Anda di halaman 1dari 32

JURNAL PERADABAN MELAYU

ISNIN, 4 OGOS 2008

Kewajaran Pengajaran Komsas Dalam Bahasa Melayu oleh Nik Hassan Nik Ab. Kadir
Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 5, Tahun 2007

Kewajaran Pengajaran Komsas Dalam Bahasa Melayu Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir Fakulti Bahasa Universiti Pendidikan Sultan Idris Pengenalan Komsas ialah akronim bagi perkataan-perkataan komponen dan kesusasteraan Melayu. Komsas ialah komponen penting dalam subjek Bahasa Melayu. Bagi pengajaran dan pembelajaran komsas dalam subjek Bahasa Melayu, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Tingkatan I hingga V pascatahun 2003 telah memperuntukkan dua waktu dalam seminggu. Berdasarkan kepada beberapa penyelidikan yang dijalankan mendapati bahawa umumnya guru Bahasa Melayu kurang memahami falsafah pengajaran dan pembelajaran komsas dalam subjek Bahasa Melayu. Sememangnya, komsas yang juga lebih dikenali sebagai s kecil adalah amat berbeza dengan S besar yang mewakili konsep kesusasteraan sebagai mata pelajaran atau yang mewakili konsep pendidikan Kesusasteraan Melayu sebenar, khususnya daripada segi matlamat, objektif pengajaran dan pembelajaran serta penilaian atau peperiksaan yang menggunakan kaedah dan metodologi yang tersendiri. Ada beberapa perkara yang mengelirukan mereka sehingga kajian yang dijalankan mendapati bahawa ada antara guru yang mengajar komsas dalam subjek Bahasa Melayu mengajarnya sama seperti mereka mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu tulen. Malah, penyelidikan yang dijalankan mendapati mereka juga kurang yakin dan cekap dalam usaha mereka menjalankan tanggungjawab pengajaran komsas di sekolah.

Pertimbangan Guru Guru Bahasa Melayu mestilah mempunyai pengetahuan tentang komsas, di samping bersedia dengan segala perancangan, mental dan fizikal untuk melaksanakan tanggungjawab pengajaran di kelas. Tanpa persediaan yang betul oleh guru, kemungkinan objektif pengajarannya tidak tercapai sepenuhnya, lebih-lebih lagi untuk diaplikasikan dalam konteks yang sebenar dan pelbagai. Oleh itu, peranan guru adalah sangat besar. Malah, guru Bahasa Melayu bukan sahaja perlu menguasai ilmu yang berkaitan dengan bidang s kecil dan S besar, persejarahan, variasi bahasa dan gaya, strategi guru dalam pengajaran bahasa, di samping aspek bahasa yang lain tetapi mesti senantiasa peka dan berusaha ke arah merancang pengajaran dan pembelajaran yang baik sebelum tampil ke dalam bilik darjah dan memastikan bahawa teks-teks komsas yang ditetapkan bagi setiap tingkatan itu dapat dikuasai oleh setiap orang murid.. Hal ini bermakna guru bahasa yang dedikasi dan prihatin tahu bahawa tiada sesiapapun yang dikecualikan daripada menguasai komsas, dan menjadi tanggungjawabnya untuk memainkan peranannya agar dirinya bukan sahaja dapat memahami, mengenal pasti dan mampu untuk menyerapkan komsas dalam pengajaran Bahasa Melayu tetapi juga mampu dan memiliki keterampilan untuk mengajar komsas dengan yakin dalam pelbagai keadaan, masa dan konteks. Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2005: 104) antara faktor yang menjadi sebab mengapa perlunya untuk mencapai fungsi penggunaan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di bilik-bilik darjah harus diberi pertimbangan adalah kerana adanya teks kesusasteraan Melayu yang memiliki sifat-sifat yang negatif. Antaranya ialah: i. Wujudnya karya kesusasteraan Melayu yang diklasifikasikan seperti yang berikut: a). Sebagai karya pop, iaitu karya yang mengejar sensasi mahajana semata-mata; b). Sebagai karya eotis, iaitu yang apabila dibaca boleh menghairah pembaca dan mengkhayalkan darah muda); dan c). Sebagai karya picisan, iaitu rendah mutu seninya. Karya yang sedemikian tidak sesuai untuk bacaan pelajar sekolah. ii. Teks deviasi, iaitu ada teks yang digelar sebagai teks kesusasteraan kerana keseluruhan atau sebahagiannya terkandung unsur keindahan, iaitu estetik dan artistik. Hal ini kerana ada antara pengarang yang berusaha dan terdorong untuk mendapatkan unsur-unsur estetik dan artistik itu, lalu diusahakan apa sahaja seperti mengeksploitasikan dan memanipulasikan bahasa. Pengarang sebegitu sanggup untuk melanggari hukum bahasa atau menjadikan ayat-ayat yang dibinanya itu bersifat tidak gramatis serta menyimpang

tatabahasa dan rumus-rumus bahasa. Sifat yang sedemikian dalam bidang stilistik dikenali sebagai deviasi. iii. Ada teks yang digolongkan sebagai karya kreatif memiliki sifat antimoral, antisosial, antiagama, anticerita dan perbagai anti. Karya-karya yang dihasil itu bersifat avant-garde dan sukar difahami oleh pembaca. Malahan, ada pembaca akan mendapati karya yang sedemikian sukar untuk dihayati isinya. iv. Ada teks yang bentuk dan gaya bahasanya tidak sesuai untuk teks kesusasteraan Melayu. Hal ini kerana dalam penelitian stilistik yang telah dilakukan untuk melihat gaya individualisme, dan indiosinkrasi pengarang, ada bahasa pengarang yang tidak sesuai untuk pengajaran kerana adanya pengarang yang ingin mencapai individualisme itu sanggup melakukan deviasi sama ada penyimpangan bahasa atau penyimpangan terhadap norma bahasa. Lantaran itu timbullah polemik bahawa tidak semua bahasa pengarang itu sesuai untuk menghasilkan karya atau teks kesusasteraan (Abd. Rahman Hanafiah, 1990). Di samping itu, kesedaran akan pentingnya penggunaan bahan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu kepada murid-murid sekolah dan pelajar IPT memang sudah dirasakan sejak dari zaman sebelum perang lagi. Bahan-bahan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sama ada sebelum atau selepas semakan kurikulum Bahasa Melayu yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 itu, digunakan untuk: i. Membangkitkan minat dan kesedaran murid tentang bentuk bahasa yang komunikatif dengan kepelbagaian kosa kata, frasa, ungkapan dan struktur ayat, ii. Membentuk kepekaan murid tentang kelainan, keindahan, kekreatifan, kerasionalan, keintelektualan, kesaintifikan, keunikan atau kebitaraan mutu dan gaya bahasa kesusasteraan Melayu yang memiliki ciri menghibur atau sebagainya, iii. Meningkatkan kesedaran dan menghayati nilai-nilai moral dan etika yang wujud dalam teks kesusasteraan Melayu klasik dan moden waima yang berbentuk prosa mahupun puisi, iv. Memupuk dan membangkitkan minat membaca karya-karya lain, v. Memperlihatkan isi dan mesej yang sesuai dan mudah difahami, vi. Menyedari kepentingan ilmu pengetahuan dan cerita tentang pelbagai aspek budaya dan kehidupan masyarakat, dan vii. Menguasai bahasa figuratif secara tersurat dan tersirat baik yang berhubungan dengan aspek fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, pragmatik dan selok-belok bahasa Melayu yang lain.

Selain itu, bahan kesusasteraan Melayu yang diketengahkan itu memiliki unsur-unsur: i. Kemoralan, kemotivasian dan keaspirasian, ii. Keindahan dan kekreatifan, iii. Kerasionalan dan kesaintifikan, iv. Kebitaraan dan keunikan, v. Keintelektualan dan keterampilan, vi. Keimanan dan kerohanian, vii. Keharmonian dan realiti kehidupan, viii. Keikhlasan dan bertanggungjawab, dan ix. Kepotensian dan kesejahteraan diri. Dengan demikian, segala unsur yang bersifat positif itu amat bersesuaian untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis, untuk pembinaan sahsiah dan memperkembang potensi murid-murid secara menyeluruh dan bersepadu. Unsur-unsur kesusasteraan Melayu yang cuba diserapkan dalam pendidikan Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam membentuk budi pekerti yang mulia, jati diri, bertanggungjawab, dan berkeupayaan bagi mencapai kesejahteraan dan citra diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Hal seumpama itu pernah dijelaskan oleh para sarjana tempatan dan luar negara. Selain itu, antara pandangan yang menarik tentang kepentingan kesusasteraan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu ialah murid-murid berpeluang untuk membina nilai-nilai murni dan pembinaan sahsiah yang mulia. Di samping itu, muridmurid yang gemar dan rajin membaca karya kesusasteraan Melayu atau yang selalu terdedah dengannya didapati lebih memahami maksud karya kesusasteraan Melayu yang dibacanya, khususnya tentang realiti kehidupan. Malahan, dengan membaca karya kesusasteraan Melayu mereka dapat menghayati dan menyelami perasaan insan lain secara kreatif dan kritis seperti yang digambarkan dalam karya yang dibacanya itu, lebihlebih lagi apabila bentuk, isi dan mesejnya ialah yang berkaitan dengan perihal masyarakat dan nilai-nilai kehidupan. Bahkan, jika mereka selalu terdedah dengannya, mereka akan memperoleh wadah pemikiran, dan erti sebenar sesuatu karya kesusasteraan Melayu. Dengan demikian, individu yang membacanya akan timbul perasaan seronok akan sesuatu karya itu. Kesukaan dan kecintaan yang mendalam terhadap karya kesusasteraan Melayu menjadi punca utama baginya untuk membaca karya-karya kesusasteraan Melayu lain seterusnya.

