Anda di halaman 1dari 6

Set 1 Cerpen Penanggungan

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Kalau begitu baik pergi berjumpa doktor. Engkau jangan malu menyatakan sakit itu.
Siapa juga manusianya sama saja. Merah warna darah masing-masing, tanda adik-beradik
belaka. Malangnya masing-masing ada dengan penyakitnya.”
“Tidak seorangpun yang terlepas daripada penyakit,” sampuk isterinya.
“Hakikat itu tidak dapat ditolak,” Kapten Mamat memberi kuliah selanjutnya. “Dalam
kapal ada penyakit, di mana-mana ada penyakit. Namanya ganjil-ganjil benar, penyakit
kuning, penyakit macam-macam lagi.”
“Dunia penyakit,” sahut isterinya.
Kapten Mamat menahan senyumnya. Dia hendak bercakap banyak mengeluarkan
perkataan bertentangan satu sama lain, tetapi dia melihat isterinya begitu kasih kepada
Masnah. Dibiarkan dia memicit kepala Masnah. Dia mengelamun mengingat kapal.
Kalau sampai perintah, kapal mesti belayar mengikut jadual. Bertolak dari satu
pelabuhan dan singgah di pelabuhan lain. Biar berkecamuk hujan ribut, petir halilintar.
Gelombang dan laut bergelora. Kewajipannya tetap mengangkut dan memunggah barang-
barang keperluan beribu-ribu manusia. Dengan menjalankan tugas serupa itulah Baharum
dikenangnya.
Tetapi Baharum mati awal, sama seperti kematian berjuta-juta manusia. Sesiapa
yang meninggalkan kesan kepada dunia, disebut-sebut di bibir sebagai suatu kenangan.
Kapten Mamat mengeluarkan celepa rokoknya. Tangannya mengeluarkan rokok dan
memasang apinya.

(Dipetik daripada
Cerpen ‘Penanggungan’
Oleh Wijaya Mala
Dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah perkara yang mengingatkan Kapten Mamat kepada Baharum?


[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda apakah cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi


oleh pekerja yang berkhidmat di dalam kapal?
[3 markah]

(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan dan satu latar
masyarakat lain daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]
Cadangan Jawapan Set 1 Cerpen Penanggungan

(i) Perkara yang mengingatkan Kapten Mamat kepada Baharum;

- kalau sampai perintah, kapal mesti belayar mengikut jadual bertolak dari satu
pelabuhan dan singgah di pelabuhan lain
- biar hujan ribut, petir halilintar, gelombang dan laut bergelora. Kewajipannya tetap
mengangkut dan memunggah barang-barang keperluan beribu-ribu manusia

(ii) Cabaran yang dihadapi;

- berada di laut dalam tempoh masa yang lama


- berjauhan daripada keluarga
- sentiasa berhadapan dengan bahaya / risiko
- persekitaran kerja yang kurang selesa

(iii) Latar masyarakat dalam petikan;

- Masyarakat yang prihatin / penyayang. Isteri Kapten Mamat membantu memicit-micit


kepala Masnah.
- Masyarakat yang setiakawan. Kapten Mamat masih mengingati sahabatnya Baharum
walapun Baharum telah mati.

Latar masyarakat dalam cerpen;


- Masyarakat yang bertanggungjawab. Kapten Mamat yang bertugas sebagai kapten
kapal
bertanggungjawab membawa dan mengangkut barang-barang keperluan manusia.
- Masyarakat yang sanggup membantu orang lain. Kapten Mamat berjanji untuk
membantu balu Baharum iaitu Masnah dan anak-anaknya meneruskan kehidupan.
- Masyarakat yang tidak dapat menerima takdir tuhan. Isteri Baharum seolah-olah
menyalahkan takdir apabila suaminya mati semasa bertugas.
Set 2 Cerpen Penanggungan

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Mereka sibuk memberikan pertolongan cemas.


“Jika dia sedar semula. Beri minum air panas ini, kata Kapten Mamat.
“Bila akan sedarnya? Baik kita jemput bomoh.”
Kapten Mamat mengerutkan keningnya. Isterinya memandang retak mukanya berjalur-jalur
seperti kulit gajah.
Beberapa minit kemudian, mereka terpegun melihat Masnah mengerang. Dia
bergerak dan sedar semula. Kemudian dia bersungut tidak tentu hujung pangkal, hanya
dapat difaham, “sakit kepala,” katanya. Mukanya terlalu pucat tetapi matanya liar. Sangka
isteri Kapten Mamat, dia dirasuk polong. Dirasanya nadi Masnah berdenyut lebih cepat,
nafas pendek-pendek, badannya sejuk berpeluh. Kapten Mamat menyuruh isterinya
memberi air panas.
Lama-lama Masnah pulih seperti sediakala. Kapten Mamat berkata, “Engkau jangan
susah, Masnah. Selagi aku masih hidup, engkau dan anak-anak engkau tidak akan disia-
siakan. Engkau mesti banyak rehat.”
“Saya akan balik ke kampung, Abang Mat.” Dia memeluk anaknya Bahar kemanja-
manjaan.
“Bagus. Di sana engkau akan menempuh hidup baharu. Sekarang orang kampung
sedang membangun.”
“Tetapi saya rasa penyakit saya tidak akan pulih. Sejak beberapa hari ini, rasanya
ngilu tulang-tulang saya dan jantung saya terasa bagi ditikam-tikam.”

