Anda di halaman 1dari 17

GAYA BAHASA SINDIRAN DALAM NOVEL DI HUJUNG RANTING KARYA

INDAH HAIRANI

Abstrak
Bahasa sindiran merupakan satu bentuk kata yang mempunyai makna yang tersirat dimana ia
menyukarkan penginterpretasian makna sesuatu ujaran. Kajian ini dijalankan untuk mengenal
pasti jenis bahasa sindiran dan membincangkan kekerapan bahasa sindiran yang digunakan
dalam novel Di Hujung Ranting (2009) karya Indah Hairani. Kajian ini merupakan kajian
deskriptif yang berbentuk kualitatif bagi menghuraikan dengan lebih terperinci makna tersirat
di sebalik gaya bahasa sindiran yang diungkapkan dalam novel tersebut. Sumber data dalam
penelitian diambil dari keseluruhan ayat dalam novel Di Hujung Ranting yang menggunakan
gaya bahasa sindiran dan teknik yang digunakan juga adalah merupakan teknik menganalisis
isi. Hasil penilitian ini menunjukkan bahawa Indah Hairani menggunakan lima jenis bahasa
sindiran dalam novelnya iaitu sindiran jenis sarkasme, ironi, satire, sinisme dan innuendo.
Pemilihan data pula dibuat berdasarkan kepada kelima-lima jenis bahasa sindiran tersebut
dan dapatan kajian mendapati sebanyak 19% kekerapan penggunaan bahasa sindiran jenis
sarkasme, 15% bahasa sindiran jenis ironi, 17% bahasa sindiran jenis satire, 42% bahasa
sindiran jenis sinisme dan 7% bahasa sindiran jenis innuendo. Berdasarkan hasil kajian, jelas
menunjukkan bahawa Indah Hairani lebih dominan menggunakan bahasa sindiran jenis
sinisme dalam penulisan novel Di Hujung Ranting dimana sindiran tersebut mempunyai
makna yang tersirat dan mengandungi unsur menyindir yang mendalam.
Kata Kunci: sindiran, gaya bahasa, novel

Pengenalan
Bahasa merupakan satu alat komunikasi bagi menghubungkan individu dengan individu yang
lain. Individu yang akan membentuk satu kelompok manusia ini menggunakan bahasa dalam
kehidupan mereka bagi memudahkan sesuatu pekerjaan, menyampaikan maksud atau
kehendak, berkongsi cerita, pemikiran atau idea dan sebagainya. Bahasa digunakan oleh
manusia sebagai alat untuk penyampaian pemikiran dan idea. Menurut Edward Safir (1921),
bahasa boleh didefinisikan sebagai suatu kaedah yang bukan naluri (noninstinct) manusia
untuk menyampaikan idea, perasaan, emosi dan keinginan melalui simbol - simbol yang lahir
secara sedar.
Gaya bahasa umumnya digunakan sebagai alat untuk berkomunikasi yang memiliki
nilai estetik tersendiri. Gaya bahasa ialah penggunaan bahasa yang dipilih serta digunakan
untuk menyampaikan sesuatu maksud. Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), mendefinisikan
gaya sebagai cara menulis atau bertutur, cara membuat sesuatu, terutamanya yang menjadi
ciri sesuatu zaman atau seseorang manakala gaya bahasa pula dilihat berkenaan dengan cara
pemakaian bahasa iaitu pengetahuan berkaitan pemilihan, penyusunan, penggunaan perkataan
dan ayat. Za’ba (1965) pula mentakrifkan gaya bahasa merupakan sebagai rupa susuk bahasa
yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya,
jalan bahasanya, cara susunan atau bentuk pembahasannya. Beliau mengklasifikasikan gaya
kepada dua jenis iaitu gaya lisan dan gaya surat. Pendapat beliau jelas menunjukkan bahawa
gaya bahasa dapat mengidentitikan ciri-ciri keperibadian seseorang penulis.

1
Hubungan bahasa dengan gaya bahasa dapat difahami melalui analogi pengertian
bahasa dan gaya bahasa oleh Graham Hough (Rahman Shaari, 1997) iaitu bahasa ialah
pakaian fikiran, dan gaya bahasa pula ialah fesyen kepada pakaian berkenaan. Gaya bahasa
sebagai cara atau ragam bahasa itu diguna, khususnya dalam tulisan atau karangan untuk
maksud-maksud tertentu seperti menghuraikan ilmu pengetahuan, berucap di hadapan
khalayak dan sebagainya, merujuk kepada cara seseorang penulis menggunakan bahasa.

Bahasa sindiran merupakan bahasa yang diungkapkan bertujuan untuk menyatakan


sesuatu maksud kepada seseorang. Ianya tidak disebutkan atau dinyatakan secara tepat,
namun hanya disampaikan secara sinis dengan dikias-kiaskan atau dilambangkan dengan
perkara lain kerana ia tidak dinyatakan atau disebut secara terus-terang dan ditujukan tepat
kepada seseorang. Oleh itu, bahasa sindiran sesuai dengan tujuannya untuk menyindir
seseorang dengan tidak menyebut secara tepat kerana penggunaanya hanya dikiaskan kepada
perkara lain. Percakapan yang bernada menyindir bermaksud percakapan yang disuarakan
untuk mencela atau mengejek pihak lain secara tidak langsung atau tidak terus terang.
Gaya bahasa sindiran merupakan salah satu jenis gaya bahasa yang biasa digunakan
sebagian orang untuk mengutarakan sesuatu dengan maksud menyindir, mencela, atau
mengejek secara tidak langsung. Tujuan menggunakan bahasa sindiran tidaklah mutlak, yaitu
bergantung seseorang menggunakannya dalam konteks seperti apa.

Permasalahan Kajian
Kajian yang berkaitan dengan penggunaan bahasa sindiran telah banyak dilakukan oleh para
pengkaji bahasa dalam pelbagai bidang. Ini menunjukkan bahawa kajian mengenai bahasa
sindiran amat popular dalam kalangan para pengkaji dan seterusnya boleh menyumbang
kepada perkembangan kepelbagaian bahasa pelbagai negara khususnya di Malaysia. Bahasa
sindiran tidak disebutkan atau dinyatakan secara tepat, namun hanya disampaikan secara sinis
dengan dikias-kiaskan atau dilambangkan dengan perkara lain kerana ia tidak dinyatakan atau
disebut secara terus-terang dan ditujukan tepat kepada seseorang.
Permasalahan kajian ini dikaji oleh kerana bahasa sindiran masih kurang dilaksanakan
oleh pengkaji-pengkaji lain secara lebih khusus. Kajian yang berkaitan dengan bahasa
sindiran telah dijalankan oleh beberapa orang pengkaji seperti Siti Norsyahida A Rashid dan
Nor Azuwan Yaakob (2016) iaitu kajian mengenai “Jenis Bahasa Sindiran dalam Ujaran
Vlog” yang memberi penekanan kepada bahan kajian yang dikaji, iaitu video yang dihasilkan
oleh vlogger Mat Luthfi yang diperolehi daripada laman sesawang Youtube, dari tahun 2011
hingga tahun 2014. Ujaran yang dikaji telah ditranskripsikan daripada bentuk lisan kepada
bentuk penulisan. Walaupun ada kajian lepas yang berkaitan dengan bahasa sindiran, namun
kajian bahasa sindiran dalam novel kurang dijalankan. Oleh itu, pengkaji ingin menjalankan
sebuah kajian yang berkisarkan gaya bahasa sindiran dalam novel yang menjadi medium
kepada penyampaian mesej bagi melihat kekerapan penggunaan gaya bahasa sindiran dalam
novel Di Hujung Ranting.
Permasalahan kajian ini juga dikaji bagi menghidupkan bahasa dan gaya bahasa
masyarakat pada zaman dahulu. Hal ini bertepatan dengan kajian yang dijalankan oleh
Syahida Rashid (2016) yang menyatakan bahawa bahasa sindiran telah digunakan oleh
masyarakat pada zaman dahulu lagi iaitu mereka akan menggunakan bahasa sindiran ini
secara bersemuka khususnya dalam majlis-majlis besar seperti perkahwinan, kenduri, di
rumah dan sebagainya. Sejajar dengan sorotan kajian pengkaji lepas, pengakaji ingin