Kelebihan Komsas Kesusasteraan Melayu, khususnya komsas boleh memainkan peranan penting dalam pembentukan emosi kerana kesusasteraan Melayu yang merupakan wadah fikiran, dan perasaan yang dijalin oleh bahasa yang indah membenarkan murid-murid atau kanakkanak sedar akan perasaan sendiri semasa mereka memikirkan perasaan orang lain. Kesusasteraan Melayu, seperti karya-karya seni yang lain bukan sahaja memukau deria rasa dan intelek peminatnya, bahkan memaparkan kehidupan, menenangkan keadaan huru-hara, menerangkan yang gelap dan mencadangkan alternatif untuk mengatasi masalah. Secara singkat hal ini bermakna bahawa unsur-unsur kesusasteraan Melayu yang dibaca oleh murid-murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berupaya untuk membentuk dirinya agar menghormati orang lain, membina sahsiah yang elok, dan bersikap toleransi. Selain itu, nilai-nilai estetik yang diajar dalam pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dapat mendidik murid mengamalkan keperibadian yang seimbang. Proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu akan mewujudkan jati diri murid serta berilmu pengetahuan. Sebagai contoh cerpen Diari Seorang Pengawas memaparkan secara langsung dunia murid. Pengarang mengemukakan watak murid yang bertanggungjawab terhadap tugasnya, dan ia merupakan satu role model yang wajar bagi seorang murid yang menjadi pengawas di sekolah (Sehijau Warna Daun, 2002: 50). Di samping itu, proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu akan dapat memotivasikan murid untuk belajar melalui bahan-bahan yang dibaca. Dengan ini, bahan yang dibaca atau yang didengar akan menyalurkan pemikiran positif, kreatif, dan kritis dalam proses pendidikan seumur hidup. Bahan-bahan komponen kesusasteraan Melayu akan dapat menarik perhatian murid terhadap topik yang akan disampaikan. Keadaan ini akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi murid dalam proses pembelajaran secara berterusan. Malahan, semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam dada setiap murid sekiranya mereka didedahkan dengan pengajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam proses pembelajaran mereka. Melalui pengajaran komponen kesusasteraan Melayu, murid akan diperkenal dengan unsur-unsur patriotik, perpaduan negara, dan kebudayaan kebangsaan. Sebagai contoh sajak Di Ruang Gemanya yang dinyatakan oleh penyair akan kesetiaannya yang tidak berbelah bagi pada Malaysia dan cintanya tak perlu disangsikan pada negara (Kerusi, 2002: 13). Di bawah ini dipetik rangkap-rangkap sajak tersebut.

Telah kurangkumkan rebah setiaku pada setiap pilu dan rindu melayang dan mengembang ke hayat gemilang. Sejak itu tidak kukesal lagi goda dan duga di gerimis senja. Telah kupahatkan lelah umurku pada setiap kerikil dan debu datang dan menghilang ke hujung kenang. Sesudah itu tidak kukenal lagi hampa dan derita di guruh pagi. Gerimis senja guru pagi adalah titipan maya bakal kukongsikan hati mengukir tadbir di ruang gemanya. (Kerusi, 2002: 22) Sebagai contoh, yang kedua ini ialah sajak Negeri Cinta yang mengemukakan tema patriotik yang berjaya mengungkapkan aspirasi dan cita-cita murni penyair untuk mewujudkan perpaduan negara. Dengan nada yang puitis, penyair menyatakan: Malaysia negeri alam dunia sebelah sini negeri impian, negeri gemerlapan lindungilah dari keganasan-keganasan modenisasi negeri cinta, negeri budaya, negeri perpaduan. (Sehijau Warna Daun, 2002: 11) Oleh itu, semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam dada setiap murid, sekiranya murid dengan bantuan guru dapat menilai dan mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Malah, dengan demikian akan meningkatlah rasa cinta mereka kepada tanah air. Satu perkara lagi yang penting dan menariknya tentang kesusasteraan Melayu dalam pendidikan Bahasa Melayu yang dikenali sebagai s kecil yang ada dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah kerana kesusasteraan Melayu dapat membantu melahirkan manusia yang mempunyai sifat-sifat yang mulia. Melalui pembacaan teks-teks atau bahan kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, murid dapat meneladani dan menambahkan ilmu pengetahuan, menyuburkan emosi, membina moral dan pengajaran, unsur kemasyarakatan dan nilai kemanusiaan, dan estetik. Hal ini kerana dalam proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu terdapat pelbagai gubahan yang menyingkapkan nilai budaya. Bahan-bahan kesusasteraan Melayu yang bertemakan moral dapat membantu murid menghayati nilai-nilai murni. Perkara ini disebabkan murid dapat belajar melalui peniruan watak-watak baik yang ditonjolkan dalam sesebuah karya kesusasteraan Melayu. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah disiplin pada kalangan murid kerana murid tertarik dengan cerita tersebut, mereka akan mendengarnya atau membacanya dengan teliti dan tidak mungkin akan menimbulkan masalah disiplin. Pertimbangan utama dalam kehidupan bermasyarakat ialah soal sejauh manakah seseorang itu dapat mengutamakan nilai-nilai murni dalam tindak-tanduk, perancangan, dan keputusan-keputusannya dalam kehidupan. Sebagai contoh seorang individu Muslim sentiasa dipandu oleh nilai-nilai yang sesuai dengan kepercayaan akidah dan akhlak Islam. Demikianlah halnya dengan yang lain yang sebahagian besar daripada mereka, terutama yang berpegang kepada agama akan melihat nilai-nilai yang positif, seperti menghormati hak-hak manusia lain dan menghargai sebarang hal yang secara universalnya diterima sebagai baik dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat. Malahan, Islam memaparkan nilai-nilai murni yang diterima sebagai bersesuaian dengan semua agama di dunia. Oleh itu, wajarlah karya-karya kesusasteraan Melayu yang terpilih perlu memancarkan nilai-nilai murni yang dapat membentuk konsep-konsep kebaikan, keikhlasan dan kebenaran dalam pemikiran dan perasaan murid-murid yang mempelajari kesusasteraan Melayu. Hal sedemikian bersesuaianlah dengan dasar pendidikan kebangsaan, yang antara tujuan pentingnya adalah untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Kadang-kadang, proses pengajaran dan pembelajaran unsur kesusasteraan Melayu

dalam subjek Bahasa Melayu sebelum pelaksanaan pada tahun 2000 tidak mencapai objektifnya kepada murid. Hasil atau bahan kesusasteraan Melayu yang dibaca oleh murid ada kalanya bukannya hasil kesusasteraan Melayu yang sesuai dengan kebolehan, tahap atau keupayaan murid, tetapi lebih berupa cerita semata-mata. Malah kajian yang dijalankan sebelum ini juga mendapati bahawa buku-buku bacaan kesusasteraan Melayu yang disenaraikan oleh KPM itu sesetengah daripadanya kurang sesuai untuk bacaan murid kerana berunsur negatif (Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir, 1997: 189). Oleh yang demikian, kurikulum baru yang berorientasikan komponen kesusasteraan Melayu lebih berupaya untuk mewujudkan individu yang berminat dengan karya-karya yang bermutu. Selain itu, penggunaan kesusasteraan Melayu melalui pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang berkesan dapat membantu dan mempercepat proses itu, selari dengan dasarnya, iaitu untuk membina dan mengukuhkan lagi pengetahuan asas kepada cita rasa warisan bangsa Melayu supaya lahir kesedaran; rasa hormat kepada nilai-nilai Melayu, di samping menanamkan bibit-bibit penghayatan yang dapat melahirkan rasa keinginan untuk menyumbang kepada khazanah kesusasteraan kebangsaan yang dimiliki bersama itu. Seterusnya, penggunaan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang berkesan juga berupaya untuk melahirkan sebilangan besar anggota masyarakat yang dapat menghargai kesusasteraan bangsa. Sekali gus menambahluaskan bilangan pembaca buku kesusasteraan Melayu. Dalam masa yang sama akan lahir penilaipenilai, pengkritik-pengkritik, penghasil-penghasil, dan penerbit-penerbit karya kreatif dan kritis yang lebih bertanggungjawab kerana fenomena yang seumpama itu dapat mengangkatkan taraf kesusasteraan Melayu kita kepada tahap profesional yang tinggi. Di samping itu, pengetahuan tentang konsep dan teori-teori kesusasteraan yang berhubungan dengan beberapa pendekatan seperti pendekatan sosiologi sastera yang digunakan oleh pengarang dalam menganalisis karya-karya kesusasteraan Melayu yang estetik dapat meluaskan pengetahuan guru. Malah pengetahuan itu akan dapat menjadi daya penarik kepada murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Guru Bahasa Melayu yang terlatih harus sedar akan adanya perbezaan perkembangan antara sains sosial dan sains kemanusiaan. Bahkan, guru Bahasa Melayu perlu sentiasa peka bahawa terdapatnya perubahan yang radikal dan bersifat revolusioner dalam dunia sains kemanusiaan atau dalam dunia era globalisasi atau dunia tanpa sempadan berbanding dengan yang lainnya. Apabila seseorang guru itu dapat mengikuti atau menangani perkembangan dalam ilmu sains kemanusiaan yang cepat berubah itu, maka, tidaklah pula guru Bahasa Melayu itu akan ketinggalan zaman. Pandangan tentang

