mereka bertiga bergilir-gilir membacakan Surah Yassin sejak pukul enam petang lagi sehingga sampai
maghrib. Waktu maghrib masuk saja terdengar lagi rintihan dari kuburmya meminta pertolongan.
Setelah dijiruskan air Yassin rintihan itu mengendur. Tetapi rintihan itu berulang lagi kalau diberhentikan
membaca Yassin dan dijiruskan dengan air Yassin di atas kubur.

Hingga hampir masuk waktu Isya' rintihan itu tidak kedengaran lagi. Mereka bertiga pun balik ke rumah,
kerana Dukun Sood menyuruh mereka mengulangi sehingga 7 malam. Disebabkan tidak ada lagi rintihan
dari kubur Daboh, mereka mengambil keputusan untuk balik. Malam esoknya akan diulangi lagi
membaca Yassin.

Sampai saja di rumah Sarip Kubung mendapati isterinya Jibah tidak sedarkan diri pula. Kelam-kabut dia
kerana tidak satu, satu bala datang menimpa. Baru saja kematian adik, isteri pula sakit.

Malam esoknya disebabkan Jibah sakit, terpaksalah Sarip Kubung tidak pergi membacakan Yassin seperti
yang disuruh oleh Dukun Sood.

"Macam kena kelintasan Jibah ni" keluh Dukun Sood melihat buih hijau keluar dari mulut perempuan
itu.

"Hus, bala apa pula ni" Sarip Kubung menggertap bibir mengenangkan nasib malang yang menimpa
dirinya itu.

"Sabarlah Sarip" kata Dukun Sood. Mak Leha juga menasihati Sarip Kubung supaya bersabar. Sanak
saudara Jibah juga menyuruh bersabar.

Tetapi Sarip Kubung tidak dapat menahan sabar. Manalah hatinya tidak remuk dengan kejadian di kubur
adiknya yang merintih-rintih meminta tolong darinya, Jibah pula tiba-tiba saja kelu lidah dengan muntah
hijau meleleh dari mulut.

"Jibah, kena badi juga ke?" Sarip bertempik melepaskan geramnya. Memang selalunya Daboh akan
mengirimkan dia daging kijang atau rusa sekiranya kena perangkap. Apakah orang yang makan daging
binatang hutan juga akan dihinggap badinya?
"Sarip,sabarlah. Bawa astaghfar..." pujuk ayah mertuanya yang turut bersedih kerana anaknya sendiri
sakit mengejut.

Orang-orang mula menduga mungkin kerana Sarip Kubung cuba menolong adiknya, maka badi tersebut
menyerang Jibah pula. Sebab itulah sebaik saja Sarip Kubung membaca Yassin di atas kubur Daboh, tiba-
tiba saja Jibah tidak sedar diri.

Seminggu Jibah terlantar tidak sedarkan diri dengan air liur meleleh keluar hijau seperti lumut, akhirnya
dia mati. Selepas Jibah mati tidak lagi didengar rintihan Daboh setiap kali tiba waktu maghrib. Lajis, Mat
Jol dan Rasip juga tidaklah lagi perlu membaca Yassin di atas kuburnya. Dua tahun kemudian Dukun
Sood pun berpindah ke Segamat.

Sampai sekarang sudah lebih 20 tahun dia tinggal di Segamat. Anak saudaranya Mahmud yang mengajak
saya berjumpa dengan Dukun Sood ini. Dia berpindah ke Segamat pun kerana bekerja dengan
pemborong pejabat ukur. Apabila taukehnya membuat kerja-kerja ukur di Segamat, dia mengambil
keputusan untuk menetap di sana.

Sesiapa pun tidak tahu mengenai dirinya pernah menjadi dukun sebelum itu di Pahang. Anak
saudaranya ini memang berasal dari Pahang, tetapi selalu juga dia menjengah Dukun Sood di Segamat.
Dari Mahmud inilah saya dengar cerita mengenai pengalaman Dukun Sood mengubat Daboh yang
dikatakan terkena badi itu.

Dukun Sood termenung bila saya bangkitkan semula cerita Daboh ini kepadanya. Kemudian barulah dia
mahu bercakap. Perlahan saja dia memberitahu saya, "Sebenarnya badi tu tak seberapa, ada rahsia lain
lagi".

"Betul ke kubur Daboh tu ada bunyi?" tanya saya.

Dukun Sood mengangguk dengan wajah terharu. "Dia memanggil-manggil abangnya meminta tolong.
Katanya panas tak tahan" ujarnya.

"Kalau dia hilang akal, macam mana boleh minta tolong?" saya mahu tahu lebih lanjut.

"Itu yang susah nak jawab" kata Dukun Sood lagi. "Perkara dah berlaku dua puluh tahun, susah nak
cakap" jelasnya macam tidak mahu menerangkan lebih lanjut kepada saya. Tetapi setelah Mahmud
memberitahu mengenai diri saya, barulah dia mahu menerangkan.

"Ustaz tentu lebih tahu dari saya, Huwa auwalu walakhiru walzahiru walbatinu, wahuwal aliyul azim" dia
menatap muka saya.

Saya terangguk-angguk mendengarnya. Mungkin Dukun Sood tidak mahu lagi mengenangkan peristiwa
tersebut. Tetapi disebabkan saya bertanya, mahu tidak mahu terpaksalah dia menerangkan. Lagipun
Dukun Sood tidak mahu orang-orang di situ mengetahui dirinya pernah menjadi dukun.

"Saya tak berdukun lagi Ustaz, saya ni dah tua" dia merendahkan suaranya.

Disebabkan saya mahu sangat mengetahui rahsia kematian Daboh, Dukun Sood memberitahunya
dengan rasa terharu.
"Sebenarnya, Sarip Kubung ternampak orang lelaki melompat keluar dari tingkap biliknya semasa baru
balik dari surau" beritahu Dukun Sood. Peristiwa ini tidak sahih, kerana Sarip Kubung hanya terdengar
bunyi orang terjun ke tanah kemudian lari. Dia bertanyakan kepada Jibah, tetapi Jibah sanggup
menjunjung Quran mengatakan tidak ada siapa pun yang naik ke rumah.

Disebabkan Sarip Kubung orang yang kuat belajar agama, tidak beranilah dia menuduh Jibah berlaku
curang terhadap dirinya. Bagaimanapun dia terpaksa memberitahu hal itu pada Dukun Sood. Memang
Dukun Sood tidak percaya Jibah boleh melakukan perbuatan demikian. Disebabkan Dukun Sood
berkawan baik dengan ayah Sarip Kubung, dia menyuruh Sarip Kubung membuat sembahyang Tahajud
selama 44 malam untuk membuktikan isterinya berlaku curang atau tidak.

Sarip Kubung melakukan seperti apa yang disuruh oleh Dukun Sood. Selepas 44 malam dia melakukan
sembahyang Tahajud, didapati Jibah tidak ada apa-apa perubahan. Yakinlah dia dengan pendapat Dukun
Sood bahawa Jibah tidak berdosa. Hanya perasaan cemburunya saja yang menyebabkan dia ternampak
kelibat orang terjun dari tingkap.

Hatinya menerima kesucian isterinya dengan tenang dan bersyukur pada Allah. Jibah pula merasa
senang hati kerana suaminya tidak lagi mengesyaki dia berlaku curang.

Tidak lama kemudian Sarip Kubung sekali lagi dirundung malang bila adiknya Daboh pula kena badi
binatang hutan. Daboh jadi hilang akal selepas dikatakan berjumpa orang tua ketika menjerat ayam
denak. Puas pula Sarip Kubung berusaha mengubat adiknya itu, tetapi akhirnya mati dalam keadaan
mengerikan.

"Itulah kesan sembahyang Tahajud dan bacaan Yassin" keluh Dukun Sood mengingat-ingatkan kembali
peristiwa 20 tahun lampau. "Memang benar Daboh yang terjun dari tingkap rumah abangnya,
sementara isterinya berlaku curang dengan adiknya sendiri. Tapi saya rahsiakan ini dari Sarip Kubung..."
ujar Dukun Sood dengan rasa terharu.

Sebab itulah dia berdalih mengatakan Daboh terkena badi binatang hutan semata-mata mahu
menyembunyikan perkara sebenarnya. Daboh sendiri mengaku di depan Dukun Sood dengan penuh
kesal, tetapi dia sudah tidak dapat menahan Sarip Kubung meneruskan sembahyang Tahajud dan
membaca Yassin yang sudah dibuatnya hampir genap 44 malam itu.
15. TOK AWANG NGAH - LELAKI GIGI RONGAK

SEHINGGA pukul 11 malam Razi masih belum membuat keputusan untuk balik ke kampungnya di Pulau
Sebang di Melaka. Tidaklah jauh sangat dari Kuala Lumpur ke Pulau Sebang, dalam 2 jam setengah pun
boleh sampai. Anak dan isterinya sudah balik seminggu lebih awal, kerana persediaan adiknya yang akan
berkahwin.

Serba salah juga dia sama ada mahu balik malam itu juga atau pada esok paginya. Maklum sajalah kalau
balik pada malam itu pun tidak ada gunanya kerana majlis pernikahan sudah pun berlangsung kira-kira
pukul 9.30 malamnya. Dia sudah berjanji dengan isterinya Ani untuk balik juga ke Pulau Sebang pada
malam tersebut, tetapi tidak jadi disebabkan urusannya dengan seorang kontraktor tidak selesai.

Kontraktor itu mengajak makan terlebih dahulu di sebuah restoran. Kalau dia menolak pelawaan
kontraktor itu juga tidak berapa sedap, kerana mereka berdua sudah berkawan lama. Lagi pun upacara
pernikahan tidaklah berapa penting sangat, kerana yang menikah itu adik isterinya. Lainlah kalau
adiknya sendiri, tentulah dia penting untuk hadir sama sebagai wali kerana ayahnya sudah lama
meninggal dunia.

Sebab itu Razi memenuhi pelawaan kawannya itu untuk makan malam. Bersama kawannya itu adalah
lagi lima enam orang rakan berniaganya makan bersama, kerana mereka mahu berkenalan juga dengan
pegawai muda seperti Razi. Dalam masa makan itu masing-masing bercerita juga mengenai cerita di tv
yang sangat menarik.

Salah seorang darinya bercerita pula mengenai pengalaman seorang kawannya terserempak dengan
langsuyar semasa balik ke rumahnya di Cheras. Tetapi Razi kurang yakin dengan cerita itu.

"Zaman moden ni mana ada langsuyar" Razi tidak percaya dengan cerita kawannya itu.

"Itu saya tak tau laa Encik Razi" jelasnya tersengih-sengih. "Tapi kawan saya tu ternampak seorang
perempuan mahu menumpang motosikalnya. Bila perempuan tu dah naik, dia pun mengilai
menyebabkan kawan saya itu terbabas jatuh motor" katanya mempertahankan kebenaran ceritanya.

Geli benar hati Razi mendengar cerita kawannya itu. Dalam zaman moden demikian pun masih ada juga
orang mempercayai akan ujudnya langsuyar mengganggu manusia. Tetapi untuk menjaga hati kawannya
itu dia tidaklah terus berhujah. Dia hanya tersengih-sengih saja mendengar cerita kawannya itu.

"Selalu orang terjumpa langsuyar di kawasan Cheras tu" ujar kawannya itu.

"Di situ ada kubur?" seorang kawan Cina bertanya.

"Memang di situ ada kubur" katanya mengerutkan dahi. "Bukan kubur Melayu saja, kubur Cina pun ada,
kubur Kristian pun ada" jelasnya lagi.

Razi tersengih-sengih. Di Kuala Lumpur ini pun masih ada orang yang percaya tentang kemunculan
langsuyar. Lainlah kalau kampung-kampung yang masih terdapat pohon-pohon rimbun, pokok-pokok
nyiur yang tinggi melambai dan suasana malam yang sepi. Semua keadaan tersebut boleh menimbulkan
ketakutan kepada mereka yang lemah semangat.
Di Kuala Lumpur suasana seperti itu tidak ada lagi. Cahaya lampu terang benderang di kiri kanan jalan.
Kereta menderu di jalan raya sehingga sampai ke subuh, suasana tidak pernah sepi dengan lori-lori
mengangkut barang bergema membelah malam. Masakan langsuyar berani muncul dalam keadaan
seperti ini.

"Awak pernah jumpa langsuyar?" Razi menduga.

Kawan itu menggeleng kepala. Dia sendiri tidak pernah bertemu dengan langsuyar cuma mendengar
cerita dari kawan-kawan saja.

Razi ketawa kecil mendengar jawapan kawannya itu. Macam mana kawan itu boleh percaya sangat
sedangkan dia tidak pernah berjumpa. Sekadar mendengar cerita orang saja tidak boleh diterima sangat,
kadangkala kilauan bayang pun mereka kata langsuyar disebabkan mereka lemah semangat.

Apabila balik dari makan di restoran berkenaan, Razi pun balik ke rumahnya di Ampang. Mula-mula dia
merasa tidak dapat tidur, boleh bangun pagi sedikit, dan sempat sampai ke rumah mertuanya di Pulau
Sebang kira-kira pukul 8.30 pagi. Selepas subuh, bolehlah terus bertolak balik.

Hingga pukul 11 malam dia merasa gelisah kerana tidak memenuhi janjinya kepada isterinya untuk balik
kalau tidak ada apa-apa urusan lain, sebaliknya kalau ada hal dia akan cuba sampai ke Pulau Sebang jam
8.30 pagi besoknya.

Kerana hatinya berkata-kata lantas Razi mengambil keputusan untuk balik saja ke Pulau Sebang malam
itu juga. Sebelum balik dia datang dulu ke rumah saya, kira-kira hampir jam 12 tengah malam dia sampai
ke rumah saya. Ia memang selalu juga datang ke rumah saya tidak kira pukul berapa pun. Memang dia
tahu saya tidak pernah merasa terganggu kalau ada orang datang pada tengah malam demikian.

Saya masih membaca buku semasa dia datang memberi salam. Saya pelawa dia masuk, tetapi dia
bercakap dari dalam kereta saja.

"Saya nak balik malam ni juga Ustaz" dia memberitahu.

"Kata nak balik besok" isteri saya memotong sebaik saja tercegat di belakang saya.

"Balik jengah muka, nanti apa pula kata orang kalau besok baru nampak muka" ujarnya tersengih-
sengih.

"Kau, balik seorang saja?" tanya saya.

"Ya Ustaz" sahutnya masih tidak keluar dari kereta.

"Jadi besok Ustaz datang ya, jangan tidak pula. Nanti, masam pula muka orang rumah saya" katanya
mengingatkan.

Isterinya Ani berkuat mengajak saya ke majlis kahwin adiknya itu. Sebab itu dia desak Razi supaya
datang dengan membawa keluarga saya sekali sekiranya balik pada sebelah pagi Ahad. Malah Ani sendiri
lebih suka Razi balik pada hari Ahad daripada petang Sabtu.
Pada mulanya Razi bercadang mahu balik pada pagi Ahad, tetapi bila mengenangkan akan bertolak jam
6 pagi, tentulah tidak sedap mengajak saya bersama pada pagi demikian. Kalau mahu pukul 10 pagi pula,
dia bimbang dituduh tidak mengambil berat hal keluarga isterinya. Ini semualah yang menjadi serba
salah kepadanya.

Saya pun bersetuju akan pergi sendiri pada besoknya. Hubungan kami sekeluarga dengan keluarga
mereka amat baik, jadi tidak sedaplah kalau tidak memenuhi permintaannya. Malah Ani sudah
'mengagih'kan anak lelakinya kepada saya. Pada mulanya budak itu sakit saja, tetapi selepas dibawa
berjumpa saya, Alhamdulillah budak itu sihat. Itulah pun puncanya kami berkawan rapat.

"Saya balik dulu Ustaz, jadi besok saya jemput Ustaz ye!" katanya tersengih-sengih.

" Awak bawak kereta tu baik-baik Razi” saya mengingatkan sambil tercegat didepan pintu. “Malam-
malam macam ni kalau mengantuk berhenti, tidur dulu. Lepas tu kalau nak jalan, baru jalan pulak" ujar
saya supaya dia tidak tergopoh-gapah mahu cepat sampai.

"Baiklah..." dia memberi pengakuan.

Apabila dia meninggalkan rumah saya, Razi tidak ke mana-mana lagi. Dia teruslah balik mengikut
highway Seremban. Ketika ini memang jam lebih 12 tengah malam. Cuaca juga sejuk, dan kereta juga
tidak banyak lagi lalu lalang.

Selepas tol Kuala Lumpur, hujan mulai turun renyai-renyai. Razi tidak berani melarikan keretanya laju-
laju kerana bimbang jalan licin. Dia memang selalu mendengar nasihat saya iaitu apabila membawa
kereta janganlah terlalu laju. Walaupun pada sebelah malam demikian jalannya lapang, tetapi tidak ada
gunanya membawa kereta terlalu laju.

Apa sangat mahu dikejar cepat-cepat, kerana tidak ada apa-apa yang mesti disegerakan. Kalau mahu
mengejar majlis pernikahan, upacara tersebut sudah pun selesai, mungkin jam 10 malam lagi. Dia
sampai di Pulau Sebang pun tentu semua orang sudah tidur, kalau ada yang berjaga pun hanya budak-
budak main terup di penanggah. Mereka ini sengaja berjaga supaya penanggah tidak diganggu anjing
atau apa-apa.

Hujan renyai-renyai tidak berhenti sepanjang perjalanan itu. Bagaimanapun ada juga kereta yang laju
hingga memotong keretanya.

"Hah, nak mampus agaknya bawa kereta laju-laju" rungut Razi apabila keretanya dipotong oleh sebuah
kereta BMW. Jalan lurus di highway itu tidaklah cepat sangat hilang cahaya lampu kereta di depan. Lama
juga baru lampu kereta BMW yang memotongnya hilang dari pandangan.

Dalam masa dia memarahi kereta laju itu tiba-tiba saja seorang pemuda menunggang motorsikal
memakai jaket hitam memotong keretanya. Berani sangat penunggang motorsikal itu melarikan
motorsikal demikian lajunya pada malam tersebut, apalagi tatkala hujan renyai-renyai.