2
menjalankan kajian mengenai bahasa sindiran yang terdapat dalam novel. Hal ini kerana,
bahasa sindiran bukan sahaja boleh berlaku secara bersemuka atau secara langsung, malah
juga boleh dirasai oleh pembaca yang membaca novel tersebut.
Selain itu, kajian bahasa sindiran dalam novel-novel Melayu tidak banyak dijalankan
oleh pengkaji. Kajian bahasa sindiran dilihat telah dijalankan oleh pengkaji bahasa, namun
tidak secara menyeluruh dimana ia hanya memberi tumpuan terhadap sesuatu aspek sahaja
seperti penelitian bahasa sindiran dalam ujaran vlog, bahasa sindiran dalam media massa, dan
bahasa sindiran dalam buku. Oleh itu, pengkaji berminat untuk membuat kajian secara lebih
mendalam lagi bahasa sindiran yang ada digunakan oleh penulis dalam novel beliau.
Berdasarkan kajian-kajian diatas, jelas menunjukkan bahawa kajian mengenai gaya
bahasa sindiran dalam novel yang hanya betul-betul memfokuskan jenis-jenis bahasa sindiran
masih tidak banyak dijalankan. Oleh hal yang demikian, pengkaji berminat untuk mengkaji
gaya bahasa sindiran yang berkaitan jenis-jenis bahasa sindiran dalam novel.

Sorotan Kajian
Kajian dalam bidang bahasa sememangnya popular dalam kalangan pengkaji luar dan dalam
Negara sama seperti pengkajian berkaitan novel Melayu terutama hasil karya dari sasterawan
Negara yang terkenal dan menerima pengiktirafan. Terdapat kajian yang seakan sama dengan
kajian ini iaitu kajian oleh Siti Norsyahida A Rashid dan Nor Azuwan Yaakob (2017) iaitu
kajian mengenai “Jenis Bahasa Sindiran dalam Ujaran Vlog” yang memberi penekanan
kepada bahan kajian yang dikaji, iaitu video yang dihasilkan oleh vlogger Mat Luthfi yang
diperolehi daripada laman sesawang Youtube, dari tahun 2011 hingga tahun 2014. Tujuan
kajian tersebut dijalankan adalah untuk mengkaji jenis bahasa sindiran yang digunakan dalam
ujaran vlog tersebut.
Kajian tersebut dijalankan untuk menganalisis bahasa sindiran yang terdapat dalam
ujaran vlog Mat Luthfi dan merupakan kajian deskriptif yang berbentuk kualitatif bagi
mengenal pasti kekerapan dan jenis penggunaan bahasa sindiran dalam vlog Mat Luthfi.
Kerangka teori yang digunakan dalam penyelidikan tersebut adalah berdasarkan Kerangka
Keraf iaitu teori yang lebih menekankan kepada bahan kajian yang dikaji, iaitu video yang
dihasilkan oleh vlogger Mat Luthfi. Ujaran yang dikaji telah ditranskripsikan daripada bentuk
lisan kepada bentuk penulisan manakala pemilihan data pula dibuat berdasarkan kepada
ketiga-tiga jenis bahasa sindiran yang digunakan iaitu sindiran jenis ironi, sarkastik dan
sinisme. Dapatan kajian mendapati sebanyak 84% kekerapan penggunaan bahasa sindiran
jenis sinisme, 10% bahasa sindiran jenis ironi dan 6% bahasa sindiran jenis sarkastik.
Berdasarkan hasil kajian, ujaran yang dituturkan oleh Mat Luthfi dalam vlog tersebut
mempunyai makna yang tersirat dan mengandungi unsur sindiran.
Menurut Siti Nurul Halimah dan Hilda Hilaliyah (2019) iaitu kajian mengenai “Gaya
Bahasa Sindiran Najawa Shibab dalam Buku Catatan Najwa” yang memberi penekanan
kepada penelitian yang bertujuan untuk mengetahui jenis-jenis gaya bahasa sindiran yang
digunakan oleh Najwa Shihab dalam buku Catatan Najwa. Penelitian ini juga menggunakan
pendekatan kualitatif secara deskriptif. Sumber data dalam penelitian diambil dari
keseluruhan ayat dalam buku Catatan Najwa yang mengandungi gaya bahasa sindiran.
Teknik yang digunakan dalam penelitian ini pula adalah teknis menganalisis isi. Hasil
penelitian tersebut menunjukkan bahawa Najwa Shihab menggunakan jenis gaya bahasa
sindiran ironi sebanyak 20%, sinisme sebanyak 40%, innuendo sebanyak 10%, sarkasme

3
sebanyak 16 dan satire sebanyak 10%. Oleh itu, dapat disimpulkan bahwa Najwa shihab lebih
gemar untuk menggunakan gaya bahasa sindiran yang berjenis sinisme dalam buku Catatan
Najwa. Bukunya yang berjudul Catatan Najwa berisi refleksi Najwa Shihab atas isu yang
dibahas di program Mata Najwa (Metro TV). Dengan gaya bahasa yang khusus, buku Catatan
Najwa mampu menggerak hati para pembaca dengan sindiran. Hal ini membuktikan bahawa
gaya bahasa sindiran yang digunakan oleh Najwa Shihab dalam bukunya yang berjudul
Catatan Najwa dapat dikatakan berhasil dan berjaya menarik pembaca untuk turut setuju
dengan tulisannya.

