Anda di halaman 1dari 11

BAB 2

TINJAUAN LITERATUR

2.1 Pendahuluan

Bab ini menjelaskan perkara-perkara berikut:


i. Matlamat dan Objektif Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah;
ii. Aliran Pemikiran Berkaitan Penulisan;
iii. Bidang Pelajaran Bahasa Melayu KBSR;
iv. Pandangan Ekspresif;
v. Pandangan Kognitif;
vi. Pengajaran Kemahiran Menulis Karangan;
vii. Karangan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa;
viii. Tujuan Pengajaran Karangan;
ix. Kemahiran Menulis Peringkat Rendah;
x. Konsep Pengajaran Dalam Kemahiran Menulis Karangan.

Dalam konteks pendidikan, murid seharusnya diberitahu tentang kepentingan kemahiran


penulisan perlu dikuasai menerusi pembelajaran formal. Kemahiran dalam penulisan
memerlukan penulisnya menguasai kaedah yang begitu berkesan supaya penyampaian mesej
atau maklumat dapat dibuat tanpa sebarang halangan komunikasi. Proses memberikan
kefahaman kepada pembaca menjadi lebih baik apabila penulis menunjukkan penguasaan
yang mendalam dalam bidang penulisan.

2.2 Matlamat Dan Objektif Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah

Matlamat mata pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah ialah untuk melahirkan murid
yang berketrampilan dalam berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu sesuai dengan semangat
Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Setelah mengikuti mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah murid dapat:
i. mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupan
sehari-hari;
ii. bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta menggunakan
bahasa yang sesuai dan bertatasusila;
iii. membaca untuk memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan;
iv. menjadikan pembacaan sebagai satu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan
pengetahuan dan hiburan;
v. menulis pelbagai karangan dan surat kiriman mengikut tajuk dan format yang betul;
vi. memahami dan mengisi borang yang sesuai dengan betul;
vii. menghargai dan menghayati nilai estetika dalam karangan prosa dan puisi;
viii. menggunakan bahasa Melayu untuk memperoleh pelbagai ilmu;
ix. menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam lisan dan penulisan;
x. memberi makna dan menggunakan peribahasa dalam konteks yang betul dan sesuai;
xi. menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan untuk berkomunikasi antara ahli
masyarakat yang berbilang keturunan.

2.3 Aliran Pemikiran Berkaitan Penulisan

Vygotsky (1962) menyatakan, penulisan melibatkan proses mental yang dianggap


lebih abstrak daripada bercakap. Ciri itu dapat diterjemahkan melalui kesukaran menyatakan
pandangan atau idea dalam bentuk tulisan yang dapat memberikan kefahaman kepada
pembaca. Manakala Bailey (1984) pula menyatakan penulisan memerlukan usaha membuat
draf dalam mental. Oleh itu dalam proses penulisan, bahan-bahan yang hendak ditulis perlu
difikir, dibayang dan dicuba dalam fikiran penulis terlebih dahulu sebelum diperincikan
kepada pembaca.
Isahak Haron (1978) menyatakan penulisan berkaitan dengan keupayaan intelek dan
mental penulis dalam menggarap idea. Penulis berfungsi untuk menggambarkan pemikiran
penulis kepada khalayaknya. Beliau berpendapat kemahiran pertama yang diperlukan bagi
menulis adalah kemahiran penulisan secara mekanis. Kemahiran kedua adalah kemahiran
bagi mendapat dan mengumpulkan maklumat. Idea dan ekspresi penulis dilahirkan serentak
dan kemahiran berikutnya penulis perlu menyusun idea yang mahu disampaikan. Selain itu,
bagi menghasilkan sebuah tulisan, penulis perlu mahir mengorganisasikan idea supaya
keseluruhan hasil tulisan bertautan dan saling bergantung antara satu dengan lain.

