Anda di halaman 1dari 1

Berkelah Di Tepi Pantai

Pada minggu lepas, ibu bapa saya membawa saya dan adik-adik berkelah di pantai Port Dickson yang
terletak di Negeri Sembilan. Kami sekeluarga gemar berkelah di tepi pantai kerana dapat menghirup
udara yang nyaman. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke pantai Port Dickson mengambil masa satu jam
setengah.

Sesampainya kami di pantai itu, pengunjung sudah mula memenuhi pantai itu. Ayah memilih tempat
yang sesuai untuk kami. Ibu menyuruh saya membentangkan tikar untuk dijadikan tempat duduk kami.
Kemudian, ibu meletakkan beberapa buah bekas makanan dan minuman di atas tikar tersebut. Sebelum
mandi, kami menikmati hidangan yang dimasak oleh ibu itu.

Selepas makan, saya dan ayah ke tepi pantai untuk mandi. Air laut yang jernih membolehkan saya
melihat ikan-ikan kecil berenang di permukaan laut. Ayah mengingatkan saya supaya tidak berenang ke
tengnh laut kerana berbahaya. Suasana di pantai itu sangat meriah dengan gelagat pengunjung yang
menghabiskan masa bermandi-manda dengan keluarga masing-masing. Saya sendiri berasa gembira
kerana dapat berbuahbual dengan ayah semasa mandi.

Selepas mandi, saya dan ayah naik ke pantai semula. Di situ, saya melihat adik-adik saya membina istana
pasir dengan bantuan ibu. Saya terkejut apabila melihat kehebatan ibu membina istana pasir. Banyak
pengunjung yang tertarik akan kebolehan ibu. Tiba-tiba, ombak besar datang menghempas pantai dan
memusnahkan istana pasir yang dibina oleh ibu dan adik-adik saya. Adik-adik hampir menangis apabila
melihat usaha mereka musnah dalam sekelip mata tetapi ibu dan ayah hanya tersenyum memandang
gelagat adik-adik. Selepas itu, kami menikmati hidangan tengah hari kerana perut berkeroncong minta
diisi.

Selepas makan, saya berjalan di sepanjang pantai itu bersama-sama adik sementara ibu dan ayah
berbual-bual. Semasa berjalan, saya melihat pelbagai telatah pengunjung bersama-sama ahli keluarga
mereka. Ada pengunjung yang bermain bola tampar pantai, ada yang mendengar radio sambil berbaring,
dan ada yang berkejar-kejaran. Pada masa yang sama, saya juga mendengar suara gelak ketawa mereka.

Selepas berada di pantai hampir tiga jam, kami mengemaskan barang-barang. Ibu dan ayah
mengingatkan saya dan adik-adik agar mengutip semua sampah kami dan memasukkannya ke dalam
tong sampah yang disediakan di tepi pantai itu. Semasa dalam perjalanan pulang, ayah sempat bertanya
kepada saya tentang perasaan saya terhadap aktiviti berkelah itu. Saya memberitahu beliau bahawa
saya sangat gembira. Saya berharap agar kami dapat melalui pengalaman begini lagi pada masa yang
akan datang.

Anda mungkin juga menyukai