fenomena itu sering dikaitkan oleh cerdik pandai dengan perkembangan kesusasteraan Melayu yang sentiasa menerima perubahan. Dengan memahami situasi ini, teks atau sumber kesusasteraan Melayu tidak hanya sebuah cerita tetapi mampu membawa perubahan terhadap alam pendidikan atau dunia kehidupan itu sendiri. Tanpa memahami segala hal, komponen kesusasteraan Melayu tidak akan hidup seperti sepatutnya. Oleh itu, guru Bahasa Melayu wajar bijak menangani bahawa penggunaan komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu itu bukan sekadar mengajar bahasa, seni, falsafah, sejarah, peradaban, atau agama, bahkan mengajar erti atau nilai kehidupan itu sendiri. Hubungan Vertikal Kita mesti jelas bahawa Allah s.w.t. ialah empunya, pemilik, pencita dan penguasa alam dengan segala isinya. Demikianlah juga dengan hasil kesusasteraan kerana setiap hasil kesusasteraan ada empunya, pemilik dan penciptanya. Allah s.w.t. ialah empunya, penguasa, pemilik dan pencipta kesusasteraan yang paling utama. Kitab suci al-Quran ialah hasil kesusasteraan yang terlalu tinggi tarafnya kerana tidak ada satu pun karya kesusasteraan yang ada di dunia ini yang dapat menyaingi kitab suci al-Quran. Ayat-ayat atau kalimat-kalimat dalam kitab suci al-Quran cantik sekali. Cantiknya kerana bentuk, isi dan mesej yang melibatkan susunan bunyi, kata, ungkapan, ayat, wacana, makna dan gaya bahasa. Tidak ada hidupan, makhluk dan seorang pun manusia atau pengarang kesusasteraan waima yang dahulu, yang sekarang ini atau yang pada bila-bila masa pun yang dapat menghasilkan kalimat atau menandingi keelokan bunyi, kata, ungkapan, ayat, isi, makna, gaya bahasa, bentuk, mesej dan keindahan wacana al-Quran. Al-Quran memaparkan ilmu, hikmat dan petunjuk berkenaan dengan kepercayaan, keibadatan, kemasyarakatan, kepimpinan, hukum, cerita dan berita untuk pengajaran, pedoman dan bimbingan serta kebenaran. Pendeknya, isi kitab suci al-Quran itu menyangkut seluruh aspek kehidupan. Begitulah dari dahulu sampai kini, al-Quran dapat memberikan bimbingan kepada insan ke arah kemajuan, peradaban dan budaya yang tinggi yang kini disebut-sebut semula sebagai Islam Hadarah. Malah, kitab al-Quran berisi nilai pengajaran, petunjuk dan panduan yang amat berguna untuk umat manusia sepanjang masa dalam menempuh kehidupan di muka bumi. Sebarang perlakuan atau aktiviti manusia di atas dunia harus berpandu kepada al-Quran. Pengarang atau pencipta sebuah karya kesusasteraan lain juga perlu berlandaskan alQuran kerana al-Quran ialah suatu petunjuk, bimbingan, pedoman dalam segala segi dan merupakan panduan utama agar kegiatan manusia tidak terbabas, tergelincir, terpesong dan tersesat. Begitu juga dengan kehidupan manusia, dan jika semua perlakuan, kerja

dan kegiatan harian kita berpandukan al-Quran sudah pasti tiada kepincangan dalam segala segi kehidupan. Sehubungan dengan itu, selain al-Quran, hasil atau karya kesusasteraan yang ada sekarang yang dicipta oleh manusia di atas dunia ini adalah kerana mendapat keizinan, keredaan, kehendak dan kerestuan daripada Allah s.w.t. Melalui kehendak-Nya, maka karya-karya kesusasteraan lain dapat kita hasilkan atau yang dapat dihasilkan oleh pencipta-pencipta karya kesusasteraan yang dikenali sebagai pengarang karya. Seseorang pengarang karya menghasilkan sesebuah karya bukan sahaja dipengaruhi oleh masyarakat tetapi juga sebaliknya. Pengaruh-mempengaruhi mungkin berlaku secara sedar atau secara tidak sedar. Berdasarkan pengalaman, pemikiran, daya cipta, imaginasi, dan realitinya yang kesemua dipengaruhi oleh alam, persekitaran dan masyarakat sekeliling, seseorang pengarang akan menggunakan teknik yang melambangkan keperibadian, dan menghasilkan kembali aspek alam, persekitaran dan kehidupan masyarakatnya. Malah ada pengarang yang mempersembahkan segala aspek kehidupan itu kepada masyarakatnya bukan untuk mencipta nama, bermegah-megah, atau bukan untuk melalaikan dan mengkhayalkan masyarakat, tetapi semata-mata untuk mencapai empat tujuan yang murni, iaitu: (1) Keimanan dan kesyukurannya terhadap Allah, (2) Kesaintifikan dan kebenaran, (3) Kekreatifan dan keindahan, (4) Kemanfaatan dan kepuasan diri. Selain itu, konsep pencipta juga dapat dikaitkan dengan pengarang karya teragung. Kesusasteraan amat rapat dengan masyarakat. Malah, kesusasteraan perlu untuk melengkapkan sesebuah masyarakat kerana kesusasteraan ialah salah satu unit kebudayaan dalam masyarakat, terutamanya masyarakat Melayu. Dengan demikian, sewajarnya pengarang kesusasteraan Melayu sedar bahawa dirinya memiliki dua wahana hubungan, iaitu hubungan dirinya dengan Allah yang selalu disebut sebagai hubungan vertikal, dan hubungan dirinya dengan manusia dan alam yang sering dinamai sebagai hubungan horizontal. Hubungan Horizontal Menyedari adanya hubungan yang sedemikian, maka pengarang kesusasteraan Melayu apabila berkarya, maka karyanya seharusnya berseni, atau yang bertunggakkan Islam, sama sahaja seperti beribadah atau berbakti kepada Allah. Dengan demikian, wajarlah setiap pengarang itu apabila berkarya atau bersastera meletakkan dirinya mengikut pendekatan Islam, iaitu segala yang dibuatnya itu wajib dilakukan kerana Allah. Secara singkatnya, tidak ada yang lain melainkan Allah, tetapi sama seperti beribadah yang bermacam-macam corak, hikmahnya adalah untuk mahajana. Kesusasteraan dicipta

kerana Allah untuk manusia. Dua ungkapan kerana Allah dan untuk manusia amat rapat kerana apabila bersastera kerana Allah, dengan sendirinya kita yakin tanpa berbelah bagi bahawa setiap yang diperintahkan oleh Allah melalui al-Quran dan al-sunnah adalah untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup manusia. Jika ditelusuri bukti-bukti lama bahawa lebih kurang 400 tahun sebelum masihi, sudah bermula pemikiran tentang kesusasteraan apabila seorang ahli falsafah Yunani, membicarakannya. Tokoh yang dimaksudkan itu tidak lain ialah sarjana agung yang dikenali sebagai Plato. Beliau yang merupakan ahli falsafah Yunani membicarakan kesusasteraan sebagai hasil peniruan seniman terhadap alam semesta. Pendapat Plato itu ada kebenarannya juga, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan hasil-hasil kesusasteraan Melayu, baik yang ada sekarang atau yang sebelumnya sama ada yang berupa lisan mahupun yang bertulis kerana terdapat banyak hasil kesusasteraan Melayu yang berkisar tentang alam semesta. Antaranya yang menggunakan unsur-unsur alam semesta atau yang mengaitkan hal ehwal alam semesta secara langsung ataupun yang mengisahkan alam semesta itu sendiri ialah hasil atau karya puisi seperti yang terdapat dalam pantun, syair dan sajak. Yang berikut ialah contoh-contoh puisi lama dan baru menggunakan unsurunsur alam semesta atau yang mengaitkan dan mengisahkan alam semesta itu sendiri, iaitu: Pantun Dua Kerat: Banyak udang banyak garam, Banyak orang banyak ragam. Secupak padi setahil berangan, Tersepak kaki terkehel tangan. (Sehijau Warna Daun, 2000: 3) Pantun Empat Kerat: Ada kolam ada masjid, Tempat orang sembahyang raya; Tengah malam bulan terbit, Bintang sebiji membawa cahaya. (Sekalung Budi Sekalung Bahasa, 2002: 3)

Ayam sabung jangan dipaut, Jika dipaut kalah laganya; Asam di gunung ikan di laut, Dalam belanga bertemu juga. (Sekalung Budi Sekalung Bahasa, 2002: 38) Pantun Enam Kerat: Penakik pisau raut, Ambil galah sebatang lintabung, Seludang dijadikan nyiru; Setitik dijadikan laut, Sekepal dijadikan gunung, Alam terbentang dijadikan guru. (Kerusi, 2002 : 3) Syair Pembunuhan Angreni: Setelah sampai ke tepi pantai, Pasirnya putih sangat permai, Batunya indah bagai dicanai, Ombak memecah di tepi pantai. (Anak Laut, 2002:5) Sajak Anak Laut: Segar angin laut mengembalikan rindunya pada kolek bagai buih kecil terapung di air menjaring sedikit rezeki dan sisik ikan kulit ketam kepala sotong dan kaki udang yang bersimpati.

Seperti kolek terdampar di pasir menampak urat jalur-jalur tua anak laut itu sudah dapat menerka langkahnya hampir tiba pada muara Pencipta. Rahimidin Zahari Kulesapkan Resah Sepi, 1988. Dewan Bahasa dan Pustaka. (Anak Laut, 2002: 16) Perkataan seperti udang, garam, padi, berangan, kolam, malam, bulan, bintang, cahaya, ayam, asam, gunung, ikan, laut, seludang, pantai, pasir, batu, ombak, angin, buih, air, sisik ikan, kepala sotong, kaki udang, dan muara dalam puisi tersebut ialah kata-kata yang mengisahkan atau yang berunsurkan alam semesta. Selain yang berunsur alam semesta yang terdapat dalam puisi, latar cerita dalam sesebuah hikayat juga ada memaparkan unsur alam yang luas dan tidak terbatas, meliputi alam kayangan, di bumi, negeri dasar laut, hutan, desa dan gunung-ganang. Unsur-unsur itu ialah yang meliputi segala macam makhluk alam lain selain manusia yang terdiri daripada kalangan jin, dewa-dewi, raksasa, binatang dan sebagainya. Misalnya latar tempat dalam cerita mitos berlaku di dunia luar, di dunia kayangan, dan di dasar laut. Latar tempat sejarah juga terdapat dalam cerita mitos. Misalnya, mitos asal usul nama negeri Melaka sebagaimana yang digambarkan dalam Sejarah Melayu mengambil latar tempat sejarah. Latar tempat di dasar laut pula melalui mitos dinasti seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu, iaitu seorang daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain memasuki dan melawat negeri bawah laut bernama negeri Dika. Beliau berkahwin dan mendapat tiga orang anak di negeri bawah laut itu. Unsur alam semesta juga dapat dilihat daripada watak dalam cerita. Contohnya yang jelas ialah watak-watak dalam cerita binatang, seperti watak Sang Kancil dan Pelanduk Jenaka. Watak-watak itu diberi sifat manusia dan boleh berkata-kata, berfikir, serta bertindak seperti manusia. Watak-watak yang digambarkan dalam karya juga merupakan unsur alam semesta. Umpamanya watak orang biasa, dewa, dan raksasa. Watak-watak itu mempunyai kesaktian tertentu seperti yang digambarkan dalam cerita Ramayana. Raja Rawana menjelmakan diri menjadi kijang emas dan melarikan Sita ke Langka. Berdasarkan sedikit

sinopsis atau ikhtisar Ramayana, dapat diketahui terdapat banyak unsur alam semesta yang ditonjolkan dalam cerita tersebut. Jelaslah bahawa kesusasteraan Melayu tidak dapat lari daripada unsur-unsur alam semesta kerana penceritaannya mesti berdasarkan ciri-ciri tertentu seperti latar masa, latar tempat, dan watak-watak. Dengan adanya ciriciri tersebut barulah karya kesusasteraan Melayu dikatakan lengkap. Sudah banyak dikata orang bahawa kesusasteraan dengan masyarakat amat rapat sifatnya. Malah, kesusasteraan ialah sebagai bahan yang perlu untuk melengkapkan sesebuah masyarakat kerana bahan kesusasteraan merupakan salah satu unsur kebudayaan dalam masyarakat. Jadi, apabila berbicara tentang kesusasteraan dan masyarakat, maka secara langsungnya kita meninjau dua cabang utama, iaitu kesusasteraan yang dihasilkan oleh ahli masyarakat untuk masyarakat, dan yang keduanya ialah kesusasteraan yang menjadikan masyarakat sebagai unsur di dalamnya. Kesusasteraan yang dihasilkan oleh ahli masyarakat untuk masyarakat bermaksud sesuatu karya atau bahan kesusasteraan yang dihasilkan itu mesti padan dengan peringkat, kemampuan dan keupayaan penerimanya serta memiliki nilai yang tinggi bagi kegunaan mahajana dalam masyarakat itu sendiri. Umpamanya, kesusasteraan Melayu sebagai salah satu aspek kebudayaan dalam masyarakat Melayu wajarlah dijadikan bahan utama dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu, patutlah apabila kerajaan bersetuju bahawa kesusasteraan Melayu dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam subjek Bahasa Melayu kerana sebelum itu telah ada cadangan dan saranan daripada pelbagai pihak agar pengajaran dan pembelajaran bahan kesusasteraan Melayu digunakan dalam pendidikan di semua peringkat serta hendaklah diwajibkan. Antaranya ialah Dr. Raja. Mukhtaruddin Raja Dain, matan atau bekas Pensyarah Ilmu Linguistik di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, yang pada tahun 1982 telah menyarankan supaya pengajaran kesusasteraan Melayu di semua peringkat diwajibkan (Berita Harian, 11 Disember, 1982). Selain itu, bahan-bahan kesusasteraan Melayu yang dipilih untuk pengajaran bagi setiap tingkatan haruslah dapat dihayati dan bersesuaian dengan kebolehan, tahap atau keupayaan murid. Kesesuaian bahan dengan murid telah terbukti apabila bahan kesusasteraan Melayu atau komsas yang ditetapkan untuk murid tingkatan 1 adalah lebih mudah dan tidak menuntut murid berfikir panjang berbanding dengan teks untuk murid tingkatan 4 dan 5. Contohnya, pemilihan puisi tradisional yang mengandungi pantun dua kerat, pantun empat kerat dan syair. Puisi tersebut dapat dihayati dan bersesuaian dengan kebolehan khalayak murid tingkatan 1. Sebagai contoh di bawah ini diketengahkan

pantun dua kerat, pantun budi, dan pantun kanak-kanak yang dipetik daripada antologi Sehijau Warna Daun yang menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran murid tingkatan satu. Pantun Dua Kerat: Siakap senohong gelama ikan duri, Bercakap bohong lama-lama mencuri. Mengaku dulang paku serpih, Mengata orang dia yang lebih. Banyak udang banyak garam, Banyak orang banyak ragam. Mentimum bongkok di balik tiang, Ayam berkokok alamat nak siang. Gendang gendut tali kecapi, Kenyang perut suka hati. Sudah gaharu cendana pula, Sudah tahu bertanya pula. Dahulu parang sekarang besi, Dahulu sayang sekarang benci. Tokok takal muka pintu, Orang nakal memang begitu. Keli masuk ruan keluar, Matahari masuk bulan keluar. Duduk inding enggag tap, Senduk di dinding, panggang di atap.

Secupak padi, setahil berangan, Tersepak kaki, terkehel tangan. Kapal belayar dalam semak, Perut lapar semua lemak. (Sehijau Warna Daun, 2002: 3) Pantun Budi: Tenang-tenang air di laut, Sampan kolek mudik ke tanjung; Hati terkenang mulut menyebut, Budi sedikit rasa nak junjung. Pulau pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga; Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga. Pisang emas dibawa belayar, Masak sebiji di atas peti; Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati. Tanam serai tanam halia, Tanam juga pokok sengkuang; Orang berbudi disanjung mulia, Ke mana pergi tiada terbuang. Kalau ada jarum patah, Jangan disimpan di dalam peti; Kalau ada silap dan salah, Jangan disimpan di dalam hati. (Sehijau Warna Daun, 2002: 4) Pantun Kanak-kanak:

Jangan gergaji pokok talas, Nanti lesung dimakan pahat; Jangan menjadi orang malas, Perut kosong badan tak sihat. Bintang tujuh sinar berseri, Bulan purnama datang menerpa; Ajaran guru hendaklah dicari, Apa yang dapat jangan dilupa. Terang bulan di malam sepi, Cahaya memancar ke pokok kelapa; Hidup di dunia buatlah bakti, Kepada saudara ibu dan bapa. (Sehijau Warna Daun, 2002: 5) Daripada segi pendidikan, baris-baris yang terdapat dalam pantun dua kerat itu dapat menyumbang ke arah pembinaan peribadi yang baik. Demikian juga dengan Pantun Budi dan Pantun Kanak-anak. Pantun-pantun tersebut ialah pantun empat kerat yang tidak juga menimbulkan masalah pemahaman kepada murid tingkatan 1. Hal ini bermakna bahawa karya kesusasteraan Melayu yang dihasilkan adalah untuk masyarakat kerana sesuai dengan tahap dan keupayaan penggunanya. Selain itu, hasil kesusasteraan Melayu mempunyai nilai estetik yang tinggi. Nilai estetik di sini bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya kesusasteraan. Nilai estetik ini subjektif sifatnya kerana berkaitan dengan perasaan manusia. Umpamanya, sajak-sajak Jihaty Abadi sering diiktiraf oleh pembicara sastera sebagai mengandungi nilai estetik yang tinggi. Contoh sajak beliau yang mempunyai nilai estetik yang tinggi ialah Merbah. Di dingin pagi kicauan burung di dahan perkarangan menghantar pulang usia remaja ke kampung pedalaman berdenak dan bersiul mematikan rimas bahang panas