2.4 Bidang Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah


(KBSR)

Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa ilmu pengetahuan serta alat komunikasi
utama dalam perpaduan rakyat. Oleh itu KBSR memberi tumpuan kepada membina
kemahiran berbahasa dalam kalangan murid dan menggunakannya dengan berkesan sebagai
alat menimba ilmu dan alat berkomunikasi. Penggunaan bahasa Melayu yang meliputi
sebutan, ejaan, tatabahasa, istilah dan kosa kata diberi penekanan di dalam bilik darjah dan
situasi-situasi formal. Pada tahap satu, murid dibimbing menguasai kemahiran asas
mendengar, bertutur, membaca dan menulis dengan menggunakan bahan ilmu pelbagai
sumber. Unsur Sains dan Kajian Tempatan turut diperkenalkan pada peringkat ini melalui
bahan pengajaran dan pembelajaran. Pada tahap dua pula, kemahiran belajar dan kemahiran
berfikir melalui pembacaan, perbincangan dan penulisan yang telah dimulakan pada tahap
satu diberi penekanan. Secara keseluruhannya, mata pelajaran bahasa Melayu mengandungi
perkara yang dapat dipraktik di bilik darjah dan diamalkan dalam kehidupan harian murid
untuk meluaskan ilmu pengetahuan dan perhubungan dengan masyarakat.

2.5 Pandangan Ekspresif

Pedagogi penulisan mengajar murid asas dalam menulis pada peringkat permulaan
bagi tujuan pembinaan. Pelaksanaan dalam bidang penulisan pula boleh dibahagikan kepada
dua kumpulan. Guru dalam kelompok penggerak secara ekspresif menumpukan kepada
pentingnya kejujuran, intergriti, pemikiran secara spontan dan ketulenan dalam penulisan
karangan di dalam bilik darjah. Murid digalakkan menggunakannya melalui kekuatan bahasa.
Guru dan penyelidik percaya pada pandangan ekspresif kerana pendekatan ini menekankan
keupayaan diri semasa menulis dengan murid memperoleh idea melalui penulisan bebas dan
teknik penjanaan idea menggunakan strategi sumbang saran.

Fokus pengajaran di dalam bilik darjah berubah berdasarkan ‘output’ terakhir yang
dihasilkan. Ini termasuk aktiviti menstrukturkan serta melakukan kerja pengeditan dan
memperbaiki kesalahan yang dilakukan sehinggalah dapat menyiapkan teks. Tumpuan
perhatian ke arah pemupukan kreativiti dan penemuan kendiri dapat dilakukan melalui
penulisan jurnal ataupun buku catatan harian. Aktiviti itu juga membolehkan murid menulis
secara bebas tanpa diganggu oleh penilaian tatabahasa dan guru tidak membebankan daripada
segi perbincangan. Di samping itu, aspek topik, struktur, komen yang kritikal dan juga
pemberian gred yang sesuai adalah isu yang sering dibangkitkan dalam sistem pendidikan
bahasa terutamanya dalam dalam kemahiran menulis.

Penggunaan kaedah penulisan secara bebas diberikan kepada murid dengan tujuan
memberikan peluang menggunakan bahasa sebagai alat berfikir. Guru juga boleh
menggantikan bentuk prosa yang bersifat impersonal kepada yang lebih memberikan fokus
pada aspek hasilan sebagaimana yang wujud sejak sekian lama.

Bentuk penulisan itu dikenali juga sebagai penulisan bebas. Penulisan menyarankan
supaya penulis menulis segala idea di atas kertas dengan cepat tanpa menekankan aspek
perkataan dan struktur ayat yang boleh mengganggu pemikiran dan penjanaan idea. Melalui
penulisan secara bebas, penulis perlu menggunakan kaedah yang membantu murid
memindahkan idea dalam bentuk perkataan dan dinyatakan di atas lembaran kertas. Murid
dapat menemui makna sebenar penulisannya dan juga perkara yang hendak disampaikan.
Pendekatan penulisan secara tidak berfokus ini selalunya berguna dalam membina keunikan
penulis dan hasil yang autentik iaitu ketulenan persepsi penulisan dalam subjek ataupun
tajuk.

