Anda di halaman 1dari 6

Cerpen: Adapun Adanya 2

Oleh Zainal Rashid Ahmad

2010/10/02

NESCAYA kami terkejut benar, sebaik sada mendapat tahu, sejarah kecurian atau laporan
kehilangan pelbagai benda dan barangan dalam rumah ini – bukanlah sesuatu perkara baru!

Tujuh tahun pula, bukanlah satu tempoh masa yang panjang pun – meskipun senarai kehilangan
pemilikan dalam rumah ini sangat panjang dan banyaklah pula akan jumlahnya. Barangan
pertama yang dicatat akan jenisnya dan dicartakan pula lokasi duduknya serta diwartakan pula
akan nilai pasarannya – mula disahkan hilang pada waktu tengah hari – ditempatkan di ruang
tamu utama – bernilai sekitar RM1.75 juta ringgit.
“Ya ... candelier,” kata Sang Penyiasat yang diupah untuk menyediakan laporan menyeluruh
mengenai kes ini.
Tentulah kami terkejut, kerana dua perkara utama yang dimaklumkan berikutan kes kehilangan
pertama itu. Yang mengejutkan adalah nilai sejarah yang dimaklumkan dalam laporan siasatan:

Candelier ini dilaporkan hilang buat pertama kali pada 1899 ... milik Sir Hugh Clifford – dicuri
dari kediaman mewahnya sebagai Residen Britisih di Pahang.

Buatan klasik dari dari Nantes. Perancis – dipercayai dibeli oleh seorang saudagar Inggeris
dalam satu majlis pelelongan gelap di London pada 1851 – dan setelah melalui pelbagai tangan
pemilik barangan antik, akhirnya pada 1884, sampai ke tangan sang saudagar Sir Vic Maclarren,
lalu dihadiahkan kepada Hugh Clifford sebagai tanda mata persahabatan, sebelum Residen itu
berangkat ke Tanah Melayu.

“Ketika bangkit pemberontakan menentang Residen itu,” kata Sang Penyiasat: “Seorang babu
keturunan India yang bekerja di rumah itu, telah menyeludup candelier itu keluar dari rumah
Residen, lalu diberikan seorang Cikgu Wan Saadon – dan kemudian dijual secara pasar gelap
oleh seorang ejen Cina yang bersimpati kepada perjuangan anti-British.”
Nescaya terkejutlah kami – kerana susur-galur sejarah candelier ini bukan sembarangan juga
kisahnya. Perjalanan barangan antik yang menempuh pelbagai tempoh waktu – meniti dari
tangan ke tangan – berada dari satu tempat ke satu tempat, dan akhirnya lenyap pula.

“Sang peniaga Cina, membawa candelier ini ke Bangkok, lalu dijual kepada seorang hartawan
Siam dengan nilai pertukaran 25 pucuk senapang,” kata Sang Penyiasat lagi.

Dingdong-dingdong – dan begitu panjangnya penceritaan sang penyiasat perihal perjalanan


candelier antik ini, bermula pula dari tahun kehilangan di rumah Residen Pahang pada 1905 –
hingga dijual di Bangkok pada 1907 - sebelum dibeli semula pada 1974, dalam lelongan terbuka
di Singapura – terasa jeranlah pula kami mendengarnya.

Jadi bertambah berserabutlah kepala yang sekangkang ingatan ini, tatkala Sang Penyiasat
menceritakan pula:

“Ketika High Clifford kembali ke Tanah Melayu sebagai Pesuruhjaya Tinggi British pada 1927,
dia menubuhkan satu unit perisikan untuk menjejak semula candelier ini ... tetapi sampai tahun
terakhir perkhidmatannya ... 1930 – misinya gagal.”

Tak terdayalah kepala dan otak nan sekangkang ini untuk mengingati semua perincian maklumat
Sang Perisik – kecuali keterangan maklumat penghujungnya; yakni, pada 1974 – candelier yang
bersalut 1000 karat emas dan bertatah 444 berlian Afrika ini, disahkan berada di banglo mewah
sebagai barangan antik yang dibeli secara sah melalui lelongan yang sahlah juga.

Dibeli dan dimiliknegarakan melalui satu petisyen khas berhubung kepentingannya terhadap
sejarah perjuangan bangsa – era menentang penjajahan British.

2
PENYIASAT kami orangnya tinggi lampai dan agak tegap – berusia awal 40-an – berkulit cerah
– dan dalam penilaian kami dapatlah disimpulkan sebagai – sangat kacak dan berwibawa akan
perilaku dan tutur katanya.