(Dipetik daripada
Cerpen ‘Penanggungan’
Oleh Wijaya Mala
Dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah maksud rangkai kata bersungut tidak tentu hujung pangkal?
[2 markah]

(ii) Sekiranya anda sahabat Masnah, apakah yang perlu dilakukan untuk
membantu Masnah dalam kehidupannya?
[3 markah]

(iii) Jelaskan satu perwatakan Kapten Mamat dalam petikan dan satu perwatakan
Kapten Mamat yang lain dalam keseluruhan cerpen.
[4 markah]
Cadangan Jawapan Set 2 Cerpen Penanggungan

(i) Maksud;

- mengomel / merungut dengan tidak menentu

(ii) Usaha membantu sebagai sahabat;

- memberikan / menguatkan semangat / memberikan motivasi / memberikan nasihat


- menghulurkan bantuan kewangan
- melaporkan kepada ketua kampung / pengerusi jawatankuasa penduduk
- membantu menguruskan keluarga dan anak-anak buat sementara waktu

(iii) Perwatakan Kapten Mamat dalam petikan;

- prihatin / mengambil berat – menyatakan kepada Masnah bahawa selagi dia masih
hidupMasnah dan anak-anaknya tidak akan disia-siakan.

Perwatakan Kapten Mamat dalam cerpen;


- seorang ketua yang bertanggungjawab – berjanji untuk membantu balu Baharum,
Masnah setelah kematian Baharum semasa bekerja.
- mempunyai sifat simpati / belas kasihan – Kapten Mamat kasihan melihat keadaan
Masnah yang tertekan setelah kematian Baharum.
- Baik hati – akan membantu Masnah untuk mendapatkan pampasan daripada
persatuan
Set 3 Cerpen Penanggungan

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Isteri Kapten Mamat menghidangkan teh, tetapi ruang itu berada dalam suasana
sedih. Sekarang, pada perasaannya timbul satu kebimbangan. Dia melihat Masnah sudah
melupakan kesedihannya. Ruang itu pada pandangan isteri kepada Kapten Mamat bertukar
kepada satu babak drama. Dilihatnya anak mata Masnah liar sekali. Percakapannya susah
difahamkannya.
“Jemput minum airnya, Mas!” katanya membenamkan perasaan, dengan maksud
meringankan percakapan yang berat-berat.
“Engakau takut Mas, jangan takut,” Kapten Mamat melihat Masnah menjadi pucat.
“Hidup jangan takut. Apa engkau sakit, Mas?”
“Erti hidup bagi saya , tidak ada.” Masnah berkata lancar. “Abang Mat, lama-lama
akan gilakah saya? Saya rasa di luar kesanggupan saya melihat anak-anak kesayangan
bertempiaran. Bagaimana kalau mereka teraniaya?”
Percubaan isteri Kapten Mamat untuk mengendurkan keadaan tidak berjaya.
Keadaan Masnah sangat mencemaskannya. Dia merasakan beban yang ditanggung oleh
Masnah. Dia tidak sabar lagi lalu menghadapkan kata-kata pada suaminya.
“Abang tau. Dalam keadaan sempit sekarang, abang bercakap begitu tinggi dan
besar. Abang tidak mahu beralah sedikit pun. Mentang-mentang abang kapten, mati di laut
saja yang berjasa.” Dia mengenyitkan mata kepada suaminya. Kapten Mamat menangkap
isyarat itu dengan erti berjaga-jaga mengeluarkan percakapan yang mungkin
membangkitkan kerusuhan.

(Dipetik daripada
Cerpen ‘Penanggungan’
Oleh Wijaya Mala
Dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Nyatakan perkara-perkara yang ditakuti oleh Masnah?


[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah nasihat yang perlu diberikan kepada orang yang
menghadapi tekanan perasaan seperti Masnah?
[3 markah]

(iii) Nyatakan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan tiga pengajaran lain
daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]
Cadangan Jawapan Set 3 Cerpen Penanggungan

(i) Perkara yang ditakuti;

- erti hidup sudah tiada


- tidak sanggup melihat anak-anak kesayangannya bertempiaran
- bimbang anaknya teraniaya

(ii) Nasihat yang perlu diberikan;

- menasihati agar tabah menghadapi takdir tuhan / kehidupan yang mendatang


- menasihati agar tidak terlalu mengikut perasaan untuk mengelakkan dirinya terjejas
- menasihatinya agar banyak berdoa / mendekatkan diri kepada tuhan
- menyarankan agar Masnah meluahkan masalah kepada yang yang rapat

(iii) Pengajaran dalam petikan;


- Kita mestilah tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan
- Kita mestilah membantu orang yang dalam kesusahan

Pengajaran dalam cerpen;


- Kita mestilah berani menghadapi cabaran dalam bidang pekerjaan
- Seorang ketua hendaklah bertanggungjawab terhadap pekerja di bawah jagaannya
- Kita mestilah menerima dengan reda takdir dan ketentuan tuhan.
- Kita mestilah menghormati dan melayani tetanu dengan baik.
- Kita janganlah terlalu mengikutkan hati dan perasaan semasa berhadapan dengan
sebarang masalah kehidupan.

Anda mungkin juga menyukai