"Celaka motor ni, nak mampus lari laju-laju" gerutunya kerana meradang sangat dengan sikap
penunggang motorsikal yang berani melarikan motorsikal terlampau laju dalam hujan renyai-renyai dan
tengah malam pula.
Motorsikal itu juga lenyap dalam kegelapan malam, mungkin kerana larinya terlalu laju meninggalkan
kereta dia jauh di belakang, mungkin juga cuaca terlampau gelap kerana hujan renyai-renyai turun tidak
berhenti. Dari cahaya lampu keretanya memang hujan yang turun itu nampak jatuh halus-halus
menimpa cermin keretanya. Sebab itu dia tidak nampak pandangan jauh di hadapan.

Walaupun tengah malam masih ada juga kereta lalu lalang sama ada di jalan menuju ke Seremban,
begitu juga jalan menuju ke Kuala Lumpur. Kadang-kala dia perlu juga berhati-hati kerana ada tempat-
tempatnya jalan sedang dibaiki. Berjalan berkereta pada waktu malam mata mesti cekap memerhati.

Tidak terasa pula mengantuk pada Razi. Untuk menghilangkan rasa mengantuk dia membunyikan
radio.Setidak-tidaknya boleh juga mendengar siaran warta berita pendek atau ada juga lagu-lagu
hiburan. Kalau dipasang kaset lagunya balik-balik itu saja. Lagi pun Razi lebih gemar mendengar radio
dari kaset, kecuali kalau berjalan bersama isterinya, Ani lebih gemar mendengar kaset.
Melepasi saja simpang ke Bangi, Razi nampak dari cahaya lampu keretanya seorang pemuda menahan
keretanya. Ternyata pemuda itu di dalam kesusahan kerana motorsikalnya rosak. Dia cam betul bahawa
pemuda itu adalah penunggang motorsikal yang memotong keretanya tadi.

"Tolonglah saya bang" kata pemuda itu merayu "Sampai kat simpang Nilai cukuplah" ujarnya mahu
menumpang kereta Razi.

Mula-mula curiga juga Razi, mana tahu perompak yang sengaja menyamar meminta pertolongan.
Kemudian apabila sampai di pertengahan jalan kawan-kawannya sudah menunggu. Sudah tentu dia
terperangkap dengan tipu muslihat perompak begini. Bagaimanapun dia sudah behenti apabila ditahan
oleh pemuda berkenaan. Serba salah juga dia kalau menolak permintaan pemuda itu.

"Janganlah takut bang, saya bukannya budak jahat" dia semacam tahu apa yang difikirkan oleh Razi.
"Motor saya buat hal pulak, saya nak balik ke Nilai. Saya kerja Polis Bandaraya, janganlah abang
bimbang" katanya membuka jaket hitamnya.

Memang benar dia memakai uniform polis bandaraya. Setelah merasa yakin pemuda itu tidak
berbohong, dia pun membenarkannya menumpang.

"Nanti, saya letakkan motor saya ke dalam sikit" katanya tersengih menampakkan giginya yang rongak.
Kemudian dia menolak motorsikal itu ke lorong tempat jual buah-buahan. Setelah merasakan
motorsikalnya selamat dan tidak akan diusik orang, pemuda itu naik ke kereta Razi.

"Malam-malam macam ni mana nak cari Formen" keluhnya lantas menghulurkan tangan bersalaman
dengan Razi. "Nama saya Jenal, duduk kat Nilai. Berulang-alik aje kerja di Kuala Lumpur" jelasnya sambil
membetulkan leher baju uniformnya. Jaket hitamnya diribanya saja.

"Saya Razi" beritahu Razi perlahan.

"Abang nak ke mana?" tanyanya pula. "Balik kampung" ujar Razi.


"Kampung abang di mana?" dia menyandarkan badannya.
"Pulau Sebang" beritahu Razi ramah. Dia sudah yakin bahawa pemuda itu seorang polis bandaraya,
bukan perompak.
"Berjalan malam macam ni, perompak saya tak takut" kata Jenal tersengih-sengih menghadapkan
mukanya kepada Razi. Jelas pada Razi giginya rongak apabila dia tersengih-sengih itu.

"Habis awak takut apa?" Razi menduga.

Dia tidak terus menjawab, tetapi kepalanya berlenggok-lenggok mengikut irama lagu di radio.

"Awak takut apa?" ulangi Razi mahukan kepastian.

Berjalan di waktu malam tentulah mereka bimbang perompak. Mana tahu mereka menanti di mana-
mana, kerana perjalanan jauh seperti ini kereta tidak banyak lalu lalang. Kalau terjadi rompakan sesiapa
pun sukar mendapat bantuan segera.

Apa lagi kalau kereta dilarikan nescaya mereka akan terlonta-lonta mencari pertolongan. Mungkin
peronda lebuhraya ada membuat rondaan, tetapi mereka sukar mengesan kejadian-kejadian
sedemikian.

"Awak tak takut perompak?" tanya Razi lagi.

"Tak, saya tak takut" ujar Jenal terangguk-angguk.

"Tapi, saya takut kalau ada hantu, mana kita boleh lawan dia, sebab dia makhluk halus" jelasnya macam
ketakutan.

"Jangan awak percaya benda-benda tahyol tu, Jenal" Razi menasihatkannya.

Jenal terdiam bila Razi mengatakan dia tak percaya kepada tahyol. Dia merenung ke hadapan saja
memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis hujan yang halus.

"Kawan saya dah kena bang" beritahu Jenal perlahan seolah-olah mengingatkan sesuatu.

"Dekat simpang Nilai itulah kawan saya kena. Dia pakai motorsikal sayalah, lalu di situ hari malam"
katanya menyeringai menampakkan giginya yang rongak berkarat. Apabila dia mengangakan mulut
terbau juga bau busuk wap mulutnya oleh Razi.

Dia terangguk-angguk merenung cermin kereta ditimpa titis-titis hujan halus. Sekali-sekala Razi
mengerling juga ke arahnya sambil tersenyum seolah-seolah mengejek pemuda itu yang percaya sangat
cerita-cerita tahyol. Malah sejak di restoran tadi Razi sudah diceritakan perkara-perkara tahyol
demikian.

Hendak dikatakan dia tidak percaya langsung juga tidak boleh. Ketika anaknya selalu sakit-sakit saja, Ani
mendesaknya berubat cara kampung. Sudah dibawa ke klinik pakar pun, namun doktor tidak dapat
memberi jawapan yang tepat. Kepala anaknya tumbuh bisul yang boleh beralih-alih benjolnya.

Apabila doktor mahu mengambil keputusan untuk dibedah saja, Ani berkeras tidak mahu. Dia bimbang
anaknya akan cacat akal kerana sakit di kepala tidak boleh dipandang ringan. Ani mendesaknya supaya
anaknya dibawa berubat di mana-mana. Kebetulan jirannya itu teman baik saya, maka teman baik itulah
mengesyurkan Ani supaya menemui saya.
Kebetulan pula dengan izin Allah, setelah saya doakan sedikit kemudian meminta dia menukar nama
anaknya yang sedap didengar tetapi ertinya dalam Bahasa Melayu tidak berapa baik, mudah-mudahan
sembuh pula. Budak itu sihat sampai sudah bersekolah pun tidak pernah lagi sakit. Sebab itulah dia
'agih'kan budak itu pada saya mengikut kepercayaan orang-orang Melayu di kampung.Tetapi kalau tidak
di"agihkan' pun tak mengapa.

Apa yang terjadi pada anaknya ini tidak pula dianggap tahyol oleh Razi, tapi kalau cerita-cerita lain
terutamanya mengenai hantu saja cepat dia mengatakan tahyol. Dia tidaklah pula memberi alasan
mengapa perkara itu tahyol, sebaliknya tidak percaya saja cerita-cerita mengenainya.

Dengan Jenal pemuda gigi rongak yang menumpangnya itu pun Razi tetap dengan pendiriannya tidak
percaya cerita-cerita tahyol itu.

"Dekat simpang Nilai tu, memang selalu orang jumpa bang" tegas Jenal mahu meyakinkan Razi. "Kawan
saya ditahan oleh perempuan kat situ. Dia bawa perempuan tu naik motor saya" dia menambah.

Tersengih-sengih Razi mendengarnya cerita pemuda gigi rongak di sebelahnya. Mungkin pemuda itu
sengaja mahu menakut-nakutkan dia saja, atau kerana terlalu percaya kepada cerita-ceriya tahyol. Mahu
juga dia menempelak Jenal, tetapi tidak mahu pula mengecilkan hati kawan yang baru dikenalinya itu.

"Lepas tu dia terbau wangi sangat" ujarnya tidak beralih memerhati cermin kereta ditimpa titis-titis
hujan halus. "Apa lagi perempuan itu pun mengilai laaaa" katanya ketawa kecil hingga wap mulutnya
berbau busuk.

Cerita Jenal itu sudah kerapkali didengar oleh Razi. Masa makan malam di restoran tadi pun kawannya
yang datang bersama kontraktor itu pun menceritakan perempuan menumpang motorsikal kawannya
yang mahu balik ke Cheras. Sampai berhampiran dengan tanah perkuburan dia terbau wangi, kemudian
perempuan yang membonceng motorsikalnya itu mengilai terus hilang dari pandangan. Sebab itulah
motorsikalnya terbabas melanggar batu di tepi jalan.

Jenal juga mempunyai cerita yang seakan-akan sama, hanya tempat kejadian saja berlainan. Kawan
Jenal itu juga jatuh terbabas melanggar tebing jalan setelah perempuan itu mengilai, kemudian hilang
seolah-olah asap yang berkumpul ke udara. Seminggu kawannya itu terlantar di hospital besar
Seremban. Sejak motorsikalnya itu kemalangan selalu saja motorsikalnya meragam.

Tetapi Jenal tidak peduli. Kalau motorsikalnya meragam pada waktu tengah malam apabila balik dari
kerja, memang dia tinggalkan saja di tepi jalan. Besokya baru dia datang menengok. Dia tidak bimbang
kalau orang mahu mencuri motorsikalnya. Selagi motorsikalnya boleh dipakai dia tidak akan mengganti
baru.

"Sekarang cari duit susah, bang" beritahunya menjuihkan bibir. "Boleh pakai kita pakai dulu, rosak sikit-
sikit kita repair" jelasnya tegas.

Razi menggangguk. Dia setuju juga dengan pendapat Jenal. Lebih baik dibaiki saja motorsikalnya kalau
boleh digunakan. Lainlah kalau rosaknya sudah terlalu teruk, memang elok ditukar baru kalau duitnya
mencukupi. Dalam masa duit perlu digunakan kepada hal-hal yang lebih manafaat, perkara menukar
motorsikal itu memang baik dikemudiankan.
Tidak sangka pula dia bertemu kawan yang ramah di jalan. Kalau tidak ada Jenal menumpangnya,
mungkin dia kesunyian juga. Ada Jenal di situ, ada jugalah kawan untuk dilawan berbual. Tidaklah sunyi
sangat, walaupun Jenal lebih suka bercakap mengenai cerita-cerita tahyol saja.

"Sekarang dah dekat dengan simpang Nilai bang" Jenal menepuk bahu Razi. "Abang tak payah hantar
saya ke dalam, turun kat simpang cukuplah" dia merendahkan diri.

"Tak apa, kalau jauh ke dalam biarlah saya hantar" Razi menawarkan diri.

"Tak apalah bang, terima kasih sangatlah. Rumah saya dekat aje dari simpang tu" katanya.

"Awak tak takut ke apa-apa?" Razi cuba mengusik.

Jenal tertawa terbahak-bahak usikan Razi. Dia seolah-olah tahu Razi sengaja mempersendakan ceritanya
tadi. Tetapi dia tidak berkecil hati. Dia tetap melayan dengan mesra usikan Razi itu.

"Kalau langsuyar tu perempuan, lebih baik saya pinang aje, buat apa takut" dia masih ketawa terkekeh-
kekeh.

Razi juga ketawa dengan telatah kawan barunya itu. Tidak sangka pula Jenal pandai bergurau. Dari tutur
katanya memang dia percaya Jenal seorang yang ramah dan mudah dijadikan kawan. Ada saja cerita
hendak dibualkannya.

Simpang ke Nilai kira-kira masih ada 500 meter di hadapan. Kasihan juga hati Razi kalau mahu
menurunkan Jenal di kepala simpang. Apalah salahnya kalau dia menolong sesama insan tatkala dia
memerlukan pertolongan demikian. Hari sudah jauh malam sudah tentulah dia keseorangan mahu
berjalan merempuh kegelapan, di samping hujan turun renyai-renyai.

Masakan Jenal budak jahat mahu merompak dia, dengan kawan-kawannya sudah menunggu di kepala
simpang tersebut. Lagi pun apa sangat mahu dirompak oleh Jenal darinya. Perompak juga bukanlah
merompak tidak mengira mangsa, mereka tentunya merompak mangsa yang telah diekori terlebih dulu.
Mereka sudah tahu berapa hasil rompakannya apabila menahan mangsanya.

Sebab itulah dia bersedia untuk menghantar Jenal sampai ke pekan Nilai. Lagipun pekan Nilai tidaklah
jauh dari simpang tersebut. Selepas menghantar Jenal dia boleh balik semula untuk terus ke Pulau
Sebang.

"Saya boleh hantarkan awak, hari hujan tu..." beritahu Razi bila sudah ternampak papan tanda
menunjukkan simpang ke Nilai lebih kurang 500 kilometer.

"Tak apalah bang, hati abang ni cukup baik sangat. Cukuplah turunkan saya di kepala simpang" Jenal
tetap merendahkan diri.

"Tak takut perempuan tunggu di situ?" Razi tersengih-sengih mengusiknya.

"Ah, saya dah biasa dengan hantu-hantu ni, bang" dia tiba-tiba tertawa terbahak-bahak.
"Awak pernah tengok hantu ke?" tanya Razi selamba.

"Memang pernah bang" beritahu Jenal masih juga tertawa.

"Macam mana rupanya?" Razi sengaja mengusik lagi.

"Macam sayalah" katanya ketawa lebih nyaring.

Razi berpaling melihat Jenal, kerana pemuda itu mengatakan rupa hantu seperti rupanya. Ketawanya
nyaring tidak sama seperti mula-mula tadi. Apabila Razi melihat Jenal hatinya berdebar. Pemuda di
sebelahnya tadi sudah berbau lebih busuk, matanya macam bola api di kaca, tulang pipinya tersembul
keluar, rambutnya ada tompok-tompok darah. Kepalanya seolah-olah tengkorak yang mengerikan.

Terpaku Razi melihat kawan di sebelahnya itu. Dia tidak dapat mengawal keretanya lagi, lantas
merempuh batu divider jalan. Keretanya melambung sampai lima enam kali terbalik.

Esoknya bila saya dan keluarga pergi ke majlis perkahwinan adik Ani di Pulau Sebang, saya diberitahu
Razi terlibat dalam kemalangan semasa balik pada sebelah malamnya. Majlis perkahwinan itu diteruskan
juga walaupun Razi dimasukkan ke hospital besar Seremban. Selepas majlis perkahwinan itu, saya
bersama-sama Ani melawat Razi di hospital.

Ketika saya sampai Razi sudah sedar. Dia sudah boleh berkata-kata walaupun kakinya bersimen.
Kepalanya juga cedera dan masih berbalut. Bagaimanapun dia sempat menceritakan pengalamannya itu
kepada saya.

"Itulah awak, sikit-sikit tahyol, sikit-sikit tahyol" Ani mengejek dia.

Tetapi Razi tidak menyahut. Dia mula memikirkan tentang cerita-cerita yang dikatakkan tahyol sebelum
ini. Sepanjang dia bercerita dengan saya itu, dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

"Macam rasa mimpi aje, Ustaz" katanya menahan kesakitan yang dideritainya. Saya hanya tersenyum
saja mendengar ceritaya. Kerana perkara-perkara demikian memang sukar mahu diceritakan kepada
orang lain, kecuali orang yang pernah mengalaminya saja dapat memahaminya. "Ada orang cakap,
tempat saya jumpa budak tu, tempat orang mati eksiden motorsikal dulu. Dah ada juga dua tiga orang
terjumpa hal macam saya ni" jelas Razi lagi macam kesal sangat mengambil keputusan terburu-buru
balik pada sebelah malam tadinya.
Saya mengangguk-anggukkan kepala saja, kerana ceritanya seperti Razi ini, tidak ada yang mustahilnya
kepada saya. Semua boleh berlaku dengan izin Allah.
16. TOK AWANG NGAH - LEMBAGA GHAIB DI BALIK LANGSIR

Kebimbangan dan ketakutan penduduk-penduduk di kampung di Chenor sudah diberitahu kepada ketua
kampung mengenai ada lembaga menceroboh masuk ke dalam rumah, tetapi boleh menghilangkan diri
apabila mangsanya terjaga dari tidur. Bagaimanapun ketua kampung enggan melaporkan kepada polis
kerana perkara itu belum sahih.

Setengahnya mengatakan orang minyak, tetapi mangsa yang pernah diceroboh tidak pula mengatakan
orang minyak. Katanya, lelaki biasa berdiri dekat tempat tidurnya, kemudian hilang di sebalik langsir
tingkap, sedangkan tingkap masih berkunci rapat dari dalam.

Ketua kampung menyuruh beberapa orang pemuda kampung berkawal malam bagi memerangkap
penceroboh berkenaan, tetapi sudah 10 hari mereka berkawal gangguan penceroboh itu masih juga
mengancam. Dia sempat naik ke rumah Derih Gagap makan minum sebelum tidur berbaring di sebelah
isteri Derih Gagap. Dia telah menanggalkan pakaian Kak Senah, tetapi tidak melakukan apa-apa.

Apabila tersedar dari tidurnya kira-kira jam 11 malam, Kak Senah mendapati pakaiannya sudah
dilucutkan, manakala lelaki itu terbaring di sebelahnya terlentang.Disebabkan cahaya lampu pelita
samar-samar Kak Senah tidak cam mukanya, sebaliknya dia hanya menjerit saja sekuat hati. Ketika ini
Derih Gagap ikut sama berkawal.

Lelaki itu tidak tergopoh-gopoh lari. Dia hanya berjalan longlai kemudian melompat ke atas tingkap. Dia
hilang di sebalik langsir tingkap, walaupun tingkap berkunci dari dalam. Kak Senah memang tidak dapat
bangun untuk memukul lelaki berkenaan kerana pakaiannya sudah terlucut. Kelam kabut pula dia
menarik cadar tilam untuk membungkus tubuhnya.

Kak Senah mengaku dia tidak dicabul oleh lembaga tersebut. Bukan Kak Senah saja, malah Jenab, Mirah,
Ibah, Seli yang pernah diceroboh juga mengaku tidak dinodai oleh lelaki yang melucutkan pakaiannya
itu. Dia hanya berbaring saja dan lari menghilangkan diri apabila mangsanya terjaga dari tidur.

Puas juga ketua kampung memikirkan apakah bencana yang menimpa kampungnya. Untuk dilaporkan
pada polis pula, perkara sia-sia saja kerana tidak ada bukti. Malah dia pula akan dimarahi oleh penghulu
Mukim kerana seolah-olah mengadakan cerita saja dan mahu menyusahkan pihak polis.

"Ini perbuatan orang biasa " kata Aki Kidam apabila diberitahu oleh Derih Gagap mengenai rumahnya
yang diceroboh. "Inilah padahnya menuntut ilmu syaitan , buat saja apa yang disuruh syaitan" dia
mencemuh.

"Kalau dapat aku hentak kepala dia" Derih Gagap menggertap bibirnya.

Aki Kidam tersenyum mendengar kata-kata Derih Gagap yang terlalu geram kerana rumahnya
diceroboh. Mujurlah isterinya tidak ternoda. Bagaimanapun dia merasa malu juga lelaki itu berani tidur
di sebelah isterinya . Kalau lelaki itu berani menunjukkan diri,memang dia akan tumbuk mukanya . Siapa
kalah siapa menang dia tidak peduli.
Dia menjadi lelaki dayus kalau membiarkan isterinya ditiduri oleh lelaki lain, sekalipun lelaki itu tidak
menodainya. Sebab itulah Derih Gagap meminta nasihat Aki Kidam bagaimana mahu menentang
penceroboh tersebut.

"Mau melawan orang gunakan ilmu setan, jangan cepat marah" ujar Aki Kidam mengingatkan dia. "
Setan memang suka kita marah, sebab dia boleh melemahkan kalau kita cepat marah" Aki Kidam
tersengih-sengih melihat Derih Gagap yang terlalu marah dengan peristiwa isterinya diceroboh oleh
lelaki tersebut.

Di rumah Jenab juga berlaku sebelum rumah Derih Gagap dinaiki oleh lelaki berkenaan.

Ketika ini suami Jenab, Safar Iguk ada tidur di sebelahnya. Lelaki itu boleh tidur di sebelah Jenab
sedangkan Safar Iguk ada tidur di situ. Safar Iguk hanya terkebil-kebil biji mata melihat lelaki itu
melucutkan pakaian isterinya, kemudian tidur di sebelahnya.

Hanya apabila Jenab menjerit barulah Safar Iguk boleh bangun, tetapi sudah lambat bertindak. Dia
nampak lelaki itu terjun ikut tingkap. Sebaliknya apabila diperiksa tingkap itu ternyata masih berkunci
kuat dari dalam.

"Safar Iguk macam kena pukau, sampai dia tak cam orang tu" rungut Derih Gagap masih tidak dapat
menahan sabar.

"Memang dia pakai pukau" sahut Aki Kidam perlahan. "Dia nak mencubakan ilmunya, itu aje" katanya
menambah.

"Anjang Hak adalah bagi tangkal" beritahu Derih Gagap menunjukkan kain kuning selebar dua jari
kepada Aki Kidam. Aki Kidam hanya mengerling saja kain kuning yang dikatakan tangkal itu. Dia tidak
pun mencapai untuk membeleknya.

"Emmm, simpanlah tangkal tu" Aki Kidam menyuruh Derih Gagap menyimpan tangkal yang diberi
Anjang Hak itu baik-baik.

Orang-orang kampung semua diberi oleh Anjang Hak tangkal yang bertulis ayat dari Surah Al-Qalam,
disuruh pakai waktu tidur. Setelah diberi tangkal oleh Anjang Hak pun, masih juga ada gangguan. Malah
rumah-rumah yang pernah dicerobohnya juga dinaiki lagi. Bagaimanapun dia tidaklah mengganggu
tangkal yang diikat pada lengan.

"Nampaknya dah melampau ni" keluh Usup Kecih ketika minum di kedai kopi Sidin Bular. "Dah tak dapat
ditahan-tahan lagi. Lat-lat dua tiga malam dia menceroboh juga, walaupun kita berkawal" katanya
menggertap bibir.

"Hai kita berkawal malam, rumah kita pula dicerobohnya" ujar Derih Gagap menggertap bibir.

"Tak boleh jadi macam ni" sampuk Sidin Bular tercongok tidak jauh dari Derih Gagap. Semua orang
kampung bercerita mengenai gangguan ini di mana-mana saja. Perempuan-perempuanlah yang berada
dalam ketakutan. Mereka mahu membasuh ke sungai atau ke telaga juga menjadi takut.
Di samping itu cerita mengenai lelaki menceroboh itu berlaku juga di lain-lain kampung seperti Kampung
Awah, di Kampung Belawan dan lain-lain. Malah ada orang datang dari Pelangai juga menceritakan juga
lelaki seperti itu mengganggu juga di Pelangai dan di Mancis.

Sejauh mana dakwaan itu benar tidak pula diketahui kerana tidak siapa pun yang membuat aduan
kepada polis.

"Kita repot aje pada polis" Usup Kecih mencadangkan. "Ketua kampung kata jangan..." cepat saja Derih
Gagap menegah. "Kita tak boleh biarkan" gerutu Usup Kecih tidak puas hati dengan ketua kampung
tidak mahu membuat aduan kepada polis.

"Saya setuju dengan ketua kampung" sahut Sidin Bular pula. "Kalau perkara ini dah lepas ke tangan
polis, habis budak-budak tak bersalah pun kena tangkap, kena soal. Orang yang bersalah tetap terlepas
juga. Lebih baik kita bersabar untuk menangkapnya" dia terangguk-angguk macam mempertahankan
pendirian ketua kampung.

"Sampai habis orang kampung kena perkosa?" Usup Kecih mencemuh.

"Takat ni, belum ada yang kena" kata Sidin Bular macam memujuk supaya Usup Kecih bersabar.

Ketakutan seperti ini pernah juga berlaku di kampung Hulu Cenderak di Jelebu dalam Negeri Sembilan.
Pernah juga berlaku di Segamat, Johor. Orang-orang di Cangkat Jong di Teluk Intan pun pernah juga
gempar dengan cerita-cerita seperti ini. Tetapi semuanya disenyapkan saja oleh penduduk-penduduk
kampung hingga akhirnya gangguan itu lenyap begitu saja.

Memang benarlah kata Aki Kidam, mereka yang melakukan perbuatan itu untuk menguji ilmu yang
dituntutnya. Apabila amalan itu sudah sempurna mereka pun tidaklah lagi melakukannya. Inilah
sebahagian dari ilmu-ilmu yang di dampingi oleh syaitan yang masih menjadi kegemaran orang-orang
yang mengejar ilmu kebatinan dengan tidak berpandukan kepada ajaran islam. Demikian kata Aki Kidam
semasa berbual-bual dengan saya di pondok buruknya.

Aki Kidam memberitahu saya peristiwa yang berlaku ketika dia tinggal di Chenor dulu memang diketahui
siapa yang melakukannya. Tetapi orang-orang kampung tidak tahu siapa yang melakukan kerana orang
berkenaan bukan dari kampung tersebut. Setelah dapat ditangkap oleh Aki Kidam, dia melepaskan
semula pemuda berkenaan.

Sejak itu tidaklah berlaku lagi gangguan menceroboh rumah orang di situ.

"Buat apa Ustaz nak tanya hal-hal macam tu, Aki rasa Ustaz lebih banyak mengetahui" dia enggan
menceritakan kepada saya bagaimana dia boleh menangkap pemuda yang menceroboh itu.

"Saya ni mencari-cari saya tak mengetahui" balas saya perlahan. Kadang-kadang saya malu bila orang
tua-tua seperti Aki Kidam ini menganggap saya lebih mengetahui darinya, padahal orang-orang
kampung semua tahu mengenai kebolehan dia selama ini.

Memang saya sudah mengenali Aki Kidam sejak dia berpindah ke situ. Ketika tingal di Chenor, Pahang
katanya dia bertukang kayu. Tetapi selepas uzur dan tidak berupaya lagi membuat kerja-kerja berat, Aki
Kidam berpindah ke kampung yang didiami sekarang. Dia berpindah ke situ kerana mengikut anak
saudara isterinya, dan dia sudah pun membeli sekeping tanah sawah di situ.

Jadi, dia menceritakan kisahnya di Chenor itu pun, kerana saya mendesak sangat mahu mendengar kisah
dia berjaya menghindar bencana tersebut. Anak Derih Gagap yang berkawan dengan saya di Kuala
Lumpur itu memberitahu saya mengenai peristiwa tersebut. Dan dialah memberitahu mengenai Aki
Kidam yang didengarnya khabar sudah berpindah ke kampung yang kami tujui itu.

Dengan adanya Tumin anak Derih Gagap tidaklah dapat Aki Kidam menyembunyikan kisah dia di Chenor
dulu. "Inilah Tumin, Aki. Tumin ini anak Derih Gagap yang Aki tolong tu" jelas Tumin mengingatkan dia.

Disebabkan Tumin ada bersama saya, mahu tidak mahu Aki Kidam mengakui juga yang dia
bertanggunggjawab menangkap pemuda yang melakukan perbuatan menceroboh rumah orang itu.
Mula-mula Derih Gagap mahu memenggal leher pemuda berkenaan, tetapi dilarang oleh Aki Kidam.
Itulah syaratnya kalau mahu pertolongan dari Aki Kidam.

Setelah orang-orang kampung kelam kabut dengan bencana menimpa mereka, Derih Gagap bersama
ketua kampung menemui Aki Kidam yang pada masa itu bertukang membuat rumah. Satu hari kakinya
telah terpijak paku menyebabkan kakinya membengkak dan tidak dapat dipijakkan. Aki Kidam
mengambil minyak kelapa yang direndamkan dengan paku, kemudian dia mendoakan sesuatu. Lepas itu
disuruhnya gosok pada bahagian ditusuk paku itu. Sebaik saja disapu minyak tersebut Derih Gagap boleh
memijakkan tumitnya semula. Sakit pada bahagian ditusuk paku itu juga berkurangan. Tiga hari
kemudian luka tusukan paku tidak menyakitkan lagi.

Sejak itulah Derih Gagap sering menemui Aki Kidam kalau dia sakit atau memerlukan doa orang tua itu.

Ketua kampung bersetuju dengan cadangan Derih Gagap untuk menemui Aki Kidam. Dalam pertemuan
itu ketua kampung juga bersetuju dengan syarat yang diberi oleh Aki Kidam supaya tidak memberitahu
orang kampung, apakah yang harus dibuatnya. Sementara itu dia menyuruh semua orang memakai
tangkal yang diberi oleh Anjang Hak.

Malah apa yang disuruh buat oleh Anjang Hak juga mereka lakukan seperti yang diingatkan oleh ketua
kampung. Mereka dikehendaki merentang benang hitam pada tiap-tiap tingkap dan pintu. Kata Anjang
Hak sekiranya orang itu menceroboh juga dia akan dapat dilihat, ilmu ghaib tidak akan menjadi lagi.
Lebih sebulan mereka melakukan seperti yang disuruh oleh Anjang Hak iaitu merentangkan benang
hitam pada pintu dan tingkap, sejak itu lenyaplah cerita lelaki menceroboh itu.

Setahu orang-orang kampung usaha Anjang Hak itulah yang membantu mereka menghindarkan
malapetaka itu. Rahsia sebenarnya hanya diketahui oleh ketua kampung dan Derih Gagap. Mereka
berdua teguh memegang janji dengan Aki Kidam supaya tidak memberitahu mengenai usaha Aki Kidam
itu kepada orang-orang kampung.

Sudah berpuluh tahun berlalu barulah Derih Gagap menceritakan pada anaknya Tumin. Dialah berpesan
kepada Tumin supaya menjengok-jengok orang tua itu kalau masih hidup. Puas juga Tumin mencari
barulah ditemuinya orang tua itu. Dia pula mengajak saya menemui orang tua tersebut, kerana dia tahu
saya sangat gemar menemui orang tua seperti Aki Kidam ini.
Aki Kidam sudah dapat mengagak bahwa kekacauan di kampung tempat dia menumpang itu dilakukan
oleh orang yang baru mencuba amalannya. Walaupun setakat itu lelaki berkenaan belum melakukan
kejahatan, tetapi ianya amat membimbangkan orang-orang kampung.

Memang Aki Kidam tahu bahwa amalan itu tidak boleh mencabul kehormatan mangsanya. Dia hanya
dikehendaki melucutkan pakaian mangsanya dan berbaring di sebelahnya beberapa ketika sehingga
mangsanya terjaga dari tidur. Jika itu berjaya dilakukannya barulah amalannya dikira berjaya
sepenuhnya.

Bagi Aki Kidam amalan itu bukanlah asing kepadanya. Malah dia juga pernah melakukannya, tetapi tidak
mahu diteruskan kerana diketahuinya bertentangan dengan ajaran islam. "Ilmu ini tidak memberi
manafaat, kecuali untuk tujuan jahat dan ditunggang oleh setan" katanya menyesali perbuatan pemuda
itu.

Kelebihan pada pemuda itu sudah dapat dirasakan oleh Aki Kidam. Di mana saja ada bahagian yang
boleh lulus angin, maka di situlah dia boleh masuk. Oleh itu tidak semestinya dia masuk melalui tingkap
atau pintu saja. Pemuda itu itu boleh masuk ke dalam rumah melalui celah-celah dinding juga.

"Tetapi tiap-tiap ilmu setan, ada kelemahannya. Kita mesti cari tempat lemahnya" jelas Aki Kidam.

Dia tidak menerangkan di mana kelemahan yang mesti dicari. Tetapi setakat ini memang Derih Gagap
tahu bahawa rumah Aki Kidam tidak pernah diganggu oleh lelaki tersebut. Malah semasa orang-orang
kampung heboh dengan pencuri, rumah Aki Kidam tidak pernah diganggu. Pernah juga Usup Kecih
mengesyaki perbuatan Aki Kidam, sebab itulah rumahnya tidak diganggu.

Aki Kidam hanya mengajak ketua kampung dan Derih Gagap saja berkawal malam. Orang-orang lain
hanya disuruh menunggu rumah masing-masing saja setelah mendapat tangkal dari Anjang Hak.

Malam pertama mereka bertiga berkawal, tidak ada tanda lelaki berkenaan masuk menceroboh. Ketua
kampung dan Derih Gagap dibawa oleh Aki Kidam berjalan di sekeliling kampung, dan menunggu di jalan
masuk ke kampung itu. Setelah jam 12 malam Aki Kidam mendapati tidak ada apa-apa tanda. Dia pun
mengajak kedua-dua rakannya itu balik saja.

Tiga malam berkawal masih belum ada tanda-tanda yang diagak oleh Aki Kidam. Dalam masa tiga malam
itu juga tidak ada orang yang gempar kerana diceroboh.

"Agaknya dia dah tahu kita berkawal" bisik Derih Gagap.

"Boleh jadi juga" Aki Kidam mengangguk. Orang seperti itu memang ada gerak sendiri. Sekiranya dia
mendapati nahas di pertengahan jalan, dia tidak akan meneruskan perbuatannya. Dia akan menunggu
orang-orang kampung terlalai barulah dia bertindak semula.

"Aki kena usahakan juga, hindarkan dia dari mengganggu" ujar ketua kampung gelisah dengan bencana
yang menimpa kampungnya. "Kalau tak dapat kita halang, orang-orang kampung tak senang nak buat itu
dan ini" katanya dengan penuh harapan.

Aki Kidam menggigit ibu jarinya macam memikirkan sesuatu, tetapi sebenarnya ada petua dia lakukan
demikian. "Kita lorongkan dia ke rumah kau ajelah Derih" Aki Kidam tersengih-sengih.
Mula-mula Derih Gagap gelisah juga dengan permintaan Aki Kidam itu. Mana tahu pemuda itu lebih dari
Aki Kidam. Orang jahat mesti ada muslihatnya sendiri untuk melepaskan diri. Tetapi kerana nekadnya
untuk mengetahui apakah kesudahan penceroboh itu dia bersetuju dengan apa sahaja cadangan Aki
Kidam.

Mereka bertiga menuju ke rumah Derih Gagap. Samapai di kepala simpang Aki Kidam menghentakkan
tumitmya tiga kali ke bumi, kemudian barulah mereka terus ke rumah Derih Gagap. Dia menegah Derih
Gagap dari membangunkan isterinya, sebaliknya dia menyuruh Derih Gagap duduk di bawah rumah
bersetentang dengan tempat isterinya tidur. Manakala ketua kampung duduk di bawah serambi.

Derih Gagap nampak Aki Kidam mengelilingi rumahnya dengan mengguriskan kelengkeng ke tanah,
sebanyak tiga kali pusing. Apakah yang dibuatnya mereka berdua tidak tahu. Lepas itu barulah Aki Kidam
masuk ke bawah rumah di bahagian dapur. Sebelum itu dia berpesan kepada dua orang rakannya itu
jangan buat apa-apa kalau terlihat sesuatu, kecuali apabila dia memberi isyarat supaya keluar dari
bawah rumah.

Kira-kira 1 jam mereka bertiga tercangkung di bawah rumah, barulah Derih Gagap terdengar bunyi
orang mendehem. Pada mulanya dia menyangka Aki Kidam. Begitu juga ketua kampung, dia menyangka
Derih Gagap yang mendehem. Marah juga dia pada Derih Gagap kerana melanggar arahan Aki Kidam
supaya jangan berbunyi sedikit pun.

Tetapi jelas bunyi orang mendehem itu jauh di luar kawasan rumah. Kemudian dehemnya lebih kuat
kerana sudah dekat dengan kawasan rumah. Lepas itu terdengar pula bunyi pasir diserakkan ke atas
bumbung rumah itu sebanyak tiga kali. Tetapi Derih Gagap belum melihat sesiapapun melakukan
perbuatan itu. Bagaimanapun dia tetap memegang teguh amaran Aki Kidam supaya jangan berbunyi
sedikit pun kalau terdengar atau terlihat sesuatu yang ganjil.

Dia memerhati ke arah bawah rumah serambi, ketua kampung mengangkat tangan sambil meletakkan
jari telunjuk ke mulut menyuruh dia mendiamkan diri. Apabila melihat ke bawah rumah di bahagian
dapur, Aki Kidam juga menyuruh dia mendiamkan diri. Barulah lega hati Derih Gagap, kerana dia yakin
penceroboh itu tidak akan dapat lagi masuk ke rumahnya.

Setelah beberapa minit bunyi pasir dilemparkan ke atas atap itu berhenti, sekali lagi terdengar orang
mendehem tiga kali. Kemudian barulah ternampak oleh Derih Gagap, seorang lelaki berjalan
mengelilingi rumahnya di dalam kawasan yang diguris oleh Aki Kidam sebelum tadi.

Lelaki itu memakai seluar hitam dan berbaju teluk belanga biru tua, berjalan saja sambil matanya
terlangah-langah seperti mencari sesuatu. Dia berlegar-legar saja di sekeliling rumah, tetapi tidak
terkeluar dari kawasan yang diguris oleh Aki Kidam dengan kelengkengnya.

Selepas itu barulah Aki Kidam merangkak mendapatkan Derih Gagap. Mereka berdua terus pula
mendapatkan ketua kampung di bawah rumah serambi.

"Biarlah dulu, tak ke mana larinya" bisik Aki Kidam mengeluarkan rokok dari sakunya. Dia menghisap
rokok macam tidak menghiraukan lelaki di halaman rumah berlegar-legar.

"Biar aku ajar dia, Aki" ujar Derih Gagap menyimpan dendam.
"Hah, kau dah lupa Derih...!" Aki Kidam mengingatkan.

"Betullah kau ni tak sabar kan dek apa" ketua kampung memarahinya, menyebabkan Derih Gagap
terdiam. Memang dendamnya masih membara kerana pemuda berkenaan telah tidur berbaring di
sebelah isterinya, walaupun dia tidak memperkosa tetapi sudah tentu mencabar dirinya sebagai seorang
lelaki.

Kalaulah tidak mengenangkan janjinya dengan Aki Kidam, memang dia tidak dapat bersabar. Tetapi janji
itu mesti dipegang teguh kerana masalah yang dihadapi bukanlah dirinya seorang, sebaliknya untuk
kepentingan semua penduduk-penduduk kampung. Bila mengenangkan hal-hal seperti ini, Derih Gagap
terpaksa menahan perasaan dendamnya yang terbuku di hatinya.

Mereka bersama-sama menghisap rokok daun yang dibawa oleh Aki Kidam dengan tidak
memperdulikan lelaki itu berpusing-pusing sekeliling rumah. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku
di situ. Derih Gagap bersandar kepada sendi tiang, terlelap juga beberapa ketika sampai ke pagi. Dia
tertunggu-tunggu juga apa yang akan dilakukan oleh Aki Kidam seterusnya.

Setelah pagi cerah, barulah mereka bertiga keluar dari bawah rumah. Aki Kidam mengajak mereka
berdua sembahyang subuh saja di rumah Derih Gagap, kemudian sembahyang sunat syukur. Sebelum
itu Derih Gagap sudah membangunkan isterinya supaya perempuan itu tidak terkejut. Dia membisikkan
tentang lelaki yang sedang berlegar-legar di sekeliling rumahnya.

"Memang dia tu laa" bisik Kak Senah pada Derih Gagap apabila terlihat lelaki itu melalui tingkap. "Sudah,
kau masak air. Nanti buatkan kopi pekat untuknya. Aki Kidam yang suruh buat macam tu" dia
memberitahu isterinya.

Perempuan itu tidak membantah. Dia terus ke dapur untuk memasak air seperti yang disuruh suaminya.
Lagi pun ketua kampung akan membuat keputusan mengenai lelaki yang sudah dikira masuk perangkap
itu. Tetapi dari raut mukanya, Kak Senah tidak mengenali lelaki berkenaan. Ternyata dia bukanlah
berasal dari kampung tersebut.

Setelah selesai sembahyang, Aki Kidam duduk di muka tangga dengan berjuntai kaki. Apabila lelaki itu
melintas di depan halaman , Aki Kidam memukul kedua-dua lututnya dengan penumbuk. Lelaki itu tiba-
tiba berhenti dan berpusing mengadap Aki Kidam di muka tangga.

"Hai, nak kemana awak ni?" tegur Aki Kidam memerhati lelaki yang berumur kira-kira 25 tahun itu.

"Nak cari jalan keluar, sekeliling ni tembok batu. Entah mana pintunya tak jumpa" sahut lelaki itu lemah.

"Awak ni siapa, datang dari mana?" Aki Kidam bertanya, manakala ketua kampung dan Derih Gagap
sudah tercegat di belakangnya. Kak Senah juga berdiri di tingkap keheranan melihat peristiwa tersebut.

"Nama saya Johar dari Kampung Pesagi" ujarnya ketakutan.

"Hah, jauh awak ke mari" kata Aki Kidam macam mengejek. Pemuda itu terdiam. Dia terkelip-kelip mata
mendongak ke arah Aki Kidam yang masih duduk di muka pintu dengan dua tapak tangannya menekan
kepala lutut.
"Tolonglah lepaskan saya, saya minta ampun" dia terketar-ketar meminta perlindungan.

"Naiklah dulu..." Aki Kidam menyuruhnya naik.

Dia tidak membantah dan terus naik ke rumah. Kemudian dia menyuruh Kak Senah mengeluarkan kopi
O. Mereka berempat pun minumlah bersama-sama. Setelah disoal oleh ketua kampung pemuda
bernama Johar itu mengaku telah melakukan perbuatan tersebut. Dia telah menuntut satu ilmu
kebatinan yang mengikut pesan gurunya mesti melakukan perbuatan tersebut sampai genap 44 malam.

"Awak berjanji tak ganggu lagi kampung ni!" kata Aki Kidam. Pemuda itu mengangguk. Dia juga melihat
ke tengah halaman, tidak ada tembok batu yang dikatakannya itu. Barulah dia menyedari bahawa ilmu
setan yang dituntutnya boleh dikalahkan juga.

"Ilmu setan boleh dikalahkan, kerana ianya terbatas" ujar Aki Kidam mengingatkan dia. "Tetapi ilmu
Allah tidak dapat dikalahkan oleh sesiapapun, apatah lagi oleh setan. Ilmu Allah meliputi tujuh petala
langit tujuh petala bumi dengan tidak ada batasnya" dia menasihatkan pemuda berkenaan.

Selepas itu dia menyuruh pemuda itu balik ke kampungnya dengan tidak membenarkan Derih Gagap
membalas dendam. Sejak itu tidak ada lagi gangguan seperti itu di kampung tersebut. Memang menjadi
syaratnya orang yang ditawan secara demikian tidak boleh dicederakan, sebaliknya diberi makan dan
wang sebanyak dua ringgit sebagai sedekah.

"Insya Allah, dia akan insaf dan kembali kepada jalan Allah" beritahu Aki Kidam menutup ceritanya
kepada saya dan Tumin.
17. TOK AWANG NGAH - MAYAT BANGUN MINTA AIR

KETIKA saya mahu masuk tidur, Munir datang bersama isterinya memberitahu bapa mertuanya
kemalangan di Tanjung Malim. Emak mertuanya juga ada bersama semasa kemalangan tersebut. Adik
iparnya yang berumur 12 tahun juga ada. Kejadian ini berlaku dalam tahun 1979.

Sebenarnya tidak ada apa-apa cerita pelik mengenai Ustaz Badur bapa mertua Munir ini dalam
kemalangan jalanraya tersebut. Disebabkan saya kawan baik dengan Ustaz Badur, maka kemalangan
yang menimpanya itu diberitahulah oleh Munir kepada saya. Ustaz Badur terlibat dalam kemalangan itu
kira-kira jam 11.00 malam semasa balik dari Taiping ke Kuala Lumpur. Kemalangan itu tidaklah pula
teruk sangat. Dia tiga beranak dimasukkan juga ke hospital Tanjung Malim. Ustaz Badur yang teruk
sedikit.

Malam itu saya minta maaf kepada Munir kerana tidak dapat pergi ke hospital Tanjung Malim melawat
Ustaz Badur. Sebenarnya dia pun bukanlah hendak mengajak saya ke hospital di Tanjung Malim, cuma
untuk memberitahu saja mengenai kemalangan yang menimpa Ustaz Badur. Dia tahu benar hubungan
baik saya dengan Ustaz Badur hingga kalau saya datang ke rumahnya, saya tidak akan silu-silu terus
masuk sampai ke dapur.

Seminggu kemudian baru saya melawat Ustaz Badur di rumahnya di Segambut. Ketika saya sampai dahi
Ustaz Badur masih melecet dan bawah matanya kelihatan lebam biru. Manakala Mak Seha isteri Ustaz
Badur terbaring tidak boleh bangun kerana sesak nafas sejak kemalangan. Dia tidak boleh duduk lama-
lama kerana badannya pun gemuk sedikit. Anaknya yang berumur 12 tahun bernama Zaqlul bersimen
tangan, tetapi dia tersengih-sengih bila ditanya mengenai kemalangan tersebut.

"Ho, seronoknya Ustaz, macam hero jatuh tunggang balik" dia memberitahu dengan ketawa.

"Dekat selekoh belum sampai Tanjung Malim kalau dari sini, di situlah" Ustaz Badur memberitahu.
"Kalau nak cerita, nanti orang tak percaya. Ustaz pun tahulah, orang sekarang ni mana nak percaya
cerita-cerita lembaga halus ni. Mereka kata tahyol" ujarnya mencebikkan bibir.

"Mak Seha tak boleh bangun, baring aje laa" saya menegur Mak Seha kerana dia terkial-kial bangun
hendak sama bercerita.

"Sikit-sikit boleh juga bangun Ustaz" kata Mak Seha gagahi juga untuk duduk. Dia memang tidak senang
diam kalau saya berkunjung ke rumahnya. Ada saja yang dihidangkannya, terutama kalau waktu makan
nasi.

Sekiranya saya bergurau bertanyakan mana ulam, dia akan cepat-cepat pergi ke belakang rumah
mengambil pucuk gajus. Cepat-cepat pula menumbuk sambal belacan perah asam limau. Ustaz Badur
pula membakar petai, kerana petai bakar lebih sedap dibuat ulam katanya.

Hubungan mesra antara saya dengan Ustaz Badur dan keluarganya ini sudah terlalu rapat betul.
Kadangkala kalau saya lama tidak datang ke rumahnya baik Ustaz Badur mahupun Mak Seha mula
menyuruh menantunya Munir menelefon saya. Munir pula memang berkawan rapat dengan saya
sebelum itu lagi, dan dia akan memberitahu saya bapa mertuanya berpesan suruh datang ke rumah.

"Lari tak laju Ustaz" beritahu Mak Seha termengah-mengah juga menahan sakit di dada. "Entah macam
mana boleh terbabas, tapi memang makcik nampak macam ada perempuan melintas masa tu. Jadi, fasal
itulah agaknya orang tua ni tak dapat kawal kereta" jelasnya mengingat-ngingatkan peristiwa tersebut.

"Hah, itulah puncanya. Bukan saya aje yang nampak, makcik ni pun nampak" ujar Ustaz Badur meramas-
ramas lengannya yang masih sengal-sengal. "Saya nampak perempuan pakai baju serba putih melintas
jalan, jadi fasal saya nak elakkan dia kereta saya terbabas" kata Ustaz Badur menunjukkan sikunya,
lengannya, dan dadanya yang luka dan melecet.

"Saya pun nampak, Ustaz" Zaqlul pula menyampuk. "Saya yang pekik kat ayah, tanya siapa yang
melintas" dia tersengih-sengih juga.

Itulah pengalaman Ustaz Badur. Kalau mahu dikatakan mengantuk hingga keliru terpandangkan di
tengah jalan ada perempuan memakai serba putih melintas, masakan isterinya Mak Seha dan anaknya
Zaqlul juga ternampak lembaga yang sama. Ustaz Badur tidak mengantuk, apa yang dilihatnya itu
memang pernah dilihat oleh pemandu-pemandu lain ketika melalui jalan tersebut.

Walaupun di situ memang banyak selekoh tetapi keadaannya tidaklah merbahaya sangat kalau dalam
suasana biasa. Tetapi apabila ada gangguan pemandu-pemandu tidak akan dapat mengawal kereta.
Perkara yang sama berlaku juga pada seorang kawan saya dalam perjalanannya mahu balik ke Johor,
melalui jalan Mantin di Seremban. Tiba-tiba saja kereta yang dipandunya stereng keras tidak dapat
dipulas lagi. Akhirnya keretanya terus menjunam ke dalam gaung iaitu selekoh sebelum sampai ke
Beranang.

Pada malam itu Ustaz Badur balik dari Taiping setelah menghadiri majlis perkahwinan saudaranya.
Disebabkan dia orang berniaga, terpaksalah dia balik juga ke Kuala Lumpur kira-kira jam 6.00 petang. Dia
berhenti juga di pertengahan jalan untuk sembahyang Maghrib dan Isyak. Di Ipoh dia berhenti juga
untuk makan.

Hanya apabila sampai berhampiran Tanjung Malim, dia merasa angin bertiup sejuk. Hujan turun renyai-
renyai. Mak Seha mengingatkan Ustaz Badur supaya tidak membawa kereta laju, kerana dia sudah
mendengar mengenai jalan selepas Tanjung malim itu sering orang bertemu lembaga memakai serba
putih berdiri di tengah jalan.

Kadangkala lembaga itu duduk pada cermin kereta menyebabkan pandangan tertutup. Ustaz Badur pula
tidaklah berdiam diri saja, dia membacakan juga ayat-ayat suci Al-Quran yang terlintas di kepalanya
semasa memandu itu. Sementara Zaqlul duduk di belakang tidaklah tidur, walaupun usianya masih anak-
anak. Memang dia sukar tidur kalau di dalam kereta.

Hujan renyai-renyai turun tidak berhenti sehingga sampai ke tol. Selepas tol, Ustaz Badur bercadang
mahu singgah dulu di pekan Tanjung Malim untuk berhenti minum kopi, tetapi Mak Seha tidak mahu.
"Dah dekat nak sampai, buat apa berhenti lagi" ujarnya membantah, kerana dia mahu segera sampai ke
rumah.

Zaqlul juga bersetuju dengan emaknya. Dia tidak mahu berhenti minum terlebih dulu. "Banyak minum
nanti banyak kencing" katanya nakal.

Disebabkan anak dan isterinya tidak mahu berhenti, Ustaz Badur pun tidak merasa seronok untuk
singgah di Tanjung Malim.

"Kalau awak nak berhenti minum, berhentilah dulu. Nanti kempunan pulak" Mak Seha mengingatkan
dia.

"Ah, aku seorang minum buat apa" rungut Ustaz Badur. Setakat dia seorang mahu minum kopi buat apa
singgah di pekan Tanjung Malim yang terpaksa menyimpang jauh ke dalam sedikit. Lebih baik berhenti
di gerai-gerai yang ada di tepi jalan. Dia mahu singgah di pekan Tanjung Malim kerana mahu mencari
kuih pau yang terkenal di Tanjung Malim itu.

Melepasi kawasan perkampungan, tibalah di selekoh yang gelap. Kiri kanannya pokok-pokok getah yang
rimbun menjadikan kawasan di situ bagaikan diserkup. Hujan renyai-renyai masih turun, tetapi jalan
tidaklah begitu licin. Sampai di kawasan selekoh itu Ustaz Badur tidaklah memecut sangat. Lagipun
orang tua sepertinya memang tidak suka membawa kereta laju.

"Eh, apa yang putih tengah jalan tu ayah" Zaqlul menudingkan jari telunjuk ke hadapan.

"Orang nampaknya tu..." Mak Seha tergamam sedikit.

"Orang gila ke agaknya, merayau tengah malam macam ni" rungutnya apabila nampak lembaga
berpakaian serba putih mara menuju ke kereta.

Ustaz Badur cuba menekan brek, tetapi terasa breknya tidak mencengkam. Dia menjadi kelam kabut
kerana brek sudah ditekan kuat, tetapi tidak memberi bekas. Kereta semakin hampir dengan lembaga
berkenaan. Mahu tidak mahu dia terus merempuh, dan merasa keretanya bukan melanggar lembaga
tadi sebaliknya menerpa ke tebing.

Semasa keretanya terbabas, Ustaz Badur lama terduduk di bangku depan. Dia tidak tahu apa sudah
berlaku. Hendak dikatakan pengsan tidak pula, kerana dia sedar apa yang berlaku ketika itu. Dia tahu
Zaqlul yang mula-mula keluar dari kereta dan memanggilnya.

Mak Seha juga tergamam. Dadanya tersendal ke depan, tetapi dia juga tidaklah pengsan. Dia masih ingat
Zaqlul memanggil-manggilnya suruh keluar. Dalam hujan renyai-renyai itulah Zaqlul menahan sebuah
kereta yang sedang hendak menuju ke Ipoh. Dengan bantuan pemandu kereta itulah mereka bertiga
dibawa ke hospital Tanjung Malim. Ketika ini Zaqlul tidak sedar bahawa tangannya patah semasa kereta
terhumban ke tebing.

Setelah sampai di hospital barulah dia merasa tangannya sakit. Pemandu yang menolongnya itulah juga
yang menelefon menantunya Munir memberitahu tentang kemalangan tersebut.
"Mujurlah juga ada orang mahu menolong saat-saat begini" ujar saya sambil melihat kesan melecet
pada dahi Ustaz Badur.

"Orang tua macam saya ni, tentulah dia orang nak tolong. Lagipun inilah sebahagian dari pertolongan
Allah juga" katanya perlahan.

Memang pada zahirnya kita melihat makhluk yang membantu kita dalam kesusahan demikian, tetapi
sebenarnya hati makhluk itu digerakkan oleh Allah supaya memberikan pertolongan. Inilah dimaksudkan
oleh Ustaz Badur pertolongan dari Allah itu.

