Anda di halaman 1dari 4

LAPORAN KEMBARA VISUAL 2019

BANDA ACEH
JABATAN PENDIDIKAN SENI VISUAL
IPG KAMPUS ILMU KHAS

1.0 Pengenalan
Tarikh: 13 – 16 September 2019 (4 hari 3 malam)
Tempat: Banda Aceh

2.0 Pendahuluan:

KEMBARA VISUAL 2019 – BANDA ACEH ini adalah salah satu program yang telah
dimasukkan dalam Perancangan Tahunan IPG Kampus Ilmu Khas 2019. Aktiviti ini adalah
memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran PSV serta memberi pendedahan secara
praktikal melalui penerokaan dan pemerhatian terhadap alam sekeliling secara terus (direct
observation).

Program kembara ini merupakan satu bentuk projek amali bagi para peserta. Latihan
amali ini adalah meliputi aspek perancangan, pengurusan dan pengendalian sesebuah projek
seni. Program kembara ini akan membuka minda dan meluaskan pengalaman siswa guru
(SG) opsyen Pendidikan Seni Visual. Program berbentuk lawatan ini dapat mendedahkan SG
dengan pelbagai pengalaman baharu di luar kampus. Siswa guru boleh melihat sendiri
pelbagai bentuk kesenian yang wujud di tempat-tempat yang dilawati. Pengalaman ini akan
dimanfaatkan semasa pengajaran serta proses penghasilan karya seni.

3.0 Huraian Aktiviti Kembara Visual 2019:

Hari Pertama: 13 September 2019 (Jumaat)

Rombongan para pensyarah berserta siswa guru berkumpul di hadapan garaj pada pukul 6.30
pagi selepas menunaikan solat Subuh bagi beragama Islam. Kehadiran para pensyarah dan
siswa guru diambil. Rombongan mula bertolak dari IPG Kampus Ilmu Khas ke KLIA 2.
Jurupandu yang mengendalikan pemgembaraan ini memberi taklimat ringkas tentang
perjalanan serta tentatif program di Banda Aceh pada hari pertama sebaik tiba KLIA 2. Semua
pensyarah, keluarga pensyarah serta siswa guru memeriksa barang masing-masing serta
bersedia dengan dokumen penting iaitu passport. Pada jam 10.40 pagi, kami tiba di Lapangan
Terbang Sultan Iskandar Muda International Airport dan seterusnya menaiki bas dan terus ke
restoran di pekan untuk menikmati juadah makan tengahari. Selepas makan tengahari,
jurupandu membawa kami terus ke tempat penginapan iaitu di Hotel Medan dan seterusnya
diberi taklimat lawatan oleh pihak pengurusan kembara yang bertanggungjawab mengurus
kami sebelum beredar masuk ke bilik masing-masing. Setelah selesai berehat dan solat
Zohor, pada jam 2.00 petang, kami bertolak ke Panti Asuhan Yayasan Penyantun Islam iaitu
matlamat atau objektif utama kami dalam Kembara Visual ini adalah melaksanakan satu
Program ‘Hati Seni’ bersama anak-anak panti asuhan tersebut. Program Hati Seni ini
berlangsung sehingga jam 6.30 petang dan daripada program ini, dapat membuka minda
siswa guru untuk mengenali anak-anak panti asuhan dengan dekat dari segi minat, latar
belakang mereka, serta mengeratkan hubungan erat kedua-dua pihak Panti Asuhan dengan
wakil dari IPG Ilmu Khas. Program ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah IPGKIK; Dr
Norherani Binti Moning dan juga ucapan ringkas turut diberikan oleh Ketua Jabatan
Pendidikan Seni Visual; Dr Azizah Binti Suleiman dan seterusnya Pengetua Rumah Anak
Yatim Yayasan Penyantun Islam. Terdapat beberapa aktiviti dilakukan mengikut kumpulan
bagi anak-anak mengikut umur. Antara aktiviti yang menyeronokkan kami lakukan bersama
dengan anak-anak istimewa ini adalah aktiviti Ice Breaking, Origami Rama-Rama (dengan
kanak-kanak), Doodling (Kanak-kanak pertengahan), dan lukisan serta pembentangan atau
apresiasi ringkas bagi remaja. Setiap aktiviti ini bukan sahaja dapat membantu mencungkil
bakat anak-anak ini tetapi dapat menyelami jiwa dan kisah mereka yang berbeza. Akhir sekali,
program ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Pengetua Rumah Anak Yatim, serta Ketua
Jabatan. Sesi bergambar diadakan bersama dengan pihak rumah anak yatim dan kami juga
telah menyediakan juadah kuih-muih buat anak-anak untuk makan petang bersama.