Kubawa ke tepian kamar merbah sepasang di dalam sangkar sewaktu-waktu suara membuka merdu aku terlena dan hanyut mimpi mereguk puas piala madu Ketika terjaga terasa semakin manis hempedu pun menjadi gula aku pun diterbangkan ke ruang lupa (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005 : 122) Oleh itu, dalam sesebuah karya, aspek teknik serta gaya itulah yang menentukan nilai estetik. Sesebuah karya yang menarik mampu menarik perhatian masyarakat dan setiap karya yang dihasilkan bertujuan untuk dijadikan tatapan masyarakat. Demikianlah dengan kesusasteraan Melayu tradisional yang mempunyai motif yang sama, iaitu untuk menghiburkan masyarakat Melayu. Contohnya, fungsi cerita penglipur lara dan cerita binatang ialah sebagai alat hiburan, selain dapat juga menjadi kias ibarat. Jelaslah bahawa bahan kesusasteraan Melayu yang dihasilkan itu adalah untuk masyarakat dan mempunyai nilai yang tinggi bagi kegunaan masyarakat itu sendiri. Manakala kesusasteraan Melayu yang menjadikan masyarakat sebagai unsur di dalamnya adalah kerana hubungannya dengan masyarakat. Hakikatnya disebabkan kesusasteraan Melayu merupakan institusi masyarakat yang menggunakan bahan yang dipunyai oleh masyarakat berkenaan, bukan perkaitannya dengan bahasa semata-mata yang menjadikan dekatnya kesusasteraan dengan masyarakat. Pengkarya, penggubahan, dan bahan ialah sumber daripada masyarakat manusia. Pengkarya memperoleh bahan yang sebahagian besarnya ialah unsur kehidupan, hal-hal yang berlaku dalam masyarakat, dan persejarahan. Malah segala hal yang berlaku dalam masyarakat seharian menjadi unsur kepada penciptaan kesusasteraan sebenarnya. Hal ini jelas terbukti kerana pada zaman dahulu, pembelajaran yang berlaku pada kalangan masyarakat berlangsung secara tidak rasmi, iaitu dikelolakan oleh masyarakat sendiri. Kanak-kanak pula menerima pelajaran di rumah, surau atau sekolah pondok di kampung. Kurikulum yang diajar merangkumi perihal adat resam, perubatan tradisional, ekonomi, khususnya kemahiran mencari nafkah, bercucuk tanam, menangkap ikan, dan sebagainya serta hal-hal yang berkaitan dengan

kepahlawanan. Oleh itu, unsur-unsur kesusasteraan Melayu mempunyai hubungan dengan kehidupan masyarakat. Apabila dikaitkan dengan masyarakat, karya-karya kesusasteraan Melayu seperti novel, cerpen, dan sajak seolah-olah mencatat perihal manusia atau perihal masyarakat. Karya kesusasteraan Melayu juga cuba menggambar, meniru, dan yang paling utama ialah menganalisis masyarakat itu sendiri. Karya kesusasteraan menganalisis segala pergerakan kehidupan masyarakat, segala rintangan dan halangan, pendidikan, kemajuan, kemiskinan, kegigihan, dan kejayaan dalam kehidupan. Contohnya dalam sajak Seorang Guru Tua, penyajak mencatat perihal seorang guru, mengangkat keperibadian dan kegigihannya yang banyak berjasa mendidik murid-muridnya sehingga berjaya dalam hidupnya sebagai menteri dan orang kenamaan, sedangkan guru itu terus berbakti tanpa jemu: Guruku yang baik masih di situ masih memandu kereta lama masih menuju sekolah yang sama tiada kelihatan jemu dari air mukanya tiada kedengaran bosan dari suara bibirnya dia gigih menggenggam tanggungjawab yang diamanahkan. (Sehijau Warna Daun, 2002: 12) Demikian juga apabila kesusasteraan Melayu cuba menggambarkan realiti kehidupan masyarakat waima kejayaan atau kemiskinan. Contohnya dalam cerpen Hadiah Hari Guru yang mengisahkan perihal kemiskinan seorang murid bernama Ramli yang hanya mampu menghadiahi gurunya pucuk gajus di majlis hari guru kerana tidak mampu memberi hadiah yang lebih istimewa daripada itu. Perkaitan antara masyarakat dengan kesusasteraan Melayu dapat diperkuatkan lagi dengan adanya cerita legenda yang mengisahkan kehidupan dalam masyarakat tidak kira waima secara fantasi atau kejadian sebenar. Contohnya ialah cerita tentang Mahsuri, iaitu kisah hidup masyarakatnya yang menyebarkan fitnah sehingga Mahsuri dijatuhkan hukuman mati. Hal ini bermakna adanya

unsur kemasyarakatan dalam kesusasteraan Melayu. Walau bagaimanapun, cerita-cerita tentang masyarakat diceritakan dengan memasukkan unsur-unsur mitos dengan tujuan untuk membesar-besarkan keistimewaannya sehingga mereka menjadi kebanggaan masyarakat. Cerita-cerita yang berkaitan dengan masyarakat tersebut mempunyai tujuan tersendiri. Antaranya adalah untuk menguatkan kepercayaan anggota masyarakat terhadap sesuatu peristiwa yang bercorak sejarah atau untuk berbangga, atau untuk dijadikan teladan dan panduan kepada masyarakat tentang kepahlawanan dan kegagahan tokoh. Misalnya tokoh Hang Tuah menjadi kebanggaan bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah, Tak Melayu hilang di dunia menjadi sebutan masyarakat Melayu hingga sekarang. Jika disimpulkan kembali, kesusasteraan Melayu amat rapat dengan masyarakat. Kesusasteraan Melayu adalah perlu untuk melengkapkan sesebuah masyarakat kerana kesusasteraan Melayu ialah salah satu unsur daripada kebudayaan, manakala kebudayaan ialah kebulatan daripada pelbagai unsur. Jadi kebudayaan itu ialah keseluruhan perbuatan dan hasil usaha manusia yang terbit daripada budi bicara serta fikiran seseorang untuk memenuhi keperluan hidup. Oleh itu, unsur daripada kebudayaan masyarakat dalam penghasilan sesebuah karya kesusasteraan Melayu amat penting. Hal ini kerana berasaskan tujuan sebenar sesebuah karya kesusasteraan Melayu itu dicipta dan pengkaryanya. Malah, kesusasteraan Melayu secara keseluruhannya ialah perbuatan dan hasil usaha manusia yang terbit daripada akal budi bicara serta fikiran individu untuk memenuhi keperluan hidup. Motif atau fungsi penting penghasilan karya kesusasteraan Melayu dalam masyarakat adalah untuk keseronokan, kebajikan, dan sumber pekerjaan. Dengan demikian, masyarakat akan tetap menjadi pengguna hasil kesusasteraan Melayu buat selama-lamanya dan kesusasteraan Melayu juga diterajui oleh masyarakat. Sejarah kesusasteraan melihat karya kesusasteraan daripada sudut diakronik kronologi atau perkembangan dari semasa ke semasa. Kemunculan sesebuah karya merupakan satu peristiwa kesusasteraan. Karya kesusasteraan yang halus sifatnya dilihat sebagai memiliki permulaan, dan kehidupan yang kuat dan bertenaga. Bagi karya yang sedemikian mungkin berlaku proses transformasi, adaptasi, rombakan semula, ataupun kontroversi terhadap nilainya. Karya klasik biasanya melalui proses ini. Oleh itu, amat bermaknalah apabila meletakkan karya sedemikian atas sudut diakronik kronologi. Sudut diakronik kronologi digunakan bagi menghubungkan peristiwa kesusasteraan dan perspektif kemajuan pada satu zaman yang panjang, waima bagi sesebuah genre kesusasteraan, khususnya atau pada penciptaan kesusasteraan itu sendiri amnya. Di samping itu, ada dua bidang khusus