Variasi dalam penulisan bebas disebabkan wujudnya ‘lingkaran’ yang menetapkan


penulisan bebas bagi jangka masa yang singkat. Kemudian membaca semula dan memilih
idea yang utama daripada sumbang saran bagi memulakan penulisan dalam satu jangka masa
singkat.

Penulis lain yang turut membincangkan penulisan bebas adalah Murray (1982) yang
menekankan kepentingan kaedah itu yang dapat dilaksanakan di dalam kelas. Ini boleh
dilakukan dengan membentuk kerjasama antara murid secara berpasangan dalam
perbincangan bagi mewujudkan respon yang sesuai pada penulisan karangan mereka. Secara
khususnya, dengan mengadakan sesi perbincangan antara guru dengan murid di luar kelas
dalam setiap tahap proses penulisan dapat membantu murid meningkatkan keupayaan
penulisan. Murray menggalakkan guru menghadkan amalan pengajaran secara autoritatif,
sebaliknya mengamalkan pengajaran “responsive” iaitu memberikan tindak balas pada
penulisan murid, berbincang dan terlibat dalam sesi soalan.

2.6 Pandangan Kognitif

Pada peringkat awal perubahan bentuk penulisan daripada pendekatan hasilan kepada
pendekatan proses, ada juga penyelidikan yang dilakukan oleh kumpulan lain dalam kalangan
pengamal penyelidik penulisan karangan. Sejak tahun 1970-an, ahli kognitif mula menyelidik
proses penulisan dan proses pengajaran yang berkaitan. Terdapat kepentingan dari segi
hubungan antara proses penulisan dengan psikologi kognitif dan psikolinguistik. Penganut
aliran kognitif memberikan tumpuan penulisan berasaskan penyelidikan, berfokuskan
“audiens” dan pendekatan berasaskan konteks bagi penulis membina realiti melalui bahasa.
Penyelidik bidang kognitif mengkaji cara pendekatan penulisan berteraskan penyelesaian
masalah dalam lingkungan seperti ‘audiens’, tujuan dan situasi penulisan.

Penyelidikan pada peringkat awal mengarang, menekankan penjanaan dan


penyusunan (mengorganisasikan) idea. Dalam pengajaran menulis karangan, guru juga
memfokuskan pada permulaan penulisan yang juga dikenali sebagai prapenulisan. Pengajaran
ini dimulakan dengan strategi prapenulisan yang meminta murid menjana dan menyusun idea
sehingga berjaya. Murid digalakkan membuat percubaan dengan pelbagai teknik prapenulisan
termasuk sumbang saran, penulisan bebas, membuat rangka karangan dan menyenarai semula
idea.
Salah satu sumbangan bidang kognitif dalam karangan adalah penggunaan ‘invensi
heuristik’, yang pertama kali diperkenalkan oleh Kenneth Burk (1945). Cara ini dilakukan
dengan menyenaraikan soalan yang dapat membantu murid bagi menjana, membina dan
menyusun idea. Antara soalan yang selalu digunakan dalam bidang jurnalistik seperti siapa,
apa, bila, di mana, mengapa dan bagaimana serta soalan-soalan yang lebih kompleks. Sebagai
contoh teori ‘tagmemic’ multi muka yang menyoal penulis supaya membuat tinjauan pada
subjek (sama ada dalam bentuk idea, peristiwa ataupun objek) daripada tiga persepektif.
Perspektif itu adalah entiti yang terpisah, proses dinamik dan pembinaan sepenuhnya
penulisan itu (Travers, 1990).

