Anda di halaman 1dari 2

PENDIDIKAN

ARKIB : 23/07/2012

Penglibatan ibu bapa penting


Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

PENGLIBATAN ibu bapa dengan pembelajaran anak khususnya ketika di rumah sangat penting dan
kajian membuktikan ia membawa perubahan yang ketara dalam kejayaan seseorang anak.

Kajian peringkat antarabangsa Program Pentaksiran Murid Antarabangsa 2009 yang dilakukan oleh
Pertubuhan untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan menunjukkan bahawa cara bagaimana
penglibatan ibu bapa menggunakan masa bersama anak di rumah mempengaruhi kejayaannya.

Hal ini disokong oleh statistik bahawa 52 peratus masa murid dihabiskan di rumah dan di dalam
komuniti berbanding hanya 15 peratus masanya berada di sekolah.

Data ini diperoleh daripada sampel jadual waktu murid 2011 Kementerian Pelajaran Malaysia untuk
kegunaan masa murid berumur tujuh hingga 16 tahun berdasarkan 42 minggu di sekolah dengan
purata 5.5 jam di sekolah setiap hari, dua jam masa kokurikulum wajib seminggu dan masa tidur
lapan jam sehari.

Justeru, salah satu inisiatif dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah penglibatan ibu bapa,
komuniti serta sektor swasta dalam pendidikan dan ia akan dilaksanakan pada Hari Terbuka GTP
pada 24 Julai 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Melalui penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak akan memberi faedah kepada kedua-dua
pihak. Anak akan mencapai keputusan akademik yang lebih cemerlang serta mempunyai nilai kendiri
dan motivasi yang lebih tinggi di samping rekod kehadiran ke sekolah yang lebih baik.

Ibu bapa pula mendapat manfaat dari segi mengakses sumber berkaitan keibubapaan dan
memperoleh pengetahuan mengenai sistem serta prosedur sekolah untuk mendapatkan program
bantu sekiranya diperlukan.

Apa yang lebih penting adalah mewujudkan suasana pembelajaran di rumah seperti menyediakan
ruang atau sudut untuk anak belajar dan memastikan anak mempunyai serta mematuhi jadual ulang
kaji.

Sediakan juga buku rujukan walaupun yang terpakai kerana ia akan membantu anak-anak membuat
penyelidikan bagi memahami sesuatu perkara.

Jika boleh, ibu bapa perlu menemani anak semasa dia sedang belajar kerana kehadiran anda
mengukuhkan perasaan dan mengekalkan tumpuannya. Pastikan bunyi televisyen atau radio
direndahkan untuk mengurangkan gangguan.
Adalah lebih jika perkara ini dipupuk sejak anak kecil lagi iaitu dengan membacakan buku kepadanya
kerana ia merupakan satu aktiviti yang dapat merangsang minat terhadap membaca, menyemai
kecintaan terhadap buku dan ilmu.

Pada masa yang sama, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak dan perbualan
merupakan interaksi yang asas untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau isu secara sepakat.

Berbincang dengan anak mengenai pelajaran dapat mengetahui perkembangan pencapaiannya,


mengatasi keraguannya, membimbingnya merangka tindakan dan mententeramkan kerisauannya.
Melalui perbincangan juga akan menghasilkan suatu pandangan bersama tentang sasaran anak
dalam pelajaran di samping membantunya mencapai cita-cita.

Maka, bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak, mulai 2013, Biro
Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) akan diwujudkan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Objektif KSIB antaranya adalah untuk mewujudkan rangkaian dan jalinan antara ibu bapa untuk
saling belajar dan berkongsi amalan terbaik bagi membantu pembelajaran anak, membantu apabila
berlaku krisis, mengukuhkan tingkah laku positif dalam menghadapi masalah dan menyediakan
latihan untuk ibu bapa bagi meningkatkan kemahiran.

KISB juga bermatlamat membantu dalam berurusan dengan agensi-agensi pendidikan, perubatan
dan lain-lain di samping berkongsi maklumat, pandangan serta sumber.

Untuk memberi pandangan dan maklum balas mengenai cara meningkatkan penglibatan ibu bapa
dengan pembelajaran anak, sila e-mel kepada saranaibubapa@gmail.com.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120723/pe_01/Penglibatan-ibu-
bapa-penting#ixzz3DvE0wpRK 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120723/pe_01/Penglibatan-ibu-bapa-penting

Anda mungkin juga menyukai