Anda di halaman 1dari 6

Set 1 Cerpen Hutan Rimba

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dalam seketika sahaja hutan dara itu telah ternoda. Kini, hutan itu telanjang polos,
sedangkan selama ini busana hijau yang menutupinya. Segala-galanya sirna dalam sekelip
mata. Yang tinggal hanyalah serpihan kayu dan tunggul-tunggul mati. Perasaan kesal telah
menggores dada Pak Tua. Matanya berkaca-kaca. Beribu-ribu dan mungkin berjuta-juta
iklim alam mengambil masa menenun busana hijau untuk bumi. Tetapi dalam sekelip mata
jentolak yang dipandu oleh Pak Tua telah merobek dan mengoyak habis busana rimba.
Sesal Pak tua semakin melebat. Pak Tua cuba meraih kembali ingatannya sewaktu 30
tahun yang lalu. Jemari tangannya terketar-ketar mengurut kerut di dahinya yang
menyimpan memori yang begitu banyak. Setitis dua air mengalir di sudut kelopak matanya.
“Aku ingin kawasan hutan ini kembali rimbun.” Kata Pak Tua sendirian sambil
memejamkan mata.
Dalam layar gelap yang nampak hanya lori-lori balak yang mengaum sombong
sambil mengangkut batang-batang kayu sebesar sepemeluk hingga dua pemeluk orang
dewasa. Timbunan batang-batang kayu itu terikat kemas di atas tubuh sang lori. Sesekali
tubuh lori-lori balak itu terhenjut-henjut ketika lapan biji rodanya melalui jalan tanah merah
yang berdebu dan tidak rata. Musim hujan antara bulan Oktober dan Disember sering
membina lopak yang akan menghiasi sepanjang jalan tanah merah itu.

(Dipetik daripada
Cerpen ‘Hutan Rimba’
Oleh Sasjira
Dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah maksud rangkai kata segala-galanya sirna dalam sekelip mata?
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah tindakan yang perlu diambil untuk memastikan
kawasan hutan terus kekal di negara ini?
[3 markah]

(iii) Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan yang
lain daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]
Cadangan Jawapan Set 1 Cerpen Hutan Rimba

(i) Maksud;

- semuanya hilang / lenyap / musnah dalam tempoh yang singkat

(ii) Tindakan;

- mewujudkan akta / undang-undang khusus


- mewartakan lebih banyak hutan simpan
- mengawal / mengehadkan aktiviti pembalakan
- membanteras pembalakan haram
- mengadakan lebih banyak program penanaman pokok hutan / penanaman semula
hutan.

(iii) Persoalan dalam petikan;

- Persoalan kemusnahan hutan. Pak Tua teringat akan tugasnya dahulu yang bekerja
sebagai pemandu jentolak untuk kerja pembalakan dan telah memusnahkan banyak
kawasan hutan.

Persoalan dalam cerpen;


 Persoalan kasih sayang. Pak Tua memberikan pendidikan kepada semua anak-
anaknya sehingga berjaya dalam bidang masing-masing.
 Persoalan usaha melestarikan alam semula jadi. Pak Tua menjadikan kebun
tinggalan bapa isterinya sebagai hutan simpan.
 Persoalan kepentingan pendidikan. Pak Tua mendidik anak-anaknya sehingga
berjaya.
Set 2 Cerpen Hutan Rimba

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pak Tua tergamam. Hairan bercampur bingung. Dia seperti tidak percaya
menyaksikan kehadiran anak-anaknya yang secara tiba-tiba di tengah rimba yang sudah
tiada hutan rimbanya itu. Terbersit juga rasa bangga. Bagai mimpi menyaksikan
keberhasilan anak-anaknya dalam bidang akademik. Ahli perniagaan, pengurus ladang,
pensyarah, dan guru yang bertauliah. Pak Tua memanjatkan syukur. Syukur kerana dapat
membesarkan dan kemudian menyekolahkan anak-anaknya sehingga mereka berhasil
dalam usaha mencapai cita-cita masing-masing. Pak Tua mengukir senyum bangga.
Kelihatan gagah sekali keempat-empat orang anak-anaknya itu dengan pakaian profesion
masing-masing. Segagah pohon-pohon belian, salangan batu, keruing, dan seraya yang
dahulu pernah ditumbangkan oleh Pak Tua dengan terjahan jentolaknya. Sememangnya
pendapatan Pak Tua sebagai pemandu traktor yang mencecah ribuan ringgit dalam sebulan
memang cukup untuk membiayai perbelanjaan keluarga dan persekolahan anak-anaknya.
“Ya, pokok-pokok dalam hutan inilah yang banyak berjasa kepadaku. Secara suka
atau tidak pohon-pohon ini telah banyak berkorban untukku. Barangkali inilah yang
dimaksudkan oleh Melati bahawa dalam setiap pembangunan sesebuah negara selalu ada
sisi lain daripada kehidupan ini yang perlu dikorbankan,” gumam Pak Tua bagai baru
tersedar daripada mimpi. Pak Tua mengurut dada. Dia cuba memahami erti pengorbanan
yang sebenarnya, tetapi rasa sesalnya masih belum mahu menerima hakikat bahawa kayu-
kayan di rimba yang menjadi korban.