2.7 Pengajaran Kemahiran Menulis Karangan

Karangan bermaksud ciptaan, gubahan, ‘compose’ (seperti mengarang cerita, lagu,


sajak, surat kiriman) dan karya. Menurut sidang penyusun (1984:463) karangan bermaksud
khayalan atau rekaan. Raminah Hj.Sabran dan Rahim Syam (1985:200), berpendapat bahawa
karangan adalah penglahiran perasaan dan fikiran secara bertulis berdasarkan tajuk yang
diberikan oleh guru dalam jumlah perkataan yang terhad dan masa yang telah ditetapkan
oleh guru. Melalui pengajaran membuat karangan khasnya dalam konteks pendidikan formal,
murid secara tidak langsung akan dapat melahirkan pendapat, ulasan dan komen tentang
sesuatu tajuk atau isu. Dalam konteks bilik darjah, karangan bermaksud penceritaan sesuatu
tajuk dalam bentuk ayat secara bertulis dan berperenggan yang dimulakan dengan
pengenalan, isi dan kesimpulan.

2.8 Karangan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa

Menulis atau menghasilkan karangan adalah satu kemahiran yang penting dalam
penguasaan bahasa. Sesebuah karangan atau wacana itu sendiri didirikan oleh pelbagai ciri
perbahasaan yang meliputi perkataan, rangkai kata atau frasa dan ayat. Oleh itu dalam
pengajaran karangan, guru akan dapat melihat dan menilai sejauh mana kebolehan murid
mengaplikasi dan menggunakan kemahiran-kemahiran bahasa yang telah mereka pelajari
mengikut tahap pencapaian dan “IQ” murid.
Pengajaran karangan secara umum meliputi pengajaran dan pengaplikasian aspek-
aspek bahasa yang lain seperti pengajaran tatabahasa, fonetik, fonologi dan semantik.
Melalui pengajaran karangan di sekolah-sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun di
peringkat menengah, murid sebenarnya dilatih untuk mengungkapkan gagasan, buah fikiran
dengan tepat dan jelas tentang segala macam perkara, baik yang berbentuk akademik ataupun
kegiatan-kegiatan harian dan pengalaman dalam berbagai jenis tulisan. Latih tubi yang
dialami di bilik darjah diharap akan dapat diaplikasi ke peringkat seterusnya dan yang paling
penting kemahiran itu akan dapat memudahkannya berkomunikasi dengan masyarakat
misalnya menulis surat permohonan kerja.

2.9 Tujuan Pengajaran Karangan

Tujuan mengarang bagi peringkat sekolah rendah secara amnya adalah untuk
melahirkan murid-murid yang dapat mengolah idea atau pendapat berdasarkan situasi atau
tajuk tentang sesuatu ke dalam sesuatu bentuk karangan tertentu. Antaranya ialah:
i. melatih murid-murid melahirkan idea;
ii. melatih murid-murid menghujah dan mengembangkan idea;
iii. melatih murid-murid mengembangkan karangan dalam bentuk pemerengganan yang
betul;
iv. melatih murid-murid menggunakan bentuk penggunaan bahasa yang betul
berdasarkan sesuatu jenis karangan tertentu;
v. melatih murid-murid menggunakan format karangan yang betul;
vi. menggunakan pengalaman menulis karangan ke dalam situasi sebenar sehari-hari;
vii. menyiapkan murid-murid untuk menghadapi peperiksaan;
viii. menyuburkan minat;
ix. meluaskan kosa kata;
x. memberikan kepuasan jiwa.

Menurut Kamarudin Hj. Husin (2002:280-281) pengajaran karangan bagi murid sekolah
mempunyai beberapa tujuan. Antara tujuan pengajaran karangan membolehkan murid :
i. bercerita;
ii. berhujah atau bersyarah mengenai sesuatu kejadian, cerita atau tajuk perbincangan;
iii. membolehkan murid mengarang pengalaman sendiri, membuat penerangan atau
laporan dan hal-hal persekitaran sendiri;
iv. menceritakan pengalaman, pendapat, fikiran dan hujah-hujah mengenai beberapa
perkara yang sesuai;
v. menulis surat kiriman formal dan non formal.

