Anda di halaman 1dari 4

Maafkan Asif, ibu!

Asif duduk termenung di tepi tingkap rumahnya. Matanya jauh merenung ke luar. Hatinya
rindu kepada seseorang. Rindu kepada ibunya yang baru sahaja meninggal dunia. Ibunya
meninggal dunia enam bulan yang lepas. Serangan penyakit kanser hati telah mengambil
nyawa ibu Asif. Ketika ini, umur Asif baru sahaja mencecah sepuluh tahun. Masih banyak
yang dia perlu pelajari daripada ibunya. Tetapi apakan daya, ibunya telahpun dijemput Ilahi.

Kini, Asif dijaga sepenuhnya oleh ayahnya, Encik Lukman. Asif merupakan anak
tunggal. Dia tinggal bersama-sama ayahnya. Namun, kesibukan ayah Asif menyebabkan dia
terpaksa tinggal di rumah sendirian selepas pulang dari sekolah. Di sekolah, Asif perlu
makan sebelum pulang. Hal ini kerana, di rumah tiada sesiapa yang akan masak makanan
untuknya. Sebelum ini, ibunya yang sediakan segala-galanya. Namun, keadaan sekarang
telah berbeza. Hati kecil Asif berasa sangat sedih.

Pada suatu hari, ayah Asif memanggilnya untuk bersembang.

“Ayah akan berkahwin lagi. Asif tidak kisah kan?” tanya ayahnya kepada Asif.

Asif terdiam. Dia terkejut. Dia tidak boleh menerima orang lain sebagai ibu. Baginya,
ibunya hanyalah seorang. Tiada sesiapa yang boleh menggantikan tempat ibunya.

“Asif taknak. Kenapa ayah nak kahwin lagi? Ayah sudah tidak sayangkan ibu?” tanya
Asif.

Ayahnya terdiam memikirkan alasan yang terbaik untuk memahamkan Asif. Tujuan
ayahnya untuk berkahwin lain adalah untuk memastikan diri Asif lebih terjaga. Sekurang-
kurangnya, ibu tirinya nanti boleh menjaga makan dan pakai Asif sewaktu ketiadaan
ayahnya.

“Ayah bukannya tidak sayang pada arwah ibu. Ayah cuma nak pastikan supaya
keadaan Asif lebih terurus.” jawab ayahnya dengan lembut. Asif dan ayahnya kembali diam.

Beberapa minggu kemudian, ayah Asif telahpun berkahwin dengan seorang wanita.
Kini, Asif sudah mempunyai seorang ibu tiri. Asif terpaksa menerima keberadaannya di
dalam rumah mereka. Ibu tirinya bernama Puan Siti. Puan Siti merupakan seorang yang
lemah lembut dan penyayang. Dia menggelarkan dirinya sebagai mama kepada Asif.
Namun, Asif tetap tidak menyukainya. Baginya, semua ibu tiri yang ada di dunia ini adalah
jahat. Dia juga menganggap ibu tirinya sebagai orang asing yang hanya mahukan
kesenangan ayahnya. Oleh itu, Asif tidak pernah mendengar kata ibu tirinya. Malah, Asif
tidak suka berbual dengannya. Makanan yang dibekalkan oleh ibu tirinya juga tidak dijamah.
Asif lebih rela untuk tidak makan apabila di rumah tanpa ayahnya. Dia hanya akan makan
sekiranya ayahnya ada sekali.

“Asif pergi sekolah elok-elok ya,” pesan ibu tirinya sewaktu Asif hendak pergi sekolah
pagi itu.

Asif hanya diam. Dia langsung tidak menyambut huluran tangan ibu tirinya untuk
bersalaman. Asif terus berlalu pergi ke arah van sekolah yang sedang menunggu di
hadapan rumahnya. Ibu tirinya terasa dan sedih dengan sikap Asif. Namun, ibu tirinya hanya
mampu bersabar. Ibu tirinya faham keadaan Asif yang masih tidak matang. Beliau hanya
mampu berharap agar suatu hari nanti, Asif dapat menerimanya sebagai ibu.

Apabila pulang dari sekolah, Asif terlihat meja makan yang sudahpun terhidang
dengan makanan tengah hari. Dia melihat sekeliling. Tiada kelibat ibu tirinya. Asif lantas
mendekati meja tersebut. Kelihatan beberapa jenis lauk kegemarannya. Ada ayam goreng,
sup sayur dan jus tembikai. Perutnya mula berkeroncong tatkala terhidu aroma masakan
tersebut. Tetapi, hatinya tetap menolak.

“Tak mahulah aku makan. Ini semua mesti isteri baharu ayah yang masak,” kata Asif
dalam hatinya. Dia terus berlalu masuk ke dalam biliknya.

“Asif, marilah makan dengan mama. Mama masakkan makanan kesukaan Asif,” kata
ibu tirinya sambal mengetuk daun pintu bilik Asif.

Asif hanya membatu walaupun sudah berkali-kali ibu tirinya memanggil. Dia tetap
mengeraskan hatinya. Dia masih tidak boleh menerima kehadiran ibu tirinya itu. Akhirnya,
Asif tertidur di dalam biliknya itu tanpa menjamah makan tengah hari. Pada jam tiga petang,
Asif terjaga dari tidurnya. Dia segera menunaikan solat Zohor terlebih dahulu. Selepas itu,
perutnya kembali berkeroncong. Dia mula berasa sangat lapar. Disebabkan terlalu lapar,
Asif menjenguk ke luar bilik. Dia memerhatikan ruang tamu dan dapur rumahnya. Setelah
pasti tiada kelibat ibu tirinya, Asif lantas duduk di atas kerusi makan. Dia segera mencedok
nasi ke dalam pinggan. Lauk kegemarannya juga dicapai. Suapan pertama ke mulut
melegakan perutnya yang kelaparan dari tadi. Dia makan dengan tergesa-gesa kerana
bimbang dilihat oleh ibu tirinya. Hatinya lega apabila berjaya menghabiskan makanannya
tanpa dilihat oleh ibu tirinya.

Selesai makan, Asif pun duduk di ruang tamu. Dia turut membawa buku tugasan
sekolah yang perlu disiapkan. Tiba-tiba, terdengar suara ibu tirinya memanggil.

“Asif, mama nak minta tolong Asif sedikit, boleh?” tanya ibu tirinya lembut.
Namun, Asif hanya buat tidak tahu. Asif hanya diam menunduk meneruskan kerjanya
tanpa membalas pertanyaan ibu tirinya. Tindakan Asif itu sekali lagi telah membuatkan ibu
tirinya berasa sedih. Niat ibu tirinya hanyalah untuk mendekati Asif yang bersikap dingin
dengannya. Namun, cubaan tersebut tidak berjaya. Memadangkan tiada jawapan daripada
Asif, ibu tirinya pun berlalu. Asif tetap meneruskan kerjanya bagai tiada apa-apa yang
berlaku.

“Ayah dah balik?” sapa Asif kepada ayahnya yang baru sahaja menjejak kaki ke
dalam rumah.

Ayahnya hanya tersenyum ke arah Asif. Ayahnya melabuhkan punggung di sofa


yang berada berdekatan dengan Asif. Asif lantas mengambil peluang tersebut untuk
menyatakan hajatnya kepada ayahnya.

“Ayah, esok kelas Asif akan mengadakan jamuan. Jadi, guru kelas minta supaya
setiap murid membawa apa-apa jenis makanan. Asif nak bawa bihun goreng, boleh tak
ayah?” tanya Asif dengan mata yang bersinar teruja.

“Boleh, Asif. Nanti ayah minta ibu masakkan, ya?” jawab ayahnya.

Apabila mendengar jawapan sedemikian, wajah Asif terus berubah. Hatinya tidak
begitu senang apabila mendengar nama ibu tirinya disebut. Namun, Asif hanya diam. Dia
terus mengemas barang-barangnya dan masuk ke dalam biliknya.

