Anda di halaman 1dari 2

Faedah-Faedah Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat, guru-guru penolong kanan, barisan
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan. Pada pagi yang
ceria ini, izinkan saya menyampaikan syarahan bertajuk "Faedah Faedah
Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan".
Hadirin yang dihormati,
Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan
serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan
atau untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Pada tahun yang lalu,
kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari
kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah
seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy.
Persoalannya apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam
aktiviti bersukan?
Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan
disiplin. Hal ini demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang
sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk
mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam
sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan
mematuhi arahan jurulatih. Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut
membentuk disiplin murid tersebut.
Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat.
Hal ini demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta
menyihatkan badan. Misalanya, seseorang murid yang bersukan pada setiap
petang akan membakar lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, murid yang
aktif bersukan jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan
rakan-rakannya yang tidak bersukan.
Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik
untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini
dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang
sesuai untuk memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya
belajar. Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti
ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang
aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.
Faedah berikutnya, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang
berfikiran positif. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan
seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi serta
tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei tetap tidak
berputus asa walaupun gagal meraih pingat emas dalam sukan Olimpik baru-
baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran
positif.
Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa
lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana
biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain
permainan komputer dan tidak akan menghabiskan masanya untuk
berpeleseran di pusat beli-belah, menonton televisyen dan berbual-bual
kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan
lebih bermanfaat.
Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak
membawa faedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan
banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut
menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru
perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan. Saya percaya
dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan
negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak
melakukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Sekian , terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai