Anda di halaman 1dari 5

UCAPAN YBHG.

DATIN RUZAINA WAN HANIFF


PENGERUSI PUSPANITA CAWANGAN KPWKM
SEMPENA PERASMIAN MESYUARAT AGUNG KE-5 PUSPANITA
CAWANGAN KPWKM
29 APRIL 2008 (SELASA), 10 PAGI, DEWAN NUR, KPWKM

Puan Pengerusi Majlis

Yang Berbahagia Datuk Norhayati Sulaiman, TKSU Dasar KPWKM

Yang Berusaha Encik Saripuddin Kasim, TKSU Operasi KPWKM

Ahli Jawatankuasa Puspanita Cawangan KPWKM

Puan-puan rakan seperjuangan dalam Puspanita sekelian

Assalamualaikum dan salam sejahtera

1. Pertama sekali bagi pihak ahli Puspanita saya ingin mengucapkan


ribuan terima kasih kepada YBhg. Datuk Norhayati Sulaiman, Timbalan
Ketua Setiausaha (Dasar) kerana sudi melapangkan masa untuk bersama-
sama dengan semua ahli PUSPANITA yang hadir pada hari ini dan sekali
gus untuk merasmikan Mesyuarat Agung kali ini. Kehadiran YBhg. Datuk
menunjukkan sokongan pihak pengurusan Kementerian kepada Puspanita.

2. Izinkan saya mengambil kesempatan ini juga untuk merakamkan


ucapan penghargaan kepada bekas Pengerusi PUSPANITA iaitu Puan
Hajah Rafaiah binti Haji Ibrahim di atas jasa baik dan kecemerlangan
beliau memimpin PUSPANITA selama setahun yang lepas. Terima kasih

1
juga kepada YBhg. Datuk Faizah Mohd Tahir, Ketua Setiausaha
Kementerian kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin
Puspanita Cawangan yang cukup penting kepada warga dan suri
Kementerian ini. Sebagai muka baru dalam Puspanita, izinkan saya
menghulurkan salam perkenalan kepada puan-puan semua, ahli Puspanita
Cawangan KPWKM. Selain dapat beramah mesra sebagai ahli dalam
persatuan, dapatlah juga kita menjalin hubungan yang mungkin jika tidak
kerana persatuan ini, tidaklah kita berkesempatan untuk saling kenal
mengenal antara satu sama lain.

Hadirin yang saya hormati sekelian

3. Besarlah harapan saya agar selepas ini, PUSPANITA dapat bergerak


dengan lebih aktif dan dapat memenuhi permintaan ahli-ahli dalam
menyediakan aktiviti dan program yang lebih menyeluruh. YBhg. Dato’
KSU telah berpesan kepada saya dalam pertemuan dengan beliau baru-
baru ini agar PUSPANITA ini dapat disertai oleh lebih ramai isteri atau suri
kepada anggota lelaki di Kementerian ini. Penyertaan mereka ini
merupakan satu langkah yang amat penting bagi menjamin
kesinambungan aktiviti yang dirancang oleh PUSPANITA. Ini juga
sebenarnya memberi kelebihan untuk mereka mengenali rakan-rakan serta
tempat kerja suami masing-masing. Selain dapat berkenalan, dapatlah juga
kita bertukar-tukar pengalaman dan kepakaran masing-masing.

4. Selain itu, Puspanita Cawangan kini berhasrat mengembangkan


sayap dengan lebih kukuh lagi apabila kita mengkehendaki setiap Jabatan
dan Agensi di bawah Kementerian mempunyai organisasi PUSPANITA
peringkat Jabatan dan Agensi masing-masing yang dipayungi oleh

2
Kementerian. Dengan itu, saya yakin lebih ramai ahli dapat bergiat aktif di
peringkat Jabatan dan Agensi masing-masing dengan merangka dan
mengatur pelbagai program bersesuaian dengan kehendak dan matlamat
organisasi.

