Anda di halaman 1dari 2

Baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan

langkah UKM menganjurkan semula Sudut Pidato diyakini mampu melahirkan golongan
mahasiswa yang bertanggungjawab serta mencorak daya kepemimpinan cemerlang. Usaha
menghidupkan semula Sudut Pidato ini perlu dilihat sebagai suatu aktiviti yang perlu
diperluas dari segi praktiknya di peringkat sekolah lagi. Sebarang jurang perbezaan tidak
sepatutnya wujud di antara dunia menara gading dengan alam persekolahan. Sikap
proaktif kita sebagai warga pendidik amat dituntut bagi melahirkan anak didik yang
berketerampilan dalam kemahiran pidato. Kemahiran ini perlu dipupuk sejak awal lagi tanpa
perlu menunggu mereka menjejakkan kaki di universiti. Kepekaan kita dalam hal ini banyak
membantu lahirnya generasi pelajar yang bermentaliti kelas pertama, di samping
pencapaian akademik yang cemerlang.

Mungkin sebahagian besar dari kalangan kita yang beranggapan cukup sekadar menghantar
seorang murid mewakili sekolah kita dalam pertandingan pidato sama ada di peringkat
daerah atau negeri, kita berasakan sudah memadai dan berfikir bahawa kita telah berjaya
melahirkan murid yang berketerampilan dalam kemahiran ini. Tambahan pula selama ini,
kita beranggapan bahawa kemahiran berpidato hanya menjurus kepada perkara bercorak
pertandingan semata-mata, dan tiada kena mengena dalam pembinaan jati diri. Persepsi
sebegini kurang tepat, bahkan lebih menampakkan kegagalan kita memahami aspirasi
negara yang bercita-cita melahirkan modal insan yang cemerlang.

Kita masih belum mampu keluar dari kepompong kecenderungan kepada pencapaian
akademik dalam kalangan murid. Lantaran itu, kita secara tidak langsung telah
meminggirkan murid-murid dari aspek pembinaan sahsiah positif seperti keyakinan diri,
fikiran terbuka, menghormati orang lain, dan nilai-nilai murni yang lain yang tidak dapat
dibina melalui wadah akademik yang hanya memberi penekanan terhadap kemahiran
menghafal fakta, latih tubi, bengkel peperiksaan, latihan amali di makmal, dan perkara-
perkara seumpamanya.

Kegagalan kita dalam hal ini memungkinkan lahirnya generasi persis singa sarkas yang
hanya mahir dalam skil yang dilatih tubi sejak lahir sehingga membungkam bakat seekor
singa daripada tabiinya yang sebenar. Singa sarkas tidak akan mampu meneruskan
survivalnya jika dihantar ke padang Savana atau di wilayah Srenggeti yang diwarnai
kebuasan dan geografinya agak ekstrem. Secara analoginya, begitulah juga keadaan
seseorang murid apabila kehidupan mereka dimomok dengan dunia akademik semata-
mata, maka tidak mustahil akan lahirlah generasi berotak bijak tetapi lembik dan berjiwa
rapuh apabila berhadapan dengan cabaran dan amanah yang dipertanggungjawabkan
terhadap mereka.

Apa yang kita bimbangi, suatu hari kelak akan bangkit dari kalangan orang jahil yang bijak
berpidato menjadi pemimpin tetapi kosong dari segi ilmu, manakala kalangan cerdik pandai
cuma berperanan sebagai pemerhati yang dayus. Jika memiliki keberanian sekalipun, hanya
setakat bertindak sebagai peserta forum, pembentang kertas kerja atau sebagai kolumnis
dalam media massa. Namun mereka tetap dianggap gagal memainkan peranan kerana tidak
berkeupayaan menduduki kerusi dalam institusi membuat dasar.

Bagi memastikan fenomena ini tidak berlaku, PSS SMK Palong Dua (F) telah bertindak secara
proaktif mewujudkan Sudut Pidato di Anjung Ilmu sejak tahun 2007. Sekolah ini terhutang
budi kepada mantan Pengetua sekolah ini, Encik Awalludin bin Mat Din atas jasa beliau
mewujudkan Anjung Ilmu bagi merealisasikan generasi yang memiliki daya kepemimpinan
yang tinggi. Idea futuristik beliau benar-benar relevan dengan tuntutan era masa kini.

Sudut Pidato di Anjung Ilmu lebih menitikberatkan soal peningkatan mutu pengucapan
awam dan sifat tanggungjawab murid-murid untuk berhujah dengan isu-isu setempat
mahupun antarabangsa. Kewujudan Sudut Pidato ini diharap dapat membudayakan
golongan murid yang cemerlang bukan sahaja daripada segi akademik tetapi turut melibat
soal kematangan murid dalam mengutarakan sesuatu isu.

Selaras dengan misi nasional bagi mencapai matlamat pembangunan berasaskan ilmu
pengetahuan dan inovasi, Sudut Pidato memberi lebih kebebasan bersuara kepada murid-
murid. Walau bagaimanapun, Sudut Pidato di Anjung Ilmu tetap akur akan peraturan yang
digarisi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Panduan dan peraturan untuk Sudut Pidato
tetap memberi penekanan dalam aspek modal insan, berhemah, berasaskan fakta,
bertanggungjawab dan hormat-menghormati tanpa sebarang kompromi.

Anda mungkin juga menyukai