2.10 Kemahiran Menulis Karangan Peringkat Rendah

Secara keseluruhannya, kemahiran menulis perlu bagi murid untuk memenuhi keperluan
pembelajaran dan keperluan sehari-hari. Keperluan ini menjadi lebih ketara apabila murid
tamat pengajian mereka. Dalam masa menempuh suasana di luar bilik darjah, murid perlu
berhubung dengan baik, sama ada secara formal atau pun tidak formal seperti dalam bentuk
surat-menyurat, membuat laporan, notis, ulasan, ucapan, komentar, arahan, peraturan, wacana
dan melahirkan perasaan dalam bentuk cerpen, sajak ataupun syair. Oleh itu, pengajaran
menulis sewajarnya bermatlamatkan kecemerlangan untuk melahirkan murid yang
berkemampuan menyampaikan fikiran dan berkomunikasi secara berkesan dengan anggota
masyarakat.

2.11 Konsep Pengajaran Dalam Kemahiran Menulis Karangan

Menurut Kamarudin Hj. Husin (2002: 280-281), konsep pengajaran penulisan karangan
mempunyai beberapa tujuan:
i. Membolehkan murid bercerita dan berhujah atau bersyarah tentang sesuatu kejadian,
cerita atau tajuk bagi perbincangan.
ii. Membolehkan murid menulis pengalaman sendiri, cerita, penerangan atau laporan dan
hal-hal persekitaran sendiri, pengalaman, pendapat, fikiran dan hujah-hujah tentang
beberapa perkara yang sesuai dan urat kiriman rasmi dan tidak rasmi.

Manakala Zainol Ismail (2003:7) berpendapat, berdasarkan bentuk, penulisan


dibahagikan kepada dua jenis, iaitu berformat dan bebas. Bagi Salleh Mohd. Akib (dalam
Kamarudin Hj. Husin, 1988:198) pula berpendapat bahawa penulisan dibahagikan kepada
tiga jenis, iaitu penulisan lisan, bertulis dan terkawal.

Satu aktiviti latihan bercakap untuk menulis dengan menggunakan bahasa yang
diajarkan, lalu mempraktikkannya di dalam bilik darjah merupakan jenis penulisan lisan.
Menurut Kamarudin Hj. Husin (2001:281), antara aktiviti-aktiviti dan teknik-teknik
pengajaran yang dapat dijalan dan digunakan oleh guru untuk melaksanakan pengajaran
penulisan jenis ini:
i. bersoal jawab mengenai perkara-perkara yang telah dialami oleh murid dalam
kehidupan sehari-hari;
ii. menceritakan semula cerita yang didengar daripada ibu bapa, guru, individu lain atau
buku dan majalah yang pernah dibaca;
iii. penulisan bergambar, iaitu latihan bercakap mengenai gambar atau carta aliran yang
disediakan oleh guru;
iv. ucapan-ucapan yang disediakan oleh murid berkaitan dengan pengalaman.

Berdasarkan aktiviti-aktiviti di atas, dapatlah dikatakan bahawa penulisan lisan


merupakan satu cara untuk memperkukuh tabiat bercakap dan berfikir dalam bahasa yang
diajar, di samping melatih murid menyebut lambang-lambang dan bunyi-bunyi bahasa secara
betul.

Menurut Pg. Mahmud Pg. Damit (1997), kategori bertulis adalah kesinambungan
daripada penulisan lisan. Biasanya penulisan jenis ini dilakukan selepas pelajar menjalani
latihan-latihan praktikal dalam bahasa lisan yang dapat dibahagikan kepada dua bahagian,
iaitu:
i. Penulisan Terkawal
ii. Penulisan Bebas

Salleh Mohd. Akib (dalam Kamarudin Hj. Husin, 2001:283), berpendapat penulisan
terkawal adalah penulisan yang segala isi dan bahasanya dikawal oleh guru. Susunan yang
terdapat dalam penulisan ini sentiasa dikawal ketat, diawasi dan murid dipimpin secara
berhati-hati ke arah penulisan bebas. Tujuan pengajaran penulisan terkawal adalah untuk
mengurangkan kesilapan. Jenis penulisan ini dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu
sepenuhnya terkawal, separuh terkawal dan hampir terkawal.
Dalam penulisan sepenuh terkawal, murid dibimbing dan dikawal seratus peratus atau
secara menyeluruh untuk menulis supaya tidak melakukan kesilapan. Ini dapat dikatakan
penulisan tahap pertama dan sebagai asas penulisan yang biasanya dipraktikkan di peringkat
bawahan. Biasanya murid hanya menyalin apa-apa yang ditulis oleh guru di papan tulis.