Hari Kedua: 14 September 2019 (Sabtu)

Kembara Visual 2019 diteruskan lagi dengan aktiviti lawatan ke Pulau Sabang. Sebelum
bertolak ke feri ekspres, pada jam 7.30 pagi, kami bersarapan pagi di Hotel Medan dan
selepas bersarapan, penyelaras memberi taklimat tentang perjalanan ke Pulau Sabang
menaiki feri dan kami bermalam satu hari di Pulau itu. Pada jam 8.40 pagi, kami menaiki feri
ekspres untuk pergi ke Pulau Sabang dan setelah sampai kami tiba di jeti feri dan berkumpul
untuk taklimat keselamatan sebelum memulakan kembara ke kawasan tumpuan pelancong
di Pulau Sabang serta aktiviti snorkelling. Seterusnya, sebaik tiba di jeti, perjalanan di teruskan
lagi dan kami memulakan aktiviti melakar dan melukis di kawasan pantai di pulau Rubiah dan
Pulau Sabang, setiap pelajar dikehendaki menghasilkan satu lakaran idea hal benda untuk
diterjemahkan dalam karya lukisan atau catan. Selepas siap aktiviti lakaran, aktiviti dan
pengembaraan diteruskan lagi dengan aktiviti snorkelling. Sebelum menjalani aktiviti
snorkelling, para pensyarah dan pelajar check in ke homestay masing-masing dan kemudian
berehat, makan tengahari dan menunaikan solat Zohor. Kemudian, kami bersiap sedia untuk
ke pulau Rubiah, pulau Sabang dengan menaiki bot. Taklimat keselamatan diberikan oleh
pihak agensi Jom Journey mengenai aktiviti snorkelling. Pelajar menyediakan kamera telefon
masing-masing untuk merakam pemandangan di sekitar kawasan pulau Sabang dan juga
mengambil gambar-gambar hidupan laut. Tujuan gambar-gambar diambil adalah untuk
menjadikan sebagai sumber idea dan rujukan bagi menghasilkan karya seni. Setelah selesai
aktiviti snorkelling yang menyeronokkan pada sebelah petang, kami terus bergerak pulang ke
Homestay dan mempersiapkan diri untuk makan malam di kedai makan berhampiran dan
kemudian membuat sesi refleksi aktiviti yang telah dijalankan pada malam tersebut.

Hari Ketiga (15 September 2019):

Seterusnya, pada hari ketiga pula, sesudah bersarapan pagi di Homestay di Pulau Sabang,
perjalanan diteruskan dengan pulang semula ke Banda Aceh menaiki feri ekspres.
Pengembaraan diteruskan pula di tempat tumpuan pelancongan dan kaya dengan sejarah
peristiwa tsunami yang pernah melanda Aceh pada 26 Disember 2004. Antara lokasi tempat
yang bersejarah di Aceh seperti muzium Tsunami Aceh, Muzium Kapal PLTD Apung yang
mempersaksikan dan mempamerkan artifak-artifak sejarah peristiwa tsunami yang berlaku di
Banda Aceh dan antara kenangan yang bermakna dirakam sewaktu berada di dalam muzium
Aceh Tsunami adalah sewaktu kami berjalan di dalam laluan “kebingungan” dimana kami
dapat merasai perasaan takut dan gerun terhadap suara-suara mangsa tsunami berzikir
kepada Allah untuk meminta pertolonganNya. Pada waktu malam, para pelajar dan juga
pensyarah berkunjung ke kedai oleh-oleh khas untuk membeli cenderamata untuk
dihadiahkan kepada rakan-rakan dan keluarga terdekat. Kemudian selesai, pelajar-pelajar
dan pensyarah-pensyarah pulang semula ke Hotel Medan.

Hari Keempat (16 September 2019):

Berikutnya bagi hari terakhir Kembara Visual, semua pelajar dan pensyarah mulai check out
dari Hotel Medan dan kemudian bersarapan pagi di hotel sebelum bergerak ke perkampungan
nelayan Lampula. Pada 8.45 pagi, kami semua melawat ke kawasan atau tempat kesan
tsunami iaitu di Perkampungan Nelayan Kampung Lampula. Di situ, kami dapat didedahkan
dengan sejarah dan kisah peristiwa tsunami yang diceritakan atau dirasai sendiri oleh mangsa
yang terselamat daripada tsunami seperti kisah kapal tersadai atas rumah mangsa dan juga
kawasan kampung yang dilanda tsunami sehingga ombak dan arus air yang kuat membawa
kubah masjid sehingga ke kawasan kampung tersebut. Kami dapat mendengar dan
menyaksikan sendiri kawasan kesan daripada tsunami tersebut. Selepas itu, kami mengambil
gambar untuk dijadikan sebagai rujukan bagi karya. Kemudian kami terus bergerak ke pusat
membeli-belah oleh-oleh Banda Aceh untuk membeli baju, kain batik dan souvenir untuk
dibawa pulang ke Malaysia sebagai hadiah untuk keluarga dan rakan-rakan. Pada tengahari
pula, kami memakan makanan tengahari dan kemudian bergerak terus ke Lapangan Terbang
Sultan Iskandar Muda International Airport, Banda Aceh. Sebaik sampai, kami terus
menunaikan solat Zuhur di surau Airport Banda Aceh dan selepas itu menunggu penerbangan
untuk berlepas ke KLIA2 dan pada waktu malam kami sampai di KLIA2 dan berkumpul untuk
bergerak pulang ke IPGKIK menaiki bas dan sampai dengan selamat.

Anda mungkin juga menyukai