Kajian oleh Atikah Ibrahim dan Maslida Yusof (2020) iaitu “Sindiran dalam Media
Sosial: Perspektif Lakuan Bahasa” menyatakan bahawa sindiran menyampaikan maksud
yang bertentangan dengan apa yang disampaikan oleh penutur secara literal. Pada masa kini,
sindiran menjadi trend ragam bahasa dalam kalangan para pengguna media sosial untuk
membuat teguran, kritikan atau nasihat terhadap sesuatu isu. Oleh itu, kajian ini dijalankan
bertujuan untuk meneliti ujaran sindiran dalam media sosial dari perspektif lakuan bahasa
dengan berdasarkan kriteria taksonomi oleh Searle (1969) iaitu lakuan bahasa asertif, direktif,
komisif, ekspresif dan deklaratif. Kajian tersebut menggunakan kaedah analisis kandungan
dengan mengambil data daripada status yang telah dimuat naik dalam halaman Facebook
Amrans Fans. Halaman Facebook Amrans Fans dipilih kerana dikatakan sering kali memuat
naik status yang berbentuk sindiran dalam memaparkan pelbagai isu semasa. Hasil dapatan
memperlihatkan struktur lakuan bahasa sindiran yang melibatkan tiga pihak iaitu penyindir,
pemerhati dan sasaran bagi sindiran tersebut dan menunjukkan bahawa dalam bahasa
Melayu, lakuan bahasa sindiran disampaikan dalam bentuk lakuan bahasa asertif, komisif,
ekspresif dan direktif.
Raminah Sabran dan Rahim Syam (1985) menyatakan bahawa bahasa sindiran
merupakan perkataan yang ditujukan oleh seseorang secara tidak tepat, terselindung dan
berkias kerana perkara yang dinyatakan tidak mahu disebut secara terang-terangan. Sekiranya
pihak yang ditujukan itu memahami perkara yang ingin disampaikan, maka sindiran itu dapat
dikira berjaya diterima oleh pihak yang berkenaan. Oleh itu, dapat dilihat bahawa terdapat
persamaan pendapat antara pengkaji terdahulu mengenai definisi yang merujuk bahasa
sindiran. Jelaslah bahawa bahasa sindiran merupakan bahasa yang diujarkan oleh seseorang
secara sinis dan mempunyai makna yang memberi kesan yang mendalam kepada
penerimanya. Penerimaan kesan yang diterima oleh pihak yang dituju makna ujaran itu
adalah bergantung kepada sikap penerima itu sama ada secara terbuka ataupun sebaliknya.
Mohd Hazreen Shah Hassan dan Mohd Roslan Rosnon (2016) mengatakan bahawa
bahasa sindiran termasuk dalam jenis ragam bahasa bersama dengan bahasa melampau,
bahasa naik, bahasa menggiat, bahasa berulang dan bahasa bertimbal. Menurut Arba’ie Sujud
(2010) pula, maksud lain bagi bahasa sindiran ialah satu penyataan yang tidak ditujukan
secara terus atau secara kiasan dan merupakan bidang yang berkait rapat dengan ragam
bahasa. Ragam bahasa yang pelbagai ini menunjukkan masyarakat bijak dalam penyusunan
kata dalam menyampaikan sesuatu ujaran secara tersirat dan tidak dinyatakan secara terus-
terang. Ini menunjukkan bahasa sindiran yang digunakan oleh masyarakat Melayu
mempunyai makna di sebaliknya dimana makna yang ditujukan itu kadangkala bersifat
menyindir dan mampu mengusik hati sekiranya seseorang memahami makna dan tujuan yang
disampaikan.
Berdasarkan hasil kajian-kajian lepas, pengkaji mendapati bahawa kajian terhadap
novel Di Hujung Ranting karya Indah Hairani tidak pernah dijalankan oleh para pengkaji di

4
Malaysia atau negara lain. Walaubagimanapun, kajian mengenai bahasa sindiran agak
popular dalam kalangan para pengkaji.

Objektif Kajian
Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk :
i. Mengenal pasti gaya bahasa sindiran yang digunakan dalam novel Di Hujung Ranting
karya Indah Hairani.

ii. Membincangkan jenis-jenis gaya bahasa sindiran yang kerap digunakan dalam novel
Di Hujung Ranting karya Indah Hairani.

Metodologi Kajian
Kajian ini menggunakan data dalam novel, maka pendekatan yang digunakan dalam
penelitian ini adalah pendekatan kualitatif dengan metode deskriptif. Bogdan dan Taylor
(dalam Moleong, 2002) menyatakan bahawa metode penelitian kualitatif mempunyai
prosedur penelitian yang menghasilkan data deskriptif berupa kata-kata lisan, tulisan serta
gambar dan bukan angka-angka dari orang-orang dan perilaku yang dapat diamati,
pendekatan ini diarahkan pada latar dan individu tersebut secara utuh. Teknik yang
digunakan dalam penelitian ini adalah teknis analisis isi (content analysis). Analisis isi adalah
teknik analisis data kualitatif yang paling umum dan abstrak. Pengumpulan data melalui
analisis isi dapat memberikan maklumat secara lebih relevan lagi kepada isu dan masalah
yang ingin dikaji.
Kajian ini telah menggunakan bentuk analisis kandungan teks iaitu dengan
menggunakan sebuah novel. Bentuk analisis teks ini bertujuan untuk menganalisis objektif
kajian iaitu menghuraikan gaya bahasa sindiran dan jenis-jenis gaya bahasa sindiran yang
kerap digunakan dalam novel Di Hujung Ranting karya Indah Hairani.
Novel Di Hujung Ranting karya Indah Hairani yang diterbitkan oleh Perpustakaan
Negara Malaysia pada tahun 2009. Novel ini mengandungi 75 bab dengan ketebalan 569
halaman. Novel ini mengisahkan tentang suami yang memiliki dua insan dan dua isteri yg
berbeza. Mawardah penuh dgn kelembutan, tidak melawan dan sentiasa akur. Fatin penuh
kemanjaan, sentiasa ingn menang dan menguasai dan agak kasar sikapnya. Namun, kedua-
duanya dicintainya. Novel ini turut mengisahkan ketabahan seorang insan bergelar isteri iaitu
Mawardah yang merupakan watak utama yang sarat dgn cinta dan kemaafan, tidak pernah
menyakiti sekali pun dia disakiti.

Dalam menjalankan sesuatu kajian, penggunaan teori yang signifikan dengan kajian
amatlah penting dan perlu dititikberatkan kerana teori boleh diibaratkan sebagai kompas yang
dijadikan sebagai penunjuk arah bagi memastikan kajian tersebut berada pada landasan yang
tepat. Kajian yang berbentuk deskriptif ini dijalankan berpandukan Teori Retorik Moden
yang diasaskan oleh Enos dan Brown (1993) yang menyatakan bahawa retorik moden
bertujuan untuk menjelaskan makna kata yang halus.

5
Dapatan Kajian
Bahasa sindiran adalah bahasa yang ditujukan untuk menyatakan sesuatu maksud kepada
seseorang, tidak disebutkan atau dinyatakan secara tepat. Bahasa sindiran hanya disampaikan
secara sinis dengan dikias-kiaskan atau dilambangkan dengan perkara lain kerana ia tidak
dinyatakan atau disebut secara terus-terang serta ditujukan tepat terhadap seseorang. Oleh itu,
bahasa sindiran sesuai dengan tujuannya untuk menyindir seseorang dengan tidak menyebut
secara tepat kerana penggunaanya hanya dikiaskan kepada perkara lain. Percakapan yang
bernada menyindir adalah percakapan yang mengacu pada maksud percakapan untuk
mencela atau mengejek pihak lain secara tidak langsung atau tidak terus terang. Sekiranya
orang yang ditujukan itu memahami perkara yang disampaikan, maka sindiran tersebut dapat
dirasakannya dan sindiran tersebut dikira telah berjaya diterima oleh pihak berkenaan.
(Raminah Sabran & Rahim Syam, 1985). Berdasarkan penelitian yang dilakukan, pengkaji
mendapati bahawa Indah Hairani telah menggunakan lima jenis bahasa sindiran dalam dialog
novelnya, Di Hujung Ranting iaitu sindiran jenis sarkasme, ironi, satire, sinisme dan
innuendo.

1. Bahasa Sindiran Sarkasme


Bahasa sindiran jenis sarkasme atau sarkastik merupakan ujaran yang penuh cemuhan dan
celaan. Kata-kata yang mengandungi sarkastik bersifat keras dan kasar serta menyakitkan hati
orang yang ditujukan bahasa sindiran itu. Penggunaan sarkastik yang kasar sering diujarkan
ketika emosi seseorang tidak dapat dikawal dan berada dalam keadaan marah akibat sesuatu
perkara.
Sarkasme dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) bermaksud kiasan atau ironi
yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati
seseorang.

i. “So sekarang siapa yang salah? Saya atau awak? Lain kali kalau nak cakap tu
gunakan otak.” (m.s 3)

ii. “Tim nak cakap bang, Tim dah serik bermenantukan si Fatin. Nama aje cantik,
perangai macam syaitan buat apa?” (m.s 39)

iii. “Kau ni kan Fatin, nama aje pandai, tapi fikiran kamu tu bengap!” (m.s 110)

iv. “Apalah kau ni Mawar. Sekolah bertingkat-tingkat tapi bodoh berderet-deret.” (m.s
147)

v. “Sudahlah Aim. Ini bukan masanya you nak bercakap perasaan you. You pun sama
dengan jantan tu.” (m.s 216)

vi. “Jangan jadi gila, Fatin!” (m.s 228)

vii. “Mahu saya tak geram. Dah tak ada kena-mengena lagi. Bukan menantu kita, bukan
apa-apa pun! Tapi masih tak malu datang sini, buat macam harta nenek dia. Tak tahu
malu sungguh betina tu!” (ms. 277)

6
viii. “Aku iblis? Hei come on! Aku atau kau tu iblis?” (m.s 305)

ix. “Fatin! Kau ni kan, tak pernah berubah. Kotor hati kau tu tak pernah kau bersihkan
ya!” (m.s 409)

x. “Fatin, betullah kau ni. Cepat lupa asal-usul kau. Kau lupa? Waktu kau belajar dulu,
dengan siapa kau meminta-minta? Cuba cakap dengan aku?” (m.s 409)

xi. “I tahu mama you tu memang kedekut!” (m.s 438)

xii. “Kamu ni kan Akim, kalau mama cakap kamu bodoh, Hakim marah! Tapi kan Kim,
cara kamu berfikir tu, langsung tak menampakkan yang Hakim ni seorang yang
terpelajar.” (m.s 475)

xiii. “Hei betina! Buat apa kau datang? Aku tak nak tengok muka kau! Kau! Kau
perampas! Keluar! Aku benci kau!” (ms. 526)

Contoh (i) menunjukkan Indah Hairani menggunakan bahasa kiasan jenis sarkasme dalam
novel tersebut. Berdasarkan data yang diperoleh memperlihatkan ujaran ini memberi maksud
bahawa pengujar memberi arahan kepada pihak yang disindir agar menggunakan otak ketika
ingin bercakap yang bermaksud berfikir dahulu sebelum ingin berbicara dengan orang lain.
Contoh ini memperlihatkan bahawa penulis menggunakan bahasa sindiran yang amat tajam
dan memberi kesan yang mendalam.
Contoh (ii) pula memperlihatkan bahawa ada seorang watak dalam novel ini yang
bernama Tim atau Datin Fatimah menyatakan kepada suaminya bahawa Fatin, bekas
menantunya nama sahaja cantik tapi perangai macam syaitan. Dalam contoh ini, dapat kita
lihat penulis menggunakan sindiran yang kasar dimana ia menyamakan perangai manusia
dengan syaitan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), syaitan bermaksud sejenis
makhluk halus yang jahat yang menggalakkan orang berbuat jahat. Contoh ini menunjukkan
bahawa sindiran yang digunakan amat kasar bunyinya dan tidak elok didengar.
Contoh (iii) dan (iv) pula sama maksudnya dimana penulis menggunakan perkataan
bengap dan bodoh dalam sindiran tersebut. Contoh (iii) menyatakan bahawa Fatin seorang
yang pandai tetapi berfikiran bengap. Bengap maksudnya lebih kurang sama dengan
perkataan bodoh dimana maksudnya seperti dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) iaitu
sukar mengerti atau mempelajari sesuatu. Bahasa sindiran ini mampu mengundang rasa
sensitive pihak yang disindir.
Contoh (v.) memperlihatkan penulis menggunakan perkataan “jantan” dalam sindiran
tersebut. Seperti yang kita tahu, perkataan jantan digunakan pada haiwan seperti lembu,
kambing dan sebagainya. Oleh itu, perkataan tersebut boleh menyebabkan pihak yang
disindir akan berasa dirinya disamakan dengan haiwan. Sama seperti contoh (vii) yang
menggunakan perkataan “betina” yang juga digunakan pada haiawan dalam ujarannya.
Contoh (xi) pula memperlihatkan bahawa orang yang disindir itu mempunyai sifat
kedekut yang bermaksud sangat berkira hendak membelanjakan wang, bakhil, kikir, lokek
atau pelit. Bahasa sindiran yang digunakan oleh penulis ini boleh menyebabkan pihak yang

7
disindir akan tersinggung dengan perkataan tersebut. Hal ini kerana, kita semua tahu bahawa
sifat kedekut adalah sifat yang tidak baik.

