Anda di halaman 1dari 7

TEKS UCAPAN

YB DR. MASZLEE BIN MALIK


MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

MAJLIS PERMUAFAKATAN KPM DAN PDRM:


PROGRAM JOM KE SEKOLAH
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2019

SMK BANDAR TASIK KESUMA


11 FEBRUARI 2019

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

(SALUTASI AKAN DIBERIKAN)

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat


Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat
sama-sama berhimpun dalam Majlis Permuafakatan KPM dan
1
PDRM: Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun
2019 pada pagi ini. Selamat datang saya ucapkan kepada Yang
Dihormati CP Dato' Sri Rosli bin Ab. Rahman, Pengarah Jabatan
Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Polis
Diraja Malaysia atas usaha dan inisiatif melaksanakan program
secara kolaboratif dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

2. Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan syabas dan


tahniah kepada semua pihak atas inisiatif menganjurkan majlis
pelancaran ini. Untuk makluman para hadirin sekalian, sekolah-
sekolah di bawah KPM akan melancarkan program ini secara serentak
pada 18 Februari 2019 di seluruh negara.

3. Saya amat bersyukur kerana program kerjasama strategik


pelbagai pihak ini telah menggabungkan kepakaran dan tenaga antara
Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia melalui
Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pegawai
Perhubungan Sekolah, komuniti setempat, agensi kerajaan dan bukan
kerajaan serta seluruh warga pendidik yang berusaha untuk
menjayakan program ini. Sememangnya ini bukanlah kali pertama kita
mengadakan permuafakatan bersama bahkan hubungan erat antara
kita telah sekian lama terjalin.

4. KPM berharap menerusi Program Jom Ke Sekolah akan


mempertingkatkan kerjasama yang lebih mantap antara pihak sekolah
2
dengan Pegawai Perhubungan Sekolah. Program ini juga diharapkan
dapat menghindari murid daripada ponteng sekolah, membantu
mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan
jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak
bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.

5. Saya difahamkan minggu lalu Ketua Polis Negara, Tan Sri


Mohamad Fuzi Harun mengumumkan terdapat penurunan kes
jenayah di kalangan pelajar sekolah iaitu penurunan sebanyak 437 kes
pada 2018 berbanding tahun sebelumnya iaitu 2017. Saya percaya
antara sebab yang menyumbangkan penurunan ini adalah kerana
kerjasama rapat yang digembleng antara sekolah dan juga komuniti
terutama pihak PDRM.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

6. Asas pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang berfungsi


di tengah-tengah setiap komuniti dan masyarakat. Ini bermakna,
sekolah sewajarnya menjadi tempat yang paling selamat dan
menyeronokkan. Bagi merealisasikan hasrat ini, KPM memberikan
penekanan khusus kepada hala tuju mengembalikan cinta ke dalam
pendidikan dengan memberi tumpuan kepada tiga nilai dan budaya
teras iaitu cinta (love), kegembiraan (happiness) dan saling
menghormati (mutual respect). Saya yakin bahawa sistem pendidikan
yang berteraskan nilai ini mampu untuk melahirkan insan yang

3
mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan akhirnya
mencintai negara.

7. Saya juga yakin kerjasama dan permuafakatan bersama PDRM,


komuniti, ibu bapa dengan pihak sekolah akan dapat
mempertingkatkan minat murid untuk hadir ke sekolah. Saya berharap
Pegawai Perhubungan Sekolah dapat mengadakan kunjungan ke
sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali agar dapat memberi
nasihat dan panduan kepada murid-murid semasa perhimpunan di
sekolah. Pegawai Perhubungan Sekolah juga boleh menjadi sumber
rujukan pihak sekolah berkaitan undang-undang dan salah laku
disiplin.

8. Program Jom ke Sekolah adalah sebahagian daripada usaha


KPM dengan kerjasama PDRM untuk meningkatkan kecemerlangan
dan kemenjadian murid dalam membentuk sahsiah murid yang terpuji.
Oleh itu, menerusi program ini, diharapkan pihak sekolah terutamanya
guru-guru dapat berperanan sebagai pendidik, pembimbing dan
pemudahcara di samping berperanan sebagai guru disiplin seperti
yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/2001 bahawa
semua guru adalah guru disiplin.

