Anda di halaman 1dari 7

TEKS UCAPAN

YB DR. MASZLEE BIN MALIK


MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

MAJLIS PERMUAFAKATAN KPM DAN PDRM:


PROGRAM JOM KE SEKOLAH
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2019

SMK BANDAR TASIK KESUMA


11 FEBRUARI 2019

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

(SALUTASI AKAN DIBERIKAN)

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah


SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat sama-sama
berhimpun dalam Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom
Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 pada pagi ini. Selamat
datang saya ucapkan kepada Yang Dihormati CP Dato' Sri Rosli Bin Ab.
Rahman, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan
Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia atas usaha dan inisiatif
melaksanakan program secara kolaboratif dengan Kementerian Pendidikan
Malaysia.

1
2. Pada kesempatan ini, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah
kepada semua pihak atas inisiatif menganjurkan majlis pelancaran ini.
Untuk makluman para hadirin sekalian, sekolah-sekolah di bawah KPM akan
melancarkan program ini secara serentak pada 18 Februari 2019 di seluruh
negara. Sesungguhnya kita amat mengalu-alukan pelibatan ibu bapa,
komuniti dan pihak swasta seiring dengan Anjakan Kesembilan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu bekerjasama
secara meluas antara ibu bapa, komuniti dan pihak swasta di bawah
Inisiatif 62: Peluasan Pelaksanaan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti
(PIBK).

3. Saya amat bersyukur kerana program kerjasama strategik pelbagai


pihak ini telah menggabungkan kepakaran dan tenaga antara Kementerian
Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia melalui Jabatan Pencegahan
Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pegawai Perhubungan Sekolah,
komuniti setempat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta seluruh warga
pendidik yang berusaha untuk menjayakan program ini. Sememangnya ini
bukanlah kali pertama kita mengadakan permuafakatan bersama bahkan
hubungan erat antara kita telah sekian lama terjalin.

4. KPM berharap menerusi Program Jom Ke Sekolah akan


mempertingkatkan kerjasama yang lebih mantap antara pihak sekolah
dengan Pegawai Perhubungan Sekolah. Program ini juga diharapkan dapat
menghindari murid daripada ponteng sekolah, membantu mencegah salah
laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan
yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam
atau di luar sekolah.
2
Para hadirin yang dihormati sekalian,

5. Asas pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang berfungsi di


tengah-tengah setiap komuniti dan masyarakat. Saya telah menekankan
dalam amanat tahun baharu yang lalu bahawa sekolah untuk komuniti dan
universiti untuk masyarakat, maka sekolah sewajarnya menjadi tempat yang
paling selamat dan menyeronokkan. Bagi merealisasikan hasrat ini, KPM
memberikan penekanan khusus kepada hala tuju mengembalikan cinta ke
dalam pendidikan dengan memberi tumpuan kepada tiga nilai dan budaya
teras iaitu cinta (love), kegembiraan (happiness) dan saling menghormati
(mutual respect). Saya yakin bahawa sistem pendidikan yang berteraskan
nilai ini mampu untuk melahirkan insan yang mencintai satu sama lain,
mencintai masyarakat dan akhirnya mencintai negara.

6. Sistem pendidikan negara kini telah memasuki Gelombang Kedua


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dengan tekad dan
azam untuk terus berusaha melonjakkan kualiti pendidikan negara seperti
yang dihasratkan oleh para pemimpin negara. Saya yakin kerjasama dan
permuafakatan bersama PDRM, komuniti, ibu bapa dengan pihak sekolah
akan dapat mempertingkatkan minat murid untuk hadir ke sekolah. Saya
berharap Pegawai Perhubungan Sekolah dapat mengadakan kunjungan
ke sekolah sekurang-kurangnya sebulan sekali agar dapat memberi nasihat
dan panduan kepada murid-murid semasa perhimpunan di sekolah.
Pegawai Perhubungan Sekolah juga boleh menjadi sumber rujukan pihak
sekolah berkaitan undang-undang dan salah laku disiplin.

3
7. Program Jom ke Sekolah adalah sebahagian daripada usaha KPM
dengan kerjasama PDRM untuk meningkatkan kecemerlangan dan
kemenjadian murid dalam membentuk sahsiah murid yang terpuji. Oleh itu,
menerusi program ini, diharapkan pihak sekolah terutamanya guru-guru
dapat berperanan sebagai pendidik, pembimbing dan pemudahcara di
samping berperanan sebagai guru disiplin seperti yang dinyatakan dalam
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/2001 bahawa semua guru adalah guru
disiplin.