2. Bahasa Sindiran Ironi


Ironi dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) bermaksud keadaan atau kejadian yang
menunjukkan pertentangan atau kesan sebaliknya antara sesuatu yang dijangkakan dengan
sesuatu yang menjadi hakikatnya.
Bahasa sindiran jenis ironi ialah bahasa sindiran yang diungkapkan oleh seseorang secara
halus. Walau bagaimanapun makna di sebalik ujaran itu mempunyai makna yang tajam.
Bunyi penyebutan dan cara ungkapan disampaikan secara lembut, tetapi orang yang ditujukan
bahasa sindiran jenis ironi akan terasa kesan dan nada sindirannya bersifat tajam.

i. “Semua orang boleh berjanji dan bersumpah tapi untuk menunaikannya jarang orang
mampu buat.” (m.s 19)

ii. “Dulu Fatin yang memberi saya pantang tu, takut saya cepat mati. Tapi apa yang dia
buat tu mungkin membuat saya lebih cepat mati.” (m.s 23)

iii. “Haah, pinang tunang orang, lagikan salah, inikan pulak isteri orang.” (m.s 70)

iv. “Awak ni kok ya pun marahkan nyamuk, jangan pulak sampai ke kelambu nak
dibakar.” (m.s 116)

v. “Awak pandai memilih. Tetapi belum tentu saya sukakannya.” (m.s 126)

vi. “Cuba sayang tengok. Kucing yang sayang bela tu pun sayangkan anak. Ini kan pula
kita?” (m.s 143)

vii. “Siapa lelaki bertuah yang berjaya membuka pintu hati kau tu?” (m.s 151)

viii. “Tak baik puji orang lebih-lebih. Yang baik tu hak Allah. Ingat ya.” (m.s 272)

ix. “Buat apalah susah-susah hantar bunga. Awak tahu ruang kerja pejabat saya dah jadi
macam taman.” (m.s 273)

x. “Angah, dengar papa cakap. Nikah kali pertama ke, kali kedua ke, ia tidak akan
menjadi, kalau tidak ada takdir dari Tuhan.” (m.s 345)

Contoh (i) memperlihatkan sindiran tersebut menyatakan bahawa semua manusia boleh
melafazkan janji dan bersumpah, namun tidak ramai yang mampu untuk menunaikan apa
yang telah mereka janjikan. Sindiran yang digunakan ini amat dominan dengan keadaan
zaman sekarang dimana manusia susah untuk melakukan perkara yang telah dijanjikan.
Contoh ini menunjukkan bahawa penulis amat peka dengan keadaan sekeliling manusia dan
dijadikan bahan sindiran dalam novelnya.

8
Contoh (iv) “awak ni kok ya pun marahkan nyamuk, jangan pulak sampai ke kelambu
nak dibakar” memperlihatkan bahawa penulis seolah menyindir dengan cara menasihati agar
kita tidak membabitkan orang lain sekiranya kita sedang marah pada seseorang. Dengan erti
kata lain, tidak memperbesar-besarkan masalah yang dihadapi. Sindiran sebegini diyakini
dapat menyedarkan pembaca.
Contoh (vi) memperlihatkan bahawa watak seorang suami dalam novel tersebut yang
menyuruh isterinya untuk melihat seekor kucing dan menyatakan bahawa haiwan tersebut
iaitu makhluk yang tidak mempunyai akal fikiran pun menyayangi anaknya inikan pula kita
manusia yang sememangnya makhluk Tuhan yang paling sempurna dan dikurniakan akal
fikiran. Contoh ini juga memperlihatkan bahawa penulis ingin kita berfikir dengan baik dan
saling menyayangi.
Contoh (ix) “buat apalah susah-susah hantar bunga. Awak tahu ruang kerja pejabat saya
dah jadi macam taman” memperlihatkan bahawa Mawardah tidak mahu dihantarkan bunga
lagi kerana ruang kerja di pejabatnya sudah menjadi seperti taman kerana terlalu banyak
bunga yang dihantar oleh Amar. Sindiran yang digunakan ini tidak terlalu menyentuh hati
pihak yang disindir kerana ianya tidak terlalu kasar didengar.
Contoh (x) “Angah, dengar papa cakap. Nikah kali pertama ke, kali kedua ke, ia tidak
akan menjadi, kalau tidak ada takdir dari Tuhan” menunjukkan bahawa penulis ingin
menyampaikan maksud sebenar iaitu apa sahaja yang kita lakukan tidak akan terjadi
sekiranya tanpa izin Tuhan. Sindiran ini boleh menyentuh hati seseorang namun tidak terlalu
mendalam.

3. Bahasa Sindiran Satire


Satire biasanya berbentuk penolakan dan mengandung kritikan dengan maksud agar sesuatu
yang salah itu dicari kebenarannya. Satire adalah gaya bahasa yang berbentuk ungkapan
dengan maksud menertawakan atau menolak sesuatu. Satire digunakan untuk mengancam
atau menertawakan gagasan, kebiasaan, dan lain-lain.
Satire adalah gaya bahasa untuk menyatakan sindiran terhadap suatu keadaan atau
merujuk kepada seseorang. Satire biasanya disampaikan dalam bentuk ironi, sarkasme, atau
parodi. Istilah ini berasal dari frasa bahasa Latin satira atau satura (campuran makanan) yang
memiliki kesamaan fungsi dengan sarkaseme namun memiliki perbezaan tingkatan. Satire
juga memiliki bentuk yang lebih halus dibandingkan dengan sarkasme.

i. “Hei! Jaga mulut awak tu sikit!” (m.s 3)

ii. “Lain kali, jangan nak marah orang senang-senang. Awak ingat awak aje yang tak nak
accident macam ni?” (m.s 3)

iii. “Tempat pun dingin, lagipun muka awak tu dah merah macam udang kena bakar.”
(m.s 5)

iv. “Akim, mama cakap dengan Akim ni tau. Mama bukan bercakap dengan dinding.”
(m.s 61)

9
v. “Akim, mama hantar belajar tinggi, itupun kamu tak dapat fikir?” (m.s 63)

vi. “Habis? Kenapa macam budak-budak bawah umur?” (m.s 228)

vii. “Kenapa apanya Tanti. Kalau dinamakan bus stop, itu maknanya tempat menunggu
bas!” (m.s 250)

viii. “Kau tidak pernah berubah Rahim. Aku ingat selepas kembali ke tanah air, kau jadi
manusia tapi rupanya kau tidak berubah!” (m.s 310)

ix. “Kenapa mesti jumpa kat hotel? Dah tak tahu nak datang ke rumah?” (m.s 437)

x. “Asyik si Tanti tu aje, orang lain tak ade? Orang lain tak pandai masak?” (m.s 438)

xi. “Mama cakap dengan Akim ni, bukan bercakap dengan tunggul. Akim dengar tak?”
(m.s 470)

xii. “Sejak bila adik abang jadi orang bisu ni? Atau suara dah tertinggal?” (m.s 482)