Bagaimana kisah dia terserempak lembaga berpakaian serba putih di Tanjung Malim, hingga
menyebabkan keretanya terbabas itu tidaklah mendebarkan sangat hatinya. Masa ini dia sempat
membaca Qulhuallah beberapa kali. Sebab itu dia dapat merasakan kemalangan yang menimpanya itu
tidaklah berat. Biasanya kalau kereta terbabas di situ jarang orangnya selamat. Kalau tidak pun kereta
akan remuk teruk terhumban ke bawah ke bawah gaung.

Malah semasa Zaqlul keluar dari kereta, memang Ustaz Badur membaca Fatihah 17 kali, diikuti dengan
Ayat Kursi 17 kali dan Surah Yassin. Dalam masa inilah Zaqlul menahan sebuah kereta yang dalam
perjalanan menuju ke Ipoh. Pemandu kereta itu berbangsa CIna, telah menolong Ustaz Badur sehingga
semua kesnya selesai. Kira-kira jam 3.00 pagi, barulah lelaki Cina itu meneruskan perjalanannya ke Ipoh.

"Begitulah Allah memberi pertolongan" kata Ustaz Badur tersenyum. "Tiba-tiba saja lelaki Cina itu lalu,
dan terus bersusah payah menolong saya. Kalau kita benar-benar beriman kepada Allah, kita akan sedar
bahawa itulah pertolongan Allah yang sebenar-benarnya" dia menjelaskan dengan terharu.

Saya mengangguk-ngangguk kepala. Tidak hairan kepada saya mengapa Ustaz Badur berkata demikian,
kerana orang yang bertaqwa kepada Allah sentiasa bersyukur di atas segala pertolongan yang
diterimanya dari Allah. Kita berterima kasih kepada orang yang menolong, tetapi bersyukur kepada Allah
kerana kudrat dan iradatNya jua menyebabkan orang tersebut datang memberikan pertolongan.

Kadangkala inilah yang disalah ertikan oleh mereka yang ingin mempelajari ilmu. Saya pernah didatangi
oleh seorang pemuda yang beriya-iya sangat mahu mendapatkan ilmu yang boleh mengalahkan musuh.
Saya memberitahunya bahawa tidak ada ilmu itu pada saya.

"Kenalah awak cari orang lain untuk berguru, kerana saya tidak pernah belajar ilmu macam tu" kata
saya.

"Kalau awak mahu kalahkan musuh, janganlah cari musuh" ujar saya sengaja bergurau.

"Tapi Ustaz, kalau kemenyan sebesar lutut tak dibakar, mana nak ada bau" dia masih mendesak
mahukan saya mengajar dia, sedangkan saya sebetulnya tidak ada ilmu sedemikian.

Disebabkan dia bersungguh-sungguh sangat mendesak, saya pun menyuruh dia hafalkan doa Haikal.
Tidak lama kemudian dia datang memberitahu bahawa doa yang saya ajarkan itu tidak memberi bekas,
kerana dia telah diserbu oleh beberapa orang lelaki.
"Dia pukul awak?" tanya saya.

Pemuda itu menggeleng kepala. "Tetapi dia mengancam mahu memukul saya" ujarnya macam kesal.

"Apa salah awak?" soal saya lagi.

"Dia tuduh saya ganggu adik perempuannya" beritahunya masih tidak puas hati kerana dia menuduh
saya mengajar doa yang bukan dihajatinya.

Pemuda itu memberitahu dia telah dikepung oleh 7 orang pemuda, masing-masing ada membawa
senjata. Dia balik dari menghantar seorang gadis yang baru dikenalinya, tetapi salah seorang pemuda itu
mendakwa wanita itu adiknya, dan seorang lagi tunangnya.

Dalam keadaan tergamam dia membacakan doa yang saya ajarkan itu. Tidak lama kemudian 7 orang
pemuda itu pun pergi meninggalkan dengan memberi amaran supaya jangan mengganggu gadis
berkenaan. Pada sangkaan pemuda itu apabila dibacakan doa tersebut, maka 7 orang pemuda yamg
mengepungnya itu akan terpelanting seperti daun-daun kering ditiup angin.

"Sepatutnya awak bersyukur kepada Allah, kerana pemuda itu tidak jadi memukul awak" saya
mengingatkan dia bahawa pertolongan Allah selalunya datang secara tidak kita sedari. "Kalau awak nak
tengok dia terpelanting, itu bukan kuasa kita" kata saya seterusnya.

Itulah yang saya katakan bahawa orang yang tidak mengerti apa itu pertolongan Allah sukar untuk saya
memberitahunya. Terutama pemuda-pemuda yang ghairah mahu mendapatkan ilmu kebatinan, mereka
merasa apabila dibacakan doa-doa tertentu maka musuh yang dihadapi akan terpelanting atau
sebagainya.

Yang penting kita jangan mencari musuh, kalau kita tidak mencari musuh tentulah diri kita tidak ada
musuh. Anehnya, mereka mencari ilmu kerana mahu menentang musuh, bukannya untuk berserah diri
kepada Allah. Sebab itulah saya bersetuju dengan Ustaz Badur bahawa dia sentiasa bersyukur, walaupun
mendapat kemalangan jalanraya ketika itu. Dia bersyukur kerana tidak menderita akibat kemalangan itu,
di samping ada pula orang yang mahu menolongnya ketika itu.

"Terserempak lembaga tu, tak pelik sangat pada saya Ustaz" beritahu Ustaz Badur tersenyum. "Ada lagi
yang pelik kalau Ustaz nak dengar" katanya mengingatkan sesuatu.

Inilah yang seronoknya kalau saya bertemu Ustaz Badur. Ada saja cerita yang hendak dicakapkan kepada
saya. Dia memang kaya dengan pengalaman, malah pernah kena tahan oleh British sebelum merdeka
dulu kerana penglibatannya dalam gerakan Islam, tetapi pihak British menuduhnya sebagai puak
pelampau. Lama juga dia ditahan di Melaka, sebelum dipindahkan ke Morib.

Dalam masa dahinya masih lebam-lebam akibat kemalangan jalanraya itu, dia masih bersemangat mahu
menceritakan dengan saya mengenai pengalamannya yang lain.

"Ustaz nak cakap fasal kena tahan dulu?" tanya saya mengusiknya.
"Eh mana boleh kisah macam tu juga. Kisah tu dah habis dah, negeri kita dah merdeka, buat apa kenang
lagi kisah tu" dia tersengih-sengih, kerana saya selalu mengusiknya untuk mengetahui kisah-kisah dirinya
semasa ditahan oleh British dulu.

Kadangkala dia memang enggan menceritakan balik kisah semasa ditahan di khemah tahanan dulu.
Ketika itu mereka tidaklah menerima layanan yang sempurna, makan pun diberi nasi kawah. Kekotoran
tahanan dalam khemah terpaksa dibersihkan sendiri, kalau tidak semua kawasan akan berbau busuk
dengan najis. Dia banyak mengenali tokoh-tokoh utama utama yang sama ditahan dulu, tetapi enggan
memberitahu sama ada tokoh-tokoh itu mengenali dia.

“Saya orang kecil, Ustaz. Mana dia orang nak kenal” katanya mengukir senyum. Saya tahu Ustaz Badur
memang suka merendah diri.

Ceritanya yang dikatakan oleh Ustaz Badur lebih pelik dari cerita dia terbabas kereta kerana
terserempak perempuan berpakaian serba putih di Tanjung Malim. Itu berlaku dalam tahun 1976.

Ketika ini dia mendapat tahu kawannya yang tinggal di Puchong telah meninggal dunia di Hospital Besar,
Kuala Lumpur. Kawannya itu, Salihin sudah lama menderita sakit. Sudah dua minggu Salihin terlantar di
hospital kerana mengidap sakit barah perut.

Disebabkan Puchong adalah jauh, jadi Ustaz Badurlah yang diharapkan oleh isteri Salihin. Manakal Ustaz
Badur pula tidaklah keberatan menolong kawannya ini, apalagi dalam masa kesusahan sedemikian.

“Saya ini teruk sangat sakitnya, Ustaz” beritahu Salihin terketar-ketar sewaktu staz Badur melawatnya
pada jam 2 petang. Nafas Salihin juga kencang turunnaik, tetapi dia begitu tabah menahan kesakitan
yang menyeksa.

“Jangan banyak fikir Lihin,” kata Ustaz Badur menahan kesedihan kerana ketika ini Salihin juga ada di
sisinya. “Awak ingat awak sakit aje sudah, yang lain biar kita semua usahakan” dia mengingatkan
kawanya itu supaya bersabar.

“Disini Ustaz samalah macam keluarga kami,” Salihin tersenguh-sengguh terharu kerana budi Ustaz
Badur kepadanya terlalu banyak semenjak 2 minggu dia dimasukkan ke Hospital. Selama itu memang
Ustaz Badur suami isterlah yang mengambil berat terhadap dirinya.

Sudah menjadi perangai Ustaz Badur pula, apabila berkawan dia sanggup bersusah payah membantu
apabila kawannya menghadapi kesulitan.Bagi Mak Seha sikap suaminya ini memang sudah difahaminya
sejak muda lagi. Sebab itu dia juga turut sama bersusah payah membantu keluarga Salihin.

Disebabkan dia ada kereta jadi senanglah dia mengulangi Salihin di hospital, dan sekiranya isteri Salihin
mahu mandi atau berihat, maka akan dibawanya ke rumahnya. Semu jasa baik Ustaz Badur ini sangat
menambat hati Salihin, kerana saudara maranya sendiri tidak seperti Ustaz Badur.

“Kalau Uustaz banyak kerja di kedai, tak payahlah susah-susah jenguk saya” Ujar Salihin lagi.
“His, jangan banyak ingat Lihin. Awak tu sakit...” Ustaz Badur memarahinya, kerana dia tidak meminta
jasa baiknya dibalas orang. Dia hanya menolong Salihin bukan saja disebabkan kawan tetapi makhluk
Allah yang memerlukan pertolongan..

Ketika dia balik meninggalkan Salihin, kira-kira pukul 3,00 petang, kawannya itu kelihatan riang,
walaupun menderita sakit. Dia tahu Salihin terlalu tabah menahan kesakitan yang dideritainya.Salihin
seolah-olah menyembunyikan kesakitannya untuk menggambarkan kegembiraan dengan jasa baik yang
dicurahkan oleh Ustaz Badur selama ini.

“Saya balik dulu Lihin, nanti malam datang pulak” beritahu Ustaz Badur.

Dia berdoa biarlah Lihin, nanti cepat sembuh. Penyakit barah memang lah merbahaya, tetapi dokter
memberi jaminan penyakit Salihin masih boleh diselamatkan. Malah Salihin juga sudah kelihatan lebih
segar kalau dibandingkan dengan sewaktu dia dimasukkan ke hospital dulu. Pembedahan yang
dijalankan ke atasnya juga memuaskan hati dokter.

Kira-kira pukul 6.00 petnag Ustaz Badur diberitahu oleh isteri Salihin bahawa suaminya telah meninggal
dunia. Jadi, terpaksalah dia meminta Ustaz Badur menguruskanhendak membawa jenazah itu balik ke
Puchong. Mendengarkan kawannya sudah meninggal dunia, memang Ustaz Badur rusuh juga
disebabkan isteri Salihin bukanlah tahu sangat apa yang perlu dibuat.

Lebih kurang pukul 6.00 petang Ustaz Badur sampai ke hospital, jenazah sudah dimasukkan ke mortuary
(rumah mayat). Isteri Salihin hanya menangis saja di kantin kerana tidak tahu apa lagi harus dibuat. Dia
hanya menunggu kedatangan Ustaz Badur. Kepada Ustaz Badur sajalah diserahkan semua urusan untuk
membawa jenazah suaminya balik ke Puchong.

Tidak lama kemudian barulah adik Salihin dari Sungai Besar datang, setelah dibertitahu oleh Ustaz Badur
melalui telefon. Mujurlah Kahar adik Salihin cepat mendapat berita dan terus saja datang ke Kuala
Lumpur. Dengan adanya Kahar waris terdekat Salihin, urusan untuk membawa balik jenazah lebih
mudah. Disamping itu anak-anak Salihin juga sudah diberitahu oleh Kahar.

Salihin pun hanya mempunyai dua orang anak perempuan saja. Masing-masing sudah mengikut
suaminya. Semasa Salihin sakit mereka tidaklah dapat berulang ke hospital, tetapi menjaga rumah
Salihin di Puchong. Lagi pun mereka mempunyai anak-anak yang kecil, menjadi kesulitan pula untuk
membawa budak-budak itu menziarahi datuknya.

Oleh itu mereka biarkan emaknya saja menjaga Salihin di hospital. Sementara Ustaz Badur yang
memahami kesulitan keluarga berkenaan bersedia pula memberikan jasa baktinya menolong sesama
insan. Sehingga jam 8.30 malam barulah Ustaz Badur bersama Kahar dapat menguruskan untuk
membawa balik jenazah Salihin ke Puchong.

Setelah dokter mengesahkan, Salihin meninggal dunia, jenazahnya pun dihantar ke mortuari (rumah
mayat). Semasa mereka mengambil jenazah Salihin di mortuary, kedua-dua menantu Salihin pun
sampai, ini memudahkan lagi kerja mereka. Aakop menantu Salihin yang tua disuruh memandu kereta
Ustaz Badur dengan membawa isteri Salihin da Mak Seha menemankannya.
Sementara Rasul menantunya yang muda bersama-sama Ustaz Badur dan Kahar membawa jenazah
dengan kereta yang diberi oleh pihak hospital.

“Terima kasihlahUstaz, jasa Ustaz tak dapat kami bayar dengan emas ringgit’” isteri Salihin tersengguk-
sengguk menangis apabila jenazah suaminya dibawa masuk dalam kereta jenazah.

“Jangan menangis Cik Som, kita selesaikan dulu Salihin ni. Lepas tu baru nak cakap apa pun” sahut ustaz
Badur sambil menolak Salihin masuk ke kereta jenazah.

Mak Seha juga menarik Som ke dalam kereta supaya dia tidak berlautan menangis. Memang Som terasa
sedihnya bukan kerana kematian Salihin, tetapi sejak dua minggu Salihin dimasukkan ke hospital,
saudara mara yang lain tidak dapat melawat. Sebaliknya Ustaz Badur yang hanya kawan suaminya
sanggup berulang alik mengambil berat tentang diri suaminya di hospital. Sampailah Salihin meninggal
dunia, Ustaz Badurlah tidak kenal penat lelah membantu.

Akob membawa kereta Ustaz Badur balik dahulu ke Puchong. Dia tidak dapat mengulangi bapa
mertuanya di hospital selama ini kerana bekerja sebagai pemandu kereta membawa lori JKR, tentulah
sukar mendapat cuti lama-lama. Itu pun dia sudah menyuruh isterinya menjaga rumah mertuanya.

Selepas semuanya siap, mereka pun membawa jenazah Salihin balik. Kaha dan Ustaz Badur duduk
dibelakang bersama jenazah. Manakala Rasul menantu Salihin duduk dihadapan.

“Alhamdulillah, selamat semuanya” kata Ustaz Badur memandang Kahar.

Kahar mengangguk. Dia juga merasa lega kerana masaalah di hospital sudah dapat diselesaikan dengan
bantua Ustaz Badur. Kadangkala untuk mendapatkan kereta mayat bukanlah mudah,, kalau tidak tahu
bagamana caranya. Ustaz Badur dapat menguruskan kerana dia juga mengenali beberapa orang
pegawai di hospital berkenaan.

“Esoklah kita kebumikan” beritahu Kamar lemah.

“ Malam ni tak sempat, lagipun dah pukul 8.30” ujarnya sambil melihat jam di tangan.

“Ialah, eloklah besok saja” sambut Ustaz Badur.

Sekali sekala Kahar mengerling ke arah jenazah abangnya yang terbujur kaku, tetapi kadang-kala
bergerak-gerak juga mengikut gegaran kereta berlari kencang. Dia tidak peduliu sangat jenazah itu
bergerak dalam keadaan kereta laju.

Apabila masuk ke jalan menuju ke Puchong selepas jalan KLang Lama, Kahar cepat-cepat menepuk bahu
Ustaz Badur bila dilihatnya tangan jenazah terkeluar dari selimut yang menyelubunginya. Berdebar juga
Ustaz Badur melihat tangan yang terkeluar itu bergerak-gerak. Tetapi dia segera mengingatkan, bahawa
gegaran kereta itu yang menyebabkan tangan tersebut bergerak-gerak.

Kahar mula merasa takut, kerana tidak mungkin tangan yang bergerak-gerak itu disebabkan gegaran
kereta. Dia mula gelisah. Mukanya jelas gementar kerana jelas tangan itu bukan bergerak disebabkan
gegaran kereta. Mustahillah abangnya masih hidup kerana sudah 4 jam dimasukkan ke dalam mortuary
yang sejuk seperti peti ais tu.

“Ustaz...” dia memanggil Ustaz Badur.

Ustaz Badur tahu Kahar ketakutan. Oleh itu cepat-cepat dia memegang tangan jenazah yang terkeluar
untuk dimasukkan semula ke bawah selubungnya. Tetapi sebaik saja dia memegang tangan berkenaan,
sekali gus tangan itu memagut tangannya pula. Kahar sudah mahu terjun melarikan diri, tetapi segera
ditahan oleh Ustaz Badur.

“Hus, nak apa ni?” jerkah Ustaz Badur memberanikan hati. Bagaimana dia tidak lepas dari membaca
Ayat Kursi.

“Nak minum, minta air....” sahut Salihin yang sudah meninggal dunia itu cuba mengangkat kepala.

“Tidur dulu, balik ke rumah nanti baru minum” sengaja Ustaz Badur mengeraskan suaranya.

Jenazah Salihin pun diam. Sehingga sampai di rumahnya di Puchong ternyata Salihin masih hidup.
Apabila dibawa kerumah terus dia minta air. Satu malam itu menjadi tertanya-tanya bagaimana Salihin
yang sudah disahkan mati itu boleh hidup semula. Malah sudah hampir 4 jam dimasukkan ke dalam
rumah mayat yang sejuk seperti ais.

Bagaimanapun 11 hari kemudian barulah Salihin meninggal dunia. Sekali lagi doktor mengesahkan
bahawa dia benarbenar telah meninggal dunia.