yang mempunyai panduan pengkajian yang tersendiri. Kajian kesusasteraan rakyat (folklore) melihat fenomena kesusasteraan lisan yang terhasil dalam masyarakat biasa yang memiliki kebudayaan kecil (little culture), serta mengkajinya berdasarkan teori yang diterima. Manakala kajian kesusasteraan bandingan pula melihat karya kesusasteraan daripada dua masyarakat yang berlainan, baik dalam aspek-aspek persamaannya atau perbezaannya. Walaupun seseorang pengarang itu tidak memerlukan bidang ilmu kajian kesusasteraan untuk melahirkan karya yang baik, namun pengkaji memerlukan cabang-cabang ilmu untuk berbicara tentang kesusasteraan secara ilmiah. Seseorang pengarang kesusasteraan boleh menentukan dirinya untuk memilih dan mengkhusus satu-satu bidang waima yang berkaitan tentang teori, sejarah, atau kritikan. Namun, bidang-bidang itu ada pertaliannya dengan yang lain. Walau bagaimanapun, bidang-bidang itu kini menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan IPT. Dengan itu, semua pihak dapat menghayati kesusasteraan dengan lebih mendalam lagi. Selain itu, kesusasteraan sebagai satu fenomena telah menampakkan dua kegiatan yang selari. Pertama, kegiatan penghasilan, iaitu proses menghasilkan karya oleh penulis. Kedua, kegiatan penghayatan, iaitu proses mendengar, atau membaca karya oleh anggota masyarakat. Dalam konteks masyarakat lama, kedua-dua aktiviti ini berkaitan, dan tidak melibatkan banyak masalah. Tetapi, setelah masyarakat berkembang timbul pula fikiran tentang fenomena ini. Persoalan yang timbul adalah tentang sejarah penghasilan karya dan tujuan penghasilannya. Semuanya timbul kerana pemikiran masyarakat. Dalam usaha mentakrifkan kesusasteraan, kita juga mungkin menemui unsur-unsur dasar sekiranya kita melihat tujuan sebenar karya-karya itu dikarang. Mukadimah Hikayat Isma Yatim menjelaskan tujuan penghasilan karya itu. Setelah membaca hikayat itu pembaca akan memperoleh manfaat. Karya ini memaparkan contoh dan tradisi kesusasteraan Islam, misalnya tentang nilai-nilai kerukunan hidup. Akan tetapi karya-karya yang lebih awal juga tidak kurang mementingkan unsur manfaat. Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan berbagai-bagai kisah lain juga mementingkan sumbangan yang mungkin diberikan oleh pujangga. Hanya cara penyampaiannya mungkin berlainan dan juga penekanannya berbeza-beza antara satu sama lain. Di samping itu, kesusasteraan juga boleh dianggap sebagai gedung ilmu sesuatu bangsa. Karya-karya lama Melayu mengumpul ilmu pengetahuan terbaik untuk pembaca. Ilmu ini dikutip daripada berbagai-bagai pujangga, pemikir dan seniman lalu dibawa ke dalam karya dengan tujuan supaya ilmu ini dapat membantu pembaca. Dengan itu, masyarakat hari ini boleh

membuat rujukan daripada karya-karya yang dihasilkan. Karya-karya yang telah dihasilkan banyak memberi pengajaran kepada pembaca. Mesej yang ingin disampaikan adalah berbeza-beza antara satu karya dengan karya yang lain. Oleh itu, masyarakat harus pandai memilih karya sastera yang sesuai sebagai panduan dan penggunaan mereka. Dari zaman awal sehinggalah sekarang, kita melihat banyak bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu menuntut pelajaran dan pengajaran daripada karya-karya kesusasteraan Melayu. Dalam karya prosa misalnya, waima drama, novel mahupun cerpen terdapat nilai-nilai murni yang ditonjolkan. Nilai-nilai tersebut dapat dijadikan panduan kepada pembaca novel atau cerpen tersebut. Namun begitu, terdapat juga watak-watak yang menunjukkan perwatakan yang tidak baik pada akhir penceritaan. Biasanya, watakwatak yang tidak baik ini akan mengalami penyesalan. Oleh itu, masyarakat yang membacanya dapat menilai sesebuah watak dan perwatakan waima baik atau sebaliknya. Melalui perwatakan tersebut, masyarakat boleh menjadikannya sebagai satu pengajaran dan tidak akan mencontohinya dalam situasi kehidupan mereka. Misalnya dalam novel Konserto Terakhir, watak Hilmi tidak disenangi oleh Datin Salmah tetapi dia tabah menjalani kehidupan seharian walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai hinaan daripada Datin Salmah. Pada akhir penceritaan, watak Datin Salmah mengalami penyesalan kerana mengetahui keadaan Hilmi yang jatuh sakit yang juga anak tirinya. Implikasi cerita itu sudah pasti pembaca akan mendapat pengajaran daripada sikap yang tidak baik yang ditonjolkan dalam novel berkenaan. Pembaca mungkin akan menilai watak Datin Salmah yang seharusnya tidak patut berkelakuan sedemikian kerana Hilmi ialah manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Penilaian terhadap diri seseorang juga tidak harus dibuat berasaskan rupa paras, darjat, kepercayaan, keturunan, pangkat, kedudukan, dan harta benda. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat sikap bantumembantu mesti ada tidak kira waima kepada orang miskin mahupun orang kaya. Selain itu, sesebuah karya kesusasteraan waima novel, cerpen, atau sajak ialah lukisan kehidupan masyarakat. Hal ini kerana karya kesusasteraan memaparkan penganalisisan aspek-aspek kehidupan masyarakat dan kehidupan kita sendiri. Pengarang-pengarang karya yang mempunyai pemikiran yang tajam dapat menganalisisnya sebelum menjadikannya sebagai sebuah karya. Daripada ragam-ragam hidup masyarakat yang mengalami pelbagai rintangan dan dugaan hidup inilah, maka pengarang karya dapat menjadikannya sebagai sebuah karya. Karya-karya yang telah dihasilkan itu pula akan dibaca juga oleh masyarakat berkenaan. Maka, di sini dapat dikatakan bahawa masyarakat membaca cerita mereka sendiri. Sebagai contoh ialah paparan cerita dalam

novel Ranjau Sepanjang Jalan yang mencatat kisah kehidupan kaum tani yang serba miskin. Oleh itu, sedikit sebanyak novel ini dapat memberi pengajaran dan keinsafan kepada masyarakat. Seperkara lagi ialah sesebuah karya kesusasteraan mempunyai unsur pengajaran yang dikenali sebagai dedaktisme yang menekankan aspek nasihat atau tunjuk ajar serta dapat membentuk sahsiah murid di samping memantapkan penggunaan bahasa agar mereka berupaya meningkatkan pemikiran kritis. Selain itu, karya kesusasteraan juga dapat dikaitkan dengan sifat kreatif. Kekreatifannya dapat dilihat melalui penggunaan kepelbagaian teknik penceritaan, dan penggunaan plot yang menarik. Contohnya, drama-drama karya Nordin Hassan seperti drama Anak Tanjung dan drama Sirih Bertepuk Pinang Menari, plotnya amat menarik dan terdapat unsur kreatif. Apabila diteliti daripada sudut bahasa karya-karya kesusasteraanlah sumber yang paling ideal kerana keluasan dan kepelbagaian gaya yang sering dilenturkan untuk menyatakan emosi yang bermacam-macam. Pengarang yang kreatif akan cuba menggunakan bahasa seluas mungkin meliputi pemilihan ayat, gaya bahasa, ungkapan-ungkapan khusus, dan meluaskan penggunaan bahasa-bahasa kiasan untuk mencapai kesan yang mendalam. Oleh itu, pemilihan karya-karya kesusasteraan yang baik adalah perlu. Karya yang baik untuk murid ialah karya yang mempunyai unsur pengajaran dan panduan yang boleh dicontohi. Melalui karya kesusasteraan, masyarakat dapat menjadikannya sebagai panduan dan pengajaran hidup dalam menghadapi kehidupan yang serba mencabar. Unsur-unsur dalam Komsas Dasar Pendidikan di Malaysia ialah dasar pendidikan yang berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu yang merupakan satu usaha yang berterusan dari peringkat awal pendidikan hingga ke peringkat seterusnya, yang semata-mata ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu agar kemudiannya akan tercapai matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha itu mempunyai tujuan yang murni, iaitu untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Jika dihalusi secara umumnya, pernyataan yang terkandung dalam FPK itu menggambarkan bahawa hasrat pendidikan negara adalah untuk mendidik setiap individu dalam negara ke arah satu hala tuju, iaitu pembinaan individu yang mulia yang kemudiannya menjadi rakyat Malaysia yang berkualiti. Malah dalam FPK juga menjelaskan bahawa pendidikan di negara ini ialah

pendidikan yang bersifat berterusan kerana adanya unsur-unsur kesinambungan antara pengajaran dan pembelajaran daripada satu peringkat kepada peringkat yang seterusnya. Selanjutnya, FPK itu juga bermakna bahawa pendidikan di Malaysia memiliki fungsi untuk memperkembang bakat dan kemampuan murid waima daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani secara menyeluruh dan bersepadu. Selain itu, FPK itu menegaskan bahawa kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan hendaklah dijadikan teras dalam pengembangan bakat dan kemampuan murid, agar tercapai matlamat yang ditetapkan, iaitu membina murid yang bersahsiah, yang seimbang, dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta menjadi warganegara yang bersatu padu, berdisiplin, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkebolehan, berwawasan, dan terlatih untuk memberi sumbangan terhadap kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. Asas kepada penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ialah FPK. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji pelaksanaan dasar pengajaran telah diterbitkan pada tahun 1979. Laporan itu telah menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan prinsip, nilai dan hala tuju pendidikan. Ekoran daripadanya, maka KPM mewujudkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, matlamat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) adalah untuk memperkembang potensi individu secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia. Hal ini bermakna matlamat KBSM itu bertepatan dan selaras dengan kehendak FPK. Kesusasteraan Melayu yang diajar dalam subjek Bahasa Melayu yang dikenali sebagai komsas atau s kecil dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah itu memenuhi cita-cita FPK kerana matlamatnya juga mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Hal ini sesuai kerana kesusasteraan mencerminkan masyarakat dan budaya serta merupakan manifestasi kesenian melalui media bahasa yang kreatif lagi indah. Justeru, cara mengenal dan memahami karya kesusasteraan Melayu melalui pendidikan Bahasa Melayu itu membolehkan murid dapat memahami manusia di sekitarnya dan membolehkan penyerapan nilai-nilai murni serta seterusnya membantu matlamat ke arah usaha melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Di samping mendidik murid menikmati kehalusan dan keindahan gaya bahasa

