Anda di halaman 1dari 1

Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri

Kebersihan diri amat penting dalam kehidupan kita. Kebersihan perlu disemai sejak dari kecil maka ibu
bapalah yang memainkan peranan yang penting dalam mengasuh anak-anak untuk menjaga kebersihan sama ada
kebersihan diri atau kebersihan alam sekitar. Oleh itu, kita mestilah menjaga kebersihan diri.

Kita mestilah mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kita hendaklah membersihkan semua
anggota badan dari hujung kepala hingga hujung kaki dengan sabun dan air yang bersih. Kita juga
mestilah mencuci rambut menggunakan syampu untuk mengelakkan rambut berkelemumur dan
berkutu.

Selepas mandi, kita mestilah memakai pakaian yang bersih. Pakaian yang kita pakai mestilah
ditukar setiap hari. Pakaian yang kotor mesti dicuci. Kawan-kawan akan menjauhi kita jika kita kotor dan
berbau busuk.

Selain itu, kita mestilah memotong kuku tangan dan kaki yang panjang. Hal ini demikian kerana
kuman mudah membiak di celah-celah kuku tangan dan kaki yang panjang. Bukan itu sahaja, kita perlu
menggosok gigi tiap-tiap hari. Kita juga hendaklah berkumur selepas makan agar sisa makanan tidak
melekat di celah-celah gigi. Kita hendaklah membuat pemeriksaan gigi dua kali setahun untuk
memastikan gigi kita sentiasa sihat dan kuat.

Di samping itu, kita mestilah menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal. Persekitaran tempat
tinggal yang bersih mencerminkan imej dan personaliti kita. Orang yang bersih akan disenangi oleh
orang lain. Justeru, kita perlu menanam tin-tin kosong, membersihkan longkang yang tersumbat dan
memastikan sampah sarap dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelakkan pembiakan haiwan
perosak. Tikus dan lalat boleh membawa jangkitan penyakit kepada kita.

Pendek kata, kebersihan adalah asas kesihatan. Jika kita menjaga kebersihan diri, kita tidak akan
mudah dijangkiti penyakit. Orang yang bersih dan sihat juga akan hidup ceria.
Amalan kebersihan haruslah dilaksanakan setiap masa supaya terhindar daripada sebarang penyakit. Kita juga akan menjadi
bangsa yang sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Justeru itu konsep menjaga kebersihan perlu disemai dan
diperturunkan daripada generasi ke generasi yang lain, seperti kata-kata hikmat, negara bersih rakyat sihat serta badan sihat
otak cerdas.

Anda mungkin juga menyukai