8. Aspek kemenjadian murid harus dilihat secara holistik dan menyeluruh


daripada segi akademik, sahsiah, kokurikulum dan sukan. Bagi menarik
minat murid hadir ke sekolah, pendekatan sekolah terutamanya dalam
pengajaran dan pembelajaran haruslah sentiasa menarik dan berkesan.
Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan pelbagai
inisiatif termasuk penerapan elemen pembelajaran menyeronokkan dengan
konsep sekolah penyayang dan menangani isu keciciran murid bagi
memastikan murid-murid gembira ke sekolah sekali gus dapat melahirkan
insan yang seimbang dan harmoni merangkumi aspek intelek, rohani, emosi
dan jasmani.

9. KPM berusaha membentuk ekosistem pembelajaran abad ke-21 bagi


memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai melalui
budaya sekolah, prasarana, pelibatan ibu bapa dan komuniti, guru yang
profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Saya
yakin bahawa pentadbir sekolah yang berkesan akan berupaya
menghasilkan pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan, memberi

4
aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari
dengan perasaan gembira, bersemangat dan seronok untuk belajar.

10. Selain daripada itu, keprihatinan ibu bapa bagi memastikan anak-anak
hadir ke sekolah juga adalah amat penting. PPPM 2013-2025 memberi
ruang dan menggalakkan pelibatan ibu bapa terlibat secara langsung dalam
pembelajaran anak-anak sama ada di rumah atau di sekolah. Kita
mempunyai matlamat untuk melahirkan generasi cemerlang yang
merupakan modal insan terpuji agar dapat menjadi pemimpin pelapis negara
suatu hari nanti. Saya ingin menegaskan bahawa kemenjadian murid
merupakan perkara penting dalam mewujudkan generasi masa depan yang
holistik dan seimbang. Sememangnya menjadi harapan kita semua agar
pengetahuan yang diperoleh murid akan membentuk mereka menjadi
remaja yang lebih jelas dan fokus untuk menyumbang kepada pembinaan
negara maju yang berwawasan.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

11. Bagi tujuan menyampaikan maklumat atau memberi informasi kepada


sekolah dan pihak berkuasa polis melalui peranan Pegawai Perhubungan
Sekolah (PPS), KPM menggalakkan sekolah menyedia dan menggunakan
‘Papan Kenyataan PPS’ di semua sekolah. Papan Kenyataan PPS ini dapat
digunakan semaksimum mungkin oleh warga sekolah dan PPS
sebagaimana yang dibuat pada papan notis masjid dalam Program 1Masjid
1Polis (1M1P). Menerusinya, diharapkan pihak berkepentingan dapat
menyalurkan maklumat kepada pihak sekolah yang memuatkan informasi

5
dan berita tentang kepolisan. Pihak sekolah juga perlu sentiasa prihatin dan
mengambil tindakan yang bersesuaian dengan maklumat yang disalurkan.

12. Sukalah saya mengingatkan anak-anak agar dapat hadir ke sekolah


serta memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.
Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan
mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang
berjaya. Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina
pengalaman, membentuk bakat dan mengasah daya kepimpinan kerana
anda merupakan aset negara yang bernilai pada masa hadapan. Jauhilah
perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala yang
tidak sihat dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, penyalahgunaan dadah
serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa depan
anak-anak sekalian. Sayangi diri, hormati ibu bapa, guru-guru dan komuniti
anda. Berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif
hari ini hanya yang terbaik akan berjaya.

13. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas
kepada semua pihak yang terlibat khususnya warga SMK BANDAR TASIK
KESUMA kerana bertungkus lumus menjayakan program pada pagi ini.
Begitu juga, jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya
ucapkan kepada PDRM dan Persatuan Ibu Bapa Guru atas sokongan dan
kerjasama padu dengan KPM bagi merealisasikan majlis ini. Besarlah
harapan saya agar kesepakatan begini bukan sahaja dapat memastikan
kejayaan program, bahkan turut memperkasakan lagi keakraban dan
rangkaian kerjasama strategik antara kita semua. Semoga program
seumpama ini dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang, insya-Allah.

6
Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan Majlis Permuafakatan KPM dan PDRM: Program Jom Ke
Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 dan melancarkan Papan
Kenyataan PPS di sekolah-sekolah KPM.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi


Wabarakatuh. Sekian. Terima Kasih.

YB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

Anda mungkin juga menyukai