Anda di halaman 1dari 13

UNIT 1.

0 : PENGENALAN

1.1 PENDAHULUAN
Falsafah Pendidikan Kesusasteraan Melayu telah dilahirkan pada tahun 2002. Ini bererti subjek
Kesusasteraan Melayu tidak lagi dianaktirikan sebagai satu komponen semata-mata di dalam
subjek Bahasa Melayu, sebaliknya muncul sebagai satu subjek yang diperkasakan. Matlamat
kurikulum kesusasteraan Melayu sekolah menengah adalah untuk melengkapkan murid dengan
ilmu sastera agar dapat menghayati, menghargai, mencintai dan memupuk rasa bangga terhadap
bahasa dan sastera Melayu dalam bidang pendidikan dan kerjaya ke arah pemantapan citarasa
sastera di kalangan masyarakat. Tujuan Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan
subjek Kesusasteraan Melayu adalah untuk membentuk generasi baru yang mencintai budaya
bangsa, di samping melahirkan insan yang mempunyai daya saing dalam dunia masa kini.

Kesusasteraan Melayu ditafsirkan sebagai karya yang dihasilkan dalam Bahasa Melayu
berlatarbelakangkan masyarakat dan berinspirasikan kehidupan masyarakat di Malaysia
termasuk sastera klasik Melayu yang merupakan warisan kesusasteraan dan budaya Melayu.
Kesusasteraan adalah suatu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Perkataan
‘kesusasteraan’ terbentuk daripada bahasa sanskrit ‘susastera’ yang bermaksud huruf atau buku
yang indah. Kesusasteraan merupakan seni yang menggunakan kata-kata tanpa
memperhitungkan persoalan sama ada kata-kata itu tertulis (tulisan) atau sekadar diucapkan
(lisan).

1.2 TAKRIF KESUSASTERAAN MELAYU DALAM PENDIDIKAN


Kesusasteraan adalah karya bahasa yang menyatakan pengalaman dan perasaan manusia secara
kreatif dan di dalamnya terkandung gambaran masyarakat dan nilai-nilai hidup. Berdasarkan
tafsiran demikian, Kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan adalah:
 Karya asal yang ditulis dalam Bahasa Melayu sama ada karya bertulis mahupun karya
lisan yang direkodkan
 Karya yang berbentuk novel, cerpen, sajak, drama, serta cereka klasik dan puisi klasik
 Karya yang berfungsi sebagai alat pendidikan untuk mengimbangkan perkembangan
intelek, emosi, rohani dan jasmani.
 Karya yang mencerminkan nilai, jiwa dan pemikiran masyarakat
 Karya yang mempunyai unsur keindahan dan kehalusan
 Karya yang mendukung unsur dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Unsur-unsur
yang terdapat dalam karya sastera ialah seperti kecintaan, keindahan, dan kehalusan.
Kesusasteraan juga mendukung nilai-nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan,
kemasyarakatan, kebudayaan dan kewarganegaraan.

1.3 KESUSASTERAAN MENCIPTA RUANG PENERAPAN NILAI

Ciptaan kesusasteraan berbeza dengan ciptaan-ciptaan seni yang lain. Ia menggunakan bahasa
sebagai alat penyampaian. Melalui bahasa, keindahan kesusasteraan dapat dirasakan oleh setiap
pembacanya. Dengan bahasa juga mereka dapat menggarap isi dan tujuan sambil menghayati
segala pengalaman dan perasaan yang tercurah. Sesebuah hasil kesusasteraan yang bermutu tidak
mempamerkan bahan atau menggunakan bahasa dan olahan yang indah sahaja tetapi seharusnya
memiliki unsur-unsur intelek, tersirat dengan emosi dan perasaan, penuh dengan ekspresi dan
imaginasi serta kaya dengan sifat-sifat kreatif. Dengan cara inilah kesusasteraan dapat memikat
hati pembaca.

Dari suatu sudut lain, bahasa dan kesusasteraan itu adalah elemen kebudayaan sesuatu
bangsa. Mengajar bahasa dan sastera bermakna mengajar kebudayaan kepada pelajar. Oleh itu
bidang kesusasteraan dapat memainkan peranan penting dalam pendidikan budi dan akhlak
seseorang. Mata pelajaran sastera yang diajar di sekolah, khususnya melalui Komponen Sastera
(KOMSAS) dapat memberikan pendidikan secara langsung kepada pelajar mengenai kehidupan
berbudi dan berakhlak melalui aspek kebahasaan, keindahan dan kehalusan berbahasa dalam
komponen sastera yang diajar dalam kelas.
UNIT 2.0 : SEJARAH PERKEMBANGAN KOMPONEN SASTERA

2.1 PENDAHULUAN
Pendidikan Kesusasteraan Melayu memberi peluang kepada pelajar-pelajar menguasai
kemahiran Bahasa Melayu dengan baik. Melalui Kesusasteraan Melayu, kerajaan berharap dapat
membentuk pelajar-pelajar yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia dan
bertanggungjawab.

2.2 KESUSASTERAAN MELAYU SEBELUM TAHUN 2000


Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu sudah lama diajar dalam kurikulum pendidikan formal
khususnya para pelajar menengah atas di Malaysia. Buktinya dapat dilihat pada mata pelajaran
Kesusasteraan Melayu bagi peperiksaan Sijil Persekolahan Seberang Laut (Cambridge School
Certificate) dan Sijil Pelajaran Malaysia yang sedang berkuatkuasa sehingga hari ini. Tarafnya di
dalam peperiksaan tersebut adalah tergolong dalam mata pelajaran pilihan.

Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu telah diperkenalkan sejak tahun 1957 dengan
berpandukan sukatan pelajaran peperiksaan. Pada tahun 1984, Sukatan Pelajaran Kesusasteraan
Melayu Tingkatan IV dan V yang sesuai dengan matlamat pendidikan Kesusasteraan Melayu
perlu dijalankan dalam konteks Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Sukatan
pelajaran ini adalah hasil tinjauan semula pendidikan Kesusasteraan Melayu dalam konteks
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara.
Penyemakan kurikulum ini juga bertujuan memantapkan Akta Pendidikan dan menyediakan
murid menghadapi cabaran pendidikan pada abad 21 (Abdul Shukor, 2000). Namun perubahan
tersebut sama sekali tidak mengubah matlamat asal pendidikan Bahasa Melayu yang bertujuan
mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memperkembangkan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.

Pada tahun 1990, kurikulum Bahasa Melayu telah dibuat penambahbaikan. Huraian
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Menengah Atas dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan
Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk diguna pakai oleh guru-guru di seluruh
negara (Sarkauvi, 2005). Sukatan pelajaran ini menekankan penguasaan bahasa melalui
kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, tatabahasa, peribahasadan unsur
sastera. Turut disenaraikan ialah bahan-bahan bacaan sastera yang pelbagai untuk dipilih oleh
guru. Ini adalah kali pertama unsur sastera dimasukkan dalam kurikulum Bahasa Melayu. Sesuai
dengan peranannya sebagai wahana untuk meningkatkan pengetahuan mengenai budaya,
pendidikan Bahasa Malaysia sekolah menengah telah meberi tumpuan kepada keterampilan
berbahasa yang dapat mendidik pelajar agar petah bertutur, cekap membaca dan dapat menulis
kreatif.

Strategi pengajaran dan pembelajaran KBSM adalah menitikberatkan prinsip


penggabungjalinan dan penyerapan. Interaksi pelajar untuk membina keyakinan berbahasa
diutamakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia ini. Manakala objektifnya pula
disebut dengan lebih spesifik iaitu mengenai kemahiran membaca, memahami dan menghayati
pelbagai bahan sastera dan ilmiah. Demikianlah bermulanya unsur-unsur sastera dimasukkan ke
dalam kurikulum Bahasa Malaysia sekolah menengah.