Pernah membentangkan kertas kerja dan analisisnya – mengenai fenomena kecurian dan
transmisi barangan berharga, hingga ke forum dan seminar berkelas antarabangsa. Malah kata
satu sumber, dia pernah cuba dipinang oleh 10 Down Street, untuk membantu MI 5 British bagi
tugasan menjejak pergerakan asal-usul uranium yang dibawa masuk Iran, serta salasilah ilmu
yang diperoleh Tehran dalam menghasilkan pengayaan bahan senjata itu.
“Cuma ... tiada siapa pun yang dapat mengesahkan, sama ada dia pernah menerima atau
melaksanakan misi itu,” kata orang yang kami utus khas untuk membawa penyiasat itu ke banglo
kami, bagi menyelesaikan misteri kehilangan candelier ini.

3
MUKADIMAH paling sesuai untuk memperkenalkan banglo kami, barangkali beginilah adanya:
tempat tinggal sekumpulan manusia yang hidup dengan tanggungjawab melindungi apa jua
nama, apa jua benda dan apa jua nilai yang bersangkut-paut dengannya.

Kami tidak pernah mengira jumlah isi nyawa penghuninya – tapi kami maklum, banglo
berkeluasan 60 x 70 meter persegi ini dibangunkan di kawasan seluar 0.8 hektar – berias taman
dan tasik, namun tidak berpagar.

“Kenapa?” Pernah kami ditanya Sang Penyiasat yang agak janggal dengan isu ketiadaan pagar
ini.

Kami menjawabnya dengan terang dan mudah: “Demi ketelusan, tuan.”

Sang Penyiasat menganggukkan kepada, tetapi matanya sedikit berpinau; sesekali berkedip-
kedip tanpa cahaya.

Maka dek keraguan itu, kami menerangkan lagi: “Kami melaksanakan amanah bangsa dalam
menjaga segala pusaka terlihat, segala harta tersurat dan segala nilai yang tersirat ... maka adalah
wajar kami tidak menembukkan banglo ini, hingga timbul persangkaan dan persyakkan
umum ....”

4
777 kes kehilangan barangan dilaporkan dalam tempoh tujuh tahun. Itulah wabak permasalahan
besar yang mengedukan kami semua, kerana bukan saja nilai barang dan taksiran harta
menggambarkan kerugian yang dialami; tetapi pada hemat kami, jauh lebih berharga dari itu,
ialah angka kes yang besar telah meranapkan maruah kami, sebagai penjaga amanah itu.

“Pada saya, apa yang terjadi sangat memalukan,” kata Sang Penyiasat.

Kami terkedu lagi, tetapi tanpa mempedulikan perasaan kami, Sang Penyiasat berhujah lagi:
“Tujuh tahun ....” katanya, “dan 777 kes kehilangan, membuktikan, anda semua tidak layak
langsung ... untuk dipercayai dan diberikan amanah ini!”

Wah ... malunya kami!

5
SETEMPAYAN emas berisi syiling purba hasilan perak – almari mahagoni abad ke-11, tempat
tersimpannya tujuh kalung emas, juga tujuh tiara dengan tatahan tujuh rantaian zamrud di
kelilingnya serta tujuh bilah keris purba warisan tujuh pahlawan bangsa dari tujuh Kerajaan
Melayu lama serta tujuh kitab salasilah bangsa yang dikarang tujuh ulama perantau yang datang
dari tujuh kerajaan asing dan bermastautin pula di bawah daulat tujuh Raja Melayu antara
khazanah yang turut dilaporkan hilang.

Hilangnya tujuh bilah keris lama – serta lenyapnya tujuh kitab salasilah bangsa, sesuatu yang
amat menghinakan diri. Bagi kami, walaupun harga pasaran kedua-kedua jenis barangan ini jauh
lebih rendah daripada nilai barangan kemasan, tetapi nilai maruah dan sejarah bangsa, yang
tersela dan disisip rapi di sebalik corak ukiran pamor demi pamor, dan ceritera demi ceritera al-
kitab – sangat besar ertinya pada ketertiban sahsiah bangsa.

“Keris Tulang Orang Derhaka dibawa balik dari Belanda, keris Kala Senja Laksamana
Mengamuk ditemui orang di China ... manakala Anak Sula Pantang Berundur, dibeli oleh
seorang tokoh perniagaan Melayu setelah menemui keris itu dalam majlis lelongan di London,”
kata Sang Penyiasat.

Kami sedia maklum akan periwayatan tujuh bilah keris itu, malah termasuk sejarah pemiliknya,
sejarah tempurnya – malah juga sejarah bagaimana keris-keris milik tujuh pahlawan Melayu
pernah terlepas dari genggaman milik bangsa.

“Mujur ada wira-wira bangsa kita yang sanggup menjejaknya,” kata Sang Penyiasat, tetapi
diakhirinya cakapnya itu dengan ulasan yang menyindir:

“Tetapi anda semua menghilangkannya dengan cara yang cukup memalukan!”


Aduh! Kami berasa sangat terhiris, malah terhina amat.