“Itulah kuasa Allah yang lebih besar dari terserempak lembaga berpakaian serba putih itu’ ujar Ustaz
Badur tersengih-sengih mengerling ke arah saya.

“Perkara di Tanjung Malam itu perkara kecil pada saya Usraz, tetapi perkara orang yang telah disahkan
mati, sudah dimasukkan ke dalam peti sejuk hampir 4 jam, kemudian hidup semula sehingga 11 hari di
rumah lebih besar ertinya, kalau kita mahu memahami akan kebesaran Allah, Inni fizalika liayatin likilli
sabansyakur....” keluhnya sambil mengesat pelupuk mata yang mula digenangi air keharuan.
18. TOK AWANG NGAH - SUDAH DIKEBUMIKAN KELUAR DARI KUBUR.

Memanglah tidak ramai orang menghantar ke kubur semasa kematian Wak Diman jaga yang bertugas
sebagai pengawal keselamatan dengan sebuah bank di kuala lumpur. Sanak saudaranya tidak
mengebumikan dia di tanah perkuburan islam di Kuala Lumpur, tetapi di bawa ke kampungnya di Kuala
Pilah.

Semasa darurat dulu, Wak Diman menjadi sc atau polis khas. Apabila habis darurat, tenaganya tidak
diperlukan lagi. dia pun menoreh getah di kampungnya. tetapi setelah 13 mei 1969, Wak Diman
mengikut anak saudaranya di Kuala Lumpur dan bekerja menjadi pengawal keselamatan. Kekallah dia
menjadi 'jaga' sampai ke akhir hayatnya.

Tidaklah ramai orang menghantar ke kubur, kerana dia bukanlah orang besar yang akan dihantar oleh
beribu - ribu manusia sama ada dikenalinya atau pun tidak dikenalinya. Wak Diman dihantar ke kubur
hanya oleh sanak saudaranya saja. semasa hayatnya, dia memang seorang dukun sambilan. Ada
beberapa kali saya ( tok awang ngah )menemuinya, tetapi biasanya dia seolah - olah mengelak tidak
mahu bertemu dengan saya.

Kematian Wak Diman hanya diberitahu oleh Kadri kepada saya selepas seminggu orang tua itu
meninggal dunia. jadi, tidaklah dapat saya melawat jenazahnya. Lagi pun jenazahnya dibawa balik ke
kampung di Kuala Pilah.

" Dah seminggu Wak Diman itu meninggal " beritahu Kadri apabila dia datang ke rumah saya. " Tapi,
ada orang ternampak dia merayau - rayau di dalam kampung " jelasnya keheranan dengan cerita Wak
Diman hidup semula itu.

" Awak ada tengok? " tanya saya.

Kadri menggelengkan kepala. " Saya tak pernah tengok, tetapi orang - orang kampung ternampak. Mak
Lang saya juga ada nampak " katanya, kerana Wak Diman itu berkahwin dengan mak langnya.

" Entahlah " keluh saya pendek. " Susah nak cakap benda - benda macam ni, maklumlah urusan allah,
mana kita nak tau " ujar saya.
Tetapi Kadri mengakui bahawa Wak Diman itu pernah dikatakan memelihara hantu raya. Sejauh mana
kebenaran dakwaan ini, tidaklah dapat dipastikan kerana orang yang memelihara syaitan tidak akan
mengaku ada memelihara benda - benda seperti ini.

Mungkin hantu raya juga tergolong dalam jenis syaitan. Mereka yang memelihara hantu adalah
meminta pertolongan syaitan dalam segala urusan, jadi sudah tentulah bertentangan dengan Aki dah
islam. Tetapi semasa hayatnya saya tidak dapat berbual banyak mengenai amalannya, jadi tidaklah saya
tahu sejauh mana dia terlibat dengan memelihara hantu raya itu.

Lagi pun setiap kali saya datang ke rumahnya di satu kawasan setinggan, dia cuba mengelak dari
membiarkan saya lama berada di rumahnya. Dia akan berdalih dengan berbagai cara agar saya segera
balik, atau pun dengan helah mengatakan dia ada hal untuk mengubat orang.
Saya tidaklah berkecil hati dengan sikap Wak Diman ini. Bagaimana pun saya dapat mengagak bahawa
kata - kata Kadri menyebut dia memelihara hantu raya itu boleh jadi juga benar.
Arwah bapa saudara saya, Pak Tua Mahat ada memberitahu bahawa orang yang memelihara hantu raya
bertujuan untuk kuat. Orang seperti mudah saja mengangkat batang pokok sagu, dengan memikulnya di
bahu. Dia juga boleh mengangkat kayu balak di hutan dengan mengambil upah dengan taukeh - taukeh
balak. Tetapi biasanya mereka tidak akan mengangkat barang yang berat - berat ini di depan khalayak
ramai. Dia akan menunggu semasa orang tidak ada, atau pun di waktu senja, barulah dia
mengangkatnya.

Mereka yang memelihara hantu raya ini kata Pak Tua Mahat , selalu bersikap cemburu terhadap
isterinya. malah dengan adik beradik pun dia cemburukan. Hantu raya yang mendampinginya akan
sentiasa membisikkan ke telinganya bahawa isterinya sedang berlaku curang. Oleh itu apabila dia balik
ke rumah, dia akan menampar isterinya sampai lebam - lebam.

Hal ini pernah juga berlaku kepada emak saudara saya, tetapi saya tidak tahu sama ada suaminya itu ada
memelihara hantu raya atau tidak. Tetapi dari orang sekeliling, saya mendengar mengenai suami emak
saudara saya itu memelihara hantu raya. bagaimana pun sepanjang ingatan saya dia tidaklah segagah
seperti yang diceritakan oleh Pak Tua Mahat itu.

Dia hanya cemburu saja. Pernah dia mengunci pintu bilik lantas memukul emak saudara saya kerana
rasa cemburunya yang tidak dapat ditahan - tahan. Emak saudara saya terjerit - jerit kesakitan. Mujurlah
Datuk Aki saya mendengar jeritan anaknya. Datuk Aki saya telah datang meleraikan. apabila Datuk Aki
saya datang, suami emak saudara saya jadi gementar dan menyembah - nyembah meminta ampun dari
Datuk Aki saya.

Datuk Aki saya tidak boleh berbuat apa - apa, kerana bukan sekali dua suami emak saudara saya itu
melakukan perbuatan demikian. Setiap kali dia bertindak gila, dia akan menangis tersedu - sedu sambil
meminta ampun bila diserbu oleh keluarga emak saudara saya. Manakala emak saudara saya pula
walaupun teruk di pukul oleh suaminya, dia tetap kasih kepada suaminya. apabila suaminya lari, dia
tetap akan mengikutnya.

Akhirnya kami tidak memperdulikan lagi, apa pun berlaku. Hanya datang meleraikan kerana kasihan
melihat emak saudara teruk kena pukul. Dari kejadian itu tidak pula nampak bahawa suami emak
saudara saya itu seorang yang kuat. Malah dengan saya sendiri ketika itu baru berusia belasan tahun, dia
terlalu gementar berhadapan selepas memukul emak saudara saya itu.

Datuk Aki saya telah menyuruh Pak Tua Mahat melakukan apa - apa bagi menyelamatkan adiknya itu.
Pada mulanya Pak Tua Mahat diminta supaya memisahkan suami isteri berkenaan. sebaliknya Pak Tua
Mahat tidak bersetuju dengan ayahnya untuk memisahkan emak saudara saya dengan suaminya.
Apabila Pak Tua Mahat menyuruh suami emak saudara saya itu supaya berubat, dia mahu pula
mengikutnya.

Pak Tua Mahat menyuruhnya mandi berlimau 3 hari berturut - turut. dia tetap mematuhinya dengan
tidak berani membantah. selepas itulah perangainya berubah. Dia tidak lagi cemburu. Kalau makan nasi,
tidaklah diamalkannya untuk meninggalkan sisa - sisanya dalam pinggan kira - kira 3 kali suap.
" Amalan orang memelihara hantu raya memang begitu " Pak Tua Mahat menjelaskan. " dia sengaja
meninggalkan sisa - sisa nasinya 2 - 3 suap di dalam pinggan. Itulah petua kalau nak tahu mereka
memelihara hantu raya atau tidak " katanya menerangkan kejadian sebenarnya.

Kadangkala hantu raya itu sendiri menjelma seperti tuannya dan dia akan keluar melakukan
persetubuhan dengan isteri tuannya sendiri.

"Kalau mahu tahu sama ada dia hantu raya atau pemeliharanya, tegurlah " ujar Pak Tua Mahat lagi
selepas suami emak saudara saya dapat dipulihkannya. "Kalau hantu raya dia tidak akan menyahut atau
berbual - bual " jelas Pak Tua Mahat selanjutnya.

Beberapa tahun kemudian barulah suami emak saudara saya itu mengakui bahawa hantu raya itu
menguasai dirinya bukanlah dengan kerelaannya. Pada mulanya dia hanya menuntut ilmu pengasih dari
seseorang, rupanya orang itu telah menurunkan hantu raya kepadanya melalui amalan ilmu pengasih
itu. Termasuk emak saudara saya, 14 orang isterinya. malah ada di antara janda yang sudah diceraikan
datang semula tidur bersamanya.

Setelah berkahwin dengan emak saudara saya dan diubat oleh Pak Tua Mahat , dia tidaklah berkelakuan
seperti sebelumnya. bagaimana pun apabila dia berkahwin lagi seorang, ada emak saudara saya
bertanyakan kepada saya sama ada mahu membenarkan atau tidak. saya hanya menasihatkan emak
saudara saya supaya membenarkan saja, kerana tidak ada gunanya membuat keributan. Bagaimana pun
dia tidak kekal dengan isterinya yang ke 15 itu, hanya dengan emak saudara saya saja dia kekal.

" Ada apa - apa keanehan yang awak lihat semasa hayatnya? " saya bertanya kepada Kadri mengenai
Wak Diman .

Kadri termenung sebentar mengerutkan dahinya. Dia cuba mengingat - ingatkan semula tentang
keanehan Wak Diman semasa hidupnya. Kerana yang meninggal dengan sempurna tidak akan melihat
merayau - rayau atau bangun dari kubur setelah dikebumikan. Mereka yang kembali menemui allah
dengan sempurna akan berehat dengan aman di barzakh sehingga menunggu hari hisab. Ini yang
dijelaskan oleh Tok Aji kepada saya tatkala saya menjadi murid di madrasahnya.

" Anehnya, tak ada " ujar Kadri perlahan. " tetapi, ada saya dengar dia memang memelihara hantu raya
" jelasnya semacam kesal dengan apa yang terjadi kepada suami Mak Langnya itu.

Tetapi dia juga ada mendengar peristiwa Wak Diman menolong pihak JKR, semasa jabatan itu membina
jalan baru. Traktor yang menolak tanah telah jatuh ke dalam gaung. Amatlah sukar untuk menarik
semula traktor berkenaan naik ke atas kerana curam gaungnya sangat dalam. Kebetulan Wak Diman
ada di situ ketika kejadian tersebut berlaku.

Disebabkan masalah kesuntukan masa bagi menarik semula traktor itu naik ke atas jalan, pihak JKR
terpaksa meninggalkan jentera berkenaan di dalam gaung sementara mendapat bantuan kren.
Memanglah mustahil untuk menarik semula traktor itu walaupun kren dapat dipanggil, kecuali
ditanggalkan bahagian badannya satu persatu untuk ditarik ke atas.

Dalam masa traktor itu ditinggalkan, hanya dijaga oleh kaki tangan JKR yang memasang khemah di atas
jalan. kebetulan jaga traktor itu orang kampung Wak Diman .
" Aku boleh tolong kau, Akop " Wak Diman memberi jaminan kepada jaga tersebut.

Akop menyangka Wak Diman mahu menemankan dia berjaga tiap - tiap malam di situ. Mana tahu
sampai seminggu pun traktor itu masih belum dapat di tarik ke atas. Kalau Wak Diman mahu
menemankan, ada jugalah teman berbual - bual pada sebelah malam. Lagi pun di tempat yang sunyi
seperti itu, musuh tarahnya banyak, maklum saja di tengah hutan. Boleh jadi gajah, harimau atau
beruang muncul di tengah malam.

" Kurang tapak tangan, nyiru aku tadahkan, Pak Lang " sahut Akop sebaik mendengarkan Wak Diman
mahu menolongnya.

" Tapi, ada syaratnya " dia menjelaskan.

" Kalau syaratnya tak berat, apa salahnya.." sahut Akop memberi pengakuan.

" Syaratnya tak berat " beritahu Wak Diman tersengih - sengih. " tapi, kalau kau langgar syarat ni, tak
mahulah aku tolong " katanya.

" Bolehlah, aku terima syarat itu " wajah Akop gembira.

" Syaratnya senang aje " dia menjelaskan tersengih - sengih seolah - olah pengakuannya tidaklah serius.

" Senja nanti kau jangan datang, biar aku yang datang dulu. kau datang agak - agak pukul 8.30 malam "
jelasnya dengan ikhlas mahu menolong.

Apa lagi Akop memanglah suka, kerana ada orang yang sanggup menolong sampai begitu sekali. Dia
boleh datang lambat sedikit untuk menjaga traktor yang terhumban ke bawah gaung itu. Syarat itu
bukanlah susah sangat, malah memang sesiapa pun sanggup datang lambat menjalankan tugas.

Tetapi petangnya apabila jam 6, hati Akop terasa tidak senang. Kalaulah ada alat - alat yang hilang pada
jentera berkenaan dia yang akan bertanggungjawab. Dia tidak boleh menyerahkan tugas tersebut
kepada Wak Diman . Bagaimana kalau mandur meronda, dan mendapatinya dia tidak ada menjaga
traktor itu.

Memikirkan perkara - perkara buruk demikian, Akop terpaksa juga memungkirkan janji dengan Wak
Diman . Dia datang juga kira - kira tepat pada waktu senja. Sebaik saja sampai di atas jalan, dia terkejut
kerana melihat traktor di bawah gaung terangkat dan bergerak naik. Dia nampak betul - betul Wak
Diman yang memikul traktor berkenaan menaiki tebing gaung. terkial - kial dia memikulnya dengan
susah payah.

Takut akan melanggar pantang, Akop menyorok di dalam belukar. Basikalnya juga disorokkan ke dalam
belukar. Kemudian dia melihat dari tempat persembunyiannya, Wak Diman betul - betul yang
mengangkat traktor tersebut.

Setelah traktor itu diangkat naik ke jalan, Wak Diman pura - pura berbaring di dalam khemah yang
disediakan di tepi jalan. Sementara Akop pula terus bersembunyi di dalam belukar. Hatinya bercampur
gembira dan bimbang. Apakah akan dijawabnya pada jurutera, kalau pegawai itu bertanya siapa yang
menarik traktor itu naik ke atas.
Sehingga jam 8.30 malam barulah Akop keluar dari tempat persembunyiannya. Sebaik sampai saja di
depan khemah, dia pura - pura terkejut sambil memanggil Wak Diman memberitahu traktor sudah ada
di atas jalan.

" Eh, macam mana traktor tu ditarik dari bawah gaung, Pak Lang? " Akop pura - pura tidak tahu
kejadian sebenarnya.

" Mengarutlah kau Kop " sahut Wak Diman tersengih - sengih. " semasa aku datang pukul 4 petang tadi,
traktor tu memang dah dinaikkan. Kau nak temberanglah pada aku " dia cuba menuduh Akop berdusta
seolah - olah tidak tahu bahawa traktor itu sudah ditarik oleh JKR.

" Boleh jadi juga, sebab aku cuti hari ni tadi " Akop cepat - cepat menutup rahsianya supaya tidak
diketahui oleh Wak Diman dia menyaksikan sendiri Wak Diman memikul traktor itu tadi.

" Kalau macam tu, biarlah aku balik. Tak payahlah aku temankan kau menjaga traktor ni " katanya
tersengih - sengih sambil mencapai basikal yang tersandar di tebing jalan.

Dia tidak tahu bahawa Akop sudah melihatnya memikul traktor berkenaan. Besoknya memanglah pihak
JKR heran bagaimana jentera berat seperti traktor itu boleh ditarik dari dalam gaung yang sampai 20
rantai ke bawah. Sementara Akop tidak dapat memberitahu kisah sebenarnya. Mungkin jurutera
berbangsa India itu tidak percaya kalau diceritakannya Wak Diman memikul traktor tersebut. Oleh itu
Akop hanya mendiamkan diri dan mengaku tidak tahu bagaimana traktor di bawah gaung tiba - tiba
saja sudah berada semula di atas jalan.

" Cerita itu ada Akop sepupu saya ceritakan " jelas Kadri mengingatkan semula kisah Akop mengenai
peristiwa Wak Diman boleh memikul traktor yang terhumban ke dalam gaung sedalam 20 rantai itu,
naik semula ke atas jalan. " Tetapi saya sendiri tidak pernah melihatnya " ujar Kadri lagi.

Sudah seminggu Wak Diman meninggal dunia, tetapi orang - orang kampungnya heboh ada melihat dia
merayau - rayau di tengah kampung. Memang orang nampak betul Wak Diman berjalan dalam keadaan
berselimut putih dalam kain kapannya.

" Biasanya selepas 3 hari perut dah pecah " kata Kadri tertanya - tanya. " macam mana Wak Diman
boleh merayau - rayau selepas seminggu dikebumikan " ujarnya keheranan.

Mula - mulanya emak saudara Kadri yang ternampak Wak Diman menyusur di tepi dinding hendak naik
ke rumah. Dia telah menjerit memanggil jiran - jiran yang tinggal berdekatan, menyebabkan mereka
semua menyerbu ke rumah Mak Lang Emon. Semasa mereka sampai, memang ternampak kelibat orang
berlari dengan pakaian serba putih menuju ke tanah perkuburan.

" Aku nampak macam Wak Diman di situ " beritahu Mak Lang Emon sambil menuding ke arah penjuru
dapur. Apabila mereka mendekati tempat yang dikatakan Wak Diman berpaut tadi, terbau bau busuk
yang meloyakan.

" Kau terangan-angankan dia agaknya " bapa saudaranya cuba menafikan.
" Betul, aku pun nampak " sahut Joyah yang mula - mula tiba semasa kakaknya terjerit tadi. " Aku
nampak aruah ni berdiri di situ " katanya menguatkan lagi cerita Mak Lang Emon mengenai jelmaan Wak
Diman .