9. Aspek kemenjadian murid harus dilihat secara holistik dan


menyeluruh daripada segi akademik, sahsiah, kokurikulum dan sukan.
Bagi menarik minat murid hadir ke sekolah, pendekatan sekolah
terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran haruslah sentiasa

4
menarik dan berkesan. Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia
telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penerapan elemen
pembelajaran menyeronokkan dengan konsep sekolah penyayang
dan menangani isu keciciran murid bagi memastikan murid-murid
gembira ke sekolah.

10. KPM berusaha membentuk ekosistem pembelajaran abad ke-21


bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai
melalui budaya sekolah, prasarana, pelibatan ibu bapa dan komuniti,
guru yang profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan. Saya yakin bahawa pentadbir sekolah yang berkesan akan
berupaya menghasilkan pembelajaran yang kondusif,
menyeronokkan, memberi aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk
datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira, bersemangat
dan seronok untuk belajar.

11. Selain daripada itu, keprihatinan ibu bapa bagi memastikan


anak-anak hadir ke sekolah juga adalah amat penting. Saya ingin
menegaskan bahawa kemenjadian murid merupakan perkara penting
dalam mewujudkan generasi masa depan yang holistik dan seimbang.
Sememangnya menjadi harapan kita semua agar pengetahuan yang
diperoleh murid akan membentuk mereka menjadi remaja yang lebih
jelas dan fokus untuk menyumbang kepada pembinaan negara maju
yang berwawasan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,


5
12. Bagi tujuan menyampaikan maklumat atau memberi informasi
kepada sekolah dan pihak berkuasa polis melalui peranan Pegawai
Perhubungan Sekolah (PPS), KPM menggalakkan sekolah menyedia
dan menggunakan ‘Papan Kenyataan PPS’ di semua sekolah. Papan
Kenyataan PPS ini dapat digunakan semaksimum mungkin oleh warga
sekolah dan PPS sebagaimana yang dibuat pada papan notis masjid
dalam Program 1Masjid 1Polis (1M1P). Menerusinya, diharapkan
pihak berkepentingan dapat menyalurkan maklumat kepada pihak
sekolah yang memuatkan informasi dan berita tentang kepolisan.
Pihak sekolah juga perlu sentiasa prihatin dan mengambil tindakan
yang bersesuaian dengan maklumat yang disalurkan.

13. Sukalah saya mengingatkan anak-anak agar dapat hadir ke


sekolah serta memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.
Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan
mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan
yang berjaya. Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu,
membina pengalaman, membentuk bakat dan mengasah daya
kepimpinan kerana anda merupakan aset negara yang bernilai pada
masa hadapan. Jauhilah perkara yang tidak berfaedah dan jangan
terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral seperti
ponteng, buli, penyalahgunaan dadah serta lain-lain gejala negatif
yang boleh merosakkan diri dan masa depan anak-anak sekalian.
Sayangi diri, hormati ibu bapa, guru-guru dan komuniti anda.
Berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif
hari ini hanya yang terbaik akan berjaya.
6
14. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan tahniah dan
syabas kepada semua pihak yang terlibat khususnya warga SMK
BANDAR TASIK KESUMA kerana bertungkus lumus menjayakan
program pada pagi ini. Begitu juga, jutaan terima kasih dan setinggi-
tinggi penghargaan saya ucapkan kepada PDRM dan Persatuan Ibu
Bapa Guru atas sokongan dan kerjasama padu dengan KPM bagi
merealisasikan majlis ini. Besarlah harapan saya agar kesepakatan
begini bukan sahaja dapat memastikan kejayaan program, bahkan
turut memperkasakan lagi keakraban dan rangkaian kerjasama
strategik antara kita semua. Semoga program seumpama ini dapat
diperluaskan lagi pada masa akan datang, insya-Allah.

Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya


merasmikan Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom Ke
Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 dan melancarkan Papan
Kenyataan PPS di sekolah-sekolah KPM.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi


Wabarakatuh. Sekian. Terima Kasih.

YB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

Anda mungkin juga menyukai