(Dipetik daripada
Cerpen ‘Hutan Rimba’
Oleh Sasjira
Dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah perkara-perkara yang menyebabkan Pak Tua berasa bangga dan
bersyukur?
[2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah seseorang anak dapat membalas jasa ibu
bapa yang telah banyak berkorban untuk membesarkan dan mendidik mereka?
[3 markah]

(iii) Nyatakan satu pengajaran yang diperoleh dalam petikan dan tiga pengajaran
yang lain daripada keseluruhan cerpen.
[4 markah]
Cadangan Jawapan Set 2 Cerpen Hutan Rimba

(i) Perkara yang menyebabkan Pak Tua bersyukur;

- keberhasilan anak-anaknya dalam bidang akademik


- dapat membesarkan anak-anaknya
- dapat menyekolahkan anak-anaknya hingga berhasil mencapai cita-cita masing-
masing

(ii) Cara-cara;

- menghormati ibu bapa setiap masa / mendengar nasihat


- memberikan perhatian dan kasih sayang
- meraikan hari istimewa / hari lahir / ulang tahun perkahwinan / hari ibu / hari bapa
- membawa ibu bapa melancong / mengerjakan haji
- memberikan hadiah
- memberikan wang belanja bulanan

(iii) Pengajaran dalam petikan;

- Ibu bapa mestilah bertanggungjawab memberikan pendidikan kepada anak-anak,


- Kita hendaklah bersyukur atas setiap kejayaan / kurniaan tuhan

Pengajaran dalam cerpen;

- Kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang telah membesarkan kita.
- Kita mestilah gigih berusaha menjaga alam sekitar daripada kemusnahan.
- Kita hendaklah bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu perkara.
- Kita hendaklah gigih berusaha dalam kehidupan.
Set 3 Cerpen Hutan Rimba

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pak Tua hanya mendengar perbincangan keempat-empat orang anaknya itu sambil
disampuk oleh menantu-menantunya. Dia lantas mendapatkan Mak Tua yang sibuk
melayan kerenah cucu-cucu mereka. Hari itu mereka sekeluarga bermalam di rumah kebun
dekat hutan simpan Pak Tua. Mak Tua dengan dibantu oleh Melati dan ketiga-tiga orang
menantunya sudahpun menyiapkan hidangan makan malam yang sangat menyelerakan.
Goreng ikan lais, sambal belacan, ulam pucuk lamiding dan masak lemak pedas ikan tapa.
Malam itu, Pak Tua tidur di ruang utama dengan dikelilingi oleh cucu-cucunya sambil
dia bercerita tentang kehidupan sebuah hutan rimba yang indah dan damai. Pepohonan
merimbun dan kayu-kayan menjulang perkasa ditingkah aneka tumbuhan menjalar dan
melata. Bunga-bunga anggerik liar yang cantik. Pelbagai hidupan liar bebas menikmati
santapan dan buah-buahan dalam hutan itu. Sebatang sungai kecil dihiasi batu-batan
mengalir jernih tempat hidupan hutan menghilangkan dahaga. Semua tampak indah dan
harmoni.
Pak Tua terus mendongeng sambil membelai manja seorang cucu lelakinya yang
paling kecil dan sudah pun terlelap di lengannya. Sesekali Pak Tua merujuk pada nyanyian
cengkerik dan aneka bunyi-bunyian unggas malam yang menghuni hutan simpan itu.

(Dipetik daripada
Cerpen ‘Hutan Rimba’
Oleh Sasjira
Dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud rangkai kata terus mendongeng.


[2 markah]

(ii) Pada pandangan anda, apakah faedah yang diperoleh sekiranya kerajaan
mengekalkan banyak kawasan hutan di negara ini?
[3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Pak Tua dalam petikan dan satu perwatakan Pak Tua
yang lain dalam keseluruhan cerpen.
[4 markah]
Cadangan Jawapan Set 3 Cerpen Hutan Rimba

(i) maksud;

- langsung / tidak berhenti-henti bercerita

(ii) faedah-faedah;

- alam semula jadi / ekosistem lebih terpelihara


- meningkatkan industri pelancongan negara
- mengelakkan kepupusan flora dan fauna
- menjamin sumber kayu balak / hasil hutan untuk masa hadapan
- meningkatkan imej negara
- mengawal suhu setempat

(iii) Perwatakan Pak Tua dalam petikan;

- Penyayang. Pak Tua melayani / bermain dengan cucu-cucunya.


- Cinta akan alam semula jadi. Pak Tua bercerita tentang alam kepada cucu-cucunya.

Perwatakan dalam cerpen;

- Rajin. Pak Tua mengusahakan kebun untuk dijadikan hutan simpan


- Bertanggungjawab. Pak Tua memberikan pendidikan kepada semua anaknya sehingga
berjaya dalam kehidupan.

Anda mungkin juga menyukai