Disebabkan semua orang - orang kampung heboh melihat Wak Diman menjelma semula, maka Kadri
juga balik ke kampung untuk memastikan cerita mengenai bapa saudaranya itu. Dia sengaja mengendap
untuk melihat keadaan sebenarnya.

Pada malam berkenaan dia tidak melihat apa - apa, kecuali deru angin malam yang menggetarkan. Dia
mengajak seorang kawannya mengendap sama ada benar yang dilihat itu Wak Diman atau tidak. Lagi
pun Kadri memang hendak melihat dengan mata kepalanya sendiri akan kejadian - kejadian yang
dianggap tahyol oleh masyarakat moden sekarang. Kawannya itu pula Tapa Cendol, anak muda gila - gila
bahasa. Kalau kena gaya memujinya, apa pun disuruh dia sanggup lakukan.

" Memang aku nampak Wak Diman tu melintas dekat pagar rumah aku " beritahu Tapa Cendol
terangguk - angguk. " 3 hari buluh pagar tu bau busuk, nak loya aku dibuatnya " ujarnya menekup leher
dengan 2 tangannya seolah - olah menahan rasa hendak muntah.

" Kenapa kau tak tEgur dia? " usik Kadri tersengih - sengih.

" Nak mampus! " Tapa Cendol membeliakkan matanya kerana seram disuruh menegur jelmaan Wak
Diman . " Baik - baik tak kuluhum, hah, langsung kuluhum " katanya menyebabkan Kadri tertawa
terbahak - bahak.
" Kau bukan ke hebat, Tapa " Kadri sengaja mengusik. " Lagikan ular sawa besar betis kau berani
tangkap, inikan pula Wak Diman yang dah mati, apa kau takut? " ujarnya menepuk - nepuk bahu Tapa
Cendol.

" Ular tak sama dengan hantu..." gerutunya tersengih - sengih.

Ketika inilah mereka berdua terdengar Mak Lang Emon terjerit lagi. cepat - cepat mereka berkejar ke
rumah Mak Lang Emon. di sana sanak saudara sudah berkumpul sebaik saja mendengar Mak Lang Emon
menjerit. Kadri pula sebaik saja sampai, melihat ke arah pintu dapur yang terbuka. Apabila dia masuk di
situ, terbau bau busuk yang meloyakan. Periuk sudah tertonggeng di atas tungku.

" Jangan kau pegang apa pun di dapur tu " Tapa Cendol mengingatkan. " kalau kau pegang, nanti bau
busuk tak hilang " katanya sambil mengelak - elakkan badannya dari bersentuhan barang - barang di
dapur yang berbau busuk itu.

Rupa - rupanya semasa Mak Lang Emon hendak ke dapur untuk ke bilik air, dia ternampak Wak Diman
makan nasi di dapur. Itulah menyebabkan dia menjerit meminta tolong.

" Nampaknya tak boleh jadi macam ni " rungut Lebai Ujud bila mengenangkan gangguan jelmaan Wak
Diman itu.

Barulah mereka diberitahu mengenai aruah Wak Diman memang menyimpan hantu raya. Jelmaan Wak
Diman itu adalah hantu yang sudah tidak bertuan. Akop juga menceritakan mengenai Wak Diman
pernah mengangkat traktor yang terhumban ke gaung. Lebai Ujud juga teringat tentang Wak Diman
mengangkat sebatang pokok sagu rembia dari hujung sawah di bawa balik ke rumahnya. pada masa itu
dia tidak pula menduga bahawa menantunya ada memelihara hantu raya.

Patutlah apabila ditegur, Wak Diman yang mengangkat batang sagu rembia itu hanya mendehem saja,
sedangkan Wak Diman selalunya suka berceloteh. Tetapi Lebai Ujud menyangka, tentulah ketika
membuat kerja yang berat - berat dia tidak suka bercakap. Tetapi adalah mustahil manusia biasa
mengangkat sebatang pokok sagu rembia.

" Kalau macam tu, kita baca yassin la nampaknya " lebai ujud menganjurkan.

Dalam masa orang ramai bercadang mahu membaca yassin beramai - ramai, Kadri mengajak Tapa
Cendol terus mengintip dari mana datangnya jelmaan tersebut.

" Kalau apa saja yang diusiknya menjadi busuk, sudah tentu kita boleh jejak dia " Kadri menguatkan hati
untuk terus melihat sendiri kejadian yang sebenarnya.

" Macam mana? " tanya Tapa Cendol tidak tahu hujung pangkal.

" Di mana ada terbau busuk, kita ikut. Tentu itulah jalannya " ujar Kadri.

Mereka berdua pun berdiri di depan pintu dapur untuk mendapatkan bau busuk itu dari arah mana.
Kedua - dua mereka terus menyusur arah ke reban ayam. Dari sana mereka terus mengikut bau busuk
itu masuk ke belukar yang lantas menuju ke arah kubur.

" Hus, ini arah ke kubur nampaknya " Tapa Cendol serba salah untuk mengikut Kadri.

" Kau takut ke? " usik Kadri perlahan.

Tapa Cendol terdiam. Malu juga dia mahu mengaku takut untuk terus mara ke kubur di waktu malam
demikian. Ketika ini sudah pukul 12 tengah malam. Tetapi Kadri memang nekad untuk mengetahui
jelmaan Wak Diman itu.

" Aku agak kau ni takut " Kadri menyinggungkan siku ke bahu Tapa Cendol.

" Ah, apa pula nak takutkan " cepat - cepat Tapa Cendol menafikan.

Apabila sampai di kawasan kubur, mereka terus menuju ke arah kubur Wak Diman . Bau busuk tidak ada
di situ. Malam itu mereka berdua gagal untuk mengesan jelmaan Wak Diman .

Besoknya Kadri pergi melihat sendiri kubur Wak Diman , kerana semasa menaikkkan tanah kubur pada
hari ke 3 kematian Wak Diman , dia tidak dapat balik. Petang itu pula dia akan terpaksa balik semula ke
Kuala Lumpur. Semasa melihat kubur itu, didapatinya ada lubang di bahagian tengah kubur. Lubang itu
ada kira - kira sebesar buluh aur.

Kadri memberitahu Lebai Ujud mengenai apa yang dilihat di kubur Wak Diman . Mendengarkan aduan
Kadri itu, pada waktu zuhurnya Lebai Ujud bersama beberapa orang anak saudaranya pergi bertahlil
dan membaca yassin di atas kubur Wak Diman.
Selepas membaca yassin, Lebai Ujud mencurahkan air bacaan yassin dalam jag ke atas kubur Wak Diman
. Sebahagian dari air itu dicurahkannya pada bahagian yang berlubang itu. Setelah dicurah air yassin,
lubang itu dikambus semula. Petang ahad itu, Kadri balik ke Kuala Lumpur. Dia tidak lagi mendengar
cerita mengenai jelmaan Wak Diman selepas itu.

" Apa yang ustaz agak mengenai cerita Wak Diman ini? " tanya Kadri.

Saya terdiam. Sukar hendak menjawab pertanyaan tersebut. Saya mendengar kisah orang yang
memelihara hantu raya ini, tetapi berlainan pula keadaannya. Saya mendengar cerita mengenai seorang
lelaki memelihara hantu raya setelah dia jatuh sakit beberapa lama, saudara maranya menjadi heran
kerana dia makan terlalu kuat. Sebaliknya badan semakin lama semakin kurus.

Setelah dibukakan anak tangga, lantai sekeping dan atap sekeping, barulah dia meninggal dunia. Tetapi
setelah meninggal, didapati mayatnya sudah reput menunjukkan dia sudah lama meninggal dunia. Jadi,
ada bermacam - macam cerita mengenai orang yang memelihara hantu raya ini.

Apa yang terjadi kepada Wak Diman ini memang saya tidak tahu. Tanda - tanda yang diceritakan
semasa hayatnya memang dia ada memelihara hantu raya kata sesetengah orang tua. Dia memang kuat,
tetapi dia tidak pula cemburu kepada isterinya Mak Lang Emon. Dia tidak mempunyai ilmu pengasih
yang suka berkahwin dan bercerai dengan banyak perempuan. Hanya Mak Lang Emon itulah saja
isterinya sejak muda lagi.

Tetapi bagaimana dengan jelmaannya yang balik semula ke rumah dan merayau - rayau di dalam
kampung. Kemudian dia suka naik ke dapur untuk makan nasi menyeluk periuk sendiri. Terpaksalah pula
periuk dan pinggan mangkuk yang telah digunakan itu dibuang atau dimusnahkan.

Anehnya selepas makan dan minum, dia terus meninggalkan rumah berkenaan dengan tidak menganggu
sesiapa pun. Mak Lang Emon terjerit pun hanya ketika dia bangun hendak ke bilik air, dilihatnya jelmaan
Wak Diman itu sedang makan nasi di dapur. Sejak itu ayahnya, Lebai Ujud menyuruhnya supaya jangan
ditinggalkan nasi selepas makan malam.

Akop pula menceritakan dia berjaya mengendap jelmaan itu dan mengikutnya sampai ke kubur.
Apabila sampai di kubur Wak Diman, kelihatan jelmaan itu masuk ke kubur melalui lubang yang ditemui
oleh Kadri itu.

2 - 3 hari selepas itu, Kadri menerima surat dari emaknya mengatakan gangguan jelmaan Wak Diman
itu sudah tidak ada. Sejak dibacakan yassin dan lubang kuburnya dikambus semula, tidak ada lagi
ternampak jelmaan Wak Diman merayau - rayau mencari nasi di dapur pada waktu tengah malam.
20. TOK AWANG NGAH - ORANG TUA KELUAR DARI KEPULAN ASAP

Angin petang bertiup menyebabkan pucuk-pucuk pokok getah ke kiri kanan jalan meliuk-liuk. Terasa
juga angin lembut itu begitu sejuk menegakkan bulu roma. Kira-kira baru saja jam 5.30 petang, tetapi
Jubir Ceding sudah pun balik ke rumah dari meniaga di pasar dibandar, kira-kira 10 batu dari
kampungnya.

Tiap tiap pagi dia dan isterinya Semah keluar ke bandar berniaga di pasar, dan maghrib mereka berdua
balik ke rumah. Tidak ada apa yang hendak dirisaukan lagi oleh mereka berdua kerana anak-anak
semuanya sudah besar, dan sudah pulang ke rumah kata orang-orang kampung. Maksudnya sudah
pulang ke rumah ialah sudah berkahwin dan berkeluarga sendiri.

Bagaimana pun mereka berdua tidak mengharapkan bantuan dari anak-anak, sebab itu mereka lebih
suka berniaga di pasar. Kebetulan kesibukan inilah Jubir dan isterinya jarang dapat bercampur gaul
dengan masyarakat kampung. Kalau ada kenduri kendara dia selalunya tidak dapat ikut sama. Kecualilah
kalau ada kematian, barulah mereka sanggup tinggalkan perniagaannya di pasar.

Ada juga orang-orang kampung menuduhnya mementingkan diri sendiri dan mahu mencari kekayaan
saja, sehingga tidak bercampur gaul dengan masyarakat sekeliling. Tetapi Jubir dan isterinya tidak
hiraukan sangat tentang tuduhan tersebut, namun dia bersedia menyumbangkan wang ringgit kalau ada
mufakat untuk bergotong royong demi membangunkan kampungnya.

Seperti biasa selepas habis berniaga di pasar, mereka berdua pun terus balik ke rumah. Jubir memandu
station-wagonnya mengikut jalan yang membelah ditengah-tengah kebun getah itu. Angin sepoi-sepoi
bahasa itu memanglah terasa nyaman, tetapi kalau tidak betul-betul badan terasa seakan-akan mahu
demam saja.

Petang itu mereka berdua balik lebih awal dari biasa. Sudah seminggu rumahnya diganggu orang apabila
dia balik hampir masuk maghrib. Sampai saja di rumah mereka berdua terkejut semua pintu dan
tungkap rumahnya terbuka. Pada mulanya Semah menyangka anaknya di Kuala Lumpur balik, kerana
Eton yang di Kuala Lumpur itu selalu balik menjengok dia di kampung.

Sekiranya Eton balik tidak pula kedengaran suara anak-anak kecil memekik gembira bergurau senda.
Sepatutnya sudah senja demikian, tentunya Eton memasang lampu.

Sebaliknya Eton kalau balik jarang tidak bersama suaminya. Mana kereta suami Eton kalaulah benar dia
yang balik dan membuka pintu serta tingkap rumah.

Sudah seminggu Jubir dan isterinya menghadapi keadaan demikian. Anehnya tidak ada barang-barang
yang kehilangan sekiranya pencuri yang masuk. Tidaklah ada satu barang yang diambil.

Hari pertama Semah tidak merasa apa-apa dengan keadaan pintu dan tingkap rumahnya itu terbuka.
Tetapi malamnya selepas makan nasi, dia suami isteri merasa sakit perut hingga berlumba-lumba
mengejar tandas. Kemudian pada hari kedua dia sudah faham bahawa beras dan makanan yang
tersimpan didalam peti sejuk tidak boleh digunakan. Oleh itu terpaksalah dia membuang makanan yang
tersimpan di dalam peti sejuk.

Hendak mengadu pada jiran-jiran terasa malu kerana selama ini dia tidak mengambil berat jiran-jiran.
Oleh itu Jubir terpaksa mendiamkan dulu kejadian itu. Lagi pun rumahnya terpencil sedikit dari jiran-
jiran.

Petang itu dia sampai di kampungnya Tanjung Karang kira-kira 5.30 petang. Sampai saja di halaman
rumah hati Jubir berdebar-debar kerana keadaan seperti seminggu sudah berulang juga. Pintu dan
semua tingkap – tingkap terbuka dengan mangga pintu sudah diganti dengan yang lebih besar. Mangga
pintu terbuka dengan tidak dikopak langsung, seolah-olah dibuka dengan anak kunci saja lakunya.

Semah cepat-cepat naik ke rumah dan memeriksa barang-barang rumah. Memang tidak ada satu pun
yang diusik. Almari pakaian juga tidak diusik kalaulah yang melakukan itu pencuri. Tetapi dia sudah tahu
memang semua barang-barang makanan yang ada di dalam rumah tidak boleh dimakan lagi.
Terpaksalah semuanya dibuang begitu saja.

“Macam ni tak boleh jadi bang,” keluh Semah menyimpan dendam terbuku di hati.

“Nak buat macam mana,” sahu Jubir keluar dari keretanya dengan langkah longlai naik ke rumah. “Nak
repot polis bukannya ada kes. Tak ada barang yang hilang. TV, radio, mesin jahit, peti ais semuanya ada
tak terusik,” dia tersandar di kerusi macam kebingungan.

“Carilah dukun mana-mana pun, kita berubat,” desak Semah.

Jubir mengangguk. Betul juga pendapat isterinya. Kalau perkara demikian memang menemui dukun
sajalah cara mengatasinya. Dia percaya perbuatan itu memang dilakukan oleh sihir orang. Kepandaian
ilmu sihir mesti dilawan dengan kepandaian dukunlah pula.

Selepas itu Jubir pun mendapatkan khidmat dukun dari beberapa tempat hingga sampai ke Kundur di
Rembau. Setelah dukun tersebut menanamkan rumput sambau pada empat penjuru, keadaan rumah
Jubir boleh dikatakan reda dalam masa 3 minggu saja. Gangguan itu datang lagi.

Semah memberitahu Eton di Kuala Lumpur mengenai kejadian menimpa rumah mereka di kampung.
Kadir abang Eton di Gedangsa juga diberitahu. Talip di Melaka juga diberitahu mengenai kejadian yang
berlaku di rumah mereka di kampung. Begitu juga dengan Ijah di Sabak Bernam. Sebelum itu memang
Semah tidak mahu memberitahu anak-anak, tetapi setelah lebih sebulan kejadian berlarutan, maka
terpaksalah diberitahu juga anak-anak.

Di samping itu dia dapat menduga, apabila kejadian itu berlaku, maka sudah pasti samaada dia atau
suaminya kan jatuh sakit. Kadangkala sampai seminggu lebih terlantar, sehingga salah seorang sahaja
yang pergi berniaga. Kadangkala langsung tidak pergi pergi berniaga, kerana bimbang pula kepada salah
seorang yang ditinggalkan sedang sakit.
Sakitnya pun aneh juga. Siapa yang sakit akan mengalami sakit perut, muntah-muntah dan seluruh
sendi-sendi terasa lemah. Apabila dibawa jumpa doktor di hospital doktor mendapati tidak ada
penyakit. Kata doktor mungkin angin yang menyebabkan mereka termuntah-muntah itu. Doktor
menasihatkan supaya sentiasa menjaga perut supaya tidak pernah kosong hingga dimasuki angin.

“Dah, bapak cari dukun?” tanya Eton yang balik bersama suaminya Bachik. Ketika ini Jubir memang
mengidap sakit, tetapi sudah melarat sapai sesak nafas pula.

“Dukun dari Rembau dah ubatkan” jelas Semah masih kebingungan.

“Apa kata dukun tu, ada orang buat?” tanya Bachil pula.

“Dukun tu tak cakap.....,” sahut Jubir termengah-mengah menahan sesak dada. “Katanya tugas dukun
mengubat yang sakit, perkara kalau dibuat orang atau tidak, itu bukan kerja dukun” ujarnya kelihatan
lemah dan pucat.

“Memang semua dukun macam tu” Kadir pula menyampuk. Memang Kadir tahu bahawa dukun tidak
akan memberitahu siapa yang melakukan kalau tahu pun, kerana menuduh itu melanggar petua dukun.
“Lainlah kalau dukun mencari kesempatan, benda yang tak ada pun diada-adakannya” katanya
mengeluh kecil bila mengenangkan kejadian yang diceritakan oleh emaknya itu.

Talip dan Ijah hanya terkelip-kelip mata saja. Mereka tidak tahu apa yang harus difikirkan. Walaupun
Talip bekerja di Melaka, dia tidak tahu di mana ada dukun yang paling baik di Melaka. Sementara Ijah
mengikut suaminya yang bekerja di Sabak Bernam pun tidak tahu di mana ada dukun yang boleh
mengubat kejadian seperti ini.

Bagi mereka yang penting ialah ayahnya yang sakit mesti diubat. Perkara rumah diganggu tidak penting
kepadanya. Orang tua itu yang perlu diubat, samada dibawa ke hospital atau pun berubat pada dukun.

“Aku dah pergi hospital” beritahu Jubir bila didesak oleh Talip supaya berubat ke hospital.

“Doktor kata aku ni tak sakit. Boleh jadi aku ni letih kerana terlalu banyak bekerja, sebab itu dia suruh
aku berihat saja’ ujarnya menerangkan keputusan dokter.

“Sakit ayah ni adan kaitan dengan gangguan ke atas rumah ni” Bachik mengingatkan adik iparnya Talip.
“Rumah ini perlu di ubat dulu, kalau tak ada gangguan pada rumah lagi, tentulah tak ada sakit” katanya
kesal dengan kejadian yang menimpa keluarga isterinya itu.

“Agaknya ada orang sakit hati” Ijah pula memberitahu pendapatnya.

“Boleh jadi” cepat saja Semah memotong. “Dia orang tak suka tengok kita senang sikit. Orang Melayu
memang macam tu, tak boleh tengok jiran-jiran senang, hasad dengkilah” rungutnya melepaskan geram
yang terbuku di hati.

“Tak baik cakap macam tu” Kadir menegur emaknya.


Kadir memang tahu emak dan ayahnya tidak mencampuri hal ehwal masyarakat di kampung kerana
asyik berniaga di bandar. Memanglah apa yang dibuat oleh emak dan ayahnya tidak menyalahi dari segi
agama kerana mencari rezeki halal, tetapi tinggal dalam satu masyarakat mestilah juga ambil tahu hal-
hal jiran.

Kebetulan Kadir di Gedangsa memang menyertai tabligh, jadi dia menganggap kejadian yang menimpa
emak dan ayahnya adalah disebabkan qada’ Allah, supaya mereka berdua mengurangkan tumpuan
mengejar harta dunia semata-mata. Kejadian itu seolah-olah memberi peringatan supaya kurangkan
tumpuan tersebut. Misalnya dengan jatuh sakit, tentulah tidak dapat pergi bekerja. Begitu juga duit yang
ada dalam simpanan akan digunakan untuk mengubat penyakit.

“Semua ini adalah ingatan dari Allah kalau seseorang itu tidak mahu beringat” jelas Kadir, kerana
didapatinya selama emak dan ayahnya menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan, mereka
kadangkala lupa menunaikan solat dan sebagainya.

Pandangan Kadir itu tidak dapat diterima oleh Jubir suami isteri. Malah adik beradik Kadir yang lain tidak
dapat menerimanya.

Dia mengingatkan, kerana selama ini memang tidak berapa bersetuju dengan Kadir kerana pendapat-
pendapatnya yang dianggap terlalu sempit.

Kadangkala Kadir terasa malas mahu balik ke kampung kerana dirinya seolah-olah tersisih dari keluarga.
Dia bukalah melarang emak dan ayahnya berusaha mencari kekayaan dunia, tetapi janganlah mengejar
kekayaan itu sampai lupa kepada bercampur gaul dengan masyarakat kampung serta jiran-jiran. Malah
kadangkala tertinggal solat disebabkan tidak ada masa.

“Bergaul dengan jiran-jiran juga dikehendaki oleh Islam. Menziarah mereka itu fardhu kifayah” Kadir
masih mengharapkan emak dan ayahnya tidak terpengaruh dengan galakan adik iparnya Bachik supaya
berlumba-lumba mengejar peluang yang disediakan seluas-luasnya sekarang dalam bidang perniagan.

Tetapi pandangan Kadir tidak penting sangat pada Jubir, kerana selama Kadir juga tidak memberi apa-
apa bantuan kepadanya. Apalah yang boleh diharapkan dari Kadir hanya seorang peneroka di tanah
rancangan. Lagi pun dia menyuruh Kadir balik bukanlah mahu mendengar peringatannya, tetapi
memikirkan apa perlu dibuat mengatasi kejadian yang menimpa dia suami isteri sekarang.

Ketika mereka berkumpul adik beradik ini terbau bau asap seperti sampah terbakar. Disebabkan masih
lagi siang iaitu kira-kira jam 6.00 petang, maka dapatlah dilihat asap itu datangnya dari hujung pagar.
Memang lubang sampah ada disitu, tetapi siapa pula yang membakar sampah.

Dalam masa sampah terbakar mengeluarkan asap pekat tiba-tiba saja meja makan di dapur terangkat
setinggi kira-kira sekaki beralih tempatnya, sampai kedepan tangga dapur ke induk rumah. Eton cepat-
cepat berkejar mahu mempastikan samaada angin bertiup kuat atau tidak, baru dia berkejar ke pintu
dapur, peti ais pula terangkat kira-kira sekaki juga dan dialihlkan ke ruang tengah.
Terpekik Ijah yang mengikut kakaknya di belakang melihat kejadian tersebut. Belum pernah dia melihat
kejadian aneh seperti ini, yang tiba-tiba sahaja berlaku ketika mereka adik beradik berkumpul. Bachik
pula berkejar menahan peti ais itu menguji kuasa apakah yang melakukan perbuatan itu. Tetapi dia
tidak merasa apa-apa kuasa pun selain dari peti ais itu terangakat sendiri saja.

Talip mengambil penyapu memukul di bahagian peti ais, kerana dia pernah mendengar petua supaya
melakukan demikian. Sekalipun dipukul dengan penyapu tidak ada juga tanda-tanda diagakkan
perbuatan siapakah itu. Selepas peti ais terangkat, kerusi meja di serambi pula berpusing dengan tidak
bersebab.

“Macam mana ni bang?” Talip keheranan tidak tahu apa yang hendak dibuat. Cepat-cepat dia
mengambil pil yang dibekalkan oleh doktor. Ketika dia meminum air bagi menelan pil didapati air itu
merah macam bercampur dengan darah.

Ijah sekali lagi terkejut kerana didapati jenang pintu yang dipegangnya pun merah dengan darah. Berlari
dia mendapatkan emaknya semula.

Eton juga tidak berani ke dapur. Meremang bulu romanya bila mahu melangkah ke dapur untuk
membetulkan meja makan. Tingkap juga terbuka terkatup seperti ditiup angin pada hal angin tidaklah
bertiup kencang. Talip dan Bachik cuba menutup tingkap itu supaya berhenti terbuka terkatup, tetapi
dimana tempat yang dipegang terpalitlah darah merah yang masih cair seperti darah hidup.

Bertambah heranlah mereka dengan kejadian itu. Selama ini hanya mendengar keanehan tersebut dari
emak ayahnya saja, tetapi sekarang mereka sendiri melihatnya. Sementara mereka semua kelam kabut,
Kadir pula hanya tersandar juga tidak melakukan apa-apa. Dia duduk di hujung kaki ayahnya seperti
tidak menghiraukan keadaan adik beradik yang kelam kabut itu

Selepas 15 minit kejadian itu terus juga berulang. Kadir bangun dari duduknya lantas mengambil wuduk,
nasib baik pula apabila dia mengambil wuduk tidak ada kesan darah keluar dari kepala paip. Selepas itu
dia pun terus azan, semua kejadian aneh yang mereka lihat tadi hilang sama sekali. Asap yang tebal dari
lubang sampah juga hilang tidak ada kesan langsung yang sampah di situ dibakar.

“Tidak ada satu kuasa pun di dunia ini yang boleh melawan kuasa Allah,” Kadir memarahi keluarganya
kerana selama ini mereka selalu saha menganggap pandangannya sebagai fanatik.

“Buat apa kita syak wasangka pada diri sendiri yang melupakan Allah,” ujarnya lagi.

“Tak ada siapa melupakan Allah,” sahut Semah memandang anaknya Kadir mengesat air mata.

“Kalau tak lupakan Allah, masakan syaitan datang menganggu “ jelas Kadir masih kecewa dengan sikap
keluarganya selama ini yang lebih mementingkan harta dunia sehingga melupakan amal ibadat. Tetapi
dia tidak berdaya menghalang mereka, kerana masing-masing ada kebebasan. Sekiranya keluarga dalam
keadaan miskin tentu menyusahkan masyarakat juga. Bagaimanapun harapan Kadir bukanlah tidak
mementingkan langsung harta dunia, kerana semua manusia dikehendaki mencari rezeki. Tetapi
janganlah kerana mencari rezeki sampai melupakan suruhan Allah, sampai tidak campur gaul dengan
masyarakat, sampai tidak hiraukan orang sekeliling.

Apabila anak-anak balik semula ke rumah masing-masing, Jubir dan isteringa kembali seperti biasa. Pagi
lagi selepas subuh, mereka ke bandar berniaga di pasar. Jubir akan meraih ikan, ketam, kerang di Jeram.
Memang teringat juga akan pesan Kadir supaya jangan tinggalkan solat zohor dan asar, tetapi dalam
keadaan kotor dan berbau tidak jadilah dia solat. Sementara Semah juga tidak dapat mahu solat, kerana
sukar mahu membawa telekung dan kemudahan berwuduk.

Hanya 3 minggu selepas kejadian aneh itu, sekali lagi Jubir terkejut apabila sampai ke rumah kira-kira
jam 9.00 malam, keadaan rumahnya, seperti kejadian sebelum itu juga. Pintu dan tingkap-tingkap
terbuka. Barang-barang perabut bersepah seperi diselongkar orang.

Besoknya dia ke Rembau menemui dukun yang menanam rumput sambau di empat ppenjuru rumah.
Bagaimanapun dukun berkenaan enggan mengulangi kerjanya, kerana dia sendiri semasa balik dari
mengubat Jubir telah dihalang oleh asap. Hampir lemas dia apabila diserbu oleh asap yang tidak tahu
dari mana datangnya.

“Carilah orang lain pula Cik Jubir” ujar dukun itu lemah. “Kalau dah tak ada nanti, saya boleh cuba lagi”
katanya memberi jaminan yang tidak boleh diharap sangat.

Setelah itu Talip membawa ayahnya berjumpa seorang lagi dukun di Kelebang dekat Melaka. Dukun itu
enggan pula datang ke Tanjung Karang tetapi memberikan air yang sudah dijampi, disuruh siramkan ke
sekeliling rumah. Dua minggu sahaja gangguan tidak ada, tetapi selepas itu berlaku lagi.

“Kerana terpaksa mencari dukun, ayah pun tak dapat berniaga, iya tak? “ Kadir menyindir bila diberitahu
kepadanya. “Jadi apa salahnya ayah berniaga sampai pukul empat petang saja, lepas tu balik. Buat apa
berniaga sampai pukul 9.00 atau 10.00 malam baru nak balik ke rumah” katanya macam memarahi
kedua orang tuanya.

Kadir membawa ayahnya berjumpa dengan seorang kawannya di Gedangsa itu bernama Saleh yang
bekerja menjadi kerani di Kuala Lumpur.

Saleh pernah jatuh dari jeram tatkala berkelah menyebabkan tulang rusuknya patah. Dia telah
dimasukkan ke hospital, hampir sebulan terlantar. Tetapi setelah ditepuk-tepuk oleh ayah saya, dia
sudah boleh berjalan sendiri walaupun masih tertenjot-tenjot. Apabila Kadir menceritakan masaalah
yang dihadapi oleh ayahnya itu kepada Saleh, lantas Saleh mengajak Kadir menemui ayah saya itu.

Semasa saya balik ke kampung kerana Hari Raya Haji , ayah saya memberitahu mengenai Jubur
menghadapi masalah itu.

“Tapi, Tanjung Karang itu jauh,” beritahu ayah saya.


Sebenarnya dia belum memutuskan samada mahu pergi atau tidak, kerana ayah saya tidak akan pergi
kalau tidak bersama dua tiga orang lagi rakannya. Dia tidak akan melakukan berseorangan, tetapi mesti
dibantu oleh rakan-rakannya.

Ketika saya ada di rumah ayah saya ini rakan-rakannya juga ada. Mereka berbual-bual dengan saya
mengenai beberapa kejadian yang pernah ditempuhnya semasa mengikut ayah saya mengubati orang.

“Bukan kita yang mengubati orang” saya mengingatikan mereka. “Kita hanya berdoa, hanya dengan izin
Allah saja orang yang kita dokan itu boleh sembuh,” ujar saya.

Abang Unus kawan ayah saya itu tersenyum, kerana dia tahu saya seorang yang rajin belajar ugama. Dia
pernah berguru dan mempelajari Usuluddin dari seorang guru agama murid Tok Kenali , Kelantan.

“Itulah yang saya datang ke sini kalau dengar ustaz balik. Saya dah banyak dengar dari ayah ustaz, fasal
ramai orang datang nak berubat dengan ustaz.” Abang Unus tersengih-sengih. Selalunya kalau saya balik
ayah akan memberitahu kawan-kawannya terutama Abang Unus dan Mat Haidi yang selalu mengikut dia
kalau dipanggil orang. Abang Unus dan Mat Haidi akan segera datang untuk berbual-bual dengan saya.

Dari Abang Unus inilah baru terbuka cerita dari Tanjung Karang Jubir yang meminta ayah saya datang
ke rumahnya. Biasanya ayah saya tidak mahu bercerita kemana akan pergi, malah dengan emak saya
pun dia tidak akan menceritakan kalau ada orang mengajaknya mengubati orang sakit.

“Eloklah ustaz ikut kami sekali” kata Mat Haidi pula. “ Malam esok Pak Cik Jubir tu datang jemput” dia
memberitahu.

Saya tidaklah dapat memenuhi ajakan itu, kerana saya mahu balik ke rumah isteri saya di Perak. Kalau
hari raya, saya terpaksa balik kedua-dua tempat sekali. Sekiranya hari pertama saya balik ke rumah
emak saya di kampung, maka pada hari raya kedua terpaksalah saya ke kampung mertua saya di Perak.

“Lagi pun kami nak tahu cara mana Ustaz melakukan perubatan tidur itu” Abang Unus pula mendesak.

“His, tok guru kita lagi tahu” sahut saya tersengih-sengih mengerling ke arah ayah saya.

“Tok guru suruh tanya pada Ustaz” Mat Haidi cepat-cepat memotong.

Disebabkan Abang Unus hendak sangat cara tidur itu, saya pun menyuruh dia mengambil wuduk.
Kemudian saya suruh dia berzikir seperti yang dilakukan selama ini.

“Kadangkala tak mahu menjadi, kalau orang yang hendak ditidur itu tidak cukup zikirnya? “ ujar daya
kerana was was juga tidak dapat memenuhi kehendak Abang Unus. Lagi pun kalau kali pertama
dilakukan belum tahu menjadinya, malah diamalkan seterusnya sampai beberapa hari barulah dapat
dilakukan.

Bagaimana pun saya bertawakal saja dengan harapan kehendak Abang Unus ini. Bukanlah semua doa
kita boleh makbul, kadangkala ada orang sakit bertambah penyakitnya bila didoakan. Semuanya
bergantung kepada Allah, sedangkan kita tidak tahu tidur untsamada doa kita dimakbulkan atau tidak.
Alhamdulillah. Sekali cuba saja Abang Unus dapat ditidurkan. Saya bakar hujung jari kakinya untuk
mempastikan samaada dia benar-benar dapat ditidurkan atau sengaja berpura-pura tidur untuk
menjaga hati saya. Memang benar dia dapat ditidurkan kerana kakinya tidak bergerak pun apabila
dibakar tadi.

Setelah saya yakin dia tidur, saya suruh dia membaca Al Fatihah tiga kali kemudian keluar dari badan.
Kemudian menuju ke rumah Jubir di Tanjung Karang. Tetapi saya tidak lama membiarkan dia begitu,
disebabkan itulah pertama kali saya cuba menidurkan dia.

Selepas bangun semula, saya bertanya apa yang dilihatnya semasa terpandang rumah Jubir. Katanya dia
nampak satu kepulan asap di sudut pagar rumah Jubir. Dari kepulan asap itu dia ternampak seorang
lelaki tua terapung-apung . Orang tua itu merenungnya dengan marah.

“Tuju situ ajelah bila ke rumah tu” saya mengesyurkan.

Malam esoknya, apabila Jubir menjemput ayah saya, Abang Unus dan Mat Haidi, saya sudah balik
semula ke Kuala Lumpur. Hanya saya mendapat tahu kemudian memang Abang Unus menuju ke
penjuru pintu pagar yang dilihat-nya sebelum itu. Dia merasa hairan kerana apa yang dilihatnya di masa
ditidurkan, ternyata sama seperti yang dilihatnya ketika itu. Keadaan rumah itu juga tidak berubah
langsung seperti dilihatnya sebelum itu.

Dia terus ke penjuru pagar yang terdapat lubang sampah. Apabila ayah saya dan Mat Haidi naik ke
rumah, Abang Unus ke penjuru pagar itu. Ayah saya dan Mat Haidi sembahyang sunat dahulu, barulah
memulakan doa. Manakala Abang Unus pula berdiri di penjuru pagar itu membacakan Ayat Kursi.

Ketika ini dia nampak kepulan asap tebal naik di situ cuba mengelilingi dia, tetapi setiap kali kepulan
asap itu mahu menghampirinya, asap itu terputus-putus seperti ditiup angin kencang. Abang Unus terus
membaca Ayat Kursi sehingga 113 kali. Dia tidak tahu apa yang dibuat oleh ayah saya dan Mat Haidi di
rumah, kerana dia dapat melihat kepulan asap yang dilihatnya sebelum itu melalui tidur.

Abang Unus merasakan takjubnya kejadian itu, tetapi cepat teringatkan semula pesan saya bahawa
tidak ada yang menakjubkan. Hanya manusia yang tidak dapat menjangkau ilmu Allah saja yang
mengatakan heran atau taksubnya.

Setelah kepulan asap putus-putus seperti ditiup angin, akhirnya hilang. Barulah Abang Unus naik ke
rumah. Kadir juga ada di rumah semasa ayah saya dan rakan-rakannya berdoa. Apa yang dicakapkan
oleh Kadir kepada ayahnya, itu jugalah yang dicakapkan oleh ayah saya kepada Jubir.

Sejak itu ayah saya memberitahu tidak ada lagi gangguan di rumah Jubir.

Anda mungkin juga menyukai