Anda di halaman 1dari 2

Alam kubur perhentian sebelum kehidupan abadi di akhirat

“ MANUSIA di dunia ini ibarat musafir yang sedang dalam perjalanan lalu berehat
di bawah sepohon pokok untuk melepaskan lelah seketika sebelum meneruskan ke
destinasi yang hendak dituju. ”

Sebelum manusia berpindah ke alam akhirat mereka akan menempuh satu alam
dinamakan alam barzakh dan di sana mereka akan menjawab soalan ditujukan malaikat
kepada mereka. Di sinilah penentu destinasi terakhir sama ada manusia itu akan masuk ke
syurga atau neraka.

Persoalan kubur termasuk dalam alam ghaib seperti mana kita wajib percaya akan adanya
syurga, neraka, malaikat dan hari kiamat. Dalam al-Quran dan hadis yang sahih banyak
menuntut setiap orang meyakini adanya alam selepas kehidupan duniawi. Ia dikenali
dengan perkara ‘sam’iyat’ iaitu perkara yang hanya diketahui melalui perkhabaran, tidak
dapat dilihat oleh mata dan tidak terfikir akal. Hadis Abi Said mengatakan, Nabi
Muhammad SAW bersabda: “Kubur itu adalah salah satu lubang neraka, atau salah
satu taman syurga.”

Kemudian apabila seseorang hamba Allah meninggal dunia, selepas dikebumikan dan
ditinggalkan kuburnya lalu datanglah dua malaikat iaitu Mungkar dan Nakir yang
ditugaskan untuk menyoalnya. Jika ia beriman dan beramal, maka diberikan taufik oleh
Allah menjawab persoalan dengan mudah. Kemudian dibuka baginya pintu syurga dan
diperlihatkan syurga ke atasnya dan berbahagialah dia sehingga hari kiamat.

Namun jika orang itu kafir atau munafik, mereka akan menjawab tidak tahu. Lalu akan
menerima seksaan kubur yang dahsyat. Suara teriak mereka dapat didengar oleh makhluk
lain kecuali manusia dan jin.

Menurut Syeikh Abdullah Al-Fattani, roh Nabi, syuhada, muttaqin, salihin akan diangkat
oleh malaikat ke langit selepas selesai tanya jawab dengan malaikat Mungkar dan Nakir.
Kemudian diangkat ke langit kedua, ketiga, keempat dan seterusnya ketujuh hingga ke
Sidratul Muntaha dan dibawa ke Arasy Tuhan. Di sinilah mereka akan ditempatkan dan
hidup dengan senang serta bahagia sehingga tiba hari kiamat.
Bagaimanapun kita tidak mengetahui rahsia alam roh melainkan apa yang diceritakan al-
Quran dan hadis kerana ia adalah urusan Allah. Apabila seseorang berpindah ke alam
barzakh, bermakna terputuslah segala hubungan dan amalannya di dunia ini melainkan
sedekah jariah, ilmu bermanfaat, anak soleh dan doa daripada kaum kerabatnya di dunia
ini.

Alam sesudah mati ini memberi peringatan bahawa tidak selamanya kita akan kekal di
muka bumi ini.Kita juga akan mengikut jejak langkah mereka yang terlebih dahulu
menempuh alam barzakh. Semoga ia memberi keinsafan kepada kita untuk menyediakan
bekalan terbaik untuk bekalan akhirat.

© JASLIN BINTI JAMALUDIN. 2010

Anda mungkin juga menyukai