Keesokan paginya, Asif sedikit terlewat untuk ke sekolah. Dia tergesa-gesa


menyiapkan diri. Kedengaran bunyi hon van sekolahnya di hadapan rumah. Asif lantas
menyarungkan kasut sekolahnya dan berjalan laju ke arah van tersebut. Sewaktu Asif
sedang kelam kabut berjalan ke arah van sekolah yang berhenti sedikit jauh dari pintu pagar
rumahnya, sebuah kereta yang dipandu laju tiba-tiba kelihatan. Bunyi hon kereta tersebut
yang nyaring menyebabkan Asif terkaku di tengah jalan tersebut. Kakinya bagaikan digam.
Tiba-tiba, ibu tirinya yang secara kebetulan mengejar langkah Asif untuk memberikan bekas
berisi bihun goreng yang diminta oleh Asif menolak tubuh Asif ke bahu jalan.

“Dusshhh!”

Kedengaran bunyi dentuman apabila tubuh ibu tirinya dilanggar oleh kereta yang laju
tersebut. Bekas bihun goreng yang berada di tangan ibu tirinya tercampak. Asif terjatuh ke
bahu jalan. Ibu tirinya pula terbaring di tengah jalan dengan darah yang berlumuran di
beberapa bahagian tubuhnya. Asif amat terkejut dengan keadaan tersebut. Dia segera
mendekati ibu tirinya yang terbaring kesakitan. Air mata Asif mula menitis. Dia terbayang
semula detik kehilangan ibunya dahulu. Tiba-tiba, dia berasa takut dan sedih melihat
keadaan ibu tirnya itu. Beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian terus
menelefon ambulans. Mereka turut memaklumkan perkara tersebut kepada ayahnya
sebelum ibu tirinya dikejarkan ke hospital. Asif tidak putus-putus berdoa supaya tiada
perkara yang buruk menimpa ibu tirinya. Dia mula berasa menyesal tentang sikap buruknya
selama ini terhadap ibu tirinya.

Ibu tiri Asif masih tidak sedarkan diri. Beliau hanya terbaring kaku di atas katil
dengan balutan di beberapa bahagian badannya. Ayah Asif kelihatan risau dan sedih.
Begitu juga dengan Asif.

“Ayah, mama tak apa-apa kan? Asif nak minta maaf dengan ibu. Selama ini Asif
selalu sakitkan hati mama” kata Asif kepada ayahnya dengan nada yang sebak.

“Insyaallah, mama baik-baik sahaja. Kita doakan ibu cepat sedar dan sembuh, ya,”
balas ayahnya untuk menenangkan hati Asif. Mereka terus setia menunggu selama
beberapa hari.

Beberapa hari kemudian, ibu tiri Asif mula sedarkan diri. Beliau menyebut nama Asif.
Beliau ingin tahu keadaan Asif sama ada selamat atau tidak semasa kemalangan tersebut.
Asif yang berada di sisi katil ibu tirinya terus memeluk lembut ibu tirinya. Dia menangis
sambil meminta maaf daripada ibunya.

“Maafkan Asif, mama. Asif selalu sakitkan hati mama selama ini. Terima kasih
kerana mama telah selamatkan Asif. Asif minta maaf, mama” luah Asif sambil menangis
teresak-esak.

Ibu tirinya hanya mampu membalas dengan senyuman. Ibu tirinya Asif berasa lega
kerana Asif telah mula menerimanya. Kesakitan yang dirasai oleh ibu tirinya seolah-olah
melayang apabila Asif mula menerimanya sebagai ibu. Doa dan kesabarannya dengan
karenah Asif selama ini terbalas.

Kini, ibu tiri Asif sudahpun sembuh sepenuhnya. Beliau sudah mula melakukan kerja-
kerja hariannya sebagai suri rumah seperti biasa. Malah, Asif juga kerap membantunya
melaksanakan kerja-kerja rumah seperti mengemas rumah, membuang sampah dan
mengemop lantai. Asif kini lebih menghormatinya sebagai seorang ibu walaupun beliau
hanyalah ibu tiri. Setiap kali hendak ke sekolah, Asif juga akan bersalaman dengan ibu
tirinya. Makanan yang dibekalkan oleh ibu tirinya juga sentiasa dijamah sehingga licin.
Ayahnya juga berasa gembira melihat perubahan tersebut. Kini, kerinduan Asif terhadap
kasih sayang seorang ibu sedikit terubat dengan kehadiran seorang insan yang bergelar ibu.

-TAMAT-

Anda mungkin juga menyukai