5. Memandangkan tahun ini merupakan tahun pemilihan AJK, saya


percaya ia penanda yang baik dalam memastikan terdapat mandat baru
kepada muka-muka baru, untuk sama-sama mengembleng usaha dan
tenaga dalam menjamin Puspanita terus aktif dan relevan. Sebagai
penentu kejayaan Puspanita Cawangan, semua AJK yang dipilih
bertanggungjawab kepada ahli yang telah memilih puan-puan untuk
menjayakan program Puspanita Kebangsaan dan Cawangan. Meskipun
wanita masa kini sangat sibuk, baik yang bekerja di pejabat mahupun di
rumah, harap dapatlah kita cuba mencari sedikit masa untuk membantu
menjayakan segala akitiviti Puspanita. Tentunya dalam hal ini, ahli
jawatankuasa yang dipilih perlu lebih sibuk daripada ahli biasa kerana
kesibukan itu datang dengan jawatan yang dipikul.

Para hadirin sekelian

6. Pada pendapat saya, perjalanan sesuatu persatuan tidak bermakna


jika maklumat yang sewajarnya tidak disampaikan kepada ahli, dalam
waktu yang munasabah. Terutama bagi persatuan yang mempunyai ramai
bilangan ahli dan ahli pula berada di lokasi yang berbeza. Meskipun
persatuan boleh merancang dan mengadakan “the best of activities”, ia
tidak memberi makna jika tiada sambutan ahli secara total. Sambutan
lazimnya diperoleh jika maklumat disampaikan dengan cepat, tepat dan
menyeluruh. Jadi perancangan yang awal serta maklumat tentang aktiviti

3
itu sangat perlu dan merupakan aspek penting dalam memastikan
kejayaan persatuan. Oleh itu, untuk memastikan program Puspanita
berjaya dan mendapat sokongan dan selari dengan konsep kekeluargaan,
Puspanita akan melaksanakan program sebanyak mungkin secara
kerjasama dengan KESKEB.

7. Saya percaya dalam era teknologi maklumat masa kini, perkara ini
dapat diatasi. Cuma ia memerlukan AJK yang lebih proaktif dan ahli yang
berminat, ditambah dengan penyampaian maklumat yang terkini agar tidak
ada seorang pun ahli yang tertinggal. Puspanita Cawangan akan
memikirkan cara terbaik untuk menyampaikan maklumat dengan cepat,
tepat dan menyeluruh kepada setiap seorang ahli.

8. Selain itu, Puspanita Cawangan akan berusaha memastikan tindakan


dan keputusannya konsisten dengan undang-undang penubuhannya iaitu
Perlembagaan Puspanita. Sebagai tunggak utama dalam memastikan
perjalanan persatuan ini berada di atas landasan perundangan yang betul,
maka sangat perlu setiap tindakan, hala tuju dan perjalanan Puspanita
mengikut apa yang termaktub dalam Perlembagaannya. Saya akan
sentiasa mengingatkan diri saya dan AJK sekelian mengenai amanah yang
dipegang ini dan berusaha agar sentiasa berpandukan kepada
Perlembagaan dan undang-undang dalam setiap tindakan. Diharapkan
dengan cara ini, setiap ahli yang mempunyai harapan yang besar kepada
Puspanita, akan merasa manfaat berpersatuan.

9. Kepada semua Ahli Jawatankuasa sesi 2006-2008, terima kasih di


atas segala jasa baik, sumbangan idea dan tenaga serta penat lelah
membawa PUSPANITA sehingga ke tahap pada hari ini. Jasa baik dan

4
pengorbanan semua amatlah dihargai. Selain itu, saya turut berharap agar
dengan pemilihan anggota jawatankuasa yang baru selepas ini akan
meneruskan kecemerlangan jawatankuasa yang lepas dan mampu untuk
memberi nafas baru kepada PUSPANITA bagi tahun mendatang. Saya
juga amat berharap agar puan-puan semua dapat memberi sokongan dan
membantu saya dan semua Jawatankuasa yang bakal menerajui
PUSPANITA. Saya amat mengalu-alukan sebarang cadangan demi
manfaat kita bersama.

10. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua
yang hadir memeriahkan Majlis pada pagi ini. Terima kasih sekali lagi
kepada Y.Bhg. Datuk Norhayati Sulaiman dan kepada semua ahli
jawatankuasa yang bertungkus lumus menyiapkan segala acara pada hari
ini.

Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai