Anda di halaman 1dari 1

PRAKTIS 7

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Ahmad Mutawakkil - malam itu, Jumaat bulan Ogos tahun 1953 - dek luka yang parah,
melangkah dengan longlai ke arah Imam Ngah Deraman.

Ketika kami semua masih terpegun dan tertanya-tanya, Ahmad Mutawakkil jatuh melutut
dan wajahnya tersembam di ribaan Imam Ngah Deraman. Pada waktu itu, dalam keadaan dia
mengerekot, kami nampak luka besar di belakang bahunya - bekas tusukan peluru.

Darah masih mengalir, betul-betul di bawah tulang pendayung kiri Ahmad Mutawakkil.
Menyedari darah terlalu banyak mengalir hingga menitis ke lantai, Penghulu Ibrahim Sigap segera
membaringkan Ahmad Mutawakkil. Tidak lama kemudian, bunyi nafasnya separuh mengeruh.
Dalam keadaan tercungap-cungap, dia terkulai lalu pengsan.

Kampung kami dipugar sejak tiga generasi lalu. Sejarahnya hanya jaluran kebun dan
sawah. Pertengahan tahun 30-an, datang satu keluarga Orang Putih - mengupah beratus-ratus
orang buruh termasuk kami sendiri -meneroka belukar. Tak lama kemudian berjejerlah anak-anak
getah.

Sebahagian buruh pemugar beransur-ansur pergi. Tinggallah sekitar lima belas keluarga,
membentuk sebuah kampung kecil berumah teres di tengah estet. Beberapa tahun kemudian,
ketika pokok-pokok getah sudah tinggi melayup, hasilnya mula ditoreh. Seminggu sekali, dikepalai
Tuan Booth, kepingan getah dikandar puluhan pekerja melintasi jalan kampung menuju ke bandar.

Kehadiran Tuan Booth dan keluarga, serta lima belas keluarga buruh estet keturunan India
serba sedikit merubah wajah kampung kami.

Jalan yang dulunya tanah merah batu lada, sudah dikejapkan, tak lagi becak kala musim
hujan, dan kurang berkeladak pada musim kemarau.

Tuan Booth yang murah senyuman itu, lama-kelamaan menjadi sebahagian panorama
kampung. Walaupun lelaki kulit putih yang gemar berseluar pendek dan bertopi bulat itu terkenal
kerana kemurahan senyumannya, kawasan kebun getah, estet pekerja serta banglo kolonialnya
tetap asing kepada kami.

Dipetik daripada ‘Cinta Ahmad Mutawakkil’ dalam antologi


Sejadah Rindu, Kementerian Pendidikan Malaysia

(i) Nyatakan keadaan Ahmad Mutawwakil yang sedang nazak setelah Penghulu Ibrahim
Sigap membaringkannya.
[2 markah]
(ii) Apakah peranan yang perlu digalas oleh generasi muda ke arah membantu pembangunan
negara?
[3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran lain yang
terdapat dalam keseluruhan cerpen.
[4 markah]

Anda mungkin juga menyukai