Pada tahun 1994, panduan tambahan telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk menerangkan tentang pelaksanaan unsur sastera dalam pendidikan Bahasa
Melayu, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) untuk Tingkatan IV dan V. Unsur
sastera dalam Bahasa Melayu hanya merangkumi sebahagian kecil daripada kurikulum Bahasa
Melayu dan sebagai pelengkap kepada pengajaran Bahasa Melayu KBSM. Bahan-bahan sastera
yang dimasukkan merangkumi 5 genre sastera Melayu iaitu novel, cerpen, drama, puisi dan
prosa klasik. Pihak penggubal kurikulum ini berharap bahan-bahan sastera ini dapat memupuk
bakat pelajar dalam bidang penulisan kreatif.

Pada tahun 1999, Pusat Perkembangan Kurikulum dalam Kementerian Pendidikan


Malaysia telah mengeluarkan Edisi Penyesuaian kepada Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa
Melayu Sekolah Menengah Tingkatan IV dan V bagi memasukkan kesusasteraan Melayu
sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Edisi penyesuaian ini
menerangkan dengan terperinci kaedah melaksanakan kandungan kesusasteraan Melayu sebagai
komponen wajib mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah atas dari segi kemahiran
sastera yang perlu dicapai oleh pelajar (Sarkauvi, 2005).

Dalam perubahan ini kurikulum Bahasa Melayu digubal berdasarkan penggunaan bahasa
yang merangkumi tiga bidang utama iaitu Bidang Interpersonal, Bidang Maklumat dan Bidang
Estetika (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000). Penumpuan kepada bidang-bidang tersebut
bertujuan untuk membolehkan murid menggunakan Bahasa Melayu secara berkesan dalam
kehidupan harian, bidang kerjaya dan seterusnya sebagai bahasa ilmu yang boleh dimanfaatkan
sepanjang hidup mereka (Mohd. Rasdi, 2003). Manakala dalam hasil pembelajaran Bidang
Estetika tersebut murid akan memahami, menguasai dan menghasilkan penulisan kreatif. Dengan
ini, Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) telah dimasukkan dalam perubahan sukatan
ini dengan harapan akan dapat memupuk minat membaca pelajar dan melahirkan kenikmatan
membaca serta poenghayatan bahan sastera.

2.3 KESUSASTERAAN MELAYU SELEPAS TAHUN 2000


Pelaksanaan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah diperkenalkan pada 1 Mac
2000 (Lim Swee Tin, 2005). Pelaksanaannya bertujuan untuk menggantikan penggunaan
‘Bahasa Sastera dalam Bahasa Melayu’ yang diguna pakai sebelumnya (Lim Swee Tin, 2005).
Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pendidikan Malaysia telah
memperkenalkan KOMSAS sebagai komponen wajib dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu dan dimasukkan dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada
tahun 2002 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2001 (Mohd. Rasdi, 2003).

Dua waktu telah diperuntukkan untuk pengajaran KOMSAS dari jumlah 6 waktu asal
Bahasa Melayu dalam seminggu bagi setiap kelas. Sebelum KOMSAS dilaksanakan, hanya satu
waktu sahaja yang diperuntukkan untuk pengajaran unsur sastera. Sehubungan itu, PPK telah
mengeluarkan unjuran waktu mengajar bagi pengajaran KOMSAS iaitu sebanyak 56 waktu
setahun meliputi genre novel, cerpen, drama, prosa tradisional, puisi tradisional dan sajak. Setiap
tingkatan perlu mempelajari 26 karya yang meliputi semua genre tersebut (Mohd. Rasdi, 2003).
Pelaksanaan KOMSAS dilakukan secara berperingkat iaitu Tingkatan Satu dan Tingkatan
Empat pada tahun 2000, Tingkatan Dua dan Tingkatan Lima pada tahun 2001 manakala
Tingkatan Tiga pada tahun 2002 (Lim Swee Tin, 2005). Ini bererti, selepas tempoh tiga tahun,
kesemua tingkatan persekolahan daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di peringkat
sekolah menengah mempelajari KOMSAS ini pada tahun 2002 (Lim Swee Tin, 2005).
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyediakan sejumlah karya dalam bentuk novel
dan antologi karya untuk digunakan oleh para pelajar. Karya-karya ini dinamakan ‘teks wajib’.
Terdapat lima buah teks wajib antologi yang digunakan dalam pembelajaran KOMSAS. Teks
wajib antologi tersebut digunakan oleh semua pelajar di seluruh Malaysia (Lim Swee Tin, 2005).
UNIT 3.0 : KOMPONEN KESUSASTERAAN WAJAR DILAKSANAKAN
DI SEKOLAH