Contoh (iii) memperlihatkan Indah Hairani menggunakan sindiran yang berbentuk


perumpamaan iaitu muka yang merah seperti udang kena bakar yang bermaksud wajah
seseorang menjadi kemerahaan kerana kepanasan. Perkataan udang kena bakar digunakan
kerana kita tahu bahawa udang yang belum masak warnanya lebih kepada kelabu atau putih
namun setelah dibakar iaitu dimasak, maka warna kulitnya akan bertukar menjadi warna
merah yang cantik. Sindiran ini memperlihatkan bahawa ianya tidak mengundang kemarahan
tetapi lebih kepada parodi atau kelucuan dalam berbahasa.
Contoh (iv) “Akim, mama cakap dengan Akim ni tau. Mama bukan bercakap dengan
dinding” membawa maksud mama kepada Akim bercakap dengan Akim iaitu seorang
manusia yang boleh mendengar dengan baik bukan bercakap dengan dinding iaitu benda
yang tidak hidup. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), dinding bermaksud penutup
atau penyekat ruang pada bangunan, bilik dan lain-lain yang diperbuat daripada kayu atau
bata. Sindiran ini memperlihatkan bahawa seseorang yang berasa marah kerana tidak
mendengar apa yang ingin disampaikan. Contoh ini sama dengan contoh (xi) yang membawa
maksud yang sama.
Contoh (v) “Akim, mama hantar belajar tinggi, itupun kamu tak dapat fikir?”
memperlihatkan watak mama dalam novel ini menyindir anaknya, Akim yang mempunyai
pendidikan tahap tinggi tetapi perkara yang mudah pun tidak dapat fikir. Sindiran ini
membawa maksud seseorang yang mengharapkan anaknya dapat berfikir dengan baik
setanding dengan tahap pendidikannya.
Contoh (vi) “Habis? Kenapa macam budak-budak bawah umur?” memperlihatkan
sindiran ditujukan kepada seseorang yang sudah dewasa iaitu individu yang sudah matang
dan boleh berfikir dengan baik namun sikapnya seperti kanak-kanak bawah umur. Seperti
yang kita tahu kanak-kanak bawah umur merupakan individu yang cetek pemikirannya dan
sikapnya juga masih belum matang. Sindiran ini membolehkan seseorang terasa hati
dengannya.

10
Contoh (xii) “Sejak bila adik abang jadi orang bisu ni? Atau suara dah tertinggal?”
memperlihatkan seorang abang yang menyindir adiknya dengan soalan yang seperi sinis iaitu
menanyakan sejak bila adiknya menjadi orang bisu. Orang bisu bermaksud orang tidak dapat
bercakap atau mengeluarkan suara akibat dan merupakan orang yang kurang upaya. Suara
yang tertinggal pula merupakan perkara yang tidak masuk akal kerana suara tidak boleh
ditiinggalkan dimana-mana. Sindiran ini boleh diterima sebagai sindiran yang berunsur
parody namun orang yang sensitif juga boleh menganggap ini sebagai sindiran yang boleh
menaikkan kemarahan.

4. Bahasa Sindiran Sinisme


Kerangka Keraf (2007), sinisme merupakan suatu sindiran yang berbentuk kesangsian yang
mengandungi ejekan terhadap keikhlasan atau ketulusan hati penutur. Sinisme juga dikatakan
sebagai gaya bahasa sindiran dengan cara pengungkapan yang lebih kasar berbanding ironi.
Ujaran sinisme bersifat mencari kesalahan orang lain, bersifat mengejek dan menyindir.

Selain itu, sinisme juga dikatakan menjejaskan kepercayaan dalam nilai-nilai yang
diterima umum dan keikhlasan seseorang terhadap motif atau kelakuan, menerima pendapat
bahawa faktor yang mengawal tingkah laku manusia ialah sifat mementingkan diri dan
seterusnya mempamerkan perasaan curiga untuk menghina orang lain.

i. “Habis, kalau nampak, kenapa main redah aje?” (m.s 3)

ii. “Hai, masa hantar hari tu, elok aje kau pergi sorang-sorang? Hari ni nak ajak aku
pulak? (m.s 14)

iii. “Hai, sejak bila anak mama ni tahu rindukan mama? Atau ada apa-apa ni?” (m.s 42)

iv. “Lainlah orang tu, Mawar. Dia kerja bagai nak rak pun, berbaloi. Bapak dia bos.” (m.s
53)

v. “Hai! Zalim benar ke bos-bos kat Malaysia ni?” (m.s 95)

vi. “Amboi! Sejak bila aku dilarang telefon kau?” (m.s 106)

vii. “You cintakan Akim atau you cintakan empayar perniagaan yang dimiliki oleh bakal
bapak mentua you?” (m.s 108)

viii. “Amboi-amboi! Kalau bercakap dengan aku ada aje alasan kau ya?” (m.s 111)

ix. “Manalah tahu. Orang berduit, ada rupa. Mesti ramai peminat. Kan, Ain?” (m.s 136)

x. “Hai! Sejak bila kau pedulikan pasal cinta ni Mawar? Setahu aku, kau ni hati kayu.”
(m.s 149)

xi. “Kalau you dah tahu, buat apa you tanya lagi, hah?” (m.s 185)

xii. “Hai! Boleh ke? Tak serik kena tangkap?” (m.s 188)

11
xiii. “Tolong you? Come on apa gunanya ucapkan sayang kalau tak bersedia untuk
membantu.” (m.s 218)

xiv. “Kenapa you yakin benar? I hairan dengan you ni. Kalau you tak nak dengar nasihat I
supaya dibuat laporan, buat apa you minta I datang?” (m.s 227)

xv. “Hai Mawar, dulu Akim tak sibuk sangat macam ni. Ada isteri, makin sibuk. Ada dia
beritahu Mawar apa-apa?” (m.s 238)

xvi. “Inilah! Anak kesayangan awak tu. Fatin tu jugak yang dijaganya. Isteri yang di
rumah ni dibiarkan terpinggir.” (m.s 321)

xvii. “Hai, sambut Angah mengalahkan menyambut orang pulang dari luar negara.” (m.s
338)

xviii. “Hah! Mau tak sambut, anak bujang mama dah beberapa bulan tak balik.” (m.s 338)

xix. “Hai mama, suami kat sini, isteri kat kampung.” (m.s 339)

xx. “Hah eloklah tu. Kalau ikutkan sibuk, sampai bila-bila pun masalah tak selesai. Mama
tengok hubungan kamu dengan Mawar tak macam hubungan pasangan suami isteri.”
(m.s 359)

xxi. “Abang sibuk, mana sempat nak ambik tahu hal orang lain, kan?” (m.s 363)

xxii. “Banyak kerja atau sibuk dengan perempuan kampung tu?” (m.s 379)

xxiii. “Maklumlah, orang bakal memberi cucu pada mama dan papa. I ni apa je, kam?” (m.s
379)

xxiv. “Hai sejak bila you beritahu dia tentang I? Lagipun suci sangat ke hati isteri baru
awak tu, Encik Hakim oii?” (m.s 379)

xxv. “Dia dah senang. Anak-anak dah kerja, Mana dia nakkan kita lagi.” (m.s 437)

xxvi. “Kenapa pulang awal? Selalunya dah malam baru nak balik ke sini.” (m.s 463)

xxvii. “Eleh! Buat apa kalau dalam hati ingat orang lain!” (m.s 467)

xxviii. “Yalah tu sekejap. Nanti awak balik lambat jugak.” (m.s 508)

xxix. “Ya mama. Mama pun tak tahu? Atau mama dan Abang Long tak ambil tahu?
Yalah… sibuk kan?” (m.s 539)

Contoh (iii) “Hai, sejak bila anak mama ni tahu rindukan mama? Atau ada apa-apa ni?”
memperlihatkan seorang ibu yang menanyakan anaknya sejak bila anaknya itu tahu untuk
merindukannya atau ada tujuan lain disebaliknya. Sindiran ini tidak menimbulkan rasa sakit
hati pada orang yang disindir itu malah ianya hanya seperti bentuk gurauan.