dalam karya, komsas juga memberi peluang kepada mereka untuk menguasai sistem dan tatabahasa Bahasa Melayu dengan baik. Unsur intelek dalam FPK mengandungi hikmah atau ilmu yang bermatlamatkan kebenaran, iaitu yang menggambarkan pemikiran logik, analitik, kreatif, kritis, imaginatif dan naratif untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jika diteliti bahan-bahan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu, semua bidang tentang psikologi, moral, falsafah, agama, sosiologi dan sejarah ada diketengahkan oleh para pengarang kesusasteraan Melayu. Bahan-bahan kesusasteraan Melayu menggarap hal-hal tersebut dan banyak lagi. Malah, bahan tersebut sering diperlakukan sebagai maklumat budaya atau bagi bahan-bahan tradisional khususnya, teks kesusasteraan Melayu dianggap sebagai maklumat tuntas atau ensiklopedia bangsa kerana banyaknya ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya. Jikalau kita mengharapkan pengalaman semata-mata memanglah tidak cukup kerana pengalaman yang dilalui oleh insan hanya mengajar kita tentang kehidupan yang agak terbatas. Namun, komsas telah membuka dan menambah skop pengalaman kita kerana komsas menyediakan pengalaman-pengalaman manusia daripada pelbagai budaya dan dari pelbagai zaman. Lebih-lebih lagi kerana setiap bahan kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu, khususnya akan menambah pengetahuan dan pengalaman individu, seolah-olah kita yang membaca bahan itu akan mengalami segala yang dialami oleh watak-watak dalam dunia cereka, di samping mengalami pengalaman daripada pengarangnya. Sebagai contoh, alam yang segar dan indah di Tasik Biru, Sarawak, telah mempengaruhi jiwa Kemala untuk menulis sajak Tasik Biru, Bau, Sarawak. Keindahan tasik itu bukan hanya pada lahiriah sahaja tetapi keindahan itu dapat menusuk mimpimimpi abstraksi dalam dirinya: apakah warnanya di sebalik lahiriah ini? biru? hijau atau sesuatu yang baru bukan di depan kenyataan saja tapi jua mimpi-mimpi abstraksi jawapannya terendap di kamar sutera rohani wujud roh menggamit makna. (Sehijau Warna Daun, 2002: 13)

Sebagai ilmu pengetahuan, komsas mengandungi kebenaran. Kebenaran tersebut dicapai melalui daya khayal dan gerak hati, atau lebih tepat disebut sebagai imaginasi dan intuisi. Bahan kesusasteraan Melayu yang dibaca dalam subjek Bahasa Melayu mungkin tidak mengetengahkan pernyataannya melalui hujah yang analitis, tetapi penghayatannya memang boleh membentuk insan itu berfikir secara kreatif dan kritis. Selalunya konsep kreatif itu merujuk perihal individu yang terpaksa membentuk semula hal tentang pemaknaan, penilaian, keilmuan waima yang tersurat mahupun yang tersirat, serta membuat pertimbangan, kesimpulan, dan keputusan. Manakala, konsep kritis pula merujuk hal-hal yang berhubungan dengan penghayatan terhadap bahan kesusasteraan Melayu yang memerlukan penilaian dan penaakulan. Oleh itu, kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu amat penting dalam membina manusia yang kreatif, dan kritis. Bahan kesusasteraan Melayu yang dibaca dalam subjek Bahasa Melayu sering juga disifatkan sebagai bahan yang mempunyai hubungan dengan pemikiran. Hal ini kerana bahan itu dilihat sebagai suatu bentuk falsafah yang tersimpan dalam bentuk khusus. Malahan bahan kesusasteraan Melayu dianggap sebagai dokumen sejarah, pemikiran, dan falsafah. Lebih-lebih lagi apabila sesetengah bahan kesusasteraan Melayu yang bernilai, biasanya mendokong pengertian pemikiran, falsafah dan saintifik. Hal ini dapat dilihat berasaskan tema, dan persoalan yang dikemukakan. Penghasilan sesebuah karya dan teknik penyampaian turut membawa kita yang membacanya berfikir, merenung dan menilai simbol-simbol yang ada. Sebagai contoh yang dapat dilihat tentang pemikiran dan falsafah yang menyentuh perkembangan intelek adalah seperti yang terkandung dalam novel Putera Gunung Tahan. Novel karya Ishak Hj.Muhamad ini secara sinis menyindir golongan penjajah yang telah merampas hak dan maruah orang Melayu. Namun, unsur intelek yang terdapat dalam sesebuah karya itu, secara logiknya bergantung waima kepada cetusan perasaan dan pengalaman yang dilalui oleh pengarangnya terhadap sesuatu permasalahan sosial, ekonomi mahupun politik pada kalangan masyarakat. Dalam proses penghasilan sesebuah karya kreatif, aspek-aspek struktur seperti tema, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, latar, pusat penceritaan, dan perlambangan ialah suatu usaha untuk melukiskan pernyataan, dan permasalahan masyarakat. Unsur rohani dalam FPK mengandungi hikmah yang mempunyai matlamat, iaitu keyakinan kepada Tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa, menghubungkan nilai murni dengan norma masyarakat, dan mempunyai sahsiah yang mulia. Sehubungan dengan itu, kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu itu boleh disifatkan sebagai

menekankan proses pengajaran dan pembelajaran ke arah memupuk, dan memperkaya kehalusan perasaan, serta memperteguh rasa penghargaan, dan keindahan terhadap bahan kesusasteraan Melayu. Nilai estetik yang ada dalam pelbagai bahan kesusasteraan Melayu yang dibaca dalam subjek Bahasa Melayu itu menekankan aspek-aspek pembangunan insan. Hal ini terserlah dalam genre pantun dan sajak kerana memuatkan nilai moral, kebijaksanaan, budi bahasa, dan pemikiran-pemikiran masyarakat Melayu. Baris-baris pembayang yang diketengahkan sering berhubung kait dengan alam kehidupan seharian, manakala maksudnya adalah tentang psikologi, dan kerohanian manusia. Demikian juga dengan sajak Burung Tempua misalnya, menyarankan agar pembaca mengambil iktibar daripada sikap burung tempua yang tekun dan rajin berusaha. Tanpa mengenal jemu menganyam rapi jerami dan rumput mencipta rumah tempat berlindung membina bilik tempat berteduh dari hujan dan ribut sering merempuh. (Sehijau Warna Daun, 2002: 13) Selain itu, kesusasteraan Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu menekankan pembentukan citra atau imej yang baik untuk khalayaknya. Imej dalam konteks ini menjurus pembinaan insan. Hal sedemikian terpapar melalui pelbagai genre kesusasteraan Melayu. Malah, hal itu sesuai pula dengan disiplin kesusasteraan Melayu itu sendiri, iaitu untuk mendidik dan membina nilai-nilai akhlak murid. Sebagai contoh, antara karya kesusasteraan Melayu yang memaparkan unsur rohani ialah novel Salina kerana dipusatkan nilai-nilai murni melalui watak utamanya yang memiliki jiwa yang penuh kasih sayang dan bertanggungjawab, sekalipun watak utamanya ialah seorang pelacur. Unsur emosi dalam FPK mengandungi hikmah yang mempunyai matlamat, iaitu keyakinan kepada Tuhan, kepercayaan beragama, kemantapan jiwa, menghubungkan nilai murni dengan norma masyarakat dan mempunyai sahsiah yang mulia. Unsur emosi dan kesusasteraan pernah dihubungkaitkan oleh Aristotle dengan fungsi catharsis, iaitu untuk mendidik dan memandu emosi manusia bagi menjadikannya lebih stabil apabila berdepan dengan sesuatu tragedi, tekanan emosi, dan kemelut hidup. Sesungguhnya, masyarakat silam telah banyak memanfaatkan kesusasteraan untuk tujuan