3.1 PENDAHULUAN
Pelaksanaan subjek komponen sastera merupakan bahagian penting yang diberikan perhatian
utama dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Di samping itu, keprihatinan Kementerian
Pendidikan memperkenalkan subjek ini dianggap suatu langkah yang tepat dan wajar bagi tujuan
mempercambahkan budaya membaca, menghayati, mempelajari dan mengetahui perkembangan
dan kehidupan sastera Melayu di kalangan pelajar-pelajar.

3.2 OBJEKTIF UTAMA KOMPONEN SASTERA DIPERKENALKAN


Secara jelas dan tegas, beberapa objektif utama komponen sastera diperkenalkan adalah seperti
berikut (Maridah Alias, 2005):
I. Meningkatkan dan mengukuhkan keterampilan berbahasa
II. Memupuk budaya membaca
III. Menghayati karya sastera
IV. Menerapkan nilai-nilai murni dan pengajaran
V. Mengenal (tokoh) pengarang dan sejarah perkembangan sastera
VI. Menghayati keindahan bahasa dalam karya dan mengaplikasikannya dalam penulisan
VII. Menghasilkan karya sastera seperti cerpen, pantun, syair, seloka, gurindam, sajak dan
skrip drama

Objektif penggunaan bahasa komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu amat jelas
dalam usahanya untuk mengeksploit kemahiran berbahasa di kalangan pelajar. Dapat dilihat
wujudnya penyerapan ilmu dan nilai dalam usaha membina kecerdasan yang bervariasi dengan
tumpuan pemberatannya ialah kepada pelajar itu sendiri.
3.3 KESESUAIAN NOVEL-NOVEL KOMPONEN SASTERA DALAM
KURIKULUM BAHASA MELAYU
Penggunaan karya sastera khususnya novel sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran
mempunyai objektif dan fungsinya yang tersendiri. Ini selaras dengan tujuan pendidikan di
Malaysia untuk melahirkan warganegaranya yang berakhlak mulia. Jelas termaktub dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diisytiharkan secara rasmi pada tahun 1987 bahawa:

“ Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan


ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang
Berilmu ”.

Jika diteliti penghayatan falsafah tersebut, dapat dilihat dengan jelas hala tuju pendidikan yang
bercorak individu dan masyarakat. Kedua-duanya menuju ke arah melahirkan insan yang baik
seterusnya menjadi anggota masyarakat dan warganegara yang berguna. Ini menyebabkan
pendidikan menggunakan karya sastera nilai penting untuk diajar di sekolah-sekolah menengah
(Maridah Alias, 2005).

Dalam hal ini, kurikulum dijadikan asas kerana dengan kurikulum, matlamat pendidikan
menjadi lebih nyata dan visi tentang rakyat Malaysia yang ingin dilahirkan menjadi jelas.
Kurikulum yang terancang dan sistematik merupakan kriteria penting bagi melahirkan pelajar
yang mempunyai perkembangan yang menyeluruh (Maridah Alias, 2005). Dalam konteks ini,
menyeluruh meliputi hubungan pendidikan dengan kehidupan pelajar sebagai ahli masyarakat
dan perkembangan pelajar sebagai manusia yang meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, estetika
dan etika kehidupan pelajar yang sentiasa berinteraksi dengan alam sekitar dan alam spiritual
(Maridah Alias, 2005).
UNIT 4.0 : PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI MELALUI KOMSAS