12
Contoh (vii) “You cintakan Akim atau you cintakan empayar perniagaan yang dimiliki
oleh bakal bapak mentua you?” sindiran ditujukan kepada seseorang dengan bentuk soalan
yang membawa maksud dia betul-betul mencintai Akim atau hanya mencintai harta kekayaan
yang dimiliki oleh keluarganya. Sindiran ini tepat pada seseorang yang mata duitan atau tidak
ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara.
Contoh (ix) “Manalah tahu. Orang berduit, ada rupa. Mesti ramai peminat. Kan, Ain?”
memperlihatkan sindiran dilakukan dengan cara bercakap dengan orang lain di hadapan
orang yang disindir. Sindiran ini membawa maksud penyindir menyatakan orang yang
disindir banyak duit dan berwajah tampan. Jadi, pasti ramai wanita yang berminat dengannya.
Sindiran ini tidak bersifat cemuhan tetapi lebih keapada gurauan.
Contoh (xxi) “Abang sibuk, mana sempat nak ambik tahu hal orang lain, kan?”
memperlihatkan penyindir yang menyindir abangnya yang selalu sibuk sehingga tidak
semapat untuk mengambil tahu hal orang lain. Kata-katanya itu mungkin mengharapkan agar
abangnya mengetepikan kesibukannya dan mengambil berat tentang keadaan sekeliling.
Contoh ini seakan-akan contoh (xxix) yang membawa maksud yang sama.
Contoh (xxv) “Dia dah senang. Anak-anak dah kerja, Mana dia nakkan kita lagi”
memperlihatkan bahawa seseorang yang sudah senang kerana anak-anaknya yang sudah
bekerja. Oleh itu, dia tidak memerlukan orang lain lagi. Sindiran ini mungkin membawa
maksud bahawa sebelum ini orang yang disindir itu pernah meminta pertolongan dari
penyindir namun sekarang tidak lagi kerana sudah senang dan melupakan orang yang pernah
membantunya. Sindiran ini memperlihatkan penyindir berasa kecewa dengan orang yang
disindir.

5. Bahasa Sindiran Innuendo


Menurut Keraf (2004), beliau berpendapat bahawa innuendo adalah semacam sindiran
dengan mengecilkan kenyataan yang sebenarnya. Innuendo ialah gaya bahasa sindiran yang
mengecilkan maksud yang sebenarnya. Innuendo adalah sejenis sindiran yang unik dan
berbeza dengan sindiran yang lain berdasarkan fakta sebenar dimana sindiran sebenarnya
menjadikan sesuatu masalah menjadi kecil dan remeh.

i. “Buat apa kita mengikut perasaan sedih, pilu, yalah tak bawak kita ke mana-mana
pun.” (m.s 555)

ii. “Ala… buat apalah nak dirindu pada orang yang tak rindu pada kita.” (m.s 560)

iii. “Kau ni Meen, semuanya kau berkenan, anak kucing pun kau nampak cantik.” (m.s
81)

iv. “Untuk apa saya kecewa. Jika tuan tidak sukakannya.” (m.s 126)

v. “Awak bukan budak kecil yang perlu saya dukung.” (m.s 244)

Contoh (i) memperlihatkan Indah Hairani menggunakan sindiran iaitu “Buat apa kita
mengikut perasaan sedih, pilu, yalah tak bawak kita ke mana-mana pun.” yang membawa

13
maksud sia-sia sahaja sekiranya kita mengikut perasaan kita yang sedang sedih, pilu kerana
ianya tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kapada kita dan tidak boleh mengubah sesuatu
yang kita kehendaki. Sindiran ini lebih kepada menasihati para pembaca selain menghayati
bahasa sindiran tersebut.

Contoh (ii) “Ala… buat apalah nak dirindu pada orang yang tak rindu pada kita”
membawa maksud kita tidak perlu merindui orang yang sudah pastinya tidak merindui kita.
Erti kata lain, kita tidak boleh bertepuk sebelah tangan kerana ianya hanya membuang masa.
Contoh ini juga memperlihatkan bahawa penulis ingin menyampaikan sesuatu kepada
pembacanya.
Contoh (iii) “Kau ni Meen, semuanya kau berkenan, anak kucing pun kau nampak
cantik” membawa maksud penyindir menyindir rakannya yang mudah berkenan dengan
sesuatu perkara dan berkenan dengan semua benda sehinggakan perkara yang tidak perlu pun
dikatakan cantik. Sindiran ini memperlihatkan penulis ingin menyampaikan sikap sesetengah
masyarakat yang mudah terpengaruh dengan sekelilingnya.
Contoh (v) pula “Awak bukan budak kecil yang perlu saya dukung” memperlihatkan
bahawa sindiran ditujukan kepada orang yang telah dewasa namun mungkin sikapnya yang
seperti kanak-kanak menyebabkan penyindir berkata demikian. Maksud disebalik ayat
tersebut penyindir menyatakan bahawa orang yang disindir itu bukan lagi budak kecil yang
perlu dibimbing dalam melakukan sesuatu.

Kekerapan Penggunaan Gaya Bahasa Sindiran dalam Novel Di Hujung Ranting karya
Indah Hairani
Berikut merupakan kekerapan setiap jenis gaya bahasa sindiran yang paling banyak
digunakan dalam novel Di Hujung Ranting karya Indah Hairani. Jadual dan Rajah 1
menunjukkan bahawa gaya bahasa sindiran jenis sinisme paling banyak digunakan iaitu
sebanyak 29 kali bersamaan dengan 42%. Kedua tertinggi ialah gaya bahasa jenis sarkasme
iaitu sebanyak 13 kali bersamaan dengan 19%. Diikuti oleh gaya bahasa sindiran jenis satire
yang mencatatkan 12 kali penggunaan bersamaan 17%. Seterusnya, gaya bahasa sindiran
jenis ironi mencatatkan 10 kali penggunaan bersamaan 15% dan gaya bahasa sindiran yang
paling sedikit digunakan ialah bahasa sindiran innuendo yang hanya menggunakan 5 kali
bersamaan 7%. Berdasarkan dapatan kajian ini, dapat kita buktikan bahawa gaya bahasa
sindiran jenis sinisme paling kerap digunakan oleh Indah Hairani dalam penulisan novelnya
iaitu novel Di Hujung Ranting. Dengan itu, dapatan tersebut telah membuktikan bahawa gaya
bahasa sindiran jenis sinisme dapat menyampaikan mesej dengan lebih mudah oleh penulis.