Manakala penulisan separuh terkawal, murid masih berada dalam kawalan guru, tetapi
tidak seketat tahap pertama. Murid diberikan peluang untuk menggunakan daya pemikiran
mereka dalam memilih perkataan yang sesuai berdasarkan pengajaran guru atau topik yang
diberikan.

Bagi penulisan hampir terkawal, guru mengurangkan kawalan kepada tahap yang
minima, tetapi masih memandu murid menulis sebagaimana yang diarahkan. Guru dapat
mengenalpasti kelemahan murid berdasarkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Walaupun
ramai murid yang akan melakukan kesalahan, tetapi melalui latihan yang kerap dilakukan
murid atas bantuan guru, mereka akan dapat memperbaiki penulisan masing-masing.

Selain itu, terdapat juga penulisan yang sering diaplikasikan di dalam pengajaran dan
pembelajaran iaitu penulisan bebas. Penulisan bebas bermaksud guru memberikan tajuk yang
umum. Murid akan menumpukan perhatian mereka kepada apa-apa bahan yang akan ditulis
dan bukan lagi menumpukan kepada tatacara penulisan. Pengajaran penulisan jenis ini hanya
dapat dilakukan apabila murid sudah boleh menguasai bahasa dengan baik. Oleh itu, guru
lebih banyak bertindak selaku pembimbing sambil menumpukan perhatiannya kepada isi dan
kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh murid. Dalam mengajar penulisan yang berbentuk
bebas, guru perlu memastikan bahawa murid mampu menguasai pengetahuan asas seperti
jenis ayat, golongan kata dan tanda baca dengan sebaik dan sebanyak mungkin. Justeru, guru
perlu membimbing dan membantu murid, di samping menekankan aspek penggunaan Alat
Bantu Mengajar (ABM) dan aktiviti-aktiviti pengajaran yang berkesan. Ini termasuk faktor
kekayaan perbendaharaan kata yang dimiliki murid, keupayaan mengatur dan memilih
perkataan atau perbendaharaan kata yang betul dan pengekalan struktur ayat yang gramatis
supaya penulisan murid mengandungi kesalahan yang minima dan mampu menghasilkan
penulisan karangan yang berkualiti dan memepati kehendak soalan.
Program I-Think yang telah dilaksanakan di sekolah perintis sejak tahun 2012 dahulu.

Projek ini membantu para guru dengan memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya

pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berupaya

menghasilkan jalan penyelasaian secara keratif dan inovatif dikalangan murid sekolah.

Program I-Think berjaya melahirkan generasi masa hadapan Negara Malaysia dengan

berkebolehan berfikir secara kreatif dan kritis. Generasi ini juga mampu untuk menjawab

soalan KBAT secara kritis.

2.12 Ringkasan

Menurut Ismail Ahmad (2004), penulisan adalah aktiviti kognitif yang dilakukan oleh
orang yang berilmu serta menekankan penyebaran ilmu. Ilmu yang terdapat dalam minda
wujud dalam bentuk idea dan gagasan yang perlu diserlahkan supaya dibaca dan dikaji.
Penggunaan penulisan dalam menyampaikan idea dan gagasan dianggap penting dikuasai
oleh murid supaya dapat menyampaikan secara tertib ilmu yang hendak dikongsi bersama
pembaca.

Walau bagaimanapun, penguasaan kemahiran menulis dalam pengajaran bahasa


memerlukan masa dan peluang yang sesuai bagi menjadikan murid penulis yang baik. Bagi
keperluan kehidupan dan pekerjaan, penulisan dianggap penting dipelajari kerana kemahiran
itu adalah cara yang sesuai bagi menyatakan sesuatu perkara.

Anda mungkin juga menyukai