4.1 PENDAHULUAN
Tumpuan pembentukan kurikulum komponen sastera mengambil kira perkembangan pelajar
yang menyeluruh pada masa kini dan keperluan masa hadapan. Ini bertujuan untuk menghasilkan
generasi muda yang berilmu dan berakhlak. KOMSAS dilaksanakan di sekolah bagi menerapkan
nilai-nilai murni di kalangan pelajar-pelajar. Pelaksanaan komponen Kesusasteraan Melayu
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang bermula pada tahun 2000 diharap dapat membantu
kerajaan membentuk jati diri bangsa Malaysia dalam diri semua pelajar sama ada Melayu dan
bukan Melayu. Pada tahun 2001, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan catatan
kedua Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang disemak semula untuk memberi penekanan pada
nilai-nilai murni dan semangat patriotik (Sarkauvi, 2005).

4.2 NILAI-NILAI MURNI KOMSAS


Komponen sastera dilaksanakan di sekolah-sekolah dengan mengandungi nilai-nilai murni yang
sesuai untuk diterapkan dalam diri pelajar-pelajar. KOMSAS juga melengkapkan pelajar dengan
kemahiran berfikir dan membentuk generasi baru yang cinta kepada tanah air. Menerusi
Kementerian Pendidikan Malaysia, isi kandungan kurikulum, cita-cita Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan pendekatan yang menekankan kesepaduan dalam kurikulum menengah perlu
dititikberatkan supaya hasrat murni yang ingin dicapai dapat dijayakan dengan berkesan dan
sempurna.

Pada hari ini, pendidikan peringkat menengah di negara ini menitikberatkan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah. Kurikulum ini merupakan satu sistem pendidikan bersepadu yang
dilahirkan bagi meningkatkan mutu pendidikan negara dengan menekankan perkembangan
potensi individu secara menyeluruh, bersepadu dan berakhlak mulia. Kurikulum ini bertujuan
untuk melahirkan rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap kepimpinan dan
kemakmuran negara. Di samping itu, penekanan diberikan kepada aspek nilai kewarganegaraan
supaya rakyat yang beridentiti kebangsaan dapat diwujudkan.
Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, penggunaan novel sebagai bahan bacaan wajib
bukanlah sesuatu yang mudah malahan memerlukan perhatian yang serius. Pemilihan novel
untuk pelajar haruslah bertolak daripada soal-soal asas dan mudah ditanggapi yang mendasari
keupayaan dan perkembangan fizikal, mental serta emosi pelajar. Penerapan nilai-nilai murni
dalam novel-novel pilihan komponen sastera perlu bersesuaian dengan tahap pemikiran pelajar.
Setiap tahap umur pelajar perlu disajikan dengan isi kandungan novel yang bersesuaian supaya
dapat menarik minat pelajar untuk membaca dan menghayati tema yang disampaikan melalui
novel tersebut.

4.3 SEMANGAT PATRIOTIK MELALUI KOMSAS


Unsur-unsur sastera dimasukkan dalam kurikulum Bahasa Malaysia sekolah menengah untuk
menggalakkan pelajar-pelajar membaca pelbagai bahan sumber seperti akhbar, majalah, kamus
dan bahan-bahan ilmiah dan buku-buku sastera klasik dan moden tidak kira sama ada dalam
bentuk prosa dan puisi. Komponen sastera menumpukan pemupukan semangat patriotik melalui
tema penceritaan zaman penjajahan sebelum kemerdekaan negara ini. Sejarah negara sebelum
merdeka dan ranjau berduri yang ditempuhi masyarakat sebelum merdeka perlu diketahui
generasi masa kini supaya mereka dapat menghayati dan merasai semangat cintakan negara.
Semangat patriotik perlu disemai dalam diri remaja dan pelajar-pelajar sekolah pada hari ini
supaya mereka lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada
sebarang bentuk penjajahan.
UNIT 5.0 : RUMUSAN