tersebut . Dalam sistem pendidikan di Malaysia, pengajaran kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu ialah unsur yang paling sesuai bagi menerapkan kecerdasan emosi. Pengurusan emosi yang betul membolehkan manusia mangawal sikap dan perasaannya, memahami orang lain, dan seterusnya berjaya pula menjalinkan hubungan positif sesama insan. Sebagai contoh, dalam Puisi Buat Mama penyajak melukiskan bagaimana perpisahan yang terjadi menyebabkan pengorbanan dan nilai kasih sayang seorang ibu kepada anak tiada dapat diukur dengan kata-kata. Kali ini kita biarkanlah perpisahan ini satu pengorbanan yang perlu kerana hidup ini hanya akan bererti bila kita tiba-tiba merasa kehilangan dan diperlukan. (Sehijau Warna Daun, 2002: 12) Jika diteliti, kesusasteraan Melayu mempunyai sumber yang kaya dengan nilai dan emosi. Malahan, kesusasteraan Melayu patut dimanfaatkan untuk membentuk keperibadian generasi muda. Karya-karya kesusasteraan Melayu yang bermutu tinggi waima yang berupa novel, cerpen, drama, sajak, syair dan prosa tradisional bukan sahaja berperanan sebagai wahana tetapi mampu menggilap potensi diri murid. Seseorang murid yang menghayati watak dan perwatakan dalam sesebuah karya yang dibacanya dapat memperkembang emosinya sendiri. Contohnya watak dalam novel Seteguh Karang ada memperlihatkan emosi seperti simpati, sedih, kecewa, pasrah dan sebagainya. Dengan itu, pembaca yang menjiwainya akan turut beremosi dan bersimpati terhadap watakwatak yang terdapat dalam novel tersebut. Dalam sistem pendidikan di Malaysia, pengajaran kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu ialah unsur yang paling sesuai bagi menerapkan kecerdasan jasmani. Perkembangan daripada segi jasmani boleh diterapkan melalui teknik-teknik yang biasa digunakan oleh guru yang terlatih seperti teknik penggunaan deria, main peranan, simulasi, bercerita, lakonan waima secara spontan atau berskrip, pentomin, boneka, perbincangan, permainan bahasa kesusasteraan, dan kuiz. Murid-murid yang didedahkan dengan pelbagai teknik dalam pengajaran kesusasteraan Melayu secara tidak langsung berupaya dalam pergerakan. Malah mereka akan lebih aktif. Selain itu, perkembangan daripada segi jasmani ini bukan sahaja melibatkan aktiviti di dalam bilik darjah, malahan

melalui pelbagai aktiviti di luar kelas. Contohnya apabila pihak sekolah mengadakan aktiviti seperti pertandingan pementasan drama, teater atau sebagainya yang melibatkan murid untuk bergiat secara aktif dalam sesuatu aktiviti yang telah dijalankan. Teknik sosiodrama, misalnya yang dilaksanakan oleh guru adalah untuk mewujudkan perhubungan antara insan dan masyarakat. Antara langkah yang boleh dijalankan adalah dengan meminta murid mengemukakan sesuatu masalah. Selepas itu, guru akan meminta murid agar melakonkan permasalahan seperti yang difikirkan oleh mereka. Kemudiannya, mereka akan berbincang tentang hasil perlakuan tersebut. Melalui aktiviti ini, murid akan belajar untuk bergerak secara berkumpulan, tidak kira kumpulan itu besar ataupun kecil, semata-mata untuk meningkat persefahaman pada kalangan mereka yang terlibat. Dengan demikian, bakat dan kebolehan murid dapat dicungkil. Daripada apa yang telah dibincangan sebelum ini, pendeknya, pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah bukan sahaja mampu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan tetapi juga bertujuan untuk melahirkan murid yang memiliki keterampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Di samping itu, pendidikan bahasa dipercayai dapat juga dijadikan sebagai wahana ilmu, fikiran dan perasaan bagi pelbagai bangsa di Malaysia. Hal ini juga bermakna bahawa Bahasa Melayu yang merupakan mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah tidak bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Malah, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan rakyat di Malaysia serta sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat dalam satu wawasan. Selain itu, bahasa Melayu yang mempunyai potensi untuk dimartabatkan dan diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi teknologi maklumat dan komunikasi itu berhasrat membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan kebitaraan, kerasionalan, keintelektualan, kekreatifan, kesaintifikan, dan kerohanian rakyat. Sejajar dengan itu, sesuailah fokus utama pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah adalah untuk memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Hasrat ini telah digubal berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Lebih-lebih lagi hakikatnya, pendidikan Bahasa Melayu KBSM yang meliputi tingkatan satu hingga lima menjanjikan

hasrat untuk terus meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis pada kalangan remaja serta memupuk kepekaan terhadap variasi bahasa dalam pelbagai keadaan, sistem bahasa dan gaya bahasa yang indah. Malahan, pendidikan Bahasa Melayu KBSM juga menanam kesedaran terhadap unsur dan nilai kemanusiaan secara menyeluruh melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan Melayu (Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan V, 1992: vii). Bahkan, pendidikan Bahasa Melayu KBSM sememangnya sudah lama menjadikan kesusasteraan Melayu sebagai unsur atau komponen penting dalam programnya. Selain itu, kesusasteraan disifatkan berupaya untuk menjadikan seseorang itu lebih peka, lebih prihatin terhadap pengolahan bahasa, di samping membantunya untuk menghayati pengalaman, pengamatan, sensitiviti, tafsiran, aliran perasaan dan daya intelek, dan pemikiran pengarang terhadap berbagai-bagai fenomena kehidupan di sebalik struktur kata-kata yang indah itu. Dalam perpektif tersebut jugalah ternyata bahawa fungsi bahasa Melayu yang semakin meluas, sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi negara dan seperti yang terkandung dalam pendidikan Bahasa Melayu KBSM menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu. Murid-murid bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan ketepatan berkomunikasi, tetapi juga perlu memahami sistem bahasa Melayu yang mampu mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan harian selaras dengan peranannya sebagai bahasa perpaduan rakyat, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu pengetahuan yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat. Sehubungan dengan itu, kesusasteraan Melayu disediakan bagi memenuhi keperluan murid dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Rentetan itu, kesusasteraan Melayu telah dijadikan sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi menambahkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu mencakupi pendedahan apresiasi karya-karya kesusasteraan Melayu daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, puisi moden, prosa klasik, drama, cerpen dan novel. Melalui pendedahan dan penelitian karya-karya seperti itu, murid diharapkan dapat mengenal dan menikmati karya-karya kesusasteraan Melayu negara. Selain menggalakkan lagi minat membaca murid, karya tersebut dapat juga menjadi wahana bagi murid memahami budaya dan cita rasa masyarakat negara ini. Murid diharapkan juga akan berminat untuk berkarya bagi melahirkan idea dan cita rasa mereka sendiri. Justeru, dengan usaha yang demikian akan mempertingkatkan kemahiran berbahasa murid.

Dengan yang demikian dan seperti yang telah dijelaskan, hasrat pendidikan yang ingin dicapai melalui FPK ialah pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu diharapkan dapat menyokong teras pembentukan individu ini, terutamanya daripada segi pemupukan ilmu, kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan aspek intelek dan emosi. Penerapan elemen-elemen ini dalam karya kesusasteraan Melayu yang terpilih mampu menjadikan murid insan yang berfikir tentang kebaikan, kehalusan budi pekerti, kesantunan berbahasa, kecekalan hati, keindahan seni dan kebenaran, dan seterusnya menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan. Oleh itu, keistimewaan unsur atau komponen kesusasteraan Melayu dan manfaat daripada penggunaannya dalam pendidikan Bahasa Melayu KBSM tidak dapat diragukan lagi. Penutup Sebagai kesimpulannya, pengajaran kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang, matang, prihatin, dan beretika tinggi. Pelajaran kesusasteraan Melayu atau komsas ini penting kepada pelajar, bukan setakat menghafal cerita, malah karya komsas yang disenaraikan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kaya dengan khazanah ilmu, nilai, budaya, pengalaman, etik dan pelbagai lagi. Bahkan, didapati di dalamnya terangkum dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak ada akhirnya yang sekali gus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu bangsa, termasuk budaya dan evolusi masyarakatnya. Dengan demikian tidaklah lagi timbul masalah atau perkara yang mengelirukan guru dan pelajar kerana hakikatnya, pengajaran dan pembelajaran komsas dapat memperlengkap pengetahuan dan persediaan untuk mengajar dan belajar subjek Bahasa Melayu dengan yakin. Bibliografi Abd. Rahman Hanafiah, 1990. Kesusasteraan dalam Pembelajaran Bahasa dan Kesusasteraan Sebagai Mata Pelajaran: satu Perbandingan. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Kesusasteraan dalam Pendidikan Bahasa Malaysia pada 6 dan 7 Oktober, anjuran Peserta Kursus 14 Minggu, IBKL. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 1997. Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Disertasi untuk ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Moden, Universiti Malaya.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2003. Teori Bahasa: Implikasinya Terhadap Pengajaran Tatabahasa. Tg.Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005a. Citra Komsas. Tg.Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005b. Stilistik Komsas. Tg. Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005c. Pengajaran Gaya Bahasa dalam Bahasa Melayu. Jurnal Pengajian Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Komsas dan Tatabahasa Melayu Teras Pegangan Guru. Kuala Lumpur : Icon Region Sdn Bhd. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Komsas Pegangan Teras Keterampilan. Kuala Lumpur : Icon Region Sdn Bhd. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Pendekatan Pembelajaran Kontekstual dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Jilid 3. Tanjong Malim : Jabatan Bahasa Melayu, UPSI. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir dan Nik Rubiah Nik Mustapha, 2007. Penggunaan ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Jilid 3. Tanjong Malim : Jabatan Bahasa Melayu, UPSI. Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir dan Abdul Hamid Mahmood, 2007. Kemahiran Belajar Cara Belajar. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Jilid 3. Tanjong Malim : Jabatan Bahasa Melayu, UPSI. Dicatat oleh PENYELIDIKAN IPM di 7:00 PM