“Kalaulah saya orang yang dititah untuk melantik anda semua, pasti dari awal lagi saya
syaratkan – sebarang kecuaian terhadap penjagaan warisan ini, akan dihukum sebagai
penderhaka bangsa!” kata Sang Penyiasat sambil memandang kami dengan lintang mata yang
tajam.

Nescaya saat itu, maka terhempuk jatuhlah maruah kami ke lantai; pecah berburai, bagai kaca
berderai ... hancur berkecai.

6
“MEMALUKAN!” Jerit Si Penjaga Pintu.

Di ruang tamu banglo kami – ruang yang dulunya sarat-barat dengan segala macam jenis
barangan – termasuk almari mahagoni abad ke-17, yang pernah menjadi antara hiasan kamar
tidur utama di Kota Larangan serta di ruang tamu ini juga – kami sering terpana melihat hiasan
tujuh tiara bertatah berlian Afrika, serta segala macam koleksi tanduk, tapak kaki dan kepala
serta kulit binatang buruan yang terkumpul dari seantero dunia; menjadi tempat kami
melepaskan amarah, akibat rasa terhina, dek sindiran Sang Penyiasat.

“Kita harus segera mencari, siapa pencuri segala khazanah jagaan kita ini,” kata Penjaga Pintu –
wajahnya nampak gusar dan gelisah, sepanjang hari itu.
Si Penjaga Bilik Utama pula, duduk di lantai – dek tiada lagi bangku maupun kerusi – semuanya
sudah dikebas pergi. Si tua yang dulunya pernah menjadi bentara penjaga peti kewangan negeri
itu, terlihat melunjurkan kaki dan bersandar di tiang seri, jari-jarinya mengeletak di muka lantai
yang mulai berdanur, tanda lama benar tidak dibersihkan.

“Pencuri yang menyangak semua khazanah ini ... tentulah sudah kaya-raya. Kita hamba papa
kedana inilah juga, yang kena menanggung beban najis malunya,” rungut Si Penjaga Stor, sambil
menghela nafas panjang.

Si Penjaga Balkoni pula menyampuk: “Pencuri tempayan emas, akan sama kaya dengan pencuri
kandiliar... aku baru saja menjeguk laman web koleksi antik, harga pasaran gelap tempayan emas
dan wang perak itu kini mencecah RM2 juta.”

Seusai sahaja dia bersuara, maka bertunda-tundalah setiap seorang menyebut barang demi barang
yang hilang serta harga demi harga bagi pasaran gelapnya. Sebahagian antara kami berasa lega –
kerana waktu berghairah begitu, Sang Penyiasat sudah lama pergi meninggalkan banglo ini.

7
Sang Penyiasat pergi tanpa pernah kembali lagi. Ada di antara kami berasa sangat sedih, kerana
si pintar itu enggan membantu; malah membiarkan kami meratap akan kehilangan segala macam
barangan yang kami cintai.

Namun, sebahagian besar penghuni banglo ini – nampak sangat gembira, dengan lesapnya Sang
Penyiasat itu.

“Bongkak!” Kata Si Penjaga Pintu. “Macamlah dia tahu semua – sengaja mencela-cela kita
sesuka hatinya!”

Si Penjaga Bilik Istiadat sambil tersenyum berkata: “Dia ingat dia cerdik – konon dapat menjejak
ke mana lesapnya segala harta yang hilang, akhirnya habuk pun tak ada ... kita membayarnya
untuk upah menceceh saja.”

Tetapi bagi kami yang menyimpan harapan untuk memiliki semua semua khazanah bangsa yang
amat bernilai itu, kemunculan Sang Penyiasat amat kami nantikan.

“Manalah tahu ... satu hari nanti, dia datang lagi – membongkar semua kecelaruan di sini!” Entah
siapa pula yang bersuara itu.

PROFIL

Zainal Rashid Ahmad dilahirkan di Alor Setar pada 30 Jun 1967. Mula menulis pada 1990 dan
lebih 200 cerpen tersiar dipelbagai penerbitan. Memenangi lebih daripada 30 hadiah sastera
anjuran pelbagai pihak termasuk 13 hadiah sastera Kumpulan Utusan Kategori Cerpen. Pada
1994, memulakan kerjaya sebagai wartawan dan mengembara dalam tugasan ke Israel, Palestin,
Afghanistan, Ethopia, Lebanon dan Kosovo. Kebanyakan liputan berkaitan krisis peperangan
dan kemanusiaan. Pernah memenangi hadiah Majalah TV Terbaik Anugerah Sri Angkasa
(Tragedi Tak Bai 2004), Dokumentari Terbaik PPF (Kembara Palestin 2007), Anugerah Media
Pertahanan (Lubnan Darah Di Bumi Merdeka 2007). Kini bertugas sebagai Pengurus Besar
Penerbitan di TV Al-Hijrah.

Anda mungkin juga menyukai