5.1 PENDAHULUAN
Perbezaan antara pengajaran dan pembelajaran sastera tulen dengan unsur sastera dalam
pengajian Bahasa Melayu ini ditekankan kepada guru-guru pada aspek cakupannya supaya tidak
disalah tafsir. Bagi unsur sastera tulen, pengkajian karya sastera dilakukan dengan mendalam dan
luas, serta lebih kritis manakala bagi unsur sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,
cakupannya adalah terhad dan penekanannya tidak begitu mendalam dan kritis. Komponen
sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu membolehkan pelajar menghayati keindahan karya
kesusasteraan Melayu yang mempunyai kepelbagaian gaya dan keindahan bahasa bagi memupuk
dan mengembangkan bakat semula jadi yang ada pada diri pelajar dalam bidang penulisan
kreatif. Bahan sastera yang penuh dengan segala persoalan hidup manusia dan pergolakan
masyarakat, diolah dan diwarnai dengan unsur-unsur estetik juga diharap dapat menyuburkan
minat membaca di kalangan pelajar. Minat membaca ini yang diharap dapat membantu
menyemai nilai-nilai murni dalam diri pelajar di samping mencambahkan semangat cintakan
negara.

5.2 MEWUJUDKAN PELAJAR DENGAN JATI DIRI BANGSA MALAYSIA


Komponen sastera Bahasa Melayu juga bertujuan memberi penekanan terhadap aspek kemahiran
berfikir, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, belajar cara belajar, kecerdasan
pelbagaian dan kajian masa depan (Sarkauvi, 2005). Guru-guru disarankan memberi peluang
kepada pelajar untuk membaca dengan lebih meluas bagi meningkatkan daya berfikir dan minat
ingin terus membaca. Penggabungjalinan merupakan aspek penting dalam pengajaran dan
pembelajaran termasuk juga konsep serapan. Proses ini adalah untuk meningkatkan kemahiran
bernilai tambah dalam diri pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Unsur-
unsur penyerapan yang disarankan ialah seperti berikut:
 Semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat yang berlandaskan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan
 Kemahiran berfikir kritis dan kreatif
 Kemahiran ICT, kemahiran belajar cara belajar dan kajian masa depan
5.3 KESIMPULAN
Sepanjang satu setengah dekad dari 1990 hingga, kurikulum Bahasa Melayu telah dilakukan
semakan semula beberapa kali untuk penambahbaikan secara berterusan. Daripada segi
penekanan aspek sastera dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu dapat dilihat ia telah
berkembang dan diberi kepentingan yang tinggi iaitu daripada hanya unsur sastera dengan
bahan-bahan sastera yang terhad digunakan dalam pengajaran kepada satu komponen yang besar
meliputi sepertiga daripada keseluruhan kurikulum Bahasa Melayu dan sebagai satu komponen
wajib dalam peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Demikianlah bagaimana
komponen kesusasteraan Melayu atau lebih dikenali sebagai bidang estetik dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu telah diberi wajaran yang tinggi dan penting. Komponen sastera dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu diharap dapat memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajar untuk
menjadi bangsa Malaysia yang bersatu dan mempunyai nilai-nilai murni yang positif seperti
bertanggungjawab terhadap bangsa dan negara, mencintai tanah air dan bermoral tinggi.
RUJUKAN
Abdul Shukor Abdullah. (2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah :
Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian
Pendidikan Malaysia

Lim Swee Tin. (2005). Keberkesanan Unsur Sastera Dalam Pembelajaran Bahasa Melayu.
Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Mana Sikana. (2008). Wacana Dinamika Sastera Melayu Pascamoden. Jurnal e-Utama. Jilid 1.
Jurnal Elektronik Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu.

Maridah Alias. (2005). Kesesuaian Novel Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa
Melayu. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Mohd. Rasdi Saamah. (2003). Pelaksanaan Komsas dalam pelajaran Bahasa Melayu di sekolah
menengah: Satu Tinjauan. Pahang: Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan.

Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi. (2005). Pemikiran dan Teknik Penceritaan Dalam Novel
Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu. Serdang: Universiti Putra
Malaysia.

Sarkauvi Maseri. (2005). Kajian Mengenai Kesatuan Idea Dalam Dialog Pengajaran dan
Pembelajaran Bidang Estetik Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Empat
Di Beberapa Sekolah di Sabah. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia

Anda mungkin juga menyukai