Gaya Bahasa Sindiran Kekerapan Peratus (%)

Sindiran Sarkasme 13 19

Sindiran Ironi 10 15

Sindiran Satire 12 17

Sindiran Sinisme 29 42

14
Sindiran Innuendo 5 7

Jumlah 69 100

Jadual 1: Kekerapan Penggunaan Gaya Bahasa Sindiran dalam Novel Di Hujung


Ranting

Kekerapan Penggunaan Gaya Bahasa Sindiran dalam Novel Di


Hujung Ranting karya Indah Hairani

7%
19% sarkasme
ironi
satire
15%
42% sinisme
innuendo
17%

Rajah 1: Carta Pai Peratusan Penggunaan Gaya Bahasa Sindiran dalam Novel
Di Hujung Ranting

Jadual dan Rajah 1 menunjukkan bahawa gaya bahasa sindiran jenis sinisme adalah
yang tertinggi digunakan oleh pengarang dalam novel Di Hujung Ranting. Kekerapan
penggunaannya telah menunjukkan bahawa pengaraang bijak menggunkan gaya bahasa
sindiran sinisme dalam pelbagai konteks yang sesuai memandangkan masyarakat Melayu
dominan dalam menggunakan bahasa sindiran secara tersirat. Tepat dengan pandangan
Norsyahida Rashid (2016) dimana beliau menyatakan bahawa masyarakat Melayu cenderung
dalam menggunakan bahasa secara tersirat dan tidak berterus-terang.
Gaya bahasa sindiran jenis sarkasme merupakan medium kedua terbanyak digunakan
oleh Indah Hairani dalam penulisan novelnya Di Hujung Ranting. Penggunaan gaya bahasa
sindiran jenis sarkasme ini merupakan ujaran yang penuh dengan cemuhan dan celaan
dimana kata-katanya yang bersifat kasar sehingga tidak sedap didengar dan kadangkala
gayanya boleh menyebabkan seseorang berasa sakit hati. Pengarang menggunakan sindiran
jenis ini bertepatan dengan cerita dalam novel tersebut yang berunsurkan kebencian.
Gaya bahasa sindiran jenis satire turut digunakan dalam novel Di Hujung Ranting
bertujuan untuk menyindir tetapi dengan cara yang unik. Benarlah gaya bahasa sindiran jenis
ini merupakan antara sindiran yang lebih unik daripada gaya bahasa sindiran yang lain kerana

15
ianya sindiran berbalut fakta dan tidak disedari. Ini juga tepat dengan pandangan Norsyahida
Rashid (2016) dimana beliau menyatakan bahawa masyarakat Melayu cenderung dalam
menggunakan bahasa secara tersirat dan tidak berterus-terang.
Gaya bahasa sindiran jenis ironi turut digunakan dalam novel tersebut. Ironi hadir
sebagai sindiran yang agak lembut di antara pelbagai jenis sindiran. Ironi sangat sesuai
digunakan untuk menegur dan sebagai peringatan agar individu yang ditegur sedar. Sindiran
ironi boleh digunakan untuk menyindir orang yang menyimpang dari norma sosial yang ada.
Kesannya tentu tidak sedalam sarkasme, tetapi boleh membuat orang berfikir secara
sarkastik.
Gaya bahasa sindiran jenis innuendo juga digunakan dalam novel Di Hujung Ranting.
Innuendo sebenarnya menjadikan sesuatu masalah menjadi kecil dan remeh. Hal ini
bertepatan dengan cerita dalam novel ini dimana pengarang ingin menunjukkan bahawa
setiap masalah tida perlu diperbesarkan dan sentiasa berada dalam keadaan tenang dan suka-
suka. Hal ini juga bertepatan dengan pandangan Norsyahida Rashid (2016) sindiran ini juga
adalah bertujuan untuk hiburan dimana masyarakat amat tertarik kepada sesuatu yang
berunsur hiburan.

Kesimpulan
Secara kesimpulannya, berdasarkan kajian yang dijalankan ini dapat dilihat bahawa penulis
menggunakan bahasa sindiran sebagai bahasa yang mempunyai makna yang tersirat dan
disampaikan dengan cara tertentu bagi memberi kesan terhadap penerima bahasa sindiran
tersebut. Berdasarkan huraian dan analisis data, dapat dilihat bahawa dapatan kajian
memenuhi objektif kajian secara menyeluruh iaitu mengenal pasti penggunaan gaya bahasa
sindiran yang terdapat dalam novel Di Hujung Ranting karya Indah Hairani.
Gaya bahasa sindiran ini amat menarik untuk dikaji kerana berdasarkan sorotan kajian
lepas, tidak banyak kajian mengenai bahasa sindiran yang memfokuskan dengan lebih lagi
kepada jenis-jenis bahasa sindiran gaya bahasa sindiran jenis sarkasme, ironi, sinisme, satire
dan innuendo. Jelaslah dapat dilihat bahawa penggunaan bahasa sindiran amat dominan
digunakan oleh masyarakat Melayu. Ia diujarkan dengan tujuan menyindir seseorang tetapi
tidak diluahkan atau dinyatakan secara terang-terangan sebaliknya biasa diujarkan dengan
mengarah kepada sesuatu yang lain.
Bahasa adalah milik manusia dan apa yang paling penting dengan bahasalah manusia
dapat berhubung antara satu sama lain bagi menyampaikan sesuatu maksud, perasaan,
pandangan, dan lain-lain lagi. Ternyata bahasa sindiran ini juga mempunyai kepentingan
yang sangat tinggi dalam kehidupan manusia seharian. Apalagi hidup dalam masyarakat yang
bersifat homogen, dengan sikap-perangai yang berbeza-beza. Sudah menjadi satu kewajipan
serta tanggungjawab individu dalam masyarakat itulah menangani segala permasalahan bagi
mewujudkan masyarakat yang harmoni.

16
Rujukan
Atikah Ibrahim & Maslida Yusof (2020). Sindiran Dalam Media Sosial: Perspektif Lakuan
Bahasa. Malaysian Journal of Communication. 36 (2), 269-288
Indah Hairani (2009). Di Hujung Ranting. Shah Alam: Buku Prima Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keraf, G. (2007). Diksi dan gaya bahasa. Jakarta: PT Gramedia Pustaka
Mohd Hazreen Shah Hassan & Mohd Roslan Rosnon (2016). Bahasa Juri Dalam Program
Mentor Legend: Satu Analisis Ragam Bahasa Za’ba. ESTEEM Academic Journal,
12(2), 1-14
Rahman Shaari. (2002). Bimbingan Istilah Sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications
Sarjana Press Sdn. Bhd.
Raminah Sabran & Rahim Syam. (1985). Kajian bahasa. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Siti Nursyahida Rashid & Nor Azuwan Yaakob (2017). Jenis bahasa sindiran dalam ujaran
Vlog. International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL), 7, 17-
29 (2017)
Siti Nurul Halimah & Hilda Hilaliyah (2019). Gaya Bahasa Sindiran Najwa Shibab Dalam
Buku Catatan Najwa. Program Studi Pendidikan Bahasa Indonesia. 11 (2), 157-165
Zainal Abidin Ahmad. (1965). Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka

17

Anda mungkin juga menyukai